Wanita cantik untuk diperisteri

Kami selalu lepak-lepak dengan seorang abang ni. Nama dia Bob (bukan nama sebenar). Abang Bob ni tua lebih kurang 5 atau 6 tahun daripada kami. Abang Bob ni suka bercerita. Cerita-ceritanya banyak kali diselitkan dengan tazkirah dan tausiyah.

Satu hari, Abang Bob bercerita tentang perempuan. 

"Korang tak kawin lagi kan?", soalnya. Dia saja je buat-buat tanya tu, sebab dia dah tahu pun yang kitaorang ni semua masih bujang dan teruna lagi.

"Aku perasan orang lelaki ni kalau nak mencari isteri, dia mesti nak perempuan yang cantik-cantik. Even orang-orang yang baik-baik pun nak pada perempuan cantik. Cakaplah konon-konon nak yang solehah. Tapi kalau perempuan solehah tu tak cantik, agak-agak dia masih nak ke tak?"

"Mesti dia akan buat alasan macam-macam, kononnya istikharah tak mengena la, apa lah... tapi percayalah, kecantikan tu tak akan tahan lama. Cuba tengok, berapa ramai perempuan cantik yang kena cerai dengan suami dia?"

"Kita ni kadang-kadang menyumpah bekas suami dia. Kita kata, 'Bodoh la suami dia. Dapat isteri punyalah cantik lepas tu ceraikan', padahal bila dah kahwin, barulah kita akan nampak satu per satu kelemahan dan kekurangan pasangan kita. Kalau kita kahwini dia sebab dia cantik, maka the moment kita nampak kelemahan dia, maka akan hilanglah kasih-sayang tu"

"Sebab tu jangan cari perempuan cantik, tapi cari perempuan baik"

Itu kesimpulan dia, seorang lelaki beristeri satu.

Dan itu jugalah kesimpulan saya yang bujang empat ini.

Saya kembali teringat pada satu episod rancangan Reflection di Tv Al-Hijrah yang dipengerusikan oleh Imam Suhaib Webb, yang bertempat di sebuah dewan kuliah di UIAM.

Imam Suhaib Webb membicarakan tentang sebuah hadis yang biasa kita dengar,

“Wanita itu dinikahi kerana empat perkara iaitu kerana hartanya, kerana keturunannya, kerana kecantikannya, dan kerana agamanya. Maka pilihlah olehmu wanita yang punya agama, engkau akan beruntung. (Bukhari & Muslim)”

Kata Imam Suhaib Webb, hadis ini sama sekali tak menyatakan bahawa kita perlu mencari pasangan yang kuat pegangan agamanya hingga menolak faktor-faktor lain seperti harta, keturunan dan rupa parasnya.

Sebaliknya, hadis ini memberitahu bahawa semakin banyak ciri-ciri yang disebutkan itu dimiliki oleh pasangan, maka itu adalah semakin baik. The more, the better.

Kerana keempat-empat ciri itu ada kepada isteri Rasulullah yang pertama, iaitu Saidatina Khadijah r.anha. Beliau seorang yang rupawan, berharta, berasal daripada keturunan yang mulia, dan yang paling penting, beliau ialah wanita pertama yang memeluk agama islam.

Bahkan selepas bertahun-tahun kematian beliau, Rasulullah masih menyimpan kerinduan yang mendalam terhadapnya. Bahkan, Saidatina Aisyah r.anha sendiri pun sering cemburu sekalipun dia tidak sekali pun pernah bertemu dengan Saidatina Khadijah r.anha.

Ini menunjukkan keistimewaan Ummul Mukminin, Saidatina Khadijah r.anha.

Hari ini, kita telah berdepan dengan terlalu banyak salah faham tentang jodoh. Ada yang beranggapan bahawa kita perlu saling kenal mengenali sebelum perkahwinan, manakala ada yang berpendapat bahawa kita tak boleh langsung untuk berkenalan melainkan selepas berkahwin.

Maka syariat datang untuk duduk di tengah-tengah.

Manusia bukan robot. Manusia juga bukan binatang. 

Islam memandang perkahwinan itu sebagai suatu yang suci. Dengan perkahwinan, yang sebelum ini haram menjadi halal. Yang sebelum ini berdosa, menjadi berpahala. Kerana itulah perkahwinan seharusnya melahirkan ketenangan, ketenteraman, dan kebahagiaan.

Biar makan hanya sekeping roti.

Biar tidur hanya berlapik tilam nipis.

