April 29, 2013

Perpaduan pasca PRU 13. Di mana titik mulanya?


Artikel ini sepatutnya hadir selepas PRU. Tetapi kerana saya diajukan soalan secara khusus oleh ramai orang terutamanya mengenai pilihanraya yang bakal terlaksana tak lama lagi, maka saya cuba untuk menjawabnya atas kapasiti saya sebagai seorang orang awam yang cetek pengetahuannya dan sedang belajar tanpa henti insya-Allah.

"Kawan saya kata haram mengundi kerana kita menyokong perpecahan sesama umat islam"

Itu antara keratan mesej-mesej yang disampaikan ke dalam peti masuk akaun Facebook saya.

Masya-Allah,

Perpecahan memang sentiasa berlaku kerana perbezaan antara kita memang sentiasa wujud. Kita berbeza dalam hampir semua perkara, daripada yang sekecil-kecilnya hinggalah yang sebesar-besarnya. Daripada berbeza pandangan untuk memilih menu sarapan pagi hinggalah kepada berbeza pandangan bagi menentukan siapa pemimpin pilihan hati.

Tetapi semasa kita berbeza pendapat tentang menu sarapan pagi, adakah kita bergaduh? Ada tak kita bertelagah?

Masa kita berbeza citarasa tentang warna pakaian kegemaran kita, ada tak kita bergaduh?

Semasa kita berbeza pilihan tentang siapa yang sepatutnya tersingkir daripada dapur master chef (saya tak menontonnya cuma pernah menontonnya kerana kakak-kakak saya pun menonton rancangan ini), ada tak kita berkelahi?

Tidak.

Tapi mengapa dalam urusan memilih ketua atau wakil kepada 'suara' kita, kita sampai bergaduh?

Jawabnya kerana akhlak buruk kita.

Apabila kita mula membuka mulut untuk mencerca orang, mencaci maki orang, mengambil hak milik orang, menahan hak orang daripada diberi, menyakiti hatinya, melakukan provokasi-provokasi liar, memfitnah, dan menyumpah seranah orang lain... maka bertepuk tanganlah para syaitan kerana dia sudah berjaya untuk membuatkan dua orang anak adam saling berkelahi.

Cuba kalau kita tahan diri kita daripada mengeluarkan kata-kata bernada sinis dan sarkastik, dan menjaga lisan kita daripada memaki hamun dan menabur fitnah, maka sudah tentu kita mampu untuk berpolitik secara sihat.

Tiada yang akan berkelahi dan tiada yang akan terluka jiwanya.
Itu yang perlu kita sama-sama faham. Sikap kita sendiri yang menyebabkan kita berpecah. Lalu bagaimana mahu merapatkan yang jauh, mencantumkan yang retak, menampalkan yang terkoyak?

Demi Allah, sekalipun kita ada sejuta perbezaan, kita juga memiliki sejuta persamaan. Pasti ada. Maka disanalah punca untuk kita berdamai.

Antara banyak-banyak persamaan kita, kita ada satu persamaan yang dikongsikan bersama seluruh umat islam di seluruh pelusuk dunia. Dari Bangalore ke New York, dari Mumbai ke Aberdeen, dari timur sampailah ke barat... kita berkongsi satu persamaan, iaitu kita menyembah Tuhan yang sama dan memandang kepada kiblat yang serupa.

Kita kalau nak satukan manusia, kita cuma dapat satukannya dengan satu perkara sahaja iaitu dengan agama. Kita takkan boleh nak satukan manusia dengan minatnya, dengan hobinya, dengan pekerjaannya, bahkan dengan wang ringgit kita sendiri pun. Benar. Jasad manusia mungkin boleh dibeli dengan wang, tapi jiwanya tidak mungkin mampu dibeli dengan wang ringgit.

Itulah kata Allah di dalam surah al-Anfal, ayat 63.

Dalam surah Ali-Imran pula, datang peritah "wa la tafarraqu", hanya selepas perintah "berpegang teguhlah kamu semua pada tali agama Allah". Kita boleh jumpanya dalam ayat ke 103.

Makanya, nak bersatu atau nak berpecah, semuanya atas dasar agama sebagaimana datangnya firman Tuhan supaya kita tidak menjadikan orang kafir sebagai kawan karib yang kita kongsikan wala' (ketaatan dan kesetiaan) kita kepada mereka.

Jika kalian tanyakan kepada saya apakah rencah kepada perpaduan, maka inilah jawapan saya.

 (1)- Peranan masjid.

Rasulullah S.A.W semasa di awal hijrah Baginda ke kota Madinah, antara 3 perkara pertama yang baginda wujudkan adalah dengan Baginda membina masjid. Masjid di zaman itu peranannya jauh melangkaui masjid-masjid kita.

Antara peranan masjid di zaman Rasulullah S.A.W dan generasi emas, salafussoleh adalah tempat ibadat, tempat mesyuarat urusan pentadbiran, tempat menyambut tetamu, tempat menuntut ilmu, tempat menahan tawanan, dan tempat konsultansi bagi masalah agama, sosial dan ekonomi.

