Perkongsian : La ikro ha fiddin

Perkongsian : La ikro ha fiddin
Selama 2 tahun kebelakangan ini, saya diizinkan untuk mengenali ragam manusia yang pelbagai. Ada yang positif tapi kebanyakannya tidak. Hasil pemerhatian yang sama menemukan saya dengan lompang-lompang cela serta luah-luah kerosakan pada diri saya sendiri, semestinya.

Atas nama perkongsian, saya menulis artikel ini.  Moga ada manfaatnya.

Perbualan.

"Aku tengok kau ni tiap-tiap malam bukannya buat apa pun kat rumah. Apa kata kau datang surau. Ada solat berjemaah... ada majlis agama..."

Dia hanya mengangguk.

"Kita hidup ni tak lama. Jadi mahu atau tidak, kita perlu membuat bekal... bla..bla.. bla.."

Dia mula jadi tidak senang duduk. "Tapi aku pernah dengar 'La ikro ha fiddin'. Tidak boleh memaksa.."

Itu satu situasi.

"Aku tengok kau ni dah lama benar tidak bersolat..."

"Tiada paksaan dalam berdakwah :) "

Situasi kedua.

Banyak lagi, tapi cukuplah...

La ikro ha fiddin.

Ini ialah ayat al-Quran. Dipetik daripada ayat 256, surah al-Baqarah.

Ayat ini sangat kerap ditimbulkan dan diguna sebagai alasan, bahkan sebagai peluang untuk menghalalkan maksiat. Lebih buruk, ia juga dijadikan tempat untuk berlindung daripada seruan-seruan perubahan dan dakwah.

Dari siapa dan kepada siapa?

Mungkin ini memang sifat manusia sejagat. 'Suka belajar sekerat-sekerat'. Ramai tidak melihat asbabun nuzul atau sebab apa ayat ini diturunkan.

Ada suatu riwayat tentang sebab turunnya ayat ini. Seorang lelaki bernama Abu Al-Husain dari keluarga Bani Salim Ibnu Auf mempunyai dua orang anak lelaki yang telah memeluk agama nasrani sebelum Nabi Muhammad saw diangkat menjadi Rasul. Kedua anak itu datang ke Madinah (setelah munculnya agama Islam), maka ayah mereka selalu meminta agar mereka masuk agama Islam dan dia berkata kepada mereka, “Saya tidak akan membiarkan kamu berdua, hingga kamu masuk Islam.” Lalu, mereka mengadukan perkara itu kepada Rasulullah saw. dan ayah mereka berkata, “Apakah sebagian dari tubuhku akan masuk neraka?” Maka turunlah ayat ini, lalu ayah mereka membiarkan mereka itu tetap dalam agama semula.

Ayat ini dituju kepada orang yang bukan islam. Tiada paksaan untuk memeluk agama islam!

Wahai insan.

Adapun, orang islam yang sedia beragama islam, mengapa menggunakan ayat ini untuk membisukan seruan-seruan kebaikan?

Saya terkilan sebenarnya. Cuma, peluang untuk memberi penjelasan, timbul tenggelam. Mungkin kerana hubungan saya dengan madu'u masih ampuh, saya tidak terus saja berhujah mematahkan pandangan dangkal mereka.

Untuk apa jika perdebatan jika tidak membawa kebaikan kepada iman? (soalan ini diajukan kepada ahli agama yang suka sangat berdebat atas niat mahu merendah ilmu orang lain)

Saya memberi sebuah situasi. Kita di Mesir atau di mana-mana saja, asalkan bukan di Malaysia.

Setiap negara, perundangannya berbeda-beda. Malaysia, pastinya ada beza dengan Amerika. Walau tidak banyak, tapi masih ada.

Seseorang yang mahu menginap di Amerika, walau berat... walau perit, mereka tetap harus menerima ketetapan-ketetapan dan juga segala perundangan itu.

Sama halnya dengan islam

Kita sudah islam, jadi mahu atau tidak... berat atau ringan... kita mesti mematuhi peraturan yang ada dalam islam. Kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan sebuah kebinasaan kepada diri kita.

Kerana itu, mengapa perlu 'marah' dengan orang yang mengajak kepada kebaikan?

Saya aneh...

Jika dalam urusan dunia, kita sanggup jadi tempang semata-mata mahu terus hidup tapi kenapa dalam urusan akhirat, kita tidak sanggup digigit unggas kerana mahu memasuki syurga?

Apakah murah benar harga syurga hingga ia boleh dibeli tanpa tumpahnya keringat?

Apapun, tiada paksaan dalam beragama. Paksaan hanya ada disana, jika kita mahu ke syurga

Perkongsian: Butakan mata, pekakkan telinga?

Perkongsian: Butakan mata, pekakkan telinga?
Ramai yang diajak untuk solat berjemaah, tapi tak ramai yang menyahut seruan itu. Mengapa? Adakah kerana kejahilan dalam memahami hakikat berjemaah atau kerana malas, kedekut atau belum bersedia untuk mati?

Semoga artikel ini boleh memberi pemahaman dan penjelasan yang lebih berkenaan solat berjemaah.

Hukum Solat Berjemaah.
Fuqaha' berbeza-beza pendapat tentang hukum berjemaah di masjid bagi solat fardu.

Pendapat pertama: Fardu Ain, tetapi bukan syarat sah solat.

Ulama yang berpendapat begini, antaranya ialah 'Atha Ibn Abi Rabah, Hassan al- Basri, Abu Tsauri, al-Auza'i, dan lain-lain.

'Atha Ibn Abi Rabah pernah berkata: "Tidak ada bagi seorang makhluk Allah yang tinggal di kota, atau di dusun mendapat keizinan untuk meninggalkan solat berjemaah apabila telinganya mendengar seruan azan"

Perkara ini diperkuatkan lagi dengan peristiwa seorang lelaki buta, Ummu Maktum yang meminta izin untuk tidak menghadiri solat berjemaah. Alasannya konkrit, juga kukuh. "Aku buta"

Pada awal, Rasulallah seakan-akan hampir memberi izin. Namun, Baginda bertanya, "Adakah kamu mendengar azan?"

Ummu Maktum menjawab ringkas, "Ya"

Lalu Baginda bersabda: "Tidak saya mendapati keizinan kepadamu untuk kamu meninggalkan solat berjemaah"- hadis riwayat Ahmad.

