Saya mestilah muslim di sudut akhlak!



Hari ini saya sempat mengulangkaji semula akan apa yang diperkatakan oleh Almarhum As-syeikh Fathi Yakan di dalam kitabnya, Apa Ertinya Saya Menganut Islam?

Pada bahagian pertama, muslim dari sudut akhlak, Asy-Syeikh Fathi Yakan ada menuliskan beberapa akhlak yang semestinya wujud di dalam diri seorang muslim.

Pertama: WARAK.

Dari dahulu lagi saya selalu keliru tentang pengertian warak yang sebenar. Selalu sahaja tertukar dengan alim. Asal jumpa orang yang berjanggut dan berserban, kita panggil dia alim. Semua saya panggil alim. Tetapi alim itu tak semestinya warak. Alim ialah berilmu.

Sedangkan warak, ialah lambang kepada taqwa. Warak ialah kita berhati-hati dengan perkara yang syubhah. Jika dengan yang syubhah pun kita jauhi, dengan yang haram jauh sekali untuk kita dekati!

Kualiti ini jarang-jarang kita temukan. Nak jumpa orang yang meninggalkan yang haram, itu ramailah tetapi nak mencari orang yang menjauhi perkara syubhah (kerana bimbang tergelincir di dalam perkara haram), itu ternyata sangat jarang.

Antara benda yang termasuk dalam WARAK ialah kita tidak israf (atau tidak melampau di dalam perkara-perkara yang harus). Tidak berlama-lama online Facebook. Tidak berlebih-lebih masa makan. Tidak melampau-lampau masa berbeza pendapat, dan beberapa contoh yang kita boleh fikirkan sendiri.

Saya berdoa supaya Allah kurniakan kita sifat warak ini. Amin Ya Rabbal a'lamin.

Kedua: MENUNDUKKAN PANDANGAN.

Menundukkan pandangan bukan hanya kepada opposite gender sahaja, tapi juga kepada sesama jantina. Aurat sesama kita sentiasa ada. Hanya suami-isteri sahaja yang tiada aurat langsung. Menundukkan pandangan juga bukan semata-mata daripada memandang aurat atau kecantikan, tetapi juga daripada memandang pada kelemahan, keaiban dan kekurangan orang lain.

Ubahlah cara kita memandang orang daripada memandang keburukan dan kekurangan, kita ubah untuk memandang pada kelebihan dan kekuatannya.

Ketiga: MEMELIHARA LIDAH.

Pelihara lidah ini ialah antara kunci keselamatan kita di dunia dan akhirat. Rasulullah S.A.W banyak kali berpesan supaya kita jaga lidah kita. Antara kesalahan lidah ialah kita bercakap rafas (cakap lucah), kita mengumpat (memakan daging mayat saudara sendiri), kita menghina orang (sombong), kita mengucapkan kata-kata kufur seperti mempertikaikan hukum Allah dan mempertikai kewibawaan Rasulullah, dan seumpamanya.

Ramai yang mulanya islam tetapi kafir kerana perkataan.

Contohnya ialah golongan anti-hadis, golongan murtad, dan golongan syiah!

Berhati-hatilah dengan lidah kita. Jangan sampai kita dihumban ke dalam neraka kerananya.

Keempat: MALU

Ulama-ulama salaf mendefinasikan malu sebagai "Sifat yang mendoroang kita untuk meninggalkan kejahatan dan menghalang kita daripada mencuaikan hak orang lain"

Sebab tu antara pesanan para anbia yang terawal sekali adalah, "Jika kamu tidak malu, maka berbuatlah sesukahatimu".

Tetapi malu tidak menghalang manusia daripada melakukan perkara-perkara yang betul. Sebagaimana pujian Saidatina Aisyah r.anha kepada perempuan-perempuan Madinah (sebagai sebaik-baik kumpulan perempuan), kerana para wanita Madinah di zamannya, sangat pemalu hinggakan nak keluar rumah pun malu, tetapi tidak malu untuk bertanya hal-hal agama antaranya yang berkaitan dengan haid, nifas, istihadah, dan lain-lain fiqh kewanitaan.

Di zaman ini, usahkan anak gadis, anak teruna pun sudah hilang rasa malunya. Moga Allah rezkikan kita dengan akhlak ini.

Kelima: LEMAH LEMBUT DAN SABAR.

Dalam kitab ini, huraiannya agak panjang sangat tapi secara ringkasnya, lemah lembut dan penyabar ini mendorong kita untuk memaafkan orang dan bukannya untuk membalas dendam kepada orang. Lemah lembut terlihat dengan cara kita bergaul dengan orang. Kita memuliakan orang lain dan kita juga meraikan orang lain.

Sabar ada beberapa kategori. Sabar untuk melakukan kebaikan. Sabar ketiga ditimpakan musibah, dan sabar untuk meninggalkan kemaksiatan (yang ini paling tinggi darjatnya).

