Harapan untuk para pendosa.

Harapan untuk para pendosa.

Setiap manusia tak lari daripada melakukan dosa. Kalau tak dosa besar, dosa kecil. Kalau tak dosa yang sengaja, dosa yang sengaja.

Pendek kata, hari-hari yang berlalu pasti akan ada juga dosa yang terkena pada kita, sedar atau kita tak sedar.

Tapi Allah Maha Baik. Dia tak akan semudah itu dan secepat itu untuk menghukum kita. Tak ada azab atau balasan segera yang akan Allah timpakan kepada kita sebagaimana umat-umat terdahulu. Umat-umat Nabi Nuh, Luth, Salleh, dan lain-lain, bila mereka kufur dan tak menerima nasihat sahaja, terus Allah musnahkan dan hancurkan mereka.

Tapi umat ini, Allah berikan penangguhan. Untungnya kita, umat Nabi Muhammad S.A.W. Tapi kata ulama, ada juga azab segera atas dunia ini, iaitu azab yang ditimpakan kepada anak-anak yang derhaka kepada ibubapa mereka.

Wallahua'lam. Sebesar-besar dosa manusia kepada Allah ialah bila dia syirik. Syirik, haram syurga untuknya dan sebesar-besar dosa manusia kepada manusia pula ialah dosa seorang anak yang derhaka kepada ibubapanya dan derhaka juga turut sama diharamkan syurga.

Sungguhpun kita tak lekang daripada berbuat maksiat, tetapi kita perlu faham bahawa Allah sama sekali tidak redha hamba-Nya membuat maksiat. Bahkan disebutkan dalam hadis, Allah 'cemburu' kepada hamba-Nya yang berani melawan perintah-Nya.

"Kita manusia biasa", sebenarnya sudah menjadi satu slogan yang benar tetapi digunakan atas maksud yang salah.

Entah mengapa, ramai antara kita yang seakan-akan tidak bersungguh meninggalkan dosa dan maksiat, dan apabila terjebak, slogan itu digunakan bagi membalut kelemahan diri. Entah untuk menutupi, atau untuk menyalahkan pihak lain.

Kita perlu ingat bahawa dosa-dosa yang kita lakukan itu mempunyai banyak kesan-kesan yang buruk kepada diri kita.

Pertama, disebutkan dalam hadis yang mahsyur, bahawa tiap dosa yang kita lakukan akan menjadi satu titik hitam yang menyelaputi hati. Lama kelamaan, hati kita akan gelap dan hilang cahayanya seterusnya kita akan menjadi buta daripada melihat kepada kebenaran.

Hati yang kotor kerana banyaknya maksiat ialah ibarat jendela yang tertutup. Terang bagaimanapun cahaya, jika jendela itu tidak terbuka, maka cahaya itu takkan masuk ke dalam rumah. Begitulah manusia.

Kedua, semasa sedang memandu, sempat saya dihidangkan dengan ilmu baharu daripada penyampai radio IKIM.fm iaitu maksiat kita ini sebenarnya ialah hijab kepada turunnya rezeki daripada Allah. Perkara ini disampaikan dalam sebuah hadis melalui susur jalur periwayatan Imam Ibn Majah.

Rezeki ialah pemberian daripada Allah. Ada rezeki yang baik, dan berkat. Ada rezeki yang haram, dan tidak berkat. Sudah tentulah orang beriman, mereka mahukan rezeki yang baik, halal, dan juga diberkati. Berkat ini tidak semestinya banyak. Kata ulama, berkat bermaksud bertambah-tambah kebaikannya.

Sebab itu ada orang yang duit banyak tapi dengan duitnya, dia tidak dapat menghampirkan diri dengan Allah dan ada pula orang yang diberikan wang/gaji yang tidak banyak tapi ia mencukupi dan membuatkannya menjadi lebih tawaduk dan qana'ah.