Hari ini, kita hilang semua perananya sampaikan peranan masjid sebagai tempat solat pun sudah jarang-jarang wujud. Masjid kita pada hari ini hanya menjadi tempat pelancongan, tempat persinggahan untuk tumpang tandas, tempat pasangan mempelai diijab kabul, dan tempat menguruskan jenazah.

Di mana para kaum muslimin semasa muazzin melaungkan azan?

Jika kita berasa malas untuk datang ke masjid kerana perintah Allah, maka bagaimana kita nak bersatu hati?

Sebab itulah antara kunci perpaduan ialah dengan solat berjemaah. Hari ini, ramai ahli politik yang menyeru kepada kesatuan ummah. Tetapi dalam masa yang sama, bayang-bayangnya pun tak kelihatan untuk solat berjemaah.

Di dalam sebuah banyak hadis, ditunjukkan bahawa Rasulullah seringkali berpesan kepada para sahabat untuk meluruskan saf-saf solat mereka kerana dengan melatih disiplin itu, Allah S.W.T akan meluruskan hati-hati mereka.

Masalah perpecahan dalam islam ini sebenarnya bukan hanya dalam kalangan orang awam sahaja. Dalam kalangan penuntut-penuntut ilmu dan para aktivis islam pun, ia berlaku. Kalau ikutkan sejarah, di zaman awal-awal kemunculan mazhab syafie pun ada pengikut mazhab maliki yang taksub, sampai mereka-reka hadis menyatakan Imam Syafie sebagai dajjal. Pengikut mazhab syafie yang taksub dengan mazhab ini pun tak kurang jahatnya kerana mereka juga mencipta hadis mereka bagi menyerang golongan yang tak sealiran dengan mereka.

Di zaman kita, para aktivis islam pula yang buat hal. Mereka 'pom-pam' bercakap tentang perpaduan ummah tetapi mereka solat berjemaah dengan isteri di rumah. Aneh. Adakah itu sunnah Rasulullah mahupun para sahabat untuk solat dirumah dengan meninggalkan masyarakat?

Dalam ibadah kita seharian, ada amal ifradi dan ada amal jamaa'i. Ada perkara yang boleh dibuat sendirian tapi ada perkara yang Nabi tak ajar kita untuk buat secara sendirian.

Jika bukan kerana solat itu boleh mencegah kita daripada mengutuk orang, mencaci-maki orang, memfitnah, dan membuat aniaya kepada jiran tentangga dan masyarakat sekeliling, mengapa sampai Allah firmankan di dalam surah al-Ankabut bahawa solat itu pencegah daripada fahsya' dan mungkar?

Yang boleh menyatukan manusia ialah agama. Di dalam agama, ada ibadah. Maka jelas bahawa cara agar kita bersatu ialah dengan kita beribadah dengan cara yang soheh dan soreh.

(2)- Peranan Anggota Masyarakat.
Kita baca hadis. Hadis yang cukup popular, iaitu tentang kewajipan seorang muslim kepada muslim yang lain. Iaitu; memberikan salam bila bertemu, memenuhi jemputan apabila dijemput, mengucapkan ucapan 'yarhamkallah' jika dia bersin dan mengucap tahmid, menziarahinya ketika dia sakit, memberinya nasihat ketika dia perlukannya dan mengiringi jenazahnya ke kuburan apabila dia sudah dipanggil Ilahi.

Soalannya, satu sampai enam... kita sudah selesaikan berapa?

Bagaimana mungkin kita boleh bersatu jika apabila bertemu saudara seagama, kita bermasam muka. Usahkan untuk memberi ucapan salam (jauh sekali nak berjabat tangan), nak senyum pun sampai kejang otot muka kita.

Beginikah mahu bersatu?

Jangan remehkan satupun kebaikan sekalipun dengan menyambut tetamu dengan wajah yang manis. Kita tak tahu amal soleh manakah yang Allah terima. Takut-takut, segala solat sunat kita yang banyak itu satu pun Allah tak terima tetapi perbuatan 'tersenyum' kita itu Allah terima. Maka jangan sesekali memandang remeh kepada amal perbuatan yang soleh.

(3)- Mulakan dengan diri sendiri.

Masyarakat pada hari ini telah berpecah kepada banyak kelompok. Bukan hanya kepada PAS dan UMNO tetapi kepada macam-macam corak pemikiran. Ada yang menyembah kuasa, menyembah harta, menyembah pangkat, menyembah populariti, dan berbagai-bagai lagi sembahan-sembahan mereka.

Inilah yang disebut oleh ketua ulama dunia (sekarang), Syeikh Dr. Yusuf al-Qardhawi berkenaan dengan berhala-berhala moden.

Adalah tugas kita, para aktivis islam untuk membawa manusia daripada jauh dengan Tuhan kepada dekat dengan Dia.

