Kewajipan Menjauhi Fitnah

Kewajipan Menjauhi Fitnah
         
Sesiapapun tak boleh sangkal yang kita kini tinggal di zaman-zaman akhir. Di zaman yang sang rasul pernah katakan ini zaman fitnah. Zaman ujian besar yang mana setiap kita akan diuji dengan ujian-ujian yang ringan pada mata, tapi berat pada iman. Kerana nanti, sistem kira-kira kita ialah pada tolak-tambah pahala dosa dan syurga neraka.

Ada satu makhluk yang Allah jadikan. Namanya dajjal. Menurut banyak riwayat, dajjal itu berbentuk seperti manusia dengan ciri-ciri seperti sebelah matanya buta, dan seumpama. Kita dilegakan dengan hakikat dajjal al-masih itu belum lagi wujud, tapi kita tidak patut menarik nafas lega, kerana kuncu-kuncu dan askar-askarnya telah lama wujud, sekalipun bukan dalam fizik seorang manusia.

Kita kena faham betul-betul maksud fitnah. Dalam al-Quran, lebih kurang ada 17 definasi fitnah yang berbeza-beza. Antaranya ialah bala, bencana, ujian berat dan juga menuduh manusia lain.

Bersama-sama, kita buka ayat 14 dan 15 surah At-Taghabun.

Kata Allah, bahawa ada antara isteri-isteri dan anak-anak kita yang menjadi 'musuh' bagi kita iaitu merekalah yang akan menjerumuskan kita ke lembah neraka. Allah katakan lagi, bahwa harta dan anak-pinak kita ialah cubaan kepada kita.

Dalam sebuah hadis sahih, Rasulullah menganjurkan kita supaya baca surah al-Kahfi pada setiap jumaat dan Baginda juga anjurkan supaya kita hafal 10 ayat pertama dan 10 ayat kedua surah ke 17 itu.

Para ulama buat kajian, lalu mereka temukan empat tema terbesar dalam surah ini iaitu pertamanya, fitnah ilmu. Kedua, fitnah harta. Ketiga, fitnah kedudukan dan keempat, fitnah akidah.

Tapi tadabbur surah al-Kahfi ini saya tak berhajat mahu kongsikannya di artikel ini. Sebaliknya saya mahu tarik perhatian kita semua untuk sama-sama tadabbur ayat 14 dan 15 surah At-Taghabun tadi.
[kredit]
Pertama, fitnah wanita.

Jangan sangkal lagi kerana sudah jelas lagi bersuluh, bahawa fitnah terbesar atas muka bumi sekarang ialah fitnah wanita. Rasulullah sendiri memberi amaran kepada umat Baginda agar takut dan berhati-hati dengan ujian orang perempuan. Kita boleh lihat sendiri bagaimana seorang nabi dan rasul, iaitu Yusuf A.S yang terkena fitnah wanita...

Hinggakan kata Baginda, "Perjara itu adalah lebih aku sukai!", dan Baginda sendiri meminta kepada Allah agar dilemparkan dalam penjara. Di balik tembok besi itu, datang bersamanya satu falsafah yang besar kepada kita semua.

Penjarakan jarak. Penjarakan nafsu. Penjarakan ikhtilat.

Penjarakannya, agar hatimu tidak terjerut dengan cinta yang lalai dan melalaikan.
Kedua, fitnah harta. Para sahabat radiallahu anhum ajma'in pun ada yang terkena dan kalah dengan fitnah harta. Bukti paling jelas ialah semasa perang uhud. Arahan Rasulullah jelas. "Jangan tinggalkan posisi kamu selagi tiada arahan dariku", tetapi selepas mereka melihat yang tentera kafir tergopoh-gapoh berundur, mereka pun meninggalkan posisi mereka di balik bukit dan berebut-rebut mahu mengutip ghanimah.

Memang benar islam menyeru umatnya untuk kaya jiwa dan kaya harta. Supaya apabila harta kita banyak, kita pun boleh menyumbang dengan banyak kepada agama islam. Kita boleh bina masjid, bina pusat islam, bina pusat dakwah, bina ketenteraan, dan segala macam sarana yang diperlukan untuk perjuangan ini.

