Forum Techno-Da'ei di UM #1

Forum Techno-Da'ei di UM #1
Saya rasa bersyukur dan bertuah kerana semalam (29 November 2012), buat pertama kalinya dalam hidup saya, saya menerima jemputan untuk menjadi ahli panel dalam satu forum yang cukup besar maknanya kepada saya (terutamanya).
[kredit]
Tekno-da'ei.

Wah. Tajuknya sahaja sudah gempak!

Satu soalan: Siapa itu da'ei? Apa itu da'ei? Power rangers ke?

Da'ei ialah penyeru. Kan Allah sebut dalam al-Quran, surah Fussilat ayat 33,

"Siapakah yang lebih baik daripada orang yang menyeru kepada menyembah Allah, sambil dia sendiri melakukan amal soleh, dan dia berkata, 'Sesungguhnya aku seorang muslim'.

Dalam ayat ini, ada 3 kriteria seorang da'ei.

Pertama: Mengajak kepada menyembah Allah.

Mengajak ini bermaksud kita menyeru setiap lapisan masyarakat supaya melakukan setiap apa yang Allah perintahkan serta meninggalkan setiap perkara yang Allah larang.

Mengajak kepada Allah tidak semestinya mengajak kepada kumpulan itu ini. Bukan juga kepada pertubuhan itu ini. Yang saya perasan, ada segelintir kita bukan mengajak manusia kepada Allah, tetapi mengajak manusia kepada grup-grup atau jemaah-jemaah tertentu yang mana ini adalah satu disiplin dakwah yang sangat salah!

Kedua: Seorang da'ei ialah orang yang paling 'advance' dalam amal soleh.

Bilamana dia kata, "Jom solat di surau", dia sendiri sepatutnya sudah siap berpakaian, berwangian, dan bersongkok atau berkopiah. Atau apabila dia kata kepada orang ataupun tulis di Facebook, "Jauhi zina", dia sendiri sepatutnya berada 50 kilometer daripada ancaman zina iaitu couple.

Hati-hati. Allah memberi ancaman kepada orang yang galak nak ajak orang buat baik, tapi dia sendiri tak buat apa yang dia cakapkan. Fahamkan ayat kedua dan tiga surah As-Saff.

Walk the talk, brothers and sisters!

Ketiga: Seorang da'ei perlu ada izzah (kebanggaan).

Dia bukan seorang yang malu-malu dan takut-takut. Sebaliknya dia seorang yang nekad, dan bersemangat. Kerana itu dia berani berseru, "Saksikan, aku seorang muslim!".

Ada orang nak bawa islam, tapi dia takut dengan persepsi orang lain.
Ada orang nak buat kebaikan, tapi dia takut dengan cakap-cakap orang lain.
Ada orang nak jana perubahan, tapi dia takut dengan halangan pihak lain.

Akhir sekali, tak jadi apa-apalah. Sebab dalam hatinya tak ada rasa bangga, "Ini kerja aku. Ini kemuliaan untukku!"

Soalan bocor masa forum.

[kredit]
Ini kali pertama saya berforum. Jadi saya tak tahu adakah memang setiap panel akan diberikan soalan-soalan bocor?

Saya diberi tiga soalan. Kebetulan, 28 Nov ialah tarikh exam saya terakhir. Jadi pada malamnya, memang saya bersungguh-sungguh membuat persediaan untuk forum keesokan harinya. Tapi entah kenapa (Allah sahaja yang Maha Mengetahui), ada banyak kata yang tak terucap. Ada banyak buah fikir yang tak terlontar. Yang mana, akan saya kongsikan di sini. Harap anda boleh meneruskan bacaan dengan sabar. WOkey?

Pertama: Cabaran teknologi.

Pada saya, teknologi ialah cabaran. Bahkan lebih tepat, ia adalah ujian daripada Allah untuk Allah nilaikan siapa antara kita yang boleh memanfaatkan teknologi yang ada untuk cara yang baik dan benar. Sebab banyak tempat dalam al-Quran yang membawa kita sampai kepada makna itu.

Pertamanya, soalan Allah dalam surah al-Mukminun: "Apakah kamu sangka bahawa Allah jadikan kamu ni untuk bermain-main (tanpa sebab), dan kamu tak akan dikembalikan kepada Allah?"

Soalan ini Allah suruh kita fikirkan jawapannya, tapi bukan untuk kita beritahu Allah apa jawapan kita, kerana Allah telah sediakan jawapan-Nya dalam ayat 2 surah al-Ankabut: "Apakah kamu menyangka kamu akan dibiarkan untuk berkata 'Kami telah beriman!', sedang kamu belum pun diuji?"

Nah. Maknanya hidup ini ialah ujian daripada Allah. Termasuklah di dalam sana, teknologi.

Ini dikuatkan lagi dengan ayat 2 surah al-Mulk, "Yang menjadikan kematian dan kehidupan, untuk menguji kamu siapakah yang paling baik amalannya".

Maknanya, Allah bukan sekadar mahu uji siapa yang menggunakan teknologi yang ada untuk kebaikan semata-mata, tapi Allah mahu juga lihat, siapakah yang paling baik antara yang buat baik.

Atas neraca apa?

"Muslim yang paling baik ialah muslim yang paling bermanfaat kepada orang lain". (H.R Bukhari)

Lagi ramai manusia yang mendapat manfaat daripada satu usaha kita, maka lagi banyaklah ganjaran yang Allah akan beri kepada kita.

Bila kita kata hidup ini ujian, atau dalam bab ini, teknologi itu ujian, maka setiap ujian ada kertas soalannya, ada pemeriksa kertas soalan, dan ada markahnya. Bahkan, ada juga ganjaran dan juga denda kepada pelajar yang gagal.

Kertas ujian, ialah teknologi. Pemeriksa atau yang memberi markah, ialah Allah. Markahnya dan ganjarannya ialah syurga dan dendanya ialah neraka.
[kredit]
Sebab ada hadis yang sangat intim dengan kita, iaitu daripada penceritaan Abu Hurairah r.a, daripada periwayatan Imam Bukhari. Maksud hadis tersebut, "Sesiapa yang mengajarkan atau mencontohkan satu kebaikan yang mana kebaikan itu diikuti, maka orang itu akan mendapat pahala amalan kebaikan yang dibuat oleh orang yang mengikuti, tanpa dikurangkan sedikitpun. Begitulah halnya bagi orang yang menunjukkan dan mengajar kepada kejahatan. Apabila diajar, disebarkan, diperbesarkan, dan dimeriahkan kejahatan, maka sesiapa yang terjerumus dalam kejahatan yang diperjuangkan itu, akan membuatkan orang pertama tadi berdosa (walaupun dia cuma suruh tapi dia sendiri tak buat pun), tanpa dikurangkan walau sedikit pun"

Cerita seorang brader.

Sebelum saya kongsikan cerita ini, saya ada soalan: "Adakah televisyen ini tidak penting?"

Ada seorang abang, dia cukup benci dengan televisyen. Katanya, lebih banyak mudharat daripada manfaat. Saya setuju dalam satu hal, tapi satu hal yang lain saya tak berapa nak setuju. Sebab, sudah ada siaran Tv yang bermanfaat dan rancangan yang bagus-bagus. Contohnya Tv al-Hijrah. Bahkan TV3 yang terkenal dengan keburukan itu pun, ada juga rancangan-rancangannya yang baik dan bagus-bagus.

Tapi bagi abang ini, dia rigid berpegang pada satu kaedah fiqh, 'Apabila bercampur halal dan haram dalam satu hal, maka yang haram akan jadi lebih berat'.

Daripada menapis dan menyaring rancangan Tv, dia akhirnya buang terus Tv dari rumahnya. Hah. Mana ada Tv di rumahnya! Dan anak-anaknya dibesarkan tanpa televisyen. Mulanya memanglah tiada masalah, tetapi apabila anaknya sudah membesar, masalah mula timbul apabila anak-anaknya dibawa berziarah ke rumah sanak-saudara yang ada Tv. Anak-anaknya tadi jadi jakun, hairan, dan keanehan melihat teknologi bernama televisyen!

Agak-agaknya macam Goku semasa kecil, waktu kali pertama dia bertemu Bulma. Masa Bulma memasang Tv, Goku hairan dan terus menghancurkan Tv itu kerana pelik, "Macam mana ada orang dalam kotak kecil itu?"

Hah. Lebih kurang macam tu lah kut.

Lalu saya teringat kata-kata Umar al-Khattab r.a ; "Didiklah anakmu berlainan dengan keadaan kamu sekarang, kerana mereka telah dijadikan oleh Allah untuk zaman yang bukan zaman kamu".

Hari ini, kita berada di zaman ICT. Zaman super technologi. Segalanya di hujung jari. Maka, setiap ibubapa ada peranan yang sangat besar untuk mengajar anak mereka tentang cara untuk mengekstrak manfaat daripada teknologi.

Sebab itu saya hairan dengan sesetengah ibubapa. Mereka boleh berikan anak mereka smart phone, tapi tak boleh memberi panduan kepada anak mereka cara untuk menggunakan smart phone itu dengan betul dan bermanfaat.

Lebih dahsyat, ada ibubapa yang sanggup menonton drama melayu bersama anak-anak. Sungguh! Drama melayu lebih banyak mudharatnya berbanding drama atau filem inggeris. Kerana apabila ia drama atau filem bukan islam, maka anak-anak kita tahu, yang keburukan atau kesalahan yang dilakukan oleh pelakon itu adalah kerana dia orang kafir.  Kita juga tiada masalah untuk explain kepada mereka, "Tu, yang cium-cium tu, yang pegang-pegang tu, yang bunuh-bunuh tu, yang buat jahat tu, semua tu amalan atau perbuatan orang kafir. Orang islam tak boleh tiru."

Tapi drama yang dilakonkan oleh orang islam, akan membuatkan anak kita keliru. "Orang islam tapi pegang tangan? Orang islam tapi peluk-peluk? Orang islam tapi dating? Orang islam tapi rasuah? Ooooo... maknanya boleh lah ya orang islam buat macam tu?"

Oh. Teknologi...

(Saya sudah penat menaip. Saya sambung dalam entry lainlah, insya-Allah).
   

Kahwin Muda.

Kahwin Muda.
Saya mahu berkecuali pada asalnya, tapi siang tadi, saya tercuri dengar perbualan dua orang engineer (senior) saya yang bukan beragama islam.

"Seriously! Umur 12 tahun dah kahwin?", dia tergelak.

"Takut maksiat katanya", temannya menambah. Mereka berdua ketawa. Kedengaran sini.

[kredit]
Pandangan saya.

Sebelum itu, suka saya tegaskan bahawa berkahwin atas alasan mahu elak maksiat ialah satu keputusan yang baik. Saya tak kata itu tak bagus. Tak ada. Tapi, saya melihat bahawa ada satu perkara yang jauh lebih baik dan bagus daripada itu. Bahkan, saya juga melihat kepada beberapa perkara yang saya rasa releven, untuk saya menyokong pandangan saya iaitu; ada yang lebih baik daripada berkahwin kerana takut zina.

Laut yang dalam.

Pernah tak kita dengar pepatah, "Jangan membina rumah di tepi pantai, jika takut dilanda ombak".

Saya rasa pepatah ini sangat releven dengan orang yang takut terjebak ke kancah maksiat dan perzinaan.

Mengapa?

Kerana Allah tegaskan dengan setegas-tegasnya dalam ayat 32 surah al-Israk, "JANGAN DEKATI ZINA", dan ayat itu Allah akhiri dengan penegasan, "Sesungguhnya ia adalah perkata yang amat sangat keji".

Allah faham manusia. Kerana, Allah yang ciptakan kita. Allah tahu naluri dan sifat kita. Kerana Dia yang jadikan kita. Atas ilmu-Nya, Allah memberi kita amaran berupa satu perintah, agar kita jauhi zina. Larangan ini bukan sekadar, 'Jangan buat' tetapi ia bermula seawal "Jangan cuba mendekat!".

Oleh itu, saya melihat masalah orang yang terancam untuk berzina, ialah kerana dia telahpun mendekati zina itu sendiri.

Melalui jalan apa?

COUPLE.

Bukan saya nak marah. Tidak. Cuma, saya nak menimbulkan kesedaran, atas kesilapan kita.

Kita merasakan, "Kami keluar jalan-jalan sahaja. Bukannya pegang-pegang, bukannya cium-cium pun".

Kita tak merasakan itu kesalahan. Jauh sekali merasa itu satu dosa dan pengkhianatan kepada ibubapa dan Allah Taala.

Orang yang usianya masih muda hijau, tapi sudah terjebak dengan perhubungan yang intim (walaupun atas nama sahabat), maka saya tak terkejut jika mereka akan menyebabkan seorang bayi yang comel, dilahirkan. Pun comel, bayi lemah itu terpaksa menerima hakikat bahawa kehadirannya atas dunia ini hanyalah masalah!

Dan ya, bayi itu akan haramkan lidahnya selama-lamanya untuk memanggil lelaki yang memandangnya dengan benci itu ayah, dan diharamkan juga lidahnya untuk memanggil gadis muda yang meleleh air matanya sesal itu sebagai ibu.

Orang yang bercouple tak fikir kan macam ni?

Sebab mereka sedang berbuat maksiat. Orang bermaksiat ialah orang yang dicintai dan dikasihi Iblis dan syaitan. Maka, sudah tentulah syaitan akan membuatnya merasa elok perbuatannya bercouple itu.

