Saya mahu berubah, tapi saya tidak tahu bagaimana.

'Saya nak berubah jadi baik'

'Saya tahu. Semua orang nak jadi baik'

'Tapi saya tak tahu bagaimana dan dari mana saya harus mula...'

'Dari saat ini. Sekaranglah'.

'Susah'

'Susah kerana kamu tak tahu caranya'

'Habis tu, bagaimana?'

Begini...

Sebab Apa Perlu Berbaik-baik Dengan Allah.
Pertama sekali, kita perlu tahu sebab apa kita perlu menjadi manusia yang baik di sisi Allah. Ini ialah perkara yang paling asas, iaitu mengenali siapa itu Allah.

"Aku dah baik. Buktinya, aku selalu bersedekah. Aku selalu beri makan orang miskin. Aku selalu buat rumah terbuka. Pendek kata, aku memang selalu tolong orang tak kiralah dia miskin atau kaya pun. Aku sudah cukup baik".

Syaitan telah berjaya mengelirukan kita. Kita tersalah faham tentang konsep 'baik' itu.
Baik kepada Allah, barulah baik kepada manusia.
Inilah asasnya. Baik dengan manusia telah berjaya kita capai. Dan hasilnya, kita dipuji-puji kerana bantuan dan kebaikan kita. Kerana kita baik dengan manusia, pasti akan ada manusia yang terhutang budi, akan membantu kita apabila kita ditimpa masalah. Itu semasa kita hidup.

Selepas kita mati, lain hal nya. Dimana anak-anak kita? isteri-isteri kita? atau orang-orang yang pernah makan budi kita? Dimana mereka?

Mereka hanya ada saat kita dikuburkan. Selepas itu, mereka pulang. Siapa yang akan membantu kita saat itu?

Tiada sesiapa, selain Allah semata-mata. Maka, percayalah cakap saya. Kita memerlukan Allah. Kita sangat-sangat memerlukan Dia. Kita perlu jadi baik di mata Allah, barulah Allah akan berbaik dengan kita.

Maka, jelas. Kita perlu jadi baik kerana kita mengharapkan Allah. Kita perlu baik kerana kita tidak mahu dimurkai oleh Allah di akhirat kelak.

Tapi bagi layman, susah nak faham kan?

Beginilah. Kita perlu tahu bahawa agama ialah seumpama oksigen. Kita memerlukan ia. Kita boleh memilih untuk bernafas atau tidak, tapi kita tahu kesudahannya. Sama halnya. Kita boleh memilih samada mahu berbaik-baik ataupun menyombong dengan Allah. Tapi, pesan saya, jangan terjerit-jerit pula nanti...

Atas Dasar Apa Kita Perlu Berubah?
Saya selalu jumpa, manusia berubah kerana 'semangat'. Maknanya, dia datang surau, belajar agama, tapi tidak ikhlas. Dia datang, kerana ajakan kawan-kawan. Lalu, kerana niat yang 'tidak berapa murni' ini, mereka akan mudah futur, jemu, putus asa dan terus kembali kedalam 'kegelapan'.

Kerana itulah, saya lebih suka jika manusia berubah sedikit demi sedikit. Dan saya juga suka kepada dakwah yang 'slow and steady'. Seorang saudara pernah berkata, 'manusia yang berubah jadi baik sekelip mata, berkemungkinan besar akan berubah menjadi jahat balik dengan sekelip mata juga'.

Saya setuju walaupun bukan 100% kerana terlalu banyak buktinya. Berubahlah kerana Allah.

Pesan Saya.
Saya tidak salahkan anda kerana dosa yang anda lakukan (jika ada). Tapi saya akan salahkan anda, jika anda tiada niat mahu berhenti dan tiada usaha untuk mencapai matlamat berhenti itu. Saya akan sungguh-sungguh salahkan anda!

Berubah jadi baik itu sukar, tidak dinafikan. Tapi kita tetap perlu berubah. Saya sendiri sudah banyak 'dilukakan' kerana mahu 'keluar' dari jalan itu. Tapi percaya cakap saya, ia sangat-sangat berbaloi. Sangat berbaloi untuk 'sakit' sebentar, kerana bahagia yang menanti tidak berpenghujung.

Trust me. Percayalah cakap saya ini.

Kata-kata orang yang paling bijak di dunia ini ialah 'aku mahu berubah'.

Dan kamu pasti akan mendapati saya akan menyokong perubahan kamu, setiap saat.

Kesimpulan
Berubah sikit-sikit. Take time. Jangan lupa kisah pembunuh yang membunuh 100 orang yang mati dalam perjalanan mahu bertaubah lalu masuk syurga. Dia belum bertaubat lagi, cuma sedang berusaha bertaubat dan dia tak sempat pun. Tapi Allah ampunkan dia.

Jika Allah pun ampunkan orang yang berdosa, apa hak saya untuk benci kepada orang yang berdosa.

Saya sayang anda, kerana itulah saya mahu ajak anda semua sama-sama berubah. Kita impikan hidup yang lebih baik. Biar hidup kita tidak mewah, asalkan Allah sayang kita dan manusia beriman sayang kita. Itulah kebahagiaan sebenar...

Nota Penting.
Jangan bertangguh-tangguh untuk berubah. Jangan beralasan nak tunggu jadi ikhlas (konon-kononnya), sebab kalau kita nak tunggu ikhlas, sampai mati pun kita tidak akan berubah. Percaya cakap saya. Ikhlas ini hanya akan datang SELEPAS kita berubah. Ikhlas ialah step 2 manakala step 1 ialah berubah. Kita tak akan mampu untuk skip the steps.

Berubah perlu disegerakan!

Hish..sebab apa aku perlu dakwah-dakwah ni?

'Layakkah saya berdakwah?', tanya seorang rakan kepada saya.

'Kenapa tanya soalan begini?'

'Erm. Saya ni jahat, selalu buat dosa. Ilmu agama saya cetek. Amal soleh saya sedikit. Saya tak layak'

Oh. Nampaknya kamu sudah salah faham....

Dakwah: Mengapa ia perlu?
Mengapa kita dituntut untuk berdakwah?

'Kerana Allah suruh'.

'Tapi, mengapa Allah suruh?'

Senyap.

'Ayuh. Jawablah, mengapa Allah suruh kita berdakwah?'

Sepi.

'Maaf, saya tidak tahu...'

Ya, tak ramai dalam kalangan 'orang dakwah' faham mengapa dakwah ini difardukan kepada kita. Banyak sebab sebenarnya! Jika kita ada usaha untuk 'menggali' maksud ayat-ayat al-Quran, pasti kita akan faham mengapa Allah menyuruh kita berdakwah.

Sebab Satu: Kerana Allah mahu menjadikan kita insan beriman.

Apa maksud iman?
Iman ialah meyakini kekuasaan Allah dengan hati, mengakui dengan lidah dan membuktikan dengan amalan. Siapakah manusia yang paling beriman diatas dunia ini?

Rasulallah s.a.w, Abu Bakar r.a, Umar r.a, Usman r.a, Ali r.a, para sahabat dan seterusnya generasi-generasi selepas mereka.

Bagaimana mereka mendapat iman?
Jawapannya satu, iaitu kerana mereka berdakwah. Rasulallah ialah seorang manusia. Dan setiap manusia, belajar. Rasulallah juga belajar. Siapa guru Baginda?

Allah.

Apa yang Allah ajar?

Wahyu.

Maka, kita perlu kembali kepada wahyu...

Perasan atau tidak, dalam banyak tempat di dalam al-Quran, Allah memulakan firman-Nya dengan perkataan 'Qul' yang bermaksud 'katakanlah'. Ini yang Allah ajar kepada Rasulallah- 'Cakaplah, beritahulah dan sampaikanlah wahyu'.

Inilah dia dakwah. Kita bercakap tentang perintah-perintah Allah. Kita beritahu tentang larangan-larangan Allah. Dan kita sampaikan berita-berita dari Allah.  Dan inilah yang dilaksanakan oleh Rasulallah, dan diteruskan oleh para sahabat serta generasi selepas mereka.

Apa yang mereka dapat dengan 'bercakap?'
Mereka mendapat keimanan. Mereka dapat keyakinan, dan mereka mendapat perasaan 'dekat' dengan Allah. Beritahu saya, siapakah dalam kalangan sahabat Rasulallah yang tidak berdakwah? Tiada. Semuanya berdakwah.

Maka, jelas bahawa kita perlu bercakap tentang keesaan Allah, supaya ia hadir dalam diri kita.

Sebab Dua : Kerana Allah mahu menguji kita.
Allah paling hebat. Tiada keraguan tentang fakta itu. Tapi, Allah sengaja tidak jadikan semua manusia ini islam. Mengapa? Bukankah Allah berkuasa untuk melakukan sedemikian?

Ya, Allah mampu mengislamkan semua manusia di muka bumi ini. Tapi Allah tidak buat begitu. Mesti ada sebab.

"Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?"-al ankabut ayat 2.

Allah mahu uji kita. Dan inilah tanda Allah sangat adil. Ya, Allah adil. Dia beri kita ujian. Dan Allah juga sediakan ganjaran, habuan bahkan, denda juga. Sesiapa yang lulus ujian, maka dia dibalas syurga dan siapa gagal, maka dia akan dibalas dengan neraka. Theory wise, senang. Tapi praktikal, belum tentu...

Tanggungjawab berdakwah juga ialah satu bentuk ujian kepada kita. It is a must.


Sebab Tiga: Keselamatan.
Satu analogi. Kita berada dalam satu kapal yang besar. Kapal mewah 2 tingkat. Kita berada di tingkat atas. Di tingkat bawah, ada beberapa orang manusia 'nakal' yang sedang berusaha menebuk lubang pada kapal itu. Alasan mereka, mereka mahu membuat lubang di dasar kapal kerana mahu memasang jala dari dasar kapal. Logiknya, lebih dalam, lebih banyak ikan. Kita yang berada di tingkat atas tahu bahawa jika mereka membuat lubang juga, kapal ini akan karam. Lalu, apa tindakan kita untuk 'menjawab' alasan mereka yang jahil itu?

Adakah kita akan membiarkan, lalu kita turut sama karam.

Atau, adakah kita akan katakan 'Stop! Jangan buat' kepada mereka?

Inilah dakwah. Kita memberitahu kesan-kesan perbuatan salah mereka. At the end, bukan setakat mereka yang selamat, kita juga akan selamat.

Sebab Empat: Cinta
Satu lagi analogi. Kita ada satu ekar kebun. Disebelah kebun kita, ada satu ekar lagi kebun milik orang lain. Kebun kita ini baik. Kita potong semak samun dan kita bagi ia lapang. Tapi kebun jiran kita tidak. Kebunnya penuh dengan semak samun. Bahkan pasti, ada hidupan berbisa seperti ular di kebunnya. Kebun kita tidak ada ular, tapi kebunnya ada ular. Satu hari, ular yang mendiami semak samun itu masuk ke dalam kebun kita. Boleh bayangkan apa terjadi?

Ya. Kita akan dipatuk ular.

Lihatlah sendiri. Kita tidak boleh menjadi baik sorang-sorang. Tidak boleh. Sebaliknya, kita juga perlu ajak 'jiran' kita untuk 'membersihkan kebunnya bersama-sama'. Kesannya jelas, supaya jika datang musibah atas sebab maksiat yang berleluasa, musibah itu akan menimpa semua, bukan sekadar pelakunya. Jangan ingat kita baik, kita selamat. Belum tentu..kerana yang pasti, orang baik pasti tidak mahu jadi baik seorang-seorang, dia pasti mahukan semua orang jadi baik juga- Dakwah!

Sebab Lima: Kerana Islam menjaga.
Dahulu, ketika virus H1N1 sedang menular, semua orang dituntut untuk memakai topeng. Sesiapa yang terkena jangkitan wabak ini pula, akan dikuarantin. Mengapa? kerana kita tahu bahaya nya virus ini.

Virus H1N1 ini kita boleh ibaratkan sebagai dosa. Dosa, sifatnya ialah ia akan merosakkan diri kita, dan juga diri orang lain. Maka, orang yang berdosa ialah orang yang 'memberi ancaman' kepada kita. Mari kita merenung sebentar. Apakah dosa yang memberi manfaat kepada kita?

mencuri? membunuh? mengumpat? mengeji? membuka aurat? berzina? arak? judi?

Inilah dia islam. Dalam islam, apa-apa saja perkara yang memberi mudharat adalah haram, kerana islam menjaga 5 aspek kehidupan. Islam menjaga akal kita. Kerana itu, arak haram. Islam menjaga harta kita. Kerana itu, judi haram. Islam menjaga keturunan kita. Kerana itu jugalah zina diharamkan. Islam juga menjaga diri kita. Kerana itu jugalah Islam melarang kita dari mencederakan diri dengan sengaja seperti ritual agama-agama lain. Dan paling utama, islam menjaga akidah kita. Kerana itu kita dilarang syirik dan khurafat.