Sabar juga bererti kita perlu istiqomah dan menggiatkan lagi usaha kita. Ini pengajaran daripada ayat-ayat Allah mengenai peperangan sebagaimana dinukilkan di dalam surah al-Anfal ayat 65 dan 66.

Jangan putus asa untuk merdekakan Palestin!
Keenam: BENAR DAN JUJUR.

Satu kata-kata daripada Rasulullah S.A.W, "Demi Allah, jika sekiranya anakku Fatimah mencuri, nescaya aku akan potong tangannya juga".

Kebenaran itu bukannya kerana dia kawan kita, dia naqib kita, dia jemaah kita apatah lagi jika dia geng kita. TIDAK!

Kebenaran itu boleh datang daripada sesiapa sekalipun daripada musuh kita. Kerana itu Rasulullah S.A.W sangat-sangat menekankan kepentingan untuk mempejuangkan kebenaran, sebagaimana yang kita selalu dengar, "Katakanlah yang benar sekalipun ianya pahit".

Para aktivis islam, sekalipun kita ni selalu pergi halaqah dan mungkin juga sudah bawa halaqah sendiri, kita perlu ingat yang kita bukannya selama-lamanya betul. Ada kalanya kita salah dan WAJIB untuk kita terima teguran dan peringatan yang diberi oleh orang sekalipun dia ahli maksiat, jika sekiranya apa yang disebutnya itu benar.

Ketujuh: TAWADDUK.

Tawadduk ertinya merendah diri dan bukannya merendahkan harga diri. Itu kena faham betul-betul. Tawadduk ialah kita tak membesarkan diri sendiri, tidak berbangga dengan diri, dan tidak membeza-bezakan diri dengan orang lain.

Ingat kata-kata syaitan yang menyebabkan dia kafir dan dilucutkan kemuliaan, "Aku lebih bagus darinya!" (surah al-A'raf ayat 12).

Kelapan: MENJAUHI BURUK SANGKA, MENGUMPAT, DAN MEMBUKA AIB ORANG.

Moga Allah lindungi kita daripada membunuh maruah saudara kita.

Sebab itu ada satu kata-kata di Facebook yang saya ingat sampai sekarang, "Do not curse others cause they sins differently from you".

Sesiapapun kita, kita ada aib masing-masing. Memanglah syaitan akan datangkan rasa suka dan seronok bila kita dapat bercakap tentang aib orang di belakangnya, lagi-lagi bila orang tu kita memang tak suka. Tapi sejahat-jahat dia pun, kita lagi jahat bila kita mengumpatnya. Sebaliknya, jadilah muslim yang matang. Berbanding membuka aibnya, kita menutupnya. Berbanding membesar-besarkan cerita, kita menutupinya. Berbanding mengumpatnya, apa kata kita nasihati dia.

KESEMBILAM: Pemurah.

Nak jadi pemurah jangan tunggu kaya. Masa kita miskin pun kita boleh jadi pemurah. Ada harta sedikit, maka kita berilah sedikit. Ada banyak, beri banyak.

Pemurah juga ialah dengan memberi bantuan; menunaikan permintaan orang, memberi bantuan masa dan tenaga, dan paling mudah, murah dengan senyuman.

KESEPULUH: Qudwah Hasanah.

Seorang muslim ialah contoh tauladan kepada muslim yang lain dan paling penting, contoh tauladan kepada orang bukan islam.

Dalam konteks paling minumum pula, kita ialah qudwah kepada orang-orang dibawah kita. Anak-anak, dan isteri kita. Tapi ada antara kita yang masih bujang, jadi kita sendiri tetap ialah qudwah, kepada anak-anak jiran kita, anak saudara kita, kanak-kanak, bahkan kepada rakan taulan kita.

Tapi jika perkara satu sampai sembilan di atas pun kita tak memilikinya, kita nak jadi qudwah hasanah yang macam mana?

Nak tak nak, kita wajib mulakannya dengan diri kita sendiri. Jika kita mampu tegakkan islam dalam diri kita, dengan izin Allah, islam itu akan tertegak di dalam negara kita dengan sendirinya.

Kita ubah.
Ini kalilah!

(Perubahan bermula dengan diri sendiri, jangan lupa itu)
 
Previous
Next Post »
2 Komentar
avatar

Sekurang-kurangnya, entri saudara ini buatkan saya recall semula apa yg telah diusrahkan buku ini waktu saya berjinak-jinak utk berubah diri..

syukran ya akhi

Balas
avatar

tahniah akhi...sudah tamat menelaah buku Fathi Yakan ni. saya dh beli cuma blum stat baca lagi..hehe

Balas

Saya boleh dihubungi di emel iqbalsyarie@gmail.com atau 013-6852443