January 30, 2012

Perangai dan sifatnya.

salam...macam mana kita nak ubah perangai seseorang yang dah biasa buat perkara negatif seperti mencuri? adakah terdapat cara ubati penyakit ini dengan membawa orang tersebut kepada ustaz/ustazah?
Saya teringat pada suatu kisah di zaman Rasulullah tentang seorang wanita bangsawan daripada bani Makhzum yang suka mencuri. Panjang tangan, bak kata orang melayu. Beliau mencuri bukannya kerana miskin. Tidak. Beliau golongan bangsawan. Tapi beliau mencuri kerana sifatnya memang suka mencuri, lebih-lebih lagi di rumah orang yang miskin.

Lalu selepas beberapa kali ditangkap, Rasulullah memutuskan bahawa wanita itu perlu dipotong tangan (hukuman hudud). Tetapi, para sahabat kurang senang dengan keputusan Rasulullah. Kerana pada mereka, wanita itu ialah orang bangsawan!

Lalu mereka berbincang dan memerintahkan Usamah Bin Zaid untuk menegur Rasulullah. Mereka tak berani, jadi mereka suruh orang yang Rasulullah cinta (iaitu Usamah Bin Zaid) untuk memujuk Rasulullah agar wanita itu tidak dihukum.

Lalu, apa Rasulullah buat bila Usamah Bin Zaid cuba menasihati Baginda?

Baginda diam. Cuma mendengar. Tetapi wajah baginda merah padam, tanda marah. Selepas itu Baginda berdiri dan berkhutbah, “Wahai manusia sesungguhnya yang membinasakan orang-orang sebelum kamu adalah, apabila seorang bangsawan mencuri, mereka biarkan. Akan tetapi apabila seorang yang lemah mencuri, mereka jalankan hukuman kepadanya. Demi Dzat yang Muhammad berada dalam genggaman-Nya. Kalau seandainya Fatimah binti Muhammad mencuri. Niscaya aku akan memotong tangannya.”

Lalu, hukuman itu dijalankan kepada wanita bangsawan tadi. Wanita itu bertaubat, dan akhirnya berkahwin dengan seorang lelaki soleh.

Jadi, jawapan bagi permasalahan ini ialah hudud. Kalau dah suka sangat mencuri, memang sama jenis dengan wanita bangsawan Bani Makhzum tadi.

Tapi Malaysia tak buat hukum hudud. Jadi itulah sebabnya kenapa banyak sangat kes kecurian.

Lalu, untuk atasi masalah ini... kita boleh rujuk kepada satu lagi kisah yang tercatat dalam hadis sahih, tentang seorang lelaki yang membunuh 99 orang, tambah 1. Selepas berjaya menggenapkan angka pembunuhan kepada 100, dia bertemu dengan seorang alim lalu apa orang alim tu kata?

"Berhijrahlah ke kampung sebelah, kerana di sana, suasananya adalah lebih baik."

Jadi, bagi orang yang ada kegemaran mencuri itu, kadangkala dia jadi suka mencuri kerana faktor suasana. Jadi apa yang dia perlu buat ialah berpindah ke suasana yang sihat- hingga tak timbul dalam derianya, perasaan ingin mencuri lagi.

Pindah suasana ni boleh diterjemahkan dengan selalu mendampingi masjid, mendampingi majlis ilmu, mendampingi ulama, dan meminggirkan maksiat, perkara lagha (facebook), dan yang berlawanan dengan makruf tadi.

Wallahua'lam.
-------------------------------------------------------------
Salam. Apakah erti hidup pada saudara? manusia hidup dalam kitaran yg sama setiap hari... ibarat rutin yg tiada tujuan... pendapat?
Boleh tak kalau soalan ini saya jawab dengan satu video sahaja?

Secara ringkas, saya faham hidup ini ialah sebagai satu transit. Atau senang kata, persinggahan. Hidup ialah satu tempat untuk kita mencari bekal, untuk kita bawa bertemu Allah. Hidup ialah satu peluang yang once in a lifetime untuk kita mencari jalan untuk ke syurga.

Jika kita jalani hidup dengan perkara-perkara yang Allah suka, maka lepas mati nanti Allah akan sukakan kita dengan anugerah-Nya yang agung berupa syurga yang takkan sirna nikmatnya.

Sebaliknya hidup ini, jika kita jalani atau cemari dengan perkara-perkara yang Allah benci, maka lepas kita mati, Allah akan buatkan kita merasa benci kepada setiap kelalaian yang kita buat sepanjang kehidupan kita.

Kebetulan pula, siang tadi saya ada berkongsi satu status di Facebook-

"Allah suruh kita cari akhirat, tapi jangan lupakan dunia. Sebaliknya kita cari dunia, tapi tak lupakan akhirat bahkan kadang-kadang, cari dunia sampai lupa akhirat'.

Sebenarnya, itu ialah maksud kita hidup. Allah berfirman dalam ayat 77 surah al-Qasas. Hidup ini fungsinya ialah untuk menanam bekal bagi kehidupan akhirat.

Lalu orang tertanya-tanya. Kalau macam tu, maknanya kita kena habiskan masa di masjid sajalah? Dengan solat, dengan zikir, mengaji saja? Gitu?

Salah tu. Bagi orang yang tak faham definasi dunia, memang dia akan fikir macam tu. Definasi dunia ialah; Apa-apa sahaja yang tak membawa kepada keuntungan akhirat. Maka itu ialah dunia.

Maka, yang Allah suruh kejar, ialah akhirat. Jadi, kalau kita kerja doktor, kerja engineer, adakah ini bermakna kita ni lebih terkebelakang berbanding ustaz yang ceramahnya 'pom-pang' di surau dan masjid?

Belum tentu. Jika sekiranya kita jadi seperti ilmuan silam, yang menguasai ilmu dunia dan ilmu akhirat, maka kita sudah tentu lebih baik. Bukankah kata Rasulullah itu jelas; "Yang terbaik dalam kalangan kamu ialah yang paling banyak manfaatnya kepada orang lain."

Hey, kita kan ada dua tangan. Kenapa taknak pakai dua-dua tangan bila nak lawan dengan musuh?

Secara common, umat islam berlagak hebat... melawan orang kafir dengan satu tangan, yang akhirnya, kecundang. Satu tangan itu ialah ukhrawi, sedang satu tangan lagi ialah duniawi. Kalau semata-mata hebat ilmu agamanya, hebat akidahnya... mampukah kita menang dengan orang kafir?

