#3 perihal Dr palsu.

#3 perihal Dr palsu.
Aku cuba untuk tak bercakap pasal isu yang sedang viral sekarang, iaitu tentang PhD palsu seorang figur ni. Malas nak cakap sebab tak ada keuntungan pun. Lagipun dah ramai orang yang lebih berkelayakan dah cakap.

Pasal integritilah, pasal amanahlah, pasal gelaranlah, dan ada juga yang dah cakap tentang nilai dan martabat keilmuan dan akademik.

Tapi tak ramai yang nak bercakap pasal sikap berpada-pada dalam berkata kata perihal orang lain.

Sebenarnya bercakap tentang orang lain, celah mana-mana pun tetap lebih banyak keburukannya daripada kebaikannya. Sebab tu alim ulama kita tak suka bercakap tentang orang lain, sebab senang sangat lidah nak tergelincir lalu bercakap tentang keburukan dan keaiban orang.

Dalam ilmu hadis, ada satu cabang ilmu yang memfokuskan tentang mengenali perawi hadis sahaja.

Aku pernah dengar ada ustaz pernah kata, kalau seseorang tu ada 10 keburukan pun, kalau kita perlu sebut 1 sahaja keburukannya, maka cukuplah dengan satu tu. Tak payah nak panjang lebar sebab cukuplah satu perkara tu menyebabkan kelayakannya tercabut dan periwayatannya diragui.

Samalah macam mamat ni.

Orang bercakap pasal ijazah kedoktoran beliau yang diragui. Tak payah la nak melalut sampai menuduh dia menipu orang, makan duit haram, dan sampai kepada tahap mencerca fizikalnya. Ada pula yang edit gambar dia dengan membutakan sebelah matanya seolah-olah menyamakan diri dia dengan dajjal pula.

Aku perhatikan memang ini perangai bangsa kita. Selalu berlebih-lebihan.

Ingatlah kita tak akan tanggung dosa orang. Jadi apa manfaat kita senaraikan 1 sampai 10 dosa orang tu? Lebih buruk, bukti pun tak ada. Cuma bersangka-sangka saja.

Dia menipu pasal sijil palsu, maka kehinaan untuk dia.

Kita pula menuduh bukan-bukan atas dasar 'rasa-rasa' dan'agak-agak', maka kebohanlah untuk kita.

Moga jadi pengajaran pada kita supaya tidak menipu, walaupun sekali!

Siakap senohong gelama ikan duri,
Bercakap bohong lama-lama mencuri.

#2 Suka berdebat

#2 Suka berdebat
Aku tak faham kenapa ramai sangat manusia yang suka berdebat. Tak dinafikan ada kebaikan kalau berdebat, tapi kebanyakannya adalah keburukan.

Antara keburukan suka berdebat adalah ia boleh merosakkan hati. Banyak lagi, tapi harini aku nak cakap pasal merosakkan hati ni.

Sebab hati ni umpama raja bagi badan. Kalau kita tengok orang tu baik, suka buat benda baik, itu kerana hati dia baik. Hati itulah yang bagi arahan kepada anggota badan lain untuk buat atau tak buat benda tu.

Contoh mudah ialah solat. Siapa yang tak tahu solat tu wajib? Non-muslim sendiri pun tahu yang orang islam wajib bersolat. Tapi kenapa ada orang islam tak mahu bersolat? Sebab hati dia tak rasa pun nak solat. Tak rasa pun bersalah atau berdosa.

Lagi satu bab riba. Siapa yang tak tahu riba tu dosa besar? Terlalu besar hinggakan Allah mahu perangi golongan pemakan riba ni (pemberi, penerima, dan saksi transaksi riba). Tapi kenapa dalam duk tahu tu pun ramai yang masih berminat dengan riba?

Sebab hati rasa tak apa.

Kenapa hati boleh rasa tak apa bila buat dosa? 

Kerana ia dah hitam. Berkarat. Berkeladak.

Hitam berkarat kerana banyak sangat berbalah dan berdebat. 

Sebab tu kita tengok sekalipun orang tu ada tittle ustaz sekalipun, dia tak rasa bersalah untuk melemparkan kata-kata kesat dan memaki hamun orang lain. Itu ustaz woi. Bukan budak mabuk hisap ketum!

Dalam hatinya dah tak wujud rasa kasihan dan sayang kepada orang lain. Kerana mungkin sedikit perbezaan dalam berpendapat, pantas Syaitan menghidu peluang.

Syaitan lah yang jadi batu api. Dibisikkan ke dalam hati bisikan-bisikan agar kita saling membalas cacian, provokasi, cemuhan, dan serangan-serangan pada peribadi. Sampai benda dalam selimut pun boleh jadi senjata mahu menjatuhkan maruah musuh.

Nasihat aku, jauhilah berdebat.

Kalau perlu kepada perbincangan, berbincanglah secara matang. Tak payah guna perkataan 'muzakarah' atau apa-apa perkataan yang nampak islamik, kalau ianya setakat mahu mencari pemenang.

Tak semua benda kita menang, kita dapat hadiah.

