Peraduan Menulis : Idolaku, Inspirasiku

Peraduan Menulis : Idolaku, Inspirasiku
Pagi itu sejuknya luar biasa sekali. Terasa sampai ke tulang rusuk. Dalam sebuah khemah yang bersaiz sederhana besar, seorang anak muda sedang tekun beribadah. Suasana sunyi dinihari itu dirasakan seperti miliknya seorang untuk dihabiskan bersama kekasih Yang Maha Pencipta. Dalam sendu yang tidak dapat ditahan-tahan, anak muda bernama Furqan itu bermunajat. Bersunguh-sungguh.

"Wahai Tuhanku, sungguh Kau Maha Tahu. Hati ku merintih-rintih mahu menemuiMu. Jiwaku merayu-rayu mahu bertemu Rasul-Mu. Tuhanku, aku berada di sini hanyalah kerana-Mu. Kerana itu, biarlah aku meninggalkan tempat ini dengan kemenangan atau tidakpun, sebagai pejuang-Mu"

Lama dia teresak-esak. Mirip anak kecil tidak mendapat mainan idaman. Tangisnya rupa-rupanya mengejutkan teman-teman dalam khemah itu. Ada yang terjaga lalu bangkit dari pembaringan dan ada pula sekadar mengucap tasbih dan kembali menyarung selimut lusuh mereka.

Ia adalah suasana yang sangat biasa di tapak itu. Ada segelintir manusia akan bangkit awal untuk bersolat malam sebelum kembali tidur sebentar, sekadar untuk mengumpul tenaga menjelang subuh. Ada pula segolongan manusia selesa bangkit beberapa jam sebelum subuh untuk beribadah. Furqan juga begitu.

Roda fikiran Furqan berputar ke belakang, mengingat kembali pesanan dari bonda tercinta. "Nak... Ibu telah redha kamu mengikuti rombongan ini. Jangan kamu risaukan ibu nak. InsyaAllah ibu akan dijaga oleh Allah. Lagipun, adik-adik lelaki kamu ada untuk jaga ibu. Ibu tahu semangatmu dan keinginannmu untuk mengikuti rombongan itu. Ibu juga tahu impianmu untuk mengikuti jejak langkah bapamu. Kerana itu anakku, ikutlah mereka. Berjuanglah sedaya upayamu. Ibu sentiasa mendoakan keselamatan dan keimanan kamu"

Saat melafazkan kata-kata itu, airmata ibunya tumpah. Deras. Furqan memeluk ibunya. Air matanya juga tumpah. Sungguh, dia menangis kerana gembira bersulam duka. Gembira kerana ibunya membenarkannya untuk ikut berjuang fisabilillah. Duka kerana terpaksa berpisah dengan ibu tercinta. Entah bisa bertemu lagi di dunia ini ataupun tidak.

Tangan ibunya dirangkul kemas lalu dicium penuh kecintaan. Hatinya sayu mengenangkan ibunya. Mujur, adik-adiknya sedia memikul amanah untuk menjaga ibu mereka.

Dan perpisahan kedua beranak itu berlangsung dengan doa dan restu yang berpanjangan dan tulus.

Furqan menangis lagi. Rindunya kepada ibu dan adik-adik bukan kepalang. Ia mengalir ke seluruh rongga tubuh sasanya. Dan rindu itu juga mengalir hingga ke pusara ayahandanya. Furqan kehilangan bapa semasa usianya masih mentah. Ayahnya meninggal kerana mempertahankan bumi tercinta daripada serangan pihak kafir. Wajah ayah tercinta samar-samar bermain di mata. Furqan masih ingat, bapanya pernah berbicara lembut dengannya. "Furqan, furqan tahu tak apa maksud nama Furqan?"

Dia yang  leka bermain pasir menjawab dengan acuh. "Tak tahu"

Ayahnya senyum. Dia mengusap kepala Furqan dengan lembut dan penuh kasih. "Furqan, dengar sini. Nama Furqan itu bermaksud pemisah. Ayah mahu supaya besar nanti, Furqan akan menjadi pemisah antara keimanan dan kekufuran. Ayah teringin sekiranya anak ayah ini menjadi seorang lelaki yang soleh, berilmu, berani dan bertaqwa. Boleh?"

Furqan mendengar dengan khusyuk. Permintaan bapanya dibalas dengan penuh semangat, "Boleh! Furqan nak jadi orang baik macam ayah!"  Ayahnya tersenyum bahagia. Dahi Furqan dikuncup lembut. Furqan ketawa malu-malu.

Dan sekarang, anak kecil tadi benar-benar mengikuti jalan yang pernah dilalui bapanya. Dia ialah salah seorang daripada 150 ribu tentera yang sedang berjuang memerdekakan kota Constantinople dari cengkaman Kerajaan Byzantine.

Furqan tersedar dari lamunannya selepas mendengar batuk keras temannya, Ayyub. Sahabatnya itu sedang demam dan batuk-batuk, tapi semangat juangnya membara. Pernah Furqan menyatakan kerisaunnya tentang kesihatan Ayyub. Badannya panas.

"Badan aku panas bukan kerana aku sakit, tapi kerana semangat aku yang membara. Furqan, jangan risau ya", kata Ayyub sambil tersenyum. Furqan turut sama mengulum senyum. Jauh di sudut hatinya, dia kagum dengan semangat dan kepahlawanan Ayyub. Sepanjang hampir sebulan mereka mengepung kota Constantinople ini, Ayyub sentiasa mahu menjadi orang yang paling hadapan. Semestinya Furqan juga begitu. Tapi dia sering tewas dalam persaingan antara kedua mereka untuk menjadi penggempur paling hadapan.

Bagi Furqan, temannya itu sangat mirip dengan sahabat Rasulallah bernama Abu Ayyub al-Ansar yang dikuburkan berdekatan dinding kubu kota Constantinople. Sahabat Rasulallah itu ditanya mengapa beliau meminta dikuburkan disana. Jawabnya,“Kerana aku ingin mendengar derapan tapak kaki kuda sebaik-baik raja yang akan mengetuai sebaik-baik tentera semasa mereka membebaskan Constantinople”.

Semua itu menyemarakkan lagi semangatnya. Ayyub dan sahabat-sahabatnya semua telah bangun. Ada yang sedang bersolat sunnat, silih berganti. Ia adalah tanda bahawa subuh sedang merangkak datang. Furqan ke luar khemah. Sudah menjadi satu kebiasaan, solat-solat dilaksanakan secara berjemaah di kawasan lapang. Dan solat itu akan dipimpin sendiri oleh Sultan Muhammad al-Fateh, pemimpina yang masih muda remaja. Baginda baru berusia 21 tahun tapi sudah faham benar akan tujuannya menjadi manusia.

Furqan mengucap tasbih. Benar, dia juga masih muda. Baru berusia 20 tahun. Tapi di usia itu, dia tidak merasakan dia masih muda. Selain daripada teladan dari bapa dan restu dari ibu, kepahlawanan serta kewibawaan sultan Muhammad al-Fateh yang masih muda remaja itu ialah salah satu sebab dia berkobar-kobar mahu mencari wajah Allah, dan berjuang di jalan-Nya ialah jalan pintas ke arah matlamat suci itu.

Orang ramai sudah ramai yang memenuhi tanah lapang itu. Mata mereka memerah. Furqan turut. Hati dan mulutnya berzikir. Di hujung-hujung, ada beberapa orang  parajurit ditugaskan untuk berkawal dan mereka akan beryukar-tukar giliran untuk solat. Tak lama, azan dilaungkan penuh syahdu.

Membesarkan asma' Allah di jalan ini benar-benar memberi kesan di hati-hati mereka. Benarlah kata orang, jika kita bersedap-sedap dengan dunia, maka kita tidak akan mampu bersedap-sedap dengan ibadah. Furqan memahami hakikat itu di sini.

Selesai solat, imam itu bangkit. Siapa lagi jika bukan Baginda Sultan Muhammad al-Fateh sendiri. Baginda memberikan ucapan yang disulami ayat-ayat suci dan sabdaan Rasulallah. Ucapan penuh semangat dan ikhlas itu disudahi dengan lafaz yang sangat menyentuh jika.

"Wahai para pejuang-pejuang Allah sekalian. ingatlah kita akan sabdaan Baginda Rasulullah s.a.w ketika Baginda s.a.w menggali Parit Khandaq; “Constantinople (kini Istanbul) akan jatuh ke tangan tentera Islam. Rajanya adalah sebaik-baik raja, tenteranya adalah sebaik-baik tentera-Hadis riwayat Imam Ahmad. Tidakkah kalian mahu mendapat kemuliaan itu? Kemuliaan hidup sebagai muslim atau mati sebagai syuhada' ?"

Allahuakhbar!
Allahuakhbar!

Takbir bergema penuh semangat. Furqan turut sama bertakbir. Hatinya menguntum api marak yang tidak bisa dipadam kecuali dengan sejuknya nikmat syurga. Ya, dia seperti mendengar ibu dan adik-adiknya bertakbir.

"Ibu, Furqan mahu menjadi sebaik-baik manusia itu!", hatinya nekad.

***
Hari itu berlalu sama seperti semalam dan kelmarin. Pasukan mereka masih gagal menembusi kekebalan benteng pertahanan musuh. Dan petang itu, Baginda sultan mencetus satu idea 'bodoh'. Baginda memerintahkan tentera-tenteranya menaikkan kapal-kapal perang mereka melalui jalan darat! Furqan mendengar arahan itu dengan tenang dan hati yang bulat. Dia yakin dengan idea dan kemampuan remaja soleh itu untuk memimpin mereka.

Bahkan, tiada seorang pun yang mengeluh dan tiada seorang pun yang berkerut tidak setuju.

Mereka menebang pokok-pokok untuk dijadikan roda bagi memudahkan kapal-kapal itu 'berlayar di daratan'. Dari pantai Beziktas ke Tanjung Emas (Teluk Golden Horn), mereka terpaksa melangkau bukit-bukau hingga hampir 3 batu. Ia bukan suatu yang mudah, tapi mereka semua yakin dan pasti bahawa Allah akan membantu dan memudahkan mereka.

Dan benar, Allah membantu mereka. 70 buah kapal perang lengkap dengan senjata terhebat berjaya ditarik.

Solat subuh pagi itu dikerjakan dengan sepenuh rasa syukur dan syahdu. Doa dipanjatkan dengan penuh sayu dan harap. Takbir bergema, menghangatkan alam. Kemenangan yang dijanjikan semakin hampir menjadi nyata! Subhanallah..

Pagi itu, berlaku pertempuran yang dahsyat. Benteng pertahanan musuh sedikit demi sedikit dirobek. Takbir sentiasa bergema. Ia satu serangan psikologi terhadap musuh.

Tentangan yang hebat diberikan daripada pihak musuh. Furqan cergas dan tangkas di medan pertempuran. Sudah 5 orang menjadi mangsa ketajaman pedang peninggalan bapanya. Namun, dirinya juga sudah banyak dilukai. Lagak Furqan seperti seekor singa buas. Tanpa sedar, dia menjadi sasaran pemanah pihak musuh kerana kepahlawanan beliau di medan pertempuran itu.

Kena! Sebatang panah mengenai tepat ke dadanya, merobek baju besinya. Furqan tertunduk perit, hilang keseimbangan badan. Di belakangnya, seorang tentera musuh sedia untuk menghayun pedang untuk memisahkan kepalanya dari badan. Furqan tak berupaya mengelak. Dalam hati, dia bertawakkal.

Tiba-tiba musuh itu diserang oleh seseorang. Dia tumbang. Rupa-rupanya orang yang membantu it ialah Sultan Muhammad al-Fateh sendiri. Baginda turut sama turun ke medan perang bersama kuda perangnya yang perkasa! Furqan senyum sekilas tapi akhirnya, kakinya terasa tak mampu menanggung berat. Dia rebah.

Sayup-sayup dia mendengar laungan keras takbir dari Sultan dan para parajurit silih berganti. "Allahuakhbar! Allahuakhbar! Allahuakhbar!" Kemenangan semakin hampir!

Darah mengalir laju dari lukanya. Dalam kesukaran, dia cuba menarik panah itu tapi ia terlalu sukar. Kesakitannya benar-benar tidak tertahan lagi. Furqan sedar bahawa doanya sedang dimakbulkan Allah. Dia tersenyum dan dia syahid dalam senyuman itu.
*****
Saya sebenarnya sedang menyahut seruan seorang rakan untuk masuk peraduan menulis anjuran saudari Latifah. Ini ialah kali pertama dalam hampir 2 tahun, saya join contest dan saya tak berharap untuk menang pun :) Saya cuma manulis sebagai bentuk latihan untuk meningkatkan kualiti penulisan saya.

Sebenarnya, apabila kita berbicara tentang idola dan inspirasi, pasti semua orang akan bercakap tentang dua orang manusia ini iaitu Rasulallah dan bapa kita. Saya juga meletakkan kedua-dua manusia hebat ini sebagai antara yang teratas dalam hati.

Cuma saya mahukan sedikit kelainan, maka saya cipta watak bernama Furqan. Dan watak Furqan itu diinispirasikan oleh seorang syuhada' yang menjadi saksi keganasan Israel laknat . Furkan Dogan. Usianya baru 19 tahun, tapi dirinya tidak takut untuk menyatakan kebencian. Dirinya tidak gentar untuk menyampaikan bantuan, dan kini, namanya termasuk dalam lipatan sejarah.
Furkan ialah salah seorang idola dan inspirasi saya. Kisah lanjut boleh dibaca disini.

Satu lagi watak dalam cerita ini ialah Sultan Muhammada al-Fateh. Siapa dia? Kalian boleh baca di sini. Saya mahu menyatakan bahawa di usia 21, Baginda telah memimpin bala tentera memerdekakan bumi bertuah, Constantinople. Secara tak langsung, Baginda menjadi manusia yang disabdakan sebagai sebaik-baik pemimpin! Subhanallah...