Akidah ialah perisai kita yang paling ampuh. Sesiapa pun takkan mampu nak tewaskan kita jika kita punya akidah kukuh, tapi perlu ingat... jika tak menggunakan sebelah tangan lagi, iaitu dunia (teknologi), maka kita takkan mampu untuk menjadi khalifah!

Jadi, dah faham maksud sebenar cari akhirat dengan dunia?

Wallahu'alam.
----------------------------------------------
Assalamualaikum saudara iqbal. saya ada sorang kawan. Dia merupakan kawan baik saya.Pengetahuan agamanya mmg banyak tapi syg nya dia mengamalkan apa yg dia tau.. Dia tau solat,puasa tu wajib tapi dia tak buat :( saya sedih dan serba salah.what shud i do ?
Pertama sekali, bersyukurlah kerana anda hanya ada seorang kawan yang begitu sedangkan saya ada berpuluh-puluh orang kawan yang macam itu.

Kita lihat kepada puncanya.

Dia tahu tak?
Tahu.

Tapi dia tak amal! Ya. Dia tak beramal dengan apa yang dia tahu.

Jadi masalahnya ialah syahwat. Bukannya ilmu. Orang begitu, ada ilmu... tapi terkandas atau dikuasai oleh syahawatnya. Simptom-simptom ini semuanya ada pada orang Yahudi.

Allah kata, orang yahudi ini lebih mengenali Rasulullah S.A.W berbanding anak-anak mereka sendiri. Tapi, mereka tetap tak mahu beriman! Inilah dia golongan orang yang Allah murkai- orang yang gagal melawan syahawat sendiri! Bila bertembung antara kehendak Allah dengan kehendak sendiri, mereka mengutamakan kehendak diri sendiri berbanding kemahuan dan ketetapan Sang Maha Pencipta.

Jadi, untuk mengatasi masalah ini, perlu kepada mujahadah. Allah berfirman dalam ayat last surah al-Ankabut; "Siapa yang bersungguh-sungguh (berjihad) mencari keredhaan Kami, nescaya Kami akan tunjukkan kepadanya jalan-jalan Kami..."

Tengok baik-baik. Allah tak kata jalan (satu jalan) tetapi Allah kata jalan-jalan; memberi makna banyaknya jalan hidayah dan petunjuk daripada Allah sebenarnya!

Sebaliknya kita, sebagai orang luar daripada rohnya... kita hanya boleh memberi nasihat, mengajaknya untuk bermujahadah dan membimbingnya. Kita kena rayu mereka untuk memulakan langkah pertama dalam 'jihad' mencari hidayah, kerana janji Allah jelas... bila kita mulakan langkah pertama, Allah akan tunjukkan kita dimana kita patut meletakkan langkah kita yang kedua!

Jadi, nasihat saya (atau mungkin jawapan saya bagi soalan ini), kita perlu ajak dia untuk berfikir, bersungguh-sungguh, dan memberinya kesedaran tentang iman. Kerana ini masalah iman, bukan masalah ilmu lagi. Akhir sekali, kalau betul-betul sayangkan dia... terus dan tetaplah mendoakan dia!

Wallahua'lam.

January 26, 2012

Ayat keramat: Kami Memang Nak Nikah

Salam.Nak tanya, sejauh mana couple itu dibenarkan dengan modal ayat keramat “Kami memang niat nak nikah” .minta saudara beri penjelasan…
Sejauh mana? Saya pun tak pasti. Tapi sedikit yang boleh saya kongsi.
------------------------------
"Kawan aku bukan setakat dah kawin, dah cerai dah pun."

Saya tergamam. Usia baru 21 tahun, dah berkahwin dan sudah bercerai?

"Kenapa ya?", satu soalan yang kurang bijak terlontar secara tak sengaja.

Dia mengangkat bahu. Tak pasti.
------------------------------
Kahwin di usia yang masih hijau memang indah, asyik, hebat, meriah, mewah, agung... jika kita nilai dengan formula A+B= Aman Bahagia.

Adakah semudah itu, atau adakah sesempurna begitu? Atau adakah memang akan sifatnya begitu?

Tanyalah kepada orang yang dewasa, yang terlebih dahulu melewati fasa perkahwinan. Apa yang majoriti mereka akan kata?

"Perkahwinan itu indah pada awal-awalnya sahaja. Selepas satu atau dua tahun, ia sudah takkan indah seperti awalnya. Yang ada selepas itu ialah tanggungjawab."

Kita ambil kata kunci. Tanggungjawab.

Tanggungjawab suami kepada isteri, tanggungjawab isteri kepada suami, tanggungjawab pasangan kepada anak-anak, kepada keluarga kandung, kepada keluarga ipar, kepada adik-beradik, kepada kawan-kawan, kepada kerjaya, dan segala macam sisi lagi.

Kerana itu pentingnya memilih pasangan yang 'memahami'. Dan itu ialah rencah utama yang akan menentukan keberhasilan percampuran antara dua nurani- kefahaman.

Dan apakah dia bentuk kefahaman yang paling utama?

Agama.

Ya. Agama. Sebab itu Nabi pesan, cari pasangan yang punya nilai agama yang kukuh. Kerana mata kasar memandang cinta itu mengasyikkan, sedangkan dibelakang keasyikan cinta itu wujud nilai tanggungjawab.

Setakat mana hujah 'kami memang berniat nak kawin' boleh dipakai?

Bagi saya, jawapannya ialah 'setakat mana kefahaman islam kita.'

Kalau kita faham agama, pasti kita akan faham tuntutan perkahwinan- bagi melahirkan generasi yang soleh-solehah.
--------------------------------
Saya pernah ditelefon oleh seorang lelaki dari Yaman. Kita letak sahaja namanya sebagai Abu. Saya terkejut besar. Bagaimana saudara kita dari Yaman ini boleh dapat nombor telefon saya?

Tambah menghairankan, dia boleh cakap campur-campur; bahasa Malaysia dan bahasa inggeris.

"Sayalah lelaki yang Nasuha ceritakan kepada awak tu", katanya.

Terus saya teringat. Sebelum itu, saya pernah dihubungi oleh seorang kenalan lama, atau boleh juga saya katakan, kenalah jauh saya... Nasuha. Dan seperti tadi, Nasuha ialah nama samaran sahaja, yang saya petik daripada watak novel DYK.