Allah ajar pada kita melalui al-Quran, "Bila bertemu orang jahil (bodoh sombong keras kepala, tahu nak menang saja), maka ucapkanlah kata-kata yang salam (selamat)".

Sebab dalam hadis, Nabi kata, siapa yang meninggalkan perdebatan akan dibinakan baginya istana di dalam syurga

“Sesiapa yang meninggalkan perbalahan, sedangkan dia di pihak yang salah, nescaya dibinakan untuknya sebuah rumah di sekitar Syurga dan sesiapa meninggalkan perbalahan sedangkan dia di pihak yang benar, nescaya dibinakan baginya sebuah rumah di tengah Syurga. Dan sesiapa yang memperelokkan perangainya, nescaya dibinakan baginya tempat yang paling tinggi di dalam Syurga”.(H.R. Abu Daud, At-Tirmidzi, Ibnu Majah dan Baihaqi)q

Zaman Facebook ni kita nampak rama pihak suka bermain api. Suka provok sana-situ. Perangai Yahudi belaka. Suka bergaduh.

Jadi selepas kita baca ni mudah-mudahan kita boleh jadi lebih rasional dan tak termakan dengan provokasi murahan, sekalipun dalam isu bola sepak.

Pelik sangat kerana bola sepak, kerana JDT, manusia boleh bergaduh hingga lupa yang Nabi S.A.W sudah persaudarakan kita dengan ikatan islam.

Pandanglah saudara kita dengan pandangan sayang. Kerana mereka insyaAllah jiran kita di dalam syurga nanti. Dan ingatlah bukan semua orang mahukan kebenaran. Tak berbaloi kita melepaskan 'syurga' kita kerana satu atau dua orang yang bodohnya tak boleh diajar, sombongnya tak laku diniaga.

Banyak kemenangan itu datang bersama diam.

Sabarlah ya.

#1 Perihal Nikmat.

#1 Perihal Nikmat.
Dah lama aku tak menulis. Jadi bila nak mula semula, memang rasa sedikit janggal. Lama jugak aku termagu dan termenung depan laptop ni. Tak jumpa ayat pertama untuk mula menulis.

Tapi InsyaAllah, aku berazam untuk kembali istiqomah menulis. Mudah-mudahan ada kebaikan pada aku sendiri dan orang yang membaca.

Teringat lagi minggu lepas masa makan kat Sushi King Alamanda, masa nak bayar tu, cashier tu tegur, "Tak ada buku baru ke?"

Terkejut aku. Dalam hati duk terfikir, dia ni salah orang ke. Lepas agak lama aku terdiam, aku pun balas, "Eh saya dah bersara tulis buku".

Dia ketawa. "Muda lagi nak bersara".

Aku pun memang tak la tua mana. Baru minggu lepas celebrate birthday yang ke 26. Tapi syukur alhamdulillah, di usia ni Allah dah beri macam-macam nikmat. Nikmat keluarga, isteri, anak, pekerjaan, kehidupan, dan tak terhingga banyaknya.

Bercakap soal nikmat, tak langsung kita bercakap soal syukur. Tiap-tiap nikmat yang Allah bagi, wajib kita syukuri. Bersyukur ni pulak bukan setakat di bibir. Bibir sebut alhamdulillah, tapi hati dan anggota badan, buat benda tak betul.


Nikmat yang kita ada hari ni cuma pinjaman daripada Allah. Bila-bila masa saja Allah boleh ambil. Ramai yang tak sedar tentang konsep pinjaman. Sebab tu bila ada, buat-buat tak sayang. Bila dah diambil, baru pandai meratap.

Antara nikmat paling besar ialah nikmat kesihatan. Bila badan kita sihat, semua benda boleh dibuat. Nak bekerja pun seronok. Nak beribadat pun larat.

Aku bersyukur aku sihat. Tapi isteri aku Allah uji dengan sedikit penyakit SLE. Tapi alhamdulillah SLE dia pun tak adalah teruk mana. Belum sampai affect buah pinggang dan fungsi hati dan jantung. Cuma bila dah sakit ni, memang ada had dan ada perkara-perkara yang perlu pantang.

Tak apalah. Tak perlu cerita dengan detail.

Cuma nak kata di sini, kita wajib bersyukur dengan apa yang kita ada. Yang belum ada, tak salah untuk kita berniat atau bercita-cita untuk miliki. Kalau ada kereta sebiji, tak salah berfikir untuk ada rumah sendiri pula.

Cuma gunakan nikmat yang ada itu untuk kebaikan.

Dan usahakan untuk mendapat benda lain melalui cara yang halal dan betul.

Kadang-kadang kita ni sebab mahu mengejar nikmat dunia yang sedikit, kita sanggup gadaikan nikmat di akhirat. Kita ni sebenarnya sudah dijamin tempat untuk syurga, tapi kadang-kadang kerana perbuatan kita sendirilah yang membuatkan tiket kita itu tidak sah atau terbatal.

Mungkin lepas ni aku boleh cerita pasal bab cari rezeki yang halal pula.

Doakan aku istiqomah menulis.