Bagi saya secara peribadi, saya sangat kasihan dengan kebanyakan manusia yang rumah mereka kadangkala bersambung dengan bumbung masjid dan surau, bahkan corong-corong speaker masjid, adakalanya terus menghala ke dalam rumah-rumah mereka. Pun begitu, sunyi mereka daripada mendatangi rumah Allah.

Cuma satu. Jika si buta pun wajib, bagaimana dengan si celik? Benarlah... hati yang buta itu jauh lebih sengsara.

Kedua: Fardhu Ain dan syarat sah solat.

Berikut ialah pendapat Imam Daud bin Ali juga pendapat Ibn Taimiyyah dan murid-muridnya.

Ketiga: Solat berjemaah di masjid ialah fardu kifayah.

Nah! Kita dan majoriti penduduk bumi berpegang dengan pendapat ini. Penyokong pendapat ini ialah penyokong Imam Abu Hanifah, penyokong Imam Malik dan penyokong Imam Syafie.

Keempat : Imam Abu Hanifah dan Imam Malik berpendapat berjemaah itu sunnat.

Setiap ulama yang mengeluarkan pendapat, mereka punya hujjah dan dalil-dalil penguat dan penyokong. Ya, mereka bukan seperti kita yang ilmu hanya setitik, tapi berlagak seperti selautan. Mengeluarkan fatwa dari logik akal, bahkan!

Kerana wujud perbezaan pendapat, wajar kita melihat kepada sebuah kata-kata  Ibnu Mas'ud:

"Sesiapa yang suka untuk menemui Allah di hari akhirat nanti sebagai seorang muslim, hendaklah dia memelihara solat setiap kali diserukan kepadanya, kerana menegakkan solat berjemaah itu ialah 'sunanul huda'. Sesungguhnya Allah telah mensyariatkan kepada Nabi mu beberapa sunnah. Sekiranya kamu enggan berjemaah dan lebih suka solat bersendirian di rumah, maka kamu telahpun meninggalkan sunnah Nabimu. Jika kamu meninggalkan sunnah Nabimu, maka tentulah kamu sesat".

"Tiadalah seorang lelaki yang membaguskan wuduknya kemudian menuju ke satu surau atau masjid, melainkan Allah akan menuliskan baginya tiap-tiap satu langkah kakinya, satu kebaikan. Allah juga akan mengangkatkan satu darjat padanya dan juga memadam serta mengampunkan satu dosa padanya. Sungguh kami telah melihat jemaah dimana tidak ada yang tidak hadir, melainkan orang-orang munafik yang telah terang-terang munafiknya. Dan pernah, seorang lelaki dipapah dengan dua orang semata-mata agar dia dapat turut sama berjemaah"

Hadis Riwayat Muslim.

Kita lihatlah dengan mata hati kita. Hadam dan selami betul-betul.

Adakah cukup dengan kita solat sendiri di rumah, untuk kita mengaku sebagai ummat Baginda s.a.w ?

Adapaun, dalam mazhab Hanafi dan Maliki, ulama-ulama mazhab itu menetapkan bahawa tindakan meninggalkan jemaah ialah berdosa, walaupun bagi mereka, solat berjemaah itu hukumnya solat muakkad. Dan sunnat muakkad bagi mazhab-mazhab itu tidak sama dengan sunnat muakkad dalam mazhab kita (syafi'i). Dalam mazhab mereka, orang yang meninggalkan sunat ialah tercela!

Bagaimana dengan solat berjemaah di rumah sahaja?

“Demi Dzat yang jiwaku berada di tangan-Nya. Sungguh, aku pernah bertekad untuk menyuruh orang membawa kayu bakar dan menyalakannya, kemudian aku akan perintahkan orang untuk mengumandangkan azan untuk solat berjama'ah. Kemudian, akan aku suruh salah seorang untuk mengimami orang-orang (jemaah) yang ada lalu aku akan berangkat mencari para lelaki yang tidak ikut shalat berjama’ah itu supaya aku bisa membakar rumah-rumah mereka.” -HR. Bukhari [644] dan Muslim [651].

Selepas satu demi satu dalil dikemukakan, para ulama menyimpulkan walaupun kita bersolat berjemaah di rumah, namun kewajipan itu masih belum terangkat sekiranya tadi, kita mendengar azan. Hanya orang yang uzur dan sakit sahaja terkecuali.

Satu situasi yang biasa dilihat.

"Eh... jomlah solat berjemaah.."

"Er.. kau sajalah yang pergi..."

"Alaaa... rugilah kalau kau tak nak pergi. Kan solat berjemaah diberi 27 kali ganda pahala berbanding solat sendirian.."

"Aku tahu. Tapi tak apalah. Biarlah aku dapat satu pun jadilah"

Berdepan dengan orang-orang begini membuatkan saya muak bercampur kasihan.

Benar, banyak variasi hadis tentang ini. Ada 27 dan ada 25. Pun begitu, ini sama sekali bukan dalil yang menyatakan kepada kita solat berjemaah itu tidak wajib tapi ia cuma memberi gambaran, bahawa solat sendirian itu sah. Ya, sah dan cuma sekadar itu.

Sendiri.

Saya melihat sendiri. Orang yang kakinya sering ke masjid dan surau, Allah benar-benar bantu hidupnya. Di tempat saya, orang yang menganggur mudah dapat kerja. Orang yang sakit pun mudah dapat kesembuhan. Ah, banyak lagi!

Segalanya bermula dengan keberkatan. Bukankah Allah berfirman dalam surah ali-Imran ayat 31.

"Kamu sayang Allah? Maka, ikutlah Rasulullah s.a.w"

Solat berjemaah itu adalah sunnah Baginda yang besar. Antara yang paling besar, bahkan!

Elehhh..orang yang sembahyang berjemaah tu sah ke solatnya?

Ini prasangka yang zalim. Berilah dan lemparkanlah persepsi buruk kepada kami, orang surau.

Dalam sebuah hadis ada diceritakan bagaimana Allah calculate dan nilaikan solat kita melalui tahap kekhusyukan kita. 1 per 10 hinggalah markah penuh, 10 per 10.

Lalu, bagaimana kita dapat memastikan yang kita khusyuk?

Imam Ghazali sendiri mengambil masa 20 tahun untuk dia kuasai ilmu khusyuk dalam solat. Ya, dia bukannya si pelaku maksiat seperti kita. Lalu, bagaimana kita boleh pastikan solat kita bukannya solat 'kain buruk yang dilempar kembali kepada muka kita' ?

Dengan solat berjemaah.