Dan caranya ialah dengan kita dakwahkan mereka untuk dekat dengan rumah Allah dan dekat dengan solat berjemaah. Dalam masa yang sama, kita perlu fokus kepada keenam-enam hak-hak kita itu kerana itulah lorong-lorong dakwah bagi kita.

Moga Allah sentiasa bersama kalian,
Para aktivis islami.
  

April 28, 2013

Saya mestilah muslim di sudut akhlak!



Hari ini saya sempat mengulangkaji semula akan apa yang diperkatakan oleh Almarhum As-syeikh Fathi Yakan di dalam kitabnya, Apa Ertinya Saya Menganut Islam?

Pada bahagian pertama, muslim dari sudut akhlak, Asy-Syeikh Fathi Yakan ada menuliskan beberapa akhlak yang semestinya wujud di dalam diri seorang muslim.

Pertama: WARAK.

Dari dahulu lagi saya selalu keliru tentang pengertian warak yang sebenar. Selalu sahaja tertukar dengan alim. Asal jumpa orang yang berjanggut dan berserban, kita panggil dia alim. Semua saya panggil alim. Tetapi alim itu tak semestinya warak. Alim ialah berilmu.

Sedangkan warak, ialah lambang kepada taqwa. Warak ialah kita berhati-hati dengan perkara yang syubhah. Jika dengan yang syubhah pun kita jauhi, dengan yang haram jauh sekali untuk kita dekati!

Kualiti ini jarang-jarang kita temukan. Nak jumpa orang yang meninggalkan yang haram, itu ramailah tetapi nak mencari orang yang menjauhi perkara syubhah (kerana bimbang tergelincir di dalam perkara haram), itu ternyata sangat jarang.

Antara benda yang termasuk dalam WARAK ialah kita tidak israf (atau tidak melampau di dalam perkara-perkara yang harus). Tidak berlama-lama online Facebook. Tidak berlebih-lebih masa makan. Tidak melampau-lampau masa berbeza pendapat, dan beberapa contoh yang kita boleh fikirkan sendiri.

Saya berdoa supaya Allah kurniakan kita sifat warak ini. Amin Ya Rabbal a'lamin.

Kedua: MENUNDUKKAN PANDANGAN.

Menundukkan pandangan bukan hanya kepada opposite gender sahaja, tapi juga kepada sesama jantina. Aurat sesama kita sentiasa ada. Hanya suami-isteri sahaja yang tiada aurat langsung. Menundukkan pandangan juga bukan semata-mata daripada memandang aurat atau kecantikan, tetapi juga daripada memandang pada kelemahan, keaiban dan kekurangan orang lain.

Ubahlah cara kita memandang orang daripada memandang keburukan dan kekurangan, kita ubah untuk memandang pada kelebihan dan kekuatannya.

Ketiga: MEMELIHARA LIDAH.

Pelihara lidah ini ialah antara kunci keselamatan kita di dunia dan akhirat. Rasulullah S.A.W banyak kali berpesan supaya kita jaga lidah kita. Antara kesalahan lidah ialah kita bercakap rafas (cakap lucah), kita mengumpat (memakan daging mayat saudara sendiri), kita menghina orang (sombong), kita mengucapkan kata-kata kufur seperti mempertikaikan hukum Allah dan mempertikai kewibawaan Rasulullah, dan seumpamanya.

Ramai yang mulanya islam tetapi kafir kerana perkataan.

Contohnya ialah golongan anti-hadis, golongan murtad, dan golongan syiah!

Berhati-hatilah dengan lidah kita. Jangan sampai kita dihumban ke dalam neraka kerananya.

Keempat: MALU

Ulama-ulama salaf mendefinasikan malu sebagai "Sifat yang mendoroang kita untuk meninggalkan kejahatan dan menghalang kita daripada mencuaikan hak orang lain"

Sebab tu antara pesanan para anbia yang terawal sekali adalah, "Jika kamu tidak malu, maka berbuatlah sesukahatimu".

Tetapi malu tidak menghalang manusia daripada melakukan perkara-perkara yang betul. Sebagaimana pujian Saidatina Aisyah r.anha kepada perempuan-perempuan Madinah (sebagai sebaik-baik kumpulan perempuan), kerana para wanita Madinah di zamannya, sangat pemalu hinggakan nak keluar rumah pun malu, tetapi tidak malu untuk bertanya hal-hal agama antaranya yang berkaitan dengan haid, nifas, istihadah, dan lain-lain fiqh kewanitaan.

Di zaman ini, usahkan anak gadis, anak teruna pun sudah hilang rasa malunya. Moga Allah rezkikan kita dengan akhlak ini.

Kelima: LEMAH LEMBUT DAN SABAR.

Dalam kitab ini, huraiannya agak panjang sangat tapi secara ringkasnya, lemah lembut dan penyabar ini mendorong kita untuk memaafkan orang dan bukannya untuk membalas dendam kepada orang. Lemah lembut terlihat dengan cara kita bergaul dengan orang. Kita memuliakan orang lain dan kita juga meraikan orang lain.