Maksiat juga ialah penghalang kepada pertolongan Allah S.W.T. Ini dibuktikan melalui beberapa peristiwa penting di dalam sejarah. Di zaman Saidina Umar, beliau telah menghantar satu pasukan tentera bagi menyebarkan islam yang mana pasukan islam itu terpaksa berperang melawan musuh. Lalu general ataupun ketua angkatan perang itu mengutus surat, meminta bantuan ketenteraan daripada khalifah lalu sebagai khalifah, Saidina Umar bukannya menghantar pasukan bantuan sebaliknya hanya memberikan sepucuk surat, yang berbunyi,

"Takutlah dengan maksiat dan dosa yang dilakukan oleh kaum muslimin kerana sesungguhnya bantuan Allah itu turun kerana maksiat-maksiat yang dilakukan oleh pihak musuh"

Semasa proses pembebasan kota baitul maqdis juga, Salahuddin al-Ayybi membuat spot-check pada khemah-khemah para parajurit islam di tengah malam. Dia lalu mendapati ada khemah yang didalamnya para pejuang sedang berqiamullail. Ada khemah yang penghuninya sedang membaca al-Quran dan ada juga khemah yang para penghuninya sedang khusyuk berzikir. Tetapi ada juga khemah yang penghuninya sedang nyenyak tidur.

Lalu keesokan harinya, semasa mahu menyusun pasukannya, dia memerintahkan supaya para pejuang yang menghabiskan masa malamnya dengan tidur semata-mata supaya tinggal dan tidak ikut berperang.

"Aku takut jika bantuan Allah tidak turun kerana kamu semua".

Begitu juga dengan kisah Imam Syafie rahmatullahialaih yang hanya kerana terlihat betis seorang wanita, dia telah dihalang daripada menghafaz sebuah ilmu.

Begitu juga dengan seorang salafussoleh yang dihalang untuk satu tempoh yang agak lama daripada bangkit qiamullail hanya kerana dia ternampak seorang lelaki sedang menangis di dalam solatnya dan hatinya berbisik, "Dia ni menunjuk-nunjuk ni". Hanya kerana sebuah sangka buruk, maka dia terhalang daripada berqiamullail.

Saya teringat kata-kata Ustaz Pahrol bahawa ada empat kategori orang yang melakukan dosa.

Pertama, dia buat dosa dan dia menyesal.

Kedua, dia buat dosa dan dia rasa biasa. Rasa tak ada apa-apa yang salah.

Ketiga, dia buat dosa dan dia rasa suka, gembira dan cinta pada perbuatan itu.

Dan yang terburuk sekali, dia buat dosa dan dia mempertahankan dan memperjuangkan pula dosa-dosanya.

Kita mungkin tak boleh berubah dalam seminggu. Usahkan seminggu, sebulan pun belum tentu. Tapi kita boleh berubah. Tak mustahil dan tak ada pilihan (option) pun untuk berubah atau tidak. Cuma, jika tak mampu tinggalkan semua dosa, maka jangan tidak tinggal langsung.

Berusahalah. Atau setidak-tidaknya, jaga lisan kita daripada terlalu lancang membidas orang yang mahu membetulkan kita.

Just admit our mistake. It is the first step toward purification.

Saya berdoa kepada Allah agar Allah jadikan saya sebagai hamba-Nya yang selalu dan suka untuk bertaubat. Mudah-mudahan Allah jadikan saya dan anda semua sebagai hambaNya yang selalu menyucikan diri.

Wahai Allah, Engkau suka memberi ampun. Maka, ampunkanlah daku...
 

Ingat Allah ketika senang

Ingat Allah ketika senang
Manusia ialah bangsa makhluk yang mudah lupa. Bukan lemah ingatan, tetapi pelupa. Manusia mudah lupakan asal usulnya. Mudah lupakan dirinya.

Ah, sesiapa saja, pasti sifatnya begitu. Lupa, pelupa, dan terlupa.

Kerana tahu benar bahawa kita akan lupakan Allah, Allah bahkan menukilkan satu firmannya...

"Alastu birabbikum?"

Kita mengiyakan.

Iya! Kamu Tuhan kami dan kami bersaksi.