Tapi apa yang berlaku hari ini, orang kaya yang dekat dengan Allah sangat sedikit sebaliknya yang kaya dan menjadikannya sombong, takabbur, dan rasa ala-ala Tuhan, itu ramai sekali. Tak payah nak tunding jari kepada lelaki-lelaki arab yang gemuk itu. Tunjuk sahaja ke diri kita sendiri. Berapa banyak yang kita telah belanjakan untuk islam? Adakah kita juga seperti manusia-manusia tadi, yang sanggup berbelanja sehingga separuh juta semata-mata untuk satu baris nombor plat kereta murahan sahaja?

Ingat. Allah akan hisab harta-harta kita. Allah akan soal satu soalan yang mencarik-carik ulu hati kita. Darah kita pada tika itu takkan mengalir. Otot kita masa itu akan mengejang. Semuanya terkejut, takut.

"Hartamu, kemana kamu belanjakan?"

Maka mahu dijawab dengan bahasa apa lagikah jika jawapannya ialah yang terpesong daripada skema syurga.
[kredit]
Ketiga, fitnah kedudukan. Hari ini ramai yang mahu jadi pemimpin. Tapi ramai yang tak mahu dipimpin oleh wahyu. Maka itulah yang berlaku pada pemimpin-pemimpin umat islam. Makin berkuasa, makin berleluasa. Makin tinggi autoriti, makin hilang integriti dan dignity!

Abu Dzar al-Ghifari pernah mendatangi Rasulullah S.A.W dan meminta jawatan daripada Baginda lalu Baginda pun berkata, "Aku bimbang kamu tidak layak untuk memikul amanahnya".

Saidina Umar R.A pula sejak dijadikan khalifah, beliau sudah tidak mampu untuk tidur lagi. Beliau sudah tak dapat bezakan siang dengan malam. Kenikmatan rehat sudah tiada baginya. Kerana kata beliau, "Aku bimbang jika aku tidur di siang hari, maka urusanku dengan rakyatku tidak selesai dan aku juga bimbang untuk tidur di malam hari kerana aku takut urusanku dengan Allah pula yang tidak selesai".

Kita bercakap fasal kepimpinan, lalu kita pun terbayang kerusi-kerusi empuk dalam dewan berhawa dingin itu. Tidak semestinya, kerana sabda rasulullah, "Setiap daripada kamu ialah pemimpin". Kita ialah pemimpin dan kita ada orang yang kita pimpin. Seorang guru memimpin anak murid. Seorang majikan memimpin pekerjanya. Seorang ayah memimpin anak-anak dan seorang manusia, memimpin nafsunya.

Jangan cuai dengan tanggungjawab kepimpinan, terutamanya untuk memimpin hati kita.
 

Yang menjadikannya besar.

Yang menjadikannya besar.
May Allah Save Our Brothers And Sisters In Syria [kredit]
Abad ke-21, menyaksikan berlaku salah faham yang dahsyat tentang dakwah. Dakwah difahami sebagai satu kewajipan yang bersifat terfokus kepada golongan tertentu, pada tempat tertentu dan pada subjek tertentu sahaja.

Dakwah seakan-akan telah diswastakan kepada golongan yang mengenakan kartu nama Ustaz, serban besar ulama, atau kitab tebal sang masyaikh. 

Dakwah ialah tugas semua orang, sekalipun kita masih jahil dan masih belum mampu beramal dengan ikhlas kerana pesan Rasulullah, "Anjurkanlah kebaikan sekalipun kamu masih belum mampu mengerjakannya dan cegahlah segala kemungkaran sekalipun kamu masih belum mampu meninggalkannya".

Rentetan daripada artikel saya yang lepas, yang menceritakan tentang dakwah kepada sahabat kita yang bukan islam, saya merasakan bahawa ada beberapa perkara yang perlu kita buat sebelum, sedang, dan selepas kita membuka mulut.