Saya sebenarnya tersepit di tengah-tengah garis waktu dua orang insan hebat ini. Furkan Dorgan berusia 19 tahun semasa dia syahid. Muhammad al-Fateh pula berusia 21 tahun semasa dia memimpin sebaik-baik tentera menyebarkan islam. Saya, 20 tahun tapi sedikit pun saya tidak menghampiri kejayaan mereka.

Saya impikan syahid, sedangkan dengan nafsu sendiri pun seringkali saya tewas. Saya bermimpi untuk memimpin manusia mengenal Allah, sedangkan memimpin diri sendiri dan orang sekeliling pun saya tak mampu. Sedih.

Sebelum saya terlupa, saudari Latifah meminta saya untuk tag tiga orang. Saya terpaksa berfikir panjang. Tak tahu mahu tag siapa. Jadi saya tag tiga orang bertuah ini. (Maaf sekiranya ada yang rasa terpinggir kerana tidak di tag)

(1)-Bro Hamzah : Seorang lelaki soleh yang alim dari segi teori dan praktikal. Tulisan sangat santai tapi memukau dan membina. Saya selalu berkampung di blognya secara senyap-senyap. Jarang saya meninggalkan komen di sana. Beliau adalah seorang penulis di beberapa majalah tempatan. Jadi saya mahu membaca apa yang bakal diluahkan oleh bro hamzah a.k.a ustaz ali. Boleh? :)

(2)-Hilal Asyraf : Penulis yang disegani. Sengaja saya tag beliau kerana beliau seorang penulis dan saya teringin menyelami urat-urat pemikiran beliau yang sarat dengan kematangan. Apapun, saya rasa beliau tidak akan join kontest ini kerana kondisi kesihatan beliau yang tidak elok. Moga dia segera sihat dan bertenaga.

(3)-Aisyah Yazid : Satu-satunya perempuan yang saya tag kerana hakikatnya, beliau juga seorang penulis. Kalau tak silap, tahun hadapan novel sulungnya akan berada di pasaran. Jadi saya fikir, menulis adalah satu latihan yang bagus untuknya.


Tambahan: Kemungkinan besar ini perkongsian terakhir sebelum 2010 menutup tirai. Saya akan pulang bercuti selama satu minggu, dan mungkin satu minggu juga tanpa internet coverage. Segala makan minum mohon dihalalkan ya :) Segala salah silap, mohon maaf ya :) salam mahabbah buat semua!

Cerita: Gambar Kaabah

Cerita: Gambar Kaabah
Saya suka mendengar cerita. Selagi ia baik dan bermanfaat, saya tak kisah menadah telinga untuk mendengar. Pernah seorang ustaz di awal 30-an berkongsi cerita tentang pengalaman dia dan rakan-rakannya berdakwah di satu pekan kecil di Argentina. Woo! tapi saya lupa nama pekan tu kerana ia sangat asing bagi saya.

Satu hari, seorang perempuan tua bertongkat mampir kearah mereka. Pasti ia sangat jelas kerana mereka semua berpakaian jubah dan berserban. Wanita tua itu menghulur kad yang tertera alamat rumahnya seraya berpesan supaya kumpulan dakwah ini datang ke rumahnya esok.

Malam itu mereka bermesyuarat dan esoknya, mereka ke rumah wanita tua itu. Melangkah masuk, mereka sedikit pelik melihat satu gambar yang cukup dekat dengan jiwa mereka. Di dinding rumah yang serba sederhana itu, tertampal gambar kaabah. Walaupun ia kecil dan asalnya sehelai kain, ia nampak terjaga.

Dengan kehairanan, mereka bertanya (dengan bantuan penterjemah), "Makcik ni islam?"

Mak cik tua itu menjawab, "Entahlah. Rasanya masih islam".

Lalu mak cik itu menagis teresak-esak. Menurut ceritanya, inilah kali pertama dalam tempoh hampir 30 tahun dia bertemu dengan orang islam. Dia dahulu emigran dari Morocco (saya pun ingat-ingat lupa). Sejak kematian suaminya, memang dia lupa terus akan solat, puasa, dan lain-lain tanggungjawab sebagai seorang muslim.

Bahkan, dia seolah-olah sama seperti masyarakat sekitarnya. Tiada beza sedikitpun kecuali setiap pagi, dia akan memandang gambar kaabah itu dan berusaha mengingati bahawa dia masih islam.

Esaknya bertambah laju. Memang dia telah lupa segala-gala yang berkaitan dengan islam. Dia hanya 'bertahan' dengan sebuah gambar- Kaabah. Hanya dengan melihat gambar itu baru dia akan tahu dia islam.

Lalu wanita tua sebatang kara itu diajar kembali syahadah dan solat. Cerita itu berhenti sampai disitu sahaja, tapi cukup untuk memberi saya satu pengajaran yang sangat bermakna.

Bertahan! Bertahan! Bertahan!
Dalam diam-diam, saya merasakan kebanyakan kita sedang dalam usaha mempertahankan keimanan. Satu hadis yang diceritakan oleh Jabir Ibnu Abdillah ra. bahawa Rasulallah pernah bersabda yang membawa maksud bahawa kelak, akan ada berbondong-bondong manusia yang akan masuk islam. Tapi, berbondong-bondong juga akan keluar dari islam (murtad). Hadis yang bersanad dhaif ini diriwayatkan oleh Imam Ahmad dalam musnadnya.

Sekali saya membaca, saya hanya sebak. Dan kelmarin, saya membaca terjemahan surah al-Waqiah. Pada ayat ke 14, Allah menceritakan tentang "segelintir umat kemudian" dan ia benar-benar menyesakkan dada saya.

Saya cuba memandang realiti. Di negara-negara minoriti muslim seperti di Amerika, Perancis, Korea Selatan dan banyak tempat, agama islam di sana sedang mengembang. Pesat. Sebaliknya di tanah air tercinta, hampir setiap hari ada orang murtad. Jika tidak pada pengakuan pun, pada hati. Hebat sungguh dakyah wang kristian, persis dengan politik wang yang dibudayakan oleh sesetengah pemimpin sekarang.

Mari Memandang Kiblat.
Jika seorang wanita tua bertahan dengan islam kerana memandang kaabah, apa kata kita juga begitu. Tapi, maksud 'memandang kaabah' itu bukanlah semata-mata pandangan kosong kita, sebaliknya ia lebih kepada "solat".

Saya ulang dari dulu lagi. Jangan lalai dalam solat. Solat yang lalai ialah seperti melambat-lambat, solat dalam keadaan malas, patuk ayam dan jahil. Tidak semua orang faham bahasa arab. Tapi sedar atau tidak, belajar bahasa arab itu hukumnya wajib. At least, untuk kita faham maksud surah Fatihah dan bacaan serta ziki dalam solat.

Jika dalam feqah, memperbaharui ingatan ialah sunat, saya rasa tak salah jika saya ulang balik apa yang saya pernah sebut - "solat ini umpama layang-layang. Jika kita solat main-main, maka ia tidak akan mengambil masa yang lama untuk tali itu putus".

Kesimpulan.
Sempurnakan solat kita. Bagi yang lelaki, ayuh penuhkan rumah Allah. Ia tidak berbayar, sebaliknya kita pula yang dibayar oleh Allah.

Jika ditanya orang-orang murtad tentang solat, pasti mereka akan berkata "tak reti dan tak buat". Dan benarlah sabdaan Rasulallah, solat itu benar-benar pembeza.

Jika sahabat handai, saudara mara atau lebih buruk, ibubapa kita sendiri pun tak solat, bagaimana?

NFBZ : anak-anak kucing

Menghampiri jam 7 pagi.
Pagi itu, saya disajikan dengan satu drama yang sangat menarik (mungkin hanya menarik pada saya seorang). Dua ekor anak kucing yang masih kecil mengekori saya dan kawan-kawan sedang kami berjalan menuju ke bas. Badan mereka basah, mungkin terkena tempias hujan malam tadi.

Anak-anak kucing yang berwarna kuning dan hitam itu masih mengekor dari tadi. Bahkan, sangat mengganggu pergerakan kerana kami terpaksa berhati-hati agar tidak terpijak mereka sedang mereka selamba mencelah di balik langkah-langkah kami. Binatang, tidak punya logik. Bahkan tidak tahu bahaya juga.

Awal saya masuk bas dan sengaja saya ambil tempat paling hadapan, di belakang pemandu. Ia bukan tempat kegemaran saya, tapi saya mahu memerhati dua ekor anak kucing comel itu. Kawan-kawan saya yang baik dan lembut hati berusaha menjauhkan mereka dari tayar bas yang besar itu. Bimbang-bimbang mereka terkubur di bawah sana. Seorang sahabat memegang lalu meletakkan seekor anak kucing di tempat yang jauh. Sebentar sahaja, ia datang kembali. Kecoh sedikit suasana di luar bas. Lalu, yang lain pula mengangkat dan meletakkan di bahu jalan. Kali ini, lebih jauh pula.

Dan sama, ia tetap datang kembali ke bas. Persis mahu turut sama berkuliah. Aneh. Buat kali yang ketiga, sahabat yang sama mengangkat dan meletakkan ia di tempat yang lebih jauh dari tadi. Dan kucing-kucing itu masih tetap mampir dan bertenggek di bawah pintu bas. Berkerut juga muka sahabat itu. Kemanusiaan yang tinggi menimbulkan rasa kasihan, runsing, bimbang dan risau. Risau jika anak-anak kucing yang sangat kecil (pasti tidak diperasan oleh pemandu) akan tidur lena digeles tayar bas.

Dan syukur, ia tidak menjadi kenyataan. Bas bergerak, dan saya tidak tahu anak-anak kucing itu kemana. Yang pasti, daging mereka tidak terlekat di bawah tayar.

Berfikir sejenak. 
Allah ciptakan manusia dengan satu sifat kemanusiaan. Dengan sifat ini, manusia dibezakan dengan haiwan, selain kerana akal.

Tapi saya tidak berhajat menyentuh soal kemanusiaan. Saya hanya mahu membicarakan soal 'belas kasihan' sahaja, pecahan kecil daripada keseluruhan sifat kemanusiaan.

Kami risau jika kucing itu dipijak. Mata kami di depan, bukan dibelakang tapi kucing itu mendatangi kami dari arah belakang. Nyaris dipijak. Sepakat, kami mengambil langkah "watch your steps!". Kami juga risau jika ia mati dilenyek bas. Terserlah, sahabat saya meletakkan ia di tepi jalan. Bukan sekali, tapi tiga.

Kucing itu memang degil. Tak takut mati. Tak tahu bahaya! Tapi memang sifat binatang begitu. Bodoh dan degil. Jika bodoh sombong itu ditafsirkan sebagai 'bodoh tapi tak mahu belajar', binatang juga sama cuma ia bodoh tapi memang tak belajar pun.

Saya tak berhenti setakat ini. Saya mahu membawa kita melihat bagaimana Tuhan mengajar kita erti 'kasihan'. Saya melihat peristiwa ini dan cuba mengaitkannya supaya menjadi nota fikir buat zikir (NFBZ).

Jika kita merasakan kucing itu sebagai degil, sebenarnya kita pun tak banyak beza. Tahu atau tidak, rupa-rupanya Allah dan Rasul-Nya sentiasa inginkan kita selamat dunia dan akhirat. Buktinya jelas. Satu demi satu peluang Allah beri kepada kita. Saat kita hampir melakukan maksiat yang membunuh iman, Dia tampilkan seseorang untuk memberi kita nasihat. Tapi selalunya, kita degil dan terus-terusan melakukan maksiat. Kita abaikan nasihat mereka. Mujur kita belum mati walaupun 'hati kita sedang mati'.

Dari sudut yang lain pula, Allah sentiasa meletakkan tangan-Nya diatas kita. Ia simbolik kepada perlindungan dari Dia.

Sahabat saya, dia pernah terselamat dari kemalangan. Keretanya rosak teruk tapi dia cuma calar-calar sedikit sahaja. Lalu dia mengucap syukur, "Allah selamatkan aku". Tak lama, dia kembali memandu, dan masih laju seperti dulu.

Ada pula orang yang gagal dalam bercinta. Kecewa. Empangan air matanya pecah. Teman-teman naik kasihan. Nasihat demi nasihat diberi. Tak cukup, ditambah pula dengan kata-kata motivasi. Akhirnya, dia tersenyum. Katanya, "Terima kasih kerana beri aku kata-kata semangat. Alhamdulillah, aku okey" (sambil cuba membuat mimik muka yang paling comel)

Alhamdulillah itu ucapan syukur. Tapi tak lama, dia mahu bercinta lagi, dan episod itu berulang. Dikecewakan, menangis dan hanyut. Mujur belum diperkosa atau digadai. Mujur sahaja.

Ada pula yang batuk-batuk berpanjangan. Sebabnya ialah rokok. Saat sakit, dia meminimakan sedutan asap beracun itu. Menghampiri tenat, sahabat-sahabat yang risau keadaannya memberi nasihat, "Berhentilah merokok tu". Dia berhenti dan ditakdirkan, dia sembuh sekejap. Lalu, kembalilah dia kepada rokok.

Mungkin betul kata orang, "Sekali manusia mula merokok, dia hanya berhenti selepas mati".

Kesimpulan.
Artikel ini ialah kesinambungan kepada artikel teman sejati. Sebenarnya, Allah dan Rasul-Nya menetapkan setiap syariat untuk kita patuhi adalah kerana kita disayangi. Kita makhluk istimewa. Kerana itu, Allah dan Rasul-Nya menjaga kita.

Dan konsep penjagaan ini sangat lengkap. Ia merangkumi keyakinan kita, jasad kita, akal kita, zuriat keturunan kita, dan harta kita. (maqosid syariah).

Allah mahukan kita masuk syurga. Kerana itu, Allah beri kita hidup satu hari hingga ke satu hari, supaya kita dapat membuat amal soleh.

Rasulallah mahukan kita masuk syurga. Kerana itu, Baginda memohon kepada Allah agar kita ini tidak diazab dengan serta-merta di dunia agar kita berpeluang untuk taubat. Tidak seperti umat-umat terdahulu.