Ah, bukankah Allah sendiri yang berkata bahawa syaitan itu menyesatkan manusia salah satunya dengan menghiaskan kejahatan mereka hingga nampak cantik dan molek di mata pelakunya.

Itulah yang berlaku kepada orang yang bercouple. Rabun dan buta.

Kesimpulan.

Senang sahaja nak elak diri daripada berzina.

Tak payah bercouple. Thats it.

"Tapi, macam mana nak kenal dengannya?"

Oh. Korang ingat kalau duk dating dan keluar sama-sama, dan berbalas SMS tiap malam, korang sudah kenal dengan dia?

Ingat apa kata seorang ulama silam (yang saya takut-takut saya silap namanya), "Jika 20 tahun pun kamu berpacaran, yang kamu kenal selama 20 tahun itu cumalah lakonannya".

Orang bercinta, sudah tentulah mahu kelihatan sempurna dan elok sahaja di hadapan mata orang yang dicintanya. Maka, yang dipaparkan hanyalah kesempurnaan, sedangkan itu cuma setitis air di lautan. Yang selebihnya ialah keburukan, dan itulah yang dirahsiakan.

Sebab itulah bila ada orang menelefon Ustazah Norhafiza Musa di radio IKIM dan mengadu masalah rumah tangganya, ustazah berpesan, "Banyakkan bertaubat. Kerana mungkin kesukaran dan masalah yang datang dalam rumah tangga ini adalah kerana kesilapan kita sebelum kahwin. Mungkin kita masuk ke alam perkahwinan dengan jiwa yang penuh dosa akibat perhubungan intim (walaupun belum berzina lagi) saat sebelum kahwin itu".

Bukan nak bongkak, tapi saya berani kata yang saya tak risau saya akan terjebak dengan zina, KECUALI jika roomates saya nak buat pedajal saya, dengan mengupah seorang pelacur cantik, dan mengurung saya dengan pelacur itu dalam bilik dan menggoda saya.

Hah. Yang itu saya tak tahulah apa nasib saya. (Nauzubillah)

Sebab, kata-kata Allah sendiri tentang Nabi Yusuf dalam surah Yusuf ayat 24, "Dan Yusuf pun berkehendak kepadanya, jika sekiranya dia tidak melihat (tanda kebesaran) dari Tuhannya"

Allah sedang beritahu kita bahawa setiap manusia mempunyai nafsu. Bezanya para Rasul, nafsu mereka dididik dan dijaga secara langsung dan terus oleh Allah.

Maha Suci Allah, yang Maha Mengenali setiap makhluk-Nya.

Bila Allah kata jangan dekati tu, jangan dekatilah...

Kalau tak, it is just a matter of time and chance, untuk kamu berzina!
 
Muda untuk bahagia.

Kerana saya fikir, masa muda ini lebih penting untuk diisi dengan soalan-soalan seperti, "Apa yang aku boleh sumbangkan untuk islam", berbanding "Macam mana aku nak kahwin ni? tak tahan dah ni!"

Tapi yang sebenarnya, saya pun memang ada perancangan saya sendiri :D

Tapi yang saya rancangkan bukan hanya duit dan pekerjaan, tapi persediaan ilmu dan emosi. Jika hari ini, bertahajjud walau seminggu sekali pun saya rasakan sukar, maka sudah tentulah belum masanya lagi untuk saya bernikah. Jika hari ini, hafazan saya setakat surah-surah pendek yang memang pendek, maka sudah tentulah saya tak mampu untuk tanggungjawab yang lebih besar daripada itu.
[kredit]
Pernikahan memerlukan kita untuk berfikir tentang tanggungjawab, kerana tanggungjawab ialah perkara yang tak akan selesai sehingga kita mati. Jangan difikirkan tentang nikmat rumah tangga, kerana nikmat itu satu masa nanti, akan terasa basi.

Cuma itulah. Foundasi yang tiris, akan menjanjikan ketirisan iman, dan daripada ketirisan iman inilah, rumah tangga yang dibina cepat roboh dan berkocak.

#Semoga Allah beri kita kefahaman tentang maksud 'setia di dalam mencintai', kerana jika kepada Allah pun kita tak mampu setia mencintai, maka jangan bermimpi yang kita akan mampu untuk mencintai makhluk ciptaan-Nya.
 
   

Antara kemanusiaan dan kewajipan. Apa pendirian kita?

Antara kemanusiaan dan kewajipan. Apa pendirian kita?
 
Dalam satu sesi pertemuan dengan adik-adik minggu lepas, salah seorang bertanya kepada saya, "Bang, ada orang cakap kita sokong Palestin sebab kemanusiaan. Boleh ke macam tu?"

Saya senyum.

"Kita menyokong perjuangan rakyat Palestin bukan lagi kerana isu kemanusiaan tetapi kerana ia kewajipan kita", jawab saya.

Saya melihat adik itu mengangguk. Saya harap dia faham.
[kredit]
Palestin yang tak pernah jauh dari hati

Saya antara salah seorang daripada jutaan manusia yang 'like' page Activists around the world for Palestine. Hampir setiap jam, satu gambar baharu akan dimuat naik ke laman Activist around the world for Palestine, menunjukkan bantahan demi bantahan atas kekejaman Israel yang dilakukan di seluruh dunia.

Dari Timur, hingga ke Barat.

Dari Utara, hingga ke Selatan.

Negara umat islam dan negara umat bukan islam, sama-sama hebat dan bersungguh dalam meluahkan meluat, kebencian, dan penolakan mereka atas kekejaman Zionis yang mempunyai rekod buruk sebagai pembunuh kanak-kanak dan kaum wanita yang tak berupaya.

Bahkan jika kita ikut perkembangan sosial, di beberapa tempat seperti di Sweden, syarikat-syarikat yang berkiblatkan Yahudi, diboikot habis-habisan hingga terpaksa ditutup. Muflis. Dan demonstrasi yang mereka (orang Eropah) dilakukan bukan bermusim dan berkala seperti di Malaysia ini.

Di sana, mereka faham apa itu istiqomah.

Alang-alang mahu boikot dan menghalang pembunuhan besar-besaran ini daripada berterusan, mereka boikot hingga syarikat Yahudi gulung tikar. Bersungguh-sungguh, dan bukannya melepaskan batuk di tangga!

Hingga saya hairan sendiri, siapa sebenarnya saudara kepada rakyat Palestin? Siapa sebenarnya yang seakidah dengan penduduk Gaza?

Kita atau mereka?

Dalam al-Quran, banyak tempat yang Allah ceritakan tentang persaudaraan. Yang saya ingat, ada satu tempat dalam surah at-taubah. Ada juga dalam surah Ali-Imran, dan ada juga dalam surah al-Hujurat, dan surah-surah yang lain.

Saya ada lebih kurang 2000 teman di Facebook, dan sudah beberapa kali saya menemukan kata-kata yang berbunyi mirip begini, "Kenapa sibuk-sibuk sangat dengan orang Palestin. Orang Malaysia sendiri pun ramai yang susah".

Manusia jika ada iman, dia akan haramkan lidahnya berkata begitu.

Di Palestin, tak sama dengan di tanah air kita. Di sini, kita hanya memerangi syahwat. Kita berperang dengan nafsu rakus kita, dan kita juga memerangi nafsu rakus pemimpin-pemimpin dan menteri-menteri kita, yang sewenang-wenangnya memakan harta negara secara zalim

Tapi di sana, di Palestin, mereka berperang dengan harta dan jiwa mereka. Mereka pertaruhkan wang ringgit mereka dan juga nyawa mereka. Sekelumitpun mereka tidak takutkan kematian. Yang mereka takutkan ialah jika datang ke dalam diri mereka, rasa bacul, takut, dan gerus terhadap Zionis laknatullah.

Mereka di sana berdepan dengan krisis nyawa. Anak-anak kecil menjadi sasaran pembunuhan. Tahu mengapa?

Kerana mereka sedang membuat ethnic cleansing. Mereka mahu menghapuskan dan memupuskan bangsa Palestin daripada bumi. Mereka hanya mahu membiarkan orang mengenali bangsa Palestin ini dalam lembaran-lembaran buku dan risalah. Zionis mahu melakar satu perenggan dalam sejarah dengan berdakwatkan darah rakyat Palestin.

Kita? Apa peranan kita?

Sudah tentu kita perlu membenci. Kerana Yahudi laknat itu, walaupun peluru-peluru mereka tak menembusi dinding-dinding rumah kita, tapi ia telah lama menembusi dinding-dinding kesabaran kita.

Bagaimana mungkin kita boleh bersabar melihat anak-anak kita dibunuh, dibakar, ditembak, dikelar, dibom, dan dihancurkan oleh anjing-anjing Yahudi?

Sungguh. Setiap darah mereka yang tumpah, Allah akan tanya kepada kita, "Apa yang kita lakukan untuk membantu saudara-saudara kita?"

Kita kena faham. Kita beragama islam. Dalam agama ini, Allah mempersaudarakan kita atas talian iman. Kita menyembah Tuhan yang sama, walau bahasa kita berbeza. Walau kulit kita berbeza. Walau tinggi kita berbeza. Walau budaya kita berbeza.

Allah mempersaudarakan kita melepasi batas geografi dan batas zaman. Seorang lelaki yang bersaksi Tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah dan Nabi Muhammad itu pesuruh Allah, walaupun dia tinggal di dalam tanah di kutub utara sekalipun, tetap dia saudara kita.

Sesama saudara, ada tugasnya dan tanggungjawabnya.

Kita bertanggungjawab membela mereka. Mereka diperangi, kita wajib membantu mereka. Mereka kesusahan, kita wajib menolong mereka. Mereka kesakitan, kita wajib merawat mereka. Mereka kesempitan, kita wajib melapangkan mereka.

Dengan apa?
Sesungguhnya Allah telah membeli daripada orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan balasan Syurga, mereka berjuang pada jalan Allah maka di antara mereka ada yang membunuh dan terbunuh. Balasan Syurga yang demikian ialah sebagai janji yang benar yang ditetapkan oleh Allah di dalam Taurat dan Injil serta Al-Quran. Dan siapakah lagi yang lebih tepat janjinya daripada Allah? Oleh itu, bergembiralah dengan jualan yang kamu jalankan jual-belinya itu, dan ketahuilah bahawa jual-beli yang seperti itu ialah kemenangan yang besar. (At-Taubah ayat 111)
Kita lemah dan tak mampu menyandang senjata. Tapi kita ada wang. Kita ada naluri. Kita ada iman. Tapi kenapa tidak memberikan sumbangan, jika punya wang?

Mengapa tidak menzahirkan simpati, jika ada nilai kemanusiaan?

Mengapa tidak menjauhi sifat musuh kita, jika ada iman?

Sungguh.

Yahudi tak gentar dengan sumbangan kita kepada rakyat Palestin. Kerana mereka ada sponsor yang jauh lebih besar, iaitu syarikat-syarikat Yahudi yang didokong umat islam sendiri dan juga Amerika Syarikat yang banyak menyumbang.

Yahudi tak gentar dengan simpati kita. Mereka sudah kalis dengan caci maki kita, dan rakyat Palestin sendiri pun sudah kenyang dengan deklarasi itulah, pertemuan inilah, perjanjian itulah, undang-undang inilah dan sebagainya. Sudah muak! Kerana jika nilai simpati hanya pada bibir, maka sesiapa sahaja pun boleh bercakap.

Yang ditakuti oleh Yahudi hanyalah apabila umat islam kembali mahu berpegang teguh dengan agama Allah. Apabila umat islam mula ada kesedaran, mula menjalankan syariat Allah dalam seluruh sisi kehidupan, maka Yahudi akan mula ketar lutut dan ketakutan.

Hari ini, Malaysia masih dianggap sebagai 'under control' kerana telah sampai kepada mereka analisa-analisa yang telus tentang kehidupan beragama rakyatnya. Manakan tidak. Melawan godaan skrin sendiri pun kita kalah, MUSTAHIL kita akan mampu melawan mereka!

Drama di televisyen sahaja sudah cukup membuatkan solat kita lewat.

Filem terbaru di panggung sahaja sudah cukup membuatkan kita beratur panjang dan bersungguh-sungguh.

Game terbaru di smart phone sahaja sudah cukup membuatkan kita tidak mengendahkan panggilan ibubapa, apatah lagi panggilan Allah untuk bersolat.

Hinanya kita.

Hinanya kita.

Dan hari ini, saya terfikir sesuatu. Banyak manakah yang telah saya sumbangkan kepada perjuangan mujahidin Palestin?
[kredit]
Teringat saya kepada satu kisah yang disandarkan kepada seorang ulama salaf bernama Abdullah Bin Mubarak. Satu ketika dia pergi menunaikan haji dan tertidur lalu bermimpi. Dalam mimpinya, dia terdengar perbualan, "Jemaah haji tahun ini semuanya tertolak. Tiada seorang pun yang mendapat haji yang mabrur".

Lalu satu suara membalas, "Ada. Ada seorang sahaja yang beroleh haji yang mabrur"

Dan suara itu menjelaskan dan menceritakan tentang orang yang dimaksudkan. Tempat tinggalnya, namanya, dan semuanya dijelaskan dengan terperinci.

Abdullah Bin Mubarak terjaga dan terus dia pergi mencari orang itu. Apabila ditemui orang itu, dia lantas bertanya, "Aku bermimpi bahawa kamu mendapat haji yang mabrur. Apa amalan kamu wahai lelaki?".