Ini sifirnya. Dan ini yang diajar oleh guru saya.

Mungkin dalam satu jemaah, ada yang khusyuknya hanya 1 per 10, dan ada pula, 3 per 10 dan mungkin imam itu, 6 per 10. Maka, Allah dengan kasih dan rahmat-Nya, akan menerima semua solat orang-orang ini kerana berkat kecintaan mereka kepada sunnah Rasulullah s.a.w iaitu solat berjemaah.

Kesimpulan.

Apa guna saya bawakan banyak dalil? Jika saya mahu, insyaAllah masih banyak dalil yang boleh saya utarakan.

Tapi ia tidak akan membawa kita kemana-mana jika hati kita memang sudah mati untuk mencintai Rasulullah.

Moga saya dan para pembaca dilindungi dari penyakit itu.
 

Hasad kepada Ghibtah

Hasad kepada Ghibtah
Apabila sesuatu itu dikaitkan dengan hati, maka jawapannya ialah jerih. Susah, bahkan sukar.

Menjaga kesucian hati, ia tidak semudah kanak-kanak menjaga baju sekolah daripada dikotori. Mereka, boleh saja menukar pakaian seragam yang serba putih dengan baju sukan, sebelum bermain agar kesucian pakaian tadi tidak terjejas.

Tetapi manusia? Bisakah kita meninggalkan hati kita diluar?

Oh! Binasalah jika begitu! Lalu, bagaimana?

Kerana hati sifatnya berbolak-balik (berubah-ubah), maka kita perlu berusaha untuk 'mengubah'.

Salah satu penyakit yang timbul pada hati setiap daripada kita ialah penyakit hasad. Ya. Saya yakin semua manusia punya penyakit ini (kecuali manusia-manusia yang dekat dengan Allah dan diselamatkan-Nya).

Dalam sebuah hadis, diceritakan bahawa hasad adalah dilarang keras, kecuali pada dua tempat iaitu kepada orang yang kaya yang menggunakan hartanya di jalan Allah semuanya, dan orang yang memahami al-Quran yang menghabiskan masanya, dengan mentelaah, memahami dan beramal dengan kalam Ilahi.

Dan ulama memberi penafsiran tentang ini.

Apa itu hasad?

Literasi, hasad ini seringkali berkait rapat dengan keinginan kita untuk memiliki suatu kebaikan yang ada pada orang lain dan dalam masa yang sama, kita mahu jika orang tadi mendapat bala. Maknanya, kebaikan tadi dicabut daripada orang itu dan kembali kepada kita.

Contoh: Sahabat kita dikasihi dan disenangi orang. Kita buruk-burukkan nama dia. Fitnah dilempar dan akhirnya, sahabat tadi dibenci sedang kita pula dipuji.

Kerana itu, hasad ialah satu yang haram. Haram yang hakikat.

Dan dalam hadis tadi, ulama menghuraikan yang hasad pada dua golongan itu, bukannya hasad, tetapi ia dikenali sebagai 'ghibtah'.

Ghibtah, ialah kita mahu kebaikan yang dimilki orang itu, tapi tanpa sedikit pun keinginan agar kebaikan yang ada pada orang tadi, lenyap.

Bahasa moden, persaingan sihat.

Dalam islam, sesuatu yang membawa kepada keredhaan Ilahi ialah ibadah. Dan konsep ghibtah, sangat mirip dan dekat dengan kita.

Kita dituntut supaya bersaing dan berlumba-lumba dalam beramal. Ya. Itu.

Fastabiqul khairat

فَاسْتَبِقُواْ الْخَيْرَاتِ

surah al-Baqarah ayat 148.

"...berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan..."

Nah! ayat ini, bagi saya sangat cantik dalam konteks 'ghibtah'.

Kita dituntut untuk bersaing dalam melaksanakan amal soleh.

Kerana itu, saya senang mahu menarik perhatian diri saya sendiri khususnya, agar segera membuat transformasi. Kita tukarkan hasad, kepada ghibtah.

Kita buang karat, kepada kebersihan kerana 'ghibtah' itu lebih suci buat diri kita, masing-masing.

Kesimpulan.

Hasad itu jijik, tapi ia sejuta kali lebih jijik jika terpalit kepada ahli agama. Bukannya tidak pernah terjadi, Ustaz A memfitnah Ustaz B kerana Ustaz B, kala berceramah, akan ramai pendengar.

Sama.

Si alim A, mungkin akan diburu sedikit hasad dengan si alim B. Mungkin kerana penulisan si alim B, lebih ramai pembaca. Kerana itu, si alim A membuat fitnah dan membuat onar, dengan harapan dapat 'menghalau' dan mengganggu dakwah si alim B.

Jangan begitu.

Ya, ia satu peringatan buat saya.

Cerpen: Akhirat dalam dunia

Cerpen: Akhirat dalam dunia
Sebuah lukisan lama yang tergantung kemas di dinding rumah kecil itu dipandangnya lama. Gambar deretan kedai lama tahun 60-an memberi seribu macam pengertian dan makna, membangkitkan memori insan-insan yang berkesempatan hidup di zaman itu.

Fadhil Azizi tersenyum sendiri. Masih terngiang-ngiang di telinganya cerita-cerita daripada arwah datuknya tentang zaman awal selepas merdeka dahulu. Dahulu, masyarakat hidup serba dhaif. Teknologi terhad, bahkan tidak juga sehebat dan segarang kini. Datuknya, Tok Ali dibesarkan di kampung. Ya, benar-benar orang kampung. Terpaksa berjalan kaki sejauh 10 kilometer sehari untuk ke sekolah, mandi sungai, memancing ikan sembilang sebesar tapak tangan dan bermacam-macam lagi perkara yang hampir semuanya tidak pernah Fadhil Azizi buat.

"Fadhil tersenyum sorang-sorang ni kenapa?"

Satu suara wanita yang serak-serak menjentik halwa telinga Fadhil Azizi. Lantas dia berpaling ke arah suara itu.

"Taklah. Fadhil cuma teringat dekat arwah atuk...", balas Fadhil Azizi sambil tersenyum. Matanya kelihatan seperti tertutup saat dia melemparkan sebuah senyuman indah buat wanita tua yang berjalan lambat-lambat ke ruang tamu lalu duduk di sofa, sebelahnya. Tangannya yang berkedut memegang erat sebuah gelas, yang Fadhil Azizi yakin, dalamnya ialah susu.