Orang-orang beriman juga mahukan kita masuk syurga. Kerana itu mereka halang kita dari buat dosa. Sebaliknya terima kasih yang sepatutnya kita beri ditukar kepada kebencian dan dendam. Mujur, orang beriman sifatnya cool dan tidak akan berdendam :)

Tidakkah diri anda rasa disayangi?

Nota Fikir: Matang Segera

Nota Fikir: Matang Segera
Satu Suntikan.
Saya pernah terbaca satu bahan dari internet berkaitan ayam daging. Menurut sumber itu, ayam yang kita makan hanya mengambil masa beberapa minggu untuk matang daripada sebiji telur yang baru keluar dari ibu ayam. Memanglah ia satu sumber dari internet yang boleh diragui kesahihan dan kebenarannya. Tapi, ia juga agak masuk akal kerana menurut sumber itu lagi, ayam-ayam ini telah disuntik dengan bahan kimia. Satu yang merunsingkan ialah enzim yang dihasilkan daripada babi. Kebenarannya? Wallahu'alam.

Sebenarnya isu suntik-menyuntik ini bukan baru. Sudah lapuk. Logiknya, kita memberi protein atau benda asing dengan niat yang murni (kononnya) seperti mahu mempercepatkan proses kematangan dan pembesaran. Kesannya juga jelas, masa diambil menjadi singkat dan kos juga dapat diminamakan.

Bagi tumbuh-tumbuhan pula, kita beri baja untuk mencapai matlamat yang sama.

Saya sebenarnya terfikir. Mengapa tidak bayi diberikan suntikan seperti kita menyuntik binatang ternakan? Bukankah ia akan mempercepatkan pembesaran dan proses kematangan bayi itu?

Saya belum pernah menemui satu cerita pun tentang percubaan manusia untuk memberi suntikan protein atau enzim bagi mempercepatkan pembesaran, dan saya juga berharap ia tidak akan berlaku.

Hakikatnya, memang manusia tidak akan matang segera. Proses kematangan akal fikiran ialah satu proses yang panjang dan berperingkat. Ia bukan suatu yang ekspress.

Saya sering terdengar bahawa manusia mencapai usia matang di ambang usia 40 tahun. Bahkan, ustaz-ustaz juga banyak yang bercerita bahawa sesiapa yang sudah menjangkau usia itu tapi belum menunjukkan tanda-tanda mahu meninggalkan kejahatan, kenakalan dan jahiliyyah, maka ia akan menjadi sukar. Tersangat sukar. Hujah mereka, Rasulallah s.a.w juga menerima wahyu pertama di usia 40 tahun.

Saya yang jahil ini mahukan penjelasan. Adakah ada hadis yang menyatakan demikian? atau ia sekadar 'hadis melayu' yang disebar-sebar tanpa ada sandaran? Saya yang masih amat jahil ini belum juga pernah bertemu dengan mana-mana bahan atau sumber. Setakat ini belum lagi... (Jika kalian ada, silalah berkongsi dengan saya)

Tapi saya punya pandangan saya yang tersendiri.

"Allah yang menciptakan kamu bermula dengan keadaan lemah, selepas berkeadaan lemah itu Dia menjadikan kamu kuat. Setelah itu, Dia menjadikan kamu lemah kembali serta tua beruban. Dia menciptakan apa yang dikehendaki-Nya, dan Dia lah jua yang Maha Mengetahui, lagi Maha Kuasa"- surah Ar-Rum ayat 54

Saya melihat di usia 20 tahun setiap manusia sudah harus mencapai tahap kematangan. Mungkin ada yang tertanya-tanya, mengapa 20 tahun.

Baiklah. Saya ingin tegaskan bahawa apa yang saya sebutkan ini hanyalah cetusan pemikiran saya. Tiada nas dan dalil yang mengatakan usia 20 tahun wajib jadi matang. Tidak. Cuma saya mahu kita duduk berfikir, apa perlunya kita matang di usia ini.

Mengapa bukan lebih awal? Seperti seawal 'mimpi basah' ?

Syariat mengatakan begitu. Sesudah manusia mencapai usia baligh, dia sudah memikul tanggungjawab dan kewajipan. Kewajipan yang semakin bertimbun seiring dengan meningkatnya usia.

Maka, jelaslah bahawa semakin awal manusia itu matang, itu lebih baik. Tapi matang itu juga perlukan dipandang dari sudut yang berbeza pula.

Ada yang melihat, matang itu sekadar pada perubahan fizikal. Bagi lelaki, pastinya ia kelihatan pada perubahan suara atau pembetukan biji halkum di leher. Perempuan bahkan lebih jelas. Tapi ia bukan sekadar itu, kerana yang lebih mustahak ialah kematangan akal fikiran.

Dan ia terus kembali kepada tujuan Allah jadikan akal fikiran- supaya manusia dapat menilai baik-buruk setiap perkara. Supaya manusia dapat memikirkan cara untuk mentaati-Nya dan supaya manusia dapat memikirkan jalan bagaimana mereka dapat menjadi hamba Tuhan.

Dan saya mahu bawa kalian ke dimensi itu- 'Dimensi Hidup Bersyariat'.

Seperti yang saya katakan tadi, seiring dengan penambahan usia, tanggungjawab juga bertambah. Bahkan, kita akan dipersoalkan tentang setiap tanggungjawab kita kelak! Di usia 20 tahun, saya yakin setiap manusia akan menganggap bahawa inilah tempoh yang paling 'mencabar'. Tidak hairanlah jika ramai pekerja-pekerja seks wanita ditangkap di usia 20-an dan tidak hairan jugalah pelumba-pelumba haram dan gangster-gangster mati di usia semuda ini.

Hakikatnya, musuh-musuh islam sentiasa berusaha merosakkan para pemuda! Seruan "pemuda harapan bangsa" hanya bergema sedetik sebelum ia lenyap ditelan pekatnya jahiliyyah. Sedikit pun tidak meninggalkan kesan di jiwa saya (yang dahulu) kerana saat itu, saya masih 'belum matang' walhal sekali pandang, persis seorang bapa beranak tiga (metafora semata-mata). Ini adalah kerana hakikat kematangan terletak pada akal- setakat mana ia membantu manusia untuk taat.

Artikel ini bertujuan membawa para pembaca menjawab sedikit persoalan remeh.

Bila kita mahu berubah?

Akan terdengar jawapan yang aneh. "Nanti dekat tua". "Nanti umur 40" "Nanti nak pergi haji" dan semua jawapan ini membawa kepada maksud yang sama, iaitu "Nanti-nantilah. Aku belum puas enjoy".

Saya tak nafikan, enjoy ini memang takkan puas. Hakikatnya, manusia jika diberi satu lubuk emas, akan meminta satu lagi lubuk. Tak puas. Dan tidak akan puas dengan dunia. Inilah kesan nafsu yang tak terdidik.

Bila mahu berubah? saya ulang soalan saya.

Sekaranglah! Awal? Tidaklah. Bahkan sudah lambat tapi belum lagi 'terlewat'. Peluang masih ada.

Saya selalu bertanya diri saya, mengapa Allah menyuruh saya solat subuh setiap dinihari? Saya bertemu dengan satu keyakinan bahawa Allah mahu beri saya satu peluang baru untuk saya berubah. Berubah dan meningkat. Inilah hakikat hijrah. Kita semua mahukan pembaikian, pembaharuan, serta peningkatan kualiti hidup.

Dan siapa yang memberi kualiti yang kita impi-impikan itu?

Allah! Kerana hidup yang berkualiti dan bermakna hanyalah hidup bersyariat. Hidup bertuhan dan mentaati Tuhan.

Usia 20.
Tidak lama lagi, kalian bakal menjadi suami orang. Sampai bila mahu pakai seluar pendek? Sampai bila mahu solat dirumah? Sampai bila mahu 'subuh gajah'? Dan sampai bila mahu buta al-Quran?

Saya tinggalkan anda, para romeo untuk menjawab.

Buat Juliet, tidak lama lagi kalian pula akan menjadi isteri orang. Sampai bila mahu membuka aurat? Sampai bila mahu terlompat-lompat? Sampai bila mahu terjerit-jerit? Dan sampai bila mahu jadi orang yang solat di akhir-akhir waktu?

Seperti Romeo, saya juga meninggalkan soalan ini untuk dijawab oleh anda.

***

Iqbal, kenapa asyik bersoal jawab soal kahwin?

Jawapan saya mudah. Saya yakin bahawa kematian itu adalah sebaik-baik peringatan. Tapi hakikatnya, remaja dengan kematian memang susah nak 'ngam'. Dan artikel saya yang lalu seolah-olah satu hipotesis yang ada benarnya

Tanggung dan Jawab.
Asalnya dua perkataan. Kita menanggung beban. Dan kita perlu menjawab soalan-soalan yang berkenaan dengannya. Masih remaja, tapi sahabat-sahabat ra. seperti Ali bin Abi Talib, Ibnu Mas'ud, Ibnu Abbas, Abdullah bin Az-Zubair dan ramai lagi telah pun  tegak berdiri, melucutkan selimut nafsu, lalu menggenggam satu kebanggaan menjadi muslim.

Merekalah yang sepatutnya menjadi ikon remaja.

Tapi sedih, teramat sedih kerana saya hanya mampu berbicara tentang keimanan mereka. Sedang saya masih seperti dulu. Jahilnya saya, teruknya saya Allah saja yang tahu.

Untung nasib kita berbeza. 
Itu  rencana Yang Maha Kuasa. Segala sudah ditetapkan-Nya. Menerima hidayah dan memberi hidayah, satu pun bukan kuasa saya. Saya pun bukannya tahu bila saya mahu berubah melainkan Allah yang ubah saya. Dan jika saya berpeluang menyatakan terima kasih, maka kepada Dia saya panjatkan setinggi kesyukuran.

Saya juga melihat setiap manusia memiliki turning point yang berbeza-beza. Dan saya yakin benar akan hakikat ini- "Manusia hanya mampu berusaha sedang memakbulkan sesuatu ialah hak mutlak Allah"

Bersama dengan keyakinan itu, saya tulis artikel ini dengan membawa mesej yang diulang-ulang- "Sampai bila kita mahu hidup begini?"

Hidup yang jauh dari masjid. Jauh dari majlis ilmu. Jauh dari orang-orang soleh. Jauh dari redha-Nya. Bahkan, hidup yang penuh gelak ketawa keji, penuh maksiat tercela, penuh umpat dusta, penuh dengan keluh kesah. Sampai bila?

Tidakkah kita teringin untuk kembali kepada fitrah?

Dan tidakkah sudah sampai saatnya kita perlu berubah?
Dan subuh itu datang lagi, membawa aroma dinihari yang sama.. Membawa peluang yang berulang. Dengan penghayatan yang berbeza, kita guna hari itu dengan keinsafan yang pasang surut. Lalu satu hari kita tersedar, bahawa subuh bererti peluang. Maka, sampai bila kita mahu lalai daripada memanfaatkan peluang-peluang ini?
Tanya diri kita... Tidakkah kita rasa terpanggil?

Perkongsian : Menulis Itu Sukar

Perkongsian : Menulis Itu Sukar
"Online tu, update blog la..", gurau seorang teman. Yang lain pula menambah, "Alaa..biasa lah, blogger". Serentak mereka ketawa. Saya hanya mengulum senyum. Dalam hati, timbul tanda tanya.

Menulis itu mudahkah?

Seawalnya, jawapan saya ialah 'ya'. Saya tak perlukan masa yang banyak untuk menulis. Bahkan, saya rasa menulis itu suatu yang mengasyikkan. Ia seperti menjadi satu ketagihan bagi saya. Sering juga beberapa orang sahabat mengusik, bila saya mahu menghasilkan novel. Saya hanya tersenyum. Tiada jawapan bagi soalan itu buat saat ini.

Namun, saya tidak diajar dan tidak akan mengajar orang untuk menulis sebagai hobi cuma. Kerana, saya dan anda pasti faham bahawa menulis itu juga dakwah, satu tanggungjawab dan juga kewajipan. Satu kitab bertajuk 'Jundullah' karangan Said Hawa menerangkan kepada kita bahawa penulisan juga merupakan satu dakwah.

Bahkan, apa yang kita tulis itu kesannya lebih signifikan daripada apa yang kita dengar. Bayangkanlah, setiap yang dibukukan dan ditulis boleh dibaca oleh jutaan manusia, selagi ia tidak terhapus. Bukankah ia satu dakwah yang meluas?

Menulis itu mudah, tapi susah.
Menulis itu satu bab. Membaca pula satu bab yang lain. Dan mengamalkan itu satu bab yang asing pula. Secara peribadi juga, saya akan katakan bahawa membaca itu tidak semudah menulis, dan mengamalkan apa yang kita tulis itu adalah yang paling sukar antara tiga itu. Ya, ada yang lebih sukar, iaitu istiqomah.

Peluang duduk bersarapan semeja dengan Tuk Guru Nik Radhi banyak membuka mata saya tentang dakwah. Saya pernah memetik kata-katanya : 'Dakwah itu sangat sulit. Seumpama kita meraba-raba kayu api dalam pekat malam. Hati-hati, jangan sampai terpegang ular'.

Ia tidak mudah, dan ia perlu kepada ketelitian, hati-hati dan "sumber cahaya". Sumber yang tidak lain dan tidak bukan ialah sumber wahyu.

Dan inilah topik perbincangan kita saat ini- 'Di mana sensitiviti kita dalam menggunakan sumber wahyu'

Satu ketika, saya meminjam tafsir Ibnu Katsir milik seorang abang. Sengaja saya membuka surah an-Nashr (surah ke 110) kerana para ulama berbeza pendapat tentang wahyu terakhir. Ada yang menyatakan surah ke 110 ini ialah wahyu terakhir. Wallahua'alam. Yang menarik, saya bertemu satu hadis dari Jabir Ibnu Abdillah, Rasulallah bersabda yang bermaksud; "manusia akan masuk islam berbondong-bondong, dan keluar (murtad)  berbondong-bondong juga"- riwayat Imam Ahmad dalam Musnnd Imam Ahmad.