Ia adalah perkara-perkara yang kecil, yang lebih kecil daripada sekadar berkata-kata.

Kita perlu ingat satu perkara. Semua perkara yang besar-besar bermula dengan perkara yang kecil-kecil. Yang besar umpamanya ialah mengislamkan orang lain. Ini satu kebajikan yang besar kerana kata sang rasul, kalaulah kita boleh menjadi sebab orang lain mendapat hidayah maka itu adalah lebih baik daripada kita mendapat unta merah (yang rare dan sangat mahal).

Niatkan mahu berdakwah dalam muamalat harian kita bersama dengan sahabat kita, yang islam dan yang tak islam. Niatkan kita bersalaman masa bertemu sebagai dakwah. Niatkan kita makan, berbual, berjalan ke perpustakaan dan berbincang soal pelajaran sebagai satu dakwah. Niatkan juga setiap kali kita komen dan muat naik status terbaru di Facebook sebagai satu usaha dakwah juga.

Apa-apa sahaja yang kita rasakan kecil, tapi sebenarnya ia membentuk yang besar. Sepertimana bilangan umat islam yang kecil pada mulanya, tapi akhirnya besar. Tapi ia bermula dengan kualiti. Jika kita mampu menjadi umat islam yang berkualiti, sekalipun amaun kita kecil, kita akan memberi influence yang besar kepada golongan yang ramai.

Tetapi jika bilangan kita ramai tetapi kita tiada kualiti, maka kita tak akan mampu mahu mencuit hati-hati mereka untuk datang kepada agama aman ini.

Maka bila kita sudah niatkan segala bentuk muamalat (urusan) kita dengan orang lain sebagai dakwah, maka janganlah kotorkan dakwah kita dengan hati yang bersangka buruk dan membenci.

Rasulullah ialah pendakwah yang optimistik. Seharusnya kita juga begitu. 

Please work hard because Allah want to pay you with Jannah.
  


Kasihanlah pada mereka.

Kasihanlah pada mereka.

Satu perasaan yang telah pupus dalam diri kita, namanya kasihan. Kalau nak bercakap fasal perasaan, sebenarnya banyak sekali perasaan-perasaan kita yang tak sepatutnya ada tapi ada dan yang sepatutnya ada tapi tiada.

Bahasanya mudah. Rasulullah juga manusia seperti. Setiap manusia ada fitrah dan ada perasaan. Maka begitulah juga Rasulullah. Baginda ialah rahmatan lil a'lamin tapi adakah kita hanya boleh kata bahawa pada diri Rasulullah hanya ada kasih sayang semata-mata?

Adakah kita mahu samakan Nabi kita dengan Jesus yang disembah orang kristian kerana dalam bible, mereka mendakwa yang Jesus ialah Tuhan Cinta sebagaimana Jesus, apabila ditampar pipi kanan, dia akan memberi pipi kirinya pula ditampar.

Adakah Rasulullah manusia sebegitu? Yang hanya ada kasih sayang tapi tiada perasaan lain?

Tiada marah. Tiada geram. Tiada sedih. Tiada merintih.

Baginda bukan seperti itu. Baginda S.A.W yang saya kenal ialah manusia sempurna luar dan dalam. Sempurna emosi dan spiritualnya.

Maka Baginda ada marah tapi bukan marah seperti kita. Baginda cukup marah bila islam dicela dan dimaki. Kita teladani dan kita juga marah bila islam dicerca dan dimaki.

Baginda berkasih sayang kepada setiap makhluk. Kita teladani. Kita mengasihi ibubapa, guru-guru dan sahabat. Kita mengasihi binatang, persekitaran dan alam sekitar.

Baginda bersemangat. Kita teladani. Kita juga bersemangat dalam beribadah, bekerja dan bermuamalat.

Tapi satu yang kita jarang-jarang ada.

Rasulullah S.A.W pernah satu ketika, menangis apabila melihat jenazah seorang yahudi melintasi Baginda. Para sahabat lalu berkata, "Wahai Rasulullah, mengapa kamu menangis? Si mati itu ialah seorang Yahudi!"

