June 8, 2012

Nota Kuliah dan Khutbah (8 Jun 2012)

Penceramah: Ustaz Fakhrul Razi. (Tak pasti sangat betul ke namanya begitu)
Lokasi: Masjid Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah.


1- Kewajipan menegakkan semua hukum Allah.

Allah tak akan tanya tentang kejayaan kita, sebaliknya Allah hanya akan menyoal kita; adakah kita ada berusaha untuk menegakkan hukum Allah? Padahal, hukum Allah ialah hukum yang tertinggi!

Untuk ini, kebanyakan manusia suka untuk bersikap lepas tangan. Mereka bukannya menolak pun, tetapi mereka lebih bersikap statik. Tidak mahu berusaha, sebaliknya mengambil keputusan tunggu dan lihat.

Orang begini mewarisi sifat ragu-ragu orang munafik. Mereka memerhati dengan penuh konsentrasi sambil seluruh isi hatinya mencongak; apa manfaatnya untuk aku?

Orang yang tiada prinsip dalam beragama, maka dia sangat condong kepada api neraka. Ini adalah kerana manusia yang tiada prinsip yang jelas, mereka akan melakukan sesuatu dengan maksud mahu mengaut keuntungan duniawi semata-mata. Apa yang baik pada kaca mata nafsu, maka itulah yang diterimanya. Hukum Allah yang melanggar kehendak nafsu dan kepentingan dunianya, maka dengan halus mahupun dengan berkeras, dia akan menolak dan terus menolak. Walaupun bibir melantunkan bibit-bibit perjuangan! Kononnyalah! huh.

Maka, kita semua ada tanggungjawab untuk menegakkan semua hukum Allah, baik dalam muamalat, munakahat, dan juga jinayat. Yang Allah kata haram, suka atau tidak suka, kita perlu haramkan. Yang Allah katakan wajib, suka atau paksa, kita berkewajipan melaksanakannya.

2- Orang munafik.

Orang munafik ialah golongan kafir yang paling besar azabnya nanti. Mereka musuh, tetapi di dalam kelubung. Mereka musang, tapi berbulu ayam. Di balik banyaknya ibadah, tersembunyi agenda yang jelek.

Kepala atau tokohnya ialah Abdullah Bin Ubay. Di zamannya, dialah orang yang selalu solat betul-betul di belakang nabi. Dia duduk di dalam majlis-majlis ilmu. Saling bersentuh lutut lagi. Tapi apa yang berlaku, dialah yang menjadi ejen perosak kesatuan. Dialah yang membisikkan fitnah dengan sangat cilik sekali. Jasad Abdullah Bin Ubay kini sudah reput. Mungkin juga saat ini, dia sedang meraung-raung bersama teman-teman karibnya di dalam kubur. Tapi matinya seorang tokoh munafik, tidak pula menghapuskan sifat munafik.

Sifat munafik terus wujud dan akan wujud sampai bila-bila. Kerana ia adalah sifat yang termuntah dari sisi hati manusia yang kotor!

Hati-hatilah dengan sifat munafik ini. Dalam hadis, banyak kali Rasulullah menceritakan tentang sifat munafikin ini. Antaranya, (1)- apabila berjanji, dia memungkiri. (2)- apabila diberi amanah, dia curang. (3)- apabila berkata-kata, dia berbohong.

Nota: kalau kita rujuk satu hadis sebagaimana diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Rasulullah menambah dengan yang keempat, bila bertengkar, dia mengenepikan kebenaran.

Jika diperhati, kesemua sifat itu sangat dekat dengan seorang pemimpin atau ketua. Bila disebut pemimpin, jangan kita terus mahu memandang keatas. Jangan hanya tahu melihat kesalahan orang lain. Lihat dahulu diri kita.

Kita sendiri ialah pemimpin. Pertama, sudah tentulah kepada diri kita sendiri. Selepas itu, pemimpin kepada keluarga kita. Bila dikatakan begitu, maknanya kita punya amanah yang wajib kita tunaikan.

