Tinggalkanlah maksiat

Tinggalkanlah maksiat

Tinggalkanlah dosa sekalipun ia susah.

Kita ada nafsu. Nafsu pula sentiasa mengajak kita untuk perkara-perkara yang melanggari disiplin iman dan taqwa. Nafsu merayu kita untuk bersuka-suka dan bersenang-lenang.

Bukan tak boleh nak bergembira dan bersenang-lenang.

Boleh. Tetapi apabila ia melanggari lunas-lunas agama, maka itulah dosa. Dosa inilah yang menyebabkan hati kita keras.

Kata Rasulullah, apabila kita melakukan satu dosa, maka akan timbul pada hati kita satu titik hitam. Satu per satu. Lama kelamaan, hati kita yang jernih itu akan bertukar kelam. Bila hati sudah hitam, maka cahaya iman akan padam.

Saat itu, kita sudah tidak lagi kenal bahasa halal dan haram. Kita sudah tak akan takut kepada sesiapa. Baik undang-undang ciptaan manusia mahupun pada undang-undang ciptaan Allah s.w.t

Tinggalkanlah dosa dan jerutlah nafsu. Lebih-lebih lagi jika kita ini ialah aktivis islam. Dosa yang dilakukan oleh aktivis islam, pada hakikatnya bukan lagi dosa yang bersifat individu sekalipun kemaksiatan itu dilakukan secara diam-diam dan sorok. Kesan daripada dosa kita mampu memberi kesan kepada satu organisasi atau jemaah itu sendiri, bahkan!

Lihat bagaimana Salahuddin al-Ayubi yang membuat spot-check kepada pasukannya di tengah-tengah malam. Dia melihat khemah-khemah tenteranya dan dipagi hari, dia akan memberi arahan kepada mana-mana tenteranya yang tidak melakukan qiamullail, "Kamu usah berangkat. Aku bimbang bantuan Allah tidak turun hanya kamu semua".

Situasi yang sama berlaku masa perang Uhud. Hanya kerana satu kesalahan kecil oleh pasukan pemanah di balik bukit, 70 orang tentera islam gugur syahid. (Allah sudah maafkan mereka dan memberikan mereka radiallahuanhum).

Dosa maksiat ini bahkan lebih teruk jika ia dilakukan oleh aktivis yang berpangkat qiyadah ataupun pemimpin. Sebagai pemimpin sesebuah jemaah, pemimpin ialah qudwah ataupun contoh teladan.

Dalam urusan yang lebih kecil pula, seorang guru juga ialah qiyadah. Seorang ayah, kakak, abang, juga ialah qiyadah. Mereka menjadi qudwah dan contoh. Maka wajiblah untuk semua mereka mencontohkan yang baik-baik sahaja.

Akhir sekali, berusahalah untuk tinggalkan maksiat sekalipun di belakang orang. Sekalipun tak ada orang tahu.

Bahkan sekalipun ia sekadar maksiat di dalam hati.
  

  

E-novel : Bukan Lelaki Syurga (Download cepat!)

Saya rasa saya ada banyak sangat dosa kepada Allah Taala, dan juga dosa sesama manusia. Maka saya harap, jika saya meninggal dunia, saya ada sumber saham akhirat yang akan membajai pahala kepada saya yang terbaring di dalam liang lahad nan sempit itu.

Link dia: BUKAN LELAKI SYURGA.

cover depan e-novel tu. Tak klise, jangan risau.

Sipnosis

Bukan lelaki syurga ini menceritakan perihal..........

Erm, takkanlah saya dah tulis novel ni, saya lagi yang kena tulis sipnosisnya? Apa kata orang-orang yang sudah download dan bacanya, kongsikan (review) e-novel itu di ruangan komen. Boleh?

Terima kasih :-)
  

Mari bercinta

Mari bercinta

Benda paling seronok untuk dibincangkan atas dunia ini ialah cinta. Yang bertudung ke, yang berkopiah ke, sama sahaja akan tersenyum-senyum bila bercakap tentang isu ini. Yalah. Kita bukannya robot. Kita ada perasaan dan cinta ialah salah satu perasaan yang Allah ciptakan, menjadi fitrah dalam diri kita.

