Audit di dunia.

Saya sebenarnya bersetuju dengan pepatah inggeris; "Don't judge a book by its cover" tapi dalam masa yang sama, saya tidak boleh menafikan bahwa dalam banyak situasi, 'the cover will portrait its content'. Yang dizahirkan memang tidak seratus peratus menggambarkan yang tersembunyi. Tapi dengan melihat yang zahir, kita sendiri sudah boleh membuat penilaian akan apa yang disembunyi itu.

Contohnya, memilih makanan di mana-mana kedai. Kita sendiri boleh menilai mana satu makanan yang berkualiti dengan hanya melihat kepada rupa makanan itu. Kita tidak perlu merasa, untuk kita tahu kualiti makanan itu. Cukuplah dengan melihat pembalutnya, kita sudah ada gambaran awal tentang kualiti isinya.

Begitu juga manusia. Muslimin atau muslimat yang aurat terjaga rapi, sudah tentu memiliki satu nilai tambah, yang tiada pada pihak yang tidak menjaga auratnya dengan sempurna. Nilai tambah itu dipotretkan pada komitmen yang dipacu agar sifat muslim sejati, dapat dijana. Taat kepada semua perintahNya, dan patuh atas segala laranganNya. Bukankah itu taqwa?

Pun begitu, masih terlalu awal untuk kita mengatakan bahwa lelaki yang berjanggut itu, menyimpan janggut kerana ikutkan sunnah. Kita tak tahu isi hatinya, maka persoalan itu tak perlu kita timbulkan. Masing-masinglah menjawabnya.

Begitu juga wanita bila bertudung. Terlalu awal untuk kita berkata, "Mereka ini lebih baik berbanding wanita lain" kerana kita pun tak tahu apa asas mereka bertudung. Ada kerana fesyen, dan bila ibadah didirikan atas ransangan nafsu, maka kesan yang tersangat buruk terpanar di tengah masyarakat. Apa dia? Persepsi yang buruk atau lebih tepat, menjadi satu fitnah kepada agama!

Mengapa boleh sampai menjadi musibah, perkara ibadah?

Kerana perintah Tuhan, didirikan atas logik nafsu. Maka, yang berjanggut adakalanya lebih jahat daripada yang tidak. Yang bertudung, adakalanya lebih gedik daripada yang tidak!

Syeikh Nuruddin Marbu al-Banjari (moga Allah kurniakan kepada tuan guru kita, usia yang berkat dan kesihatan yang baik untuk terus menyebarkan ilmunya) seringkali berkuliah di Surau al-Hakim, Subang Bestari. Kebetulan, memang tempat saya tinggal sekarang, tidak jauh dengan tempat di mana kuliah bulanan Syeikh dijalankan. Maka, tiap kali Syeikh berkuliah, alhamdulillah saya mampu duduk di dalam majlis, menatap wajah indah seorang abdi ilmu, sambil mengutip hikmah beliau.

Kata Syeikh satu ketika dahulu, "Kita jangan tertipu dengan penampilan seseorang". Terang beliau, jika kita membawa datang seorang pemain bola sepak Sepanyol ke Malaysia, kita pakaikan padanya jubah, kita beri padanya tasbih di tangannya, dan kita hitamkan sedikit dahinya agar nampak seakan-akan orang yang tekun ibadah, adakah dengan itu, pemain bola sepak itu telah menjadi orang beriman?

Begitulah juga dengan wanita syiah Iran. Kita lihat mereka memakai jubah. Cukup elok menutup aurat bahkan ramai yang memakai purdah. Zahirnya, memang mereka kelihatan cukup 'beriman' tetapi cerita Syeikh, semasa beliau belajar di Mekah dahulu, wanita-wanita yang berpurdah inilah yang menyembunyikan najis-najis dan dicampakkan oleh mereka najis-najis itu ke kuburan para sahabat terutamanya Saidina Abu Bakar as-Siddiq r.a dan makam Saidina Umar r.a. Jadi, apakah itu tanda iman?
Sumber gambar.
Sebenarnya, sudah terlalu lama saya menyimpan beberapa persoalan yang tak terluah. Tak tercetus. Saya hairan, mengapa apabila seseorang yang tidak bertudung, mula memakai tudung, kita kagum dan menganggap mereka sebagai orang yang berhijrah?

Benar, dalam hadis diriwayatkan Imam Bukhari, Rasulullah memaksudkan bahwa selepas legasi hijrah ke kota damai, Madinah... sudah tiada hijrah susulan. Yang ada cuma penghijrahan spiritual daripada buruk kepada baik.

Benar. Yang itu memang ada.

Cuma saya persoalkan, mengapa kita mengangkat tinggi makna 'tudung' sedangkan topik taubat, berubah kepada kebaikan, hijrah dan seumpamanya adalah jauh lebih lebar daripada lebarnya tudung yang dipakai.

Saya bagi satu situasi.