Antara amanah yang telah kita lacurkan kerana kelalaian kita ialah amanah untuk menyelamatkan diri kita dan ahli keluarga kita daripada api neraka. Ini amanah yang paling utama untuk seorang ketua keluarga, khususnya. Seorang bapa, sanggup bekerja 25 jam sehari (ekstra 1 jam kerana tekun gila) semata-mata mahu menyuap anak isteri yang berlapar di rumah. Tetapi bagaimana dengan kebajikan emosi, kebajikan ilmu, dan kebajikan agama mereka?

Siapa ingat mudah nak jadi suami? Siapa ingat mudah nak jadi bapa? Sangat dekat dengan kemunafikan, orang-orang yang curang di dalam melaksanakan amanah. Begitulah juga dengan janji-janji yang kita tanamkan di tepi bibir kita.

Heh, manusia... bila berjanji dengan Allah pun dia sanggup tipu, apakah kita boleh percaya dengan orang-orang fasik yang datang menabur janji menjelang pilihan raya nanti?

Fikir sendirilah.
Kerana kita akan menjadi bermasalah jika kita menaikkan orang fasik dan munafik sebagai ketua kita, dengan kita mengenepikan orang ikhlas yang memperjuangkan agama Allah.

Masalah besar!

3- Kejahilan.

Ramai antara kita yang jahil. Sangat ramai. Jangan ingat subjek pendidikan islam yang kita dapat A+ masa peperiksaan dahulu sudah memerdekakan kita daripada kewajipan menuntut ilmu. Jangan fikir begitu. Sekarang kita dah ada macam-macam teknologi. Tak sempat dengar kuliah di masjid surau, dengar sahajalah di Youtube. Tak mampu nak baca kitab-kitab ulama muktabar yang 'besar-besar', maka bacalah majalah-majalah islam. Tak faham juga, boleh baca novel islam. Banyak sangat alternatif. Variasi. Cuma kita sahaja yang mahu atau tidak. Sombong!

4- Dakwah dengan harta.

Ada orang yang bekerja. 8 pagi dia keluar rumah, menjelang isyak baru dia sampai ke rumahnya semula. Seketika bersama anak isteri, bilik tidur memanggilnya. Mana ada masa nak pergi berjumpa orang-orang yang bermasalah dan bermaksiat, untuk berdakwah. Lagi-lagi, orang yang duduk di ceruk-ceruk belantara.

Maka, orang begini boleh berdakwah dengan cara menyalurkan bantuan kewangan. Memberi biayaan kepada kerja islam, melayakkan seseorang untuk sama mendapat habuan daripada gerak kerja islam itu. Walaupun bukan dia yang berceramah. Walaupun bukan dia yang menyantuni orang asli dan orang bukan islam. Walaupun bukan dia yang memujuk remaja-remaja lepak ke majlis ilmu. Tapi jika pendakwah-pendakwah itu bergerak melalui wang sumbangannya, maka dia juga dikira sebagai 'bergerak'.

Cuma, ini tidak membuatkan kewajipannya mencegah kemungkaran lupus. Dia tetap wajib cegah maksiat depan matanya, walaupun dengan cara yang paling rapuh; mendoakan hidayah buatnya!


June 6, 2012

Kuliah maghrib 6 Jun 2012.

Saya makhluk yang pelupa. Nenek moyang saya, semuanya ada penyakit pelupa. Tulang bangsa saya, bahkan payung negara saya juga ada penyakit lupa. Semua yang bergelar manusia ada penyakit ini. Bezanya, ada yang lupa banyak perkara dan ada juga yang lupa dengan kadar sedikit cuma.

Ada yang lupa benda yang penting dan ada juga yang melupakan benda-benda yang kecil-kecil. Melupakan perkara sampingan yang tiada nilai yang penting, bukan masalah. Bahkan, bukan suatu yang patut dirunsing. Tetapi jika melupakan benda yang besar-besar dan bernilai... Ah! Itu memang suatu yang tidak wajar.

Salah satu benda yang bernilai, yang besar, ialah ilmu. Ilmu diumpamakan seperti binatang buas. Maka, kita perlu menjaganya dengan memagarnya agar nanti dia tidak lari. Cara memagarnya pula pelbagai. Antaranya ialah aplikasikan ilmu dan juga mencatatnya.