Lalu baginda yang masih berjejeran air mata itu lalu bertanya, "Bukankah dia seorang manusia"

Rasulullah ialah seorang yang paling kasihan kepada orang lain, dan kita tidak meneladani sifat yang satu ini.

Kerana kalau betul kita kasihan kepada diri kita, mengapa kita buat dosa? Kalau betul kita kasihan dengan orang lain pula, kenapa kita biarkan mereka buat maksiat?

Kalau betul kita kasihan dengan sahabat kita yang bukan islam, kenapa sampai bertahun-tahun kita bersahabat bersama mereka sekali pun mulut kita tidak dibuka untuk menceritakan tentang islam yang sebenar kepada mereka?

Di mana sifat belas kasihan kita, wahai kaum muslimin?
 

Hukumlah dirimu sebelum Allah menghukummu

Hukumlah dirimu sebelum Allah menghukummu
Setiap manusia pasti akan melakukan kesalahan. Jika bukan hari ini, hari esok. Hakikatnya, manusia akan terus-terusan melakukan kesilapan. Kita bukan maksum. Kita tak kalis daripada silap. Bezanya, orang-orang yang beriman itu apabila dia melakukan kesilapan, maka dia sedar bahawa dia perlu menghukum dirinya sendiri.

Disebutkan dalam al-Quran pada beberapa tempat, antaranya dalam ayat 114 surah Hud,  firman Allah bahwa setiap kebaikan yang kita lakukan akan memadam dan menghapuskankan kejahatan kita tadi. Perkara yang sama juga ada disebutkan di dalam hadis Rasulullah S.A.W.

Di dalam subjek hati juga, para ulama tasawwuf menyatakan bahwa salah satu untuk kita kekal dalam ketaatan ialah dengan kita sendiri yang mengukum diri kita apabila kita melakukan dosa, sekalipun ia dosa yang kita tidak sengajakan.

Saya kenal dengan seorang brother, dan dia ialah seorang lelaki yang alim sekalipun bukan pelajar aliran agama. Dia bakal jurutera.

Dia ada satu sifat iaitu dia tak mahu ketinggalan dalam berbuat amal. Jadi apabila dia tak mampu buat amal, seperti tak mampu nak puasa sunat hari itu, maka dia sendiri akan cari siapa sahabatnya yang puasa sunat lalu dia pun belaja sahabat itu berbuka puasa.

Jika dia tak mampu untuk hadir ke satu majlis ilmu, maka dia akan sedaya upaya memberikan bantuan dari sudut kewangan atau logistik kepada orang-orang yang mahu menuntut ilmu tadi.

Saya tak tahulah jika contoh yang saya berikan tadi releven atau tidak tapi seharusnya inilah yang kita lakukan. Kalau ternyata kita berbuat dosa, maka kita perlu banyakkan istighfar. Jika hari ini istighfar kita cuma seratus kali sehari, maka pada hari-hari yang kita banyak terjebak dengan dosa, kita tingkatkan jadi 200. Lebih kurang begitulah.
Saya cuma ingat pesan khatib masa beliau berkhutbah, "Paksalah diri kamu untuk taat"

Lalu saya bertanya diri sendiri.

Jika bukan saya yang mengawal nafsu saya sendiri, maka siapa lagi?

Wallahua'lam. Kerana kita banyak dosa, maka kita perlu juga banyakkan amal ibadah. Mudah-mudahan amal soleh kita akan lebih berat timbangannya di neraca mizan satu masa nanti.

 
 
Allah, I need You!

:(

    

Forum Tekno-Da'ei #2

Forum Tekno-Da'ei #2
   
#Saya juga ditanya satu soalan yang besar.

Apakah faktor terbesar remaja mudah terjebak dengan benda negetif.

Ikutkan saya, saya rasa memang banyak faktor penyebabnya. Tapi soalan yang dituju kepada saya ialah 'yang terbesar' jadi pada saya, yang terbesar sekali ialah apabila kita hilang sifat ambil peduli.