Kerana itu, soal kahwin bukan soal suka sama suka sahaja. Ia sepatutnya dipandang sebagai suatu yang lebih besar daripada kita.

Kerana nanti kamu akan berkongsi kehidupanmu dengan seorang yang asing bagimu, maka seharusnya kamu bersedia untuk menerima kekurangannya dan bersedia untuk memaafkan kelemahannya.


Cewah. pandai pula aku bercakap :3 
   

Zalimkah kerajaan kita?

Zalimkah kerajaan kita?
Zalim atau tidak corak pemerintahan kita hari ini (16/12/2013) sebenarnya hanyalah persepsi.

Tak percaya? Cuba tanyakan soalan, "Adakah kerajaan kita zalim?"

Maka kita akan dapat dua trend jawapan.

Penyokong Barisan Nasional akan berkata, "Kerajaan cuma melakukan apa-apa yang perlu untuk menjamin kelestarian dan kestabilan negara"

Manakala penyokong Pakatan Rakyat pula akan berkata, "Kerajaan Barisan Nasional zalim!"

(kita abaikan satu golongan lagi iaitu golongan yang tak mahu ambil peduli lansung soal politik)

Apabila kita ada dua pandangan yang berbeza, maka sewajibnya kita kembali kepada sumber rujukan utama kita sebagai umat islam iaitu al-Quran dan Hadis. Sewajibnya, soalan 'zalimkah' itu kita jawab mengikut ukuran al-Quran dan hadis.

Barulah kita dapat lari daripada persepsi, perselisihan, dan kita dapat menemukan jawapan yang muktamad bagi persoalan ini.

Dalam al-Quran, ada beberapa teladan daripada kisah ketua-ketua kerajaan daripada umat terdahulu. Antara yang semua orang maklum adalah kerajaan Firaun dan juga kerajaan Nabi Sulaiman.

Ada juga kerajaan-kerajaan seperti Jalut dan Talut, kerajaan Nabi Yusuf, kerajaan dalam kisah pemuda kahfi, kerajaan dalam kisah ashabul ukhdud, kerajaan Namrud, dan beberapa lagi yang sedikit asing pada kita.

Kita ambil dua yang common sahaja untuk perbandingan. Kerajaan Nabi Sulaiman dan kerajaan Firaun.

Kita tengok bagaimana Firaun memerintah.

Pertama, Firaun menindas (masa itu ialah bangsa Yahudi). Mereka menindas dengan menidakkan hak, memperbodohkan, memeras ugut, memperhambakan, dan sebagainya.

Kedua, kerajaan Firaun membuat perlembagaan yang tak masuk akal seperti setiap anak lelaki yang lahir akan dibunuh.

Ketiga, dalam kerajaan Firaun ahli sihir, pemuzik, dan pengampu diberi tempat yang istimewa di sisi pemerintah.

Keempat, kerajaan Firaun memiliki pasukan tentera yang patuh kepada pemerintah secara membabi buta.

Kelima, kerajaan Firaun memiliki pemerintah yang ego, mengaku dirinya sebagai Tuhan, takabbur, dan sombong.

Jika lima ciri ini wujud dalam pemerintahan kita pada hari ini, maka itu petanda ada 'zalim' yang perlu diubati.

Kemudian kita lihat pula kerajaan Nabi Sulaiman.

Pertama, pemerintahnya sangat merendah diri, soleh dan taat kepada Allah.

Kedua, pemerintahnya bijak menyelesaikan masalah rakyat jelata serta bersedia mendengar keluhan dan permasalahan mereka.

Ketiga, pemerintahan itu dihormati bukan ditakuti apatah lagi dibenci.

Keempat, pemerintah itu sangat berhati-hati dalam menggunakan aset dan kekuasaannya agar dia tidak menganiaya walaupun kepada seekor semut.

Kelima, pemerintah itu sentiasa bercita-cita untuk menyebarkan agama islam kepada kerajaan jiran.

Jika wujud ciri-ciri ini, maka itu petanda kepada wujudnya keadilan.

Adil juga boleh dilihat dalam sejarah, melalui teladan para Anbiya' dan khilafah yang mengikut acuan para Nabi. Kita boleh ambil contoh bagaimana telitinya para sahabat Nabi dalam menguruskan harta negara sampaikan ada mereka yang bergelar ketua negara tetapi tidak memiliki apa-apa pun kecuali beberapa helai pakaian dan beberapa keping roti sahaja.