Kata Nasuha, "Saya dengan Abu berhajat mahu bertunang, tapi saya tak mahu keluarga saya tahu."

Saya tergamam. Mahu bertunang, tapi tak mahu keluarga tahu pula?

"Apa maksud kamu dengan bertunang tu?", tanya saya semula.

Dia terdiam seketika, sebelum dengan ragu-ragu, dia menjawab. "Mungkin dengan cara buat janji."

"Janji nak kawin?"

"Erm"

"Berapa lama tu?"

Senyap. Tiada jawapan yang pasti.
------------------------------------------
Terburu-buru mahu berkahwin, itu mudharat. Bukankah dalam agama kita, ada satu kaedah feqah- 'Setiap yang baik pun, jika dikerjakan, mengundang mudharat, maka tak harus dikerjakan.'

Kalau nikah semata-mata nak elakkan daripada berlaku zina, tapi mudharat yang sama besar berlaku... seperti kegagalan mengurus diri, yang akhirnya menjerumuskan kepada kegagalan dalam pelajaran dan aspek kehidupan bersosial, maka apa guna pernikahan?

Sedangkan dalam situasi itu, yang utama untuk diambil ialah menjaga jarak.

Yang bahaya pada hubungan lelaki dan wanita (berpasangan) ialah jaraknya. Jika kita nak kata orang couple ni semua pembawa virus zina hati... maka tak couple pun terdorong kepada zina hati juga. Buka sahaja Facebook. Sudah ada macam-macam sajian mata yang membuatkan timbulnya kehendak kepada perzinaan. Mata sudah berzina. Buka pula televisyen- tonton filem Ombak Rindu (contohnya), maka bertambah-tambah keinginan itu.

Jadi, masalahnya bukan pada hubungan itu... tapi masalahnya ialah kepada individu itu sendiri. Yang paling penting ialah jarak. Selagi kita dengan mereka jauh, maka kita akan insya-Allah selamat. Sebab, benda-benda yang melalaikan dan mengajakkan kepada zina bukan hanya datang daripada gender yang berlainan, tapi dari semua segi.

Sebaliknya jika seorang lelaki atau wanita yang sudah ada pilihan hati, menggunakan masa lapangnya untuk usrah, dengar kuliah, baca buku agama, dan lain-lain... adakah dia akan terdorong juga kepada zina?

Cuba bandingkan dengan orang yang belum ada calon yang mahu dinikahinya, tapi masa lapangnya dilorongkan kepada mendengar muzik, menonton filem, facebook, blog, dan seumpanya... bukankah golongan kedua ini lebih lalai? Lebih rapat dengan dinding maksiat?
----------------
"Tapi zaman sekarang melalui telefon pun boleh berlaku seks!", tungkas seorang akhi.

Heh, jangan cakap telefon. Di tepi jalan nak ke masjid pun ada jalan-jalan yang boleh 'trigger' nafsu. Pakaian seksi. Cakap-cakap berbaur lucah. Pergaulan bebas. Hilangnya sifat malu. Dibudayakan sikap 'anak orang, lantaklah', semua itu menjerumus. Sama bahayanya itu.

Jadi, pada saya... hanya satu jawapannya. Setakat mana kita faham agama.

Jika sekarang anda couple, maka makin perlulah untuk anda dekatkan diri dengan majlis ilmu, dekat dengan halaqah, dan yang utamanya... dekat dengan Allah!

Kerana tiba masanya, perasaan yang Allah gelincirkan itu akan Allah tolong jagakan, supaya anda boleh fokus dalam membina peribadi muslim... sebelum anda melangkah ke fasa keluarga muslim.

Wallahua'lam. Ini cuma pendapat yang bernilai kurang dua sen daripada saya. Kerana ia hanya pendapat, maka jelas ia tak lari daripada keterangan hukum. Salah dan silap, saya minta anda tegur dengan cara berhikmah dan lemah lembut.

Kerana berakhlak ialah tuntutan, walaupun kepada Firaun, walaupun kepada Abu Jahal. Berakhlaklah... walaupun mungkin anda tak sependapat dengan saya dalam bab ini :)

    

January 24, 2012

Duhai hati, berturaplah!

Hati ialah subjek yang paling tersembunyi, paling misteri, juga paling berseni. Keberadaan hati pada jasad insani berupaya menelan gelapnya kabut-kabut kemaksiatan, juga mengemudi naluri kepada kejayaan. Tapi sedarkah kita, bahawa hati manusia ini sifatnya berbolak, dan berbalik?

Ya. Hati manusia memang cepat benar berubah. Sifatnya langsung tak lestari, kerana ia harus sentiasa mendakap hidayah untuk ia berfungsi.

Kerana sifatnya yang seperti cecair, yang berubah bentuk mengikut bentuk balang, hati manusia juga sering berubah... mengikuti suasana. Hati yang umpama cecair ini, kita tak mahu. Kerana, ia akan mengesakan Allah, bila suasananya begitu. Dan ia juga akan mengesakan dunia, menyembah makhluk, jika keadaan, juga suasananya menjerumuskannya kepada begitu.

Sedang hati yang kita impikan, bahkan setiap muslim impikan ialah hati yang seperti tak berubah-rubah bentuk, sifat, juga kecondongannya. Kita mahu hati kita sentiasa terarah kepada mengesakan Allah. Kita impikan perasaan kita untuk sentiasa mahu mendekati Allah, tapi adakah kita mampu?

Persoalannya sekarang, adakah kita punya kawalan atas kecenderungan hati kita?

Tiada. Yang kita ada hanyalah peluang untuk berusaha agar hati kita sentiasa melekat kepada prinsip ubudiyyah. Kita cuma ada peranan, ada kapasiti, dan ada autoriti untuk memastikan usaha yang semaksimum mungkin telah kita laksanakan dan paterikan kepada sebuah ketaatan.

Hanya itu.

Lalu, usah berhenti berusaha. Usah berhenti berdoa. Usah memperlahankan langkah.
Mudah-mudahan kita mampu mengenggam iman dalam kematian.

Kerana runsinglah pada sebuat perkataan Rasulullah, di zaman hujung, manusiawi akan rapuh. Pagi-pagi beriman, petang-petang akan tergelincir dalam kekufuran dan selut maksiat. Sedang petangnya beriman pula, paginya akan terjerumus ke lembah kufur dan selaput maksiat.

Moga kita tak lupa berharap, agar Allah matikan kita dalam pagi atau petang yang diri kita masih bersisa dengan iman.