Sabar ada beberapa kategori. Sabar untuk melakukan kebaikan. Sabar ketiga ditimpakan musibah, dan sabar untuk meninggalkan kemaksiatan (yang ini paling tinggi darjatnya).

Sabar juga bererti kita perlu istiqomah dan menggiatkan lagi usaha kita. Ini pengajaran daripada ayat-ayat Allah mengenai peperangan sebagaimana dinukilkan di dalam surah al-Anfal ayat 65 dan 66.

Jangan putus asa untuk merdekakan Palestin!
Keenam: BENAR DAN JUJUR.

Satu kata-kata daripada Rasulullah S.A.W, "Demi Allah, jika sekiranya anakku Fatimah mencuri, nescaya aku akan potong tangannya juga".

Kebenaran itu bukannya kerana dia kawan kita, dia naqib kita, dia jemaah kita apatah lagi jika dia geng kita. TIDAK!

Kebenaran itu boleh datang daripada sesiapa sekalipun daripada musuh kita. Kerana itu Rasulullah S.A.W sangat-sangat menekankan kepentingan untuk mempejuangkan kebenaran, sebagaimana yang kita selalu dengar, "Katakanlah yang benar sekalipun ianya pahit".

Para aktivis islam, sekalipun kita ni selalu pergi halaqah dan mungkin juga sudah bawa halaqah sendiri, kita perlu ingat yang kita bukannya selama-lamanya betul. Ada kalanya kita salah dan WAJIB untuk kita terima teguran dan peringatan yang diberi oleh orang sekalipun dia ahli maksiat, jika sekiranya apa yang disebutnya itu benar.

Ketujuh: TAWADDUK.

Tawadduk ertinya merendah diri dan bukannya merendahkan harga diri. Itu kena faham betul-betul. Tawadduk ialah kita tak membesarkan diri sendiri, tidak berbangga dengan diri, dan tidak membeza-bezakan diri dengan orang lain.

Ingat kata-kata syaitan yang menyebabkan dia kafir dan dilucutkan kemuliaan, "Aku lebih bagus darinya!" (surah al-A'raf ayat 12).

Kelapan: MENJAUHI BURUK SANGKA, MENGUMPAT, DAN MEMBUKA AIB ORANG.

Moga Allah lindungi kita daripada membunuh maruah saudara kita.

Sebab itu ada satu kata-kata di Facebook yang saya ingat sampai sekarang, "Do not curse others cause they sins differently from you".

Sesiapapun kita, kita ada aib masing-masing. Memanglah syaitan akan datangkan rasa suka dan seronok bila kita dapat bercakap tentang aib orang di belakangnya, lagi-lagi bila orang tu kita memang tak suka. Tapi sejahat-jahat dia pun, kita lagi jahat bila kita mengumpatnya. Sebaliknya, jadilah muslim yang matang. Berbanding membuka aibnya, kita menutupnya. Berbanding membesar-besarkan cerita, kita menutupinya. Berbanding mengumpatnya, apa kata kita nasihati dia.

KESEMBILAM: Pemurah.

Nak jadi pemurah jangan tunggu kaya. Masa kita miskin pun kita boleh jadi pemurah. Ada harta sedikit, maka kita berilah sedikit. Ada banyak, beri banyak.

Pemurah juga ialah dengan memberi bantuan; menunaikan permintaan orang, memberi bantuan masa dan tenaga, dan paling mudah, murah dengan senyuman.

KESEPULUH: Qudwah Hasanah.

Seorang muslim ialah contoh tauladan kepada muslim yang lain dan paling penting, contoh tauladan kepada orang bukan islam.

Dalam konteks paling minumum pula, kita ialah qudwah kepada orang-orang dibawah kita. Anak-anak, dan isteri kita. Tapi ada antara kita yang masih bujang, jadi kita sendiri tetap ialah qudwah, kepada anak-anak jiran kita, anak saudara kita, kanak-kanak, bahkan kepada rakan taulan kita.

Tapi jika perkara satu sampai sembilan di atas pun kita tak memilikinya, kita nak jadi qudwah hasanah yang macam mana?

Nak tak nak, kita wajib mulakannya dengan diri kita sendiri. Jika kita mampu tegakkan islam dalam diri kita, dengan izin Allah, islam itu akan tertegak di dalam negara kita dengan sendirinya.

Kita ubah.
Ini kalilah!

(Perubahan bermula dengan diri sendiri, jangan lupa itu)
 

April 25, 2013

Ini kalilah!


Akhir-akhir ini, saya lihat ada beberapa 'fatwa', pendapat, dan pandangan, yang 'canggung' dan 'aneh' disebar luaskan di Facebook.

PERTAMA:

"Haram undi Pakatan Rakyat sebab PAS dan PKR bersongkol dengan DAP"

Ada juga pendapat-pendapat daripada rakan-rakan kita daripada jemaah yang berbeza, mengatakan PAS ialah 'kuda' DAP. PAS diperkudakan oleh orang kafir harbi, kata mereka. Antara hujah mereka ialah DAP tak mahu dan tak bersetuju dengan pelaksanaan hukuman hudud dan PAS tunduk dengan DAP tentang penggunaan kalimah Allah di dalam bible.