Kita cinta kepada macam-macam perkara. Al-Quran melalui ayat 14 surah Ali-Imran menyatakan bahwa Allah s.w.t telah menjadikan kita suka (cinta) dan nampak indah pada sisi pandangan kita, para wanita, anak-pinak, harta, ladang, hasil galian, kenderaan, dan macam-macam lagi.

Kita boleh golongkan cinta kepada dua bentuk. Pertama, cinta yang mendekatkan kita dengan Allah dan kedua, cinta yang menjauhkan kita daripada Allah.
Cinta yang mendekatkan diri kepada Allah ialah seperti cinta yang dipamerkan oleh para sahabat nabi. Mereka hidup tidak semewah kita. Mereka makan tidak sesedap kita. Mereka tidur tidak seselesa kita. Mereka banyak berkorban untuk nabi. Ada yang sanggup mati kerana agama islam. Saya ingat ada seorang sahabat Nabi yang bernama Saidina Wahab, yang menggunakan badannya untuk menjadi perisai kepada Nabi Muhammad s.a.w daripada tikaman pedang, tusukan lembing dan bidikan anak panah. Hingga dia pun syahid.

Para sahabat Nabi tak rela nabi diperapa-apakan. Bukan hanya tak rela jasad nabi dilukakan, bahkan tak rela maruah nabi dipermain-mainkan. Sahabat muda bernama Zaid bin Tsabit (kalau saya tak silap) pernah mendengar Abdullah Bin Ubay menghina dan memaki hamun Rasulullah s.a.w lalu dia pun marah dan mengadukan hal itu kepada Rasulullah. Abdullah bin Ubay ialah tokoh munafik. Mustahil dia mengaku. Lalu turun wahyu, membenarkan sahabat muda itu dan dalam masa yang sama, membongkar busuk hati lelaki bernama Abdullah bin Ubay ini.

Kemunafikan Abdullah bin Ubay itu terlalu menyerlah hinggakan anaknya sendiri, yang bernama Abdullah pernah meminta izin kepada Rasulullah, "Wahai Rasulullah, jika kamu memerintahkan agar bapaku (munafik) itu dibunuh, maka biarlah aku yang membunuhnya sendiri kerana jika orang lain yang membunuhnya, maka aku bimbang aku akan menaruh dendam kepada pembunuh itu".

Tapi Nabi Muhammad s.a.w bukan pengganas.

Cuma nak kata di sini bahawa sahabat Nabi s.a.w bukan hanya menjaga jasad Nabi daripada disakiti, tetapi menjaga juga maruah dan nama nabi daripada dikotori dan dicemari.

Bukan hanya itu, semua mereka juga sedaya upayanya mahu menjaga ketulenan ajaran agama yang dibawa oleh Nabi. Salah satu contohnya ialah semasa zaman khalifah Abu Bakar as-siddiq. Abu Bakar keberatan mahu memulakan proses pengumpulan manuskrip al-Quran. Kata beliau, "Bagaimana mungkin aku melakukan sesuatu yang Rasulullah s.a.w tak buat", tetapi selepas ijtihad yang tajam dan nasihat daripada para sahabat yang lain, keputusan diambil untuk mengumpulkan semula manuskrip-manuskrip al-Quran yang pernah ditulis di atas kepingan-kepingan kayu dan kulit, kerana ketika itu ramai huffaz yang mati syahid.

Pada saya, beginilah baru namanya cinta. Cinta kepada Allah, pertamanya memerlukan pengorbanan kita. Kalau perlu mati, maka berjuanglah. Tapi saya tak rasakan bahawa ada kefarduan lagi untuk itu. Cuma kefarduan jihad kita berada dalam mekanisma yang sedikit berbeza.

Kita perlu berkorban harta dan nafsu kita. Kita gunakan harta kita untuk hal-hal yang mendatangkan manfaat segera dan jangka panjang kepada kehidupan akhirat kita. Manfaat segera ialah seperti memberi orang miskin makan. Jangan kita lupa, memberi makan kepada orang miskin juga ialah salah satu perintah di dalam al-Quran.

Manfaat jangka panjang pula ialah antaranya dengan membina markas dakwah, tarbiyyah dan hafazan al-Quran.

Kita juga perlu penjarakan nafsu kita. Ketahuilah, nafsu itu sentiasa cintakan barang yang haram. Mana-mana perintah Allah yang haram, dosa, maka itulah yang disukai oleh nafsu. Nafsu sentiasa mengajak manusia kepada kesesatan.