Saya mahu gunakan dua metode ini. Maka, saya mengambil keputusan untuk menulis kembali siri kuliah yang baru saya dengar. Saya mulakan dengan artikel ini. Mudah-mudahan, Allah suka perbuatan saya lalu memberi saya kemudahan untuk beramal dan menjana pahala akhirat.

Kuliah Maghrib, 6 Jun 2012. Penceramah ialah Ustaz Ismail, dengan kitab rujukannya ialah kitab La Tahzan.

1- Iman itu ialah perasaan.

Perasaan ialah emosi. Ia gabungan tarian jiwa yang warna-warninya ialah marah, sayang, suka, benci, gembira, sedih, takut, harap, dan lain-lain. Semuanya berpintukan hati. Daripada hati, emosi itu keluar dan daripada perbuatan, emosi itu diwajahkan.

Orang yang beriman wajib memeliki perasaan. Yang dimaksudkan di sini ialah perasaan dalam beragama; iaitu bagaimana dia mengeksperiskan emosi di dalam situasi.

Apabila melihat maksiat, bagaimana imannya bersaksi? Adakah iman akan tersenyum pada maksiat yang menyapa jaganya, atau adakah iman akan sedih?

Bila agama dihina, bagaimana pula perasaannya? Marah atau ceria?

Apabila beribadah (taat kepada Allah), perasaannya bagaimana pula? Gembira atau lemah?

Orang yang beriman mempunyai kosmetik islam pada wajahnya. Tindak tanduknya dihiasi perasaan yang dicetus iman, bukan nafsunya. Dia menyukai ketaatan tapi membenci kemaksiatan. Dia membenci kekufuran tetapi mempunyai belas kasihan kepada orang yang kufur itu. Dan begitulah seterusnya.

Makanya, apabila hati tidak memberi respon yang sepatutnya kepada taat dan maksiat, maka itu tanda iman yang seharusnya sihat, lemah tak bermaya. Atau tidak pun, mati!

2- Jenis-jenis harta.

Harta manusia ada 3 jenis. (1)- Harta mutlak milik kita. (2)- Harta orang lain di bawah jagaan kita . (3)- Harta mutlak orang lain.

Harta milik kita ialah harta yang mengeluarkan olehnya, amal soleh. Kita sedekah. Atau kita membeli barang-barang yang membawa kita kepada mendekati Allah, maka pada mata kasar kita, harta itu habis. Harta itu berkurang. Tapi hakikatnya, itulah harta-harta yang disimpan oleh Allah dalam bank akhirat. Ia adalah satu-satunya pelaburan kita, yang akan kita gunakan untuk kehidupan selepas mati kita. Jika sedekah kita banyak, maka banyaklah simpanan kita selepas mati nanti. Begitulah pula sebaliknya.

Harta orang di bawah jagaan kita pula ialah harta yang kita ada sekarang, tapi ia tidak dibawa masuk ke dalam liang lahad. Contohnya banyak sekali. Kereta kita, tanah ladang kita, rumah sewa kita, komputer riba kita, i-pad, i-phone, Galaxy Note, Tab, ah... semua itu akan menjadi milik orang lain selepas kita mati. Kadang-kadang, jadi milik isteri kita. Kadang-kadang, anak beranak kita. Dan kadang-kadang, kawan kita pula boleh dapat (pandai kelentong, dapatlah).

Jadi, ia adalah ujian kita yang besar. Bukan hanya kerana semua ini sudah jadi tidak berguna selepas kita mati, kita bahkan akan dihisab (dipersoalkan) oleh Allah dengan semua benda-benda ini!

Harta kita yang mutlak milik orang lain pula ialah harta-harta seperti zakat. Nak tak nak, memang kena keluarkan. Selain itu, nafkah zahir juga ialah harta milik orang. Wajib bagi kepada orang di bawah tanggungan kita. Orang putih kata, by hook or by crook. Hukumnya wajib.

3- Syarat utama untuk Allah redha.


Subhanallah. Lama saya termenung di depan wajah komputer. Terlupa tentang pengajaran ketiga, tapi kerana Allah Maha Baik, Dia izinkan saya untuk terus ingat. Maka, pengajaran ketiga daripada kuliah tadi ialah syarat untuk meraih redha Allah, ialah dengan kita wajib untuk redha dengan hukum-hukum Allah dahulu.