Lelaki itu terdiam seribu bahasa. Dengan sebak, dia lalu bercerita, "Aku seorang yang miskin dan mempunyai cita-cita yang sangat tinggi untuk menunaikan haji. Jadi aku pun mengumpul wang hasil pekerjaanku. Sedikit demi sedikit ku kumpul hingga sampai jumlah yang boleh membuatkan aku sampai menunaikan haji. Tapi suatu hari, aku mendengar suara tangisan anak-anak tetanggaku. Aku cuba siasat, lalu ku dapati rupanya anak-anak kecil itu menangis kelaparan kerana hampir-hampir sahaja mati kebuluran. Si ibu itu sendiri buntu dan tak tahu lagi apa apa yang perlu dilakukan untuk menyuap mulut anak-anaknya. Aku menangis. Lalu, aku sedekahkan seluruh wang simpananku untuk haji kepada ibu dan anak-anak itu"

Cerita ini sudah lama diberitakan daripada lisan, kepada saya. Jadi saya tak berapa ingat sanadnya. Yang saya ingat cumalah pengajarannya.

Dan saya terfikir sesuatu. Apa ertinya saya berduit, jika sumbangan saya terhadap perjuangan membebaskan al-Aqsa, masih jauh kurangnya berbanding segala duit yang saya habiskan untuk saya bersenang-senang dengan teknologi, dengan makanan yang enak-enak, dengan pakaian yang cantik-cantik, dan seumpamanya.

Ah.

Betapa jauhnya saya dengan peribadi seorang syuhada'.

#menangis.
 

Musuh jin dan musuh manusia

Musuh jin dan musuh manusia
Saya memandang langit. Wajahnya yang sedang berduka menyebabkan saya turut simpati. Saya mencerlung pada matahari. Wajahnya yang ganas membuatkan saya turut gerun. Dan saya memandang pada skrin informasi. Tahulah saya, kepada siapa langit bersimpati. Dan tahulah saya kepada siapa matahari berdendam kesumat.

Sungguh, seakan terasa perit mereka, rakyat Gaza. Seakan terdengar jeritan tangis mereka. Seakan terlihat cebik wajah musuh, siap untuk meratah mereka.

Tapi Allah berjanji. Dan janji Allah, segalanya yang pasti. Mereka akan dimenangkan. Cumanya nanti, saat semuanya beratur panjang atas pentas pemenang, kita risau yang tangan kita tergari, hingga untuk bersorak dan tersenyum pada mereka pun, kita tak upaya.

Nauzubillah.
[kredit]
Jadi, atas maksud itulah saya menulis artikel ini.

Agar kita kenal siapa sahabat siapa seteru. Agar kita tahu, siapakah yang perlu kita sayang, dan siapa pula yang perlu kita benci.

Pepatah melayu ada menyebut, "Tak kenal maka tak cinta".

Dek kerana itu, saya hairan dengan orang yang berkata "Kita bersaudara" tetapi usahkan untuk cinta, untuk peduli pun tidak sesekali.

"Sudah memang nasib mereka begitu", seakan melekat satu lapisan pekat yang menghalangi deria kemanusiaan daripada menghidu urusan ummat, tetapi deria kehaiwanan pula yang terfokus, menyentap keegoan diri!

Benar. Kita masih aman. Tapi aman kita, aman bermaksiat! Aman kerana ikutkan telunjuk Yahudi. Aman kerana ikutkan teladan Nasrani.

Kita cenderung kepada muzik, tapi jauh dengan zikir.
Kita dekat dengan maksiat, tapi jauh dengan ibadah.
Kita perjuangkan hak asasi, tapi tak peduli hak kepada Tuhan.

Inilah keamanan, yang tak aman-aman!

Adapun satu lagi kata-kata, "Tak kenal maka tak benci", dan kata-kata itu kita guna pakai kepada syaitan daripada jin serta manusia. Kerana sedari awal, saya telah tegaskan bahwa syaitan itu musuh. Selayaknya dibenci. Selayaknya dicela. Selayaknya dipukul, ditampar, disakiti!

Tetapi bagaimana kita mahu membenci jika sekiranya kita sendiri tak pasti apa yang mahu kita benci!

Saudaraku, ketahuilah untukmu bahwa syaitan itu menderu di dalam badan kita bersama lorong-lorong sempit aliran darah merah pekat nan mengalir!

Adapun syaitan dalam kalangan manusia, mereka tak menjalari pembuluh darah kita dan kita boleh nampak. Tapi hakikatnya, peranan dan misi mereka sama sahaja. Satu platun yang sama. Cuma modus operandi sahaja yang mungkin berbeza.
[kredit]
Allah, disaat melaknat Iblis dan menghalaunya keluar dari tempat yang mulia dari syurga, sempat mengkabulkan permintaan Iblis, berupa usia yang panjang hingga kiamat, dan peluang untuk menggoda bahkan menyorong manusia kepada jalan nereka. Allah izinkan, tapi Allah terangkan di sana bahawa hanya satu golongan yang syaitan takkan mampu menyentuhnya, iaitu golongan yang mukhlis (ikhlas).

Dari luar, dari dalam, di tengah-tengah, ikhlas menjadi penghalang. Iblis dan syaitan bukan baru hidup setahun dua. Sudah berpuluh bahkan beribu umat manusia yang berjaya mereka sesatkan. Sudah berjuta manusia yang mereka rekrut sebagai tentera syaitan dalam versi manusia. Jadi, kita sendiri pun perlu berjaga-jaga. Kita juga mungkin akan disesatkan jika kita tak memiliki pengetahuan tentang daripada jalan manakah kita digoda.

Mengajak manusia untuk kufur dan memusuhi Allah.

Setakat hari ini, sudah ramai yang kufur dan sudah banyak yang bermusuh dengan Allah. Buktinya? Mereka mencabar-cabar ketetapan Allah. Terang-terangan mengkritik syariat. Kononnya memakai tudung ialah simbul penindasan. Melaksanakan hudud ialah kezaliman. Berpuasa ialah penyekat produktiviti dan seumpamanya. Bahkan, banyak juga NGO yang menggunakan nama islam, mengajak wanita dan orang awam supaya membenci syariat. Dasar syaitan manusia!

Mengajak kepada bid'ah.

Ini jalan kedua, dan terbukti berkesan untuk menyesatkan manusia. Manusia beramal ibadah atas persangkaan, Allah akan suka dengannya. Tetapi sebenarnya dia makin jauh dengan Allah. Sebab itu kita perlukan ilmu. Ilmu datang dahulu sebelum amal. Kerana kita nak tahu, apakah yang kita mahu amalkan itu benar-benar ada sandaran dan ada ruang keizinannya oleh syariat islam.

Terjerumus dalam dosa besar.

Dosa besar ini ada banyak. Imam az-Dzahabi ada mengarang satu kitab yang namanya Al-Kabaair. Menurut Imam az-Dzahabi, ada lebih kurang 70 dosa besar yang wajib kita jauhi dengan sejauh-jauhnya.

Antaranya;

Syirik, membunuh, mengamalkan sihir, MENINGGALKAN SOLAT, tak bayar zakat, tak puasa ramadhan, tidak berhaji selepas ada kemampuan, DERHAKA IBUBAPA, memutuskan hubungan kekeluargaan, zina, homoseks, RIBA, makan harta anak yatim secara zalim, berdusta atas nama Allah, lari daripada medan perang, PEMIMPIN ZALIM DAN MENIPU, sombong dan bongkak, menjadi saksi palsu, minum arak, berjudi, menuduh zina kepada orang yang baik, menipu hasil rampasan perang, mencuri, merompak, SUMPAH PALSU, mengaiaya, memungut cukai secara zalim, memakan yang haram, bunuh diri, bohong, hakim yang zalim, menerima dan memberi rasuah, WANITA MENYERUPAI LELAKI dan LELAKI MENYERUPAI WANITA, dayus, perkahwinan cina buta, tidak bersuci selepas kencing, riya', mencari ilmu tapi menyimpan ilmu, khianat, mengungkit-ungkit pemberian, mengingkari takdir, mencari salah orang lain, FITNAH DAN ADU-DOMBA, mengutuk (melaknat) orang islam, INGKARI JANJI, percaya pada bomoh yang sesat, isteri yang nusyuz, melukis gambar (berhala), meratap kematian, mengganggu orang, berbuat buruk, MENGGANGGU TETANGGA, menyakiti dan memaki umat islam, MENYUSAHKAN MANUSIA, melabuhkan pakaian atas maksud riya', memamakai sutera dan emas (tulen) bagi lelaki, hamba yang melarikan diri, menyembelih untuk selain Allah, mengaku ayah kepada anak yang bukan anaknya, BERDEBAT ATAS MAKSUD PERMUSUHAN, enggan memberi kelebihan air, mengurangi takaran, merasa aman daripada kemurkaan Allah, mengganggu para wali Allah, MENINGGALKAN SOLAT JEMAAH, meninggalkan solat jumaat tanpa uzur, menzalimi wasiat, tipu helah, MENGINTIP RAHSIA ORANG ISLAM dan akhir sekali, mencela sahabat Nabi.

Melakukan dosa kecil

"Takpe. Dosa kecik ni ambil wuduk pun terampun"

Ha. Kalau kita berasa sebegitu, maknanya kita sedang dalam masalah besar. Kerana orang beriman itu, mereka memandang satu dosa kecil seumpama mereka sedang berdiri di tepi gaung. Bila-bila masa saja boleh jatuh mati. Tapi orang fajir pula, dialog dia macam di ataslah. Dia rasakan yang dosa ni macam lalat yang hinggap atas hidung sahaja. Dikibaskan tangan, maka larilah lalat itu.

Perlu diingat. Dosa kecil itu kan menjadi besar jika sekiranya kita berterusan melakukannya, dan juga berbangga, seronok, dan menceritakan pula tentang perihal dosa kita kepada orang.

Berlebihan dalam perkara yang harus.

Allah tak suka manusia yang berlebih-lebih. Dalam urusan makan, berbelanja, pakaian, dan segalanya. Yang Allah suka ialah bersederhana. Manusia, jika dia tidak berjaga-jaga dengan perkara yang harus, maka dia akan terdorong untuk dilalaikan. Dilewatkan solat. Baca Quran entah ke mana. Istighfar entah cukup tidak 100 kali sehari. Solat dhuhanya... dan macam-macam lagi. Padahal Allah ciptakan manusia untuk manusia beribadah. Bukannya matlamat dijadikan manusia itu untuk dia ber Facebook, untuk dia makan-makan, melancong, dan seumpama. Benda itu diizinkan, tapi jangan berlebihan dan menyebabkan terabainya tugas utama kita iaitu beramal ibadah sebelum mati.

Beramal dengan amal yang tak afdhol.

Dah susah sangat nak goda manusia, akhirnya setan ajak kita beramal. Tapi dia akan kacau amalan kita.

"Cukuplah dengan solat fardu aja", kata syaitan. Lalu kita pun rasa sudah besar diri, rasa sudah cukup bagus, rasa sudah soleh, dengan hanya benda fardu. Tak terdetik pun dalam hati kemahuan untuk melakukan ibadah sunat.

"Baguslah kau", sekali lagi syaitan menabur racun.

Maka kita pun angguk bersetuju. "Betul. Betul. Aku memang bagus. Compare dengan kawan-kawan aku, huh... diorang lagilah takleh harap". Riya dan ujub mula mendekat mengaku kembar kita.

Dalam islam ada fiqh aulawiyat (fiqh keutamaaan). Ada benda yang utama berbanding yang tak utama. Inilah namanya afdhol. Contohnya, antara solat sunat dengan memuliakan tetamu, sudah tentulah tetamu yang berziarah lebih patut kita utamakan. Antara berdakwah dengan beribadah sunat, maka tentulah dakwah itu lebih utama.

Macam itulah.

Sekarang kita dah kenal bagaimana caranya setan melemaskan kita. Apa yang kita perlu buat sekarang pula ialah, kita melemaskan pula mereka dengan ketaqwaan kita!

   

Dunia

Dunia
Saya terbaca satu hadis selepas solat asar tadi, yang mana kata Rasulullah S.A.W, jika seorang bidadari syurga dibawa turun ke dunia, maka akan bercahaya-cahayalah bumi ini. Harumnya, oh... dari syurga hingga ke bumi baunya. Bahkan tambah Baginda S.A.W lagi, selendang wanita bidadari syurga sendiri adalah lebih bernilai, lebih indah, lebih cantik daripada dunia dan seisinya!

Subhanallah.

Makanya, saya terfikir dan terbayang.

Bagaimana agaknya Allah akan memperlakukan para wanita syurga, apabila nanti di dalam sana, mereka akan menjadi penghulu dan ketua kepada segala bidadari syurga.

Kerana membayangkan betapa indahnya syurga, saya teringat kembali kepada seekor bangkai anak kambing yang cacat. Bangkai yang ditemukan oleh Rasulullah S.A.W dan para sahabat Baginda dalam permusafiran.

"Apakah kamu mahu jika aku berikan kamu bangkai ini?", soal Rasulullah S.A.W. Sukar dijangka apa maksud Baginda.

"Wahai Rasulullah. Jika ia hidup pun aku tak mahu terima kerana kecacatannya. Inikan pula selepas ia jadi bangkai!", berkata sahabat Baginda. Spontan.