Mengapa perlu kawal nafsu? kerana pernah sekali, Saidina Umar r.a katakan kepada Rasulullah, "Wahai Rasulullah, sungguh aku amat mencintaimu selepas diriku dan keluargaku". Dijawab oleh Rasulullah, "Kecintaanmu belum pun sempurna".

Umar r.a berkata lagi, "Aku mencintaimu selepas diriku"

Rasulullah mengulangi, "Cintamu itu belum sempurna"

"Aku cinta kamu lebih daripada kecintaanku kepada diriku dan kaum keluargaku"

Rasulullah lalu menjawab, "Kini baru sempurna cintamu".

Cinta kepada Allah dan kepada Rasul-Nya ialah cinta yang mutlak. Lebih daripada cinta kita kepada orang lain. Bahkan kepada diri kita sendiri pun, dan itulah nafsu.

Cinta kepada Allah juga terbias dalam konteks hubungan kita sesama makhluk. Yang paling utama ialah hubungan antara anak dengan ibu serta bapa, dan antara isteri dengan suaminya. Seorang anak berkewajipan mencintai kedua ibubapanya sekalipun keduanya bukan islam. Wajib taat dan patuh kepada keduanya, melainkan untuk melakukan syirik dan bercanggah dengan syariat.

Isteri juga begitu. Kata Rasulullah, "Jikalau manusia diizinkan untuk sujud sesama manusia, maka akan aku perintahkan kaum isteri untuk sujud kepada suaminya".

Memang tak boleh kita sujud kepada orang. Sujud ialah untuk Allah s.w.t semata-mata. Cuma ini gambaran betapa seriusnya ketaatan seorang isteri untuk suaminya.

Ketaatan itulah rencah cinta. Kalau kita cinta, memang kita tak ada masalah nak patuh dan taat. Tetapi jika sudah benci, maka jangan haraplah hati kita boleh tetap tenang dan redha untuk patuh dan taat. Begitulah kita dalam beragama.

Jika kita cinta kepada Allah, benar, maka kita tak akan ada masalah untuk taat kepada perintah Allah. Kita cuma ada masalah untuk taat hanya bila cinta kita tak sempurna.

Padahal dalam al-Quran, dalam surah al-Baqarah, Allah katakan bahawa orang-orang yang beriman itu adalah sempurna, kuat dan kukuh cintanya kepada Allah s.w.t.

Nak cinta kepada Allah, mudahnya bercakap daripada berbuat. Kerana kata cinta ialah kata kerja. Jangan hanya tahu bercakap saja. Burung kakak tua pun boleh diajar berkata-kata. Kita manusia. Kita perlu diajar untuk melaksanakan cinta dalam tindakan.

Bagaimana mahu mulakan?

Saya ada baca tulisan Dr. Najih Ibrahim dalam makalah beliau. Antara yang disebutkannya, ialah dengan kita meneliti siapakah sahabat kita. Peranan sahabat itu penting. Kemudian, perlu hidupkan hati dengan al-Quran. Perlu ada hubungan yang erat antara jiwa kita dengan jiwa agama, iaitu al-Quran. Kemudian, kita perlu banyak berkumpul dengan orang yang soleh. Perlu duduk di dalam majlis-majlis dan halaqah-halaqah mereka.

Dan banyak lagi.

Saya faham kesukaran itu. Tapi hidup kita cuma sekali. Kalau kita sia-siakannya untuk memuaskan hati manusia yang tak sayang Allah, berbanding 'puaskan hati' Allah (baca: to make Allah satisfied and pleased with us), maka sia-sialah hidup.

Kalau hidup tak ada cita-cita nak masuk syurga, baik mati sahaja.
  
Salam mahabbah. Mari jatuh cinta.
 

Buat saudaraku yang sedang diuji.

Buat saudaraku yang sedang diuji.
Setiap manusia mahukan kehidupan yang seronok dan membahagiakan. Semua tak mahu sedih. Tak mahu menangis. Walaupun mungkin kita gemar menonton filem sedih, tapi kita sendiri tak mahu lakon layar itu berlaku dalam alam realiti kita.

Allah s.w.t sendiri kata bahawa memang fitrah hidup kita ini, kita sentiasa mahukan keseronokan dan bahagia. Tak ada siapa yang suka hidup yang sempit dan penuh dengan keluh kesah.