Jika kita tak redha dengan Allah, maka jangan mimpi Allah nak redha orang bangang macam kita.

Hukum-hukum (nota: hukum bermaksud ketetapan) Allah ada dua jenis. Pertama, hukum alam. Yang ini namanya fitrah, yang tidak boleh (dan jangan) ditukar atau diubah. Contohnya, siang dan malam. Kita tak boleh tarik matahari apabila siang sebagaimana kita juga tak boleh mengeluarkan matahari apabila hari sudah malam. Selain itu, ketetapan jantina juga termasuk dalam fitrah. Yang dilahirkan sebagai lelaki, haram menjadi maknyah. Yang lahir perempuan, haram menjadi penkid atau tomboy. Itu ketetapan yang sudah ditetapkan dan tidak boleh diubah lagi. Orang yang cuba nak ubah apa-apa yang telah Allah jadikan, ialah orang yang tidak redha kepada Allah!

(perbahasannya panjang. Jangan faham secara literal. Takut nanti ada orang yang tak mahu berubat kerana alasan 'Aku redha dengan ketumbuhan ini. Dah Allah nak jadikan, biarlah'. Jangan jadi literalis!)

Hukum kedua ialah hukum syariat. Yang ini banyak orang gagal. Syariat Allah ialah apa yang dibawa dan dikendong oleh Rasulullah S.A.W. Syariat ialah delegasi wahyu. Apa yang ada dalam al-Quran dan Hadis, itulah dia namanya syariat. Ia meliputi segenap aspek kehidupan kita dari segi cara kita berpakaian, cara bergaul, bercakap, bekerja, makan minum, beristeri, berkeluarga, ber....macam-macam lagi ber. Orang yang tidak ikut syariat ialah orang yang tidak redha kepada Allah. Dan orang ini ialah orang yang Allah tak akan redha.

Moga Allah redha kita semua. Saya dan kalian yang membaca.

June 2, 2012

Mukaddimah (Untuk buku motivasi pertama saya)


Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.

Alhamdulillah. Pertama sekali, dan berkali-kalinya, saya lafazkan rasa syukur dan terima kasih kepada Allah kerana dengan susun atur rencana-Nya yang Maha Cantik,  jari jemari saya mampu menari di atas papan kekunci komputer saya, menulis sedikit sebanyak perkongsian untuk diri saya khususnya dan untuk sidang pembaca umumnya. Tahniah kepada kalian kerana sanggup berhabis sedikit wang yang Allah beri untuk melabur dalam perkara-perkara yang perlu, seperti mencari bahan bacaan yang boleh meningkatkan semangat kita untuk mendakap redha-Nya.

Demi Allah, saya bukan menggarang kitab. Untuk memanggil naskah ini sebagai buku pun saya rasa sudah tidak layak, kerana yang benarnya ia hanyalah sebuah perkongsian pengalaman, perkongsian hati, dan perkongsian jiwa daripada manusia yang telah banyak berbuat dosa.

Saya tidak mengatakan buku ini istimewa, tetapi saya merasakan ia mungkin istimewa kepada ‘orang-orang yang biasa’ iaitu orang-orang yang timbul tenggelam imannya dan orang seperti saya dan punya potensi untuk menghuni neraka.

Konsep buku ini.

Jika boleh, saya berharap agar para pembaca memulakan pembacaan dari muka yang paling hadapan, helaian demi helaian hinggalah bertemu ke kulit belakang. Saya akan menggunakan bahasa yang santai dalam setiap artikel. Bukannya saya tak tahu bahawa al-Quran itu diturunkan dalam bahasa sastera yang amat indah tetapi saya berkehendak agar apa yang sampai kepada kalian semua ialah benda-benda yang mudah untuk dihadam oleh hati kerana saya perhatikan, sudah ada banyak buku-buku agama yang dipasarkan di pasaran buku. Sudah ‘banjir’. Tetapi, sambutan yang diberikan masih terlalu kurang. Saya fikir, para pembaca kurang menggemari buku-buku agama kerana bahasanya yang berbelit-belit seterusnya membawa kepada ketidak fahaman terhadap persoalan yang diketengahkan. Jadi prinsip buku ini sedikit berbeza.