Mudah sikit saja, kita lupa Allah. Senang sikit saja, kita lupa Allah. Allah sebut dalam al-Quran bahawa ada dalam kalangan manusia yang akan bersikap begini.

Sentiasa bersikap begini.

Susah, cari Allah.
Senang, ah ini semuanya hasil usaha aku sendiri!

Seakan-akan menyembah Allah cuma di dalam musim-musim tertentu. Jelas ini menyalahi sifat Hayyat Allah. Allah sentiasa ada. Tiada atau adanya makhluk, Allah tetap ada.

Kita sembah Allah atau tidak, Allah tetap mulia.
Kita solat atau tidak, Allah tetap paling berkuasa.
Kia tahajjud atau tidak, Allah tetap paling hebat.

Kalau ni bukan hebat sangat. Kita makhluk. Sedarlah, dalam kesusahan kita, kita perlukan Allah. Dalam kemudahan dan kesenangan kita pun, kita tetap perlukan Allah juga.

Jangan ingat kita cuma perlukan Allah bila kita susah. Bila kita senang pun, kita perlu bimbingan daripada Allah juga. Bukankah yang beri senang itu Allah? Dan bukankah Allah dengan kebijaksanaan-Nya boleh-boleh saja nak susahkan kita... nak tarik balik kesenangan itu.

Sekelip mata sahaja.

Teman-teman,
Ini pesanku.

Dampinglah dengan Allah masa kita senang,
Mudah-mudahan bila kita susah, bila semua makhluk Allah tak boleh tolong kita, tinggalkan kita, Allah tak akan jauh dan tak akan tinggalkan kita.

 

Tuhan dalam solat; Tuhan dalam kehidupan.

Tuhan dalam solat; Tuhan dalam kehidupan.
Nak masuk neraka, boleh jadi dari macam-macam punca tapi yang paling besar ialah apabila akidah kita yang salah.

Orang yang kuat ibadah dan baik akhlak pun, kalau akidahnya salah, dia tetap tak akan masuk syurga.

Itulah yang ulama kata.

Tapi yang peliknya, mutakhir ini tak ramai orang yang peduli dengan sistem pengajian akidah. Pengajian-pengajian di surau masjid pun tak memberatkan tentang akidah sedangkan akidah yang benar ialah asas bagi penerimaan segala amal soleh.

Kalau akidah salah, amalan yang banyak akan jadi haba'an mansuro; abu-abu yang bertebangan!

Akidah yang benar bermaksud maghfirullah; kenal Allah sesuai dengan nas-nas daripada al-Quran dan hadis.

Kita semua ni wajib kenal Allah. Orang yang menyembah Allah tapi tidak mengenal Allah, dipanggil taklid atau 'ikut-ikutan'. Taklid di dalam akidah menurut ulama, imannya tidak sah dan tidak diterima. Pun begitu, ada sebahagian yang lain menghukum imannya sah tetapi orang itu menanggung dosa sepanjang hayatnya.

Kedua-dua pandangan ulama ini adalah sangat berat dan keras!

Bertitik tolak seruan 'awwaludin maghfirullah', maka dua tokoh akidah ahli sunnah wal-jama'ah (ASWJ), menyusun silibus pengajian akidah yang wajib bagi tiap mukallaf, iaitu 'sifat 20'.

Tapi sayangnya, berapa ramai antara kita yang khatam pengajian sifat 20 ini?

"Belajar sifat 20 ini bid'ah! Nabi tak pernah buat!", bantah golongan Wahabi.

Wahabi betul tetapi mereka salah jika mereka menyalahkan apa yang diajar dalam subjek sifat 20 itu. Memang tak wajib belajar sifat 20. Yang wajib cuma kenal Allah. Tapi nak kenal Allah tu bagaimana?

Mestilah dengan al-Quran dan hadis. Lalu, ulama-ulama ASWJ ektraks dari mana jika bukan daripada nas-nas dan dalil-dali al-Quran dan hadis?

Mereka mahu memudahkan kita, orang awam. Mereka mahu menyelamatkan kita, orang awam daripada fitnah ancaman filisofi.

Oh, sebentar. Wahabi? Wahabi tu apa?