Apa yang menarik, Ibnu Katsir berkomentar bahawa hadis ini sanadnya dhaif (bukan matannya).

Satu indikator bahawa beliau sangat teliti dalam meyelitkan sumber hadis.

Saya yang masih amat dan terlalu jahil ini cuba merapati beberapa ustaz, berteduh di bawah payung ilmu mereka. Saya bertanya tentang hal-hal hadis ini. Dan banyak sekali adab dan tatatertib yang telah saya langgar.

Astagfirullah. Moga Allah maafkan kejahilan saya.

Sensitivekah kita?
Dari dulu, saya akan sedaya upaya untuk tidak menyelitkan hadis-hadis yang saya tidak tahu sumbernya. (Anda boleh nilaikan sendiri). Cuma maaf, dalam artikel lepas, saya benar-benar masukkan satu hadis yang saya tidak sempat cari sumbernya. Saya masukkan hadis itu dalam penulisan saya kerana saya yakin bahawa hadis itu cukup banyak dalam lafaz yang berbeza-beza. Tambahan pula saya tidak punya banyak masa untuk mencari.

InsyaAllah, ia satu kesilapan yang tidak akan berulang lagi.

Kembali kepada topik asal, iaitu sensitiviti. Imam Ibnu Katsir dalam kitab tafsirnya, cukup teliti dalam menyelitkan hadis. Dia pasti akan menyemak dahulu status hadis yang bakal dimasukkannya. Saya juga mahu begitu. Mahu teliti.

Sebabnya cukup ringkas.

"Sesiapa yang berdusta dengan namaku, hendaklah dia mempersiapkan dirinya untuk neraka"- Hadis Mutafaqun' alaih. Dan saya juga pernah ditegur oleh Hilal Asyraf akan hal ini.

Saya jahil.
Saya faham benar dengan fakta itu. Demikian, saya cuba sedaya upaya untuk memperkasakan ilmu dan amal saya. Saya jahil. Tak teragak-agak untuk saya ulang- saya sangat jahil. Apa yang saya tulis ini pun banyak hasil dari mutiara kata ustaz-ustaz. Saya tidak bernasib sebaik anda. Anda alim, saya jahil. Anda berpeluang belajar agama dengan sistematik, saya tidak. Tapi itu bukan pembeza antara kita, bukan?

Sungguh-sungguh saya faham akan hakikat itu- Saya jahil!

Maka, kerana kesungguhan saya mahu mendapatkan sumber wahyu yang benar dan diyakini, saya sanggup berhabisan puluhan ringgit untuk mendapatkan kitab hadis Shahih Bukhari. Seorang sahabat bertanya, 'Kau beli ni nak sedekah kat surau ke?' Saya tersenyum lalu membalas, 'Tak lah. Aku beli untuk diri aku. Kitab ini ialah sumber kedua selepas Quran. Sebab tu aku perlukan kitab ni". Dia terdiam dan saya tidak mampu menafsirkan riak wajahnya.

Kesimpulan.
Saya mahu ubah pendirian awal saya. Menulis itu bukan mudah. Apa yang mudah ialah mencoret. Tidak sama, kerana mencoret ialah menulis sesuatu yang bersifat peribadi berupa pengalaman atau sesuatu yang berkaitan dengan diri. Sedang menulis perkara ilmiah dan berkaitan islam benar-benar memerlukan kepada rujukan. Siapa kita untuk menulis tanpa naskah Quran di sebelah?

Saya cuma mahu tekankan persoalan 'hati-hati' dalam menulis. Itu saja. Dan satu lagi, saya mahu kalian tahu bahawa menulis itu bukan sesuatu yang enteng. Kerana itu, saya memohon sejuta kemaafan kerana Bayyinat setakat ini hanya mempunyai seorang penulis. Maka, agak mustahil untuk Bayyinat diupdate setiap hari. Jadi saya sangat memohon maaf atas kelemahan saya.

Saya memperingatkan diri saya dan diri kalian supaya lebih berhati-hati dalam memasukkan hadis ke dalam tulisan kita kerana tiada fitnah yang lebih besar selain fitnah kepada agama. Sila timbang-timbangkan dan sama-sama bermuhasabah. Moga usaha dakwah kita ini diredhai-Nya :)

Menikam Bayang Sendiri

Menikam Bayang Sendiri
Jika diberi pilihan, saya tidak mahu menulis artikel ini. Sebabnya, saya seolah-olah sedang menyakiti diri sendiri, atau paling tidak pun seperti sedang mencampakkan batu ke langit, lalu batu itu jatuh ke muka saya sendiri. Tapi, saya terpaksa tampil dengan artikel ini kerana semakin lama, semakin sedikit orang yang faham akan hal ini.

Ini ialah perkara yang penting. Terima kasih kerana kalian sudi meminjamkan sedikit masa kalian untuk baca dan faham. Mudah-mudahan, ada manfaat yang besar menanti kita.

Ada orang bertanya, apa beza iman dan islam?

Bahkan, ada yang memahami bahawa orang yang islam, sudah pasti beriman. Yang tidak beriman hanya orang kafir.

Jika kalian juga faham begitu, maka ketahuilah bahawa kefahaman kita berbeza. Saya faham bahawa orang yang islam belum tentu beriman. Tapi, orang beriman pasti sudah islam. Saya tidak bermaksud mahu mengajak kalian supaya bersetuju dengan saya. Tapi saya cuma mahu agar kita semua berganjak keluar dari 'zon perasan' ini.

Islam dan iman.
Seorang lelaki datang kepada Rasulallah lalu berkata, "Kami sudah beriman!" lalu Allah menurunkan ayat 14 surah al-Hujurat. Satu firman yang sangat indah tapi sangat pedas juga.

"Orang-orang arab badui berkata: 'Kami telah beriman'. Katakanlah (kepada mereka), "Kamu belum beriman, tetapi katakanlah 'Kami telah tunduk (islam)', kerana iman itu belum masuk ke dalam hatimu..."- 49;14

Seterusnya dalam ayat 15, Allah menceritakan tentang sifat orang beriman itu- "Sesungguhnya orang-orang yang sebenar-benarnya beriman hanyalah orang-orang yang percaya kepada Allah dan RasulNya, kemudian mereka (terus percaya dengan) tidak ragu-ragu lagi, serta mereka berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah; mereka itulah orang-orang yang benar (pengakuan imannya)"

Kalau kita benar-benar memerhatikan dan memikirkan ayat ini, pasti ada tiga atau empat pengajaran daripada al-Quran, dapat kita ambil.

Seharusnya, orang yang mengaku beriman memiliki nilai-nilai ini.

(1)- Percaya kepada Allah dan Rasulallah
(2)- Tidak ragu-ragu walaupun dalam satu perkara
(3)- Membuktikan dengan amal soleh dan susah payah dalam agama.

Mari kita menilai diri kita kembali. Selama ini kita mengaku diri kita beriman, tapi adakah salah satu daripada 3 perkara ini kita sudah miliki?

Yang saya perhatikan, kita semua gagal dalam nilai kedua itu iaitu 'tidak ragu-ragu dengan islam'. Dek kerana kita masih ada sedikit keraguan dengan islam, saya perhatikan, kita seperti tidak bersungguh-sungguh dalam beragama. Bahkan, kita bertindak mengasingkan agama dari kehidupan.

Masih mahukan bukti dan contoh?

Terlalu banyak. Cara kita berpakaian, cara kita berkawan, cara kita bergaul dengan sahabat yang berlainan jantina, bahkan cara kita membaca dan menulis juga banyak silap.

Saya juga suka membawa diri kita melihat semula ayat-ayat awal dalam al-Quran. Surah al-Baqarah muka surat 3 mulai ayat 8.

'Mari kita beriman kepada Allah dan Rasul-Nya'

'Pasti. Kami sudahpun beriman seperti kamu'

'Benarkah? tapi mengapa kamu tidak menjalankan apa yang telah Allah dan Rasul-Nya perintahkan?'

'Ish..takkanlah kami nak menipu kamu pula. Kami telah beriman. Percayalah!'

'Baiklah, jika benar kamu beriman. Silalah berhenti berbuat kerosakan di bumi ini'

'Jangan gusar. Kami ini bukanlah manusia yang membuat kerosakan. Bahkan, kami ini manusia yang membuat kebaikan'

'Kebaikan? Bohong! jika benar kamu berbuat kebaikan, tunjukkan buktinya'

'Bukti yang bagaimana kamu mahu? Tidakkah kamu telah memerhatikan, kami ini ada membaca blog-blog ilmiah dan agama juga.Sama seperti kamu'

'Adakah itu sudah cukup untuk menjadi bukti?'

'Habis, bagaimana?'

'Jika benar kamu beriman, maka silalah amalkan mana-mana kebaikan yang kamu belajar dan silalah tinggalkan dosa dan maksiat yang kamu tahu. Buktikan dengan amalan kamu!'

'Adakah kamu mahu supaya kami jadi seperti orang-orang yang pelik itu? Ah, mereka itu orang-orang yang bodoh! Sikit-sikit nak ikut al-Quran. Sikit-sikit nak ikut agama. Otak sempit! Huh... langsung tak maju!'

'Jadi, kamu kata orang beriman itu seperti orang gila?'

'Bukankah hakikatnya begitu? Sikit-sikit mahu kembali kepada al-Quran. Bebas lah sedikit. Takkanlah setiap benda nak ikut cakap Allah dan Rasul-Nya kot. Kalau macam tu, bila kita nak bebas?'

'Jadi, kamu tidak beriman...'

'Hei! Aku beriman lah. Ah! Lantak kau lah. Yang penting aku tetap nak kata, aku beriman!'

Dan 'aku' itu ialah kita. Saya dan anda...

Perasan.
Cukuplah 'perasan' beriman. Cukuplah. Mari kita belajar sirah. Saya sendiri sedang mentelaah satu kitab sirah susunan Ustaz Johari Yaman. Beliau menyusun kitab ini dengan bersumberkan 26 kitab rujukan karangan ulama-ulama silam. Kitab ini hanyalah satu ringkasan dari kitab-kitab besar dan ia bertajuk "Mengenal Muhammad s.a.w"

Satu lembaran demi lembaran saya buka, dan sebaris demi sebaris ayat saya baca. Saat itu, mata saya akan berkaca-kaca. Bulu roma saya akan berdiri tegak. Saya sangat teruja, kagum dan terpesona dengan keimanan para sahabat Rasulallah. Dan benarlah, mereka sahaja yang layak mengaku beriman kerana mereka ada bukti.

Kita, mahu mengaku beriman? Sila sertakan bukti yang saya pasti, jarang-jarang ada. Kita hanya sudah islam. tapi belum tentu kita beriman.

Kesimpulan

"Iman sebesar zarah diganjari dengan syurga 10 kali dunia" -maksud hadis.

Kerana kita rasa diri kita sudah ada iman sebesar atom, maka sebab itulah kita rasa terselamat dari murka Allah. Kita rasa 'tak apa' bila kita meninggalkan dakwah. Kita rasa 'tak apa' bila kita sudah mampu solat, baca Quran, dengar ceramah dan beramal solah. Kita lupa tentang ahli keluarga kita dan kita lupa jiran serta sahabat kita.

Betulkah kita sudah ada iman sebesar zarah? Teruslah hidup seperti ini jika kita rasa kita sudah cukup baik.

Saya? Saya rasa diri saya sangat penuh dosa, dan saya mahu berubah. Saya tidak mahu hanya insaf sekejap. Anda pula bagaimana?

Sahabat Setia

Saya memerlukan sahabat. Bahkan saya yakin, setiap orang perlukan sahabat. Semua orang tidak bisa hidup sendirian. Mahu berteman dan mahu bersahabat, itu fitrah semulajadi setiap insan.

Dalam menterjemahkan perkataan teman, saya yakin wujud banyak definasi bagi perkataan itu. Ada orang kata teman itu sebagai pendamping kita bahkan ramai juga yang mengatakan teman itu ialah orang yang sentiasa menyokong dan membantu kita.

Satu pun tidak salah, kerana tujuan berteman pun supaya wujud bantuan dan sokongan, bukan?

Tapi bagi saya, saya suka mentafsirkan perkataan teman sebagai orang yang paling kuat tautan hatinya dengan kita. Seorang yang kita akan sering rujuk apabila kita dalam gembira serta duka.

Teman kita ialah 'diri kita yang lagi satu'. Dia ialah diri kita juga, tapi dalam jasad orang lain.

Bukan sekali dua orang minta saya berikan pandangan tentang kawan. Ada orang minta pandangan tentang masalah sahabatnya yang tidak layan dia. Ada juga yang mengadu bahawa kawan-kawan dia memulaukan dia tanpa sebab yang shahih. Sejujurnya, saya ini bukanlah orang yang layak untuk memberikan nasihat, tapi setakat termampu, saya boleh berkongsi. Dan moga-moga perkongsian ini juga ada manfaatnya kepada kita.

Siapa teman kita?

"Ibu saya ialah teman saya"

"Abang saya ialah teman saya"

"Jiran saya ialah teman saya"

"Suami saya teman saya"

Ada 1000 jawapan bagi soalan itu. Semuanya betul, tapi selalu tidak tepat.

Sebetulnya, siapa teman kita?

Ini telah disebutkan oleh Allah dalam ayat 16 surah at-Taubah. "Adakah kamu menyangka, bahawa kamu akan dibiarkan (begitu saja), padahal belum lagi terbukti kepada Allah, orang-orang yang berjihad di antara kamu dan yang tidak mengambil teman-teman yang setia selain daripada Allah, RasulNya serta orang-orang yang beriman? Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui secara mendalam akan apa yang kamu kerjakan".

Teman setia kita adalah Allah, Rasul dan orang-orang beriman.

Saya rasa Allah dan Rasul sudah jelas. Tapi dalam mendefinasikan siapa itu 'orang beriman', pasti ada yang keliru. Siapa orang yang beriman?