Mahu selamat di dunia dan diakhirat?
-Tinggalkan dosa.
-Tinggalkan maksiat.


Dan, ajak manusia dia sekeliling kita untuk meninggalkan dosa serta maksiat bersama-sama kita.

Sebab Enam- Lombong pahala.
Kita banyak dosa. Siapa mahu mengaku bahawa diri dia tidak punya dosa? Dosa dan pahala silih berganti. Jadi, bagaimana mahu menambah pahala?

Pahala adalah seumpama duit. Namun, ia tidak laku untuk membeli apapun kecuali syurga. Hanya syurga sahaja yang mampu 'dibeli' dengan pahala. Dan disisi Allah, atas sebab adilnya Allah, Dia sediakan satu tempat kita menimbang, al mizan.

Disana, kita akan dikira dengan penuh teliti dan adil. Malangnya, nyata dosa kita lebih berat berbanding pahala. Maka, terkulat-kulat kita disitu tercari-cari pahala. Ada kah?

Abu Hurairah r.a. berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda: "Sesiapa yang mengajak ke jalan hidayat, maka baginya pahala seperti pahala (sebanyak pahala) pengikutnya, dengan tidak mengurangi sedikit pun dari pahala mereka. Dan sesiapa yang mengajak ke jalan sesat, maka menanggung dosa sebanyak dosa-dosa pengikutnya, dengan tidak mengurangi dari dosa-dosa mereka sedikit pun" 
-Riwayat Muslim

Sebab Tujuh: Memudahkan amal.
Apakah dakwah yang paling kerap kita dengar? Ya.azan. 'Hayya ala solaah'- mari bersolat. Itu dakwah yang istimewa. Kerana itu, syariat nya hanya 5 kali sehari. Orang yang nak menyeru, pasti akan datang dahulu kepada apa yang diserunya.

Contoh lain. Jika seorang ibu mahu mengejutkan anaknya untuk bangun awal pagi untuk ke sekolah, si ibu harus terlebih dahulu bangun 30 minit lebih awal dari si anak.

Kerana itulah orang yang buat dakwah, mereka lebih mudah untuk beramal kerana ada 2 force yang push mereka, iaitu 'ini perintah Allah' dan juga 'aku ajak orang, aku kena buat lah'. Sekarang, tahulah kita sebab apa kita susah nak beramal, iaitu kerana kita telah meninggalkan dakwah.

Kesimpulan
Dakwah itu seumpama ubat sakit kronik. Kita boleh memilih untuk makan atau tidak, tapi kita sedia maklum akan kesan jika kita tidak makan ubat.

Saya baru jawab persoalan tentang "sebab" dan saya belum menyentuh bab "aku bukan baik untuk berdakwah". Apapun, semoga dengan kehadiran artikel ini, kita menjadi lebih bersyukur kerana diberi mulut dan diberi pancaindera. Moga-moga kita dapat gunakan mereka untuk berdakwah. 

Ingat, dakwah ialah untuk mendapat iman, bukan untuk mendapat habuan dunia...

Muliakah kamu wahai orang yang ditarbiyyah?

Muliakah kamu wahai orang yang ditarbiyyah?
'Ana nak tanya antum. Apa hebatnya kita ini berbanding orang-orang yang tidak duduk di dalam halaqah ini?', bibir tua itu mengukir senyum. Tersirat.

'Ada sesiapa yang boleh jawab?'

Lalu seorang anak muda bangkit mahu menjawab. 'Ustaz. Pada pandangan ana, kita berbeza kerana kita ditarbiyyah'.

'Lalu, apa yang enta maksudkan dengan tarbiyyah itu?'

Terdiam sebentar anak muda itu. 'Ustaz, bagi ana, ana merasakan tarbiyyah itu seperti satu tembok yang memisahkan diri ana dengan orang-orang yang sedang sibuk bergelumang dengan duniawi'.

Semakin lebar senyum si guru tua itu. 'Jazakallah. Bagaimana dengan orang lain?'

'Ana, ustaz'. Seorang pemuda yang lain menggangkat tangan. 'Ana mahu beri pandangan. Ana rasa, kita mulia kerana kita melaksanakan dakwah kerana dakwah inilah jalan hidup para rasul dan orang-orang beriman'. Penuh semangat bicaranya. Semua mata yang berada di bilik kecil itu memandangnya dan mengangguk-angguk tanda setuju dengan bicara anak muda berkopiah coklat itu.

Guru tua itu menarik nafas, mahu menyambung bicara. Riak wajahnya masih tenang seperti tadi.

'Anak-anak ku. Apa mulianya kita ini? Antum kata kita ditarbiyyah. Antum kata kita berdakwah. Adakah ini kemuliaan yang sebanar?'

'Mengapa ustaz? Salahkah?', potong seorang pemuda.

'Yalah ustaz. Bukankah Rasulallah juga ditarbiyyah? Dan bukankah Rasulallah juga berdakwah?', lelaki yang lain pula menambah.

Guru tua itu senyum sahaja. Matanya memandang wajah bersih anak-anak muda yang berada di sekelilingnya.

'Anak-anakku. Tidak dinafikan, Rasulallah juga berdakwah dan Rasulallah juga ditarbiyyah. Tarbiyyah yang direct datang daripada Allah melalui perantaraan Jibril a.s . Rasulallah juga berdakwah, tanpa penat, jemu, lelah, dan putus asa'.

Keadaan sepi sebentar.

'Namun anak-anakku, adakah dakwah dan tarbiyyah yang kita lalui ini menjanjikan kemuliaan bagi kita disisi Allah? Tidak. Tidak. Lupakah antum akan apa yang Allah kata tentang kemuliaan? Allah sebut dalam surah al-Hujurat, bahawa sungguh! kemuliaan itu hanyalah bagi orang yang bertaqwa'.

Pemuda-pemuda di sekelilingnya mengaguk-angguk tanda faham. Antara mereka, ada yang mencatat sesuatu.

'Taqwa. Satu perkataan tapi ianya sangat besar maksudnya. Di dalam taqwa lah, wujud dakwah dan wujud juga tarbiyyah'

'Tadi, saudara kita ada berkata bahawa kita mulia kerana tarbiyyah dan dakwah. Ana terkejut juga sebenarnya. Apa kita layak mengatakan diri kita, satu produk tarbiyyah sedang kita hanya menjadi taqwa di dalam halaqah ini?  Dan apa kita merasa kita layak mendapat kemuliaan dan taqwa sedang kita hanya berdakwah, dalam halaqah ini?'

Anak-anak muda itu senyap. Mereka ternanti-nanti bicara seterusnya dari guru yang sangat mereka kagumi itu.

'Anak-anakku. Apa itu taqwa sebenarnya? Taqwa itu ialah kehidupan kita, bukannya lakonan kita. Taqwa bukan sesuatu yang boleh dibuat-buat kerana kewujudannya sangat seni dan halus'.

'Ana memetik kata-kata Imam Ghazali tentang akhlak. Akhlak ialah apa yang keluar dari dalam diri kita secara automatik, tanpa perlu kita fikir. Tahukah antum semua, akhlak ini adalah lambang dan bukti wujudnya taqwa?'

Mereka menggangguk.

'Dan, islam juga bukan satu sandiwara. Ia juga bukan satu aktiviti. Ia adalah cara hidup. Apa yang berlaku sekarang, ana lihat dalam banyak keadaan kita berasa diri kita ini mulia kerana kita join usrah, tabligh atau mana-mana jemaah sedangkan dalam masa yang sama, ketaqwaan kita tidak ditonjolkan'.

'Antum faham tak maksud ana?'

"Kurang faham...", hampir serentak anak-anak muda itu menjawab.

'Beginilah. Antum perlu faham bahawa taqwa itu ialah apa yang perlu ada dalam diri kita setiap saat, bukannya hanya ketika dalam halaqah atau semasa berdakwah. Tidak! Sebaliknya taqwa wajib wujud dalam diri antum setiap saat, setiap masa'.

'Antum tahu apa tuntutan taqwa?'

'Senang nak faham, taqwa memerlukan kepada penghayatan. Dan siapakah qudwah atau model insan bertaqwa? Semestinya Rasulallah. Antum lihat sirah. Lihat bagaimana Rasulallah berdakwah. Dakwahnya bermacam-macam cara. Dari sekeras-keras mata pedang, hinggalah kepada selembut-lembut roti yang disuap ke mulut wanita tua dan buta yang mencaci Baginda, dakwah tetap bergerak'.

'Ustaz, boleh cerita tentang wanita Yahudi itu? Ana kurang faham'.

'Wanita Yahudi itu sangat tua dan buta. Tapi, tersangat kuat kebenciannya kepada Rasulallah. Setiap hari, Rasulallah akan datang kepadanya untuk memberinya makan. Setiap kali itulah, wanita itu akan mengata Baginda kerana dia tidak tahu bahawa yang memberinya makan itu ialah Baginda. Baginda s.a.w sendiri menghancurkan roti di mulutnya sebelum disuap ke mulut wanita itu kerana mahu memudahkan wanita itu makan'.

'Rasulallah datang dan melaksanakan perkara yang sama hari-hari. Memberi makan, dan menerima cacian. Tiap kali itu jugalah, Baginda akan tersenyum dan diam. Amalan Baginda berterusan hingga Baginda wafat. Lalu, Saidina Abu Bakar menggantikan Rasulallah memberi makan kepada wanita itu. Tapi malang, wanita itu tahu bahawa yang memberinya makan bukan orang yang sama, tapi orang yang lain kerana layanannya tidak selembut layanan Rasulallah. Lalu, wanita itu bertanya dimana manusia yang sangat baik yang memberinya makan sebelum ini. Lalu dijawab dalam tangis rindu Saidina Abu Bakar bahawa lelaki itu ialah Rasulallah. Wanita itu masuk islam akhirnya'.

Subhanallah.

'Anak-anakku, untuk kita menegakkan islam, kita harus terlebih dahulu meleburkan takbur kita. Kita merasa kita hebat kerana kita berilmu. Tidak dinafikan, memang kita alim, banyak ilmu. Tapi apa gunanya alim kita jika diselit takabbur?'

Semua orang tunduk. Bermuhasabah diri.

'Ana berpesan sungguh-sungguh kepada diri ana, jua kepada antum semua. Jangan kita merasa diri kita hebat hingga dengan mudah, kita label orang itu sebagai 'tertutup hati' dan seumpanya. Seperkara lagi, taqwa itu bukan hanya mesti dilahirkan semasa kita liqo' dan duduk dalam halaqah, sebaliknya ia harus dizahirkan dalam setiap inci perbuatan kita'.

'Ketahuilah juga bahawa bukan amal soleh kita yang memasukkan kita kedalam syurga, sebaliknya yang memasukkan kita kedalam syurga ialah keampunan dan rahmat Allah. Amal soleh hanyalah kerana perintah Allah. Maka,jangan sesekali kita berasa amal kita ini hebat. Belum tentu'.

'Belum tentu orang yang ditarbiyyah dan berdakwah ini baik. Tapi orang yang baik, tentu akan ditarbiyyah dan berdakwah. Inilah sebenarnya yang sedang kita cuba lakukan. Moga-moga Allah terima usaha kerdil kita ini'.

Guru tua itu menghabiskan bicaranya. Kelihatan, anak-anak muda disekelilingnya seperti sedang kesedihan, mungkin kerana 'terkesan'. Maka, guru tua itu membacakan firman Allah dalam surah Al-Qasas ayat 77: "Dan carilah pahala akhirat dengan apa-apa yang telah Allah kurniakan kepadamu..."
***
Semoga kita semua faham, bahawa agama itu bukannya sesuatu yang sifatnya 'sekejap ada-sekejap tiada'. Agama juga bukan sesuatu yang harus dipakai dalam situasi-situasi tertentu sahaja. Dan agama juga sesuatu yang boleh dijual-jual untuk mendapatkan kemahsyuran atau sanjungan.

Sebaliknya agama ialah pakain. Maka, tutuplah keaiban diri kita dengan menjadi orang beragama.

Ingat, kita bukan Tuhan yang boleh menghukum orang yang tidak mahu tarbiyyah dan tak mahu menerima dakwah. Sebaliknya, kita lihat diri kita. Sejauh mana tarbiyyah itu berjaya membentuk kita menjadi hamba.

Sesungguhnya, kita hanyalah makhluk yang asalnya setitis mani...hina..dan akan terus hina tanpa redha-Nya.

Artikel ini untuk diri saya. Agar saya mampu bermuhasabah diri. 
Astaghfirullah...
Astaghfirullah...
Astaghfirullah...

Perkongsian: Usrah?

Perkongsian: Usrah?
Apabila dikatakan, 'Jom pergi usrah', akan ada segolongan manusia akan bergegas bersiap. Segolongan manusia yang lain pula akan mencebik muka dan berkira-kira, 'Tak boleh. Aku sibuk. Assingment berlambak. Study pun tak habis. bla..bla..bla...'

Sebenarnya, usrah itu apa?