"Nenek tak tidur lagi ke?", tanya Fadhil Azizi kepada wanita tua itu. Wanita itu ialah neneknya, Hajah Esah. Ya, wanita itu ialah isteri kepada arwah datuknya yang sudah lebih setahun pergi mengadap Ilahi.

"Entah. Nek belum dapat tidur lagi...", balas Hajah Esah sambil menghirup susu yang masih berasap dalam gelas yang dipegangnya kemas. Wajahnya yang sedia berkerut, nampak semakin ketara kedutannya saat bibir tuanya bertemu dengan bibir gelas. Mungkin kerana minuman itu masih panas, barangkali begitu.

"Nenek gembira tengok kamu...", tiba-tiba Hajah Esah bersuara, sayu. Gelas tadi diletakkan di atas meja kayu. Matanya yang jelas sudah kabur dimamah usia yang lanjut, memandang tepat kearah cucunya. Cucunya yang sentiasa dirindui, cucu yang juga selalu muncul dalam mimpi, juga cucu yang selalu bermanja dengannya suatu ketika dahulu.

"Maafkan saya nek..", Fadhil Azizi bungkam. Ditundukkan kepalanya memandang lantai lantaran diburu rasa bersalah. Tanpa rasa berat hati, dia mengakui kesalahannya. Dia gagal untuk melawat neneknya sejak 3 tahun yang lepas. Puncanya tetap satu, iaitu dia berada jauh di bumi Madrid, Sepanyol. Dia melanjutkan pelajarannya dalam bidang kejuruteraan pembuatan di sana.

Kerana kos hidup yang tinggi, ditambah pula dengan bantuan biasiswa yang sentiasa tidak mencukupi, Fadhil Azizi hanya mampu menangis di atas sejadah saat kerinduan kepada datuk dan neneknya memuncak. Bahkan, saat dikirimkan khabar daripada bapanya tentang kematian arwah datuknya, Fadhil Azizi hanya mampu menyambut dengan tangis.

Empangan air matanya pecah, juga hatinya. Terkapai-kapai tangannya mahu pulang ke bumi tercinta. Cuma, dia manusia yang tidak diciptakan dengan sayap. Ah, sekiranya punya sayap, pasti dia akan rela terbang beribu batu untuk pulang.

Kini, selepas 3 tahun dia mengutip mutiara ilmu di bumi Andalusia, dia pulang juga akhirnya dengan sebuah kekesalan iaitu dirinya hanya sempat bertemu dengan batu nisan arwah datuknya.

"Tak apalah Fadhil... Nenek faham. Apapun, nenek rasa bersyukur dan seronok sangat kamu sudah pulang semula..", luah neneknya. Dimaniskan kembali wajah tuanya, membangkitkan aroma ceria kembali pada isi rumah itu.

Mereka berbual mesra beberapa ketika sehingga Hajah Esah menguap beberapa kali. Akhirnya, dia ke kamar, meninggalkan cucunya yang masih setia duduk di sofa kayu di ruang tamu, melayan kenangan yang pernah muncul antara dia dengan arwah datuknya. Tanpa sedar, dia menangis sendirian di hadapan lukisan klasik di dinding sana.

***

"Fadhil... bangun... bangun.."

Fadhil Azizi yang sedang enak melingkarkan tubuhnya dalam selimut tersedar apabila merasa sentuhan di kakinya.

Dengan malas-malas dan susah payah, dia cuba membuka mata. Dilihatnya, wajah Tok Ali sedang tersenyum tenang, duduk di hujung kakinya.

"Fadhil... bangun. Nak masuk waktu subuh dah ni..", suaranya lembut, memecah hening pagi di Kampung Seri Kekwa.

Fadhil Azizi yang ketika itu masih lagi bersekolah rendah, duduk. Dia mengesat-ngesat matanya. Rasa mengantuk masih kuat memburu, hingga hampir-hampir saja dia kembali ke pembaringan sebelum suara datuknya sekali lagi menyeru dia untuk berganjak ke bilik air. Akhirnya dia bingkas jua.

Dari rumah kayu beratap zink dan bercat putih, mereka berdua berjalan seiringan ke masjid al-Hamdaniyyah yang cuma kurang seratus langkah sahaja. Fadhil Azizi memakai baju sebanyak tiga lapisan! Bukannya apa, di kampung ini, subuhnya luar biasa sejuknya hingga kadangkala ia menikam hinga terasa di hujung-hujung tulang. Berbekalkan sebuah lampu suluh yang perlu diketuk-ketuk sedikit untuk ia memancarkan cahaya, mereka berselawat perlahan, diketuai oleh Tok Ali pastinya.

Subuh itu, sebagaimana  juga waktu-waktu solat yang lain, diimamkan oleh Tok Ali. Ya, dia ialah imam di kampung ini. Ketua dalam segala yang berkaitan dengan agama.

Tok Ali, lelaki tua yang kaya dengan senyum serta cantik dengan budi, bukannya orang yang terpelajar pun. Itu yang diberitahu kepada Fadhil Azizi.

"Atuk ni tak sempat nak belajar. Tak pernah ada peluang nak belajar pun. Sejak kecil sudah masuk hutan. Membesar di sana, bersabung nyawa untuk membesar dengan dikelilingi oleh binatang buas dan berbisa. Ah, terlalu besar bezanya antara zaman atuk dahulu dengan kamu sekarang ni..."

Fadhil Azizi terenyum sebentar. Ternyata apa yang dibicarakan itu benar.

Selesai solat subuh berjemaah, dia, datuk dan juga neneknya bersarapan. Bersarapan bersama, dengan erti kata yang lain, Fadhil Azizi akan turut serta bersama datuknya ke dusun sebentar nanti! Pastinya dia tidak boleh tidur selepas solat subuh, seperti kebiasaanya selalu.

Ubi kayu rebus dimakan bersama kelapa dan dipadankan pula dengan kopi panas. Ah, nikmatnya terasa sampai ke hujung kerongkong!

Tidak lama selepas bersarapan, Fadhil Azizi menyarung sehelai seluar panjang. Tali kasut diikat kemas, lalu dicapainya sehelai tuala kecil, dibelit pada lehernya. Cuti persekolahan itu benar-benar mahu dihabiskan bersama datuk dan nenek. Ini bukanlah kali pertama, bukan juga yang kedua dia menghabiskan cuti bersama dua insan yang melahirkan dan membesarkan bapanya, bahkan sejak dia masih bayi lagi, dia banyak dibesarkan di sini, di kampung ini kerana ayah dan ibunya sering ke luar negara atas urusan kerja. Lalu, dia banyak benar merasa kasih sayang daripada dua insan ini. Mereka terlalu istimewa, bahkan.

"Fadhil... tolong atuk...", pinta Tok Ali lembut. Dia memikul sekarung baja, untuk ditabur pada anak pokok yang baru sahaja belajar untuk meneroka langit. Deretan anak-anak pohon langsat, tersusun kemas, menunggu untuk diberi baja dan juga siraman.

Pagi itu, kerja Fadhil Azizi tidak banyak, sekadar membantu mengurus anak-anak pokok itu. Datuk dan neneknya, lebih berat bahkan. Kerja cangkul mencangkul, walau jerih, masih tetap mampu ditanggung oleh tulang-temulang mereka yang sudah berusia. Ya, mereka masih kuat, masih sihat.

Menghampiri tengahari, mereka beriringan pulang. Fadhil Azizi tidak berehat lama. Baru sahaja matanya mahu tertutup dek asyiknya dengan pupuk-pupuk angin di bawah perdu pohon rambutan, Tok Ali bersuara kuat dari jendela.

"Sudah lah tu Fadhil... pergi siap-siap. Zuhur tak lama lagi..."

Dengan senyuman hambar, terus sahaja lelaki tertubuh kecil itu ke bilik air.

Malam, selesai solat isyak, Fadhil Azizi akan belajar kitab dengan datuknya. Walaupun Tok Ali bukan orang yang pandai membaca tulisan rumi, tetapi dia cukup hebat dalam membaca dan menulis tulisan jawi. Kitab kuning, usang bahkan, ditatap lama oleh Fadhil Azizi. Matanya yang bujur, sekejap dijegilkan, sekejap dikecilkan pula. Iya! Itu masalahnya. Kitab lama, tulisannya pun lama, bahkan kecil. Pun begitu, bimbingan daripada Tok Ali sekali pun tidak memberatkannya, bahkan memudahkan pula. Semuanya.

"Fadhil tahu apa itu dunia?", Tok Ali cuba memerangkap.

Fadhil Aizizi tergelak kecil. Segera dilengkup mulutnya dengan tangan, menahan tawa dari terus berjela.

"Apa soalan atuk ni? Siapa tak tahu dunia? Dunia itu, semua inilah...", jawab Fadhil Azizi sambil kedua belah tangannya diangkat sambil kepalanya menoleh ke kiri dan ke kanan.

"Kalau begitu, apa itu akhirat?", tanya Tok Ali lagi. Dia kini tersenyum, pasti tersirat.

"Akhirat, itu perkara yang belum berlaku", balas Fadhil Azizi pula.

"Jika begitu, apa beza dunia dengan akhirat?"

Diam. Serta merta lelaki bertubuh kecil yang sedang memakai baju nipis berwarna biru itu diam. Diam bukan bererti dia mati akal, cuma otaknya sedang  bekerja keras untuk menggali sebuah jawapan. Berkerut kerut dahinya, walau tadi ia tenang.

"Dunia, segala yang ada sudah ada, tapi akhirat, belum ada", akhirnya jawapan itu terluah.

Tok Ali ketawa kecil. Senyumannya meleret. Anak murid kepada Tok Guru Haji Ibrahim Kuala Semberang itu memandang cucunya. Tajam dan tenang.

"Kurang tepat itu. Jika akhirat belum ada, mengapa Rasulullah s.a.w berpesan agar kita mencari akhirat? Adakah ia bererti, kita, mencari suatu yang tidak ada?"

Tersentak Fadhil Azizi. Wajahnya berubah rasa. Tergamam dia sebentar. Bukan apa, dia cuma tidak terfikir, bahkan tidak pula menyangka akan itu.

Lama dia terdiam. Sesekali memandang lantai dan lama memandang wajah tenang Tok Ali.

"Akhirat itu ialah segala-gala yang membawa kita untuk mendekati dan mengenali Baginda s.a.w. Kerana itu, ia sentiasa wujud sejak di dunia lagi, dari dahulu sampailah akan datang", terang Tok Ali lembut.

Fadhil Azizi mendengar dengan teliti. Sesekali kepalanya diangguk-angguk sedikit.

"Akhirat sentiasa ada. Contoh ialah komputer. Zaman atuk dulu, mana ada komputer! Kalau ada pun, itu pada zaman ayah kamu. Orang selalu fikir yang komputer ini ialah dunia. Ya, memang pada sudut pandang zahir, komputer ini sifatnya duniawi. Tapi menurut pengertian ulama sufi, itu ialah akhirat sekiranya kita menggunakan komputer tadi untuk memperkasakan diri kita dengan kefahaman islam", terang Tok Ali lagi.

"Sama juga dengan kereta. Orang sebut-sebut yang kereta ialah sifat dunia. Tidak salah. Tapi ia juga bekalan ke akhirat sekiranya ia digunakan untuk kebaikan"

"Kerana itu Allah berfirman dalam ayat 77 pada surah Al-Qasas. Kita dituntut untuk mencari akhirat, iaitu mencari redha Ilahi dengan setiap benda yang ada pada kita. Kereta, komputer, emas, telefon... apa-apa saja boleh dijadikan bekal akhirat, jika matlamat dan niatnya ialah ke sana".

Fadhil Azizi tersenyum. Dia faham, benar-benar dia mengerti. Malam itu, dia belajar suatu benda baru yang membawa dirinya mengenali dunianya.

"Fadhil nanti besar nak jadi apa?", tiba-tiba saja Tok Ali bertanya.

"Engineer", balas Fadhil Azizi laju. Senyuman manis melekat di bibir.

"Baguslah jika Fadhil minat itu. tapi ingat kata atuk tadi... walau kita menuntut ilmu dunia, ia akan menjadi pulangan berbentuk pahala yang menggunung jika kita gunakan untuk mencari akhirat. Jadilah engineer yang menyumbang kepada islam...", Tok Ali memegang bahu Fadhil Azizi. Pandangan mata mereka bertembung. Nampak benar ada kesungguhan di balik sinar matanya yang berkaca-kaca itu.

Fadhil Azizi mengangguk, menguntai janji.

"Ni... atuk nak beri satu benda ni...", Tok Ali bangun.

"Atuk nak beri apa?", tanya Fadhil Azizi hairan. Kepalanya didongak keatas, memandang datuknya yang sudah berdiri dan berpusing.

"Tunggu jap... atuk nak ke bilik..", balas Tok Ali lalu beredar meninggalkan Fadhil Azizi yang masih duduk bersila atas lantai du ruang tamu itu.

Kesempatan itu digunakan untuk berfikir. Ya, dia berfikir dan sedang menghadam ilmu-ilmu baru yang diterima daripada datuk tercinta.

"Kriiinnnggggg!!!" "Kriiinnnngggg!"

Bunyi telefon di meja mengejutkan Fadhil Azizi. Hajah Esah yang sedang membuat adunan kuih tepung pelita menjerit perlahan di dapur, menyuruh Fadhil Azizi menjawab telefon. Segera Fadhil Azizi ke menganggkat ganggang.

"Assalamualaikum..", dia membuka bicara.

"Waalaikumussalam...", kedengaran satu suara garau di hujung talian. Suara yang sentiasa dirindu, suara bapanya!

"Ayah... kenapa telefon malam-malam buta ni? Takkan baru seminggu Fadhil kat sini, ayah sudah rindu?", tanya Fadhil Azizi sambil berseloroh. Dia ketawa kecil.

"Seminggu apanya? Dua tahun dah...", balas ayahnya penuh curiga.

"Er...", Fadhil Azizi terdiam. Dia hairan, bahkan. Segera dia bertanya, "Ada apa ayah?"

"Ayah nak beritahu, tapi ayah harap Fadhil dapat bersabar banyak-banyak ya nak. Ayah minta maaf", sayu suara ayahnya.

Serta-merta Fadhil Azizi diburu rasa cemas. "Kenapa ayah?"

Senyap sebentar. Satu keluhan berat terdengar di hujung talian.

"Atuk baru meninggal setengah jam yang tadi. Dia rebah masa orang baru habis solat jumaat tadi...", terang ayahnya.

"Haa?", Fadhil Azizi terkejut.

"Atuk ada dengan saya sekarang! Apa ayah merepek ni? Saya kan dekat kampung!", Fadhil Azizi bersuara keras. Dia hairan dan terkejut, bukannya sedikit!

"Astaghfirullah... sabar nak.. Mengucap... Fadhil kan dekat Madrid sekarang...", ayahnya memujuk, sayu.

Sekelip mata, ruang tamu rumah kayu itu berubah. Sekelilingnya, bukan lagi kayu-kayu tapi dinding batu. Pakaiannya bukan lagi kain pelikat, tapi seluar panjang tebal. Ya! Dia di bumi Andaluasia!

"Atuk meninggal?"

"Atukk....!!!"

"Atukk...!"

"Atuuuuuuukkkkkkkkkkkkkk!!!"

"Ya Allah.. Fadhil.. bangun.. Bangun...", Haja Esah menggoyang-goyangkan tubuh Fadhi Azizi yang sedang berbaring di atas sofa. Tangan lelaki itu bergerak-gerak, pastinya tanpa sedar.

Fadhil Azizi tersedar apabila merasakan namanya dipanggil-panggil dan bahunya ditolak kasar. Matanya terbuka, luas dan penuh dengan tanda tanya. Matanya basah sedikit, kesan menangis.

"Ya Allah... kamu mimpi apa sampai terjerit-jerit ni?", tanya Hajah Esah. Dia sedang dalam pakain solat. Telekung putih bersih membalut tubuh tuanya. Dia duduk bertentangan dengan Fadhil Azizi yang masih nampak kehairanan dan sedikit terpinga-pinga.

"Saya mimpikan atuk...", perlahan Fadhil Azizi bersuara. Sayu. Hampir-hampir air matanya tumpah tapi tetap ditahan ia.

Hajah Esah tersenyum kelat. "Sabarlah ya... InsyaAllah atuk sedang berehat di alam sana. Dah la.. Fadhil bangunlah ya. Sudah pukul 5 pagi ni. Setengah jam lagi masuk waktu solat subuh dah..."

Fadhil Azizi yang sedang duduk bersila di sofa yang menjadi tempat tidurnya malam itu mengangguk-angguk.

Hajah Esah berdiri. Sebelum dia pusing, dia sempat berkata, "Lagi satu... kenapa Fadhil tidur di ruang tamu. Bilik kan ada.. Ish.. kamu ni memang... Sudahlah... sekarang kamu pergilah solat. Doakan atuk. Pastinya dia sedang menunggu-nunggu doa daripada kita..."

Fadhil Azizi mengangguk lagi. Saat bayang-bayang neneknya tenggelam di balik pintu, Fadhil Azizi teresak-esak sendiri. Tanpa tanda, tanpa jemput dan tanpa dibuat-buat, air matanya tumpah.

"Atuk... Fadhil rindukan atuk..."

Pagi itu, Fadhil Azizi memanjatkan doa istimewa buat arwah datuknya dengan harapan. Dia rindu, terlalu rindu...

Jangan Jadi 'Abdullah'

Gambar Hiasan.
Hari itu, langit kehilangan seri. Terpecah ia, berderai dan berkecai. Hari itu juga, bumi sudah hilang santunnya. Ia menjadi rata, sejauh mata memandang. Bumi yang dahulu sangat pemurah dan akrab dengan entiti manusia, hari itu meluap-luap muaknya, memuntahkan setiap isi yang berada dalam badannya.

"Celaka! Siapakah yang mengejutkan kami dari tempat tidur kami?", tiba-tiba satu suara bertempik. Satu kumpulan manusia, terpinga-pinga memandang keadaan sekeliling. Serta merta, rembesan rasa aneh menikam kalbu mereka.

Di suatu sudut, kelihatan satu kelompok manusia berwajah muram. Ya, sekali pun wajah itu tidak tersenyum, juga tidak punya lagi riak tawa. Rasa riang dan ceria yang berbunga-bunga suatu ketika dahulu mati, terus sahaja.

Dalam kalangan mereka, seorang lelaki bernama Abdullah memandang ke tanah. Sama sekali wajahnya yang gelap pekat tidak diangkat, apatah lagi untuk memandang ke sekililingnya.

Dalam rintih dan luluh hati, dia sendu-sendan.

"Oh Tuhan... rupa-rupanya benarlah kata-kataMu. Benarlah... dahulu, aku banyak benar berbuat dosa. Aku selalu mengabaikan solat berjemaah. Aku selalu solat dilewat waktu bahkan selalu juga aku mengqada' solat aku. Aduh... celaka betul aku! Habislah aku..."

Rintihan yang penuh dengan kekesalah itu ternyata bukan sahaja keluar pada bibir keringnya, tetapi juga kepada lelaki yang sedang berteriak dan teresak-esak di sebelahnya. Pun begitu, Abdullah tidak tahu.

"Aku menyesal! Dahulu, aku selalu saja menolak saat sahabatku, guruku, dan ibubapaku mengajak aku untuk menuntut ilmu agama. Aku menolak dengan beralasan aku sibuk! Padahal, aku menghabiskan masa dengan menonton movie dan main game. Aduhai... aku menyesal! Tak sangka diriku boleh jadi bodoh sebegitu. Masa dan umur, ah... cuma habis dengan hiburan sahaja. Aduhai..."

Lelaki yang betubuh kecil itu memeluk tubuhnya. Riak wajahnya jelas menampakkan betapa dia kesal dan menyesal.

Di satu sudut yang lain, beberapa orang lelaki dan wanita sedang bertegang urat. Mereka saling melemparkan sumpah seranah, juga saling menyalahkan antara satu sama lain.

"Hoi! Kamulah yang menyebabkan kami semua begini! Kamu menipu kami! Kamu datangkan bermacam-macam tipu muslihat, memperdayakan kami. Akhirnya, kami lalai dari menyembah Tuhan kami! Kamu patut bertanggungjawab!", seorang lelaki yang bertubuh sasa membentak kuat, diikuti oleh beberapa orang teman-temannya yang lain.

"Betul tu! Kau perlu bertanggungjawab keatas keadaan kami!", sambung yang lain pula.

Suasana benar-benar gawat. Hampir sahaja mereka bertumbuk.

Seorang lelaki yang dimaki dan dimarah sejak tadi menelan air liur. Dia memandang tepat ke setiap wajah orang yang berada di depannya. Wajahnya sama, muram dan tenggelam dengan kusut.

"Tidak! Bukan salah aku! Tetapi ia adalah salah kamu sendiri! Kamu yang tidak mahu menjadi orang beriman! Sekarang, kita sama-sama menanggung nasib kita. Nasib masing-masing!", suaranya hambar, tapi tegas. Yang pasti, dia juga buntu dan runsing akan nasibnya.

Abdullah yang memerhati golongan itu tidak sempat berfikir apa-apa. Kerisuan yang memuncak, menghalang dirinya untuk memikirkan orang lain. Dia, walau sudah punya isteri dan dua anak perempuan, sekali pun tidak teringat akan mereka. Ya, dia lupa terus! Sedang dahulu, sedetik pun tidak dia lupa akan ahli keluarga yang tercinta.

Abdullah tercungap-cungap. Dia merasa lelah, haus dan panas yang luar biasa. Bahkan, dirasakan seperti otaknya mahu mendidih cair, meninggalkan rasa perit dan siksa seakan-akan ditikam seribu bilah pisau sahaja.

Panas yang luar biasa itu beberapa kali menyebabkan dia tumbang. Rupa-rupanya, kepanasan itu datangnya daripada matahari yang membahang, kelihatan jaraknya sejengkal cuma daripada menyentuh ubun-ubunnya. Peluh, mengalir tanpa henti. Belum dikira dengan bau-bau yang busuk melingkar sekeliling tubuhnya.

"Wahai Nabi Allah... pintalah kepada Allah agar dicepatkan hitungan amal", sekelompok manusia merayu-rayu kepada seorang lelaki. Lelaki yang dirayu itu nampak risau, walau dia tidak tersiksa.

"Aku tidak layak...", dia bersuara.

Dengan berat dan kecewa, kelompok manusia itu berganjak menemui orang yang lain dan membuat permintaan yang sama.

Abdullah sekadar memandang. Tumpuannya masih terhadap dirinya sendiri. Dia benar-benar rasa tersiksa hingga dia mahu jika Allah mempercepatkan urusan hisab! Ya! Dia mahu itu walau dia tahu, siksaan dalam nereka itu berganda-ganda kali pedihnya!

Buat kesekalian kalinya, Abdullah bertambah risau, runsing dan sedih. Dilihatnya beberapa orang dihadapannya, wajah mereka dan anggota tubuh badan mereka bercahaya-cahaya. Bahkan, wajah mereka juga tersenyum-senyum, jauh beza dengan dia dan orang lain yang suram, muram dan bungkam.

Orang-orang yang bercahaya wajah dan anggota tubuh mereka itu berjalan ke suatu tempat, menuju seorang lelaki. Abdullah melihat tubuhnya, juga keadaannya. Hitam legam! Tiada sinar, hatta sedikit!

Pentas hisab bermula. Di bawah lembayung keadilan Ilahi, juga syafaat dari Rasullullah s.a.w, berbondong-bodong manusia melintas titian sirat, sebuah jambatan yang menghubungkan ke syurga, dengan sepantas kilat lajunya. Mereka itu melintas titi yang lebih halus daripada sehelai rambut, juga lebih tajam daripada mata pedang dengan begitu pantas.

Itu mereka.

Satu kumpulan lagi, terpaksa berlari. Ada yang berjalan bahkan tidak sedikit yang terpaksa merangkak. Namun, mereka tetap sampai ke seberang sana, ke syurga.

Adapun, satu kelompok manusia yang jauh lebih besar tidak berupaya membuat lintasan. Mereka tumbang, jatuh dan tersungkur ke bawah sana, ke neraka. Nun, api yang marak menyambar mereka. Terjerit terlolonglah mereka semua kesakitan dan keperitan, menanggung siksaan Ilahi. Semuanya!

Abdullah?

Ternyata dia juga berada dalam kalangan manusia yang gagal. Di tempat timbangan amal, tangannya, juga kakinya, juga seluruh kulitnya berkata-kata, menceritakan segala bentuk dosanya.

"Aku selalu melihat tubuh badan dan aurat wanita", matanya membuat pengakuan.

"Aku selalu membuat pembohongan dan menyebar cerita-cerita karut dan fitnah", bibirnya pula berkata.

"Aku selalu melangkah ke tempat hiburan", kedua kakinya bercerita.

"Aku pula selalu memegang benda yang berdosa", tangannya bersuara, jelek.

"Aku pula, selalu dipuaskan bukan pada cara yang sepatutnya!", alat kelaminnya juga turut membuat pengakuan.

Abdullah tidak berani memandang ke mana-mana. Dengan sosok yang masih hitam, amalannya ditimbang. Satu per satu.

Nah! dosanya lebih berat! Terlalu!

Tiba-tiba, datang beberapa orang lelaki kepadanya.