Ada pemimpin yang tak tidur malam semata-mata mahu memastikan urusan rakyatnya terjaga.

Ada yang sanggup bergelap di tengah-tengah malam kerana takut sekiranya pelita yang memancarkan api itu digunakan untuk kepentingan peribadi, bukan untuk negara.

Ada yang pakaiannya hanya sepasang, yang tiap-tiap kali lepas solat di masjid, dia terpaksa bergegas pulang kerana isterinya memerlukan pakaian yang dipakainya untuk dia menutup aurat dalam solat.

Sampai macam tu sekali takutnya mereka untuk menjamah sesuatu yang diamanahkan kepada mereka, yang bukan untuk mereka miliki.

Hinggakan jika susah, biar pemerintah yang susah dahulu.

Dan jika senang, biar pemerintah yang terakhir sekali.

Saya teringat balik kepada satu peristiwa yang berlaku pada diri saya. Semasa saya baru sahaja keluar daripada kereta (balik daripada kerja), seorang kanak-kanak dalam likungan 10-11 tahun datang kepada saya,

"Pak cik, boleh tak beri saya sedikit duit? Emak sudah 2 hari tak masak nasi. Beras dekat rumah dah habis. Tak ada duit nak beli"

Saya cukup kenal dua budak perempuan itu. Adik-beradik. Tiap kali kalau surau ada buat jamuan atau kenduri, mereka pasti akan tebalkan muka untuk meminta makanan untuk dibungkus dan dibawa pulang. Bukan satu bungkus. Bukan dua bungkus, tapi lima bungkus!

"Satu untuk ayah, satu untuk emak, dua untuk adik, dan satu lagi untuk kakak"

Saya tak rasa kalau di rumah kita ada makanan, kita nak meminta-minta sebanyak itu dengan orang.

Demi Allah,

Masih terlalu ramai orang yang susah di Malaysia. Dalam kejiranan kita sendiri pun mesti ada satu atau dua keluarga yang miskin. Hidupnya serba kekurangan dan tidak mencukupi. Anak orang lain pergi sekolah pakai kasut baru, anak dia pakai kasut yang sama sejak 3 tahun lepas. Anak orang lain lepas sekolah pergi kelas tuisyen, anak dia lepas sekolah terpaksa tolong emak berniaga kuih di tepi jalan.

Lepas tu datanglah 'orang kerajaan' memberikan 'saman' kerana si ibu tidak ada duit untuk mendapatkan lesen berniaga.

Kemudian, datang pula cukai yang pelbagai. Segala macam subsidi mahu ditarik. Petrol dan gula, kedua-duanya macam oksigen bagi orang susah. Perbezaan 20 sen mungkin nampak kecil, tapi bagaimana dengan orang-orang yang hidup mereka hanya 'mampu menyimpan 20 sen'?

Rakyat yang sedia susah, tambah disusahkan.

Umpama seseorang yang ditikam perompak, dua kali. Tikaman pertama yang mencederakan dan tikaman kedua yang membunuh!

Bertaqwalah kepada Allah.

Abu Dzar R.A, seorang lelaki yang berani menyatakan keislamannya di tengah-tengah kota Mekah (masa awal islam) dan dibelasah hingga separuh mati oleh orang kafir, pernah meminta agar dia diberikan sedikit jawatan dalam pemerintahan islam.

Lelaki sebaik dan sehebat itupun dinasihati oleh Rasulullah S.A.W, “Wahai Abu Dzar, sesungguhnya engkau lemah, sementara kepimpinan adalah amanah. Dan sesungguhnya pada Hari Kiamat ia akan menjadi kehinaan dan penyesalan kecuali orang yang mengambil dengan haknya dan menunaikan apa seharusnya ia tunaikan dalam kepemimpinan ini"

Maka sebagai rakyat jelata, izinkan saya berpesan,

Jika sekiranya tujuan kamu menjadi pemerintah adalah untuk memudahkan kehidupan kamu dan kaum keluargamu sahaja, dan menyusahkan kami orang kebanyakan, maka kezalimanmu akan menolakmu masuk ke dalam azab yang hina.

Dan jika kamu yang membuang kertas undi juga membuang undi dengan maksud mahu mengangkat pemimpin sebegitu, sedang kamu mengetahui, maka kamu telah bersubahat dengannya.

Allah suruh kita saling bantu-membantu dalam urusan kebaikan.

Allah yang sama jugalah yang mengharamkan kita bantu-membantu dalam soal kerosakan dan kezaliman.
 

All iz well.