Ini adalah intipati jawapan yang diberikan oleh mufti kerajaanTurki Uthmaniyah yang ke-22, Syeikh Muhammad Sa'dudin. Khalifah pada masa itu telah mengirimkan sepucuk surat kepada mufti, bertanyakan pendapat mufti berkenaan dengan kerosakan dan kejatuhan moral rakyat Turki saat itu. Lalu, sebagai balasan, Syeikh Muhammad Sa'dudin menulis satu ayat,

"Bukan urusan saya"

[kredit]
Apabila jawapan balas itu sampai kepada khalifah, khalifah berasa sangat marah. Apahal mufti nak main-main ni?

Lalu, dia memanggil Syeikh Muhammad Sa'dudin ke istana, lalu dia pun bertanya secara terus dan meminta penjelasan atas balasan surat yang padanya, kedengaran seperti biadab dan bermain-main. Lalu berkatalah Syeikh Muhammad Sa'dudin:

"Jika sekiranya setiap lapisan masyarakat, baik yang bekerja dengan kerajaan mahupun yang tidak, yang ada autoriti mahupun tidak, sudah mula berkata "Ini bukan urusan saya" apabila melihat masalah umat, maka itulah yang menjadi puncanya masalah-masalah ini menggila"

Itulah suasana kita hari ini. Ibubapa hanya peduli anaknya makan atau tidak, hanya bertanya cukup atau tidak duit belanja, tapi tidak peduli jauh sekali bertanya adakah anaknya buat amal soleh atau tidak.

Sahabat juga begitu. Hanya sibuk bertanya soal studi. Tapi bila melihat sahabatnya melangkah ke neraka, segera berkata, "Biarlah dia. Dia dah besar."

Ketua masyarakat bahkan sama. Hanya peduli tentang pencapaian. Hanya kisah tentang pengiktirafan. Terkejar-kejar pendapatan per kapita. Tergila-gilakan kuasa. Lalu, agama digadaikan. Tiada siapa mahu ambil peduli.

Dakwah, jalan yang dahulunya meriah dengan pemudanya yang ikhlas, kini sepi dan hanya dijunjung oleh jiwa-jiwa murni yang dipilih Ilahi.

NOVEL DAN BLOG.

Kemudian, saya ditanyakan tentang penulisan. Kenapa saya tulis blog? Kenapa saya karang novel?

Maka jawab saya, saya mahu berdakwah. Itu yang niatkan pada awalnya. Atas beberapa sebab:

1- menulis ialah salah satu uslub dakwah.

Ini dibuktikan dengan sirah yang sahih. Rasulullah S.A.W pernah mengutuskan lebih kurang 19 surat kepada ketua negara dan 26 surat kepada individu dan ketua kabilah.

Antaranya yang famous, ialah surat Baginda kepada Najashi, iaitu pemerintah Habsyah semasa hijrah pertama umat islam yang dipimpin oleh Jaafar Bin Abdul Mutalib. Raja Najashi yang saat itu beragama Nasrani, menangis dan beriman kepada Allah serta Nabi Muhammad, saat itu juga.

Contoh lain, surat Nabi kepada pemerintah Mesir yang raja Mesir saat itu membalas surat itu bersama-sama hadiah berupada seekor kuda perang dan seorang hamba wanita yang dimerdekakan oleh Rasulullah S.A.W sebelum dikahwini. Kita kenali Ummul Mukminun tersebut sebagai Mariah al-Qibti.

Kemudian, surat kepada Raja Parsi yang mana Raja Parsi mengoyak-ngoyak bahkan mencaci dan memaki Rasulullah S.A.W. Lantas, Rasulullah berdoa, "Semoga Allah mengoyak-ngoyak kerajaanmu".

Juga surat kepada Raja Rom yang pada mulanya berminat nak masuk islam, tapi selepas dihasut oleh menteri-menterinya, dia membatalkan hasrat untuk memeluk islam.

2- Kesan/pengaruh novel.