Apa hukum join usrah ni?

Wajib kah? Sunnat kah? atau sekadar harus?

Usrah tu apa?
Saya tidak ada jawapan yang paling tepat. Tapi saya memandang usrah ini seperti telefon bimbit. Telefon yang ada battery, dan memerlukan battery untuk berfungsi. Masa berlalu dan battery pun menjadi semakin lemah dan akhirnya telefon itu mati (tidak berfungsi). Maka, usrah ialah seumpama charger yang akan mengembalikan tenaga battery itu.

Sama halnya dengan manusia. Manusia dilahirkan dalam keadaan fitrah (full battery). Sedang dirinya membesar, keimanan dan kederhakaan bertukar-tukar hingga mengikis iman (battery low). Tika itu, kita tidak mampu menjadi seorang muslim yang sebenar (tidak function) dan memerlukan kepada tarbiyyah (charge iman).

Sebenarnya Imam Hassan Al-Banna ada senaraikan sepuluh objektif usrah dan tarbiyyah yang saya tidak akan kongsikan sekarang. InsyaAllah dalam tajuk yang lain.

Hukumnya apa?
Juga tiada jawapan yang satu. Tapi bagi saya, usrah ini wajib. Wajib kepada saya dan anda. Saya mengambil dalil dari satu hadis riwayat Al-Baihaqi bahawa- "Menuntut ilmu itu adalah satu kewajipan bagi setiap muslim".

'Tidak semestinya nak tuntu ilmu, kena join usrah'. Balas seorang rakan. Begitukah?

Ya. Tidak dinafikan. Ilmu Allah maha luas. Belajar, tak semestinya 2 jam seminggu, atau 2 jam sehari. Proses belajar terjadi dimana-mana. Di depan skrin komputer pun, proses tarbiyyah boleh berjalan. Tapi, adakah ini tarbiyyah yang sebenarnya?

Tidak. Tidak sama orang yang belajar dengan guru, dengan orang yang belajar dengan cara membaca tanpa guru. Kerana itu, di dalam usrah, proses tarbiyyah ini berjalan dengan lebih sistematik, lebih jamak, dan lebih tersusun.

Saya tidak pandai nak bercerita panjang, kerana saya sendiri masih mentah dalam dunia usrah. Saya pun hanya hampir 11 bulan join usrah dan saya hanya mampu menyatakan satu perkataan, iaitu 'meyeluruh'. Ia adalah satu proses mengenal Tuhan, mengenal diri sendiri dan juga mengenal lawan serta kawan dengan menyeluruh.

Alhamdulillah. Allah beri saya peluang untuk mengenal manusia yang baik-baik.

Sibuknya kita.
Antara sebab lain saya cenderung mengatakan usrah ini wajib adalah kerana faktor kesibukan kita. Sebagai manusia, kita akan sibuk mostly, dengan pekerjaan (bagi orang bekerja) atau dengan belajar (bagi students). Dalam senggang masa itu, kita juga akan disibukkan dengan salah satu dari 3 kesibukan. Kita akan sibuk, samada sibuk dengan islam, sibuk dengan maksiat atau sibuk dengan tidak buat apa-apa.

Sibuk dengan islam.
Ini dilihat dengan kebersamaan diri kita di dalam majlis-majlis ilmu dan dakwah. Manusia sebegini hidupnya bermatlamat dan mempunyai tujuan. Mereka sedar bahawa mereka 'perlu' kepada Allah. Mereka mahu mengenali, mendekati dan mencintai-Nya. Lalu, dalam kesibukan pun, mereka masih sedia menggunakan masa lapang untuk mencapai matlamat itu, dan benar, Allah perkenankan keinginan mereka.

Merekalah manusia yang ada fungsi.

Sibuk dengan maksiat.
Secara kasar, mereklah orangnya yang menggunakan masa lapang dengan menyibukkan diri berbuat maksiat. Dating menjadi amalan harian. Mengumpat dan bergosip menjadi zikir harian. Membaca dan menonton bahan-bahan lucah dan tidak bermanfaat menjadi kebiasaan. Ah, terlalu rugi jika tergolong dalam golongan ini.

Allah akan bertanya kepadanya tentang nikmat kelapangan. Lalu dihadapan Allah, kaki, tangan, kepala dan kulitnya akan berbiara, "Tuhanku, tuanku ini menggunakan aku untuk bermaksiat kepadamu sedang aku tidak meredhai perbuatannya".

Kemana lagi destinasi bagi pendosa, jika bukan ke lautan derita tidak berpenghujung?

Sibuk tanpa apa-apa.
Saya juga bagini dahulu. Sibuk! tapi entah, tak tahu sibuk buat apa. Sedar-sedar, masa berlalu sedang saya tidak sedar dan tidak mendapat manfaat dari masa. Sibuk main game, sibuk online, sibuk..sibuk..sibuk.. tapi at the end, nothing.

Special credit to Abang Shahrul kerana menjadi individu yang paling awal drag saya into the wonderful world of tarbiyyah. Walaupun tak lama kerana diganti oleh Abang Ihsan (murabbi saya yang sekarang), saya merasakan bahawa setiap kali saya berkongsi kebaikan dan ilmu dengan kalian, individu-individu ini sentiasa mendapat pahala yang percuma.

Allah saja yang mampu membalas kebaikan kalian.

Pesan saya.
Ramai orang berpesan kepada saya, "Masa di universiti inilah masa yang paling free untuk belajar agama"

Bahkan ada yang turut berpesan, "Semoga istiqomah walaupun selepas kahwin"

Hakikatnya, apabila kita sudah mula bekerja dan berkeluarga, tanggungjawab kita semakin meningkat. Tidak akan ada masa terluang yang banyak kerana keluarga, tarbiyyah dan dakwah akan berebut-rebut minta perhatian. Kembali, time management sangat penting.

Ada orang, di usia remaja dan alam usniversiti sangat aktif dalam dunia dakwah dan tarbiyyah. Tapi apabila masuk alam pekerjaan, mula futur dan apabila sudah berkahwin, terus tinggal tanggungjawab mentarbiyyah diri dan berdakwah. Apa ini? Bukankah amalan yang istiqomah itu lebih disukai oleh Allah?

Saya pun perasan bahawa ramai readers saya pun umur baya-baya saya. Jadi, saya sangat menggalakkan kalian melibatkan diri dengan jemaah-jemaah usrah ini. Mungkin pengalaman kita di zaman sekolah menengah menyebabkan kita bersikap 'menentang' kepada usrah. Saya juga pernah begitu, kerana di sekolah lama saya, ada juga usrah tapi ia tersangat-sangat membosankan, seperti membuang masa dan tidak ada isi.

Tapi, tidak adil jika kita menghukum sesuatu kerana pengalaman yang kurang indah, kan?

Saya mahu jika disibukkan dengan agama. Benarlah sabdaan Baginda, manusia tidak akan merasa cukup dengan ilmu. Saya mula merasa perasaan ini. Perasaan yang sangat halus yang mendorong saya untuk mencari ilmu dan beramal dengan ilmu itu.

Kesimpulan.
Artikel ini bukan bermaksud saya menyuruh kalian join usrah. Saya sendiri tak tahu bagaimana bentuk usrah di kolej kalian. Tapi saya hanya mahu kalian terikat dengan satu aktiviti atau kumpulan yang akan sentiasa memberi suntikan iman, ilmu dan membawa kalian dekat dengan Allah. Sibukkanlah diri dengan islam di usia muda ini, kerana jika sudah mula bekerja, lebih sukar.

Any group should be okey. If tak berminat join usrah, join la jemaah tabligh. Saya? Saya join dua-dua jemaah ini, dan subhanallah... tiada perkataan yang lebih baik dapat saya ucap kecuali alhamdulillah.

Semoga kita semua istiqomah mencari wajah Allah.

Kawan Aku Berzina. Macam mana nak selamatkan dia?

Kawan Aku Berzina. Macam mana nak selamatkan dia?
Saya terjumpa satu hadis dalam Shahih Bukhari. Dari Abu Hurairah r.a, Rasulallah bersabda: "Tidak akan berzina seorang penzina, jika ketika itu dia sedang beriman. Tidak akan minum arak, orang yang minum, jika ketika itu dia sedang beriman. Tidak akan mencuri seorang pencuri, jika ketika itu dia sedang beriman".

Pengajaran dari hadis ini ialah iman dan maksiat ialah musuh. Ia tidak akan wujud serentak. Jika ada maksiat, iman akan tiada. Jika ada iman, maksiat pula akan lenyap.

Jadi, cara paling efektif meninggalkan zina ialah dengan mewujudkan iman, kerana dengan kehadiran iman, automatik maksiat akan lari. Tapi bagaimana?

Sejujurnya, saya tidak punya sahabat yang terjebak lagi dengan zina. Maka, saya belum punya pengalaman berdepan dengan mereka.

Zina.
Asal saja kita sebut perkataan zina, kita semua sepakat bahawa zina ialah satu perbuatan yang kotor, keji dan jijik. Namun begitu, tanggapan yang negetif ini tidak memberi kesan kepada si pelakunya.

Timbul persoalan. Mengapa mereka berzina? Jawapannya mudah- iaitu kerana mahu berseronok.

Di situ kita jumpa punca, dan disitu jugalah tempat yang perlu kita 'rawat'.
Kita tinggalkan sebentar tentang 'seronok' itu...

Kawan-kawan.
Setiap yang berlaku, ada puncanya. Lalu, apa pula punca zina? Punca zina ialah kerana kita tegar untuk mendekatinya. Sebagaimana yang saya pernah katakan, zina ini ialah satu penyakit di mana jika 'kita dekat, kita mati'. Bila sudah mula terjebak, tersangat sukar untuk berpatah balik.

Dalam surah An-Nur, apabila Allah mahu memperkatakan tentang hukuman bagi penzina, Allah terlebih dahulu mulakan dengan penzina wanita barulah penzina lelaki tapi dalam surah al-Maidah, apabila Allah mahu memperkatakan tentang hukuman bagi pencuri, pencuri lelaki didahulukan daripada wanita.

Kerana fitrahnya, memang zina ini puncanya banyak dari wanita.

Sejenak.
Mengapa lelaki sering disalahkan jika berlaku zina? Dan bukannya wanita? Pernah dengar tak quote ni?- Kucing mana yang menolak ikan? Memang  realitinya, mana ada lelaki yang akan menolak pelawaan zina daripada wanita (kecuali lelaki yang bertaqwa).

Tapi, jika wanita yang dipelawa lelaki untuk berzina, maka kecenderungan untuk perkara itu berlaku adalah sangat tipis. Mengapa? Kerana wanita lebih takut kepada kesan selepas zina. Wanita takut jika tertangkap, mengandung dan lain-lain.

Maka, setuju atau tidak jika saya katakan bahawa banyak penzinaan berlaku kerana pelawaan, kerelaan dan sifat keterbukaan wanita? Tapi seringkali, 'pelawaan' ini datang tanpa wanita itu sendiri sedar. Sedangkan satu senyuman dari wanita pun mampu membuatkan 10 lelaki salah faham, boleh bayangkan jika ia lebih daripada sekadar sebuah senyuman?

Maka, berhati-hatilah kalian (para wanita), kerana mungkin kalian ada menaikkan nafsu lelaki tanpa sedar.

Langkah-langkah Mengajak.
Ini ialah beberapa perkara yang saya mampu fikirkan.

Langkah pertama- Suruh mereka segera bernikah.

'Parents aku suruh aku habis belajar dulu, baru mereka kasi aku kawin'

Lalu, bagaimana? Takkan nak suruh mereka kawin di Siam kot? 

Langkah dua- Suruh mereka berpisah.

'Uish, aku dah buat dengan dia, takkanlah aku nak tinggalkan dia?'

(baik pula). Okey, baiklah. Jika tidak mahu berpisah pun tidak apa.

Langkah tiga- Sibukkan dia.

'Malam ni aku tak tidur kat rumah'

'Ko nak pegi mana?'

'Adalaaa...hehe' (nampak tanduk tumbuh, kontot)

'Eh, lepak la. Takkan malam-malam macam ni nak jumpa awek lagi kot? esok-esok ajelah. Daripada ko selalu sangat jumpa dia, pe kata kita main game/ tengok movie/ tengok bola/ makan-makan (aku belanja)/ bla...bla..bla.."

'Alaaa..lain kali la. Kesian awek aku, duduk sorang kat rumah'

'Ala bro. Esok pagi je la. Malam ni ada match chelsea lawan arsenal pukul 2 pagi. Jom ar layan dengan aku'

'Hmm..okeyla'

Langkah Empat- Dekatkan dia dengan agama.

Seperti ajak dia join program masjid atau surau (kuliah etc.)

Langkah Lima- Bercakap tentang keburukan zina.