All iz well.
"Allah tak pernah jemu memberikan pahala kepada hamba, cuma takut-takut, hambaNya saja yang akan jemu untuk melakukan kebaikan"

Kerana manusia itu sifatnya berkeluh-kesah dan terburu-buru. Lagi-lagi orang muda. Berfikir tak panjang, merancang tak rapi.

Semua mahu kejayaan segera. Mahu hasil segera.
Perlu diingat. Kejayaan itu seperti sebuah pingat. Cantik. Menonjol. Dan bersinar.

Tapi jangan dilupakan, yang sebenarnya pingat yang cantik nan megah itu datangnya daripada logam bernama emas, yang melalui satu proses yang terlalu panjang sebelum kecantikannya benar-benar dapat dinikmati oleh mata-mata yang melihat.

Digali, ditapis, dibersih, diasing, dibakar, ditempa, dan sebagainya. Budak-budak engineering pastinya lebih tahu.

Maka, begitulah dengan kejayaan dalam hidup. Jika mahukan kejayaan, maka kita perlu rela untuk melalui proses-proses yang payah.

Dilayan dengan kesukaran.

Diulit dengan kekurangan.

Agar kita sedar, kita manusia yang memerlukan. Hidup ini sebuah legasi perjuangan. Perlu ada sinergi. Perlu ada sahabat. Perlu ada perlawanan. Perlu ada senjata. Perlu ada perisai.

Kejayaan bukan datang dari katil yang empuk. Bukan dari makanan yang sedap. Bukan daripada kelazatan-kelazatan yang tidak tentu hala. Tiada tujuan, tiada bermatlamat.

Berusahalah. Kerana rezeki Allah itu luas. Berusaha selagi mampu. Selagi ada tulang empat kerat, maka selagi itulah tuntutan berusaha itu terpikul.

Kata seorang sahabat saya,

"Kita hidup ini sentiasa perlu ada hubungan dengan Allah dalam setiap masa. Tak boleh terputus sekejap pun, kerana dalam hidup ini, kalau orang nak buat jahat kepada kita, maka siapa yang boleh selamatkan kita kalau bukan Allah? Hidup ini penuh dengan kezaliman. Siapa berkuasa, dialah pemenang. Kerana itu perlu ada Allah dalam hati kita supaya kita tahu, sekalipun manusia lain tidak tahu derita kita, tapi Allah tetap tahu. Allah tetap ada"

Sigh...

Makin dewasa, makin kita kenali pekerti.

Hidup ini tidak mudah.

And things won't get any easier.
  

Berlatihlah untuk menjadi ahli syurga

Berlatihlah untuk menjadi ahli syurga

Semua manusia akan mati. Tak kiralah mati masa umur baru 10 tahun, atau semasa sudah 60 tahun. Semua manusia juga akan mati sekalipun secara mengejut, sakit kronik, ataupun semasa sedang melakukan apa yang dia suka.

Maknanya setiap daripada kita ini sama sahaja. Kita tidak tahu bila kita akan mati dan kita juga tidak tahu bagaimana kita akan mati.

Jadi, ramailah antara kita meminta kepada Allah agar diberikan umur yang panjang kerana bimbang-bimbang, jarak usianya dengan kematian cuma sehari dua.

Ada juga yang meminta agar dimatikan dengan cara yang tidak menyakitkan atau mengerikan, kerana gerun dan tak sanggup menanggung penderitaan.

Padahal sedar atau tidak, itu semua tidak penting.

Tetapi yang paling penting ialah bagaimana kita menggunakan masa kita yang suntuk atas dunia ini untuk mati. Adakah kita gunakannya untuk kebaikan, atau sebaliknya.

Maka, untuk refleksi diri kita masing-masing, kita wajar bertanya beberapa soalan penting kepada hati nurani kita.

Apa yang kita cari di dunia ini?

Sepatutnya jawapan kita ialah AKU MENCARI KEREDHAAN ALLAH.  

Jika jawapan kita selain daripada itu, kita tahu bahawa ada sesuatu yang tak kena dengan kehidupan kita.

Tetapi jika jawapan kita ialah seperti yang diatas, kita perlu membuat perancangan dengan masa dan potensi diri kita.

Nak masuk syurga tak semestinya dengan ibadah-ibadah khusus khusus berbentuk ritual. Itu salah faham yang perlu kita buang jauh-jauh.

Kita tak mahu melahirkan generasi umat islam yang baik tetapi tidak memberi manfaat kepada ummat islam khususnya dan umat manusia umumnya.