Tapi yakinkah, iman kita diterima?

Atau, adakah cukup dengan kita solat, puasa, haji, zakat, dan beramal... lalu iman yang begitu Allah terima?

Jika ada runsing bermukim, itu tanda hati kita masih bersisa dengan nilai kehambaan. Oraklah persoalan ini dengan langkah pertama- belajar!
 

January 17, 2012

Iqbal, Bagaimana nak ikhlas?

"Iqbal, saya rasa susah sangat nak ikhlas. Tiap kali bayangan riak menerpa, saya akan beristigfar. Hmm... susahlah macam ni", keluhnya perlahan.

Ah, kasihannya!

Pertama sekali, saya nak menyatakan persetujuan saya akan kata-kata sahabat yang mengeluh tadi. Bersetuju bukan bermaksud saya  menyokong dia mengeluh, sebaliknya saya juga merasakan yang jika kita mahu ikhlas, ia adalah suatu yang susah. Bahkan sangat-sangat susah!

Tapi tak sukar untuk kita tahu kenapa ikhlas itu benda yang Allah jadikan sukar untuk kita raih.

Kita belek al-Quran, lalu pada ayat 39 dan 40, surah al-Hijr, kita akan bertemu dengan jawapannya.

Kata syaitan, "Sungguh aku akan sesatkan manusia semuanya, kecuali orang yang ikhlas."

Nampak kan?

Ikhlas bukan sahaja sukar kerana ia sumber kekuatan insan, tetapi ia juga sebenarnya ialah perisai ulung yang akan memisahkan kita dengan karat-karat dunia.

Kebetulan, saya pernah mendengar kuliah Ustaz Pahrol di radio IKIM. Kata beliau, sifat ikhlas itu ialah ibu ataupun kepala kepada sifat-sifat mulia yang lain. Orang yang memiliki keikhlasan, insya-Allah akan memiliki sifat baik yang lainnya.

Lalu, bagaimana mahu ikhlas?
Saya belum menjawabnya.

Begini. Setakat yang saya tahu, secara teori dan praktikalnya, ikhlas ini ialah umpama susu.

Bagaimana?

Rujuk surah An-Nahl ayat 66. Kata Allah, "...susu yang berasal di antara kotoran dan darah."

Maksudnya, orang yang memiliki ikhlas, sifatnya ialah tetap (constant) walau apapun yang berlaku disekelilingnya, atau walau apapun persekitarannya.

Umpama susu. Daripada lembu, ia mengeluarkan najis. Daripada lembu, ia mengeluarkan darah. Dan daripada lembu yang sama, ia mengeluarkan susu. Najis dan darah ialah kotor, tapi susu, murni.

Begitulah. Orang yang ikhlas, walau bagaimanapun persekitarannya, tak kiralah orang tengok atau orang tak tengok... sifatnya sama. Amalnya sama. Rajinnya sama. Kesungguhannya sama.

Tak adalah kalau depan orang, dia solat sunat lebih.
Atau tak adalah di belakang orang, dia tak solat sunat pula.

Kekal. Depan orang dia buat, di belakang orang pun tetap amal itu berjalan. Tak tambah, tak kurang. Inilah yang kita mahu tanamkan dalam roh sendiri.

Sebenarnya ada beberapa cara meraih ikhlas yang saya tahu;

1- Berbuat sesuatu dengan istiqomah. Memang pada fasa permulaan, kita akan rasa diri kita hebat, rasa lebih bagus dan rasa lebih baik daripada orang lain. Iyalah. Orang lain solat kat depan laptop, kita pula solat dibelakang imam. Kitalah hebat. Tapi masa itulah syaitan akan membisik, "Kau tu hebat! Ada kelasss!"

Atau, bertudung. Kerana kita bertudung, kita jeling orang sebelah, seorang wanita yang berambut perang. "Teruknya dia ni. Bilalah nak bertudung macam aku. Nampak baik sikit"

Jadi, masa itu kita kena banyak-banyak istighfar.

Ada orang, sebab dia rasa diri dia telah riak, dia pun berbisik kepada diri sendiri, "Lebih baik aku tak payah beramal. Kalau amal pun, riak saja. Bukannya dapat pahala."

Lalu, dia bertindak tekad. Meninggalkan amal.

Orang macam ni wajar kita pegang kepala dia, pulas sahaja. Sebab tanpa dia sedar, rupanya masa itu dia telah riak dengan riak yang dua atau tiga kali kuasa gandaan berbanding sebelumnya!

Riak campur bodoh.

Ubat kepada riak ialah ikhlas. Dan mahu dapatkan ikhlas, kita perlu dapatkan istiqomah.

Kalau sudah istiqomah, kita dengan sendirinya tak akan terfikir langsung akan apa pandangan orang. Sebaliknya, kita akan ingat apa pandangan Allah.

2- Tambahkan ilmu.

Tips ini hadir selepas saya membaca majalah i keluaran oktober 2011. Tajuk artikel itu, 'Hamzah bin Abdul Mutalib'. Apa kaitannya dengan ikhlas?

Macam Saidina Hamzah r.a, beliau mula-mula masuk islam bukannya kerana ikhlas. Beliau masuk islam kerana faktor kekeluargaan. Beliau bengang dengan tindakan Abu Jahal mencaci maki anak saudaranya, Muhammad Rasulullah (mari kita berselawat pada junjungan besar ar-Rasul) tapi akhirnya, dia benar-benar menyerah diri dalam agama ini.

Maknanya.... orang yang nak ikhlas, benda pertama dia perlu buat ialah 'buat amal itu!' Mungkin masa itu kita belum ikhlas sepenuhnya tapi pasti lama kelamaan, kita akan mampu ikhlas.

3- Betulkan niat.

Niat ialah mainan hati. Sebab itu kita perlu selalu berkomunikasi dengan nurani sendiri. Semadikan dalam-dalam, 'kerana Allah', di tiga situasi- sebelum beramal, semasa beramal, dan sesudah beramal.

Dan di setiap sela masa itu, kita perlu memperbanyakkan istighfar atas segala lintasan hati yang buruk-buruk, jika ia tercetus. Padamkan bara-bara riak dan ujub dengan sejuknya istighfar. Jangan sesekali biarkan diri anda terbuai-buai dengan mainan perasaan.