Ada banyak jawapan juga bagi soalan ini tapi saya cenderung untuk mengambil satu ayat dari surah adz-Zaariyat ayat 56 -"dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu"

Orang beriman ialah orang yang faham bahawa tujuan dia hidup ialah untuk mengabdikan diri kepada Allah. Dan mereka ialah golongan manusia yang Allah suruh kita jadikan mereka sebagai teman kita.

Setakat sekarang, siapa teman kita?

"Sesungguhnya Kami telah menjadikan Syaitan-syaitan itu teman rapat bagi orang-orang yang tidak beriman"- surah Al-Araf ayat 27.

Allah kata 'orang yang tidak beriman', kerana Allah tahu bahawa orang islam belum tentu beriman. Maknanya, kita inilah...! Kita ini belum tentu beriman. Mungkinkah setakat ini teman setia kita ialah syaitan?

Jika bukan syaitan jenis jin, maka pasti mereka syaitan jenis manusia?

Ada orang melenting apabila saya kata wujud syaitan manusia. Tapi hakikatnya, memang wujud syaitan manusia ini. Dalilnya ialah surah al-An'am ayat 112- "...setan-setan manusia dan jin"

Siapa lagi teman kita?
Ada satu perintah dari Allah supaya kita tidak mengambil orang-orang Yahudi dan Nasrani sebagai kawan kita. Perintah itu termaktub dalam ayat 51 surah al-Maidah.

Lalu, timbul persoalan. Yahudi dan Nasrani yang bagaimana? Adakah setiap orang yang lahir sebagai Yahudi, ataupun orang yang berperangai seperti perangai orang Yahudi?

Jawapannya ialah sifat dan perangai. Apa sifat orang Yahudi dan apa pula sifat orang Nasrani?

Sila tadabbur surah Al-Fatihah. Basically, orang Yahudi ini sifatnya degil. Mereka tahu kebenaran, tapi mereka mengingkari. Sifat orang Nasrani pula ialah bodoh sombong. Dua golongan manusia inilah yang Allah suruh kita jauhi. Jangan berkawan dengan orang yang membelakangkan kebenaran dan bodoh sombong.

Minta Pendapat.
Ada orang tanya saya, "Bagaimana mahu memujuk kawan yang tidak mahu berkawan dengan kita?"

Jawapan saya ringkas. Jika benar dia beriman, dia pasti hanya akan tinggalkan kita atas sebab yang munasabah. Jika nyata dia melarikan diri atas sebab yang tidak masuk akal, maka mengapa kita perlu terhegeh-hegeh untuk kejar dia balik?

"Tapi kami berkawan dah lama"

Jika benar dia ikhlas berkawan dengan kamu selama ini, mengapa dia tergamak untuk meninggalkan kamu? Nampak sangat selama ini dia berkawan pun kerana ada tujuan, keinginan, dan matlamat terhadap kamu. Pernah dengar pepatah 'habis madu, sepah dibuang?'

"Lalu, apa saya perlu buat?"

Pertama sekali, jangan bersedih.

Kedua, pilihlah kawan yang baik. Kawan yang baik dapat dilihat kepada matlamat dia mendampingi kamu. Pastilah matlamat itu ialah redha Allah. Oleh itu, sahabat yang baik pasti akan sentiasa mengajak kita melakukan perkara yang baik-baik sahaja. Mungkin satu ketika, kita merasakan betapa mereka ini seperti menyekat kebebasan kita, tapi hakikatnya ialah mereka hanya menyekat dosa-dosa kita. Itu tanda dia cinta kita :)

Kesimpulan.
Sebagai seorang dae'i, seharusnya kita jangan takut untuk bergaul dengan semua jenis orang. Bahkan, kitalah yang sepatutnya menjadi kawan yang TERbaik yang bukan sahaja membantu dalam urusan duniawi, bahkan juga urusan akhirat yang abadi. Juga, kita janganlah jadi manusia yang memilih sahabat yang sama fikrah sahaja, kerana kita sudah ada fundamental tarbiyyah yang kukuh. (Sepatutnya lah...)

P/s- Saya juga nak kata yang saya ini bukan juga kawan yang baik. Tapi saya sentiasa akan berusaha menjadi kawan yang baik, kerana saya mahu menjadi manusia yang bermanfaat :)

Yang Biasa-Biasa Saja

Yang Biasa-Biasa Saja
 "Aku nak jadi orang yang biasa-biasa saja. Tolonglah faham..."

"Aku tahu. Aku bukannya ajak kau jadi orang yang luar biasa pun!"

"Tapi kenapa kau selalu sangat ajak aku solat berjemaah? selalu sangat ajak aku belajar mengaji? selalu sangat ajak aku hafal Quran? selalu sangat ajak aku dengar ceramah agama? aku bukan apa... aku cuma kurang minat dengan benda-benda ni. Aku rasa aku tak nak jadi lebai-lebai ni. Aku nak jadi biasa-biasa saja"

"Apa maksud kau dengan 'biasa-biasa' tu?"

"Iya. Aku juga solat walaupun lewat. Aku juga mengaji, walau tak lancar. Aku juga dengar kuliah, walaupun seminggu sekali. Macam kebanyakan orang lain..."

Seperti Kebanyakan Orang Lain (?)
Mungkin anda pernah mengalami perbualan seperti berikut. Saya belum. Ia hanya lahir dari cetusan imaginasi saya, bukan realiti kehidupan saya.

Saya tertarik dengan pendirian beberapa manusia yang mahu hidup 'biasa-biasa'. Tidak dinafikan, itu juga impian dan keinginan saya. Menjadi yang biasa-biasa, tapi biasa yang bagaimanakah yang sebenarnya?

Ada orang memahami bahawa islam itu agama yang mudah. Dan benar, islam tidak pernah menyusahkan dan menyukarkan.

Tapi setakat mana kita faham bahawa tentang konsep biasa-biasa dalam islam?

"Biasalah solat di akhir-akhir waktu..."

"Biasalah pakai tudung tapi baju lengan pendek..."

"Biasalah datang masjid dekat-dekat orang solat jumaat..."

"Biasalah tak buat dakwah..."

Ia menjadi biasa hanya kerana kebanyakan orang telah meninggalkan ia- Satu kewajipan yang semakin dilupakan! Itulah yang kita panggil sebagai biasa!

Suatu Ketika.
Satu ketika dulu, menyembah berhala itu biasa. Tapi selepas islam datang di tanah arab, menyembah patung menjadi luar biasa.

Satu ketika dahulu juga, membunuh anak ialah biasa. Tapi ia menjadi sebaliknya apabila islam muncul. Tapi sekarang, ia kembali menjadi biasa. Benar, kita tidak melihat anak-anak muda kita tertunduk-tunduk menyembah patung. Tapi kita boleh lihat mereka 'menyembah' artis-artis. Anak-anak juga dibunuh, tanpa kira lelaki atau wanita.

Tidak lain, ini adalah tanda bahawa kita sudah kembali ke zaman jahiliyyah atau lebih tepat, jahiliyyah moden.

Dan saya tertarik dengan satu hadis dari Abu Hurairah, Rasulallah bersabda : "Islam bermula sebagai dagang (asing), dan akan kembali sebagai asing pula. Maka beruntunglah orang-orang yang asing"- riwayat Muslim.

Terasing.
Menjadi orang asing di planet sendiri, bukanlah sesuatu yang menyeronokkan. Bukan juga sesuatu yang mudah. Kerana ia sukar, Allah menjanjikan satu habuan yang sangat besar kepada manusia yang memilih jalan hidup 'luar biasa' ini.

Ibnu Mas'ud menceritakan bahawa Rasulallah pernah bersabda: Ummat akhir zaman kelak akan berada di situasi, berpegang dengan islam itu seumpama menggenggam bara api. Kerana kesukaran sebegitu, Allah janjikan pahala satu amalan mereka seolah-olah sama dengan pahala 50 orang. Para sahabat ra. bertanya kepada Rasulallah, "50 dari kalangan kami atau kalangan mereka?" Jawab Rasulallah, "50 orang dari kalangan kamu (dari kalangan para sahabat ra.)".

Kesimpulan : Tiada Yang Luar Biasa...
Ya. Sebenarnya, islam itu sentiasa biasa-biasa. Cuma sikap segelintir manusia yang mengambil islam separuh-separuh telah mencemarkan islam itu sendiri. Sebenarnya, orang yang meninggalkan dakwah itulah orang pelik. Orang yang membuka aurat itulah orang yang pelik. Orang yang solat di rumah itulah orang yang pelik. Mengapa perlu diaggap orang yang berpegang dengan islam sebagai pelik? wahai orang-orang yang pelik?

Jika kita mahu sangat menjadi orang yang biasa-biasa, maka mari kita kembali ikut cara hidup Rasulallah dan para sahabat ra. kerana itulah dia 'biasa-biasa' yang kita bising-bisingkan. Selain dari itu, semuanya pelik!

Ayuh, jalani kehidupan bercorak islam. Biar kita dianggap pelik kerana menutup aurat. Biar kita pelik kerana memilih untuk solat berjemaah. Biar kita dianggap pelik kerana berdakwah dan belajar agama kerana kita tahu destinasi kita ialah syurga.

Ya Allah, berilah kami kekuatan untuk menggenggam bara di jalan-Mu ini...

Seinci Dari Maut

Lama saya tidak mencatat sesuatu hingga saya sendiri segan. Dari mana harus saya bermula?

Biarlah saya memulakan bicara dengan satu kalimah maaf. Maafkan saya kerana lama meninggalkan Bayyinat sepi, tanpa perkongsian terbaru. Sebabnya hanya satu. Saya baru dibenarkan keluar wad hari semalam (sabtu) kerana demam denggi.

Sedaya upaya akan saya kongsikan pengalaman-pengalaman berharga saya di dalam wad- satu 'penjara' yang menjadi lapangan ujian terhadap diri saya.
Saya demam dah lama. Dari 4hb 12 lagi tapi saya hanya masuk wad selepas 5 hari demam. Perkara pertama yang saya mahu ceritakan tentang suasana wad ialah suasana solat yang hampir zero. Kerana solat ialah perkara pertama yang Allah akan tanya, maka ia juga akan menjadi bab pertama dalam siri 'tahanan' saya ini.

Hampir zero. Maksudnya, hampir semua pesakit di wad saya (wad denggi) tidak bersolat. Alasannya sama-darurat. Ya, darurat konon-kononya. Saya jadi hairan sendiri. Dalam keadaan badan kita kesakitan, dalam keadaan setiap sendi dan urat dibadan kita keperitan, dalam keadaan kulit kita menggigil minta diselimutkan, dan dalam keadaan kepala berat minta mata dipejamkan, manusia tetap diwajibkan untuk solat.

Solat, satu perkara rutin yang selama ini jarang saya renung ke dasar hikmah. Dan syukur, saya dikurniakan masa untuk melihat ke mana perginya 'solat' itu.

Saya tertanya-tanya.
Mengapa islam tersangat-sangat menitik beratkan soal solat sehinggakan syariat mengajar, tidak mampu berdiri perlu duduk. Jika tidak mampu, boleh dengan keadaan mengiring hingga kepada tahap, solat dengan hati. Kenapa tidak dikecualikan orang-orang sakit daripada solat? Nanti sihat, qada' lah.. (?)

Jawapannya simple. Tersangat simple. Solat ialah satu talian hubung antara Hamba dengan Tuhan.

Dalam masa yang sama, saya bersyukur kerana dalam kesukaran berwuduk, saya masih mampu bersolat dengan sempurna. Cuma wuduknya sahaja yang 'kasi sah aje'. Bayangkanlah, kiri dan kanan ada jarum.

Saya tertarik dengan pesakit denggi depan katil saya. Seorang abang yang di awal 30-an mungkin. Dia ditemani isterinya yang bagi saya, seorang isteri yang cukup setia. Dari hari pertama hingga hari terakhir saya di wad, saya lihat isterinya tidak pernah tinggalkan dia. Ke tandas, dibantu. Makan, dibantu. Tidur, juga dibantu. Cuma sayang, solat tidak masuk dalam list...

Alangkah indah, jika si isteri mewudukkan suami lalu suami pun solat dalam keadaan berbaring.

Tapi tetap, saya terasa ada sedikit kelucuan. Saya pernah terjaga pada jam 4 pagi. Dan samar-samar, saya lihat si isteri abang tu seperti baru pulang solat sahaja kerana dia bertelekung. Sah! Memang telekung. Dan esoknya, hampir jam 8 pagi baru mereka bangun. Saya selepas solat subuh, memang tak tidur. Sejuk...

Timbul tanda tanya. Kenapa isterinya tidak solat sedangkan hanya si suami yang sakit.

Oh, orang perempuan... mungkin Allah beri cuti...

Itu cerita abang, belum cerita pak cik-pak cik lagi. Saya ingat, orang tua kalau sudah sakit kuat macam mana pun, mereka akan solat walaupun dengan cara paling mudah iaitu dengan duduk. Tapi nyata, iman itu ukurannya bukan pada usia.

Di usia lanjut pun, tenanga untuk ke tandas tanpa bantuan tetap ada. Cuma yang tiada, tenaga untuk solat dengan duduk. Sejuk mandi pun tidak apa, janji jangan sejuk kena wuduk. Begitukah pakcik?

Saya pun hanya sempat berbual-bual dengan abang dan pakcik itu pada hari terakhir.

Pesan saya.
Saya sentiasa pesan kepada orang supaya jaga solat. Dan Allah uji saya dengan kesukaran menunaikannya juga. Syukur, jika saya melihat solat satu ketika dahulu sebagai sesuatu yang mesti buat, maka sejak hari itu, saya sudah boleh melihat ia sebagai satu sumber tenaga buat saya. Solatlah yang menghidupkan saya...