Masya-Allah.

Kalaulah rakan-rakan kita ini keluar sedikit daripada blok-blok jemaah yang sempit, dan meninggalkan wala' yang melampau, nescaya rakan-rakan akan mampu menjawab persoalan ini;

DAP hanya bertanding 51 kerusi parlimen. Kalau ditakdirkan Allah mereka menang semua 51 kerusi, mereka tetap tak boleh nak pegang tapuk pemerintahan. Jadi macam mana mereka nak mengubah Malaysia jadi negara umat kristian (konon-kononnya)? Lagipun kalaulah mereka boleh 2/3 di parlimen pun, adakah raja-raja melayu kita boleh bersetuju nak mengkristiankan Malaysia?

Hakikatnya gereja terbesar dekat-dekat Bukit Jalil itu pun bukan DAP yang bina. DAP ada ke dana sebesar itu?

DAP tak setuju dengan hudud, sebab mereka tak islam. Lagipun yang tak setuju itu bukan semua. Ramai sahaja orang bukan islam yang tak kisah bahkan setuju jika hudud dilaksana. Orang yang takut dengan hukuman hanyalah orang yang bersalah. Kalau kita tak buat salah, kita nak takut apa?

Lagipun orang islam yang tak setuju, tak yakin dan tak berniat nak tegakkan hukum al-Quran, nah, itu yang kita perlu hairan.

Lagi satu. Pasal isu kalimah Allah. Yang menghalalkan bukan PR. Bukan PAS. Tetapi yang memberi izin ialah KDN sejak beberapa tahun lepas. Tapi kenapa tiba-tiba nama PAS disebut-sebut pula?

KEDUA:

"Haram mengundi untuk pilihanraya ini"

Hehehe.

Hizbur tahrir memang bertegas bahawa demokrasi itu haram. Saya tak mahu masuk campur. Atas dasar ilmu, memang mereka ada nas-nas yang mereka berpegang dengannya. Tetapi jika bukan dengan pilihanraya, ada cara lain tak (di Malaysia) ini?

Kaedah fiqh (Imam Syafie); Sesuatu yang wajib tidak sempurna melainkan dengannya, maka ia menjadi wajib.

Contoh;

Pakai baju yang terkena najis sedikit je (orang tak nampak dan tak bau. Kita je yang tahu). Hukum asal, tak wajib tukar pakaian tu. Tetapi bila nak dibawa ke dalam solat, maka kita perlukan pakaian yang bersih dan suci. Maka, pergi tukar pakaian itu pun berubah hukumnya menjadi wajib.

Macam pilihanraya. Kalau parti islam pegang Malaysia, maka banyaklah agenda islam yang kita boleh jalankan. Mungkin satu hari nanti kita pun akan tukar demokrasi dengan sistem syura. Tapi tiba-tiba nak buat sistem syura dalam keadaan rakyat duk ber-'gwiyomi' dan harlem shake... sah, kita memang tak pandang waqi' setempat.

KETIGA:

"Haram undi orang kafir"

Ada dalil-dalil daripada al-Quran yang mereka pegang, tapi ada juga nas-nas yang menidakkan haram. Saya tak mahu kongsi disini. Sebaliknya, cuba google 'hukum mengundi calon bukan islam'. Ada tak kurang daripada puluhan artikel yang membincangkan tentang ini. Tak perlu baca semua kerana ia benda yang sama, diulang-ulang.

Siapa yang kata haram undi orang kafir, tolong 'haram' kerana anda belajar. Jangan taklid buta. Jangan 'tak boleh sebab jemaah saya tak izin'. Jangan 'tak boleh sebab naqib saya kata tak boleh'.

Allah jadikan kita akal untuk kita berfikir. Gunakan sedikit akal itu untuk, 'saya nak faham agama Allah!'. Jangan taklid buta. Hasilnya, kita hanya menurut emosi.

Google! Jangan malas sangat. Bila dah ada ilmu, barulah buat keputusan.

KEEMPAT:

"Tak perlu mengundi kerana sama sahaja jika undi atau tidak mengundi".

Yang ini golongan ego. Mereka fikir orang lain tak boleh (tak mampu) buat kebaikan.

Begini. Kalaulah di kampung kita ada mesyuarat; Satu pihak mahu bina disko. Satu lagi mahu bina masjid. Lalu ketua kampung pun kata, "Kita undi. Mana yang lebih banyak undian, kita akan ikut keputusan itu".

Maka, apa jadi kalau kita tak mengundi?

Kalaulah 22 orang undi, "Kami nak disko". Dan 21 orang undi, "Kami tak mahu disko. Kami mahu masjid", lalu menanglah pihak yang nak disko tu, maka kita telah menangung dosa kerana 'memberi izin' supaya disko didirikan walaupun kita tak kata pun 'saya nak disko'.