Kita mahu melahirkan umat islam yang boleh memberi manfaat kepada masyarakat di sekitarnya melalui kepakarannya, wang ringgitnya, kemahirannya, dan sumber daya tubuhnya.

Tetapi, sebelum mencapai tahap memberi, seseorang perlu belajar untuk memberi.

"Aku bukan tak mahu bersedekah kepada mangsa banjir, tapi aku perlu guna duit aku ini. Nanti hujung bulan ni bila gaji dah masuk, aku janji aku akan beri"

"Aku bukan tak nak ikut kau pergi kuliah ustaz tu, tapi aku ada exam lusa. Jadi aku nak kena buat ulang kaji. Bila aku free nanti aku join"

"Aku bukan tak nak ikut halaqah, tapi aku takut aku tak boleh beri komitmen. Emak aku suruh study dulu. Tak pe, dah kerja nanti aku join lah korang"

"Aku bukan tak nak pergi solat berjemaah, tapi aku penat ni. Baru balik dari kerja. Consider la sikit. Takpe, cuti nanti aku datanglah"

Percayalah, inilah wajah-wajah manusia yang tertipu dengan bisikan syaitan.

Syaitan telah membisikkan kepada mereka, "Nanti bila kau sudah kaya, lagi banyak kau boleh menyumbang. So simpan dulu duit tu"

Syaitan akan kata lagi, "Kau studi biar result kau gempak. Bila dah gempak, dapat kerja elok, time tu la baru ko pergi belajar agama. Duit pun ada. Kereta pun ada. Senanglah nak pergi masjid"

Syaitan juga akan berkata, "Kau join usrah ni, result kau mesti akan jatuh punya. Kau tengoklah, kawan-kawan kau tu tiap-tiap minggu meeting. lepas tu ada program sana-sini lagi. Bila masa diorang nak study"

Syaitan juga akan kata, "Rilekslah. Kau tu penat baru balik kerja. Tunggu nanti dah tak kerja, pencen, kau duduklah kat masjid selalu. Sekarang ni waktu untuk kumpul duit. Solat sendiri pun sebenarnya dah cukup elok dah ni"

Demi Allah,

Jika diwaktu susah, payah, dan kekurangan, kita tak mampu untuk menyumbang dan melakukan kebaikan, maka percayalah yang bila kita senang, mewah, dan serba cukup... kita pasti lebih-lebih lagi takkan mampu.

Jangan sampai terpedaya dengan godaan dan penipuan syaitan. Mereka sudah berjaya menyesatkan ramai manusia hanya dengan "tak apa" dan "nanti dulu".

Berlatihlah untuk menjadi ahli syurga.

  

Aku kucing, kau anjing.

Aku kucing, kau anjing.
[Credit]
Dalam tempoh tak sampai sebulan, macam-macam dah berlaku dalam dunia islam kita.

Salah satunya ialah apabila seorang mufti menuduh seorang bekas mufti sebagai Wahabi.

Saya tak reti nak komen pun sebenarnya. Silap komen nanti, saya pula yang akan bermasalah.

Cuma saya faham bahawa fahaman wahabi ialah fahaman yang tidak boleh kita terima. Saya bukan nak katakan yang kawan-kawan kita daripada manhaj itu tidak betul, tetapi saya lebih suka dan gembira jika kita (orang awam) dapat memantapkan akidah kita sendiri.

Tak payah nak terikut-ikut dengan orang. 

Kita kena pahat di dalam hati kita bahawa Allah S.W.T tidak menyerupai makhluk walaupun sedikit. Jadi apabila seseorang mahu kata yang Allah 'duduk' di atas Arasyh, maka kita akan menolak dengan alasan bahawa 'duduk' ialah perbuatan makhluk, dan 'di atas Arasyh' pula ialah ruang dan tempat.

Sebaliknya saya akan berpegang dengan nasihat Syeikh Fathi Yakan di dalam kitab karangannya, 'Apa ertinya saya menganut islam';

Saya mestilah berkeyakinan bahawa pendapat para salafus-soleh lebih utama untuk diikuti supaya dapat menyelesaikan permasalahan yang berhubung dengan ta'wil, pembekuan nas, dan menyerahkan perkara-perkara seperti itu kepada ilmu dan pengetahuan Allah.

Sebab itulah bila orang mula mempersoalkan tentang 'Allah ada tangan? Allah duduk? Allah ada wajah?'... maka mereka sebenarnya sudah pun melakukan bid'ah sebab generasi terawal islam tak pula nak memperdebat tentang ini.