Akhir kata, saya sendiri tak pasti saya ikhlas atau tidak menulis saat ini. kerana ikhlas ialah kerja kita dan Allah. Hanya kita dan Allah yang tahu. Sebab itulah kita sebagai orang asing dalam roh seseorang itu tidak boleh sewenang-wenangnya berlagak konon-kononnya kita tahu apa yang sedang bermain dalam hati seseorang. Kita serahkan niat mereka kepada Allah.

Tapi yakinlah, 'siapa yang berhijrah dengan niat mahu mengahwini wanita yang dia sukai, maka hijrahnya ialah untuk wanita yang dia ingin nikahi itu.'

We are what we intend for.
     

January 15, 2012

Di laman nurani, rindu menjentik.

Saya melepaskan nafas berat bila pandangan mata terpatri pada kalendar. Benarlah, hidup ini dinamik. Ditinggalkan oleh tahun-tahun yang berlalu, rupanya sedikit sahaja membuatkan saya tersedar bahawa saya sedang bergerak ke hadapan. Ya. Sangat sedikit.

Tujuan artikel ini ditulis pertamanya adalah kerana saya rindukan 'mereka'. Mereka yang istimewa dalam kembara hidup saya di bumi Tuhan ini. Keduanya, saya juga menulis kerana mengharap ada yang sudi mengambil pengajaran. Belajarlah daripada kesusahan dan pengalaman orang lain, kerana dengan itu jalan yang sama dapat kita telusuri dengan lebih mudah walaupun lestari.
-----------------

Hidup saya indah kerana Allah telah sediakan orang-orang yang istimewa di keliling saya. Dari saya lahir, hingga saya dewasa begini, semua orang yang berada di sekeliling saya, ialah istimewa kepada saya. Cuma yang terlebih istimewa dan terlebih hebat duduknya dalam nurani saya ialah mereka- rakan-rakan saya di sekolah menengah dahulu.

Mereka istimewa kerana mereka mengenali saya daripada dua sisi. Sisi gelap, dan sisi cerah. Mereka kenal dua warna saya- putih dan hitam. Tidak seperti rakan-rakan di MAS saya yang mengenali sisi cerah dan putih saya sahaja.

LEOnairats...
Mereka tahu apa yang saya buat jika saya ke cyber cafe.
Mereka tahu apa yang saya main masa di depan skrin komputer.
Mereka tahu apa yang saya pakai masa bersuka tiap petang dahulu.
Mereka tahu dimana saya berada jika saya tiada di asrama.
Mereka tahu...

Banyak perkara.
Juga banyak aib saya.

Tapi ternyata saya tak pernah salah kerana mengatakan mereka istimewa, kerana tiada seorang pun yang terdetik untuk membongkar semula sisi buruk saya, selepas saya mengambil keputusan untuk berubah.

Teringat saya pada sebuah hadis tentang halawatul iman. Rasulullah ditanya, bagaimana mahu mendapatkan kemanisan iman. Ada tiga, salah satunya ialah 'benci untuk kembali kepada jahiliyyah selepas diberikan hidayah.'

Maka, artikel ini juga satu peringatan untuk saya. Saya ada sejarah kelam. Saya ada zaman jahiliyyah saya. Saya tak boleh ego. Bahkan saya tak boleh nak marah bila tengok orang buat jahat. Sebab saya pun jahat dahulu!

Dari dahulu saya asyik terfikir. Agaknya apa yang aku jadi sekarang kalau Allah tak tarik aku semula?

Mungkin masa itu saya akan jadi lelaki yang paling lalai di dunia ini. Yang akan membuang islam terus. Siapa tahu?

Kerana hidayah dan taufik, Allah yang beri. Sesuai dengan kehendak-Nya, sesuai dengan rahsia-Nya.

Alhamdulillah.

Benar. Berubah itu perkara yang sukar. Saya telah meniti jalan-jalan yang sukar itu. Tapi kini, selepas lama berada atas jalan ini, saya semakin sedar dan yakin bahawa yang lebih sukar daripada berubah ialah, konsisten dalam perubahan.

Betul! Nak istiqomah dalam kebaikan, dalam perubahan, dalam hijrah... ia adalah jutaan kali ganda lebih sukar.

Di dalam khutbah terakhir ar-Rasul, Baginda berwasiat agar kita semua berhati-hati dengan godaan syaitan. Kata ar-Rasul, syaitan dan iblis sudah berputus asa untuk menyesatkan kita dalam urusan-urusan yang besar. Maka, mereka akan menyesatkan kita dengan urusan-urusan yang kecil.

Lalu, daripada yang kecil, luka di hati merebak. Retak pada iman, melebar. Dan penyakit pada jiwa, membusuk.

Berhati-hatilah dengan perkara yang kecil. Ingat hukum fiqh- saddu zaraik; apa-apa yang berpotensi membawa kepada kerosakan, dosa, maksiat, maka ia adalah haram.

Mungkin kerana diri saya sudah hilang sensitiviti... hilang sifat hati-hati, maka kesedaran ini sudah rasa makin terjerat. Sekali lagi benarlah... nak konsisten dalam berubah itu adalah lebih susah.

Pun begitu, saya tetap yakin bahawa untuk melakukan perubahan, ia adalah suatu yang mahu atau tidak, perlu kita buat. Ia bukan pilihan, sebaliknya kemestian. Sebagaimana makhluk mesti bernafas untuk hidup, manusia juga perlu berubah untuk hidup. Hidup yang saya maksudkan ialah hidup dalam syurga, kerana kegagalan untuk berbuat demikian akan memberi ruang dan peluang kepada malaikat-malaikat yang bengis untuk melanyak kita dalam candu neraka.

Kerana itu, perubahan perlu dilakukan walaupun sedikit.

Jika tak mampu solat berjemaah- usah melambatkan solat.
Jika tak mampu mengaji- usah berhenti belajar agama.
Jika tak mampu berdakawah- usah berhenti menyediakan diri untuk didakwahkan.
Jika tak mampu berhenti maksiat- usah berhenti bertaubat.
Jika tak mampu mendatangi ketaatan- usah berhenti berdoa diberikan kekuatan.

Kita hidup di zaman kerosakan. Kerana yang rosak itu ialah iman sendiri, maka kita akan menilai benda akhirat sebagai benda yang terasing, yang lewah. Dan mungkin kerana itu juga, kita menerima nasihat ini sebagai benda yang tiada makna yang signifikan.

Terpulanglah...