Saya suka mengambil contoh dakwah Rasulallah. Baginda suka menyentuh naluri kemanusiaan. Pernah seorang lelaki datang bertemu Rasulallah, memohon kebenaran untuk berzina. Rasulallah menyuruh beliau membayangkan sekiranya yang berzina itu ibu, kakak, adik, dan ahli keluarganya, apakah beliau akan suka? Ternya si lelaki ini terkesan. Dia dapat membayangkan perkara ini berlaku kepada ahli keluarganya, maka terus lenyap keinginan jahatnya itu.

Jadi, cuba kita sentuh naluri kemanusiannya.

"Bro, ko tak kesian ke kat awek ko tu. Kalau dia mengandung macam mana. Ko mesti sedih kan kalau kau lahir tanpa ibubapa (anak haram), lalu ko nak budak tu jadi anak haram?'

"Bro, kesianlah... kalau-kalau nanti ko tak kawin dengan dia. Pastu sapa nak kawin dengan dia? Dia dah tak suci bro! Ko lah yang rosakkan dia!"

"Bro, ko bayangkan apa bapak dia rasa kalau dia tahu ko dah buat dengan anak dia. Nanti ko pun ada anak. Cuba banyangkan, anak yang dibesarkan dekat 20 tahun, ko rosakkan. Zalim tu bro"

Langkah Enam- Perkukuhkan imannya.

Seperti yang saya sebut pada mukaddimah, iman tak wujud seiring dengan wujudnya maksiat. Lalu, kita boleh wujudkan iman dalam diri sahabat itu dengan cara membawa dia merasakan betapa Allah itu sangat baik, hebat, kuat dan best. Ini harus dimulakan dalam perbualan seharian.

"Ko tak rasa syukur ke bila tengok orang tu. Allah bagi dia cacat, tapi Allah tak jadikan kita cacat."

"Ko tengok gunung tu. Dalam Quran kata gunung-gunung akan bertambah ketinggian mereka setiap tahun. Saintis dah temui dan buktikan kebenarannya tahu. Hebat kan Allah?"

Langkah Tujuh- Sahabat.

Kenalkan dia dengan kawan-kawan kita yang baik-baik. Bersahabat dengan orang baik adalah sangat penting kerana ia membentuk siapa kita secara tidak langsung.

Langkah Lapan- Bersama dengannya hingga dia tiada masa untuk awek dia.

Weekend ni pegi futsal. Weekend minggu depan pegi main bola tampar pula. Weekend lagi satu pegi camping. Lepas tu panjat gunung ke, mandi laut ke, apa-apa lah. Dalam masa yang sama, ajar dia untuk mentadabbur alam. Mudah-mudahan dia boleh mengurangkan keinginan dan belajar untuk mengenal Allah.

Langkah Sembilan- Berjemaah dengan dia.

Solat berjemaah dengan dia. Biarlah lambat sikit pun, kita tunggu dia bersiap. Lepas tu ajak dia baca Quran sama-sama. Makan pun berjemaah juga.

Langkah Sepuluh- Beri hadiah.

Kasi hadiah seperti kopiah ke, tasbih ke, Quran ke atau apa-apa benda yang boleh buat dia ingat Allah selalu.

Langkah Sebelas- Bangun Tengah Malam.

Masa dia sedang enak tidur, kita bangun solat hajat. Merayu kepada Allah supaya Allah jadikan kita sebab dia mendapat hidayah. Dan jangan lupa doakan dia selepas setiap kali solat.

Langkah Dua Belas- Perlu ada hubungan dengan keluarga dia.

Kenal-kenal dengan ahli keluarga dia terutamanya mak dan ayahnya kerana dalam masa yang sama, dia akan berasa lebih malu kepada kita. Kita juga perlu selalu puji mak dan ayah dia supaya dia berasa syukur dan bangga terhadap ibubapanya. Akhirnya, ketika datang peluang zina, dia mungkin akan teringat kepada ibubapanya dan seterusnya membatalkan keinginannya.

Langkah Tiga Belas- Istiqomah.

Jangan ingat harini kita tegur, esok dia nak berubah terus. Belum tentu. Sabar. Sabar. Sabar. Dan jangan putus asa.

Kesimpulan.
Saya sarankan agar apabila kita berdepan dengan manusia macam ni, kita guna pendekatan kemanusiaan. 'Ish, ko tak kesian ke...' dan selepas itu, kita manipulasikan sifat takut dia. 'Ko tak takut ke kalau mak ayah dia tahu? Tak takut ke kalau kena sakit aids, sipilis, dia pregnant etc'.

Tapi paling utama, pastinya dengan menguatkan iman. Iman ialah benteng. Jika ia kukuh, maka tiada suatu apapun akan merobohkannya.

Kembali kepada isu 'seronok'.
Dalam dunia ni, hanya wujud 2 jenis seronok saja iaitu seronok buat maksiat dan seronok buat ibadat. Seperti iman, kedua-dua keseronokan ini tidak akan wujud seiring. Jika wujud seronok maksiat, maka hilanglah seronok ibadah. Tapi jika wujud seronok ibadat, maka akan lenyaplah seronok maksiat.

Ada satu hadis yang sangat cantik bagi kaum lelaki sekalian.

"Tiada seorang muslim pun yang melihat kecantikan (aurat) wanita, kemudian dia memalingkan wajahnya, kecuali Allah akan campakkan kemanisan beribadah kepadanya"- Riwayat Ahmad.

Kepada Bro Anonymous
Sorry bro kalau artikel ini tidak membantu ko dan kawan ko. Apapun, aku berdoa agar satu ketika nanti, Allah akan berikan kita dan orang di sekeliling kita hidayah. Again, aku mintak maaf atas segala kelemahan.

Dia kawan aku. Macam mana aku nak tegur dia?


Ada anonymous tanya soalan itu. Izinkan 'bro' ini menjawab sekadar termampu. Terlebih dahulu, saya perasan bahawa ada dua komponen utama di dalam soalan ini.

Pertama ialah 'dia kawan aku'
Kedua, 'dia terjebak dalam zina'.

Bagi saya, dakwah yang paling sukar ialah dakwah kepada orang yang kita kenal (kawan-kawan dan keluarga). Golongan yang kita kenal ini perlu kepada pendekatan yang lebih halus, teliti, cermat dan kretif.

Dakwah itu Seni
Dalam banyak-banyak cabang seni, seni dakwah ialah yang paling rumit untuk dikuasai.

Ini kisah saya.
Saya juga sama seperti orang yang bertanya. Saya juga punyai sahabat yang 'nakal'. Bukan semua sahabat saya baik-baik, kerana saya bukanlah manusia yang memilih sahabat. Saya suka bergaul dengan semua golongan manusia, dari kanak-kanak hinggalah kepada golongan dewasa dan berusia. Antara mereka, ada yang tidak bersolat, tidak menutup aurat, tidak itu, dan tidak ini. Tapi pada pandangan mata saya, mereka sama saja. Saya bukan orang yangg layak untuk memberi kemuliaan atau kehinaan kepada mereka.

Sedikit perkongsian
Ramai yang keliru dan tertanya-tanya tentang pendekatan yang terbaik dalam menegur rakan. Saya ada beberapa cara yang praktikal dan saya amalkan. Saya fikir wajar jika saya kongsikan dengan kalian.

Semua orang setuju, bahawa dakwah itu wajib kepada setiap individu mengikut keupayaan masing-masing. Tiada kompromi. Tapi, tak semua orang tahu bahawa hikmah itu juga satu kewajipan, dan inilah punca mengapa dakwah kita tidak berkesan- iaitu kerana kita tidak berhikmah.

Dalam menegur, saya suka meletakkan diri saya sebagai sahabat, dan bukannya warden penjara yang akan sentiasa marah-marah. Ya, tidak dinafikan, kadang-kala saya kelihatan menegur dengan emosi, tapi itu setelah saya consider beberapa perkara.

Pernah saya ditegur- saya kelihatan beremosi dalam menulis. Tidak. Saya menulis kerana sayang, bukan kerana marah. Saya cuma sedikit bertegas, dan saya tujukan ketegasan saya kepada umum, bukan kepada individu khusus.

Baiklah, sebelum banyak terbabas dari topik asal, saya mahu berkongsi dengan kalian tentang pendekatan dakwah kepada sahabat kita.

Moga bermanfaat.

Serba salah dan tersepit. 
Seorang dai' pasti akan mengalami situasi ini- ditelan mati mak, diluah mati bapak. Antara 'menegur' dengan 'mengelakkan ukhuwah dari tercalar', mana yang harus dilakukan. Buntu. Kita tahu, bahawa sahabat kita salah, tapi kita juga tahu, jika kita tegur, maka dia akan menjauhi kita. Akibatnya, peluang untuk dakwah dengan lebih sistematik kepadanya pun akan tertutup.

Jika anda berada di situasi ini, apa tindakan anda?

Dakwah ialah satu bentuk jihad, dan ia memerlukan kepada strategi, perancangan dan saf-saf yang teratur dan kemas seperti yang dinyatakan dalam surah As-saff.

Maka, kita harus menilai tahap kesalahan sahabat kita itu. Adakah dia melibatkan kepada persoalan akidah, atau ia masalah maksiat yang berterusan, atau adakah ia hanya masalah berkenaan akhlak yang kurang enak?

Jika ia berkenaan dengan soal akidah, maka wajib kita bersegera menegur sahabat kita. Tapi sekiranya kesalahan ia adalah dalam bentuk maksiat, maka kita boleh tangguh dan tunggu masa yang sesuai. Tetapi jika ia berkenaan dengan akhlak, maka kita boleh menggunakan pendekatan 'tunggu untuk tunjuk'.

Baiklah, saya akan cuba hurai satu-persatu.

Dalam soal akidah.
Jika sahabat kita ada kecenderungan untuk syirik (cth: di kristian kan), maka kita tidak boleh tunggu lagi, wajib kita bersegera menegur. Mungkin kerana tindakan segera ini, kita akan dibenci atau akan menjejaskan persahabatan, tapi ia berbaloi. Lebih baik kita dibenci olehnya, daripada kita melihat akidahnya terancam.

Dalam soal maksiat.
Pilih masa yang sesuai dan situasi yang sesuai iaitu face-to-face, kemudian mulalah bercakap. Seboleh-bolehnya, kita guna 'pendekatan ajak, bukan mempersoal'. Contoh: seorang yang tidak bersolat. Sebaiknya, kita ajak mereka untuk solat bersama dengan kita, bukan mempersoalkan, kenapa tidak bersolat. Bukannya mempersoalkan itu tidak boleh. Boleh jika kita berniat untuk membantu (cth; mengajar jika dia tak tahu atau menyediakan pakain bersih , jika dia tidak berpakain bersih), tapi pada pengalaman saya, jika kita mempersoalkan, kita akan menutup peluang kita untuk berdakwah pada kali yang lain- iaitu kita akan dijauhi olehnya. Jika sudah jauh, peluang pun semakin tipis. Bagaimana nak berdakwah?

Dalam soal akhlak.
Yang ini bolehlah jika taknak tegur dengan mulut, tapi tegur dengan 'hati' dan menunjukkan akhlak yang baik. Ramai orang sengaja nak ambil short-cut daripada hadis dari Abu Said al-Kudri riwayat Imam Muslim berkenaan dakwah ini. Maksud hadis itu- Jika kita tengok maksiat, kita wajib tegur dengan kuasa. Jika tak mampu, tegur dengan mulut, jika tak mampu, tegur dengan hati dan itu ialah selemah-lemah iman.

Ramai orang, apabila melihat sahabat dia bermaksiat, dia terus nak ubah dengan hati iaitu dengan cara meluat dan membenci, sedangkan tak benar cara tu. Dia sendiri belum menegur dengan kuasa dan nasihat, tapi terus nak benci dengan hati. Tak bolehlah begitu...

Kita ada kuasa, iaitu kuasa persahabatan. Dengan kuasa sebagai sahabat, kita berpeluang menegur. Maka, inilah peluang dakwah kita.

Kita akan dibenci? dipandang hina? dimarah? dicaci-maki? dan terasing?

Jika keadaan ini berlaku, maka kita harus melihat ke belakang sekilas. Mungkinkah cacian ini datang kerana dakwah kita tidak berhikmah?

Saya, jika menegur sahabat saya, saya akan menilai tahap kesalahan itu.

Bagi sahabat-sahabat saya yang tidak bersolat, saya tegur mereka secara berseorangan. Tapi melalui cara yang sedikit berbeza. Saya hantar mesej di facebook. Mudah kan?

Sebabnya adalah kerana kesukaran untuk mendapat situasi face to face dan jika ia berbentuk tulisan, 'orang yang betuah' menerima mesej itu boleh membaca berkali-kali. Berbeza jika kita bisik di telinganya (nasihat), mungkin selepas sehari atau dua pesan ini akan hilang.

Tapi jika dalam soal akhlak, saya suka tegur secara terus tapi dengan cara melawak, menggosok-gosok  belakang dia, memicit bahu dia dan memegang tangan dia. Bukan apa, saya hanya mahu supaya mereka rasa dekat dan tidak janggal dan terasing. Apabila berkata-kata juga, janganlah beremosi. Kerana itu, daei' harus pandai melawak dan pandai tersenyum. Daei bukan polis dan bukan warden penjara yang perlu sentiasa serius!