Kalau ada dua pihak yang bertanding, satu pihak yang 55 tahun lebih memerintah, kadar rasuah tinggi, pecah amanah tinggi, hiburan tanpa sempadan, kelab malam dan pusat hiburan no-problem... lawan dengan satu pihak yang baru dekat 5 tahun memerintah tapi terbukti (atau sedikit sangat) rasuah, pecah amanah, kawal kemasukan 'objek' hiburan, menggalakkan majlis-majlis ilmu, menyeru rakyat untuk kejar akhirat, menyekat aktiviti hiburan daripada dijalankan sewenang-wenangnya, dan komited mahu islam ditegakkan (bukan tegak dengan air liur sahaja), maka jika kerana kita tak undi... pihak pertama menang, maka kita telah berdosa!

Tapi jika dua-dua pihak nak merosakkan anak bangsa, kita tak undi pun no-problem.

Juga kalau dua-dua pihak pun sama-sama nak majukan islam dan nak tarbiyyah rakyat, kita tak nak undi pun tak jadi masalah.

Jangan samakan pilihanraya Malaysia dengan pilihanraya India. Di India, mungkin dua-dua pihak tak letakkan agenda islam. Sesiapa menang pun, tetap islam tak mendapat layanan yang lebih baik. Jika kita rakyat India yang beragama islam, tak undi pun takde hal.

Sama juga kalau kita rakyat US pun, kalau dua-dua belah pihak memang tak letakkan islam sebagai agenda mereka, memang kita tak mengundi tak jadi masalah.

Tapi sayangnya, kita di Malaysia. 1 undi daripada kita, besar nilainya untuk anak-anak kita dan generasi rabbani yang kita idam-idamkan.

KELIMA:

"ISMA ni macam perisai kepada UMNO je"

Ini tuduhan dan pendapat yang berat, saudara!

Kalau kita mahu dengar dan kaji tentang mereka, maka kita akan sedar bahawa BERJASA bertanding dalam PRU 13 kali ini kerana mahu bawa suara muslim yang berwibawa di dalam parlimen.

Bila seorang muslim berwibawa ramai di dalam parlimen Malaysia, maka nak dapatkan 2/3 agar agenda yang menguntungkan umat islam dan rakyat Malaysia, mudah untuk dilaksana. Begitu juga lebih mudah nak dapat 2/3 untuk halang daripada agenda licik dan jahat daripada terjadi.

Contohnya;

Kalau satu hari nanti, ada cadangan supaya setiap remaja muslim yang nak masuk universiti wajib hafal juzuk 29 dan 30 al-Quran, kalau tak hafal kena masuk pusat tahfiz sampai hafal... maka sudah tentulah ahli parlimen ISMA (kalau ada) akan setuju.

Pihak tu mungkin tak setuju sebab mereka hanya nak anak-anak mereka pandai speaking english. Al-Quran kalau pandai, good. Kalau tak pandai, no problem. Itu merekalah. Kita takkan nak anak-anak kita jauh dengan al-Quran juga kut?

Lagipun bila ISMA perkenalkan moto, "Undilah calon muslim berwibawa", maka sudah tentulah orang yang rasuah, terlibat dalam skandal, yang tak didik anak-anak dengan acuan islam, ialah muslim yang tak berwibawa.

Saya yakin yang orang ISMA akan pilih PAS berbanding UMNO. Seorang muslim sejati tak akan berbohong, kan?

KEENAM:

Ini kalilah!

  

April 18, 2013

Nasib Seorang Tukang Sorak.

  
Saya terbaca satu randam thought daripada saudara Korn Razak, berkenaan dengan tukang sorak.

Tiap kali orang masuk islam, kita seronok bukan main. Tiap kali ada orang dapat hidayah, kita bukan main lagi gembira. Siap post, share dan komen.

Baguslah. Kita wajib gembira. Tapi adakah sekadar itu sahaja?

Jadi tukang sorak sahajakah?

Macam perlawanan bola, kita cuma menjadi penonton. Bila musuh menyerang gawang kita, kita berdoa dalam debar, "Ya Allah janganlah kau berikan mereka menang" dan apabila kita menyerbu ke gawang lawan, kita mula teruja dan bila gol sudah dijaringkan, serentak kita menjerit, bersorak, berpelukan.

Tapi bila pasukan kita menang, yang mendapat imbuhan cuma 11 orang yang berjuang di atas padang, pemain-pemain simpanan, dan juga staf-staf pasukan. Yang kita, bertempik dan bersorak sampai nak tercabut anak tekak, kita dapat apa?

Kita tak dapat apa-apa.

Begitulah dengan kerja islam.

Ada orang yang buat kerja islam full-time. Ada yang buat kerja islam part-time. Ada yang buat kerja islam sometime. Dan ada juga yang tak buat bahkan tak peduli langsung tentang islam, tentang tuntutan-tuntutan sebagai umat islam dan tentang tanggungjawab-tanggungjawab sebagai seorang orang islam.