"Nah. Itulah dunia".

Hingga saya terfikir. Apakah sebenarnya yang saya bangga-banggakan atas dunia ini, yang saya kejar sepenuh hati, yang saya usahakan segenap tenaga. Adakah semata-mata untuk bangkai seekor anak kambing yang cacat ini?

Maka benarlah kata Imam Syafie, "Dunia ini ibarat bangkai. Yang mengejarnya hanyalah anjing".

Kita fokus dengan dunia hingga kita abaikan urusan akhirat. Solat berjemaah sesekala. Berasa puas pula dengan solat yang sendirian dan dikerjakan dalam akhir-akhir waktu.

Berasa cukup dengan belajar agama di sekolah rendah dan menengah sedang tak berasa jemu untuk sambung ijazah, sambung phD.

Berasa cukup dengan puasa Ramadhan, sedangkan tak berasa cukup dengan makan sepinggan.

Berasa cukup membaca Yassin saat ibubapa atau saudara meninggal, tapi tak berasa cukup membaca novel cinta, gosip, dan cerita sensasi artisan.

Berasa cukup ke masjid seminggu sekali, tapi tak berasa cukup ke padang bola dan panggung wayang.

Betullah, dunia ini tiada nilai.

Hanya jambatan yang menghubungkan negeri akhirat.

Hanya transit seketika, sebelum ke destinasi sebenar.

Maka, benarlah tafsiran Saidina Ali R.A terhadap apa yang kita doakan setiap hari sebagai 'fii dunya hasanah (kebaikan di dunia)'; iaitu kebaikan di dunia ialah memiliki isteri (pasangan) yang solehah.

Kerana cukuplah dunia ini terasa seperti di syurga, apabila memiliki seorang teman daripada jiwa yang mengajak dan berpimpinan ke Jannah!

Dunia,
Jangan perbudakkan aku.

Dunia,
Jangan perkudakan aku.

Dunia,
Jangan perbodohkan aku.

Kerna kamu bukanlah matlamatku!
 

Lelaki di bawah kubah al-Aqsa.

Dalam dunia ini, ada dua benda sahaja yang tajam. Pertama, mata pedang. Kedua, mata pena.

Apa yang saya baca dari Facebook Ibnu Batoota, serasa saya, adalah antara yang barisan perkataan yang paling tajam pernah menikam hati ini. Mujur, tajam ini bukan yang membinasa. Syukur, tajam ini untuk memperkasa.

Tadi di kelas fiqih mazhab syafie, ustazku yang selama aku belajar dengan dia memakai serban putih tiba-tiba datang kelas dengan serban hitam dan mukanya penuh kesedihan dan matanya cengkung dan lemah. Salah seorang dari kami bertanya, "Maulana nampak cantik hari ni dengan serban hitam". Beliau merenung kawanku dengan muka serius dan berkata, "Memakai serban hitam semasa perang hukumnya sunat, nabi dan sahabat memakai serban hitam semasa perang. Telah sampai berita kepadaku bahawa saudara kita di palestin sedang dibunuh, dan daku sangat ingin ke sana berjihad bersama mereka, aku tak dapat tidur beberapa hari dan tak lalu makan beberapa hari, aku sangat ingin membantu tapi daku tiada kemampuan, daku jauh disini, maka aku keluar dari rumah hari ini dengan niat jihad. Sekiranya ada yang sudi membawaku kesana, sekarang juga aku sedia. Sebab itu daku memakai serban hitam pada hari ini... dengan harapan walaupun aku tak dapat ikut jihad tapi aku sangat berharap di akhirat nanti Allah tidak golongkan aku dalam golongan yang pengecut seperti tikus! Aku tidak mahu digolongkan sebagai muslim yang tidak pedulikan muslim lain. Di Amerika kalau seekor anjing mati dibakar, seluruh dunia kecoh anggap ia zalim, sedangkan di palestin bayi muslim, saudara muslim, ibu muslim, ayah muslim dibunuh sewenang-wenangnya tidak ada yang hiraukan? Bagaimana mungkin seorang muslim mampu suapkan makanan dengan tenang dalam mulutnya sedangkan di sana saudaranya dibunuh diseksa? Sekarang ini dunia hanya dipenuhi perempuan sebab lelaki-lelaki semua sudah jadi pondan! Tidak ada LELAKI dalam umat pada hari ini....

Saya berkata jujur.

Walaupun saya aktif, kecoh, galak, bersemangat dalam menyatakan sokongan kepada rakyat Palestin, kecoh, galak dan bersemangat juga menyatakan benci kepada Israel, satu yang saya tahu tentang diri saya...

Saya belum berani untuk mati syahid.

Wallahi.

Saya tahu kelebihan mati syahid. Saya tahu betapa besar, betapa hebat, betapa lumayan, betapa tinggi ganjaran mati dalam perjuangan ini. Tapi, jikalah datang penyeru, "Sesiapa yang sanggup berjuang ke Gaza, sila beri nama. Kita akan hantar ke sana dalam masa terdekat",

Maka saya bimbang, saya tak sedia. Saya tidak menyatakan kesanggupan. Saya, yang pengecut. Yang bacul. Yang pondan.

Lalu saya terfikir. Sebenarnya apakah harga darah-darah yang mengalir itu? Sebenarnya apa harga air mata yang tidak mampu diseka itu?

Adakah hanya untuk gambar mereka di ambil, kemudian kita beramai-ramai klik 'Like' dan kemudian, 'Share'. 

Atau hanya untuk kita tulis, "Celaka Israel!"

Tetapi dengan kehidupan kita, sama. 

Tiada apa yang berubah.

Tiada amalan soleh yang meningkat.

Cuba tanya hati kita.

Berapa banyak iman kita telah bertambah saat melihat pergolakan di tanah air adik-beradik kita? 

Adakah solat kita makin khusyuk?
Adakah hidup kita makin tawadduk?
Adakah kita makin qanaah?

Atau, kita hanya berslogan, "Aku cukup benci Israel", tapi kehidupan kita masih lagi menurut apa yang mereka mahukan, iaitu kita bertuhan hanya dalam urusan solat. 

Kita,

Masih ada masa untuk memuaskan nafsu kita,
Berhibur,
Makan-makan,
Bergelak ketawa dengan galaknya,
Bergossip, berdating, berkhalwat.

Bukankah ini yang Yahudi mahukan daripada kita?

Solat subuhnya jam 6.30 pagi. Tiada berjemaah, jauh sekali tahajjud.
Al-Quran yang dipandang dengan ekor mata. Tidak dibaca, jauh sekali dihayati.
Buku agama yang disisihkan. Tidak diteliti, jauh sekali dipelajari.

Oh. Itulah kita. Lelaki dan wanita yang bacul! 

Kerana itu saya berazam, agar dengan leleh-leleh darah mereka, sebati dengan darah saya. Saya mahu berubah. Saya belum sanggup untuk syahid. Tapi saya tak pernah padamkan harapan untuk kematian semulia itu. Makanya, saya perlu berubah.

1- Kurangkan minit-minit di Facebook, kerana pemuda Palestin tak pernah ada masa untuk online pun!
2- Banyakkan berlapar, kerana kanak-kanak Palestin tak pernah kenyang pun!
3- Banyakkan mentelaah buku agama, kerana agama ialah satu-satunya senjata mereka.
4- Banyakkan mengulang kaji tentang bidang saya, kerana ia satu alat yang akan saya gunakan untuk membantu sahabat saya di sana.
5- Kurangkan tidur, kerana mereka di sana hanya mengenali tidur sebagai syahid.

Saya, hanya ada lima yang mana amaun ini sebenarnya terlalu kecil. Rasanya, walaupun saya berjaya mencapai apa yang saya hajatkan di atas, saya masih jauh lebih hina daripada seorang kanak-kanak Palestin yang usianya 5 tahun.

Kanak-kanak yang tidak takut mati. Bahkan berimpian untuk mati mulia.

Dan saya, yang masih takutkan mati.
Sedang saya tahu, merah di baju saya ialah darah mereka!

Darah kalian, darah kami juga,
Palestin, jangan cela kami,
Tetapi doakanlah kami,
Agar nanti kamilah lelaki,
Di bawah kubah al-Aqsa.

 Kita bercakap dalam dua bahasa yang berbeza tetapi kita saling memahami kerana bahasa hati kita adalah bahasa yang sama, kerana mengimani perkara yang sama.   
     

Satu Malaysia wasatiyyah

Saya sebenarnya terkilan, kerana saya harapkan khutbah hari ini akan jadi satu khutbah yang istimewa. Luar biasa. Kerana kira-kira saya, umat islam akan berbicara tentang isu yang runcing, yang tak pernah ada noktahnya hingga kini.

Palestin.

Tapi sebaliknya, khutbah hari ini mempromosikan tema maal hijrah 1434H, iaitu "Wasatiyah Tonggak Kesatuan Ummat". Mulanya, 'jaw drop' juga saya. Sambil hati saya berbisik "Ek?". Tapi apabila sepatah demi sepatah khatib mula membentangkan buah bicaranya, saya mula terpesona.

Alhamdulillah. Satu peringatan dan pencerahan yang sangat baik daripada khatib bertugas, tentang makna wasatiyyah.

Mujurlah dia tidak baca teks khutbah seratus peratus, sebaliknya membacanya sebaris dan menghuraikan komponen dalam ayat dibacanya. Jadi, sangat membantu pemahaman. Alhamdulillah.

Begini. Saya faham bahwa wasatiyyah ialah kesederhanaan. Ini bertitik tolak daripada beberapa nas, yang terpatri dalam al-Quran dan juga hadis. Ia adalah apabila Allah mengiktiraf bahwa ummat Nabi Muhammad, ialah ummat pertengahan. (Ummatan wasato). Juga, apabila Allah menyatakan bahwa Dia membenci golongan yang berlebih-lebihan, dan melampau batasan.

Begitu juga dengan hadis-hadis nubuwwah. Apabila Rasulullah S.A.W mengiktiraf bahawa sebaik-baik urusan ialah apabila ia berdiri di jalan kesederhanaan. Di antara ghuluw (melampau), dan longgar, ummat islam perlu berdiri di garisan tengah.

Mari kita memandang kepada realiti.

Jika begini takrifan wasatiyyah, maka adakah Malaysia negara yang mengamalkan ciri-ciri dan nilai-nilai kesederhanaan?

Saya jawab tidak. Atau jika boleh saya sopankan lagi pandangan saya, saya akan kata 'belum lagi'. Ini jawapan yang serupa yang saya boleh lontarkan kepada prasangka, "Adakah Malaysia sebuah negara islam?"

Serupa macam tadi, saya dengan rakan-rakan di pihak 'atas', berbeza kefahaman. Di saat mereka berbangga kononnya Malaysia negara islam, saya berpegang teguh dengan kenyataan bahawa Malaysia hanya negara umat islam.

Negara islam ialah simbol keagungan islam. Khilafah. Menyatakan bahawa Malaysia ialah negara islam, ternyata satu penghinaan kepada Rasulullah S.A.W dan para sahabat Baginda kerana apa yang Rasulullah S.A.W dan para khulafa' dan para ahli iman sebelum kita perjuangkan, tidak sama dengan apa yang kita perjuangkan.

Matlamat sahaja pun sudah lain. Inikan pula perjuangan.

Baiklah. Tinggalkan yang itu dan ke mari... kita kembali fokus kepada makna sederhana.

Sederhana ertinya adil. Adil pula ertinya 'meletakkan sesuatu pada tempatnya'. Keadilan ialah lawan bagi kezaliman kerana takrifan bagi zalim ialah apabila kita meletakkan sesuatu bukan pada tempatnya.

Zalim ada beberapa jenis, sepertimana yang telah saya tuliskan dalam e-book saya. (Jadi saya malas nak ulang tulis. Pemalas!) (Download)

Adil tak semestinya sama rata. Kalau sama rata, punah ranah juga. Contoh ialah seorang bapa yang ada dua orang anak. Lelaki dan perempuan. Jika dia membeli baju, apakah dia akan membeli dua baju yang sama? Tidak mungkin. Kerana anaknya walaupun sama-sama zuriat keturunannya, tapi hakikatnya kedua orang anaknya itu berbeza. Pakaian orang lelaki dan pakaian orang perempuan kan tak sama.

Maka, wasatiyyah menuntut kita untuk bersikap adil. Meletakkan bongkah-bongkah perbezaan, terutamanya antara orang islam dengan yang bukan islam. Kamu! Yang mengaku islam. Jika benar mengamalkan dan mahu menerapkan unsur wasatiyyah, mengapa bersikap zalim dengan diri sendiri, dengan cara menggunakan, mengagungkan, mempertuhankan, dan memperjuangkan nilai-nilai Barat yang bercanggah dengan islam?

Sepatutnya, kamu kata kamu mahu wasatiyyah, kamu mahu sederhana, kamu mahu adil, maka kamu perlu ikut perjuangan islam!

Islam ialah agama yang diturunkan oleh Allah. Tulen, daripada Nabi Muhammad S.A.W. Sesiapapun kita, setinggi manapun jawatan kita, kita tidak boleh memanipulasi dan menggubal bahkan mengubah mana-mana elemen dalam islam secara suka-suka.

Tidak boleh!

Saya tidak bercakap tentang hudud pun lagi. Itu benda besar. Puncak menjulang tingginya.