Tidak mudah. Selamanya dakwah tidak akan menjadi sesuatu yang mudah.

Kita sendiri harus berusaha 'memudahkan' ia. Saya suka mengambil contoh dakwah Rasulallah. Bagaimana orang arab jahiliyyah yang no doubt, sangat kasar dan bengis boleh jatuh hati dengan dakwah Baginda?

Ini adalah kerana eratnya ukhuwah yang Rasulallah bina. Kita guna pendekatan itu- ukhuwah. Lalu, bagaimana mahu mengeratkan ukhuwah supaya kita boleh berdakwah, dan dakwah itu akan terkesan kepada mereka?

Sifat-sifat kemanusiaan. Itulah jawapannya.

Kerana itulah, Rasulallah menganjurkan kita untuk selalu senyum, mengucap salam, bermanis muka, bertukar-tukar hadiah, saling bantu-membantu, bertanya khabar dan lain-lain.

Dengan ini, kita berupaya membina hubungan yang baik dengan kawan-kawan kita. Dengan itu juga, jika kita memberi nasihat, mudah untuk mereka ikut. kan?

Saya sendiri bukan sahabat yang baik. Tapi saya masih mampu sentiasa berpesan kepada tiga perkara utama ini. Berulang-ulang kali, tapi syukur, sahabat-sahabat saya tiada yang menolak. Semuanya angguk dan senyum (dalam hati mungkin juga meluat) hehe :)

(1)- Sejahat mana pun kita, jangan tinggal solat.
(2)- Kalau nak buat jahat, jangan dibangga-bangga dan jangan ajak orang lain join.
(3)- Kalau terlanjur buat benda jahat, jangan lupa iringi dengan buat benda yang baik-baik.

Seni dakwah ini akan selamanya menjadi satu kesenian yang terindah. Memilikinya adalah lebih baik daripada memiliki ribuan ekor unta merah. Kerana itu, hati-hati sebelum 'membuka mulut' kerana jika silap perkiraan dan cara, sasaran dakwah kita akan lari.

Jangan musnahkan peluang yang ada dengan sikap terburu-buru kita.

Oh, maaf sangat-sangat kerana saya belum menjawab soalan tentang 'dia terjebak dengan zina'. Biar itu jadi tajuk artikel yang akan datang. Cukup kiranya artikel ini menjawab soalan 'dia kawan aku'.

Akhir kata, apa yang baik, silalah amal dan sampai-sampaikan. Mana yang buruk, silalah tinggal dan lupa-lupakan. Maaf jika ada kekurangan dalam artikel ini.

Mengapa Aku Tidak Dapat Merasa Kehebatan Al-Quran ?

 "Ustaz, saya rasa kosong sangat jiwa ni. Rasa tak tenang. Apa perlu saya buat?"

"Bacalah al-Quran"

"Ustaz, saya susah nak tidur la malam-malam. Apa perlu saya buat?"

"Bacalah al-Quran"

"Ustaz, macam mana mahu tajamkan akal anak saya? Dia bakal SPM tahun ni"

"Suruhlah dia baca al-Quran banyak-banyak"

"Sikit-sikit baca Quran. Sikit-sikit baca Quran. Dah baca dekat 10 tahun ni, tak selesai pun masalah. Tak rasa tenang pun. Tak dapat tidur pun. Tak jadi pandai pun. Apa la ustaz ni, tak boleh pakai punya nasihat la!"

Ini keluhan orang yang tak tahu. Tapi sebagai manusia, saya tidak salahkan dia kerana seringkali ustaz menyuruh orang awam membaca dan mengambil manfaat dari al-Quran, tapi jarang pula ustaz berbicara tentang cara-cara dan syarat-syarat untuk mengambil manfaat dari al-Quran itu.

Maka, izinkan saya yang bukan ustaz untuk berkongsi tips-tips dan kaedah mengambil manfaat al-Quran. Ada 4 syarat utama harus kita turuti.

Pertama: Beradab Dengan Al-Quran
Ini syarat pertama dan juga yang paling utama. Akhlak. Banyak sekali adab yang telah kita lupakan. Antara yang besar-besar ialah seperti berwuduk, mengadab kiblat dan lain-lain. Itu secara zahir. Saya tidak berhajat menyentuh panjang kerana saya mahu menumpukan kepada adab yang tidak zahir.

Pertama, kita harus memulai bacaan dengan niat yang baik-baik.

Firman Allah dalam surah at-Taubah ayat 124 dan 125 ; Dan apabila diturunkan sesuatu surah (dari Al-Quran) maka di antara mereka (yang munafik) ada yang bertanya (secara mengejek): "Siapakah di antara kamu yang imannya bertambah disebabkan oleh surah ini?" Adapun orang-orang yang beriman, maka surah itu menambahkan iman mereka, sedang mereka bergembira (dengan turunnya). Adapun orang-orang yang ada penyakit (kufur) dalam hati mereka maka surah Al-Quran itu menambahkan kekotoran (kufur) kepada kekotoran (kufur) yang ada pada mereka; dan mereka mati, sedang mereka berkeadaan kafir.

Mahu bermain-main dengan ayat Allah? Itu tanda kekafiran.

Ada orang, membaca Al-Quran untuk mencari kesalah Al-Quran. Ada juga manusia yang membaca untuk mengabil hujjah bagi menghentam manusia. Ada juga yang membaca dengan niat saja-saja. Maka, perumpamaan mereka adalah seperti orang munafik, yang tidak mendapat apa-apa manfaatpun dari al-Quran.

Itu yang pertama. Perkara kedua yang kerap dilupakan ialah kebersihan. Bukan sekadar jasad, bahkan kebersihan hati itu lebih utama.

"Kebersihan itu sebahagian daripada iman"-Hadis Arbain

"Allah mencintai orang-orang yang bersih"- At-Taubah ayat 108

"Dan bersihkanlah pakainmu"- Al-Mudassir ayat 4

Kebersihan hati? Betulkan niat. Membaca kerana Allah sayang, bukan kerana mahukan habuan, pujian atau kemuliaan di sisi manusia.

Adab yang ketiga ialah serius dan tidak bermain-main. Amaran keras Allah nyatakan dalam surah al-Anbiya' ayat 2 ; "..mereka mendengarkannya sambil bermain-main..". Sebaliknya, kita dituntut untuk memberi perhatian terhadap apa yang kita baca. Contohilah Saidina Umar, teresak-esak dia menangis. Persis seorang kanak-kanak sedangkan dia seorang yang pejuang! Menangis dia membaca surah Yusuf, tanda hatinya khusyuk dan faham.

Kedua: Penerimaan Yang Baik
Yang dimaksudkan dengan penerimaan ialah menerima pengajaran yang terkandung di dalamnya. Caranya ialah dengan 'dengar' dan 'taat'.

Satu hari, Rasulallah menyuruh Ibnu Mas'ud membacakan al-Quran untuk didengari oleh Baginda. Ibnu Mas'ud patuh lalu dia membaca hinggalah tiba kepada ayat "Maka bagaimanakah (keadaan orang-orang kafir pada hari akhirat kelak), apabila Kami datangkan dari tiap-tiap umat seorang saksi (iaitu Rasul mereka sendiri menjadi saksi terhadap perbuatan mereka), dan Kami juga datangkan engkau (wahai Muhammad) sebagai saksi terhadap umatmu ini?". Lalu, menagislah Rasulallah. Ini bukti, jika hati kita benar-benar khusyuk membaca al-Quran, pasti akan tumpah air mata ini.

Selain itu, kita juga 'menerima' dengan berniat untuk melaksanakan segala perintah yang terkandung sedaya upaya kita. Usahakan! Pasti Allah mudahkan.

Ketiga: Memahami Tujuan Asas Al-Quran
Apakah tujuan al-Quran diturunkan?

Hiasan khat?

Pelaris perniagaan?

Tujuan perubatan?

Semua itu boleh jadi ya, tapi nyata semua itu bukan tujuan asas Allah turunkan al-Quran. Allah turunkan al-Quran sebagai petunjuk kepada kita. Al-Quran menggariskan panduan untuk membentuk peribadi muslim. Maka, seharusnya kita menjadi the walking Quran iaitu orang yang berakhlak dengan apa yang ada dalam al-Quran.

Keempat: Mengikuti Cara Sahabat r.anhum Bergaul Dengan Al-Quran
Ada sebuah hadis dari Abu Said al-Khudri-
 Janganlah kalian mencela sahabatku. Jika ada salah seorang dari kalian membelanjakan harta sebesar gunung Uhud, necsaya ia tidak akan menyamai secupak yang mereka belanjakan, bahkan setengah cupak juga- riwayat Bukhari dan Muslim
Apa yang membuatkan para sahabat Rasulallah ini tersangat istimewa?

Adakah kerana mereka ada unta? Tidak!
Adakah kerana mereka orang arab? Tidak!
Atau, adakah kerana mereka tinggal di zaman tiada internet, TV dan teknologi? Tidak!

Mereka mulia kerana cara mereka bergaul dengan al-Quran.

Para sahabat beriman dengan kesuluruhan isi al-Quran. Tiada istilah 'tak apa' dan tiada istilah 'tapi'. Mereka tidak cerdik untuk membuat alasan bagi mengelak (kecuali orang munafik) kerana mereka sangat cerdik untuk faham bahawa al-Quran ini adalah diturunkan kepada kita, manusia.

Ada seorang sahabat bernama Tsabit bin Qais r.a yang bersedih dengan turunnya ayat 49:2 iaitu berkenaan larangan meninggikan suara kepada Nabi. Tsabit bin Qais r.a sememangnya seorang yang beruara kuat. Lalu, dia terasa seolah-olah ayat ini turun kepadanya. Kerana itu, dia tidak lagi hadir ke dalam majlis ilmu kerana bimbang akan suaranya yang kuat itu. Hal ini diketahui oleh Rasulallah, lalu Rasulallah menyuruh sahabat memberi tahu Tsabit, bahawa ayat ini bukan ditujukan kepadanya.

Dalam tafsir Ibnu Khatsir ada diceritakan.

Jelas, para sahabat apabila membaca al-Quran, mereka merasakan bahawa setiap ayat itu adalah untuk mereka. Kerana itu, mereka bersedia untuk melaksanakan perintah Allah. Para sahabat yang tidak berdosa, apabila membaca berita tentang kiamat dan neraka, mereka menangis. Sedangkan mereka tidak melakukan dosa. Kita yang saban hari berdosa, boleh tersenyum-senyum ketika membaca ayat tentang neraka.

Kita tak rasakah, bahawa ayat itu Allah tujukan kepada kita?

Kesimpulan
Ada 4 perkara dalam Al-Quran. Pengajaran, penyembuh, petunjuk dan rahmat. Ini disebutkan dalam surah Yunus ayat 57. Maka, jangan ragu-ragu dengan kemukjizatan al-Quran. Ia benar-benar penyembuh 'luka hati'.

Sebaliknya, kita tanya diri kita, adakah selama ini kita cukup beradab untuk mengambil manfaat al-Quran?

Maka, marilah mengambil manfaat al-Quran. Selamat beramal, dan silalah panjang-panjangkan kepada sahabat-sahabat yang selama ini masih 'tercari-cari' sebab mengapa dia belum bertemu solusi dari al-Quran.

Wasiat Dari Penulis

Kepada teman-teman sekalian,
Semoga kita semua sentiasa dalam rahmat-Nya.

Ada sesuatu yang sangat penting mahu aku bisikkan ke telinga kalian. Dengar dan fahami apa yang ingin aku sampaikan ini.

Sebenarnya, aku ini bukanlah orang yang tepat untuk berdakwah, apatah lagi mengajarkan ilmu kepada kalian. Maka, jika kalian temui apa-apa yang tempang dalam urusan agamaku, janganlah kalian ikuti aku. Tinggalkanlah ia. Janji denganku. Sungguh-sungguh! Sesungguhnya aku sangat takut akan Tuhanku kerana aku tahu, dosaku seluas lautan membiru.

Maafkan aku atas kelemahanku dalam melaksanakan urusan agamaku. Aku tidak layak dijadikan sebagai contoh.

Harapanku, jika satu hari nanti aku dipanggil oleh Tuhanku, aku sangat berharap supaya kalian yang masih ada, sudi menyambung apa yang sedang kita usahakan ini iaitu melaksanakan amar ma'ruf  dan nahi munkar.

Semoga kita semua dapat melaksanakan tanggungjawab ini dengan sempurna dan terlindung dari menjadi fitnah kepada agama.