Oleh kerana itu, yang buat kerja islam, adalah habuannya daripada Allah. Yang berbelanja harta-Nya untuk pembangunan islam, adalah gantiannya daripada Allah.

Kita akui bahawa bukan semua orang mampu untuk berdakwah kepada orang kafir untuk masuk islam. Ada orang yang Allah pilih mereka untuk jadi pendakwah full-time. Saya kenal seorang, namanya Ustaz Mohd Fadli Yusuf. Setakat malam ini, seramai 172 orang telah berjaya beliau islamkan.

Saya pernah bertemunya dua kali dan saya kenal peribadinya. Lembut dan peramah, tetapi jiwanya tegas dan semangat juangnya tinggi. Dia tak pernah mendabik dada. Tak pernah juga dia berkata, "Saya sahaja yang buat kerja islam sedangkan kalian duduk goyang kaki sahaja".

Tak ada.

Tetapi beliau bahkan menyeru agar kerja islam ini dilakukan secara kolektif. Ada orang yang mampu untuk berjumpa dari hati ke hati. Ada orang yang tak boleh, tapi boleh menyumbang wang ringgit. Ada pula yang tak ada wang, tapi ada kudrat fizikal. (Ustaz Fadli pernah share gambar seorang perempuan yang agak berusia tetapi masih kuat mengangkat kayu yang panjang dan besar untuk pembinaan masjid di pendalaman Sabah). Ada pula yang tenaganya tak kuat mana, hartanya pun tak banyak mana untuk menyumbang, tapi dia ada kepakaran dalam seni-bina (seperti Abang Abu Dzareen yang membuat design dan menyelia bagi pembinaan masjid muallaf itu).

Dan banyak lagi.

Kesimpulannya, kerja dakwah ini bukan 'one man show'. Semua orang perlu berperanan untuk mengembangkan islam. Setidak-tidaknya, kita mencontohkan ajaran islam yang sebenar dengan teladan daripada diri kita.

Kita tunjukkan peribadi seorang muslim. Kita buat apa-apa yang islam suruh kita buat. Kita juga jauhi dan tinggal apa-apa yang dilarang dalam islam.

Itu pun sudah menjadi satu dakwah walaupun tanpa patah-patah perkataan.

Kita jangan jadi tin kosong. Berbunyi kuat, tetapi kosong. Bersorak kuat tapi akhlak buruk. Berteriak semangat tetapi beramal longlai! 

    

April 15, 2013

Allah pilih


"Macam mana kita nak masuk syurga kalau kita tak ikhlas?"

Soalan daripada murabbi yang membuatkan kami semua terdiam berfikir.

Satu saat nanti, kita akan berasa diri kita seperti sudah banyak buat amal. Kita dah banyak solat berjemaah (atau mungkin tak pernah tinggal solat berjemaah), kita banyak bertilawah, banyak bersedekah, banyak melakukan dakwah (ifradi dan ijtima'i), kita dah banyak membantu orang, bahkan kita sudah banyak melakukan kebaikan.

Kita tersenyum-senyum memikirkan syurga.

Dan kita menggeleng-geleng sedih memikirkan ramainya manusia yang tidak macam kita. Manusia yang mati hatinya daripada meninggalkan yang haram dan melazimi amal soleh.

Tapi di akhirat nanti,

Di depan Allah,

Habaa'an mansuro.

Abu-abu yang bertebangan ditiup angin.

Amal soleh kita rosak, binasa, hilang nilai, dan tidak dikira, kerana satu perkara kecil sahaja- NIAT.

Ikhlaskanlah hati, kerana Allah bukan hanya memerintahkan kita untuk menyembah-Nya, tetapi Dia juga menyuruh kita untuk ikhlas dalam menyembahnya.

Maka sembahlah Allah dengan mengikhlaskan agama kepada-Nya (Surah Az Zumar, ayat 2)

Kadang-kadang kita rasa soal niat ini sebagai benda yang remeh-temeh, hinggakan ustaz-ustaz pun tak cerita dah fasal ni. Ustaz-ustaz sekarang nak cerita benda-benda yang besar-besar. Nak cerita fasal hudud, fasal siasah. Ini zaman kita bercakap tentang perkara besar. Ya betul. Tetapi jangan lupakan benda yang kecil, kerana sekecil-kecil niat... itulah yang membuatkan amal kita diterima atau tidak.

Betul kata murabbi, "Rugilah kita kalau kita beribadah dengan maksud dan tujuan selain daripada hanya semata-mata kerana Allah".

Tak dinafikan, nak ikhlas itu susah dan sukar. Tiap kali, akan timbul rasa seronok, suka, dan bangga dalam hati. Maka bila timbul perasaan begitu, maka cepat-cepat kita tolak dan lawan perasaan itu dengan mengingatkan dan memberitahu diri kita,

"Kalau bukan kerana Allah sayangkan aku, maka aku mesti tak mampu untuk buat amal kebaikan ini".

Kita terjebak dengan amal soleh, bukan kerana kita sihat. Bukan kerana kita ada masa lapang. Bukan kerana kita alim. Bukan kerana kita kaya.