Sebaiknya, kita hempuk kepala dia dengan buku tanya balik, "Kau ni dah cukup study pasal ciptaan-ciptaan dan kekuasaan Allah ke sampai nak study pasal dzat Allah ni?"

Mungkin sebab kita ini terlalu banyak masa lapang, sampaikan benda-benda ini pun menjadi agenda utama kita, melebihi agenda kita untuk menjadikan kalimah Allah di kedudukan tertinggi. Memadailah untuk kita imani bahawa Allah tak menyerupai makhluk dalam apa-apa segi sekalipun.

Allah lebih mengetahui sedangkan kita tidak mengetahui apa-apa pun kecuali sedikit sahaja.

Selesai satu masalah. (Sebenarnya belum lagi).

Masalah kedua yang makin berleluasa pula ialah tentang kewujudan golongan sikit-sikit bid'ah.

"Setiap bid'ah ialah sesat dan setiap kesesatan tempatnya ialah neraka!"

Mereka baca hadis itu kepada kita.

Saya ada satu kisah nak dikongsi. Murabbi saya pernah cerita tentang seorang bekas mufti Mesir (saya lupa nama dia) yang bertemu dengan seorang anak muda yang terlalu radikal (ekstrem).

"Apakah pandanganmu tentang orang-orang yang minum arak?", tanya mufti.

"Meraka akan ke neraka", jawab pemuda tadi.

"Apa pandangamu kepada orang-orang yang berzina?", tanya mufti itu lagi.

"Mereka juga akan ke neraka"

"Apa pandanganmu jika aku menyuruhmu untuk membunuh mereka?", mufti itu mahu mengujinya.

"Aku sanggup untuk membunuh mereka kerana mereka layak untuk dibunuh. Mereka penghuni-penghuni neraka"

"Maka engkau sedang membantu syaitan dan memudahkan kerja-kerja syaitan!", tegur mufti itu.

Pemuda yang sedang meluap-luap marah itu bingung.

"Bukankah tugas syaitan itu ialah untuk membuatkan manusia masuk ke dalam neraka? Maka adakah kau mahu membantu dan mempercepatkan syaitan untuk memasukkan manusia ke dalam neraka?"

Kisah ini sebenarnya mengajak kita untuk kembali merenung kepada sebuah hadis nabi,

Sesiapa yang menuduh seseorang itu sebagai kafir atau sesat sedangkan itu tidak benar, maka tuduhan itu kembali kepadanya (maksud hadis, mutafaqun alaih)

Nak tunjuk atau tunding salah orang, itu kacang je. Nak kata itu haram, itu salah, memang senang sangat. Tetapi apa selepas itu?

Nak kata suatu perkara itu bid'ah atau tidak, kita memerlukan panduan ulama. Bukan dengan kita baca buku, kita boleh amend sesuatu syiar agama. Macam yang Ustaz Azhar Idrus katakan, sesuatu itu akan jadi bid'ah kalau ada ijmak daripada ulama-ulama di seluruh dunia.

Kalau ulama sepakat kata amalan itu bercanggah dengan islam, maka bolehlah kita nak kata benda tu bid'ah.

Kalau benda yang khilaf, buat cara khilaf.

Anehnya, bila masuk bab ijmak seperti orang islam pergi main dengan pelacur di Lorong Haji Taib, kenapa puak sikit-sikit bid'ah tak nak tegur dan bersuara padahal tak ada seorang ulama pun yang mengatakan melacur dan melanggani pelacur itu harus pada syarak!

Saya sangat tak faham. Maksiat dan kezaliman yang terang benderang di depan mata dia buat-buat tak nampak, tetapi benda-benda furuk dan khilafiyah, benda itulah yang dia besar-besarkan.

Contoh yang lain pula ialah berkenaan amalan berzikir dengan lantang (suara kuat) selepas solat.

Marah betul dengan orang yang berzikir, tapi tak marah pula dengan orang yang berkaraoke sampai tak solat-solat.

Marah betul dengan orang yang membaca tahlil kepada orang mati, tapi tak pula marah kepada orang yang pakai seluar pendek atau tudung singkat yang datang semasa menghantar si mati ke kuburan.

Mungkin pada sesetengah orang, saya ialah contoh manusia yang tak sensitif.