Saya melihat betapa besarnya kesan dan pengaruh novel dalam membentuk peribadi kita. Saya cukup berpegang dengan satu kata-kata, "You are what you read". Apa yang kita baca, itulah lambang dan cerminan kepada siapa diri kita sebenarnya.

Orang yang suka baca al-Quran, kita tahu, insya-Allah itu orang yang baik-baik. Tapi jika dia sering dan suka baca novel cintan berkarat, lalu bagaimana?

Inilah yang saya soalkan. Pernah saya lihat seorang junior saya, perempuan, membaca novel cinta yang tajuknya sahaja sudah mengambarkan isinya. Yang saya ingat, ada perkataan 'asmara'. Apa yang saya lihat, novel cinta sangat dominan walaupun sangat sedikit manfaatnya kepada jiwa terutama jiwa dan akal seorang anak muda.

Akhirnya apa yang berlaku, di usia hijau lagi mentah, sudah tergedik-gedik mahu disayangi. Mahu dicintai. Lantas, tanpa fikir panjang, terjebak dalam virus couple, sebelum advance ke satu tahap yang lebih kritikal, iaitu seks. Hasilnya, yang kita lihat hari inilah.

Kita boleh nampak di sana yang novel, majalah, atau apa-apa makalah, boleh menjadi satu peluru dalam ghazwul fikr (peperangan pemikiran). Faisal Tehrani sendiri menyebarkan ideologi dan perjuangan syiah beliau dalam novel-novel beliau. Irshad Mandji pun sama. Tak lupa, Salman Rushdi pun sama. Semua mereka cuba menyerang melalui tulisan.

Maka, saya melihat ada peluang dan ruang untuk saya membetulkan beberapa perkara dan nilai yang salah, melalui penulisan novel saya. Yang sudah membaca novel saya, tahulah. Yang belum membacanya, sampai ke hari ini pun masih akan mempunyai selaput persepsi yang entah apa-apa.

Facebook.

[kredit]
"Facebook ni Israel punya! Kenapa kau tak activate aje? Kata benci Israel, kenapa main Facebook lagi?"

Pernah bertemu kata-kata yang rendah IQ seperti di atas? Sebab tak puas hati dan ego, mereka mahu pukul sama rata.

Pada saya, hukum Facebook terletak pada individu. Sesiapa yang tidak berniat untuk menggunakan Facebook beliau untuk 3 perkara, maka dia perlu dan patut untuk deactivate akaun Facebook miliknya.

Pertama: Untuk tujuan ilmu. Menerima dan menyampaikan ilmu. Hari ini sudah ramai ustaz-ustazah dan ahli akademik yang memiliki akaun facebook masing-masing. Tiap kali mereka post sesuatu, yang mereka post ialah benda yang ada nilai. Maka, di sanalah wujud nilai ilmu di Facebook. Kita baca, kita dapat ilmu baharu. Kemudian, kita share pula dengan klik dan juga dengan amalan.

Kedua: Facebook untuk tujuan ukhuwwah. Ukhuwwah sesama jantina pastinya. Jika berlainan jantina, perlu berhati-hati. Moga tak melanggar disiplin yang syariat tetapkan.

Ketiga: Dakwah. Saya ada banyak pengalaman dakwah melalui Facebook. Antaranya, apabila saya memanfaatkan aplikasi 'send message' kepada seorang teman yang tak bersolat. Bukan apa. Nak menegur kesalahan, kita perlukan suasana yang kondusif. One on one, dan delivering method pun kena lembut dan hikmah. Saya tahu dalam kedua hal itu, saya kekurangan. Kami jarang dapat berjumpa. Apatah lagi untuk face to face, one on one dengannya. Saya juga meragui kemampuan saya untuk kekal tenang (kut-kut jika dia pula yang beremosi). Maka saya hantarkan message sahaja.