(Kerajaan Malaysia patut mewajibkan rakyatnya menghayati akidah ASWJ supaya tertutup segala pintu fitnah)

"Dia tu wahabi. Wahabi sesat!", kata seorang ustaz di dalam ceramahnya.

Lalu orang awam yang sedia keliru, tambah keliru.

"Apa benda wahabi ni?", gumam mereka. Nak ditanya takut sebab ustaz itu sudah berapi-api marah!

Belum habis 'mengkafirkan' wahabi', ustaz itu menambah pula, "Ini salafi, fahaman yang sesat!"

Orang awam tambah hairan. "Tadi Wahabi, sekarang Salafi. Siapa pula mereka ni?"

Wallahi. Saya cuma kasihan dengan orang awam. Mereka keliru. Mereka tak faham, dan mereka pun sebenarnya serabut dan hilang minat lagi untuk mengetahui dengan mendalam, apatah lagi mengkaji.

Maka, the best approach bagi saya ialah pendekatan wasatiyyah. Pendekatan pertengahan.

Saling memberi dan saling menerima. Lebih-lebih jika perbezaan ini cuma perbezaan dari segi furuk akidah, bukannya usul akidah seperti diperkatakan oleh Syeikh Maulana Asri.

Masyarakat kita, saya rasa belum sampai 10 peratus yang kisah dengan akidahnya. 90 peratus yang ramai itu rata-rata beranggapan, "Aku islam, aku dah selamat".

"Aslim taslam". Tapi islam tanpa iman, itu cacat. Iman tanpa kenal Tuhan, itu penipu.

Kalau saya yang disuruh untuk berkongsi tentang akidah ASWJ, saya rasa saya bukan yang selayaknya dan itu juga bukan tujuan utama saya menulis artikel ini.

Mesej saya jelas cuma satu; supaya kita kembali semak semula setakat mana kita kenal Allah.

Tidak mengenali Allah ialah umpama kereta yang meluncur laju tanpa stereng. Ia bergerak... terus bergerak... dan ia akan merempuh sahaja apa-apa yang dihadapan.

Orang mencuri, merogol, merompak, menipu, mengaiaya, mengabaikan tanggungjawab, dan macam-macam lagi jenayah dan maksiat, kerana apa jika bukan kerana dia belum kenal Allah.

Maka marilah kita kembali ke landasan ASWJ.
Jangan bermimpi untuk mengkafirkan orang jika kita tiada ilmu,
Kerana boleh jadi,
Pertuduhan itu akan kembali kepada kita.
  

Selamat hari murabbi.

Selamat hari murabbi.
 
Antara adab yang paling besar dan dititik beratkan oleh islam ialah beradab dengan guru. Orang yang tak beradab dengan gurunya ialah orang yang biadab. Orang yang biadab ialah orang yang tiada keberkatan di dalam ilmunya.

Bila tiada keberkatan, maka datanglah kefakiran, keluh-kesah, kesusahan, dan macam-macam.

Seorang lelaki yahudi pernah mendatangi Imam Syafie lalu Imam Syafie pun bangun menghormati lelaki yahudi itu. Hal itu disaksikan oleh anak-anak murid imam syafie. Mereka hairan.

"Tuan guru, mengapa tuan begitu menghormati si Yahudi itu?"

Dijawab oleh murabbi dan muallim agung ini, "Aku menghormatinya kerana dia ialah guruku".

"Apa yang dia telah ajarkan kepada tuan?"

"Dia telah mengajarkan aku satu ilmu iaitu bagaimana mahu mengetahui seekor anjing itu telah cukup umurnya atau tidak, iaitu bila anjing itu sudah mula kencing berdiri. Siapa yang mengajarkan aku walaupun satu ilmu, dia ialah guruku".

Hebat sungguh akhlak para imam mujtahid ini. Hormatnya kepada guru seumpama hormat kepada ibu dan bapa sendiri. Khidmat mereka kepada guru juga sukar ditandingi. Maka layaklah Allah memberikan mereka keberkatan daripada ilmu mereka.

Mereka nampak cahaya, kerana ilmu itu menyuluhnya.

Sebaliknya kita hari ini bukannya tak berilmu, tapi kita tetap tak nampak cahaya.

Kita tahu banyak, tapi amal kurang. 

Inilah yang kawan saya pernah sebut,

"Salah satu kekurangan bila kita tidak menadah kitab dengan guru ialah kerana kita hilang keberkatan berguru".

Tidak dinafikan, kewujudan teknologi terutamanya internet banyak sekali memudahkan proses pembelajaran kita. Artikel-artikel agama boleh dijumpai di mana-mana. Kita bebas mencari mana-mana muallim untuk kita baca tulisan-tulisan mereka yang ilmiah.

Tapi kita tak ada satu perkara yang paling besar, iaitu keredhaan daripada guru.

Apapun, artikel ini sebenarnya saya mahu tulis secara ringkas-ringkas sahaja. Sekadar mahu menyampaikan mesej bahawa kita wajib untuk hormat dengan guru-guru kita, walaupun dia cuma mengajarkan kita dengan satu ilmu sahaja.

Jika guru kita tadi orang kafir, maka hormat dan tanda terima kasih kita juga ialah dengan kita mendoakan agar Allah berikan mereka hidayah dan petunjuk untuk memeluk agama islam.

Dan mulakan hari ini, untuk tidak lupa mendoakan secara khusus semua guru-guru kita di setiap doa-doa kita.

Selamat hari guru.

Guru jangan jadi muallim tapi jadilah juga murabbi.

Muallim: Orang yang mengajarkan ilmu.
Murabbi: Orang yang mendidik ilmu dan moral.
 


Escapism, penyakit orang jahil.

Escapism, penyakit orang jahil.

Escapism ialah salah satu penyakit hati yang paling banyak melanda para pemuda islam kita hari ini. Apabila mereka melakukan suatu kesalahan, mereka lebih suka untuk menyalahkan orang lain berbanding diri mereka sendiri.

Bahkan kalau tak ada orang lain pun, mereka akan salahkan apa-apa sahaja. Binatang, barangan, kenderaan, masa, bahkan ada yang lebih teruk, menyalahkan Tuhan!

Setiap kita ini wajib beriman dengan takdir. Dengan qada' dan qadar Allah Taala. Itu rukun iman keenam kita. Tetapi kita perlu faham bahawa takdir itu ialah ketetapan yang datang selepas datangnya usaha kita di peringkat manusiawi atau kemanusiaan.

Zaman Saidina Umar r.a dahulu, pernah seorang lelaki ditangkap kerana minum arak. Apabila ditanya kepadanya, "Mengapa kamu minum arak sedangkan kamu tahu ianya perbuatan dosa dan cela?"

Lelaki tadi menjawab, "Kerana Allah telah menakdirkan aku begitu"

Semudah itu jawapannya!

Lalu Saidina Umar memerintahkan hukuman hudud berupa sebatan dijalankan dan ditambah pula dengan 20 sebatan lagi, sebagai hukuman takzir atas kesalahan 'menipu dengan nama Allah'.

Begitulah orang-orang yang menderita penyakit escapism. Mereka sanggup dan rela untuk 'berbohong' dengan nama Allah.

Bagaimana itu?

Mereka katakan, "Aku terjebak dalam dosa ini kerana tak ada pilihan lain lagi dah".

Sedangkan terang-terang Allah kata dalam surah As-Syams, Allah jadikan pada setiap manusia dua buah jalan iaitu jalan fujur (kejahatan) dan jalan taqwa. Manusia cuma perlu memilih antara dua.

Adapun segelintir manusia terus-terusan larut di dalam maksiat mereka kerana terpedaya dengan bisikan syaitan, "Tak mengapa. Allah kan Maha Pengampun. Lepas kau buat, kau taubatlah. Apa nak risau".

Apa nak risau?

Memang benar Allah boleh ampunkan semua bentuk dosa kecuali dosa syirik. Tetapi Allah akan ampunkan orang yang meminta ampun dan bertaubat kepada-Nya. Bagaimana kalau kita buat dosa, dan kita mati dalam keadaan baru sahaja selesai buat dosa tanpa sempat untuk kita meminta ampun?