Demi Allah, memang tidak mudah hendak bersolat dalam keadaan sakit. Saya dah alami. Nak berwuduk tu dekat 15 minit juga setting apa yang perlu. Tapi thrust me, Allah tidak akan balas kesukaran kita dengan sia-sia. Solatlah, walau terpaksa berbaring. Jika tidak mampu wuduk, bertayammumlah dengan debu-debu di dinding hospital. Saya pasti dinding tu ada debunya.

Perkara kedua yang saya suka sentuh ialah tentang nikmat membaca Quran apabila sakit.

Sudah menjadi pengangan diri saya-"Jika kamu tidak mampu menjadi Al-Quran yang bergerak, maka kamu bergeraklah bersama-sama Al-Quran". Maka, saya akan sentiasa bawa al-Quran mini saya untuk dibaca, dibuat teman dan dibuat rujukan.

Apabila kita membaca ketika sihat dan membaca ketika sakit, saya dapat melihat perbezaan yang sangat besar dari sudut peranan hati. Konsentrasi dan penghayatan terhadap bacaan al-Quran ketika sakit nyata lebih. Dan saya sendiri memberi perhatian yang lebih. Malu juga sebenarnya. Iyalah... bila sudah sakit baru dapat khusyuk membaca Al-Quran. Patutkah begitu?

Pastinya tidak. Tapi nak buat macam mana, inilah yang Allah kata, sakit itu ujian. Ujian supaya saya dapat meningkatkan apa-apa yang saya tak lemah.

Pesan saya
Dampingi Al-Quran. Saya rasa lain kali kalau kita ziarah sesiapa di dalam wad, daripada bawa majalah-majalah atau komik-komik, baik bawakan mereka al-Quran.

Perkara ketiga ialah keluarga.

Sejujurnya, saya berasa sangat ego untuk membiarkan diri saya dikasihankan dan dirisaukan. Saya sedaya upaya tidak mahu jika ibubapa saya tahu saya sakit dan masuk wad. Alasannya mudah, ibubapa saya risau dan mereka akan datang dari kampung. Dan saya tidak mahu itu kerana bukannya dekat jarak kampung dengan hospital. Paling tidak 3 jam juga.

Tapi tetap, mak ayah saya datang dengan kakak saya. Ah, sedikit terganggu emosi ini. Bukannya tidak suka, tapi saya rasa saya ini sangat menyusahkan. Sudahlah kecil-kecil dulu saya banyak menyusahkan dan merisaukan mereka, sudah besar pun tetap sama. Sejujurnya, saya tersangat mahu rasa menjadi lelaki yang belajar untuk tidak membuatkan kedua ibubapanya runsing. Saya mahu belajar diberikan kepercayaan. Entah, mungkin begini lebih baik.

Tapi saya paling suka dengan sms dari abang sulung saya. Ya, dia seorang yang hebat. Sangat hebat dalam keluarga saya, dan saya pasti, dia juga hebat dimata para pekerja, sahabat san saudara-mara kami. Saya penat, bosan, dan stress kerana ditahan selama 4 hari dalam wad.

Saya sudah tidak sakit. Bahkan, sudah terasa kembali normal. Tapi doktor belum beri saya green light. Katanya, platelet saya masih rendah. Abang sulung saya membisikkan kata sabar dengan sangat hikmah.

"Kadang-kadang kita selalu berkata 'dah bukan rezeki aku', 'sabar je lah'. Tapi bila ia kena pada diri kita, itulah ujian sebebar. Ia tidak semudah ucapan"

Saya hadam lumat-lumat mesej itu. Ya, ia tidak mudah. Sangat berbeza antara menyuruh orang sabar dengan kita sendiri bersabar.

Apapun, thanks to him kerna mengingatkan saya bahawa orang sakit ini doanya makbul. Maka, saya doa banyak-banyak :)

Saya juga berusaha mencari ibrah disebalik sakit ini untuk dikaitkan dengan sedikit sirah, jika ada. Satu perkara yang menarik untuk direnungi ialah bagaimana para sahabat muhajirin pada hari-hari terawal mereka berhijrah ke Madinah, ramai dalam kalangan mereka telah diserang oleh demam teruk. Bahkan, ada seoranh sahabat ra. meninggal dunia kerana demam dek cuaca madinah yang tersangat panas ini. Keadaan ini meyebabkan Rasulallah telah berdoa dengan maksudnya, 'Ya Allah, jadikanlah kami mencintai Madinah seperti kami mencintai Mekkah..'

Satu refleksi diri buat saya bahawa sakit itu benar-benar satu tarbiyyah dari Allah. Ia menguatkan talian hati kita dengan Allah. Sakitlah yang membuktikan sama ada kita benar-benar tahu cakap atau kita mampu cakap dan buat.

Dan saya benar-benar maksudkan ia- 'Menyuruh orang bersabar, dan kita sendiri bersabar. 2 perkara yang berbeza'.

Kerana itulah juga, seorang sahabat bernama Khabbab bin al-Art pernah meminta Rasulallah supaya berdoa agar Allah beri kemenangan segera buat islam. Mungkin kita akan anggap Khabbab ini  sahabat yang lemah, tapi ternya dia antara sahabat yang paling hebat dalam sejarah. Dia pernah diseksa dengan sangat teruk. Memang, namanya sebaris dengan sahabat-sahabat seperti Bilal Bin Rabah serta keluarga Yassir. Apabila Rasulallah mendengar permintaan Khabbab itu, muka baginda merah padam tanda Baginda marah. "Apakah kamu lupa bahawa umat terdahulu ada yang digergagji kepalanya hidup-hidup, disiat-siat kulit mereka dengan sikat besi bahkan macam-macam siksa lagi semata-mata kerana mereka mahu beriman?"

Ya, sakit itu sangat perlu. Kerana ia adalah bayyinat juga akhirnya.
Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji dengan sesuatu cubaan? 29:2
Kesimpulan
Dan kini, saya kembali menulis. Walaupun banyak lesson saya telah miss, insyaAllah saya akan catch up balik dengan kawan-kawan. Kepada kalian yang mendoakan saya, terima kasih daun keladi. Saya dah sihat, tapi jangan lupa doakan lagi :)

Oh ya, ada sahabat tanya apa yang saya mahu buat selepas sembuh. Saya kata, saya mahu kawin supaya jika nanti saya sakit lagi, ada orang jaga saya. hihi.. saya bergurau saja ni :P

Oh ya, seperkara lagi. "menjaga kesihatan itu wajib!"

Terima Kasih Dan Sekalung Bunga

Kalau saya diberi peluang untuk memberi sesuatu sebagai tanda penghargaan, pasti setiap daripada kalian akan saya beri sejambak bunga seorang. Sungguh, saya tersangat terharu kerana penerimaan kalian dan komitmen kalian dalam bertandang ke Bayyinat. Satu blog yang bagi saya tidaklah se gah blog-blog yang lain. Tapi tetap, kalian sudi membaca. Terima kasih.

Mengimbau Sejarah Semalam.
Dahulu, blog ini diberi nama 'Pesanan Buat Diri Sendiri' sebelum ditukarkan nama kepada 'Pondok Cinta'. Sebabnya jelas. Pertama sekali, saya tersangat-sangat tidak meletakkan harapan pun pada blog saya. Saya dahulu menulis untuk diri saya. Kerna itu, di awal kewujudan blog ini, ia diberi nama 'Pesanan Buat Diri Sendiri'. Sangat sell-fish buka?

Namun, semakin hari, semakin ramai yang follow, meninggalkan jejak, komen dan ada juga yang memasukkan blog ini ke dalam blog list mereka. Saat itu, pembaca sudah meningkat, lalu saya tersedar bahawa saya tidak harus hanya menulis untuk diri sendiri, sebaliknya saya juga perlu menulis untuk semua, untuk kebaikan bersama.

Dan, wujudlah "Pondok Sang Pencinta", nama blog ini sebelum dipendekkan menjadi "Pondok Cinta". Dengar namanya saja pun saya rasa kalian boleh agak apa isi kandungannya, bukan? Ya, ada banyak cerita tentang 'Cinta', bahkan saya juga pernah sekali dipaggil sebagai pakar entry cinta. Mati akal seketika. Rupanya memang banyak cerita tentang cinta.

Malang, saya berasa bahawa dengan matlamat penulisan saya belum jelas dan belum menghampiri kepada kehendak islam. Kerana itu, saya menukar sekali lagi nama blog saya- Bayyinat. Dan benar, saya jatuh cinta dengan Bayyinat. Sudah lama.

Dan Bayyinat itu ialah keterangan-keterangan serta penjelasan daripada Al-Quran.

Memahami hakikat Al-Quran itu sebagai bahan bacaan no. satu setiap manusia, saya cuba mengekstark beberapa pengajaran dari dalam al-Quran dengan panduan ulama-ulama serta ustaz-ustaz yang diyakini kebenaran dan kebersihan akidahnya. Dan melalui mulut-mulut serta tangan-tangan mereka, saya kutip mutiara-mutiara itu dan saya cuba adun menjadi ramuan hikmah, sebelum saya menulis.

Dan hari ini, saya tersenyum melihat bilangan follower blog ini. Benar, ia tidak se gah blog-blog yang lain, tapi saya tetap rasa bersyukur, kerana saya pasti bahawa wujud manusia-manusia yang akan menyampai, memanjangkan serta meluaskan pengajaran-pengajaran yang dapat diambil dari dalam Al-Quran. Ah, bukankah Rasulallah berpesan supaya kita menyampaikan, walaupun sekadar satu ayat?-riwayat Bukhari.

Dan hari ini juga, saya masih menulis untuk blog pertama saya- "Pesanan Buat Diri Sendiri". Iya, setiap isi yang terkandung di dalam blog ini, awal dan akhirnya adalah untuk saya. Untuk saya check, periksa, serta muhasabah diri saya. Saya tidak diajar 'untuk mengubah orang' kerana saya sentiasa diajar untuk 'mengubah diri saya', dan secara automatik, orang lain akan turut sama akan berubah.

Dan inilah yang Tuan Guru Nik Radhi Nik Mat pesan kepada saya semasa kami bersarapan pagi beberapa minggu lepas, "Dakwah ialah seumpama kamu menyiram pokok pisang. Pasti, pokok-pokok di sekitarnya akan menerima air dan membesar, dengan menumpang air siraman kamu itu".

Saya mentafsirkan kata-kata hikmah Tuk Guru dengan blog ini. Saya menulis untuk diri saya, dan saya mahu kalian turut mendapat manfaat. Saya benar-benar inginkan manfaat buat kalian.

Terima Kasih.
Sekali lagi, saya ucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada para pembaca blog ini. Kepada semua silent readers saya, maafkan saya jika saya tidak berkesempatan mengenali kalian. Kalian adalah sumber motivasi untuk saya terus menulis. Tidak ada penafian tentang fakta itu.

Seorang sahabat pernah berkata ;"Jangan risau. Blog kamu ada ramai silent readers".  Dan perkara pertama yang muncul di minda saya ialah "Alangkah indahnya jika saya dapat mengenali kalian..."

Kepada bloggers, terima kasih kerana meletakkan link blog saya ke dalam bloglist kalian. Terima kasih juga setia menjadi pembaca.

Kepada para pendakwah-pendakwah sekalian, terima kasih tidak terhingga juga, kerana kalian menyebar, memanjangkan, serta menyampaikan artikel-artikel saya yang tidak seberapa ini. Saya syukur dan berterima kasih kepada kalian kerana sudi share di blog-blog kalian serta Facebook kalian. Terima kasih. Moga Allah menerima kebaikan kalian dan mengganjari dengan pahala kerana usaha tabligh (menyampaikan) pengajaran dari al-Quran.

Sebelum saya terlupa, saya juga ada bloglist saya. Di sini.
Kepada kalian yang masih belum tinggalkan alamat blog kalian disana, bolehlah berbuat demikian. InsyaAllah kalau diizinkan Allah, saya akan baca dan komen juga :)

Akhir kata, saya akan sentiasa mendoakan moga hidup kita bermanfaat :)

Hidup Untuk Mati

Remaja dengan kematian, sukar untuk 'ngam'. Sesungguhnya kematian adalah perkara yang paling dekat dengan kita tapi paling jauh dari hati kita.  Umumnya kematian sering dikaitkan dengan orang tua, hingga lahir pepatah, "masa mudalah masa untuk enjoy, dah tua nanti taubat lah".

Falsafah kematian, sesuatu yang muda-mudi perlu hayati.

Rasulallah s.a.w bersabda: "Cukuplah kematian itu menjadi sebaik-baik peringatan"- riwayat At-Tabrani.

Ya, ia adalah sebaik-baik peringatan. Tapi malang, sangat sukar pula untuk kita ambil peringatan daripada ia.

Satu soalan: Dalam masa satu hari, berapa kali kita memikirkan kematian?

Sekali, dua kali atau lima kali? Atau mungkin tidak pernah?

Di Malaysia, banyak sekali jenayah yang dikaitkan dengan remaja. Ya, tidak dinafikan. Tapi, mereka bukan memerlukan kebencian dan caci maki daripada kita. Sebaliknya, mereka memerlukan bimbingan, tunjuk ajar dan peringatan.

Rasulallah sangat-sangat menganjurkan kita untuk ingat kepada kematian. Sabda Baginda : "Perbanyakkanlah memperingati perosak kelazatan, iaitu maut"- riwayat Tirmizi.

Matlamatnya jelas. "Jika dia mengingati mati dalam keadaan hidupnya sempit, maka ia akan menyebabkan dia merasa lapang. Manakala, jika dia mengingati mati dalam keadaan hidupnya lapang, maka ia akan menyebabkan dirinya merasa sesak (mahu menggunakan masa dengan cara yang paling bermanfaat)"- Riwayat Bazzar dari Anas Bin Malik.

Jiwa Remaja.
Memenatkan. Sangat letih menjadi remaja dalam suasana yang 'rosak' hari ini. Kiri dan kanan, semuanya godaan. Peluang melakukan dosa terbuka luas tapi peluang untuk katakan 'tidak' kepada dosa itu seperti jalan yang sempit. Sangat sukar.