Tapi itulah. Kadang-kala, kita nampak pelangi itu cantik lalu kita pun teringin nak pegang ia. Tetapi kita takkan mampu nak pegang pelangi. Kita cuma mampu memegang warna-warnanya. Begitu juga hidup. Kita mahu bahagia, gembira dan seronok. Tetapi jangan lupa, bahwa dunia ini bukanlah tempatnya untuk kita gembira, bahagia dan seronok.

Jika Allah izin, memang kita akan gembira dan seronok. Tapi ia takkan kekal lama. Seperti matahari yang akan terbenam, begitulah juga dengan pola kehidupan kita. Malam yang suram akan menyusul juga walaupun kita berkeras mahu siang sepanjang hari.

Sampai masanya, Allah s.w.t akan uji kita dengan ujian berupa kesedihan dan kedukaan. Allah s.w.t akan uji  sampai terkadang mengalir air mata kita. Hinggakan sampai satu masanya, kita pula yang terlajak respon lalu menyoal, "Ya Allah. Kenapa aku yang engkau uji?"

Ketahuilah. Kita memang layak untuk diuji.

Saya sendiri sudah banyak kali berdepan dengan orang yang diuji. Ujian yang kadangkala sangat besar hinggakan saya terduduk termenung sendiri sambil tak henti-henti bersyukur. Yalah, setidaknya saya tidak diuji oleh Allah s.w.t dengan ujian sebegitu.

Ada yang berkongsi masalah dengan saya perihal suaminya yang kaki pukul. Ada yang mengaku tawar hati dengan suami tetapi rindu dengan kekasih lama. Ada pula yang lebih teruk, mengaku terpedaya kerana suaminya rupanya orang syiah. Ah, banyak. Yang gay pun ada juga.

Begini sahajalah.
"Listen. Ikan jerung pun ada masalah"
Pertama kita perlu ingat, semua orang Allah uji. Daripada pangkat ketua negara sampailah kepada hamba abdi raja pun, semuanya Allah uji. Nabi dan Rasul sendiri pun Allah uji. Kadangkala, ujian yang dikenakan kepada mereka itu, diluar bayangan kita. Lihat Nabi Yunus. Selama 40 hari Allah ujikan dia dengan ditelan oleh ikan nun. Lihat Nabi Yusuf. Apa dosanya sampai dia dicampakkan ke dalam telaga buta oleh adik-beradiknya sendiri? Dan bagaimana dia menjadi 'kambing hitam' sampaikan berapa lama dia merengkok di dalam penjara? Lihat Nabi Yaakub. Selama 40 tahun dia terpaksa menganggung rindu kepada anaknya (Nabi Yusuf) sampai buta-buta matanya.

Lihat Nabi Ibrahim. Apa dosanya sampai Namrud mencuba membunuhnya? Apa kesalahan Nabi Ismail dan ibunya, Hajar sampaikan Allah memerintahkan kedua mereka supaya ditinggalkan di kota mekah yang kering kontang dan tak berpenghuni masa itu? Apa lagi kesalahan Nabi Ismail sampai Allah memerintahkan Nabi Ibrahim untuk menyembelihnya?

Apa kesalahan Nabi Musa sampaikan dia dan pengikutnya dikejar oleh firaun? Adakah salah Nabi Harun sampaikan saudaranya Musa marah kepadanya dek ramainya orang yang dimurtadkan oleh Samiri? Bagaimana pula dengan keadaan Nabi Yahya yang dibunuh kaumnya? Bagaimana pula dengan Nabi Isa yang mahu dibunuh?

Dan apa salah Nabi Muhammad sampaikan berdarah-darah badan baginda dikerjakan oleh penduduk Taif?

Apa yang saya sebutkan ini cumalah sepintas lalu. Saya cuma mahu tegaskan, bahawa setiap hamba-Nya, akan Allah uji sekalipun mereka itu ialah yang bergelar 'para kekasih Allah'.

Kedua, ujian Allah s.w.t itu tak sama. Kadang-kadang kita tengok orang itu diuji dengan penyakit. Kadangkala, dengan harta benda, pangkat, jawatan, cinta, nafsu seksual, kemalangan, masalah kekeluargaan dan seumpamanya.