Tapi artikel ini ditulis untuk menyeru kepada kalian yang membaca;

'Fafirru ilallah'- berlari pulang kepada Allah!

Kita dah cukup tua, cukup penat dan tenat untuk terus membuatkan Dia murka. Biar ada perubahan. Sedikit, tak banyak. Tak banyak, sedikit. Yang penting, kita perlu berubah. Sebelum Allah ubah status kita daripada bakal ahli syurga kepada bakal ahli azab.

Nauzubillah.

Mudah-mudahan saya kekal dalam perubahan. Kalian juga. Mudah-mudahan Allah himpunkan kita dalam syurga-Nya.

Aminn...
       

January 9, 2012

Halangan Untuk Jadi Baik.

Ini pertanyaannya.
Salam saudara... Saudara tau tak apa-apa ayat Al-Quran yang berkaitan dengan halangan tuk menjadi baik?
Kalau setakat mahu ayat al-Quran, kita boleh rujuk di beberapa tempat dalam al-Quran. Tapi yang popular dan sering kita dengar menerusi ceramah atau kuliah ustaz-ustaz, tak kiralah dari saluran manapun, ayat 14 daripada surah Ali-Imran sering diperdengarkan.

"Dijadikan terasa indah kepada manusia kecintaan terhadap apa-apa yang diingini berupa perempuan-perempuan, anak-anak, harta benda yang berlonggok berupa emas dan perak, kuda pilihan, haiwan ternakan, dan sawah ladang. Itulah kesenangan di dunia, dan disisi Allah-lah tempat kembali yang baik"

Dalam ayat tu kita dah nampak beberapa ujian kepada manusia. Pertama, wanita (ujian bagi lelaki) atau lelaki (ujian bagi wanita). Kedua, anak-anak. Ketiga, harta benda yang bermacam jenis.

Ada orang nak dekatkan diri dengan surau-masjid... dengan majlis ilmu... dengan ulama... tapi isteri mereka kata, "Abang tak payahlah keluar malam ni. Temanlah Mah (bukan nama sebenar) kat rumah. Mah takut bang."

Ada orang nak mendekatkan diri dengan surau-masjid, dengan majlis ilmu, dengan ulama... tapi anak-anaknya merengek, "Daddy... Daddy bila nak bawa kami pergi funfair lagi?"

Ada orang nak dekatkan diri dengan surau-masjid, dengan majlis taklim, dengan ulama... tapi kerana harta, langkahnya tercatu. "Aku sibuk sangat ni. Overtime sampai pukul lima pagi. Esok pukul lapan pagi pulak dah kena punch-card."

Selain itu, kita juga boleh rujuk ayat 24, surah At-Taubah.

"Katakanlah wahai Muhammad: 'Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, lebih kamu cintai daripada Allah dan RasulNya dan daripada berjihad untuk agama-Nya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusan-Nya (azab seksaNya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka)."

Dalam ayat ini pun Allah katakan bahawa penghalang kita itu utamanya datang daripada kaum keluarga dan harta benda kita. 

Realitinya memang begitu.

Nak buat maksiat, senang. Bahkan sangat mudah. Tak ada siapa nak bising. Tak ada siapa nak halang. Kadang-kadang siap diberikan layanan istimewa. Diberikan sokongan dan bantuan pula!

Tapi nak buat baik, habis semua orang nak bising. Semua orang pandang kita pelik semacam. 
 
Saudaraku kesemuanya. Mari kita sama-sama melihat kepada dua penghalang utama manusia untuk merangkak kearah kebaikan. 

Pertama, hawa nafsu.

Kedua, syubhah atau ragu-ragu.

Golongan yang mengikut hawa nafsu ini Allah rakamkan dalam surah al-Fatihah sebagai golongan yang dimurkai. Mereka ini ialah orang-orang Yahudi. Orang islam yang bermentaliti Yahudi ialah orang-orang yang tahu kebenaran, tahu tuntutan. Bahkan antara mereka ada juga yang alim tapi malangnya mereka tidak mampu untuk beramal. Kenapa?

Saya sering tertanya-tanya. Semua orang tahu solat berjemaah, pahalanya ialah 27 kali ganda berbanding dengan pahala solat sendirian. Sedangkan pahala yang 1 itu pun belum tentu dapat lagi! Tapi kenapa surau-masjid kita tak sepenuh kedai makan? atau stadium?
 

Ini bukan kerana mereka jahil, tapi kerana mereka punya hawa nafsu yang membelit seperti ular sawa. 
Tak mahu beramal. Tak mahu berakhlak. 
Kerana diri sukakan dunia. Hawa nafsulah tu!


Ini ialah rentetan daripada kesombongan, kezaliman dan juga banyaknya kita bermaksiat. Bukankah kerana banyak bermaksiat, hati akan jadi mati? Dan kalau hati sudah mati, pasti ia akan membusuk... bernanah serta berulat, lalu menimbulkan kesan yang buruk-buruk sahaja kepada alam keliling.


Maka, satu-satunya ubat bagi penyakit hawa nafsu ini ialah mujahadah. Bersungguh-sungguh lawan keinginan nafsu. Letak dalam otak, bahawa Allah sedang menilai kita dan akan memberikan kita jalan-jalan (bukan satu jalan sahaja) untuk mendapatkan redha-Nya.


Sebagaimana firman-Nya dalam ayat 69 pada surat al-Ankabut: "Dan orang-orang yang berjihad untuk mencari keredhaan Kami, nescaya Kami akan tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami. Dan sungguh, Allah beserta dengan orang-orang yang berbuat baik."

Jihad dalam ayat diaatas bukan bermakna perang kerana ayat peperangan turun selepas turunnya ayat itu. Maka jihad yang dimaksudkan itu ialah kita bersungguh-sungguh mencari jalan untuk pulang kepada-Nya.

Saya suka melantunkan ayat ini di dalam hati, 'Fafirru illallah'- Berlarilah kepada Allah! Kerana fitrah orang yang berlari ialah jasadnya akan sentiasa berada di hadapan. Ini bermakna orang yang berlari kepada redha-Nya ialah orang 'will never turn back to Jahiliyyah'.

Baiklah. Ringkasnya, begitu.

Kedua, yang menghalang manusia mendekati makruf ialah kerana syubhah- keraguan, syak, atau kejahilan.

Ini ialah orang kristian. Mereka Allah umpamakan sebagai golongan yang sesat, yang mana mereka tidak bertemu dengan jalan kebenaran. Mereka ialah orang yang terkeliru. Yang benar, mereka katakan sebagai salah tapi yang salah mereka anggap sebagai kebenaran sampaikan tahap mereka sanggup menyembah manusia!

