Tertipu dengan syaitan nirrojim!

Tertipu dengan syaitan nirrojim!
Ramai orang yang kena tipu dengan syaitan. Tak terkecuali aku. Bab mana yang dia tipu? Banyak. Terutamanya bab hati.

Kita semua tahu, yang syarat diterima amal ialah 2 perkara. Pertama, bertepatan dengan sunnah dan kedua, ikhlas kerana Allah.

Syaitan paling sukses dalam attack bab hati. Senang-senang saja dia memesongkan niat seseorang daripada kita. Even aku sendiri pun, mula-mula nak tulis pasal benda lain tapi bila  tengok ada 4 orang sedang online atau baca blog aku, niat aku pun dah lari sikit.

Sebab itulah kalau kita tengok tahap-tahap syaitan saat mahu menyesatkan anak adam, pertama sekali syaitan akan menghasut kita supaya syirik iaitu dengan menyembah kepada apa-apa yang selain daripada Allah.

Sudah tentu kita tak akan ikut kata syaitan mudah-mudah, jadi kita akan menolak ajakan syirik itu. Kemudian, syaitan akan mengajak kita kepada meninggalkan kewajipan-kewajipan kita dan melakukan yang haram. Mungkin iman kita masih teguh kuat, jadi kita pun menolak hasutan syaitan.

Kita beramal.

Dan nah, syaitan pun cucuk jarum paling halus iaitu dengan menyeru dan mendatangkan rasa riak, ujub, dan segala mak nenek penyakit hati.

Sebab itulah dalam al-Quran, dalam surah an-nisa' ada ayat yang menyebutkan tentang sumpah bangsa iblis ni, iaitu mereka mahu menyesatkan semua anak adam, kecuali golongan mukhlisin sahaja yang terselamat.

Golongan mukhlisin ini ialah golongan yang ikhlas. Ikhlas dalam berbuat sesuatu apa-pun. Tak ada keterikatan dengan keduniaan. Dipuji tak bertembah, dikeji tak berkurang.

Orang suka pun dia tak terkesan, orang benci lagilah dia tak peduli. Itu baru ikhlas, sebab dia tahu, yang dia beramal ni, dia nak supaya Allah terima. Dia nak Allah yang puji, Allah yang pandang. Selagi mana benda tu baik dan betul, jadi setiap kejian atau kritikan dia akan tolak dengan penuh cermat dan hemat.

Tapi itulah, nak jadi orang yang ikhlas ni bukannya mudah sebab ikhlas tu peranan hati. Nak memiliki hati yang suci, perlu selalu dicuci. Nak cuci hati, perlu kepada ilmu. Nak ilmu, perlu cari... bukannya dengan berangan-angan.

Masalah kita ni, kita banyak angan-angan. Dalam urusan dunia pun tak habis berangan, dalam urusan akhirat pun serupa. Nak kereta besarlah, cincin berlianlah, pasangan yang romantiklah, macam-macam... tapi dalam urusan akhirat pun kita angan-angankan syurga.

Tapi amalnya mana?

Sebab tu Nabi kata orang yang berangan-angan nakkan syurga tapi tak beramal untuknya, ialah orang yang gila. Otak tak waras.

Macam mana nak kenyang kalau tak mahu makan?

Zaman ini kita diuji dari segenap sudut. Atas bawah kiri kanan, musuh-musuh Allah sedia untuk menarik picu mahu menembak kita. Lalai sikit, kenalah.

 

Hangat-hangat tahi ayam

Hangat-hangat tahi ayam
Kampung-kampung aku pun, aku tak pernah dengan sengaja pergi pegang taik ayam. Kalau terkena tu, tu pun aku tak ingat. Jadi aku tak tahu betul ke yang tahi ayam ni hangat cuma aku tahu, hangat-hangat tahi ayam ni bahasa orang tua-tua kita dulu bagi mengambarkan sikap mudah putus asa.