Ketiga, Allah hanya menguji kita kerana Dia tahu kita mampu menanggungnya. Allah s.w.t tahu kita boleh mendapat kebaikan dan manfaat daripada ujian-Nya.

Sebab itulah yang Allah s.w.t sebutkan dalam surah al-Baqarah ayat 286.

Setiap kali orang menceritakan masalah mereka kepada saya, saya akan cuba memberi satu dua kata-kata. Tapi pada malam harinya, saya akan rasakan bahawa diri saya ni sangat kerdil. Saya beri nasihat kepada orang, seakan-akan saya sedang menjalani kehidupan yang indah.

Oh. Tidak. Saya juga ada masalah. Saya juga Allah uji. Saya juga tak terlepas daripada genggaman Allah s.w.t. Cuma, syukur... kerana saya faham benar, hidup ini memang untuk diuji.

Bacalah al-Quran. Surah al-Ankabut ayat 2, Allah tegaskan bahawa syurga itu untuk kita. Tapi, buktikan dahulu iman kita. Allah juga sebut dalam surah al-Mulk bahawa dijadikan alam ini beserta sarana-sarananya ialah untuk diuji. Dalam konteks ayat itu, Allah nak uji perilaku kita; adakah kita berbuat amal yang terbaik.

Anehnya, bila sahaja Allah uji kita, kita lantas tersedar bahawa kita sebenarnya kekurangan. Kita sebenarnya lemah tanpa daya. Kita sebenarnya tidak memiliki.

Begini sahajalah... ada pepatah arab, "Jika mahu meminta, pintalah kepada yang memiliki".

Kita lemah. Maka mintalah kekuatan dengan Yang Maha Kuat. Makhluk, semuanya lemah. Tiada yang sempurna kekuatannya melainkan hanya Allah s.w.t sahaja. Maka, mintalah kekuatan dari-Nya.

Kita miskin. Maka mintalah kepada Yang Maha Kaya.

Kita susah. Maka mintalah daripada Yang Maha Memudahkan.

Kita serabut. Maka mintalah kepada Yang Maha Menenangkan.

Kita ada Tuhan. Kita ada Allah s.w.t yang agung. Kuasa Allah terlalu kuat dan besar hingga tidak memerlukan kepada Tuhan kedua, ketiga, atau isteri dan anak-anak Tuhan. Allah s.w.t itu sendiri sudah cukup. Dia Tuhan yang tunggal. Esa dan serba memiliki.

Berdampinglah dengan Tuhan. Bersandarlah dengan-Nya. Jika kita perlu mengetuk pintu, maka ketuklah pintu keampunan dari-Nya. Jika kita perlu menadah tangan, maka tadahlah tangan untuk menjemput bantuan daripada-Nya. Jika kita perlu menangis untuk menarik simpati, maka rembeskanlah air mata kita untuk keluar supaya untuk cinta-Nya.

Nabi Muhammad s.a.w sendiri pernah bersedih dan berduka-cita sampaikan ahli sejarah mengatakan ada satu tahun yang diberi nama 'tahun kesedihan' dimana pada tahun inilah bapa saudara Nabi yang terlalu banyak jasanya, Abu Talib meninggal dunia dan pada tahun ini jugalah isteri Baginda yang paling Baginda sayang, pergi untuk bertemu dengan pemiliknya.

Lalu Allah mahu memujuk Nabi Muhammad s.a.w dengan diturunkan kisah Nabi Yusuf melalui surah Yusuf. Nabi kita membaca dan mentadabbur, dan sedikit sebanyak kalam Allah itu menyembuhkan rawan dalam jiwa manusiawi Baginda.

Saudaraku yang sedang diuji, dalam bahasa yang tuntas, izinkan aku titipkan kepadamu bahawa Allah sebenarnya cinta... amat cinta kepadamu. Kerana itulah kamu diuji. Jika Allah s.w.t berlepas diri darimu dan tidak lagi mahu memberi perhatian dan tak peduli denganmu, maka memang kamu akan hidup senang. Tapi adakah itu yang kamu mahu?

Kamu mahu Allah berpaling daripada 'memandang' kamu?

Mungkin sudah tiba masanya untuk kita kembali kepada Allah.

Ayuh, kita pulang.
   

Mengekalkan diri dalam taat.