Mulakan dengan kata-kata baik. Puji dahulu. Katakan, "Aku tengok kau baik dalam bab sekian-sekian. Tapi, ada something wrong yang tak betul dan perlu diperbaiki. Sebagai kawan yang peduli dan sayangkan kau, aku rasa aku perlu tegur. Bukan untuk busybody tapi sebab kita ni kawan. Kawan perlu tolong kawan. This is what friendship means, kan? Aku sayang kau. Jadi aku paksa juga diri aku cakap, yang masalah kau begini-begini. Dan aku cadangkan begini-begini"

Ingat, rule of advice. Pertama, puji mad'u supaya dia merasa suka dan seronok. Ini akan membuatkan hatinya besar dan mudah mahu menerima nasihat. Kedua, nyatakan kesalahannya secara terus tetapi dengan bahasa yang mudah difahami dan jujur. Jangan kaitkan dengan isu lain. Contohnya, "Kau ni aku tengok suka baca Solusi, tapi tak solat pun", atau "Kau ni usrah dah pergi, tapi couple lagi". Jangan. Cakapkan sahaja, kau tak solat atau kau couple. Ketiga, berikan solusi atau jalan keluar kepadanya. Contohnya, "Kau tak solat sebab tak pandai ke? Kalau tak reti, aku boleh ajar. Kalau tak ada kain, aku boleh berikan kain aku. Kalau tak ada telekung, kau boleh pinjam aku punya". Jangan hanya tahu bongkar permasalahan tanpa tahu selesaikan masalah.

Di Facebook ni, berkawanlah dengan ramai jenis manusia. Kerana saya ingat ada hadis riwayat Imam Tarmizi, Rasulullah S.A.W bersabda: "Mukmin yang bergaul dengan orang dan sabar dengan karenah mereka adalah lebih baik daripada mukmin yang tidak bergaul dan tidak bersabar dengan karenah orang lain".

Juga hadis lain, satu pengiktirafan daripada Rasulullah S.A.W, "Manusia ini ibarat bahan galian. Yang terbaik di zaman jahiliyyah ialah yang terbaik selepas islam (diberikan hidayah)"

Bergaul dan berdakwahlah kepada semua orang. Jangan kecualikan sesiapa.

Mana datang ilham untuk menulis?

Pertama, ia kurnia daripada Allah. Kedua, secara individu, saya rasa idea itu melimpah apabila saya mampu menjaga mata. Novel pertama saya itupun, separuh darinya saya siapkan dalam tempoh satu minggu. Idea mencurah-curah tika itu kerana saya sedang berada di kampung. Tidak seperti di tempat saya belajar dan praktikal, di kampung tiada pramugari seksi. Tiada staf wanita yang berpakaian tak senonoh. Boleh saya katakan, memang terjaga tika itu.

Maka benarlah kata Ibn Qayyim, maksiat itu ada beberapa kesannya. Salah satunya ialah ia menghalang daripada pancaran ilmu dan menggelapkan hati.

Ketiga, perlu banyak sedekah. Memang susah nak cari rasional dan kaitan antara sedekah dengan idea. Tapi ada satu hadis, Rasulullah S.A.W menyuruh kita ubati penyakit kita dengan amalan bersedekah. Dan secara praktikalnya, memang saya rasa begitu. Saya bukanlah orang yang banyak bersedekah pun, tapi saya rasa dan saya alami kelapangan dalam pemikiran dalam bersedekah.

Keempat, niat yang ikhlas. Tak perlu saya jelaskan panjang lebar. Dan terakhir, kita perlu banyak bergaul dengan orang. Kerana, it's good to learn from our own mistake but it's best to learn from others mistake.

Belajar daripada pengalaman, tak kiralah pengalaman kita mahupun pengalaman orang. Kerana pengalaman ialah guru tanpa sekolah, pendidik tanpa bukunya.


#Wallahua'lam.

Terima kasih kepada teman-teman di Universiti Malaya yang sudi menjemput saya untuk mengisi satu kerusi, yang mana dapat saya simpulkan, bahwa saya benar-benar hadir ke sana atas kapasiti seorang penuntut. Masya-Allah, terlalu banyak ilmu yang saya timba daripada dua panel yang fasih dan mantap itu, Dr Shaikh Mohd Saifuddeen dan Ahmad Fedtri Yahya.

Saya akan teruskan belajar, insya-Allah :)