Dia Yang Kunikahi

Alhamdulillah. Saya layangkan sebujuk rasa cukup kepada Yang Maha Esa kerana memberi saya ruang dan peluang untuk terus mencoret sesuatu di laman hati saya, kepada kalian yang dekat di hati.

Saya bersyukur kepada Allah dan saya berterima kasih kepada anda semua. Sebabnya ringkas, kerana daripada segala ini, lahirlah sebuah novel ‘biasa’- Dia Yang Kunikahi.

Sepatah dua kata daripada saya-

Saya menulis novel ini selama kurang lebih dua bulan. Saya tak punya alasan yang kukuh pun untuk menulis novel sebenarnya. Sungguh, sepertimana yang ditulis di kulit belakang novel Dia Yang Kunikahi (DKY), saya memang tak pernah terlibat langsung dengan mana-mana bengkel penulisan. Saya tak pandai mengarang; sangat tak pandai. Tetapi, ada dua perkara utama yang membuatkan jari-jemari saya menari di papan kekunci komputer jenama Compaq saya ini.

1- Ramai yang meminta saya menulis novel. Sangat ramai (menurut takrif saya). Dan tak salah jika saya kata, saya menulis kerana anda! Kerana anda yang sentiasa dekat di hati saya.

2- Saya melihat ada ruang untuk saya menitipkan satu dua pengajaran daripada al-Quran melalui sebuah cerita yang dikarang. Al-kisah, saya tengok… ada junior saya yang menggunakan masa rehat mereka untuk membaca novel. Masa rehat yang setengah jam itu mereka habiskan dengan menatap muka per muka novel yang saya baca tajuknya… Oh! Novel cinta. Tidak keterlaluan jika saya katakan, ia sebuah novel cinta bertajuk klise, dan saya pasti sangat… isi kandungannya ialah kisah cinta yang ‘biasa’.

Lalu timbul di fikiran saya. Mengapa saya tak cuba menulis novel. Kurang-kurang pun, boleh juga ‘masuk jarum’ pada kaki novel. Mungkin boleh menuetralkan mereka. Manalah tahu, ada yang terlebih asid. Manalah tahu juga, ada yang terlebih alkali. Jadi saya harap novel saya boleh menuetralkan jiwa kita. Apapun, semuanya biiznillah (dengan izin Allah)

Bagaimana ya saya menulis?

Sejujurnya, saya memang tidak banyak membaca novel. Tidak keterlaluan juga saya kata… saya ‘menulis dulu, baca kemudian’. Selepas habis semua bab saya karang, barulah saya mula membaca novel-novel orang. Antaranya novel Hlovate dan kak Su. Dan daripada hasil pembacaan saya, saya cuba ubah dan sunting secara berperingkat-peringkat. Tapi malangnya, manuskrip itu sudahpun berada atas meja puan editor saya- Kak Noor Suraya!

Lebih menarik, manuskrip saya ini bukannya saya hantar… tapi manuskrip ini dilamar! Bagaimana? Ingat tak dahulu… saya pernah buat ulasan tentang novel Jaja&Din. Ha! Masa itulah. Saya tak sangka penulis novel itu, Kak Noor Suraya akan memuat turun manuskrip saya (masa itu saya buat jadi e-novel). Sungguh saya tak jangka!

Saya sengaja buat e-novel kerana bagi saya, ini ialah eksperimen saya sahaja. Ya. Saya sekadar mahu cuba-cuba. Tak punya hajat yang mendalam pun untuk mengirimkan kepada mana-mana syarikat penerbitan. Dan kerana itu juga, saya bersikap acuh masa menyunting dan mengedit karya sendiri.

Oleh sebab itu, saya yakin amat… bahawa setiap orang yang ada memuat turun e-novel saya yang lama akan berasa kecewa. Masa itu, nama e-novel itu ialah ‘Antara Dua Bidadari’. Jujur saya katakan, manuskrip itu ialah bahan mentah yang belum disunting hatta oleh saya sendiri.

Saya cuma serius menacapkan DYK hanya bila Kak Noor Suraya menghantar satu mesej pada laman sosial Facebook saya. Dia ceritakan dengan telus niat syarikat JS Adiwarna; mahu membukukan e-novel itu. Saya pula… umpama orang mengantuk disorongkan bantal. Maka, tanpa lengah saya pun setujulah.

Saya sendiri rasa sayang… sayang amat kalau-kalau apa yang saya tulis itu, pembacanya hanya 100 orang dan kurang. Tak berbaloi. Tetapi untuk dibukukan, saya pun rasa ‘kurang’ berkenan juga.

Sebab itu, saya pernah berkata kepada kawan saya, saudara Normen. Kata saya, “Kalau pun aku nak bukukan manuskrip aku, aku akan bukukan pada Jemari Seni. Kalau tak, aku kasi free saja”

Dan memang! Saya beri free… free untuk dimuat turun (versi belum sunting) dan sekarang, sudah ada versi yang lebih baharu, lebih berkualitas, lebih mutu, lebih perasa, lebih berkilau… ops! Terpuji novel sendiri pula. Maaf! Tapi hakikatnya, saya memang bersyukur kerana orang yang sunting novel saya bukannya calang-calang orang tetapi seorang penulis hebat- Noor Suraya.

Heh! Siapa tak kenal Kak Su? Siapa yang tak setuju kalau saya kata… Kak Su sudah masuk dalam barisan penulis terhebat abad ini.

Akhir kata, saya mengembalikan rasa gembira saya kepada Allah kerana saya sedar, segala ilham dan kekuatan ini datangnya daripada Allah. Buku saya ‘berat’… dan kerana itu, saya serahkan kepada Allah juga kepada sambutannya.

Saya tak harap sangat pembaca yang ramai, tapi saya sangat berharap… pengajaran yang saya cuba titipkan, boleh dimanfaatkan. Pertama sekali, kepada diri saya sendiri kerana melalui hasil tulisan saya ini, saya belajar seribu satu perkara yang takkan saya dapat jika saya tak menulis novel ini.

‘Ya Allah, berkatilah mereka yang membaca buku ini’- saya mendoakan kalian, dengan harapan yang menggunung agar ada manfaatnya.

Oh ya! Sebelum saa terlupa; ramai yang sudah membaca novel DYK melemparkan komen sebegini- “Buku ni besttttt! Tapi bila baca ending, rasa macam nak koyak-koyak aje buku ni!”

Saya tahu sebabnya! Tapi saya tak boleh ubah endingnya sebab memang ceritanya tamat begitu. Saya senyum dan ketawa sendiri sahaja. Harapan saya juga, janganlah ada yang koyak-koyak buku tu ya nanti bila dah habis baca :D

Sekarang, apa kata kalian tentang buku ini?
    
Previous
Next Post »
33 Komentar