Saya tak pernah menjadi mahasiswa IPT tapi saya pernah masuk ke kolej kediaman sebuah universiti tempatan. Di sana, saya lihat ramai mahasiwa dan mahasiswi yang bersosial. Berkawan seperti tiada sekatan. Bergurau senda, bergelak ketawa seperti sama jantina. Yang membuatkan saya tergeleng kepala ialah bilamana yang terlibat ialah gadis bertudung, dan lelaki berjanggut.

Kenapa saya fokus tentang janggut? Kerana ada rakan Facebook kata, ciri lelaki beriman ialah lelaki berjanggut!

Pelik bukan? Entah daripada mana penilain sebegitu boleh ditimbulkan. Bukan budak sekolah, tapi orang dewasa sendiri pun berfikiran begitu. Inilah yang saya cakapkan. Manusia suka menilai manusia lainnya, dengan penilaian zahirnya. Yang mendedahkan aurat, terus sahaja dianggap teruk dan yang bertudung labuh atau berjambang serta janggut, terus 'dituduh' sebagai warak. Belum tentu. Belum lagi...

Saya mengenali seorang kakak. Masa kami berkenalan, dia seorang yang tidak menutup aurat. Rambutnya dilepaskan untuk tatapan. Pakaiannya singkat, terdedah. Tapi menariknya, dia berubah dengan arus yang lembut. Tidak dengan ombak. Permulaannya, dia mula menonton rancangan keagamaan di televisyen. Kemudian, mula membaca bahan bacaan keagamaan di majalah dan novel. Sedikit demi sedikit, dia berubah hingga kini, sudahpun bertudung dengan istiqomah.

Tahniah kepada kakak itu. (mungkin dia sedang membaca pujian ini).

Cuma saya nak kongsikan, bahwa fasa perubahan kita perlulah harmoni. Mulakan perubahan dengan perkara yang paling besar, iaitu solat. Jaga dan perbaiki solat kita. Kemudian, jaga pula  hubungan kita dengan ibubapa. Ramai yang tidak tahu, bahwa dosa derhaka ibubapa sangatlah besar hingga pernah seorang ustaz di dalam cermahnya menegaskan bahwa selepas syirik, inilah dosa yang paling berat. Kemudian, barulah dengan aspek-aspek kehidupan, termasuklah pergaulan kita dan penampilan kita.

Sudah tentu kita, sebagai wanita yang bertudung labuh dan lelaki yang menyimpan janggut, tak mahu orang berbisik-bisik, "Harap saja pergi usrah tiap-tiap minggu. Tapi simpan jantan (atau simpan betina)".

Kasar kan? Tapi itulah bisik-bisik orang yang kita tak tahu!

Kita sudah memakai imej islam. Menyarung uniform seorang muslim dan muslimat. Maka, kita tak boleh lari daripada menjadi titik tumpuan. Setiap kali peperiksaan, kita adalah antara figur yang akan diteliti. Malanglah bagi seorang muslim atau muslimat, apabila dia mengambil keputusan peperiksaan, orang berbisik, "Harap saja selalu datang surau. Tapi periksa dapat markah corot. Kuat sangat tahajjud lah tu".

Tak mahu bukan? Kerana kata-kata itu bukan hanya mencalar maruah kita, tapi paling parah, ia mencalar nama agama sendiri. Persepsi orang terhadap 'komited dalam agama' menjadi songsang. Ia adalah situasi sama yang pernah berlaku dahulu di mana bekas presiden Tunisia, Habib Bourguiba dan menteri-menteri beliau (kuncu-kuncu) keluar secara lansung di kaca televisyen di siang hari bulan ramadhan, dan makan secara selamba bersama mesej, "Berpuasa menyebabkan produktiviti kita rendah. Jadi, baik jangan ikut perintah Tuhan!"

Itu kesilapan rakyat Tunisia kerana gagal untuk menunjukkan kepada dunia, "Bila aku bersama islam, aku makin baik, makin elok, dan makin sukses".

Kita yang ada kesedaran, sudah sampai masanya pula untuk kita pula menujukkan kepada dunia, "Bila aku bersama islam, aku mulia, bermakna, dan berjaya!"

Oleh itu, bersama kita menjaga akhlak kita dan dalam masa yang sama, menjaga prestasi kita. Jadikan islam sebagai platform untuk kita berjaya mengenggam awan Tuhan, dan jangan sesekali jadikan islam sebagai alasan untuk kita tersungkur!

Ingat!
Kita sedang diaudit. Kerana itu, jangan jadi spoiler.


Previous
Next Post »
4 Komentar
avatar

salam...
Alhamdulillah, faham apa yg disampaikan.teruskan menulis artikel seumpama ini lg untuk saling mengingatkan...

syukran...^^
nes zinatulhayah
uiam,gombak
8/9/2012

Balas
avatar

ok..agk terksan..
menyesl plak abaikan exam.huk.
btw,tq mnnydrkn.

Balas
avatar

Dont judge a book by its cover, but actually we judge a book by its writer. How? :)

Balas

Saya boleh dihubungi di emel iqbalsyarie@gmail.com atau 013-6852443