Hamba fakir,
Iqbal Syarie
11Dzulhijjah1431

Istimewa: Korban

Istimewa: Korban
Kisah pengorbanan

Hari itu, seorang bayi lelaki yang comel selamat dilahirkan. Si ibu tersenyum kepuasan apabila dapat menatap wajah si anak yang selama 9 bulan dikandungnya. Setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan kepada Yang Maha Kuasa kerana bayinya itu dapat dilahirkan dengan mudah dan sihat. Namun, jauh di sudut hatinya, dia diburu keresahan yang tidak berpenghujung. Hatinya runsing, jiwanya merintih. Titah sang raja zalim benar-benar membataskan senyumnya. Ah, celaka sungguh si raja.

Setiap anak lelaki harus dibunuh! Tiada kompromi. Si ibu diburu kebimbangan yang tersangat dasyat. Bimbang bayi yang baru menghirup udara dunia itu menjadi mangsa pedang tentera si raja.

Tapi Tuhan telah mentakdirkan bahawa bayi itu bukan bayi biasa. Dia mengilhamkan kepada si ibu supaya menyiapkan kotak, lalu memasukkan anak yang dicintainya kedalamnya. Lalu, bayi yang masih belum mampu mengenal ibunya itu dihanyutkan ke sungai Nil. Hancur, luluh, berkecai hati si ibu memikirkan nasib anaknya itu.

Kerana kerisaun yang tidak bertepi, si ibu menyuruh puterinya- kakak kepada bayi tadi untuk mengikut arah mana bayi itu dihanyutkan. Akhirnya diketahui yang bayi itu dihanyutkan ke istana raja yang zalim itu.

Oh bonda Nabi Musa, besar sungguh pengorbananmu kepada sang anak. Kau rela anakmu dibela dan dibesarkan oleh orang lain, hanya kerana mahu melihat anakmu bernafas. Ya, inilah pengorbanan.
***
"Kamu telah melakukan sesuatu yang sangat mungkar!"

"Selama ini kami anggap kamu sebagai seorang yang sangat mulia dan baik. Ternyata itu hanya satu sandiwara kamu terhadap kami!"

Luluh hati si gadis menerima kata-kata nesta sebegitu. Teringat dia akan peristiwa malam itu. Satu detik yang merubah hidupnya.

"Jangan takut. Aku bukanlah manusia biasa. Aku ialah malaikat yang diutuskan oleh Allah untuk mengurniakan kepadamu seorang anak lelaki yang suci". Kata-kata lelaki tampan yang muncul ketika dia sedang khusyuk beribadah itu benar-benar mengejutkan.

"Ah. Mana mungkin aku punya anak sedangkan aku tidak bersuami dan aku tidak pernah disentuh mana-mana lelaki".

"Ini adalah kehendak Tuhanmu. Dia mentakdirkan itu untuk dijadikan tanda kebesaran kekuasaan-Nya"

Lalu tiba-tiba si malaikat yang berupa lelaki tampan itu meniupkan sesuatu kepada si gadis tadi. Si gadis masih disulubungi sejutaa persoalan. Segala-galanya terlalu cepat, hingga dia tidak sedar bahawa yang ditiup itu ialah roh seorang manusia mulia ke dalam rahimnya.

Si ibu tahu, bahawa bayi luar biasa ini hanya datang dari Tuhannya. Hanya Dia yang mampu memasukkan roh ke dalam rahim. Kerana itu, si gadis rela menerima cercaan kaumnya. Segalanya dia terima dengan rasa tabah.

Saat menantikan kelahiran si anak, Allah mengutuskan Jibril a.s untuk memberikan berita gembira kepada si gadis.

"Janganlah kau sedih. Sesungguhnya Tuhanmu telah menyediakan satu anak sungai dibawahmu. Dan goyangkanlah pohon kurma ini, nescaya akan gugurlah buah-buahnya. Makan, minum, dan bersenang hatilah kamu. Jika kamu melihat seorang manusia, maka katakanlah : Sesungguhnya aku bernazar berpuasa kerana Tuhan Yang Maha Pemurah, maka aku tidak akan berbicara dengan seorang manusiapun pada hari ini".

Sungguh hebat perempuan ini. Dia sanggup menerima 'hadiah' seorang bayi sedangkan dirinya masih seorang perawan. Dia dapat bersabar atas ejekan masyarakatnya. Berbeza sekali dengan anak gadis kita. Barangkali selagi terdaya, selagi itu mahu menggugurkan bayi sedangakan itu benar-benar bayi yang lahir dari sentuhan lelaki.

Hebatnya Mariam puteri Imran. Sanggup dia berkorban untuk melahirkan manusia mulia, Isa a.s
***
Inilah antara kisah manusia-manusia yang mengorbankan diri mereka untuk menggapai redha dan cinta Tuhan, tapi sangat jarang kita kupas dan kita dengar. Yang kita sering dengar ialah cerita tentang pengorbanan Nabi Ibrahim dan anaknya, Nabi Ismail.

Benar. Kerana peristiwa inilah Allah telah mensyariatkan hari raya korban (aidil adha), agar kita ingat akan pengorbanan Nabi Ibrahim dan anaknya, Nabi Ismail.

Tapi, adalah lebih baik jika kita juga tahu kisah pengorbanan ibu Nabi Musa dan Ibu Nabi Isa serta kisah-kisah para rasul dan para pejuang agama yang kerana pengorbanan merekalah, kita dapat menghirup udara islam. Ya, kita masih lagi islam.

Kekeliruan saya.
Sejujurnya, dari saya kecil lagi saya faham 'korban' itu sebagai 'melupakan kemahuan kita untuk memenuhi kemahuan orang lain'.

Tapi, dalam saya mengaitkan ia dengan realiti, saya menjadi pening sendiri. Jika dahulu, Nabi Ibrahim diwahyukan Allah untuk menyembelih Nabi Ismail a.s, maka sangat wajarlah ia dipanggil 'pengorbanan'. Ini adalah kerana Nabi Ibrahim dapat anak pun setelah usianya 90 tahun, dan isterinya pula mandul. Bahkan, Ismail ketika itu baru berusia 7 tahun. Maka, jika benar Baginda 'menyembelih' anaknya, maka benar ia adalah pengorbanan yang tidak diragui lagi sebagai satu pengorbanan yang paling hebat.

Namun, setelah Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail rela melaksanakan kehambaan kepada Rabb, si anak diganti dengan kibas. Bukan si anak yang disembelih, tapi yang disembelih ialah seekor kibas.

Saya tertanya-tanya. Korban yang sebenar ialah kerelaan Nabi Ibrahim untuk melaksanakan perintah Allah, iaitu dengan mengorbankan orang yang paling dicintainya-Nabi Ismail, tetapi kenapa dalam peristiwa kita, Allah sekadar mensyaratkan kita untuk mengorbankan haiwan sahaja?

Jika benar ia 'korban', maka bagi saya paling kurang sepatutnya yang dikorbankan itu ialah manusia, bukannya haiwan. Tapi kenapa haiwan pula yang dijadikan korban?

Baru saya tahu apa hikmahnya Allah menyuruh kita menyembelih binatang.

Ini adalah sebagai satu perintah halus dari Allah supaya kita membuang sifat-sifat kebinatangan yang ada pada diri kita. Sifat binatang yang sudah lama menjadi sifat kita. Malangnya kita tak sedar bahawa hakikat itu.

Apakah sifat-sifat binatang itu?

Saya teringin untuk mengulas panjang, tapi saya tidak punya banyak kesempatan. Cukuplah jika saya sebut dengan ringkas sahaja.

Lihatlah. Apa yang ada pada haiwan korban?

Binatang tidak menutup aurat.
Binatang hanya hidup dalam kelompok masing-masing (assabiyyah).
Binatang tiada sistem perkahwinan. Asal suka sama suka, jalan laa.
Binatang boleh makan apa-apa saja. Tidak kisah halal dan haram.
Binatang tidak mendengar arahan.
Binatang sifatnya degil.
Binatang sifatnya tamak, tidak suka berkongsi dan suka bergaduh.

Macam-macam lagi.

Kesimpulan
Usahlah kita hanya menjadi manusia yang hanya tahu menyembelih, melapah, masak, dan makan daging haiwan korban tapi dalam masa yang sama, kita tidak berusaha membebaskan diri kita dari sifat-sifat kebinatangan. Semoga dengan aidil adha kali ini, Allah beri kita satu kekuatan untuk kita sedar, insaf dan membebaskan diri dari sifat-sifat kebinatangan ini.

Selamat menyambut Hari Raya Aidiladha :)

Esok saya akan membantu korban di Puncak Perdana, Shah Alam. Big Boss Engineering MAS, Tuan Haji Roslan buat korban dan masjid di taman perumahan dia perlukan ramai man-power. So, saya dan beberapa orang volunteer nak tolong-tolong kerjakan lembu-lembu tu. Hopefully saya dapat belajar banyak benda.

Alasan seorang penderhaka: Takpe, Aku Dah Cukup Baik

Alasan seorang penderhaka: Takpe, Aku Dah Cukup Baik
'Alang-alang lalu depan surau, jomla singgah solat sama-sama'
'Hehe..tak pe lah. aku solat kat rumah saja'

'Malam ni ada kuliah kat surau. Jom la datang dengar'
'Takpelah. Kau pegi dulu ya...hehe'

Mengelak dan mengemukakan alasan. Itu saja yang kita tahu. Kita suka mengemukakan sejuta alasan untuk menyedapkan hati, sedangkan kita sebenarnya sedang menolak suatu kewajipan. Kita tolak,seolah-olah ia tidak wajib.

Bagi saya, dalam banyak-banyak alasan, ini yang paling tak masuk akal- 'Takpe, aku dah cukup baik'.

Persoalan, betulkah kita sudah cukup baik hingga kita sudah tidak perlu kepada ilmu, kepada solat berjemaah, kepada amal-amal soleh dan lain-lain?

Ada satu bab dalam filem Syurga Cinta. Babak dimana si ibu terlihat anaknya bersolat. Terdetik dalam hati si ibu, lalu perkara ini diajukan kepada si bapa yang sedang seronok menonton televisyen.

"Abang... kita ni tak pun pernah sembahyang"

Tapi si suami selamba saja berfatwa, "Tak apa. Kita kan dah selalu sedekah. Dah banyak harta kita sedekah. Nak takut apa lagi? mesti masuk syurga punya"

Lebih kurang begitulah.

Betulkah begitu mudah nak masuk syurga?
Cukup dengan sedekah yang diragui status halal atau haram harta itu?
atau...memang syurga itu dapat dimiliki dengan hanya angan-angan?

Tidak!

Anggaplah kewujudan artikel ini sebagai satu bentuk muhasabah dan peringatan kepada diri kita. Maka mari baca ia dengan jiwa yang lapang.

Bagimana kalau saya katakan bahawa selama ini kita terlalu banyak syok sendiri? Atau mungkin kita ialah jantan perasan?

Kita perasan kita ini sudah cukup baik. Kerana kita telah ditanam satu fahaman sekular. Kita ambil islam separuh muka, dan kita ambil cara hidup kafir, separuh muka lagi. Maka dalam urusan korban, puasa, dan perayaan, kita ikut islam. Tapi dalam soal mentadbir negara, soal bergaul lelaki-perempuan, soal kahwin, tak pula ikut islam.

Saya mahu bertanya, apa beza kita solat sembah Allah dengan kita sembahyang sembang patung?

Bagi orang yang beriman, Allah ialah satu-satunya Tuhan. Tapi bagi orang yang mahu 'beriman separuh-separuh', dia tidak sembah satu Tuhan, tapi dia sembah banyak Tuhan!

Memang dari dulu saya perhatikan. Kita selalu anggap diri kita sudah cukup baik, sudah cukup berilmu dan sudah cukup amal. Kerana itu, kita develop satu sifat, iaitu sifat sombong.

Kerana merasakan diri kita baik, kita mengelak apabila orang ajak kita buat kebaikan. Sedangkan apa kebaikan kita selama ini?

Dimensi
Saya mahu membawa anda ke satu dimensi, iaitu hari pembalasan. Kita dibawa ke hadapan Allah untuk dihisab. Saat itu, baru kita sedar akan satu hakikat. "Kemurkaan Allah pada hari kiamat adalah melebihi rahmatNya". Benar, di dunia memang rahmat Allah mengatasi murka-Nya. Tapi itu di dunia. di akhirat sebaliknya.

Maka, di hadapan Allah, kita akan dihitung penuh teliti. Satu persatu.

Amal soleh, ada? Ada.tapi seciput.
Dosa, ada? Ada. Banyak.
Kezaliman, ada? Ada. Berlonggok.

Habislah kita! Celakalah kita!

Saat itu, kita tercari-cari syafaat. Kita jumpa semua nabi. Bermula dengan Nabi Adam a.s hinggalah Nabi Isa a.s, kita jumpa, kita minta pertolongan. Tapi kesemua mereka refuse, kerana semua mereka takut dengan kemurkaan Allah pada hari itu.

Lalu, hanya seorang saja savior kita- Nabi Muhammad s.a.w

Tapi, jika didunia kita tak amalkan sunnah-sunnahnya, macam mana Baginda nak tahu kita ini umatnya? Kita tidak punya bukti untuk mengaku sebagai umat Baginda!