Itulah dia ciri-ciri manusia yang jahil dan ragu-ragu.

Penawar bagi sakit ini cuma satu- menuntut ilmu. Jika kita sudah 'clear' tentang hakikat, insya-Allah kita akan lebih terdorong dan terlorong untuk beramal soleh, seterusnya menjadi hamba-Nya yang rabbani.

Sekadar itu sahaja. Pesan saya, jangan pernah berhenti daripada menanam cita-cita untuk menjadi orang yang lebih baik. Bukankah subuh ertinya peluang?

January 5, 2012

Antara Dua Jenis Baik

Hati saya tergerak untuk bercakap tentang perkara ini. Pertama, kerana sahabat alam maya saya bertanya. Kedua, sahabat alam realiti saya sendiri pernah bertanya. Dua benda yang sama, iaitu sebuah hakikat yang serupa.

Mereka bertanya,
Apa definisi 'orang baik'? contoh senang sebagai simulasi, "dia tak bertudung, tapi dia baik." "dia bukan islam, tapi dia baik." dan "dia orang dakwah tapi hati busuk." atau "dia ustaz tapi suka main mata dengan pelajar perempuan."
Saudariku,
Setiap manusia itu kan memang ada sisi baiknya dan sisi jeleknya. Tiada seorang pun yang hidupnya sempurna. Tiada seorang pun di atas alam ini kecuali Rasulullah, yang diri mereka sentiasa dalam kebaikan sahaja. Tiada. Setiap iman ada pasang surut, ada naik jatuhnya.

Saya tak nafikan. Ada manusia yang soleh dengan Allah, tapi tak soleh dengan masyarakat. Ada juga manusia yang soleh dengan masyarakat tapi tidak dengan Allah. Bahkan sekarang pun wujud satu lagi jenis manusia, iaitu yang soleh di laman Facebook tapi tak soleh di alam sebenar.

Ironis bukan?
Tapi itu realiti. Itu kebenarannya.

Maka, islam sudah awal-awal lagi menyatakan bahawa setiap yang bergelar muslim wajib menjaga dua hubungan ini iaitu hubungan dengan Allah (hablumminallah) dan yang keduanya pula- hubungan dengan sesama manusia (hablumminannas).

Ada disebut dalam ayat 112 surah Ali-Imran.

Saya rasa saya pernah cakap tentang ini. Tak apa. Kita ulang. Kita refresh semula.
Hubungan hamba dengan Tuhan seharusnya seperti labah-labah yang melekat dengan sarangnya.
Kalau orang tu baik dengan manusia, dia akan disenangi dan disayangi manusia.
Kalau orang tu baik dengan Allah, dia akan disenangi dan disayangi Allah.

Kena faham betul-betul. Ada orang mengeluh dekat saya. Kata kawan sebilik dia yang solat tak tinggal, rajin ke majlis ilmu, tak pakai boxer dalam rumah... bla..bla..bla... tapi bila makan, tak basuh. Malas nak masaklah. Malas kemas rumahlah. Selekehlah. Kotorlah. bla...bla..bla...

Tu maknanya kita tak faham. Dia pun tak faham. Sama-sama tak faham.

Bukankah Nabi kata, orang yang paling baik antara kita ini ialah orang yang paling bermanfaat kepada orang lain? Dan bukankah Nabi kata orang islam yang paling utama ialah bila orang lain terselamat daripada lisannya, juga tangannya (perbuatannya).

Kalau setakat solat, semua orang solat. Kalau setakat pergi majlis ilmu, orang lain pun duduk majlis ilmu. Tapi orang lain istimewa di sisi Allah kerana dia memberi manfaat kepada orang lain. Makna... dia memudahkan orang lain.

Saya nak kongsi sedikit cerita tentang Nabi Sulaiman yang bertemu dengan semut-semut. Apa yang Allah rakamkan? Kita rujuk firman-Nya dalam surah An-Naml ayat 18, "Hinggalah mereka sampai ke lembah semut, berkatalah seekor semut, 'Wahai semut-semut! Masuklah kamu ke dalam sarang-sarangmu, agar kamu tidak dipijak oleh Sulaiman dan bala tenteranya, sedangkan mereka tidak menyedari."

Kita yang jarang-jarang baca al-Quran, mesti akan faham yang Allah nak cerita hikayat Nabi Sulaiman dan semut. Kan? Padahal Allah nak cerita suatu yang jauh lebih besar, jauh lebih hebat, jauh lebih bernilai daripada sekadar satu hikayat atau cerita yang meniti dari bibir si ibu saat mendodoikan anak.

Allah sebenarnya sangat suka akan apa yang dibuat oleh semut-semut ini, sampaikan perbuatan semut tadi dia rakam untuk kita tatap dan hayati.

Apa pengajarannya?

Pengajarannya mudah. Allah nak kita hidup macam semut tu- hidup yang memikirkan orang lain, bukan hanya memikirkan diri sendiri sahaja. Semut itu tak amalkan corak kehidupan, 'asal aku senang, orang lain aku peduli apa'. Tidak! Sifat dan semangat semut yang Allah suruh kita contohi ialah 'kalau benda ini buruk, dan aku pun tak mahu, maka aku juga tak mahu orang lain terima benda buruk itu juga.'

Jangan ingat hidup ini cuma soal aku solat, aku puasa sahaja. Hidup ini ialah soal aku, engkau, dan mereka. Benda inilah yang kita panggil adab atau akhlak. Dan tak ingat ke yang Rasulullah S.A.W pernah kata; perkara yang paling besar yang membawa manusia kepada syurga-Nya ialah akhlak yang baik!

Benda bab akhlak ni penting sangat. Kalau kita solat tunggang terbalik pun, kalau masuk bab mengata orang... mengumpat... khianat.... kita fail, maka apa lagi yang tinggal?

Takkan nak saya ingatkan semula cerita tentang orang muflis di akhirat? Mereka itu orang yang banyak amal, banyak pahala tapi sebab akhlak buruk, selalu menzalimi dan menyakiti orang... semua pahala dia dikebas. Pulak tu, dosa orang pula 'didermakan' kepada dia.

Kesimpulan saya begini.
Jadilah soleh dalam dua-dua aspek.