Tapi saya memperkatakan tentang benda yang remeh, yang kecil. Iaitu sistem kehidupan kita. Hari ini, apakah yang paling banyak mendorong, menguasai, dan merasuk fikiran kita?

Keduniaan. Harta. Pangkat. Populariti. Dan seumpamanya.

Sejak kecil, kita diajar di sekolah, "Ini alam semulajadi".

Si anak kecil yang diajar pun lalu membesar dengan kefahaman, "Oh. Alam ini semula jadi", bukan lagi memahami, "Oh. Alam ini dan segala-galanya ialah dijadikan oleh Allah".

Di peringkat paling rendah (sekolah rendah) sendiri, kita telah sekularkan pemikiran anak-anak kita dengan menerapkan modul pendidikan cara barat. Sebab itu, ada subjek pendidikan islam yang mana pada pandangan saya, tak payah pun ada subjek ini kerana pendidikan islam itu sendiri ada di dalam matematik, di dalam sains, di dalam bahasa melayu, dan di dalam bahasa inggeris.

Cuma mungkin perlu diadakan beberapa kursus berkala untuk mengajarkan solat, wuduk, tayammum, dan seumpamanya.

Itu baru pendidikan bawahan.

"Tak boleh. Kita kan berbagai bangsa berbagai negara. 1 Malaysia kan"

Eh. Apa pula tak boleh? Kerajaan Islam Madinah itu, pun berbagai bangsa berbagai agama. Siap ada orang Yahudi lagi! Tapi mengapa aman, adil, tenteram, dan sejahtera sahaja?

Tak mengapa jika anak murid kita agamanya kristian, dia ingat, "Jesus yang ciptakan alam". Jika dia beragama Buddha, biarkan sahaja jika nak faham, "Sidarta Gautama Budha yang ciptakan alam". Apapun agamanya, kita biarkan saja.

Kerana, kita tidak memandulkan keinginan mereka untuk mengenali Tuhan! Hari ini, cikgu-cikgu mengeluh perihal anak murid yang rosak. Padahal, mereka sendiri yang telah memandulkan anak-anak kecil itu daripada timbul minat dan curiosity untuk mengenali siapa Tuhan mereka. Lupakah cerita Nabi Ibrahim mencari Tuhan? Disangkanya matahari tuhan, tapi matahari hilang saatnya malam. Disangkanya bulan Tuhan, tapi bulan hilang diganti siang.

Kita tak tahu, anak murid kita yang kristian itu pun boleh mengalami apa yang Nabi Ibrahim alami. "Kalau betul Jesus itu anak Tuhan, kenapa dia mati? Kan sepatutnya seorang anak menyerupai bapanya. Bapanya Tuhan tak mati, jadi anaknya patut jadi Tuhan yang tak matilah?"

Itu sekadar contoh.

Makin kita meningkat pandai, makin jauh kita tersasar. Kita belajar untuk mengejar sijil, bukan lagi untuk keberkatan ilmu. Redha Allah, huh... lagilah jauh. Tanyalah kepada diri masing-masing, mengapa serius benar kita belajar?

"Aku nak dapatkan 10A dalam SPM nanti"

Untuk?

"Nak masuk Uni yang bagus-bagus supaya nanti sudah graduasi, boleh dapat kerja yang bagus-bagus".

Sekali lagi otak kita diajar untuk memahat keyakinan yang kononnya rezeki itu datang bersama lamanya belajar di Universiti dan banyaknya 'A' pada sekeping kertas. Tidak lagi difahami bahawa Allah yang memberi.

Tak adil bukan?

Bekerja pun begitu. Orang kerja di jabatan-jabatan, di kementerian-kementerian bahkan lagi kasihan. Ikut sahaja arahan pihak atasan, hingga terkadang, terpaksa melanggar hukum syariat kerana secupak nasi. Yang kasihannya, orang yang digelar Sahibul Samahah sendiri kadangkala tersepit. Mahu bercakap, bimbang dituang periuk nasinya tapi jika tidak bercakap, bimbang masuk neraka.

Wallahua'lam.

Saya, dengan rendah diri, sangat mahu jika sekiranya kerajaan dapat mengotakan apa yang mereka katakan sebagai wasatiyyah. Kerana hari ini, saya melihat yang berlawanan dengan apa yang mereka katakan. Hari ini, syariat dipegang dengan sangat longgar.

Sedangkan, wasatiyyah ialah kita tidak melampau tapi tidak pula longgar. Melampau ini umpama khawarij yang terlajak dalam menghukum. Bagi mereka, orang yang melakukan dosa besar telah dikira kafir. Itu yang mereka terlajak. Makanya, umat islam yang wastiyyah bukan umat islam yang terlajak dalam segala segi. Tak terburu-buru nak kata "Kau masuk neraka", dan seumpama.

Umat yang wasatiyyah juga sudah tentu bukan yang longgar pegangan agamanya. Yang pergi ke masjid hanya pada hari-hari kebesaran. Yang apabila wanita tidak menutup aurat, dia berkata, "Lantaklah dia. Itu urusan dia dengan Tuhan. Bukannya urusan aku".

Bukan juga yang apabila diadakan majlis keramaian, mereka menjemput artis K-Pop yang menghairahkan, atau yang menari bollywood di majlis terbuka.

Bukan juga yang memberi kebenaran kepada konsert yang melalaikan, dan memberi anugerah kepada orang-orang yang melalaikan anak-anak muda.

Bukan juga yang tidak ada pendirian di saat Rohingya disalai dan dibakar, saat Palestin disembelih dan dilapah. Bukan juga yang menggelar terrorist dan pemberontak, pengkianat dan penderhaka kepada mujahidin di Syria, yang hangat merah darah mereka mengalir melawan kezaliman syiah nan celaka.

Bukan juga, yang tak segan silu mempromosikan "Sila layari laman sesawang ini untuk menonton video seks ketua pembangkang (kononnyalah)"

Hingga akhirnya terdengar rintihan sang mujahid setia, "Duhai... kami, para ibubapa, guru dan ustaz-ustazah, saban hari memikirkan soal kehancuran pekerti anak-anak kami. Kami berusaha setiap hari mahu memusnahkan jahiliyyah yang meratah iman pemuda kami. Tapi TV3, dengan mandat dan izin, mempromosikan pula video seks dan lucah".

Saya, lelaki yang mahu menghirup kedewasaan.
Saya, mahukan Malaysia yang lebih baik.
Lebih wasatiyyah.
Lebih taqwa.

Kerana apabila kamu kata kamu Malaysia, maka kamu adalah orang yang apabila Allah berikan kamu kuasa, kamu MEMERINTAHKAN (bukan hanya menyarankan) rakyat, orang bawahan, ahli, dan semua yang islam untuk bersolat, kamu bayar zakat (termasuklah juga dengan gunakan harta dengan cara yang betul) dan dalam masa yang sama, kamu tutup serapat-rapatnya pintu maksiat dan kamu buka seluas-luasnya pintu kebaikan.

Itulah kamu, lelaki dan wanita, Datuk dan Tan Sri di dalam surah Al Haj, ayat 41.

Saya menulis bukan untuk menghasut agar saling membenci. Bukan juga untuk saling menunding jari. Saya hanya mahu menyeru, agar siapapun kita, marilah kita mengimplimentasi makna wasatiyyah. Kami yang memang dari dahulu hidup sederhana, insyaAllah mampu untuk besederhana. Tapi kamu, yang berada di atas? Mahukah turun sedikit untuk ke bawah dan besederhana bersama-sama kami?

       

Percik jari di tahun baharu.

Percik jari di tahun baharu.
Saya tertanya sebenarnya. Mengapa dan sejak bila umat islam menyambut Awal Muharram?

Dan saya tak serius sangat untuk dapatkan jawapannya. Jika ada yang mahu melakarkan jawapan, ruangan komen sentiasa saya buka, hatta kepada 'spammer' pun. Tapi, daripada semua isu tentang 1 Muharram, satu yang pasti ialah umat islam di Malaysia (seluruh rakyat sebenarnya termasuklah yang bukan islam pun), bercuti.

Untunglah.

Maka, dalam suasana kerehatan, suka saya mengajak diri saya dan kalian untuk merenung kepada beberapa isu yang runcing berkaitan dengan hijrah. Serasa saya, sejak kecil lagi saya disajikan dengan kisah-kisah penghijrahan Rasulullah S.A.W dari Mekah ke Madinah, pada setiap rembang 1 Muharram.

Buatlah apa yang namanya forum maal hijrah. Maka ceritanya yang itulah.

Anjurlah yang namanya ceramah Awal Muharram. Nanti kisahnya yang itulah.

Hingga terbawa ke dalam kotak memori dan terkunci sungguh-sungguh ingatan bahawa Nabi Muhammad S.A.W berhijrah ke Kota Madinah, disambut dengan ceria nan ramah oleh ansar, dan Baginda membina masjid serta mempersaudarakan di antara kaum muhajirin dan ansar.

Tetapi nampaknya pendapat yang lebih diyakini menyatakan hijrah Rasulullah S.A.W dengan teman baiknya, Abu Bakar R.A berlaku pada satu malam di bulan rabiul awal, bukan lagi muharram.

Baik. Tinggalkan isu itu. Kita bukan nak fokus kepada sejarah dan sirah, tapi mahu fokus kepada ibrah.

Sebelum ke Madinah, sebenarnya ada satu legasi hijrah pernah dijalankan iaitu ke Habsyah. Hari ini, Etiophia. Rasulullah S.A.W menyuruh Jaafar bin Abdul Mutalib R.A memimpin legasi ahli iman yang tertindas di bumi kaum quraish saat itu, untuk ke sana kerana mahukan pembelaan dan kehidupan yang lebih tenteram.

Walhal dalam islam, makin banyak ujian, makin besarlah darjat dan ganjaran. Kerana itu ulama fiqh mengeluarkan satu usul berkenaan dengan klausa itu.

Pun begitu, sebagai Rasul yang dalam hatinya penuh dengan cinta, Baginda menyuruh ahli iman ini berhijrah juga. Baginda tak suka melihat ahli iman ini diperbudakkan, diperkotak-katik, dan diperlekeh kerana beriman kepada Allah.

Itu pengajaran pertama mungkin. Kita, jika hari ini bekerja di satu tempat yang menghalang kita daripada melakukan taat kepada Allah, dan mengikat kita kepada patung perhambaan pada pangkat dan harta, maka kita perlu berhijrah. Tukar kerja lain, kepada kerja yang tak membuatkan kita lalai dari-Nya, yang tak membuatkan kita mengangkat duit dan pangkat sebagai imam, dan yang tak menghalangi kita daripada menjalankan hukum Allah.

Jangan salahkan bos anda kerana tak izinkan anda melakukan taat kepada Allah. Dia mungkin jahil. Nanah dan lendir memenuhi hati hingga cahaya-cahaya nasihat tak mampu tembus. Sebaliknya, salahkan diri sendiri jika masih kekal, istiqomah, dan tetap di dalam syarikat dan kumpulan itu. Jangan diikat dengan tali perhambaan sesama manusia!

Kedua, hijrah ke Habsyah dengan hijrah ke Madinah berbeza dari segi keputusan, (result/output). Saat penghijrahan ke Habsyah, umat islam saat itu hanya dapat menyelamatkan diri daripada terus disiksa dan dianiaya oleh bangsat-bangsat Mekah saat itu. Bahkan disebut oleh beberapa ulama sirah, dalam rombongan itupun masih ada beberapa orang yang murtad. Murtad kerana sampai di Habsyah, mereka jadi kagum dengan agama nasrani lalu memeluk agama nasrani.  Susah nak percaya. Tapi itulah dia yang berlaku.

Mungkin itu pengajaran kedua. Ada orang yang kita fikir, "Dia ini maqam tinggi". Iyalah. Sebab sudah ikut tarbiyyah dari dahulu lagi. Telah ikut berjuang sejak dahulu lagi. Tetap tabah dengan kesabaran yang tulen, sejak mula lagi. Tapi itu tak menjanjikan satu penamat yang cemerlang. Ada orang yang beriman bersungguh-sungguh di awalnya, tapi di hujung-hujungnya, dia terpana dan tersilau.

Itu hikmahnya Rasulullah S.A.W mencontohkan kepada kita amalan doa yang maksud doa itu, "Wahai Tuhan yang membolak-balik hati. Tetapkanlah hati kami dalam agamaMu dan ketaatan kepadaMu".

Sebab sudah dibuktikan bahawa yang memegang anak kunci syurga ialah Allah. Dia boleh beri kepada siapa sahaja. Yang jauh dariNya pun dia boleh rapat-rapatkan. Yang sudah dekat pun, boleh jadi jauh denganNya!

Mungkin contoh yang lebih praktikal ialah saya. Jika dahulu, di awal blog ini diasaskan (ayat ini macam kurang tepat), saya menulis dengan hati yang satu warna sahaja. Tak ada pelangi-pelangi macam hari ini. Waktu itu, tak ada bisikan syaitan yang membuatkan niat saya lari dan bertukar. Tapi semakin hari, semakin saya larut dalam dunia tarbiyyah, ujian kepada hati jadi makin dahsyat. Ritma hati saya sendiri kadangkala saya tak faham. Itulah yang namanya ujian. Jika bukan kerana bantuan Allah, maka kita pasti akan terjelupuk saat diuji. Maka, wajib kita berdoa dan berusaha agar nikmat istiqomah dapat kita cicip setiap saat.