Saya menulis dengan cara sederhana. Sebab itulah, jika anda ini sudah tahap seperti Syeikh Nuruddin al-Banjari, Ustaz Azhar Idrus, Ustaz Don Daniyal atau yang setaraf dengan ulama seperti mereka, maka buku ini ialah suatu yang membuang masa untuk anda baca. Tapi kalau anda sedar yang anda pun lebih kurang saya saja (yang timbul tenggelam), maka memang sangat wajar untuk anda membacanya.

Akhir sekali, saya berdoa agar Allah datangkan kebaikan kepada anda semua. Moga ada saham akhirat buat saya yang menulis dan buat kalian yang membaca.

“Selamat berubah”
Hamba Tuhan yang sedang berubah- 

Iqbal Syarie.

 ----------------

Sukacita saya mengumumkan, manuskrip bagi buku motivasi pertama saya sudah siap. Cuma tajuknya sahaja belum diputuskan. Siapa ada cadangan tajuk yang menarik, boleh usulkan pada saya di ruangan komen.

Apapun, sama-sama nantikan dengan sabar. Moga usaha kerdil ini dipandang sebagai amal soleh oleh Allah S.W.T.
  

June 1, 2012

Uncountable.

Segala puji-pujian, bagi Allah S.W.T

Ikhwatul qiram, banyak sangat nikmat-nikmat yang Allah beri kepada kita. Bila mana Allah menyebut tentang banyaknya nikmat pemberiannya, Allah katakan bahawa 'la tukhsuha'. Kita takkan mampu untuk membilangnya. Biarlah seluruh lautan menjadi dakwat, dan segala dedaun di muka bumi ini menjadi lembaran kertas, pasti habis. Pasti tak mencukupi, biarpun ditambah dan diganti dengan amaun yang sama banyaknya.

Ini menunjukkan betapa nikmat yang Allah beri itu, banyak. Terlampau banyak. Melimpah ruah!

Bercakap tentang banyaknya nikmat yang sering kita lupa untuk syukuri, hati saya rasa terpanggil untuk menulis buku berkenaan dengannya. Mudah-mudahan, Allah sediakan buat saya kekuatan yang lebih bersama niat yang tak pudar. Insya-Allah.

Salah satu nikmat yang paling besar, yang Allah beri kepada kita ialah nikmat menjadi ummat Muhammad S.A.W.

Ramai yang tak perasan. Ramai juga yang dah perasan, tapi tak peduli. Dan antara semua itu, yang paling ramai ialah golongan yang tidak berasa gembira, bangga, dan bersyukur kerana menjadi ummat Muhammad S.A.W

Buat manusia yang begini, satu amaran keras daripada Allah patut kita bisikkan ke telinga mereka.

"Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: "Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras". (Ibrahim 7)

Allah tak kata, "Kami tarik nikmat" tetapi Allah kata, "Siksaan kami sangat keras!"

Subhanlallah. Dalam ayat ini, Allah mengungut dengan sebuah amaran, betapa orang yang tak bersyukur ini, azab yang bakal diterima oleh mereka adalah keras! Sangat keras! 

Azab yang mungkin ditahan-tahan dahulu, sebagaimana yang kita panggil sebagai istidraj.

Kerana kita makin kufur, nikmat yang diberi makin banyak. Makin lama, makin banyak. Masa itu, kita akan fikir, "Aku hebat. Aku baik. Aku dicintai Tuhan. Aku benar", dan dalam tempoh kelalaian yang panjang itu, Allah tak henti-henti berikan kita nikmatnya.

Makin tak syukur, makin kita menyimpang, makin kita lalai, makin kita gunakan nikmat-Nya kejalan yang salah, makin banyak pula anugerah daripada Allah. Aneh?

Tidak. Kerana ragamnya memang begitu.

Kerana itu, saya berpesan; "Usah dibimbangi akan nikmat yang belum Allah kurniakan lewat doa-doa kita, tetapi bimbangilah akan nikmat-nikmat Allah yang belum kita syukuri"

Dah banyak yang Allah beri kepada kita, tapi apa yang kita beri kepada agama-Nya pula?
   

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails