Langkah pertama

Saya jarang-jarang dapat ikut kuliah zuhur di MAS. Bukan apa, masa rehat cuma satu jam. Satu jam itulah kita nak berehat dan satu jam itulah kita nak pergi makan tengahari. Hari ini, saya makan laju. Siap saja makan, terus bergegas ke surau. Kuliah zuhur Ustaz Hisyam, sambungan dari pengajian kitab Mustika Hadis.

Tiap kali duduk dalam majlis beliau, banyak perkara yang membuatkan saya berfikir semula. Pengajian yang lepas, ustaz mengajak kita berfikir tentang takdir.

Iktiqad ahlus sunnah, ialah setiap daripada kita ini sudah ditetapkan kedudukan kita samada di syurga ataupun di dalam neraka. Pun begitu, kita sama sekali menolak fahaman-fahaman yang beranggapan bahawa jika benar nasib kita sudah ditentukan, maka tak perlu lagi kita beramal, dan seumpamanya.

Sebaliknya kita perlu yakin bahawa maksud 'ditentukan nasib' itu sebagai 'dipermudahkan jalan' kita menuju gerbang syurga atau gaung neraka.
Sebab itulah ustaz kata, "Saya ni manusia biasa juga. Ada masanya terasa malas nak beribadah. Ada masanya terasa teringin nak bermaksiat. Tapi bila timbul keinginan sebegitu, saya akan terus teringat kepada hadis Nabi. Saya takut malas itu ialah permulaan jalan untuk saya masuk neraka. Saya takut keinginan maksiat itu ialah permulaan jalan saya untuk masuk neraka"

Percayalah, Allah akan memudahkan jalan bagi kita mengikut nasib kita. Jika kita mudah buat pahala, itu petanda yang baik tetapi jika kita senang sangat nak buat maksiat, itu petanda yang buruk.

Kerana itulah kita tak boleh nak salahkan sesiapa jika kita masuk dalam neraka.

Banyak terjadi, pilot 'paksa' jurutera untuk melepaskan pesawat.

"Ala, minor defect saja. Kami perlu terbangkan pesawat ni dengan segera. Nanti syarikat akan rugi. Pelanggan akan marah"

Tapi jurutera kena tegas. Dia tahu kapal itu tak selamat, maka dia tak boleh turunkan tandatangannya.

Selagi tak ada cop, tandatangan dan pengesahan daripada jurutera, kapal terbang tak akan boleh terbang sekalipun juruterbang memujuk, dan penumpang memaksa.

Kerana, jika berlaku apa-apa di dalam penerbangan nanti, jurutera inilah yang akan dicari sedang pilot, jika mereka tak mati, mereka akan menunding jari.

"Dia yang kata kapal terbang ni selamat. Lihat, ini tanda tangan daripada dia!"

Dan kamu, jurutera. Kamu tak akan boleh berbantah lagi dengannya kerana itu tanda tangan dan cop kamu.

Begitulah hidup ini.

Kita akan ada kawan-kawan yang mengajak kita buat jahat.

"Jomlah keluar tengok wayang dengan Mamat. Mamat tu baik. Dia bawa kawan dia, Ismail. Ismail tu pun baik juga. Jomlah temankan aku. Aku belanja kau"

Atau, "Tak payahlah pergi usrah minggu ni. Assignment kita banyak. Lagipun minggu depan dah nak exam. Sekali-sekala tak pergi usrah takkanlah naqib nak marah"

Tapi percayalah kalau kita ikut juga 'nasihat' mereka, kita akan menyesal di kemudiannya.

Kalau Mamat dan temannya, Ismail semasa makan malam dengan kita, mereka meletakkan ubat tidur dalam makanan kita lalu kita pun hilang kesedaran, dan ketika itu, kita dirogol, apakah esoknya sahabat kita akan bertanggungjawab dan memberikan 'apa yang hilang' daripada kita dengan 'memberikannya yang dia punya'?

Adakah jika sekali-sekala ponteng usrah, menyebabkan kita makin berani untuk ponteng lain kali, dan akhirnya tawar hati dengan tarbiyyah dan kemudiannya kembali hidup seperti jahiliyyah, lalu nanti bila kita menjadi makin susah hendak beribadah dan beramal soleh, adakah sahabat itu akan sanggup menjadi peguam bela kita di depan Allah, jika takdir kita ialah neraka?

Sepatutnya bila kita sudah semakin dewasa, kita perlu lebih risau dengan nasib kita selepas kita mati.

Jangan kerana takut apa orang nak kata, kita meninggalkan peluang menjadi baik.

Jangan kerana segan dengan kawan-kawan, kita melakukan dosa dan maksiat.

Tak berbaloi jika satu hari nanti, kita masuk neraka kerana orang lain. Kerana nanti di dalam neraka, orang itulah yang pertama sekali mencaci maki kita dan berpaling, tak mahu dan geli untuk memandang kita.

 
Previous
Next Post »
2 Komentar
avatar

mcm tu jugak lah yang hana selalu fikir. tp hana pown manusia biasa yang sering alpa. :')

Balas
avatar

betul. teringat pensyarah masa asasi dulu pesan, kalau benda tu bawak ke syurga enti pergi la. kalau bawak ke neraka jangan lag pergi. huu~

Balas

Saya boleh dihubungi di emel iqbalsyarie@gmail.com atau 013-6852443