Ketiga, tidak berlaku penyebaran islam saat hijrah ke Habsyah. Mengapa? Kerana tiada sumbangan lelaki yang namanya Mus'ab bin Umair R.A yang menurut ahli sirah, jika tapak kakinya dicat dengan warna merah, maka akan merahlah kota Madinah kerana gigihnya seruan dakwah Mus'ab bin Umair itu. Satu pintu ke satu pintu. Satu keluarga kepada satu keluarga. Semuanya diajak kepada islam secara jelas dan adil. Hasil daripada perutusan Mus'ab untuk menjadi naqib pertama umat islam, 70 orang penduduk madinah memberi bai'at kepada Rasulullah S.A.W dalam perjanjian Aqabah kedua yang mana daripada 70 orang inilah, Rasulullah S.A.W dijemput untuk menjadi khilafah kerajaan islam pertama dunia.

Iya. Dakwah perlukan orang yang memulakan. Itu Mus'ab. Tapi jika dunia ini hanya ada seorang Mus'ab, maka tak selesai masalah. Sebaliknya, kita perlu menjadi orang yang berada di belakang Mus'ab itu. Kita perlu membantu orang yang berdakwah. Ketahuilah, bukan semua orang mampu buat dakwah tapi semua orang mampu untuk menyebarkan islam.

Apa maksud saya?

Dakwah maksudnya ajak. Ulama memperhaluskan lagi definasinya sebagai 'ajak orang yang tak mahu islam kepada mahukan islam'. Dakwah tak serupa dengan tarbiyyah. Tarbiyyah ialah membentuk; dan ia adalah untuk orang yang sudah mahu, berminat dan inginkan islam.

Orang yang tak mahu, belum berminat, inilah orang yang kita dakwah. Orang yang sudah mahu, sudah berminat, itu orang yang kita tarbiyyah. Nampak bezanya?

Sebab tu dalam al-Quran, jika dimasukkan kisah-kisah dakwah, ia adalah kisah di antara orang yang tak beriman dengan orang beriman. Antaranya kisah Habibun Najar dalam surah Yassin yang mati dipijak oleh orang kampungnya, dan selepas dia mati, dia berkata "Alangkah baiknya jika kaumku mengetahui akan apa yang telah Allah berikan kepadaku".

Juga kisah Firaun dengan Nabi Musa. Kisah Kaum Ad dengan Nabi Hud. Kisah kaum Samud dengan Nabi Saleh. Kisah ayahanda Ibrahim dengan Nabi Ibrahim. Kisah LGBT kaum Lut dengan Nabi Lut. Dan seumpamanya.

Dakwah perlukan semua orang. Ada yang pandai bersyarah tapi ramai yang tak pandai. Tapi dalam kalangan yang tak pandai itu, 99% peratus ialah orang yang tak bisu. Jadi, apalah sukarnya mengungkap kata-kata, "Jom dengar ceramah Ustaz tu".

Daripada 99% itu, 88% mempunyai kenderaan sendiri dan tidak bisu. Jadi apalah susahnya jika dia berkata, "Jom dengar ceramah ustaz tu. Kita pergi naik kereta aku".

Daripada itu, 77% pula mempunyai rezeki yang lebih, kenderaan sendiri, dan tidak bisu. Maka apalah salahnya dia berkata, "Jom dengar ceramah ustaz tu. Kita pergi naik kereta aku. Lepas tu kita pergi makan dan aku belanja".

Daripada itu pula, 66% mempunyai recorder. Jadi apalah salahnya jika dia bercakap dengan diri sendiri, "Apa kata aku rakam ceramah Ustaz ni".

Daripada itu lagi, 55% tahu teknologi. "Apa kata aku tolong upload di YouTube?"

Dan 44% daripada itu, mempunyai kemahiran menulis. "Apa kata aku tulis dalam blog aku. Nanti ada orang boleh baca".

Daripada 33% pula, ada yang aktif dengan Facebook, "Apa kata aku share video dan artikel ini di Facebook?"

Dan selebihnya, masih ada peranan masing-masing. Setidaknya, sebagai pemberi semangat kepada orang-orang di atas, juga sebagai penyambung doa atas kerja yang tak kenal rehat ini.

Mungkin itulah pengajaran ketiga. Bantu. 'Share'. 'Like'. 'Suggest'. Hidup perlukan sinergi. Simbiosis. Kalau semua mahu jadi pendekar, maka apa perlunya dicipta pistol. Begitulah yang dikatakan oleh Ustaz Salim A. Fillah, "Jika dakwah ini hanya perlukan lidah, maka apa perlunya anggota badan yang lain".

Kita mungkin tak boleh menjadi 'lidah' untuk agama ini. Tapi kita boleh menjadi 'kaki', yang mana dengannya orang yang terlindung di balik kelambu hiburan boleh tahu adanya 'lidah' di atas. Kita juga boleh jadi 'tangan', supaya orang tahu bahawa ada 'kaki' dibawah dan ada 'lidah' diatas.

Faham tak apa saya maksudkan ini?

Cukuplah tiga dahulu. Kalau saya panjang umur, saya sambung. Tahun depan ke. Tengoklah macam mana :)

 

Mencari jalan untuk ke syurga

Mencari jalan untuk ke syurga
Sejak ada kereta sendiri (sebenarnya kereta bapak saya yang saya pinjam), saya jarang sekali naik kenderaan awam. Bas RapidKL yang satu ketika dulu saya tunggu-tunggu sampai naik bengang, hari ini saya boleh melambai pula kepada mereka melalui dalam kereta kancil saya. LRT, komuter, dan yang seumpama pun begitulah. Sampaikan bila masanya orang pakai token pun saya tak tahu. Saya ingat pakai tiket lagi!

Memang begitulah. Atas dunia ini, nak pergi mana-mana pun perlukan duit. Lagi-lagi kalau perjalanan yang jauh. Kalau setakat nak beli garam sekampit di kedai runcit, bolehlah kita berjalan kaki sahaja. Tapi jika dari Kuala Lumpur mahu ke Kuala Nerang?

Mampus aku tak sanggup jalan kaki!

Itu masih dalam Malaysia. Jika perjalanan ke akhirat pula bagaimana? Sudah tentulah ia satu perjalanan yang terlalu panjang dan sukar. Ada transit. Ada persinggahannya. Di daerah dunia ini pun sudah ada dua atau tiga titik perhentian. 

Tidur, makan, berak, belajar, bekerja, beranak pinak... sampailah kepada mati. Kemudian baru ke daerah seterusnya, iaitu daerah alam kubur. Lepas tu lama pulalah di sana, sebelum ke mahsyar, ke mizan, ke hisab, ke sirat, dan ke kampung halaman kita; syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai.

Syurga ialah kampung sebenar kita. Tapi ia jauh. Naik bas tak sampai. Naik kapal terbang tak sampai. Naik space shuttle pun tak sampai juga. Hanya menyampaikan kita dengan syurga ialah amalan soleh kita.

Tapi persoalannya, banyak sangatkah amalan kita?

Okey. Beginilah. Saya nak pergi Gua Musang (konon-kononnyalah). Dari Hentian Putra, saya perlu membeli tiket bas berharga RM26. Selepas itu barulah saya boleh duduk di atas kerusi, dan mula menikmati pemanduan ekstream ke tempat yang saya mahu tuju.

Soalnya, kalau saya tak ada RM26 itu, bolehkah saya naik bas?

Mungkin boleh. Saya boleh buat kerja tambahan. Saya juga boleh minta sedekah daripada orang. Mahu cukupkan RM26 itu.

Akhirat pun macam itu. Nak masuk syurga, seseorang itu perlu melepasi syarat yang Allah tetapkan. Dalam al-Quran, banyak sekali ayat-ayat yang Allah turunkan berkenaan dengan ahli syurga. Allah ceritakan sifat-sifat mereka, dan sifat-sifat inilah yang merupakan setiap syiling dan not kertas yang membentuk RM26 yang diperlukan untuk balik ke Gua Musang.

Saya tak nafikan bahawa dunia hari ini sangat mencabar. Cabaran kita tidak sama dengan cabaran di bumi Palestin, atau di Syria. Di sana mereka diuji bersama kesedaran. Mereka nampak musuh di depan mata. Tapi di Malaysia, kita diuji dengan kesenangan dan kemudahan hinggakan kita kabur dan rabun, tak nampak siapa dia musuh dan siapa dia seteru.

Kita tahu apa tujuan Allah jadikan kita. Dalam surah Az-Zariyat, Allah kata bahwa kita diciptakan untuk beribadah kepadaNya. Maknanya, tugas pertama kita ialah taat. Dalam surah al-Baqarah pula, Allah sebut yang diciptakan manusia ialah sebagai khalifah. Itu tugas kedua kita, iaitu memakmurkan bumi Allah dengan hukum dan lunas-lunas agamaNya.

Dua komponen sahaja. Dua tugas saja tetapi kita selalu gagal. Hancur. Fail. échouer. Fallire. தோல்வி, mabigo!

Tapi saya pun begitu sebenarnya.

Jika nak dikira dari sudut amal, maka saya yakin bahawa amalan soleh saya masih sikit. Sudahlah sikit, banyak pula cacat celanya. Sudah koyak rabak, banyak pula penyakit hatinya!

Habis, macam mana nak membeli syurga?

Kata Rasulullah S.A.W, "Setiap manusia hanya akan masuk ke dalam syurga dengan rahmat Allah. Tiada siapapun yang akan masuk ke dalam syurga dengan sebab amalannya".

Saat itu, para sahabat tertanya-tanya. Rasulullah S.A.W itu, solatnya sampai ke pagi. Bengkak-bengkak kaki. Qiamullailnya setiap hari. Sedekahnya seperi hujan lebat. Apa yang dimiliki semuanya disedekah. 

"Kamu juga begitu wahai Rasululllah?"

Baginda angguk. "Bahkan aku juga begitu".

Lalu kita senyum. Senyum licik. "Kalau macam tu, tak payahlah kita beramal"

Persoalan kita itu sudah lama ditimbulkan dan telah pun dijawab oleh Rasulullah. "Bukan begitu. Sebaliknya barang siapa yang dimasukkan dalam golongan ahli syurga, maka akan dimudahkan dan didekatkan dia dengan amalan ahli syurga".

Nah! Memang bahasanya tetap sama dan seirama. Kita perlu beramal. Bukan tengok, bukan berangan. Tapi, BERAMAL dengan amalan yang Allah titahkan.

Tapi macam mana nak beramal? Jika rutin harian kita begini:

Bangun tidur sebelum 6 pagi, solat subuh, kemudian pergi kerja pukul 8 pagi dan balik pukul 5 petang. Sebelah malamnya, selepas solat isyak, berehat dan kemudiannya tidur. 

Kemudian rutin yang sama berulang. Satu yang jelas, ibadah kita amat sedikit.

Kita solat pun hanya lima kali sehari. Kadang-kadang tu, kita makan pun lebih banyak daripada kita bersolat. Kita berkerja, sudah tentulah lebih lama daripada solat. Tidur pun begitu. Lagi lama daripada ibadah dan solat.

Habis, macam mana?

Ada satu kata-kata yang disandarkan kepada Saidatina Aisyah R.Anha,

"Jika kamu mahu mengalahkan ahli ibadah dalam melakukan ibadah kepada Allah, maka kalahkan mereka dengan meninggalkan perlakuan dosa"

Jom fokus kepada kandungan nasihat ini, iaitu berkenaan dosa. Secara ringkas, saya mahu menyeru diri saya untuk tinggalkan dosa. Dosa ini ada macam-macam. Dosa kepada Allah, dosa kepada manusia, dosa kepada makhluk selain manusia, dan dosa kepada diri sendiri.

Kalau saya mula cerita satu per satu, bertambah-tambahlah panjang artikel ini. Tapi cukuplah jika pesanan ini kita semai dalam diri kita. Kita bajai ingatan ini dengan ilmu dan kita siram apa yang kita mahu semai ini dengan titis-titis kesedaran;

"Allah beri kita mata. Adakah layak pemberian Allah itu kita gunakan untuk melakukan dosa? Allah beri kita mulut. Apakah patut kita guna pemberian itu untuk berdosa? Allah beri kita tangan dan kaki. Apakah boleh kita biarkan pemberian Allah itu kita gunakan untuk membuat mungkar?"

Soalan itu kalau kita tanya pada pokok, pasti bergoyang pokok kerana taqwa (takut kepada Allah). Oleh itu, kita patut lebih takut daripada pokok!
       

Allah tak pernah mendiskriminasikan kamu.

Kalau kilang yang tinggi produktivitinya, produk yang dihasilkan dalam sehari adakalanya boleh mencapai ribuan. Hmm.. banyak tu. Itu baru sehari. Kalau seminggu? Sebulan?

Kerana amaun yang terlampau banyak, tiada siapa yang akan peduli untuk memeriksa secara invidu; satu per satu. Secara rawak itu mungkinlah.

Tapi Allah, apabila Dia menciptakan satu-satu makhluk-Nya, Allah kenal, tahu, masak, dan teliti terhadap kita. Berseorangan ataupun secara kembar kita lahir, Allah telah tetapkan takdir kita berbeza-beza. Tidak ada yang seragam walaupun berkongsi dinding rahim yang sama pun.

Allah mengenali manusia, lebih daripada manusia kenal siapa dirinya sebenarnya. Kerana itu, adalah amat mustahil untuk Allah lupa kepada kita. Setiap hembusan nafas kita, Allah tahu. Kiraannya Allah tahu dan Allah sudah tetapkan pun.