Boleh saja tahi ayam tu ditukar kepada ais kacang ke, sebab ais kacang pun cepat saja cair kalau kena panas. Tapi bila guna perkataan tahi ayam ni, mudah-mudahan orang kita sedar bahawa sikap mudah putus asa ni sebenarnya sifat yang busuk. Sifat yang kalau ada pada kita, patut kita buang dan cuci daripada diri kita.

Aku sendiri pun macam tu juga. Haritu dah semangat nak kembali aktif main blog ni. Sebab aku rasa kehilangan sesuatu dari sisi spiritual bila dah lama tak blogging ni. Senakal-nakal, selagho'-lagho' aku inipun, bila menaip, aku akan refresh semula apa yang aku pernah dengar, baca dan belajar daripada orang-orang alim kita ni.

Mungkin post kali ni just nak intro balik je.

Nak ingatkan diri aku supaya jangan hangat-hangat tahi ayam bila rasa nak buat benda baik. Semangat tu dah ada, bagus. Tapi semangat saja tak jadi apa. Panas membakar sekalipun kalau tak digunakan kejalan yang elok dan baik, maka akan membakar diri sendiri juga.

Umat islam hari ini memang bersemangat. Terbukti dalam banyak situasi. Antaranya, dalam demonstrasi-demonstrasi aman yang hampir tiap-tiap bulan dianjurkan. Tapi itulah, orang saja ramai tapi macam robot-robot yang berkumpul sahajalah.

Bercakap bahasa mesin, menjerit-jerit guna bahasa teknologi. Tak jelas matlamatnya. Tu tak termasuk lagi yang jenis hero melayu. Habis semua orang dia maki hamun, disumpah seranah dan dicarut-carutkan. Pulak tu ada yang sampai menyakiti dan melakukan kerosakan pula pada orang yang tak bersalah apa-apa.

Semangat ada, tapi macam bangang pun ada.

Kalau singgah surau R&R pun lebih kurang juga suasana. Boleh nampak 2 atau 3 jemaah solat sedang berjemaah dalam satu masa yang sama. Ada di penjuru situ, ada di penjuru sini, ada sana, ada sini. Pendek kata memang penuh surau tu dengan lambakan orang yang solat berjemaah. Berterabur jugalah.

Itu menunjukkan bahawa orang kita ada semangat yang tinggi untuk solat, tapi ilmu tak ada tu pasal jadi dua imam dalam suatu masa tu. Padahal benda tu Nabi larang. Elok-elok nak buat pahala jadi berdosa pula.

Hangat-hangat tahi ayam ini macam itu jugalah. Semangat ada, tapi tak kekal lama. Pasal apa tak kekal lama? Pasai tak mau mengaji!

Buat sesuatu kalau sebab semangat, memang akan jadi once-off sahajalah. Cuba kalau buat sesuatu kerana ada ilmu, insya-Allah, benda tu akan terasa lebih mudah, seronok, hepi dan tak meragukan.

   

Lembiknya aku

Lembiknya aku
Selepas berbulan-bulan, alhamdulillah aku kembali menulis.

Nak kata aku terlampau sibuk, aku rasa itu cuma alasan yang aku cipta sendiri. Mana ada aku sibuk mana. Sempat je nak main game. Sempat je nak tengok YouTube. Dan paling obvious, sempat je nak buat benda yang tak berfaedah.

Busy apa macam tu.

Orang yang sibuk, ialah orang yang sibuk mempersiapkan diri untuk menghadapi kematian. Macam yang Nabi pernah kata, orang yang paling bijak ialah orang ingat mati dan bersedia untuknya.

Kita memang akan ingat mati. Lagi-lagi bila berada di luar rumah. Mana nak mula memandu, kita baca doa. Bila nak naik kapal terbang, nak makan, dan sebagainya. Tapi kita lupa, mati itu boleh datang dari atas tilam kita, atas katil kita.

Saidina Khalid al-Walid sendiri walaupun banyak kali menyertai dan mengetuai legasi perang, dan sentiasa meminta untuk mati di medan pertempuran, akhirnya Allah tarik nyawa beliau di atas katil. Nak katanya, orang yang pergi berperang pun tak mati, tapi orang yang berehat pula mati.