Dimana mahu mencari motivasi meninggalkan dosa? Jawapnya, fikirkan kematian.

Dimana mahu mencari semangat untuk beramal? Sama, ingat mati.

Dimana mahu mencari sebab untuk ikhlas menuntut ilmu dunia dan ilmu akhirat? Ya, kita dah tahu.

Saya teringat satu firman Allah dari surah al-Qasas ayat 77- "Carilah (pahala) negeri akhirat dengan apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu, tetapi janganlah kamu lupakan bahagianmu di dunia.."

Bagaimana kematian dan ayat di atas boleh memberi kesan kepada orang beriman?

Perintah Allah dalam ayat itu, bahawa setiap apa yang ada pada kita ialah aset untuk kita belanja, kita labur dan kita guna untuk mendapatkan redha-Nya. Bahkan, Allah menyambung, 'Jangan lupa bahagianmu di dunia'.

Apa yang Allah mahu maksudkan dengan jangan lupa? Adakah wujud manusia yang lupa terhadap dunia?

Satu analogi:

Orang yang pergi ke Mekah untuk ibadah haji. Kalau mereka datang dengan dua beg, mereka akan pulang dengan dua beg juga. Bukannya 12 beg yang berisi buah tangan. Ini adalah kerana "ibadah haji" ialah utama, tapi "mencari buah tangan" ialah aktiviti sampingan dan kenang-kenangan.

Sama juga. Akhirat itu utama manakala dunia ialah sampingan saja. Kita perlu bersunggh-sungguh dalam urusan akhirat. Dunia hanya sampingan saja.

Tapi malang, umat islam hari ini melayan Allah sebagai sampingan dan meletakkan dunia sebagai matlamat yang lebih utama. Kita mengubah ayat Allah menjadi, 'Jangan lupa bahagianmu di akhirat'. Lalu, agama menjadi sampingan dan bukan lagi prioriti.

Umar Bin Abdul Aziz juga pernah berkata bahawa manusia ini diciptakan untuk hidup kekal. Hakikatnya memang kita akan kekal. Kematian cuma satu perpindahan. Kerana akhirnya, kita akan berada di salah satu daripada dua destinasi abadi, syurga atau neraka.

Sebagai kesimpulan mari kita hayati beberapa falsafah kematian.

(1)-Manusia akan diadili oleh Allah.
Bila kita tahu ada mahkamah Rabbul Jalil, maka kita tak akan tergamak untuk bergelumang dalam selut kemaksiatan. Kita juga akan banyak bersabar jika kita dizalimi, kerana kita tahu, satu hari kita akan mendapat keadilan.

(2)-Manusia mati tidak membawa harta dan keluarga.
Yang akan kita bawa bertemu Allah ialah amal soleh. Kerana itulah, kita akan lebih bersemangat untuk melaksanakan ketaatan, kerana kita tahu bahawa inilah taruhan kita kelak.

(3)-Ajal itu tidak diketahui bila akan terjadi.
Maka, kita akan bersungguh-sungguh dalam setiap pekerjaan kita. Bahkan, kita juga tidak akan menjadi suka bertanggug-tangguh.

Dan inilah juga yang Rasulallah sabdakan dalam hadis riwayat Tabrani- "Orang yang mengingati maut akan dimuliakan Allah dengan tiga perkara iaitu (1)-segera bertaubat, (2)-merasa qana'ah dan (3)-menjadi bersungguh-sungguh dalam beribadat.

Rasulallah apabila melihat para sahabat Baginda lalai sedikit, Baginda akan datang mengetuk pintu rumah mereka sebanyak tiga kali dan menyeru, "Apakah tidak sampai peringatan kepada kalian tentang kematian?"- hadis riwayat Baihaqi.

Sedarlah, kita mati hanya sekali. Kerana itu, pilihlah cara kematian yang terbaik.

Dan ingatlah juga bahawa kematian sedang mengintai kita dari jarak yang dekat tanpa kita sedari. Siapa tahu?

"Live as a muslim or die as a muslim? I prefer both!"

Aku juga layak! Aku juga layak!

Aku juga layak! Aku juga layak!
'Saya tak ada ilmu nak berdakwah. Maka, tak perlulah kan?', tanya seorang pemuda kepada ustaz.

'Tidak, kamu tetap perlu berdakwah'.

'Tapi, bagaimana saya mahu berdakwah sedangkan saya tidak ada ilmu', wajahnya serius.

'Apa yang enta faham dengan ilmu?', tanya ustaz itu pula.

'Ilmu itu kan kena tahu al-Quran dan hadis'.

'Habis tu, enta tak tahu?'

'Saya tidak hafal ustaz'.

'Tak hafal, tidak boleh rujuk?'

Buntu.

Benarkah dakwah perlu ada ilmu?

Iya. Berdakwah perlukan ilmu. Bukan setakat ilmu, ikhlas dan kretif juga perlu.

'Saya tidak ada semua itu. Adakah kewajipan dakwah saya terhapus?'

Belum lagi. Belum sehingga kalian tahu, apa maksud 'mempunyai ilmu' itu.

Salah anggap.
Kita sudah lama tersalah anggap. Kita anggap bahawa yang wajib berdakwah dan menyampaikan keindahan islam itu hanyalah golongan ulama dan para ustaz sahaja. Oh...silap besar begitu.

Tidak salah jika saya katakan bahawa pemahaman sebegini diperkenalkan oleh orang-orang kafir kepada kita supaya kita meninggalkan dakwah, supaya islam tidak berkembang, dan supaya islam tidak dibawa ke peringkat yang lebih tinggi.

Mengapa? Adakah islam itu ancaman?

Ada dua jawapan.

Jawapan pertama: "Ya, islam itu ancaman"

Kerana itu, ramai pejuang-pejuang islam ditangkap, dibunuh dan disiksa. Contoh paling dekat As-syahid Ustaz Ibrahim Libya. Kalau kalian masih ingat peristiwa berdarah Memali, maka kalian akan ingat mengapa mereka dibunuh- iaitu kerana mereka mahu menegakkan islam di bumi ini.

Dan jawapan "ya" itu keluar dari mulut manusia yang dahagakan kuasa serta duniawi.

Jawapan kedua: "Mustahil islam itu ancaman kerana Islam ialah kesejahteraan".

Kita guna jawapan kedua ini. Bagaimana mahu menggabungkan 'dakwah' dengan 'kesejahteraan'?

Tadi kita bising pasal 'tidak ada ilmu' untuk berdakwah, bukan?

Habib An-Najjar
Mari kita buka surah Yassin mulai ayat 20. Allah bercerita tentang seorang lelaki bernama Habib An-Najjar. Siapa Habib An-Najjar ini? Menurut tafsir, beliau adalah seorang lelaki yang tinggal di hujung kota yang kota itu telahpun diutuskankan 3 orang rasul untuk berdakwah kepada penduduknya. Malangnya, penduduk kota itu menolak serta mendustakan para rasul yang diutuskan itu. Lalu, datanglah Habib An-Najjar untuk berdakwah. Diceritakan dalam tafsir Ibn Kathir, Habib An-Najjar ini seorang yang miskin yang bekerja sebagai tukang kayu. Dia miskin dan tidak ada ilmu pun (kerana baru masuk islam sahaja) lalu terus dia berdakwah!

Tengok apa yang dia dapat...

Allah sebut dalam ayat seterusnya, Habib An-Najjar dibunuh kerana berdakwah dan Allah beri dia syurga. Katanya, "Alangkah baiknya jika kaumku mengetahui".

Subhanallah.

Habib An-Najjar benar-benar seorang pendakwah yang sejati! Walaupun dia disiksa dan dibunuh oleh kaumnya, dia tidak punya dendam pun walau secubit dan sesudah mati pun, masih kuat cintanya kepada pembunuh-pembunuhnya. Tetap, dia menginginkan agar pembunuh-pembunuhnya bersama-sama beriman!

Sifat manusia mulia itu mahu saya contohi. Seperti pokok rambutan, dibaling dengan selipar pun masih tetap memberikan buah.

Soalan: Habib An-Najjar ada banyak ilmu atau tidak?

Tidak banyak. Kerana yang dia tahu cuma 'Allah ialah Tuhan yang wajib disembah', dan dia berdakwah atas 'tiket' itu.

Realiti Kita.
Selepas kita mengucapkan kalimah syahadah, maka kita sudah pun diberi tanggugnjawab dakwah. Ia tidak menunggu kita untuk menjadi ustaz atau hafiz yang hafal 30 juzuk Quran! Mari kita jadi seperti Habib An-Najjar yang berdakwah walaupun dengan sepatah ayat, 'Ikutilah para utusan itu'.

Saya sebenarnya pernah terbaca artikel tulisan Hilal Asyraf tentang jawapan kepada persoalan ini. Tulisannya lebih lengkap. Maka, saya letak link sahaja dan saya harap sangat kalian akan baca.


Another Story
Kalian kenal sahabat Rasulallah bernama Abu Dzar al-Ghifari? Beliau adalah salah seorang daripada sahabat-sahabat Rasulallah yang sangat istimewa. Ceritanya, apabila dia ke Mekah untuk menemui Rasulallah dan masuk islam, beliau bertanya kepada Rasulallah, 'Apa yang aku perlu buat sesudah aku beriman?'

Rasulallah menjawab, 'Dakwah lah kaum mu untuk menyembah Allah'.

Yang terlebih istimewa, Abu Dzar merasa izzah (bangga) menjadi seorang muslim. Dengan tekad, dia ke masjidil haram dan meyuarakan serta mengisytifarkan keislamannya di hadapan orang arab jahiliyyah yang sangat rakus dan memusuhi islam. Apa terjadi? Abu Dzar ra. dibelasah hingga pengsan. Pendek cerita, dia tak serik kerana esoknya, dia masih mengisytifarkan keislamannya. Dia bangga menjadi muslim!

Kisah dakwahnya juga hebat. Perintah Rasulallah ialah, 'Kamu dakwah kaum mu', tapi Abu Dzar ra. sekembalinya dia kepada kabilah atau kaumnya, dia bukan sahaja mengislamkan ahli-ahli kabilahnya, sebaliknya kabilah yang berdekatan dengannya juga didakwah dan diislamkan.

Jadi, sebenarnya dakwah itu apa?

Mengeluarkan manusia dari gelapnya jahiliyyah kepada cahaya islam. Inilah dia dakwah!

Dakwah Paling Utama.
Ialah dakwah kepada iman. Itu paling utama dan itulah paling awal Rasulallah  dan para sahabat buat. Dakwah Baginda tidak terus kepada solat, puasa, zakat, haji dan lain-lain ibadah. Buktinya, perintah-perintah ini semuanya datang lambat.

Maka, sebelum itu Baginda hanya menyeru kepada tauhid.

"Allah Tuhan kita dan kita wajib sembah-Nya"

"Jangan syirikkan Allah walaupun dengan satu apapun"
Jangan bebankan diri kita untuk kuasai halal dan haram kerana ia hanya sia-sia jika kita belum kenal siapa itu Rabb.
Logiknya, jika tiada iman, maka tiada juga peduli dan runsing tentang halal dan haram. Saya pernah sebut dahulu di sini (link). Jika tiada iman, muncul lah maksiat. Sebaliknya, jika ada iman, hilanglah maksiat.

Kesimpulan: Lalu, aku perlu berdakwah melalui apa?
Kalau kita masih menganggap bahawa dakwah ini tugas orang berkopiah dan berjubah putih, maka pasti islam tidak akan tersampai kepada kita. Abu Dzar ra. dan para sahabat ra. berdakwah selepas sahaja mereka islam. Habib An-Najjar juga sama.

Mereka tidak 'menunggu' untuk jadi 'lebai' kerana mereka faham artikel ini.

Jika kita rasa kita ini tidak layak dan tidak cukup ilmu untuk berdakwah, maka memadai untuk kita berkata, "aku bangga menjadi muslim" dan cerminkanlah kebanggan itu dengan akhlak mulia kita, mudah-mudahan itu menjadi dakwah terbaik kita- dakwah melalui akhlak.

P/s-Hilal Asyraf dalam artikelnya itu telah menerangkan dengan jelas persoalan ini. Bacalah :)

Saya mahu berubah, tapi saya tidak tahu bagaimana.

'Saya nak berubah jadi baik'

'Saya tahu. Semua orang nak jadi baik'

'Tapi saya tak tahu bagaimana dan dari mana saya harus mula...'

'Dari saat ini. Sekaranglah'.

'Susah'

'Susah kerana kamu tak tahu caranya'

'Habis tu, bagaimana?'

Begini...

Sebab Apa Perlu Berbaik-baik Dengan Allah.
Pertama sekali, kita perlu tahu sebab apa kita perlu menjadi manusia yang baik di sisi Allah. Ini ialah perkara yang paling asas, iaitu mengenali siapa itu Allah.

"Aku dah baik. Buktinya, aku selalu bersedekah. Aku selalu beri makan orang miskin. Aku selalu buat rumah terbuka. Pendek kata, aku memang selalu tolong orang tak kiralah dia miskin atau kaya pun. Aku sudah cukup baik".

Syaitan telah berjaya mengelirukan kita. Kita tersalah faham tentang konsep 'baik' itu.
Baik kepada Allah, barulah baik kepada manusia.
Inilah asasnya. Baik dengan manusia telah berjaya kita capai. Dan hasilnya, kita dipuji-puji kerana bantuan dan kebaikan kita. Kerana kita baik dengan manusia, pasti akan ada manusia yang terhutang budi, akan membantu kita apabila kita ditimpa masalah. Itu semasa kita hidup.

Selepas kita mati, lain hal nya. Dimana anak-anak kita? isteri-isteri kita? atau orang-orang yang pernah makan budi kita? Dimana mereka?

Mereka hanya ada saat kita dikuburkan. Selepas itu, mereka pulang. Siapa yang akan membantu kita saat itu?

Tiada sesiapa, selain Allah semata-mata. Maka, percayalah cakap saya. Kita memerlukan Allah. Kita sangat-sangat memerlukan Dia. Kita perlu jadi baik di mata Allah, barulah Allah akan berbaik dengan kita.