Sebab kadang-kadang tu, orang kafir pun lebih baik daripada kita. Dia derma bukan main banyak. Dia tolong kita. Dia senyum dekat kita. Dia melawat kita. Dan macam-macam.

Saya teringat syarah kitab Syahrur al-sudur karangan Imam As-Suyuti. Dalam tu pengarang kitab ada  menyelitkan beberapa hadis yang menceritakan tentang perihal ini. Antara yang saya masih segar dalam kotak ingatan saya ialah pemberitahuan ar-Rasul tentang kematian.

Orang yang kafir pun kalau dia jenis banyak kebaikan, Allah akan berikan dia kematian yang mudah. Yang tidak menyakitkan agar nanti, dia sudah tak ada point nak argue dengan Allah bila nanti dia dimasukkan ke dalam neraka. Allah dah balas kebaikan dia dekat dunia ni dengan berikan dia harta banyak, anak ramai, kesihatan, dan kalau ada lagi tersisa kebaikan dia... Allah berikan dengan cara memberinya kematian yang mudah. Tapi last-last tetap akan ke neraka juga kerana syirik.

Itu bab orang kafir yang baik.

Tapi kita ni, sudahlah Allah suruh baik dengan alam, Rasul pun perintah kita berbaik-baik dengan persekitaran kita... tapi kita suka-suka sahaja nak jalani hidup dengan cara kita sendiri!

Jangan ingat amal-amal kita itu diterima Allah. Belum tentu lagi.
Tapi akhlak yang baik kepada orang lain, itu insyaAllah tinggi nilainya.

Lepas ni saya harap tak timbul lagi isu dai'e perangai buruk. Okey?
:)

                                       

January 2, 2012

"Aku panas! Panas!"

Bila dah terlalu lama tak menulis, nak melakar satu ayat pun dah jadi sukar. Terasa perlu bergelut dengan kemalasan. Terasa juga seperti sedang dipeluk kebuntuan. Tapi hati pula rasa menjerit mahu berkata-kata. Jadi jemari ini, terpaksa juga menari pada padang pena yang bisu ini.

Saya ditanya seseorang: "Saya nak berubah, nak pakai tudung labuh. Tapi saya takut. Macam mana nak tetapkan hati?"

Jangan tanya saya siapa yang tanya. Saya sendiri tak kenal kerana dia berselindung di balik nama anonymous. Tapi kalau dah namanya 'nak pakai tudung labuh' jelaslah yang bertanya itu perempuan.

Benda yang sama pernah berlaku kepada saya, masa saya mula-mula diminta untuk membimbing adik-adik. Saya mengeluh kepada murabbi saya, "Ana takut ana tak mampu. Ana takut riak dan ujub. Ana takut berlaku zalim pula."

Dia senyum-senyum sahaja. "Anta ni bangang ke apa?"

Oh. gurau. Dia tak cakap macam tu pun.

Tapi dia kata, "Sejak bila ubat kepada riak dan ujub ialah meninggalkan amalan? Kan Imam Ghazali dah kata, kalau kita meninggalkan ketaatan atas sebab takutkan riak, ujub, sum'ah dan yang sama erti dengannya, maka tindakan meninggalkan itulah riak dan takabbur yang paling besar sekali."

Apa kita ingat dengan cara kita meninggalkan ketaatan, kita meninggalkan kewajipan, atau kita bakul sampahkan kehambaan kepada-Nya, kita akan jadi lebih mulia? Jadi lebih sukses? Jadi lebih 'syuga' berbanding orang yang ambil amanah itu?

Benda ini banyak berlaku kepada kawan-kawan saya.

"Aku bukannya taknak pergi surau, tapi aku malulah."

"Aku bukannya takmahu pergi kuliah agama tu, tapi aku ni bukannya baik."

"Aku bukannya tak teringin nak masuk usrah, tapi aku ni bukannya bagus."

Ha. Baguslah kalau dalam diri timbul rasa begitu. Maknanya Allah sedang turunkan hidayahnya. Hidayah itu berlegar-legar di keliling panca indera kita, menggesel-gesel pada kulit tubuh kita. Tapi kita buta sangat kut, hinggakan kita biarkan sahaja ia berlalu tanpa kita ambil.

Atas kesempatan ini, saya cuma nak tekankan suatu perkara sahaja- Kalau rasa diri tu tak baik, kita tak akan jadi bertambah baik dengan berkata, "Aku ni jahat."

Beritahulah satu dunia pun,
Berucaplah depan seluruh alam pun,
Atau menjeritlah sampai seluruh flat dengar pun,

Adakah itu akan menjadikan kita lebih bahagia, lebih mulia, lebih ceria?
Adakah itu akan menjadikan kita lebih dekat dengan Allah?

Cuba fikir. Kita panas. Kononnya baju kita disambar api. Kita terjerit terlolong, "Panas! Panas!" lepas tu ada orang dengar dan nampak. Dia nak tolong kita. Dia sudah ambil air satu baldi besar nak siram bagi api tu padam. Tapi kita pula lari. "Tak nak! Taknak!", kita mengelak. Lepas tu kita jerit semula. "Aku panas! Panas! Api! Api!"

Lepas tu apa jadi?
Hangit.

Samalah macam kita. Kita tahu kita tak baik. Kita tahu kita tak soleh. Kita tahu kita tak solehah. Adakah dengan kita beritahu orang kita jahat bla... bla... bla.. tu, kita akan jadi lebih baik?

Begitu juga dengan sahabat yang nak pakai tudung labuh tu. Usahakanlah. Hidayah dah ada. Cuma mungkin taufiknya (kekuatan) sahaja belum kunjung. Maka, berhijrahlah. Cari suasana yang lebih kurang pencemaran iman. Cari atmosfera yang kurang toksin jahiliyyah. Cari langit yang kurang tercemar.

Maksud saya, carilah kawan-kawan yang baik, yang boleh lebih membantu.

Dan jangan lupa, doa banyak-banyak.

Seperkara, tudung labuh bukan dipakai untuk suka-suka. Sebaliknya sekali ia disarung, anda sebenarnya sedang menyarung tag ghaib, "Aku nak jadi lebih baik."

Jadi kalau masa dibungkus tudung labuh pun perangai sama sahaja dengan sebelumnya, maka saya rasa baik kita ubah aspek lain dahulu seperti cara bergaul lelaki-perempuan bukan mahram.

Ini pendapat saya. Pendapat orang lain, saya pun tak mampu jangka.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails