Wanita cantik untuk diperisteri

Kami selalu lepak-lepak dengan seorang abang ni. Nama dia Bob (bukan nama sebenar). Abang Bob ni tua lebih kurang 5 atau 6 tahun daripada kami. Abang Bob ni suka bercerita. Cerita-ceritanya banyak kali diselitkan dengan tazkirah dan tausiyah.

Satu hari, Abang Bob bercerita tentang perempuan. 

"Korang tak kawin lagi kan?", soalnya. Dia saja je buat-buat tanya tu, sebab dia dah tahu pun yang kitaorang ni semua masih bujang dan teruna lagi.

"Aku perasan orang lelaki ni kalau nak mencari isteri, dia mesti nak perempuan yang cantik-cantik. Even orang-orang yang baik-baik pun nak pada perempuan cantik. Cakaplah konon-konon nak yang solehah. Tapi kalau perempuan solehah tu tak cantik, agak-agak dia masih nak ke tak?"

"Mesti dia akan buat alasan macam-macam, kononnya istikharah tak mengena la, apa lah... tapi percayalah, kecantikan tu tak akan tahan lama. Cuba tengok, berapa ramai perempuan cantik yang kena cerai dengan suami dia?"

"Kita ni kadang-kadang menyumpah bekas suami dia. Kita kata, 'Bodoh la suami dia. Dapat isteri punyalah cantik lepas tu ceraikan', padahal bila dah kahwin, barulah kita akan nampak satu per satu kelemahan dan kekurangan pasangan kita. Kalau kita kahwini dia sebab dia cantik, maka the moment kita nampak kelemahan dia, maka akan hilanglah kasih-sayang tu"

"Sebab tu jangan cari perempuan cantik, tapi cari perempuan baik"

Itu kesimpulan dia, seorang lelaki beristeri satu.

Dan itu jugalah kesimpulan saya yang bujang empat ini.

Saya kembali teringat pada satu episod rancangan Reflection di Tv Al-Hijrah yang dipengerusikan oleh Imam Suhaib Webb, yang bertempat di sebuah dewan kuliah di UIAM.

Imam Suhaib Webb membicarakan tentang sebuah hadis yang biasa kita dengar,

“Wanita itu dinikahi kerana empat perkara iaitu kerana hartanya, kerana keturunannya, kerana kecantikannya, dan kerana agamanya. Maka pilihlah olehmu wanita yang punya agama, engkau akan beruntung. (Bukhari & Muslim)”

Kata Imam Suhaib Webb, hadis ini sama sekali tak menyatakan bahawa kita perlu mencari pasangan yang kuat pegangan agamanya hingga menolak faktor-faktor lain seperti harta, keturunan dan rupa parasnya.

Sebaliknya, hadis ini memberitahu bahawa semakin banyak ciri-ciri yang disebutkan itu dimiliki oleh pasangan, maka itu adalah semakin baik. The more, the better.

Kerana keempat-empat ciri itu ada kepada isteri Rasulullah yang pertama, iaitu Saidatina Khadijah r.anha. Beliau seorang yang rupawan, berharta, berasal daripada keturunan yang mulia, dan yang paling penting, beliau ialah wanita pertama yang memeluk agama islam.

Bahkan selepas bertahun-tahun kematian beliau, Rasulullah masih menyimpan kerinduan yang mendalam terhadapnya. Bahkan, Saidatina Aisyah r.anha sendiri pun sering cemburu sekalipun dia tidak sekali pun pernah bertemu dengan Saidatina Khadijah r.anha.

Ini menunjukkan keistimewaan Ummul Mukminin, Saidatina Khadijah r.anha.

Hari ini, kita telah berdepan dengan terlalu banyak salah faham tentang jodoh. Ada yang beranggapan bahawa kita perlu saling kenal mengenali sebelum perkahwinan, manakala ada yang berpendapat bahawa kita tak boleh langsung untuk berkenalan melainkan selepas berkahwin.

Maka syariat datang untuk duduk di tengah-tengah.

Manusia bukan robot. Manusia juga bukan binatang. 

Islam memandang perkahwinan itu sebagai suatu yang suci. Dengan perkahwinan, yang sebelum ini haram menjadi halal. Yang sebelum ini berdosa, menjadi berpahala. Kerana itulah perkahwinan seharusnya melahirkan ketenangan, ketenteraman, dan kebahagiaan.

Biar makan hanya sekeping roti.

Biar tidur hanya berlapik tilam nipis.

Kerana itu, soal kahwin bukan soal suka sama suka sahaja. Ia sepatutnya dipandang sebagai suatu yang lebih besar daripada kita.

Kerana nanti kamu akan berkongsi kehidupanmu dengan seorang yang asing bagimu, maka seharusnya kamu bersedia untuk menerima kekurangannya dan bersedia untuk memaafkan kelemahannya.


Cewah. pandai pula aku bercakap :3 
   
Previous
Next Post »
1 Komentar
avatar

Assalamualaikum..

Tak salah cari perempuan cantik untuk dijadikan isteri, tapi kena bersedia untuk hadapi dan terima segala kekurangan dan kelemahan di sebalik kecantikan tu, barulah takkan hilang kasih sayang.

Kes cerai-berai yang berlaku tu mungkin terjadi disebabkan si suami sendiri yang tak bersedia hadapi kekurangan isteri. So bila lepas kahwin, dah nampak kelemahan, terus cerai.

Kesimpulannya, sebelum kahwin tu kita kena bersedia secara mental dan emosional untuk terima semua kelemahan dan kekurangan pasangan, tak kira la si dia tu cantik ke tak cantik.

Balas

Saya boleh dihubungi di emel iqbalsyarie@gmail.com atau 013-6852443