Kita terjebak dan mampu untuk melakukan amal soleh pun, hanyalah kerana Allah yang izinkan. Allah yang pilih kita. Kalau Allah tak pilih dan tak izin, maka kita pun akan lalai sebagaimana orang lain lalai.

Kita mampu mendirikan solat, bukan kerana kekuatan kita. Sebaliknya jika bukan Allah yang menjentik kekuatan dalam diri kita, maka kita pun tinggalkan seketika urusan dunia... mengadap si pemilik dunia ini.

Kalau Allah tak pilih kita untuk diberikan sinar hidayah dan embun taufik-Nya, maka siapalah kita.

Pencuri? Pelacur? Perogol? Perasuah? Pemabuk?

Ya Allah, Jika bukan kerana belas kasihan-Mu, maka aku tentu akan lalai, sesat, dan binasa. Maka, janganlah kau biarkan aku terlepas daripada lingkaran kasih sayang-Mu, walaupun hanya untuk sekelip mata.
     

April 2, 2013

Pesan murabbi


Kata murabbi kami, setiap manusia yang mahukan syurga, perlu terlebih dahulu menjadi manusia yang bertaqwa (muttaqin), dan setiap manusia takkan mampu untuk menjadi golongan muttaqin kecuali selepas dia beriman terlebih dahulu kepada Allah dengan iman yang sebenar.

Maknanya ada dua usaha yang perlu kita jalankan serentak, iaitu usaha atas iman dan usaha atas taqwa.

Usaha atas nilai kepercayaan, dan usaha atas nilai tindakan.

Percaya bahawa bukan makanan yang beri kita kenyang, tapi Allah yang beri kita kenyang. Bukan majikan kita yang beri kita rezeki tetapi Allah. Bukan tidur yang menjadikan kita segar tetapi Allah. Bukan hujan yang menjadikan kita selsema tetapi Allah. Bukan makanan yang basi membuatkan perut kita sakit, tetapi Allah.

Kerana tiada manfaat akan sampai kepada kita melainkan semuanya atas izin dan kehendak daripada Allah.

Dan tiada mudharat juga akan menimpa kita melainkan semuanya dengan izin dan kehendak daripada Allah.

Kita cuma beriman dengan firman Tuhan dan kalam Nabi.

Kata Allah dalam surah Ar-Ra'du, "Allah tak akan ubah nasib sesuatu kaum (nasib kita) melainkan kita yang mengubahnya"

Dalam surah Asy-Syams pula, Allah katakan bahawa, "Dan kami jadikan kepada manusia dua jalan iaitu jalan fujur (kearah keburukan) dan jalan taqwa"

Untuk kita memilih, sesuai dengan usaha kita.

Rasulullah S.A.W pun pernah memarahi seorang sahabat yang 'salah' bertawakkal. Kata Baginda, "Ikatlah tali untamu dahulu, kemudian barulah bertawakkal" (hadis riwayat Imam Ahmad).

Dalam sabdaan yang lain pula, Baginda menyatakan "Sesiapa yang bertawakkal dengan sebenar-benar tawakkal, maka Allah akan memberinya rezeki umpama burung-burung yang keluar di pagi hari dari sarangnya dengan perut yang kosong"

Antara manusia dengan burung, Allah memuliakan dan mengiktiraf manusia sebagai kejadian (ciptaan) yang lebih baik. Sedangkan burung pun mendapat rezeki kerana usahanya untuk keluar mencari rezeki, maka kita sebagai manusia juga wajib untuk 'keluar dari sarang kita', iaitu simbolik kepada usaha.

Kerana jika burung hanya menunggu rezki, adakah perutnya akan terisi?

Kita imani bahwa bukan usaha kita yang membuatkan kita berjaya atau senang, tetapi Allah lah yang membuatkan kita senang dan berjaya.

Semuanya Allah. Susah, senang, sedih, gembira, semuanya datang dari sisi-Nya. Tuhan semesta alam. Tuhan langit serta apa-apa yang ada padanya sampai ke galaksi yang paling hujung dan Tuhan bumi serta segala-gala yang diatas dan didalamnya.

Kita juga perlu usahakan atas taqwa. Hanya yakin sahaja tak cukup. Kita perlu membuahkan kepercayaan kita.

Bila kita percaya setiap dosa akan dihukum, maka kita akan berhati-hati daripada terjebak dengan dosa.

Bila kita percaya setiap amal baik akan diganjari, maka kita akan berlumba-lumba untuk melaksanakan amal soleh nan terpuji itu tadi.

Taqwa, bak kata golongan salaf ialah takut. Takut daripada terjebak ke dalam lembah dosa dan binasa, lalu mendorongnya untuk berhati-hati di dalam setiap urusannya.

Setiap perbuatannya yang berdosa akan diazab, dan setiap perbuatannya yang tidak berdosa (harus), akan dihisab.

Moga Allah ubah jadikan saya orang yang bertaqwa.
 

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails