This worldly life has an end.

This worldly life has an end.
Allah ciptakan dunia untuk manusia,
Tapi manusia diciptakan untuk akhirat.

Manusia akan rosak bila mencari dunia, tetapi akan bahagia bila mencari akhirat. Manusia juga tidak akan mendapat dunia jika mereka mencarinya, tetapi mereka akan mendapatkan dunia jika mereka tidak mencari akhirat. Kerana sememangnya, itulah tujuan Allah ciptakan dunia.

Untuk berbakti kepada kita. 

Dalam sebuah hadis riwayat Imam Muslim, Nabi Muhammad S.A.W pernah bersabda yang maksudnya, "Dunia ini ialah penjara bagi orang beriman, tetapi syurga kepada orang kafir"

Memberi gambaran bahawa hanya orang kafir sahaja yang akan tergila-gilakan kesenangan dunia.

Padahal di dalam hadis yang lain, Rasulullah S.A.W bersabda yang maksudnya, "Jika dunia ini adalah lebih bernilai daripada sebelah sayap nyamuk, nescaya Allah tidak akan memberi setitik air pun kepada orang kafir".

Betapa Nabi nak menegaskan kepada kita bahawa dunia ini sementara. Keseronokannya hanya sementara. Pesonanya hanya sementara. Keindahan, kemahsyuran, dan kemewahan, semua itu sangat sementara.

Kerana itulah apabila Baginda menerangkan tentang dunia, Baginda menyatakan bahawa dunia ini adalah perhiasan sahaja. Dan sebaik-baik perhiasan itu adalah isteri (pasangan) yang solehah.

Ibnu Hajar al-asqalani ialah antara ulama yang Allah berikannya kelebihan rezeki. Satu hari, beliau terserempak dengan seorang yahudi (kafir) miskin di jalanan.

Yahudi itu berkata kepadanya, "Bukankah kata kamu dunia ini ialah syurga kepada orang kafir dan pejara kepada orang beriman? Maka seharusnya kekayaanmu itu kamu berikan kepada aku"

Lalu jawab Ibnu Hajar, "Benar. Kerana itulah di dunia ini kamu miskin, dan diakhirat nanti kamu akan ditimpakan dengan lebih banyak kesusahan, kehinaan dan dihumban ke dalam neraka"

Ini mengingatkan kita kepada sebuah sabdaan Nabi tentang nikmat di dunia. 

Kita bukanlah dilarang daripada mencari kelebihan-kelebihan di dunia. Bahkan dalam surah al-Jumaah yang sering kita baca itupun ada perintah daripada Allah supaya kita bertebaran di bumi-Nya dan mencari nikmat-nikmat yang Allah jadikan di atasnya.

Cuma ke mana dan bagaimana harus kita gunakan dunia itu tadi. Bagaimana agar dunia yang kita pegang boleh mambawa kita kepada keamanan akhirat?

Kata ulama, dunia itu letaknya di tangan kita. Kita wajib pegang dengan kemas. Manakala akhirat pula letaknya di atas kepala kita. Wajib kita menjunjungnya dengan cermat.

Apabila berjalan, adakalanya kita hilang keseimbangan. Lalu, akhirat yang kita junjung itu pun akan terjatuh. Di saat itu, wajib kita melepaskan dunia yang berada di tangan kita lalu tangan itu digunakan untuk memegang dan menstabilkan semula akhirat di atas kepala kita.

Bila dah stabil, kutip balik dan pegang semula dunia itu. Bukan bermakna kita perlu buang dunia ini!

Bila bercakap tentang dunia, apa sebenarnya yang kita cari daripadanya? Antara nikmat dunia yang Nabi sebut dalam hadis, adalah antaranya rumah yang besar, jiran-tetangga yang baik, teman hidup yang solehah, dan kenderaan yang baik.

Tapi dalam masa yang sama, cuba kita lihat bagaimana dengan rumah Nabi.

Digambarkan bahawa rumah Rasulullah dengan Aisyah cuma luasanya sekitar 5 meter panjang dan 3 meter lebar sahaja. Tetapi apakah yang menjadikan rumah itu besar?

Benar. Yang menjadikan rumah kecil itu selesa, mendamaikan, membahagiakan, dan menyeronokkan cumalah orang di dalamnya.

Seorang Nabi, 
Dan seorang ummul mukminin.

Setiap orang mahu bahagia. Tetapi bahagia itu bukan datang daripada rumah besar, kereta mewah, atau perhiasan yang mahal, tetapi bahagia itu datang daripada jiwa yang besar.

Jiwa yang merasa kenyang dengan dunia tetapi lapar dengan akhirat.

Jom jadi kaya untuk membantu orang. Berniatlah untuk membolot nikmat dunia semata-mata untuk mendapatkan kemuliaan akhirat melalui jalan infak dan jihad. 

Tapi nasihat saya supaya kita beringat, bahawa kalau semasa kita miskin kita tak mampu bersedekah, maka percayalah bahawa jika kita kaya, lebih-lebih lagilah kita takkan mampu untuk bersedekah.

Jangan tertipu dengan niat yang mulia kita hari ini kerana iblis juga dahulu pernah mulia!
   


Motivasi buat Guru.

Motivasi buat Guru.

Saya ingat lagi masa saya sekolah rendah dulu. Satu hari, guru kelas kami suruh kami bawa bendera Malaysia ke sekolah. Ala, bendera malaysia yang pada batang dia tu ada gula-gula. Masa tu baru 20 sen sahaja.

Tapi hendak dijadikan cerita, bendera tu sudah habis. Saya merayu-rayu suruh ayah saya carikannya. Habis semua kedai di sekitar kampung kami pergi cari dan semua kedai dah habis.

Waktu tu saya masih terlalu naif. Masih budak. Jadi bila tak dapat benda yang cikgu suruh bawa, mulalah menggelabah tak tentu pasal. Saya tetap gesa, suruh dan meragam minta ayah carikan juga sampai dapat bendera Malaysia tu. Seakan-akan saya tidak faham perkataan 'tidak ada'.

Saya rasa semua orang pun begitu. Masa kita kecil, kebanyakan kita ni menganggap arahan, suruhan, dan kata-kata daripada guru adalah lebih bernilai daripada kata-kata, arahan dan suruhan daripada ibubapa kita sendiri. Lebih-lebih lagi kalau kita dapat guru yang tegas.

Lagilah kita taat. Tapi itu dahulu. Zaman 90-an. Sekarang ni anak murid tak buat kerja sekolah pun guru-guru tidak boleh marah mereka. Kalau cikgu hukum anak murid, nanti cikgu pula akan dihukum oleh sistem pendidikan yang makin lama, makin jauh daripada falsafah pendidikan itu sendiri.

Sistem yang membuncitkan perut orang atasan dan mencekik leher-leher orang di bawah. Saya ada dua orang kakak yang bergelar cikgu, dan seorang kakak ipar yang juga seorang guru. Jadi saya cukup masak dengan setiap keperitan mereka kerana memikul tugas mendidik.

Hakikatnya cabaran mendidik di tahun 2000 sudah jauh berbeza. Kita tidak boleh menggunakan tools yang sama untuk memperbaiki kerosakan yang sama.

Tetapi kasih-sayang tetap merupakan alat pertukangan yang paling kuat untuk membina manusia.

Pendidikan ialah pertukangan. Saya pernah membaca satu kata-kata hikmat,

"Membina seorang kanak-kanak adalah lebih mudah daripada memperbaiki orang dewasa"

Kerana membinalah, tugas perguruan jadi mulia.

Kerana guru hakikatnya ialah pendakwah. Pendakwah yang paling berpengaruh kepada anak-anak didiknya.

Saya teringat semula kepada semua cikgu-cikgu saya terutamanya cikgu-cikgu masa saya sekolah rendah. Berkat usaha mereka mendidik anak-anak kampung inilah, saya dan kawan-kawan berjaya. Saya tidak boleh katakan bahawa anak kampung ini semuanya berjaya. Tidak. Tetapi saya boleh berbangga kerana anak-anak kampung ini semuanya menjadi manusia.

Tiada yang perjalanan hidupnya sangkut kerana dadah, jenayah, rompakan, gangster, dan seumpamanya.

Semua anak-anak kampung ini menjadi manusia, walaupun ada yang menjadi peneroka, penternak, mengambil upah membuat kerja-kerja kampung, dan seumapanya. Tapi kami memegang kata-kata mereka (guru-guru kami dulu) supaya menjadi manusia yang kewujudannya tidak menyusahkan orang lain.

Guru-guru, kalian adalah pendakwah. Dakwahmu ialah dengan kasih sayang, keprihatianan, dan perhatian.

Jika satu hari, kamu melihat anak muridmu berduka, maka pujuklah dia. Berkongsilah duka dengannya.

Jika satu hari, kamu melihat anak muridmu membuat salah, maka nasihati dia. Jangan malukannya di depan sahabatnya. Tapi bawalah dia ke kantin, kenyangkan perutnya, kemudia barulah nasihatinya dengan sentuhan cintamu.

Jika satu hari, kamu lihat anak muridmu menangis, maka kesatlah air matanya. Jangan biarkan jiwa yang dahaga dengan kasih sayang itu kering daripada sesuatu yang dia berhak untuk mendapatkannya.

Jika satu hari, kamu lihat anak muridmu malas, degil, nakal, lembap dan seumpamanya, maka fikirlah bagaimana mahu menyentuh hati mereka. Mereka tidak diciptakan oleh Allah untuk bersifat sebegitu, tetapi mungkin ada sesuatu yang menyebabkan mereka berubah menjadi begitu.

Guru-guru perlu ingat bahawa kejayaan anak-anak kita bukanlah atas ukuran akademik semata-mata tetapi yang lebih penting ialah kepada pencapaian agamanya. Jangan ghairah mengejar A+ dalam subjek yang kita ajar sahaja.

Sebaliknya kita perlu melihat mereka sebagai ulama kecil.

Seorang anak kecil yang bakal menjadi ulama, profesional, dan khalifah.

Jangan racun fikiran mereka untuk mengejar tempat di tengah-tengah masyarakat.

Jangan racun fikiran mereka untuk mengejar pekerjaan yang hebat.

Jangan racun mereka dengan mimpi yang indah-indah hingga terlupa realiti bahawa hidup ini akhirnya akan ada penamatnya.

Apalah salahnya jika kita mengajar mereka solat, membaca Quran. sekalipun kita bukan ibubapanya. Dan apalah salahnya kita mengingatkan mereka dengan solat dan menyemak jadual solat mereka, walaupun kita bukanlah orang yang bertanggungjawab untuk menjaganya.

Benar firman Allah,

"Jaga dirimu dan ahli keluargamu daripada bakaran api neraka"

Tapi hari ini kita melihat sesetengah ibu-bapa sedang 'membakar' anak-anak mereka, dan adakah kita akan terus membiarkannya sahaja?

Allah sedang memuliakan kalian dengan peranan mendidik. Berbanggalah dan bersyukurlah dengan kemulian itu.

Seni Berhijrah

Seni Berhijrah
Saya jarang ambil tahu pasal artis kecuali mereka-mereka yang sudah berhijrah sahaja. Itupun bukannya saya yang rajin nak google nama-nama mereka, tetapi kerana rakan Facebook saya yang share berita dan kisah mereka di wall-wall mereka.

Satu kisah artis berhijrah yang mengejutkan saya ialah bilama seorang artis wanita yang telah berhijrah (masya-Allah tabarakallah), 'diserang' oleh bekas teman lelakinya. Bekas teman lelakinya itu memuat naik komen-komen yang menjijikkan di akaun twitter beliau dengan salah satunya ialah dia berbangga-bangga kononnya dia pernah meniduri wanita itu.

Pernah berzina.

Kalau ikut hukuman hudud, kenyataannya itu akan menyebabkan dia dihukum. Saya tak tahu jantan bodoh itu sudah berkahwin ke belum, tapi orang kata dia itu juga ialah artis. Patutlah berani.

Artis memang berani. Saya rasa itu satu-satunya nilai baik yang ada pada golongan artis, iaitu keberanian. Terlalu berani sampai ada yang sanggup menjual dunia dengan menjadi manusia munafik.

Dalam satu filem, dia berlakon menjadi watak seorang ustaz. Semua orang dia tegur dan nasihat. Tetapi 30 minit selepas itu, di channel yang lain, 'ustaz' itulah yang peluk betina.