Lalu kita mati di dalam keadaan belum bertaubat. Adakah itu benda kecil hingga kita tak perlu untuk risau?

Ada satu kekeliruan iaitu bagaimana seseorang mentafsirkan kisah Nabi Yusuf (di dalam surah Yusuf), iaitu bilamana abang-abang tiri Nabi Yusuf berbincang mahu membunuh Nabi Yusuf, ada seorang yang paling tua dalam kalangan mereka membantah.

"Jangan. Jangan bunuh dia sebaliknya kita campakkan sahaja dia ke dalam perigi buta supaya nanti dia dipungut oleh musafir"

Tafsiran yang senget itu membawa kepada konklusi, "Inilah bezanya orang islam dengan orang kafir bila buat dosa. Orang islam, kalau nak buat dosa, dia akan cuba untuk mengurangkan kesan daripada dosanya. Berbeza dengan orang kafir yang tak peduli tentang kerosakan dan akibat perbuatan dosanya".

Benar, kita manusia bukan malaikat. Tetapi itu bukannya dalil untuk menghalalkan kita melakukan dosa sekalipun ia dosa kecil. Jauh sekali ia dalil bagi menggalakkan kita melakukan dosa kecil.

Dosa; kecil atau besar, tetap kita perlu takut.

Inilah yang dipesankan oleh Imam Jaafar As-Saddiq,

"Allah menyembunyikan tiga perkara di dalam tiga perkara. Allah sembunyikan keredhaanNya di dalam ketaatan hambanya. Allah sembunyikan kemurkaanNya di dalam kemaksiatan hambanya dan Allah sembunyikan waliNya dari dalam kalangan hamba-hambaNya".

Kita tak tahu mana satu dosa kita yang mengundang kemurkaan Allah. Manalah tahu, yang kita tengok aurat orang, itulah yang membuatkan Allah marah! Siapa tahu?

Ada lagi teruk, ada manusia yang meninggalkan amal soleh kerana orang lain.

"Sebab dia lah aku tak pergi solat jemaah. Sebab nanti dia akan sindir-sindir aku".

Inilah riak yang paling dahsyat menurut Imam Ghazali dalam Ihya Ulumiddin.

Riak ialah syirik dalaman (dosa kecil sahaja). Selalunya riak ini mendorong kita untuk makin kuat beramal, tetapi niatnya sahaja yang tidak betul. Tetapi 'riak terbesar' ini, sebaliknya menyebabkan orang menjauhi amal.

Ketahuilah apabila kita telah istiqomah dengan satu-satu amal soleh, secara automatik riak, ujub, takabbur, dan semua penyakit hati itu akan hilang dengan sendirinya. Setiap ubudiyah kita ada nur. Nur atau cahaya inilah yang akan sedikit demi sedikit menyuburkan hati kita.

Sebaliknya orang yang meninggalkan amalan soleh kerana manusia lain, jelas dia telah tertipu dengan dirinya sendiri.

Moga Allah lindungi kita daripada penyakit escapism ini.

    

Untuk Lima Tahun yang mencabar

Untuk Lima Tahun yang mencabar

Semenjak saya mendaftar sebagai pengundi pada usia saya 21 tahun, awal-awal lagi saya berkata pada diri, saya akan menjadi 'lalang' dalam kancah politik demokrasi di Malaysia. Lalang yang hanya akan melatakkan islam sebagai matlamat.

Hari ini, kita telahpun melihat rakyat memberi mandat baharu kepada BN untuk menjadi ketua. Seperti orang lain, saya ucapkan tahniah dan takziah dalam masa yang sama. Tahniah atas kejayaan dan takziah atas tanggungjawab yang besar; yang akan dipersoalkan oleh Allah S.W.T ini nanti.