Setiap butir rezeki yang masuk ke dalam tubuh kita, yang menumbuhkan tulang dan daging kita, semuanya Allah tahu. Daripada sumber mana, daripada punca mana, semuanya Allah tahu itu. Bahkan, bilangan makanan yang keluar sebagai najis pun hakikatnya tak terlepas daripada pengetahuan Allah.

Begitulah juga dengan kecenderungan kita. Semua manusia Allah jadikan fitrahnya suci putih. Setitik pun tompok dosa tak menampal tubuh kecil yang keluar bersama cecair jernih yang hanyir itu. Baik anak kepada penzina, anak perogol, anak pelacur pun, mereka itu sama sahaja seperti anak ulama. Sama-sama tidak berdosa dan sama-sama dalam keadaan fitrah.

Adapun mereka, atas beberapa faktor yang signifikan, membesar menjadi manusia yang berbeza-beza. Perbezaan selalunya membawa kebaikan, hinggalah kita sendiri memilih untuk menjahanamkan diri sendiri.
Tipulah jika saya katakan bahawa saya faham dengan masalah yang dihadapi oleh golongan lesbian, gay, biseksual, dan transgender (LGBT) ini. Tapi saya lebih menipu dan membohong jika saya katakan bahawa saya setuju dengan mereka.

Ramai orang yang katanya, "Kami faham kalian", tapi sebenarnya mereka tak faham. Saya sendiri begitu. Cuma, saya faham pada satu hakikat sahaja, iaitu hidup di dunia ini ialah untuk diuji oleh Allah.

Yup. Kita hidup untuk diuji.

Kenapa perlu diuji?

Supaya nanti Allah boleh membuat penilaian yang adil, siapa yang layak ke syurga dan siapa pula yang tidak layak ke sana. Layak atau tak layak, lulus dan gagal bagi seorang manusia untuk masuk ke syurga, itu semuanya bawah kekuasaan Allah. Allah sahaja yang tahu. Kita, manusia biasa tak akan tahu. Nasib kita pun kita tak tahu bagaimana inikan pula nasib orang lain!

Ramai daripada golongan LGBT ini berkata, "Kami ini sejak azali Allah jadikan begini".

Kata-kata itu benar, tapi atas maksud yang tidak benar. Satu sudut ia betul. Memang Allah jadikan kamu begitu, tapi adakah Allah mahu kamu kekal begitu?

Inilah yang saya katakan tadi sebagai ujian. Lain orang lain pula ujiannya. Ada manusia yang diuji dengan nafsu seksual yang tinggi. Allah ujinya dengan memberitahu, "Berzina itu haram". Lalu, orang yang diuji dengan nafsu seksual yang menggila itu akan melalui satu proses ujian: adakah dia akan buat juga zina yang haram itu, ataupun dia akan kawal nafsunya kerana takutkan Allah.

Ada orang diuji dengan duit yang banyak, melalui kata-kata Allah, "diwajibkan kamu untuk berjuang dengan harta kamu". Maka selepas itu dia akan terus dihadapkan ke gelanggang ujian: apakah yang dia buat dengan hartanya yang banyak itu.

Ada orang diuji dengan rupa paras yang cantik, dengan tegasan Allah, "kecantikanmu bukanlah untuk dijaja kepada umum". Maka, dibentangkan kepadanya lorong-lorong yang mahu mengeksploitasi kecantikan itu dan dia diuji, adakah dia akan memperagakan kecantikan secara salah, ataupun dia akan bersyukur dan menyimpannya untuk yang halal.

Kamu pun begitu, saudaraku.

Allah uji kamu dengan kecenderungan yang tidak normal. Mungkin seluruh jiwa kamu sudah bertempik, "Kami tak rela jadi lelaki. Kami mahu jadi perempuan".

Tapi itu ialah ujian Allah untuk kamu. Allah tidak menguji untuk kita gagal. Ujian atas maksud mahu menggagalkan ialah seperti kita memberi kertas soalan SPM kepada calon UPSR. Budak darjah enam yang tak tahu apa itu integration, disuruh untuk menjawab soalan matematik tambahan. Itu zalim namanya. Itu tak adil.

Tapi ujian Allah adil. Dia menguji manusia atas kemampuan orang itu. Hari ini, dia menguji kamu dengan perasaan mahu mendatangi kaum yang sama jantina denganmu. Tapi adakah perasaan itu, ialah apa yang Allah mahukan?

Tidak. Allah nak lihat sejauh mana kamu akan berusaha mengawal keinginan yang tidak sihat ini.

Saya teringat kepada kawan saya yang pernah mengirimkan sepucuk emel kepada saya.

"Iqbal, saya pergi masjid. Saya pergi dengar kuliah agama. Tapi saya masih teringin kepada lelaki. Sebab itulah saya tak berkahwin sampai sekarang kerana saya takut nanti saya akan menzalimi isteri saya".

Berat sekali ujian Allah kepadamu, saudaraku.

Tapi ia tidaklah sebesar mana pun jika kita memandangnya dengan kaca mata hamba. Kerana Allah berjanji, "Sesiapa yang benar-benar bersungguh-sungguh untuk mencapai keredhaan Kami, nescaya Kami akan tunjukkan jalan-jalan Kami padanya".

Itu ayat terakhir surah Al-Ankabut. Surah ke 29.

Allah sebagai Tuhan, memiliki apa yang kita selalu sebutkan sebagai 'kun fayakun'. Iaitu Allah apabila Dia mahukan sesuatu, Dia hanya bertitah... dan terjadilah apa-apa yang Allah mahu itu. Itu hebatnya Allah. Sedangkan kita hamba-Nya, jika kita mahukan sesuatu, maka kita perlu berusaha.

Dan usaha inilah yang Allah pandang dan nilaikan.

Kita tahu kisah Maryam, ibu kepada Nabi Isa A.S. Beliau melahirkan Nabi Isa di satu kawasan yang tersembunyi. Tak ada mak bidan. Tak ada sesiapa. Hanya ada Allah yang tak pernah mengantuk dan lalai atas urusan makhlukNya. Dalam lemah gemalai itu, sedikitpun kerisauan tidak diizinkan oleh Allah terputik dari dada Maryam. Allah memerintahkan Maryam untuk menggoyangkan pokok kurma. Dalam keadaan penat baru lepas bersalin seorang diri, Maryam pun bersusah payahlah mendatangi perdu pokok kurma dan menggoyangnya.

Agak-agaknya bergoyang tak pokok kurma itu?

Mustahil. Kerana pokok kurma yang matang dan mempunyai hasil, dahannya sahaja sudah sebesar dua pemeluk. Dalam keadaan normal pun, kita perlukan beberapa orang lelaki dewasa menggoyangnya, barulah pokok yang kuat dan teguh ini akan bergoyang.

Tapi ini perempuan, bukan lelaki. Tambahan pula, perempuan yang lemah kerana baru bersalin.

Tapi Allah hanya mahukan usaha, bukan mahukan keputusan kerana keputusan atas usaha itu ialah dibawah kawalan Allah. Dengan itu, luruhlah tangkai-tangkai kurma daripada pokok, dan ia menjadi penawar dan makanan yang cukup baik kepada setiap ibu yang baru melahirkan anak hingga ke hari ini.

Ada banyak lagi kisah, tapi cukuplah kisah itu sahaja.

Harapan saya kepada kamu, ialah agar kamu tak lupa bahawa sebenarnya Allah itu tak pernah melupakan kamu. Walaupun kamu boleh membuatkan manusia lain lupa yang kamu itu lelaki sebenarnya, tapi Allah tak akan terlupa tentang itu. Walaupun kamu boleh membuatkan manusia lain terpesona dengan lenggok bahasa tubuhmu, tapi Allah tak terpesona dengan itu.

Yang Allah akan terpesona ialah apabila Dia menguji hamba-Nya, hamba-Nya jadi makin dekat dengan-Nya.

Allah tak mahu kalian jadi gay. Allah tak mahu kalian tukar jantina. Allah tak mahu kalian mendatangi sesama jantina.

Yang Allah mahu, ialah apabila Dia uji kita, kita berjaya. Dan kerana itu, bersabarlah terhadap nafsumu.

Saya mungkin tak dapat banyak membantu, cuma saya cuma ada satu kata-kata yang mungkin boleh kamu pahat dalam hati:

"Allah tidak perlu lupa dan mendeskriminasi aku. Kerana itu, aku perlu berusaha mengubah bengkang-bengkok ini menjadi lurus seperti manusia biasa yang lain".

   

Dengan siapa kita bersahabat?

Dengan siapa kita bersahabat?
Satu persoalan yang penting untuk kita tanyakan kepada diri kita ialah, "Dengan siapa aku berkawan?"

Kawan. Sahabat. Rakan. Teman. Perkara yang sama, dengan tingkatan yang mungkin berbeza-beza. Ada yang akrab, yang rapat, dan ada yang biasa-biasa sahaja. Pun begitu, semua ini adalah perkara besar, yang seringkali dianggap kecil. Lantaran itu, kita jadi kurang peduli dengan siapa kita sering berteman, kerana beranggapan semua manusia sama. Yang penting, hati mesti mau baik! Wah, dah jadi macam artis dah kau Jah.

Setiap manusia, jika mahu menjadi manusia yang baik, dia takkan mampu untuk jadi baik secara individu. Dalam satu kumpulan contohnya, atau skop lebih kecil, dalam satu bilik atau rumah, jika semua ahli itu buruk, maka ianya hanya integrasi masa sahaja untuk si baik itu kehilangan warna putihnya. Tidak banyak, sedikit. Tidak sedikit, pasti juga akan ada yang tercemar.

Kerana itu, Rasulullah S.A.W seringkali bersadba tentang sahabat dan kawan. Antaranya ialah apabila Rasulullah membuat perumpamaan dan perbandingan bahwa sahabat itu cermin bagi seorang muslim. Cermin, kita tahu sifatnya bagaimana. Memantulkan imej.

Jika diletakkan bola di depan cermin, imej yang dilukiskan nanti ialah bola juga. Bulat. Tak jadi segi empat. Begitulah manusia. Jika baik sahabatnya, maka secara langsung atau tidak langsung, peribadinya juga akan menurut akan apa yang dipancarkan oleh riak itu.

Tapi ini tak bermakna, kita dilarang bersahabat dengan orang-orang buruk. Tidaklah maksudnya begitu. Adapun yang sebenarnya, di dalam bersahabat ini, ada satu perkara yang sangat besar, yang ulama usul sebutkan sebagai wala' dan bara'.

Jika kita mengaji usul, wala' dan bara' ini ialah satu cabang besar dalam ilmu usul. Ilmu tauhid. Tapi ia juga digunapakai dalam kehidupan sosial kita dalam berhubungan sesama manusia.

Wala' ialah mentaati manakala bara' ialah lawan kepada itu. Maknanya, di antara dua kelompok sahabat kita, antara yang baik dengan yang bermasalah, ada satu antara dua itu, layak dan lebih patut untuk kita berikan kepercayaan, loyal, dan kesetiaan kita.

Itulah dia manusia-manusia yang Allah sebutkan sebagai wa liijah; dan orang-orang beriman.

"Apakah kamu mengira kamu akan dibiarkan begitu sahaja padahal Allah belum mengetahui (belum menguji) orang-orang yang berjihad di kalangan kamu, dan tidak mengambil teman yang setia selain daripada Allah, Rasul-Nya, dan orang-orang beriman. Allah Maha Teliti atas apa-apa yang kamu kerjakan" (At-Taubah ayat 16)

Dalam ayat yang lain pula, Allah melarang kita daripada mengambil orang-orang yahudi dan kristian menjadi teman rapat kita untuk kita berkongsi setiap hal kita, kerana mereka itu golongan yang berpenyakit jiwanya. Bernajis keyakinannya.

Tapi hakikatnya bukan Yahudi dan Nasrani, tapi idealogi, cara berfikir dan cara hidup orang Yahudi dan Nasrani. Itulah tafsiran ulama pada perkataan millah pada ayat 120 surah al-Baqarah. Millah jika diterjemahkan bermaksud agama, tapi jika ditafsirkan ia bermakna suatu yang lebih signifikan daripada sekadar agama. Ini bolej juga jadi orang islam yang berfikiran barat. Inilah dia orang islam, yang hidup cara barat. Cara Yahudi dan cara Nasrani. Mereka juga golongan yang jangan kita berikan ketaatan dan kesetiaan kita pada mereka.

Pun begitu, islam sama sekali tidak menutup ruang untuk kita bersahabat dengan orang yang tidak seakidah dengan kita. Ruang yang sama besar itu juga Allah bukakan kepada kita, untuk kita bergaul dengan orang yang jahat dan fasik, tapi asalkan ia tidak menyebabkan kita makin jauh dengan Allah.

Seorang muslim yang bergaul dengan manusia serta bersabar dengan karenah mereka, adalah lebih baik daripada muslim yang tidak bergaul dan tidak bersabar dengan karenah manusia lainnya (H.R Tirmizi)

Bahkan, adalah lebih utama untuk kita bergaul dengan orang yang saya sebutkan di atas jika kita bergaul dengan maksud mahu berdakwah. Kata Rasulullah S.A.W, jika kita menjadi asbab (penyebab) kepada hidayah Allah masuk ke dalam hati mereka, maka ia adalah jauh lebih berharga daripada ribuan unta merah. Di zaman dahulu, unta merah sangatlah 'rare'. Bukan sekadar jarang-jarang, tapi seekor unta biasapun di zaman Baginda, menyamai nilainya hari ini dengan sebiji kereta mewah.