Maka, jelas. Kita perlu jadi baik kerana kita mengharapkan Allah. Kita perlu baik kerana kita tidak mahu dimurkai oleh Allah di akhirat kelak.

Tapi bagi layman, susah nak faham kan?

Beginilah. Kita perlu tahu bahawa agama ialah seumpama oksigen. Kita memerlukan ia. Kita boleh memilih untuk bernafas atau tidak, tapi kita tahu kesudahannya. Sama halnya. Kita boleh memilih samada mahu berbaik-baik ataupun menyombong dengan Allah. Tapi, pesan saya, jangan terjerit-jerit pula nanti...

Atas Dasar Apa Kita Perlu Berubah?
Saya selalu jumpa, manusia berubah kerana 'semangat'. Maknanya, dia datang surau, belajar agama, tapi tidak ikhlas. Dia datang, kerana ajakan kawan-kawan. Lalu, kerana niat yang 'tidak berapa murni' ini, mereka akan mudah futur, jemu, putus asa dan terus kembali kedalam 'kegelapan'.

Kerana itulah, saya lebih suka jika manusia berubah sedikit demi sedikit. Dan saya juga suka kepada dakwah yang 'slow and steady'. Seorang saudara pernah berkata, 'manusia yang berubah jadi baik sekelip mata, berkemungkinan besar akan berubah menjadi jahat balik dengan sekelip mata juga'.

Saya setuju walaupun bukan 100% kerana terlalu banyak buktinya. Berubahlah kerana Allah.

Pesan Saya.
Saya tidak salahkan anda kerana dosa yang anda lakukan (jika ada). Tapi saya akan salahkan anda, jika anda tiada niat mahu berhenti dan tiada usaha untuk mencapai matlamat berhenti itu. Saya akan sungguh-sungguh salahkan anda!

Berubah jadi baik itu sukar, tidak dinafikan. Tapi kita tetap perlu berubah. Saya sendiri sudah banyak 'dilukakan' kerana mahu 'keluar' dari jalan itu. Tapi percaya cakap saya, ia sangat-sangat berbaloi. Sangat berbaloi untuk 'sakit' sebentar, kerana bahagia yang menanti tidak berpenghujung.

Trust me. Percayalah cakap saya ini.

Kata-kata orang yang paling bijak di dunia ini ialah 'aku mahu berubah'.

Dan kamu pasti akan mendapati saya akan menyokong perubahan kamu, setiap saat.

Kesimpulan
Berubah sikit-sikit. Take time. Jangan lupa kisah pembunuh yang membunuh 100 orang yang mati dalam perjalanan mahu bertaubah lalu masuk syurga. Dia belum bertaubat lagi, cuma sedang berusaha bertaubat dan dia tak sempat pun. Tapi Allah ampunkan dia.

Jika Allah pun ampunkan orang yang berdosa, apa hak saya untuk benci kepada orang yang berdosa.

Saya sayang anda, kerana itulah saya mahu ajak anda semua sama-sama berubah. Kita impikan hidup yang lebih baik. Biar hidup kita tidak mewah, asalkan Allah sayang kita dan manusia beriman sayang kita. Itulah kebahagiaan sebenar...

Nota Penting.
Jangan bertangguh-tangguh untuk berubah. Jangan beralasan nak tunggu jadi ikhlas (konon-kononnya), sebab kalau kita nak tunggu ikhlas, sampai mati pun kita tidak akan berubah. Percaya cakap saya. Ikhlas ini hanya akan datang SELEPAS kita berubah. Ikhlas ialah step 2 manakala step 1 ialah berubah. Kita tak akan mampu untuk skip the steps.

Berubah perlu disegerakan!

Hish..sebab apa aku perlu dakwah-dakwah ni?

'Layakkah saya berdakwah?', tanya seorang rakan kepada saya.

'Kenapa tanya soalan begini?'

'Erm. Saya ni jahat, selalu buat dosa. Ilmu agama saya cetek. Amal soleh saya sedikit. Saya tak layak'

Oh. Nampaknya kamu sudah salah faham....

Dakwah: Mengapa ia perlu?
Mengapa kita dituntut untuk berdakwah?

'Kerana Allah suruh'.

'Tapi, mengapa Allah suruh?'

Senyap.

'Ayuh. Jawablah, mengapa Allah suruh kita berdakwah?'

Sepi.

'Maaf, saya tidak tahu...'

Ya, tak ramai dalam kalangan 'orang dakwah' faham mengapa dakwah ini difardukan kepada kita. Banyak sebab sebenarnya! Jika kita ada usaha untuk 'menggali' maksud ayat-ayat al-Quran, pasti kita akan faham mengapa Allah menyuruh kita berdakwah.

Sebab Satu: Kerana Allah mahu menjadikan kita insan beriman.

Apa maksud iman?
Iman ialah meyakini kekuasaan Allah dengan hati, mengakui dengan lidah dan membuktikan dengan amalan. Siapakah manusia yang paling beriman diatas dunia ini?

Rasulallah s.a.w, Abu Bakar r.a, Umar r.a, Usman r.a, Ali r.a, para sahabat dan seterusnya generasi-generasi selepas mereka.

Bagaimana mereka mendapat iman?
Jawapannya satu, iaitu kerana mereka berdakwah. Rasulallah ialah seorang manusia. Dan setiap manusia, belajar. Rasulallah juga belajar. Siapa guru Baginda?

Allah.

Apa yang Allah ajar?

Wahyu.

Maka, kita perlu kembali kepada wahyu...

Perasan atau tidak, dalam banyak tempat di dalam al-Quran, Allah memulakan firman-Nya dengan perkataan 'Qul' yang bermaksud 'katakanlah'. Ini yang Allah ajar kepada Rasulallah- 'Cakaplah, beritahulah dan sampaikanlah wahyu'.

Inilah dia dakwah. Kita bercakap tentang perintah-perintah Allah. Kita beritahu tentang larangan-larangan Allah. Dan kita sampaikan berita-berita dari Allah.  Dan inilah yang dilaksanakan oleh Rasulallah, dan diteruskan oleh para sahabat serta generasi selepas mereka.

Apa yang mereka dapat dengan 'bercakap?'
Mereka mendapat keimanan. Mereka dapat keyakinan, dan mereka mendapat perasaan 'dekat' dengan Allah. Beritahu saya, siapakah dalam kalangan sahabat Rasulallah yang tidak berdakwah? Tiada. Semuanya berdakwah.

Maka, jelas bahawa kita perlu bercakap tentang keesaan Allah, supaya ia hadir dalam diri kita.

Sebab Dua : Kerana Allah mahu menguji kita.
Allah paling hebat. Tiada keraguan tentang fakta itu. Tapi, Allah sengaja tidak jadikan semua manusia ini islam. Mengapa? Bukankah Allah berkuasa untuk melakukan sedemikian?

Ya, Allah mampu mengislamkan semua manusia di muka bumi ini. Tapi Allah tidak buat begitu. Mesti ada sebab.

"Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?"-al ankabut ayat 2.

Allah mahu uji kita. Dan inilah tanda Allah sangat adil. Ya, Allah adil. Dia beri kita ujian. Dan Allah juga sediakan ganjaran, habuan bahkan, denda juga. Sesiapa yang lulus ujian, maka dia dibalas syurga dan siapa gagal, maka dia akan dibalas dengan neraka. Theory wise, senang. Tapi praktikal, belum tentu...

Tanggungjawab berdakwah juga ialah satu bentuk ujian kepada kita. It is a must.


Sebab Tiga: Keselamatan.
Satu analogi. Kita berada dalam satu kapal yang besar. Kapal mewah 2 tingkat. Kita berada di tingkat atas. Di tingkat bawah, ada beberapa orang manusia 'nakal' yang sedang berusaha menebuk lubang pada kapal itu. Alasan mereka, mereka mahu membuat lubang di dasar kapal kerana mahu memasang jala dari dasar kapal. Logiknya, lebih dalam, lebih banyak ikan. Kita yang berada di tingkat atas tahu bahawa jika mereka membuat lubang juga, kapal ini akan karam. Lalu, apa tindakan kita untuk 'menjawab' alasan mereka yang jahil itu?

Adakah kita akan membiarkan, lalu kita turut sama karam.

Atau, adakah kita akan katakan 'Stop! Jangan buat' kepada mereka?

Inilah dakwah. Kita memberitahu kesan-kesan perbuatan salah mereka. At the end, bukan setakat mereka yang selamat, kita juga akan selamat.

Sebab Empat: Cinta
Satu lagi analogi. Kita ada satu ekar kebun. Disebelah kebun kita, ada satu ekar lagi kebun milik orang lain. Kebun kita ini baik. Kita potong semak samun dan kita bagi ia lapang. Tapi kebun jiran kita tidak. Kebunnya penuh dengan semak samun. Bahkan pasti, ada hidupan berbisa seperti ular di kebunnya. Kebun kita tidak ada ular, tapi kebunnya ada ular. Satu hari, ular yang mendiami semak samun itu masuk ke dalam kebun kita. Boleh bayangkan apa terjadi?

Ya. Kita akan dipatuk ular.

Lihatlah sendiri. Kita tidak boleh menjadi baik sorang-sorang. Tidak boleh. Sebaliknya, kita juga perlu ajak 'jiran' kita untuk 'membersihkan kebunnya bersama-sama'. Kesannya jelas, supaya jika datang musibah atas sebab maksiat yang berleluasa, musibah itu akan menimpa semua, bukan sekadar pelakunya. Jangan ingat kita baik, kita selamat. Belum tentu..kerana yang pasti, orang baik pasti tidak mahu jadi baik seorang-seorang, dia pasti mahukan semua orang jadi baik juga- Dakwah!

Sebab Lima: Kerana Islam menjaga.
Dahulu, ketika virus H1N1 sedang menular, semua orang dituntut untuk memakai topeng. Sesiapa yang terkena jangkitan wabak ini pula, akan dikuarantin. Mengapa? kerana kita tahu bahaya nya virus ini.

Virus H1N1 ini kita boleh ibaratkan sebagai dosa. Dosa, sifatnya ialah ia akan merosakkan diri kita, dan juga diri orang lain. Maka, orang yang berdosa ialah orang yang 'memberi ancaman' kepada kita. Mari kita merenung sebentar. Apakah dosa yang memberi manfaat kepada kita?

mencuri? membunuh? mengumpat? mengeji? membuka aurat? berzina? arak? judi?

Inilah dia islam. Dalam islam, apa-apa saja perkara yang memberi mudharat adalah haram, kerana islam menjaga 5 aspek kehidupan. Islam menjaga akal kita. Kerana itu, arak haram. Islam menjaga harta kita. Kerana itu, judi haram. Islam menjaga keturunan kita. Kerana itu jugalah zina diharamkan. Islam juga menjaga diri kita. Kerana itu jugalah Islam melarang kita dari mencederakan diri dengan sengaja seperti ritual agama-agama lain. Dan paling utama, islam menjaga akidah kita. Kerana itu kita dilarang syirik dan khurafat.

Mahu selamat di dunia dan diakhirat?
-Tinggalkan dosa.
-Tinggalkan maksiat.


Dan, ajak manusia dia sekeliling kita untuk meninggalkan dosa serta maksiat bersama-sama kita.

Sebab Enam- Lombong pahala.
Kita banyak dosa. Siapa mahu mengaku bahawa diri dia tidak punya dosa? Dosa dan pahala silih berganti. Jadi, bagaimana mahu menambah pahala?

Pahala adalah seumpama duit. Namun, ia tidak laku untuk membeli apapun kecuali syurga. Hanya syurga sahaja yang mampu 'dibeli' dengan pahala. Dan disisi Allah, atas sebab adilnya Allah, Dia sediakan satu tempat kita menimbang, al mizan.

Disana, kita akan dikira dengan penuh teliti dan adil. Malangnya, nyata dosa kita lebih berat berbanding pahala. Maka, terkulat-kulat kita disitu tercari-cari pahala. Ada kah?

Abu Hurairah r.a. berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda: "Sesiapa yang mengajak ke jalan hidayat, maka baginya pahala seperti pahala (sebanyak pahala) pengikutnya, dengan tidak mengurangi sedikit pun dari pahala mereka. Dan sesiapa yang mengajak ke jalan sesat, maka menanggung dosa sebanyak dosa-dosa pengikutnya, dengan tidak mengurangi dari dosa-dosa mereka sedikit pun" 
-Riwayat Muslim

Sebab Tujuh: Memudahkan amal.
Apakah dakwah yang paling kerap kita dengar? Ya.azan. 'Hayya ala solaah'- mari bersolat. Itu dakwah yang istimewa. Kerana itu, syariat nya hanya 5 kali sehari. Orang yang nak menyeru, pasti akan datang dahulu kepada apa yang diserunya.

Contoh lain. Jika seorang ibu mahu mengejutkan anaknya untuk bangun awal pagi untuk ke sekolah, si ibu harus terlebih dahulu bangun 30 minit lebih awal dari si anak.

Kerana itulah orang yang buat dakwah, mereka lebih mudah untuk beramal kerana ada 2 force yang push mereka, iaitu 'ini perintah Allah' dan juga 'aku ajak orang, aku kena buat lah'. Sekarang, tahulah kita sebab apa kita susah nak beramal, iaitu kerana kita telah meninggalkan dakwah.

Kesimpulan
Dakwah itu seumpama ubat sakit kronik. Kita boleh memilih untuk makan atau tidak, tapi kita sedia maklum akan kesan jika kita tidak makan ubat.

Saya baru jawab persoalan tentang "sebab" dan saya belum menyentuh bab "aku bukan baik untuk berdakwah". Apapun, semoga dengan kehadiran artikel ini, kita menjadi lebih bersyukur kerana diberi mulut dan diberi pancaindera. Moga-moga kita dapat gunakan mereka untuk berdakwah. 

Ingat, dakwah ialah untuk mendapat iman, bukan untuk mendapat habuan dunia...