Sebagai rakyat, saya juga mempunyai beberapa harapan:

1- Saya mahu melihat gerak kerja dan usaha yang jitu daripada kerajaan yang memerintah untuk menghapuskan RASUAH dan PENYELEWENGAN. Ini tidak hanya bagi orang bawahan sahaja tetapi lebih-lebih lagi ialah golongan 'bangsawan' dan golongan yang berada di atas.

2- Saya mahu melihat usaha yang tulen di dalam memperbaiki masyarakat. Saya mahu supaya anak muda tidak lagi disumbat akal dan jiwa mereka dengan hiburan tetapi dengan agama, terutamanya agama islam.

3- Saya mahu melihat usaha untuk meletakkan islam sebagai agama rasmi iaitu dengan mendaulatkan hukum-hukum syariat. Ya, saya tahu hudud takkan mampu dilakukan dalam sehari tetapi saya mahu melihat rangka kerja yang sistematik untuk mencapainya. Setiap muslim wajib ada keinginan dan usaha untuk menegakkan hukum Allah. Siapa dalam hatinya benci dan tak suka dengan hukum dan ketetapan Allah, kafirlah dia.

4- Saya mahu melihat usaha bagi mengurangkan dan menghapuskan gejala sosial seperti pembuangan bayi. Sudah tentulah ini bukan dengan kita memberi mereka kondom percuma. Pemberian kondom hanya akan menggalakkan penzinaan. Ini mungkin boleh dilakukan dengan membangunkan spiritual golongan pemuda.

5- Saya mahu melihat bantuan-bantuan yang diberikan kepada rakyat tidak bersifat 'once-off' sahaja. Bukan memberinya sekali, kemudian tunggu bertahun-tahun baru beri lagi. Sebaliknya, kerajaan lebih membantu meringankan beban hidup rakyat sekiranya kerajaan sudi menurunkan harga petrol, menghapuskan tol, dan menurunkan cukai, berbanding memberikan rakyat BR1M yang bersifat berkala.

6- Saya mahu agar usaha yang giat dilakukan bagi mengelakkan pencerobohan. Pencerobohan ini tidak hanya pencerobohan pengganas seperti di Lahat Datu, tetapi juga 'pencerobohan' warga asing seperti dari Bangladesh, Myanmmar dan Indonesia yang mereka tak semena-mena boleh menjadi rakyat Malaysia yang sah.

7- Saya juga mahu agar polisi pendidikan Malaysia, bukan hanya untuk melahirkan generasi bijak-pandai, tetapi juga generasi yang kuat beragama. Ini dapat dilakukan dengan memberi perhatian yang serius tentang subjek al-Quran (bukan hanya pendidikan islam). Pelajar-pelajar yang mahu melanjutkan pengajian mereka di universiti hendaklah orang yang mampu membaca al-Quran dan mempunyai pemahaman yang kukuh tentang isi kandungan al-Quran.

8- Saya mahu melihat sebuah kerajaan yang adil, yang tidak menindas, yang memberikan hak kepada yang berhak, dan yang komited untuk menegakkan keadilan di dalam kalangan rakyat marhaen. Prisip keadilan itu mestilah keadilan yang tidak boleh dibeli oleh wang ringgit dan pengaruh seseorang.

9- Saya mahu melihat pelan tindakan daripada pihak kerajaan untuk membuka ruang pekerjaan yang lebih besar kepada para graduan dengan meletakkan sikap anti-kronisma dalam mendapatkan jawatan, tender projek, dan apa-apa yang berkaitan.

10- Saya juga mahu melihat pelan tindakan yang lebih cekap dalam menghapuskan jenayah, terutama gejala gangsterisma yang wujud sejak di bangku sekolah lagi. Indeks jenayah hendaklah semakin menurun hari ke hari.

Berikut adalah 10 perkara yang akan saya perhatikan dan nilaikan, lima tahun yang akan datang ini. Sejujurnya, saya lebih suka 'membaiki' yang 'rosak' berbanding dengan membeli yang baharu. Saya lebih senang untuk menjadi egen penyatu antara 'hijau' dan 'biru' sahaja.

Apapun, saya doakan kebaikan kepada seluruh penduduk bumi Malaysia ini.