"Mana boleh mereka-reka syariat dan ibadah"

"Orang yang membuat satu ibadah dengan fadhilat dan kaifiat baru, mereka sudah membuat bid'ah"

"Banyak lagi benda yang betul-betul sunnah yang Nabi ajar, kau tak mahu buat. Tapi apa yang Nabi tak ajar, kau nak buat pula".

No problem, sebab saya pun sebenarnya cukup setuju dengan laungan tajdid dan revolusi agama.

Tajdid bukan laungan untuk membuat agama baru.

Tajdid ialah laungan supaya kembali kepada islam yang asli. Yang didasari dengan ilmu bukan dengan persangkaan dan adat turun-temurun.

Namun begitu, tajdid dan revolusi ini janganlah digerakkan dengan jalan perdebatan yang ditunjangi emosi. Bukan dengan hujah-hujah yang sinikal. Bukan dengan contoh-contoh yang provokatif. Tetapi dengan jalan ilmu yang panjang.

Bukan sekadar dengan menelaah kitab-kitab dari Madinah!

Hari ini, umat islam makin tenat.

Yang tidak cukup solat 5 waktu rasanya lebih daripada separuh.

Yang tidak menutup aurat dengan sempurna rasanya lebih daripada separuh.

Yang percaya kepada sihir, tangkal, dan azimat, juga rasanya masih lebih daripada separuh.

Yang berjudi, minum arak, main perempuan, hisap dadah, mencabul, merogol, mencuri... semua itu pun tak terkira banyaknya.

Mengapa semut di seberang kita boleh nampak, tapi gajah di depan mata kita tak boleh nampak?

Benda-benda khilaf yang tak ada ijmak, janganlah diperbesar-besarkan.

Kita menyembah Tuhan yang sama dan meneladani Rasul yang sama.

Nabi kita tak pernah ajar kita untuk berdebat macam orang bodoh, tapi Nabi kita sentiasa ajar kita supaya mempunyai visi untuk menyebarkan agama islam ke seluruh dunia hinggakan bayi yang terakhir lahir pun, dapat lahir dalam agama islam.

Tapi kita, masih dengan hukum baca doa qunut semasa solat subuh?

Huh, kalau macam ni lah, sampai bila islam nak berkembang di Malaysia?
   
    

Berkat

Berkat
Credit
Apa yang kita faham dengan berkat?

Perkataan itu sebenarnya masih asing kepada segelintir kita, tidak seperti perkataan 'berikanlah' dan 'kurniakanlah'. Buktinya, tiap kali kita menadah tangan dan berdoa, yang kita minta ialah agar kita 'diberikan' pekerjaan, wang yang banyak, rumah yang selesa, keputusan peperiksaan yang cemerlang... atau meminta agar 'dikurniakan' dengan isteri yang solehah, anak yang soleh, dan sebagainya.

Tak pula saya kata permintaan-permintaan itu salah atau tidak sunnah.

Cuma kalau kita diberikan keberkatan di dalam urusan-urusan kehidupan kita atas dunia ini, maka kita dah pun hit the jackpot. Kita sudah memiliki semua yang kita perlukan.

Berkat bermaksud 'bertambah kebaikan'. Dalam kuliah maghrib daripada Ustaz Prof. Ahmad Faisal, beliau menjelaskan lagi dengan menyatakan berkat itu sebagai stable and growing. Stabil dan bertambah-tambah.

Sebagai contoh, seseorang yang diberikan kenaikan pangkat dan kenaikan pangkat itu tidak pula membuatkan dia semakin lalai daripada tanggungjawabnya.

Jika sekadar bertambah gaji dan elaun, tetapi solat berjemaah sudah jarang-jarang, masa untuk keluarga makin sedikit, hubungan bersama isteri makin keruh, itu bukan berkat.

Ini bermakna, keberkatan ialah sesuatu yang kita perlu usahakan.

Hari ini setiap orang diberikan rezeki. Semua orang makan tapi adakah semua orang memakan dari rezeki yang berkat?

Hari ini setiap orang belajar tetapi adakah semua ilmu yang masuk ke dalam hati itu semuanya berkat?

Hari ini setiap orang pun bekerja tetapi adakah pekerjaan mereka pekerjaan yang berkat?

Untuk mengatakan yang semua orang mendapat berkat, itu tidak betul. Orang kafir pun dapat rezeki, tapi adakah mereka dapat berkat?

Berkat ialah suatu kemuliaan untuk orang beriman. Bukan sekadar islam, tetapi perlu beriman.