Saya pernah berborak dengan ibu saya yang tercinta. Di dalam kereta, selepas pulang dari kuliah magrib di masjid saya.

"Erm...orang zaman sekarang, mengaji agama sebab nak mudah saja."

"Macam mana tu ma?", Saya panggil ibu saya 'ma'.

"Ya lah. Belajar hukum. Nak tahu mana wajib, sunnat, harus, makhruh dan haram. Tapi kalau masuk bab amal, benda-benda sunnat ni bukannya nak buat. Alasannya, 'alaah..benda sunnat, tak payah buat pun takpe'. Tapi dalam benda-benda makhruh boleh pula kata, 'Alaaa...benda makhruh, buat pun takpe'. Mengaku nak jadi umat Nabi, tapi takde pun cinta pada sunnah-sunnah Nabi", balas ma saya panjang.

Ingatlah!
Syurga itu bukan untuk orang yang perasan diri dia baik! Dan syurga juga bukan untuk orang yang perasan dia berilmu!

Oh, kita tak perasan. Tapi, jika kita bukan orang yang perasan, mengapa kita sombong?

'Alaa..benda-benda sunat ni tak buat pun takpe'

'Alaa..aku tak pegi surau pun aku solat juga'

'Alaa..aku tak duduk dalam kuliah agama pun aku still tahu halal-haram'

'Alaa...aku banyak share dan baca artikel mengarut-mengarut pun bukannya aku tak reti baca Quran'

Dan last-last, kita guna 'ayat pembunuh'- "Ah! Kita kubur lain-lain!'

Huh, kubur lain-lain kau kata? mahu dilabel sebagai apa orang sebegini? Jahil atau berani? Tidak tahukah bahawa 1 hari dalam akhirat sama dengan seribu tahun atas dunia? Atau memang kau terlalu berani untuk kena bakar dan siksa?

Kalau jumpa orang macam ni, senang saja nak balas. Kata pada dia, "Kalaulah ditakdirkan kita kubur sebelah-sebelah. Kau ingat aku dapat tidur senang ke dengar kau menjerit-jerit kena belasah?"

Kesimpulan
Jangan tiru perangai orang Nasrani dan yahudi. Apabila diajak kepada islam, mereka menjawab,"Kami telah islam lebih dahulu dari kamu". Mereka perasan mereka betul, tapi tidak. Same thing goes to us.

Dalam banyak hal, kita perasan kita betul dan baik. Tapi ketahuilah, hati kita belum lagi lurus, jika kita tidak mula berusaha meruntuhkan tembok kesombongan dan melebur sifat perasan kita.

Dengarlah nasihat ini- Banyak benda lagi kita perlu belajar.

Dan suka saya ingatkan kepada 'bro-bro' yang singgah sini: Hanya dalam mazhab syafie sahaja yang meghukum solat berjemaah itu fardu kifayah. Dalam mazhab lain, hukumnya wajib. Dan banyak hadis menyatakan bahawa tidak diterima solat orang yang tak nak berjemaah di surau sedangkan dia dengar azan. Jomlah bro-bro sekalian. Takkan nak tunggu dah mati baru kita nak datang surau?

Alasan seorang penderhaka: Karena nafsu?

Alasan seorang penderhaka: Karena nafsu?
 "Oh nafsu, kalaulah kau tiada, pasti aku dapat melakukan segala perintah Allah", keluh seorang sahabat.

Tapi benarkah jika tiada nafsu, kita akan dapat melaksanakan segala perintah Allah?

Saya akan jawab 'tidak' kerana 'tiada nafsu' bererti tiada nyawa. Berpisah dengan nafsu bererti berpisah dengan dunia. Sebagai contoh; Jika manusia tidak punya nafsu kepada makan, pasti semua orang akan kebuluran. Jika manusia tidak punya nafsu kepada seks, pasti pupus spesis manusia. Jika manusia tidak punya keinginan kepada harta, pasti tidak akan wujud kemajuan. Kita sendiri pun hidup kerana ada nafsu, mana mungkin kita boleh berkata bahawa tanpa nafsu kita boleh jadi lebih baik?

Maka, saya mahu membetulkan sedikit.

Bukan salah nafsu, sebaliknya salah kita yang tidak menyempitkan serta mengawal nafsu itu.

Bukan semua nafsu itu sifatnya jahat. Tidak. Kerana itu, ulama sufi banyak yang menklasifikasikan bentuk-bentuk nafsu. Ada yang mengelaskan kepada tiga, bahkan ada juga yang sampai 5 jenis nafsu. Ada sampai 7. Tapi saya akan explain yang 3 saja.

Mana nafsu yang buruk dan mana pula nafsu yang baik?
Yang yang paling buruk ialah nafsu amarah. Ini kerana manusia yang punyai nafsu ini, mereka telah mempertuhankan nafsu mereka. Segala apa yang nafsu mereka mahu, segera mereka penuhi walaupun terpaksa menipu, membunuh, merosakkan atau merampas hak orang lain.

Firman Allah dalam surah al-Furqan ayat 43 : "Sudahkah engkau wahai muhammad melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai Tuhan. Apakah engkau akan menjadi pelindungnya?"

Orang yang punya nafsu sebegini tidak semestinya hanya orang kafir. Kerana itu, jangan kita merasa senang hati. Konon-kononnya kita terselamat. Kerana hakikatnya, orang yang bernafsu sebegini sering kita lihat, merata-rata. Yang ambil rasuah, yang rampas harta orang, yang suka mengata orang lain, ah..yang macam-macam lagi. Sangat hina! Kerana itu, Allah sambung dalam ayat 44 ; '...mereka itu seperti haiwan ternakan, bahkan lebih sesat lagi.'

Tolong kawal diri kita, jangan sampai kita masuk dalam kategori ini.

Nafsu tahap dua ialah nafsu lawwamah. Pendek kata, nafsu sebegini adalah nafsu yang diimbangi oleh akal. Ia masih tetap membisikkan kejahatan dan maksiat, tapi ia tidak mendominasi kita. Ia akan berperang dengan akal dan iman. Apabila ia menang, manusia akan 'tergelincir' tapi kerana masih ada unsur keimanan, manusia sebegini akan terasa kesal lalu segera meminta ampun kepada Allah.

Dalam 'peperangan' itu juga, bila sampai ketika iman menang, maka tuannya (manusia) akan dapat merasakan satu keindahan luar biasa dalam ibadah. Tapi kadangkala ia tidak berpanjangan kerana 'peperangan' tetap berlaku.

Saya pasti sangat banyak manusia yang memiliki nafsu sebegini.

Satu cara nak memastikan iman dan akal menang dalam peperangan ini adalah dengan kita supply weapons yang canggih-canggih kepada akal dan iman.

Apa dia?

Ilmu. Battlefield juga perlu dipilih kerana ada sesetangah tempat memberi 'extra power' kepada akal dan iman untuk memenangi perang ini. Antaranya ialah dengan sentiasa bersama orang-orang soleh, selalu duduk di dalam majlis ilmu, majlis zikir dan sentiasa menghabiskan masa di masjid (iktikaf).

Semestinya, nafsu yang yang paling baik ialah nafsu mutma'innah. Ini adalah nafsu ahli syurga. Nafsu ini telah terdidik, terpelajar dan terlatih. Ia sentiasa menyeru perkara yang baik-baik sahaja kepada tuannya. Sangat sukar dimiliki, tapi tidak mustahil untuk dinikmati. Dengan usaha dan kesungguhan, pasti kita mampu!

Mengapa saya bercerita tentang jenis nafsu ini?
Kerana saya mahu mengingatkan manusia yang beralasan, "nafsu aku halang aku buat baik" supaya lebih menghargai peluang diberikan nafsu. Kerana tanpa nafsu, manusia mati. Tapi kerana terlalu mengikut nafsu, manusia juga akan binasa. Kerana itu, Allah jadikan kita akal untuk mengimbangi nafsu.

Bukan semua perkara yang nafsu ajak dan anjur itu membawa kejahatan walaupun ada dalam beberapa perkara. Kerana itulah, kita yang diberi akal harus fikir, mana yang baik dan mana yang buruk. Akal yang digarisi keimanan, itulah 'ahli gusti' yang paling kuat untuk melawan nafsu.

Nafsu itu umpama kuda liar. Jangan dibunuh hanya kerana ia belum jinak, tapi kurunglah ia. Kadang-kadang ia melompat keluar pagar, tapi jangan sampai ia merosakkan tanaman orang lain. Bukankah kita ada tali, kenapa tidak mahu ikat?

Tali apa? ia ialah tali iman yang disimpul dari zikir, puasa dan ilmu.

Saya sangat yakin. Jika 'kuda liar' ini dilatih hari-hari, satu hari nanti ia akan menjadi seekor kuda perang yang tidak takut gugur sebagai pejuang.

Kesimpulan
Saya suka menegaskan bahawa nafsu itu ibadah. Bagaimana?

Jika kita ikut nafsu dengan cara yang ditentukan syara', maka kita dapat pahala. Tapi jika kita ikut nafsu melalui cara selain yang agama benarkan, ia automatik jadi dosa.

Contoh:
(1)-Nafsu makan. Jika makan benda halal dapat pahala. Tapi kalau makan benda haram, riba, curi dan lain-lain, ia akan jadi dosa.
(2)-Nafsu seksual. Jika buat seks dengan isteri sendiri, dapat pahala. Tapi kalau dengan isteri orang, dapat dosa.
(3)-Nafsu berpakaian. Jika pakai baju-baju yang tutup aurat, dapatlah pahala. Tapi kalau pakai 'baju saiz kanak-kanak', dapatlah dosa.

Target Mesti Capai Sebelum Mati
Saya suka membuat analogi. Saya andaikan nafsu itu sebagai satu kerajaan. Ada 2 pihak yang mahu merebut kerajaan itu. Satu ialah syaitan dan satu lagi ialah iman. Dalam nafsu amarah, kerajaan (nafsu) ini dikuasai syaitan. Maka, setiap keputusan kerajaan adalah semua yang jahat-jahat belaka. Iman tidak berupaya mencegah. Lalu ia mati dan lenyap.

Dalam nafsu Lawwamah pula, tentera iman dengan tentera syaitan berebut-rebut. Macam di Malaysia, ada sistem pilihan raya, di sana juga sama. Kadang-kadang, syaitan menang dan kadang-kadang iman menang. Tapi berkat usaha yang sangat kuat, akhirnya kerajaan nafsu dapat dikawal oleh tentera iman lalu tentera syaitan ditawan. Dan itulah dia nafsu mutma'innah. Kerajaan yang ditadbir oleh iman. Maka, setiap perbuatan ialah perbuatan yang didasari oleh iman.

Jom kita improve diri! Moga-moga kita mati dalam dengan 'kerajaan' diri kita ditadbir oleh tentera-tentera iman.

Alasan Seorang Penderhaka: Angkara Syaitan

Alasan Seorang Penderhaka: Angkara Syaitan
Mengapa kita susah sangat mahu beramal dengan islam?

Mengapa kita susah mahu menjauhi larangan-Nya?

Mengapa kita susah melaksanakan suruhan-Nya?

Kenapa susah sangat?

Maka kita akan mula membuat alasan.

'Bukan tak mahu, tapi godaan syaitan sangat kuat'

'Bukan tak mahu, tapi ajakan nafsu sangat kuat'

'Bukan tak mahu, tapi tak tahu'

Terlalu banyak alasan hingga kering dakwat jika kita mahu menyenaraikan kesemuanya. Saya sendiri mempunyai pendapat saya- iaitu 'kesusahan' itu bukannya datang dari syaitan atau nafsu, sebaliknya kerana kita menutup pintu hati kita daripada menerima cahaya hidayah Allah.

Sungguh, syaitan itu lemah.
Dalam surah An-Nisa' ayat 67, Allah telah berfirman; 'Orang-orang yang beriman berperang pada jalan Allah dan orang-orang yang kafir pula berperang pada jalan Taghut (Syaitan). Oleh sebab itu, perangilah kamu akan pengikut-pengikut Syaitan itu, kerana sesungguhnya tipu daya Syaitan itu adalah lemah'.

Saya tak rasa alasan "godaan syaitan sangat hebat" itu alasan yang tepat. Ini adalah kerana Allah telah awal-awal mengatakan bahawa tipu daya syaitan tu sangat lemah.

Allah sangat baik. Jika kita buka lembaran-lembaran al-Quran (surah al-Hijr), pasti kita akan menemui kisah iblis bersumpah untuk menyesatkan manusia. Iblis telah memohon kepada Allah supaya hidup kekal, agar dia dan kuncu-kuncunya mampu merecruit seramai mungkin manusia ke dalam neraka.

Lalu, Allah grant request mereka. Ini adalah kerana Allah tahu bahawa mereka (syaitan) mempunyai tipu daya yang tersangat lemah. Tambahan pula, Allah menurunkan al-Quran kepada kita. Al-Quran yang terlalu sempurna.