Mengekalkan diri dalam taat.
Melakukan perubahan, kata orang, susah. Jika pada saya, saya tak rasakan yang membuat perubahan itu sukar. Tidak pada saya. Tetapi pada saya, saya merasakan yang sukar dan susah itu ialah untuk kekal dalam perubahan.

Lebih-lebih lagi apabila kita mahu berubah kepada kebaikan dan kejayaan.

Saya kenal dengan ramai orang. Yang ada dua topeng. Wajah dahulu dan wajah sekarang. Ramai yang mempunyai sejarah yang kurang baik, menjalani kehidupan yang kurang bermakna, dan seumpama tetapi sampai masa, dia melakukan perubahan jiwa dan akhirnya memilih sebuah kehidupan yang bersuluh cahaya.

Tapi yang tak seronoknya, perubahan tu tak kekal lama.

Kita tak mampu nak menghayati nilai istiqomah. Kerana itu, kita tak mampu untuk kekal di dalam ketaatan.

Iman kita lemah. Keraguan kita memuncak. Keyakinan kita berbolak balik.

Padahal, yang lebih utama dan dituntut itu kan konsistensi. Saidatina Aisyah r.anha pernah ditanyakan tentang apakah dia amalan yang terbaik, lalu dijawab oleh beliau, yang terbaik itu ialah satu amalan yang walaupun kecil tetapi mampu dikerjakan secara istiqomah.

Seorang lelaki yang bersedekah RM 10 dengan seorang rakannya yang bersedekah RM 1, tetapi setiap hari tanpa tertinggal, manakah antara keduanya yang lebih baik?

Pandangan material kita memberitahu kita bahawa RM 10 lebih bagus. Tetapi sistem nilai akhirat menyatakan bahawa amalan yang ada nilai istiqomah itu lebih baik. Mengapa?

Kerana istiqomah ialah biasan daripada keikhlasan. Orang yang ikhlas ialah orang istiqomah dalam menuntun ketaatan. Kalau kita tak ikhlas, mana mungkin kita boleh kekal dalam ketaatan kerana jika ada perkara lain yang menggerak hati kita untuk melakukan ketaatan selain daripada kerana Allah (lillah hi ta'ala), maka perkara itu tak akan kekal kerana hanya Allah s.w.t sahaja yang kekal, bukan?

Jika kita buat kebaikan kerana sahabat karib kita, maka akan sampai satu masanya, dia tiada untuk memerhati tingkah kita.

Jika kita melakukan kebaikan kerana pandangan dan kata-kata orang, maka sampai satu saat, orang pun penat nak memandang dan bercakap tentang kita.

Maka ini menyimpulkan bahawa orang yang tak istiqomah ni sebenarnya ada masalah dengan niatnya sendiri. Kerana amalannya bukan untuk Allah s.w.t, maka Allah s.w.t pun tidak terima amal itu dan bahkan tidak memberikan kepadanya bekalan kekuatan untuknya kekal di dalam ketaatan itu.

Kita nak buat taat ni bukannya kerana kita pandai atau kita kuat. Kita hanya dapat taat bila Allah s.w.t beri kita kekuatan untuk lakukan ketaatan. Bila Allah tak berikan kita taufiq, maka jangan haraplah kita mampu gerakkan tubuh badan kita untuk melakukan ketaatan kepada-Nya.

Saya ada bersembang dengan seorang saudara daripada jemaah tabligh. Dia banyak bercakap tentang falsafah 40 hari.

Katanya, kalau kita nak melatih diri kita untuk istiqomah, maka kita kena kekal melakukan sesuatu amalan secara berterusan selama 40 hari berturut-turut. Sebab itulah di dalam hadis, Rasulullah s.a.w menyatakan bahawa orang yang mampu takbir ratul ula (takbir pertama betul-betul selepas imam selesai menyebut "bar" dalam lafaz 'Allahuakhbar'), maka dia akan diberikan kelepasan (1)- daripada sifat munafik, dan (2)- daripada azab api neraka.

Saya percaya dengan "there is always a first time". Lagi-lagi dalam bab melakukan kejahatan, kerana bila pertama kali kita mula berani untuk tinggalkan ketaatan... maka percayalah, ia akan membawa kepada kedua, ketiga, dan seterusnya.

Moga Allah bantu agar kita tidak memulakan langkah pertama untuk kesesatan.