Dan Rasulullah S.A.W apabila membuat perbandingan, ternyata memaksudkan bahawa jika kita menjadi sebab orang lain dapat hidayah, maka kita seakan-akan telah mendapat kurniaan yang jauh lebih besar berbanding kekayaan-kekayaan yang kita boleh sebut satu per satu atas bumi ini.

Malangnya, setakat hari ini, saya seakan-akan melihat wujud dua suasana. Yang satu, positif dan yang keduanya negetif. Orang yang soleh, apabila mereka masuk ke tengah masyarakat yang buruk, mereka makin membuatkan masyarakat itu soleh.

Dan keduanya, orang yang soleh, tapi apabila dia berada di tengah-tengah masyarakat yang koyak nan rosak, akhirnya dia sendiri turut sama hanyut mengikut gelombang kerosakan.

Ini berlaku, kepada sesiapa sahaja. Baik budak sekolah agama, mahupun anak-anak ustaz yang diterapkan didikan agama. Kerana benar, jika di asrama, ada warden untuk menjaga. Benar, di rumah ada ibubapa untuk mengawal. Tapi jika di luar, jagaan dan pengawasan siapa lagikah yang ada jika bukan kawalan dan pengawasan oleh Allah S.W.T?

Sebiji buah epal yang manis, jika direndam dalam cuka berhari-hari, maka ia akan berubah rasanya menjadi masam. Begitulah perumpamaan manusia. Jika setiap saat dia berada dalam atmosfera yang tidak sihat, maka kita risau iman yang dahulunya sihat dan montel, jadi kurus dan lemah tanpa daya.

Itulah yang kita semua takut dan risaukan.

Jadi, antara mahu dan tidak mahu, kita perlukan kepada perubahan suasana. Ia bukan suatu yang mudah pastinya. Jika kita sendirian, maka hampir pasti ia jadi mustahil. Kerana itu, kita perlu kepada teman-teman yang baik. Yang soleh. Kerana jika misi, visi, obsesi dan cita-cita kita sama, maka kita akan bersama-sama juga bergerak untuk mencapai apa yang kita idamkan.

Jadi, apa cita-cita kita?

Tentunya ialah syurga yang tertinggi.

Sebenarnya ada banyak lagi dalil yang boleh kita petik untuk kita tegaskan lagi kepentingan untuk bersama-sama dengan orang yang soleh. Tapi itu bukan niat saya saat saya menulis artikel ini. Saya cuma mahu menyatakan betapa saya berbesar hati dan bergembira kerana saya masih dikelilingi dengan ramai orang yang soleh. Antaranya, kalian yang membaca. Sejujurnya, saya banyak mendapat kekuatan (hakikatnya kekuatan semuanya datang daripada Allah) melalui semangat kalian.

Selagi ada yang mahu menjadi lebih baik, selagi itulah saya akan menulis. Walau terpaksa mencuri masa, terpaksa mencuri peluang :)

Rasanya, tak pernah terlambat bagi saya untuk saya ucapkan terima kasih kepada kalian.

Harap kasih ini diterima.

 

Whether it's truly because of Allah?

Baru-baru ini, saya terbaca satu entry di satu blog:

I think that it's a good thing that I reflect on my actions, I get to see what I need to do to improve my behaviour and etc. But in a way, because shaitaan has, for so long became an invisible friend, it became very hard to be on the rightful path. Say for example in living your day-to-day life. I have always reminded myself to start everything with Allah's name. But I tend to question myself whether it's truly because of Allah or am I trying to do good, to impress Allah?...
See the differences? In the case of ikhlaas, it has cause difficulties for me to perform even the easiest ibadaah without doubt. But I really want to win against shaitaan, thus I set my niah straight and never look back. There's indeed no benefit in the doubt.
 Saya tertarik pada rangkap ayat, "or am i trying to do good, to impress Allah?".

Melakukan sesuatu kerana Allah, atau melakukan sesuatu kerana mahu menarik perhatian Allah?

Pertamanya, Allah tak sama dengan makhluk. Makhluk, benar, boleh digula-gulakan. Allah tidak. Allah, pada hakikatnya takkan terfana, terpedaya, dan tertipu. Kita sama sekali takkan mampu untuk 'impress' Allah.

Pun begitu, saya faham maksud sebenar penulis. Bukanlah beliau maksudkan, agar Allah kagum. Bukanlah maksudnya, agar Allah tertarik. Bukanlah maksudnya, agar Allah memberi perhatian.

Tapi maksud dia, dan maksud saya juga, impress itu adalah agar Allah suka. Tidak lebih dan tidak kurang. Semuanya semata-mata untuk membuatkan Allah suka kepada kita.

Inilah legasi ketaatan hamba kepada Allah. Let say (cubalah kita katakan) jika seluruh penduduk dunia ini beriman kepada Allah, menyembah-Nya, rukuk dan sujud kepada-Nya, kedudukan Allah tetap sama. Tetap yang Maha Mulia. Tetap sebagai Rabb. Kemuliaan dan ketinggian Allah takkan meningkat dengan meningkatnya ibadah hamba-Nya kepada Dia.

Begitulah juga, jika sekiranya seluruh manusia atas bumi ini kufur, bermaksiat dan ingkar, Allah tetap Rabb. Allah tidak terkesan dengan kekufuran makhluk ciptaan-Nya. Allah tetap Maha Mulia. Tetap yang Maha Tinggi.

Kerana itu Rasulullah S.A.W menegaskan kepada umat Baginda, bahwa sesiapapun takkan mampu ke syurga atas tiket ibadah mereka. Sebaliknya, mereka hanya akan ke syurga hanya dengan rahmat Allah.

Dan rahmat Allah itu, bukan diberikan kepada semua orang. Ada manusia yang Allah tak suka, maka instead of rahmat, Allah beri laknat. Adapun manusia, apabila Allah suka, cinta, kasih, dan sayang kepada mereka, maka Allah akan beri mereka rahmat.

Maka, kita telah diikat dengan satu kenyataan bahwa mahu atau tidak mahu, setiap kita perlu membuatkan Allah mencintainya, kerana dengan jalan cinta, Allah akan redha pada hamba-Nya, dan dengan itu, diberikan padanya rahmat. Dari dunia sampai akhirat.

Siapakah manusia-manusia yang telah Allah redhai?

Kita kenal mereka. Kita tahu siapa mereka. Setiap kali nama mereka disebut, kita menyahut dengan gelaran 'radiallahu anhu'. Mereka, sahabat-sahabat Rasulullah. Mereka ialah kelompok yang meredhai dan diredhai. Dan siapa mereka, yang kita kenal?

Adakah semua mereka ahli ibadah?
Adakah semua mereka ahli ilmu?
Adakah semua mereka ahli jihad?

Mereka bahkan semua di atas.

Ibadah mereka top. Ilmu mereka juga top. Jihad mereka juga top. Tiada siapa yang boleh persoalkan!

Begitulah kita, seharusnya. Dalam kapasiti kita hari ini, siapapun kita, kita perlukan kepada ibadah. Kita perlukan kepada sentiasa memperdalamkan ilmu. Kita perlu kepada sentiasa berjihad.

Dalam urusan jihad, ramai yang mengambil kefahaman jihad sebagai peperangan. Peperangan melawan orang kafir harbi itu benar satu pecahan jihad. Adapun jihad yang Allah maksudkan, dalam ayat terakhir surah al-Ankabut, ialah kesungguhan.

"Siapa yang bersungguh-sungguh untuk mencari redha Allah, Allah akan berikan kepadanya jalan-jalan untuk mencapainya"

Di situ, ada perkataan 'jihad'. Dan ayat ini turun sebelum datang perintah jihad. Makanya, kesungguhan di sini ialah bermakna kesungguhan kita meninggalkan maksiat, meninggalkan dosa, dan kesungguhan untuk menjinakkan nafsu jahat yang membelit.

Kerana itu kita kenal para sahabat sebagai golongan manusia yang cukup besederhana. Saidina Umar, disaat melihat ada daging di rumah anaknya, langsung bertanya, "Dari mana kamu dapat daging ini?"

"Aku teringin untuk memakannya, lalu aku pun membelinya di pasar", jawab Abdullah Bin Umar.

Lalu dijawab oleh Saidina Umar, "Apakah tiap kali nafsumu mahukan sesuatu, terus kamu penuhi?"

Para ulama ada menjelaskan, bahwa salah satu tanda yang amal ibadah kita akan diterima Allah ialah apabila kita memiliki perasaan 'adakah amal ini akan diterima?'. Kerana ibadah yang kita dirikan setiap masa ini, perlu berdiri atas dua kaki. Atas rasa takut, dan rasa berharap.

Pertama, kita takut sekiranya Allah tidak menerima ibadah kita. Takut jika ada riak. Takut jika ada ujub. Takut jika ada sombong. Takut, jika tak ikhlas.

Tapi dalam masa yang sama, kita perlu berharap. Berharap dan bersangka baik, optimis... yang Allah mahu menerima. Berharap dengan penuh nilai kerendahan, agar Allah sudi memandang dan sudi menerima ibadah kita yang kecil dan penuh dengan cacat cela itu.

Sebenarnya bukan tak ada situasi yang mana Allah impressed atau berasa kagum dengan hamba-Nya.

Ada beberapa hadis, antaranya yang dikisahkan oleh Muawiyah R.A berkenaan dengan sekelompok sahabat yang sedang membuat halaqah di masjid nabi. Allah menzahirkan kekaguman-Nya, dengan memerintahkan Jibril untuk memberitakan kepada Rasulullah S.A.W bahwa Dia sedang menyebut-nyebut tentang hamba-Nya, yang sedang duduk bersama-sama atas maksud untuk membesarkan Allah dan mengingati dan menyesali dosa lampau mereka.

Tapi sudah tentulah maksud kagum Allah itu tidak sama dengan kagum hamba. Allah sebenarnya sedang memuliakan, dan memberi ganjaran yang terlalu besar pada kita. Adapun kita tidak mengetahuinya.
Dalam hadis yang lain pula, Allah menyatakan bahawa Dia kagum kepada pemuda yang tidak memiliki sifat shabwah yang bermaksud, kejahilan dan keanak-anakkan.

Bermakna, seorang yang muda remaja, apabila di usia keemasan, tetapi sudah mula sibuk dan peduli perihal akhirat, Allah bangga dengan mereka. Iyalah. Di saat sahabat sebaya dengannya sibuk tentang Chelsea lawan Shaktar Donesk, dia sibuk tentang tahajjudnya. Di saat sahabat seusianya sibuk tentang K-Pop, dia sibuk dengan tilawahnya. Di saat orang seumur dengannya sibuk melalaikan diri berhibur, dia pula sibuk menjadi khadam kepada ilmu dan khadam kepada Allah Yang Esa. Di saat orang lain bercinta-cintan, dia pula mabuk dengan tasbih dan tahmid kepada Allah yang telah mencipta-Nya.

Allah kagum. Allah impressed dengan mereka!

Dan sebagaimana saya katakan tadi, kagum Allah itu taklah sama dengan kagum kita. Tapi ia bermakna, betapa besarnya dan utama, hamba itu di sisi-Nya. Sungguh, saya sungguh mahu menjadi orang sebegitu. Muda pada jasad, tapi 'tua' pada amalan.

Akhir sekali, saya mahu menyimpulkan bahwa sebenarnya tidaklah satu kesilapan untuk kita melakukan sesuatu atas maksud mahu membuatkan Allah suka kepada kita. Kita perlu ingat, tingkatan-tingkatan ikhlas itu banyak. Yang terendah ialah bila kita melakukan satu ketaatan, kita berharapkan ampunan, pahala, dan rahmatnya. Adapun maqam tertinggi ialah melakukan ketaatan atas makna cinta. Dia tak berharap apa-apa, tapi semata-mata kerana cinta.

Hingga berkatalah seorang wali Allah yang mahsyur, yang kita semua kenal namanya itu, "Ya Allah, jika aku beramal kerana takutkan nerakamu, maka masukkanlah aku ke dalamnya. Ya Allah, jika aku beramal kerana mahukan syurgamu, maka haramkanalha syurga itu buatku".

Saya sengaja tak menuliskan nama wali Allah (wanita) itu kerana ada juga ulama yang berkata, kata-kata itu tidak dapat dipastikan adakah ia benar-benar keluar daripada orang itu. Jadi, kaedah fiqh mengajar, 'keluar daripada khilaf itu adalah lebih utama'.

Jadi, saya cuma kongsikan pengajarannya, bukan lapisan-lapisan selainnya.

Semoga kita, atas apapun kerjaya dan posisi kita, kita takkan lelah dan berhenti untuk melakukan perkara-perkara yang membuatkan Allah suka kepada kita. Juga, kita atas apa-apa sahaja situasi, keadaan, dan posisi pun, Tidak akan sekali-kali melakukan perbuatan yang boleh membuatkan Allah marah dan benci kepada kita!

---------

Saat saya menoktahkan artikel ini, hati saya rupanya berbisik, "Adakah aku menulis kerana-Nya, atau kerana mahu impress orang?"

Nauzubillah. Cukup takut, apabila kita mempertuhankan makhluk dalam urusan ibadah.
Astagfirullahal azim...