Dalam kuliah Ustaz Prof. Ahmad Faisal, beliau menyatakan keberkatan itu perlu diraih dengan dua cara. Pertama, perlu wujud hubungan dengan Allah dalam usaha kita dan yang kedua, perlu menggunakan sumber daya dengan maksimum.

Dalam hadis yang mahsyur disebutkan bahawa setiap perbuatan yang bermanfaat jika dimulakan tanpa menyebut nama Allah, maka akan hilanglah keberkatan daripadanya. Adalah suatu sunnah bagi kita untuk memulakan setiap perkara dengan membaca bismillah. Bahkan Rasulullah S.A.W banyak sekali mengajar doa-doa yang ringkas sebelum dan selepas kita melakukan sesuatu.

Antara tujuannya ialah supaya kita tidak terpisah dengan rasa bertuhan. Ini ialah latihan kepada kita supaya kita tidak termakan dengan virus-virus sekular dan aliran-aliran yang seumpamanya, yang cuba memisahkan Islam (dan Allah) daripada pekerjaan seharian kita.

Berkat juga datang dengan kesungguhan. Orang yang bersungguh-sungguh, tidak akan rugi. Sekalipun kita mungkin tidak dapat apa yang kita mahu capai, tapi setidak-tidaknya kita sudah berikan pahala, pengampunan, dan ihsan belas daripada Allah dek kerana kesungguhan kita.

Ada orang gajinya sedikit tetapi duitnya tak pernah habis. Ada segelintir pula bergaji 5 angka tetapi tak pernah dapat berjaya menabung. Perkara ini boleh berlaku mungkin kerana orang yang bergaji kecil itu tadi menggunakan sumber dayanya dengan cara yang terbaik. Dia ada wang, tetapi dia gunakannya dengan berhikmah.

Makan makanan yang tidak mahal dan menjauhi pembaziran.

Membeli barangan secara serba-cukup dan menjauhi pemborosan.

Memanfaatkan apa yang sudah dimiliki dan menjauhi rasa mahu 'show-off' atau 'rasa mahu impress orang'.

Akhirnya yang bergaji sedikit tadi mampu menabung untuk ke Tanah Suci tetapi yang bergaji besar tidak mampu untuk ke sana.

Saat ini, dapat saya simpulkan bahawa kita tidak perlu terlalu ghairah untuk mencari sesuatu yang namanya rezeki. Yang namanya rezeki itu, Allah sudah tentukan sejak kita belum pun lahir lagi.

40 hari kita di dalam kandungan, dituliskan kepada kita kadar-kadar dan sukatan rezeki kita di atas dunia ini. Kita berusahalah sampai tercabut anak tekak sekalipun, rezeki kita tetap seperti yang Allah takdirkan.

Mungkin ada yang beranggapan, kalau aku tak berusaha aku tak akan berjaya.

Tapi sebelum itu kita kena define dulu makna kejayaan itu sebenarnya apa.

Berjaya sampai tertinggal solat berjemaah? Berjaya sampai tak boleh bertahajjud walaupun seminggu sekali? Berjaya sampai ibubapa tidak diziarah, tidak disantun? Berjaya sampai tak ada masa nak menuntut ilmu agama?

 Nabi Muhammad S.A.W sendiri diajar secara direct oleh Allah S.W.T melalui surah al-fath. Dalam peristiwa fathul makkah (pembebasan Kota Mekah), apakah yang Allah perintahkan kepada Baginda?

Fasabbih... bihamdi rabbika...wastaghfir...

Bertasbihlah... Dengan Memuji Tuhanmu... Dan Beristigfarlah...

Kejayaan sebenar tak boleh lari daripada ketaatan, keyakinan, kepercayaan, dan keakraban dengan Allah.

Sebab tu kadang-kadang kegagalan kita ialah sebenarnya kejayaan kita.

Sebab barangkali dengan kegagalan, kita diselamatkan daripada fitnah-fitnah dunia, seterusnya diselamatkan daripada menjadi patung boneka yang bernyawa, tetapi tiada lagi ruh-ruh agama di dalamnya.

Ayuh, kita cari keberkatan di dalam setiap perbuatan dan tindakan kita. Kerana kita bukan mahu mengejar habuan-habuan dunia yang sedikit, tetapi kita mencari sesuatu yang lebih besar; kita mencari keredhaan Yang Maha Besar.

Jika kita mahu mendapat keredhaan Allah di akhirat, maka kita perlu mencari keredhaan Allah di dunia.

Everything will fall into their rightful places, at their rightful time.

And i am believing, and will still believing.