Takut pula kalau mati dalam keadaan mengejut.

Perkataan 'mengejut' itu sebenarnya alasan kita. Kita saja yang kata terkejut, tapi awal-awal lagi Allah sebut, "Setiap yang bernyawa akan merasai mati". Maknanya sejak mula lagi kita dah diingatkan yang kita akan mati. Bila-bila masa, dimana-mana saja.

Yang sakit akan mati, yang tak sakit pun akan mati. Di Gaza ada mati, di negara haram Israel pun ada yang mati. Di Malaysia pun ada yang mati.

Mati sama-sama pun, alam barzakh tetap lain-lain. Even kalau mati tanam berkongsi liang lahad sekalipun nanti kalau hidup dalam alam kubur, malaikat akan tanya sorang-sorang. Time tu yang akan jadi peneman cumalah amal soleh yang kita buat.

Yang kita semua dah hafal dan maklum, 3 amalan yang berterusan. Sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat, dan doa daripada anak soleh. Kata professor Muhaya, pencen kubur. Dah masuk kubur tapi amal masih berterusan.

Kita hidup ni kalau nak ukur sibuk dengan meter, kita akan berikan 9/10 markah bagi sibuk. Banyak sangat benda yang seronok atas bumi ni. Kalau tak hiburan pun, kita akan habiskan banyak masa untuk rehat. Sampailah bila dah terlalu lama, kita sedar bahwa kita dah bazirkan terlalu banyak masa lampau kita untuk sesuatu yang tak ada kesan baiknya kepada kita di hari ini.

Menyesal masa tu tak ada guna. Menangislah pun, orang cuma mampu nak kasihan. Nak tolong tak mampu, sebab nanti bila mati, semua kita akan menghadapinya sendirian. Sayang-sayang isteri pun, dia tak akan tidur di kubur kita nanti.

Apatah lagi kalau setakat kekasih. Belum jadi isteri lagi bolehlah nak sayang sepenuh hati, tapi tak sedar dosa maksiat tu akan jadi penyesalan nanti.

Ni pun Ramadhan dah berlalu. Baru beberapa hari tapi ada rasa kesal, rindu dan sayu dah bertempek. Bukan apa, takut tak sempat jumpa Ramadhan tahun depan. Dan kalau jumpa pun, takut nanti tahun depan kita pun mungkin tak semangat macam tahun ni.

Hidup ni banyak sangat fitnah. Fitnah as ujian. Kalau masa student, ujian dia lain. Masa kerja, ujian dia lain. Masa miskin, ujian dia lain. Masa kaya, lain. Masa single, lain. Dah kawin pun lain. Sekejap pass, most of the time akan goyang.

Harini kita boleh solat subuh berjemaah, esok belum tentu. Bila tak mampu, mulalah buat alasan sendiri untuk menutup rasa bersalah kepada diri. Rasa bersalah itu sebenarnya anak kunci kepada perubahan. Orang yang nak berubah jadi lebih baik mesti terlebih dahulu rasa kesal.

Sebab tu orang yang ketawa riang, berjoget menyanyi tu semua hidup dia nampak seronok je.

Sekarang inipun aku perlu banyak muhasabah diri sendiri. Aku rasa teruk dan bersalah dengan diri sendiri. Banyak sangat masa muda yang aku dah bazirkan kepada benda yang tak ada manfaat kepada diri aku. Aku doa, mohon supaya masa yang ada ni bolehlah aku gunakan untuk dekatkan diri kepada Allah.

Manalah tahu, satu hari nanti Allah buka jalan kepada aku untuk berbai'ah dengan Imam Mahdi dan ikut sama berjihad. Tapi takut pula kalau tak ready, takut time tu free-free je kena tipu dengan dajjal.

Setakat para sahabat itu pun Nabi suruh diorang berdoa mohon perlindungan daripada fitnah dajjal. Inikan pula kita.

Adoi. Lembiknya aku.