Perempuan juga begitu. Dalam drama, bukan main kata "Saya tak bersalam dengan lelaki", tetapi dalam drama yang lain, bukan setakat salam, berpeluk sampai dicium lelaki pula.

Munafik, walaupun mereka katakannya sebagai seni.

Munafik, walaupun mereka dakwa itu ialah tugas mereka, atau tanggungjawab mereka kepada syaitan hiburan!

Niat awal saya sebenarnya bukanlah mahu membebel tentang artis. Jauh sekali mahu membenci mereka. Cuma saya kasihan dengan mereka. Ada artis yang telah 10 tahun berhijrah, tetapi sampai hari ini adengan peluk-cium mereka ditayangkan di layar televisyen.

Di rumah-rumah, orang menonton keaiban mereka walhal orang yang sama itu sebenarnya sedang beribadah di dalam rumahnya.

Kasihan bukan.

Maka janganlah lorongkan anak-anak kita ke arah jalan ini. Jalan syubhat yang nanti akan membuatkan diri kita sebagai ibubapa, kesal. Dalam liang lahad, kita dihimpit dan dibiarkan dalam kegelapan. Tiada doa daripada anak-anak yang popular itu kerana status ibu-ayah kepada artis bukanlah perisai daripada siksa kubur yang nyata.

Nauzubillah.

Sebab itulah artis wajib berubah. Wajib bertaubat. Tinggalkan zaman kegilaan dahulu. Tinggalkan zaman liar kamu. Berubahlah. Mintalah keampunan daripada Allah dengan bersungguh-sungguh.

Saya percaya bahawa semua orang mahu jadi baik. Tak semua yang melacur kerana sukakan seks. Tak semua yang berpakaian seksi tidak tahu bahawa hukumnya haram. Tak semua yang berjudi kerana tidak tahu harta itu haram. Tak semua yang minum arak kerana suka dengan rasanya.

Tetapi ada 5 musuh kita yang mendampingi kita. 5 musuh yang menyebabkankan kita duduk di kerusi kita sekarang. 5 musuh yang menyebabkan kita berdiri di dalam kandang pesalah, menunggu si hakim menjatuhkan hukuman mati mandatori kepada kita!

Pertama, orang islam.

Kedua, orang kafir.

Ketiga, orang munafik.

Keempat, nafsu.

Kelima, syaitan.

Manusia terbahagi kepada dua kelompok. Kelompok pertama, manusia yang menjadi hamba Allah. Kedua ialah manusia yang menjadi hamba dajjal.

Golongan kedua ini termasuklah orang islam yang pada zahirnya, bersembahyang juga, berpuasa juga, membayar zakat fitrah juga, ke umrah juga, tetapi tidak suka melihat orang lain mahu menjadi baik. Dia seakan-akan tidak mahu orang lain masuk syurga. Kalau boleh, biar orang itu masuk neraka atau biar mereka sama-sama masuk neraka.

Adapun nafsu dan syaitan pula adalah musuh dalaman kita. Yang tidak kita nampak, tetapi hanya akan ditewaskan apabila kita hati kita mula merasa "Allah nampak aku".

Setiap yang berharga ada nilainya. Cincin berlian ada harganya. Beribu-ribu ringgit tu.

Tapi cuba kita tengok najis dan air kencing kita. Ada harga tak? Kalau najis lembu mungkin ada yang sanggup membelinya untuk dibuat baja, tetapi najis kita bagaimana? Cubalah membawa najis kita ke pasar malam untuk diniagakan. Pasti kita akan dibelasah dan dicaci-maki oleh pengunjung.

Begitulah penghijrahan. Seperti cincin berlian. Ada harga yang perlu kita bayar.

Kita nak berhijrah, kita kena bersedia untuk berdepan dengan manusia. Setakat kata-kata, "Poyolah kau", "Dulu kau lagi jahat daripada aku", "Wah, dah jadi ustazah ya kau sekarang", ialah antara skema yang serupa yang hampir semua orang yang melalui proses ini akan lalui.

Kuatkanlah diri.

Jangan dengan kata-kata semurah itu kita sudah menjadi terlalu terluka, mengalah, dan kalah.

Ingat, syurga itu ada harganya.

Bezanya, kamu sedang membayar untuk memasukinya dan mereka pula sedang membayar untuk keluar daripadanya!