Dalam ayat ke 2 surah ke-2, Allah mengiktiraf al-Quran ini sebagai 'tidak ada keraguan'. Dan dalam melihat kehebatan al-Quran, kita melihat Allah menggunakan perkataan 'kitab'. Mengapa perkataan 'kitab' dan bukannya al-Quran?

Ini adalah kerana Allah mahu menegaskan bahawa setiap kitab itu ada kemungkinan untuk ia silap, samada kesilapan tulisan atau teknikal, tapi al-Quran sama sekali tidak punya keraguan dan silap.

Ha, disitu juga Allah menunjukkan kepada kita jalan utama syaitan menyucuk, iaitu jalan 'keraguan' bertepatan dengan fungsi al-Quran iaitu menyelesaikan keraguan manusia.

Manusia ragu-ragu tentang banyak perkara. Antaranya ialah ;
  1. Tujuan hidup
  2. Destinasi selepas mati
  3. Asal kewujudan
  4. Penciptaan alam semesta
  5. Penyelesaian terhadap gejala sosial
  6. dan lain-lain
Al-Quran itu tiada keraguan, maka orang yang membaca dan beramal dengannya akan dipaggil sebagai 'orang yang beriman'. Sebaliknya, orang yang tidak beramal dengan keseluruhan isi kandungan al-Quran, maka mereka inilah orang yang ragu-ragu. Nah! Disana ada syaitan!

Syaitan hanya akan hanya dapat menipu jiwa yang ragu-ragu. Dalam erti kata yang lain, jika kita tidak berpegang dengan sepenuh isi al-Quran, maka kita akan dapati bahawa tipu daya syaitan itu sangat kuat, sedangkan ia sebenarnya sangat lemah dan hanya orang-orang yang lemah dan bodoh sahaja akan tertipu dengannya.

Saya rasa masih ramai yang blur-blur. Maka izinkan saya ambil satu contoh ringkas.

Dalam isu menutup aurat. Dalam islam, aurat wanita ialah semua kecuali muka dan pergelangan tangan. Bagi lelaki, atas pusat hingga lutut. Dan jika mahu bersolat, wajib tutup aurat. Tapi, jika kita dalam kapal terbang contohnya, adakah wajib kita bersolat jika masuk waktu?

Sudah tentu wajib. Bagaimana? Solat dengan sedaya mungkin. Tiada ruang kosong la! Boleh tak solat atas tempat duduk?

Boleh. Bagaimana? Takbir macam biasa. tapi buat pergerakan cukup dengan isyarat, seperti tundukkan kepala bagi sujud lebih ke bawah daripada tunduk untuk ruku'. Lalu, timbul keraguan.

'Bagaimana saya mahu solat sedangkan saya tidak ada telekung (wanita) , tidak ada kain sarung (lelaki) ?'

Disitu timbul keraguan. Lalu syaitan akan cucuk- "Jadi sekarang bagaimana? Masih mahu bersolat sedangkan pakainmu tak menutup aurat? Lebih baik tak bersolat" Itu syaitan bisikkan. Maka kita mengiyakan. Terus, kita tak solat.

Kalau betul kita ikut islam, kita akan faham bahawa menutup aurat bukan hanya dalam solat tapi juga diluar solat. Maka, tidak timbul lagi masalah tiada telekung atau tiada kain sarung kerana hakikat yang berlaku, lelaki suka pakai seluar pendek dan wanita suka berbaju lengan pendek.

Nampak? Kerana tidak beriman dengan sepenuh isi al-Quran dan hadis, maka timbul ragu-ragu dan tersesat.

Satu lagi kisah. Kisah manusia yang mula-mula sekali ditipu. Kisah Iblis menipu Adam a.s dan Hawa. Allah berfirman dalam ayat 35: "Dan kami berfirman: "Wahai Adam! Tinggalah engkau dan isterimu dalam syurga, dan makanlah dari makanannya sepuas-puasnya dari apa sahaja yang kamu sukai, dan janganlah kamu hampiri pokok ini; (jika kamu menghampirinya) maka akan jadilah kamu dari golongan orang-orang yang zalim".

Allah guna perkataan وَلاَ تَقْرَبَا lagi yang bermaksud 'dan janganlah kamu menghampiri'.

Kita lihat dalam ayat seterusnya iaitu ayat 36, Iblis berjaya menyebabkan mereka memakan buah itu. 

Eh, bukankah tipudaya syaitan itu lemah? 

Maka kita telah lihat lagi satu punca kenapa kita mendapati syaitan itu kuat adalah kerana kita 'suka bermain-main dalam kawasan yang syubhah'.

Dalam hadis arbain pun ada kata, jika kita menjauhi kawasan syubhah ertinya kita telah menyucikan diri. Ini adalah kerana dengan kita mendekati, saya ulang, sekadar mendekati perkara yang haram, maka risiko untuk kita tergelincir adalah sangat tinggi. Maknanya, kita perlu berhati-hati!

Pesan Ustaz
Seorang ustaz (kalau tak silap silap Ust Zaharuddin) pernah berpesan...
"Kalau kamu tak mahu pakai tudung, maka diam saja. Jangan mempertikaikan, kononnya ada orang yang bertudung lebih jahat daripada yang tidak kerana perbuatan ini berkemungkinan akan menyebabkan rosaknya akidah (lebih kurang begitulah kata-kata ustaz itu)"
Ini adalah kerana apa yang ada dalam al-Quran tiada keraguan sedikitpun. Mempersoal, mempertikaikan ia, akan membawa kepada ragu-ragu. Dan ragu-ragu ini boleh membawa kepada kekufuran.

Pesan saya
Apa saja yang disebut dalam al-Quran, maka yakin dan berimanlah dengannya. Jangan ikut syaitan, tapi ikutlah Quran dan Sunnah. Allah menegaskan dalam surah An-Nahl ayat 104- "Sesungguhnya orang-orang yang tidak beriman kepada ayat-ayat Allah, Allah tidak akan memberi hidayah petunjuk kepada mereka, dan mereka pula beroleh azab yang tidak terperi sakitnya".

Kesimpulan
Masih terlalu awal untuk saya membuat kesimpulan kerana kita baru melihat satu alasan saja. Tapi sekarang, kita dah yakin dan tahu bahawa tipu daya syaitan sangat lemah, jika kita faham dan ikut terus apa yang Allah turunkan dalam al-Quran.

Termasuk juga dalam apa yang saya maksudkan ialah hadis-hadis dan sunnah-sunnah Rasulallah. Jangan hanya beriman dengan al-Quran dan anti kepada hadis. Sesat! Salah! Kita wajib yakini kedua-dua sumber ini. Jangan ragu-ragu, kerana di sana letaknya perangkap syaitan. Sekali kita ragu-ragu dengan salah satu daripada kedua-dua sumber hukum ini, maka kita sedang dalam bahaya.

InsyaAllah ada sambungan dalam tajuk yang sama- alasan seorang penderhaka. 

Nota: sesiapa yang mahu membaca tentang cara mengatasi syaitan, boleh baca disini (Link1) dan disini (Link 2)

Jika anda ada pertanyaan atau kekeliruan, silalah bertanya. Saya harap saya mampu menjawabnya. Saya lebih suka jika mampu bercakap berbanding menulis kerana dengan hanya menulis, tiada direct feedback. Boleh membawa kepada keliru. Tapi apakan daya... T_T

HDA

 (Selama ini, kita melangkah dalam zulumat atau dalam nur?)

Melalui beberapa artikel yang lepas, kita sudah jelas bahawa Allah itu wujud. Allah sangat baik kepada kita. Allah juga sangat cinta kepada kita. Dan kita juga sudah tahu, bahawa Allah sangat berkuasa, dan makhluk langsung tiada daya dan upaya.

Tapi, saya belum sempat bercerita panjang tentang kesan apabila kita merasakan Allah itu baik, hebat dan sayang kepada kita.

Ada satu kisah. Kisah tentang saya, di zaman saya jahiliyyah dahulu. Saya dahulu punyai satu kegemaran yang sangat buruk. Saya berkongsi bukan kerana saya mahu publisiti murahan atau berbangga-bangga, tetapi saya berkongsi cerita kerana saya mahu menarik perhatian anda semua tentang betapa kita perlu mentarbiyyah diri kita dengan mewujudkan kekuasaan Allah dalam diri.

Saya pernah persoalkan soalan ini, dan saya mahu ulang soalan ini:

'Akal kita meyakini dengan sebenar-benarnya bahawa Allah itu wujud. Tetapi, bagaimana dengan hati kita? Adakah benar hati kita mengiyakan bahawa Allah itu wujud?'

Dahulu, Allah tidak wujud dalam hati saya. Kerana itu, saya tidak kisah melakukan maksiat, melakukan dosa. Saya fikir, 'Tak apa. Orang lain pun buat juga'. Tapi setelah kekuasaan Allah mulai hadir dalam hati, maka secara automatik saya rasa tidak mahu berbuat maksiat. Ia satu perasaan yang sangat aneh! Satu perasaan bahawa 'aku tidak boleh buat ini!'.

Maka, saya mampu meninggalkan satu maksiat yang dahulu pernah menjadi suatu kegemaran. Tidak perlu saya sebut, tapi kalau kawan-kawan saya di STAR dulu, mereka mesti tahu apa itu. (Lebih baik kalau tidak ingat)

Maher Zain apabila menerima sentuhan hidayah, terus membuang jauh ketagihan alkohol nya. Adik Ipar Tony Blair, Laurent Booth juga sama. Selepas memeluk islam, keinginan untuk meminum arak hilang serta merta. 

Saya mengaggap ini ialah satu hadiah daripada Allah, kepada orang-orang yang berusaha mewujudkan kekuasaan-Nya dalam diri.

Anda pernah mendengar perkataan HDA ?

Saya pun baru dengar juga. Saya dahulu tak panggil HDA. Saya sebut nama panjangnya. Baru-baru ni baru saya temui singgkatan huruf ini. H-Hubungan D-Dengan A-Allah. HDA ialah hubungan-dengan-Allah.

Maksudnya, kita sentiasa merasa bahawa Allah melihat kita. Bagaimana mahu mewujudkan HDA ? Inilah yang saya cuba timbulkan. 

Pertama, kita perlu yakin bahawa Allah itu wujud. Allah wujud tanpa sebab. Kerana itu, manusia dan semua makhluk di bumi ini memerlukan kepada Allah sedangkan Allah sama sekali tidak perlu kepada kita. Saya akan hurai dengan lebih lanjut dalam artikel yang lain.

Kedua, kita wajar merasakan bahawa Allah itu sangat baik. Allah telah beri kita macam-macam. Walaubagaimanapun, apa yang Allah beri sama sekali bukan milik kita, kerana ia milik Allah. Kita tidak memiliki apa-apapun. Kerana Allah baik, Dia beri kita 'pinjam' macam-macam dan Dia boleh tarik, bila-bila saja. Ini juga akan saya hurai secara lebih detail dalam artikel berasingan.

Ketiga, kita perlu tahu bahawa Allah sangat sayang kepada kita. Dia tidak mahu kita hidup dalam kesusahan, kemudharatan, kejahilan dan pengakhirannya, kekal dalam neraka. Tidak! Allah tidak zalim. Dia meluaskaskan dengan seluas-luasanya jalan kita ke syurga. Tapi kerana kasih-Nya, kita tidak balas, maka kita jadi lupa diri.
Keempat, kita perlu rasakan bahawa Allah sangat hebat. Di dunia, tiada yang mampu memberi kemudharatan melainkan apa-apa yang telah Allah tentukan. Yang memberi manfaat dan mudharat hanyalah Allah. Makhluk hanya menjadi 'agen' atau 'pelakon'. Kita yang tertipu dengan lakonan dunia, akan menggap bahawa selama ini yang memberi kita sihat ialah ubat, bukan Allah. Maka dalam masa yang sama, kita seolah-olah telah mewujudkan sifat ketuhanan kepada ubat- iaitu memberi sembuh.

Cara Mewujudkan HDA.
HDA akan sentiasa wujud dengan cara kita bertanya diri kita;
  1. Aku wujud pun kerana Allah. Tidakkah aku perlu sentiasa berbakti kepada Allah?
  2. Allah sangat baik kepadaku. Bukankah aku juga berkelakuan baik terhadap Dia?
  3. Allah sayangkan aku. Maka, aku juga perlu sayang kepada Allah dan sayang kepada orang-orang yang Dia sayang!
  4. Allah sangat hebat. Bukankah aku patut meraskan aku ni hina dan aku malu kepada-Nya?
  5. Aku terhutang budi kepada Allah. Wajarkah aku buat Allah murka?
  6. Setelah segala kebaikan Allah beri, takkanlah aku nak balas dengan maksiat?
Moga dengan wujudnya HDA 24 jam sehari, kita akan rasa tidak mahu buat jahat dan sentiasa rasa nak buat baik. Maka, tika ini tiada lagi istilah 'insaf sekejap' dalam diari hidup kita.