"Ya Tuhan kami. Orang ini pernah berbuat aniaya kepada kami di dunia dahulu! Dia mencuri harta kami. Dia mengumpat kami", luah orang-orang itu.

Abdullah bertambah kecewa. Dia, disaat itu, sudah pun mengetahui bakal tempat kembalinya ialah neraka. Dek kerana aduan itu, akhirnya dia terpaksa pula menanggung dosa-dosa orang yang pernah di aniaya dahulu. Kerana dia tidak punya pahala untuk diberi, dia akhirnya terpaksa menanggung dosa mereka. Maka, berjela-jela dan bertampuk-tampuklah dosa terbeban di bahu kirinya. Segalanya makin kelam, makin celaka.

Abdullah melangkah perlahan ke titian sirat. Menangis dia sekali lagi kerana dia tidak dapat melihat pun dimana titi yang harus dilalui. Cuma, api neraka yang marak sahaja mengaum-ngaum dibawah sana, siap sedia untuk menyambutnya.

Akhirnya, kakinya diangkat. Dia tumbang. Ke sana... ke sana...

****

Syafaat Rasulullah s.a.w sentiasa menunggu-nunggu kita pada tiga tempat iaitu di Mizan, di titian Sirat dan di Telaga Kausar.

Walau kita pendakwah, walau kita orang soleh, walau kita orang alim atau mungkin, kita ahli sufi, tetap kita masuk syurga atas rahmat daripada Allah semata-mata. Kerana itu, jangan sekalipun kita sombong di dunia.

Jangan juga kita sombong dengan Allah. Kunjungi rumah-Nya. Berulang aliklah ke masjid-Nya. Jadilah hamba-Nya yang sentiasa memperbaiki diri. Dan utama, ikutilah teladan Rasulullah s.a.w, kekasih-Nya.

Moga dengan itu, layak kita menerima syafaat Baginda kelak.

Jangan sakiti Baginda.

Jangan sakiti Baginda.

Jangan sakiti Baginda.

Perkongsian : Bersangka baik

Perkongsian : Bersangka baik
Satu masalah yang timbul (lebih benar; ditimbulkan) masa proses dakwah ialah 'persangkaan'. Saya tidak gemar untuk menafikan suatu kebenaran, walau ia tepat terkena batang hidung saya. Suatu fakta yang jelas dilihat oleh biji mata zahir manusiawi. Kita terlalu mudah berbicara soal 'husnu dzon' tapi dalam masa yang sama, penghayatan kita seringkali bersanggahan dengan tutur kata kita itu.

Apa itu bersangka baik?

Di sana terletak pelbagai pentafsiran yang saya yakin, semuanya akan betul selagi ia tidak bercanggah dengan apa yang dibawa oleh Rasulallah.

Yang saya kurang berkenan ialah apabila kita terlalu menjunjung 'sangka baik' sehingga membawa kita kepada 'membutakan mata sendiri'. Saya sesekali tidak pernah diajar jua diperingatkan untuk membuat pembohongan kepada diri saya sendiri.

Saya letak sebuah situasi.

Satu ketika, kita berziarah ke rumah saudara yang paksi hidupnya condong ke barat (jauh dari islam). Lalu, disaat kita menghulur salam, tiba-tiba sahaja suara yang gamat di dalam rumah, serta merta bertukar senyap sunyi seperti tanah perkuburan.

Disaat dan ketika itu, kita akan memilih satu daripada dua bentuk persangkaan. Antara bersangka baik, atau bersangka buruk, yang mana satu akan kita pilih?

Bijak pandai yang faham tuntutan agama, pasti akan bersangka baik.

"Dia solat kot..."

"Dia tidur kot..."

"Dia bercakap dengan telefon kot..."

Itu jelas lebih murni daripada meletakkan sangkaan, "Biasalah... orang macam dia memang sudah ditutup hatinya. Langsung tak mahu mendengar nasihat-nasihat... bla.. bla.. bla..."

Saat mahu bersangka buruk, berjuta versi boleh kita reka.

Pun begitu, kita dapat lihat kepada suatu persamaan pada dua situasi berkenaan iaitu 'samar-samar'. Apa maksudnya?

Maksudnya, kita tidak melihat dengan mata kepala kita.

Jadi, disana harus kita letak pembahagi.

Jika seorang lelaki yang curi-curi makan tengahari di bulan Ramadhan, adakah kita masih memilih untuk bersangka baik sahaja?

Jika saya sudah lihatnya sendiri, saya akan bertanya. Ya, bertanya dahulu bukannya melulu menyerang.

Cuma suatu yang saya hairan. Disebalik kebijaksanaan kaum muslimin, masih ada yang sanggup menelan pembohongan diri sendiri. Sesudah jelas dilihat dan dibuktikan oleh lojik akal, juga dikuatkan dengan bisikan hati, masih lagi ada yang termagu-magu, terkeliru di suatu sudut, lalu membiarkan pesalah menari-nari diluar kandang. Kandang pesalah yang harus ditempati oleh si pelaku dosa, akhirnya kosong dan mengundang murka Ilahi.

Membiarkan pesalah disebalik bukti yang ada. Bukankah kita telah zalim?

Tunjang bagi semua, saya percaya, ialah hati.

Ya. Hati. Jika hati kita baik, maka persangkaan yang timbul juga baik-baik.

Saya suka membawa kita semua melihat bagaimana islam melayan 'persangkaan'. Di dalam hukum hudud, untuk ia terlaksana, si pesalah haruslah terbukti 100% bersalah.

Jika keyakinan hanya 90% dan selebihnya ialah keraguan, maka tergugurlah hukuman. Bukti harus solid dan kukuh.

Sama! Terlalu sama dengan kita, bahkan.

Selagi kita tidak melihat kecenderungan dan tidak dapat membawa bukti tentang kesahihan suatu sangkaan, lebih baik kita hanya membiarkan ia menikam-nikam jantung kita. Jangan ia diluah, kerana ia berkemungkinan keluar sebagai fitnah.

Lebih-lebih lagi jika ia kembali kepada persoalan hati. Hanya Allah dan si pemilik hati sahaja tahu isi yang tersurat dan tersirat di dalamnya. Lain-lain hanya suatu pembohongan belaka. Kerana itu, sesiapa yang mengaku mengetahui isi hati, ah, dia pembohong besar.

Kesimpulan.

Atas apa yang pernah berlaku dan mungkin akan kembali berlaku, saya menyeru kepada semua pembaca agar membudayakan sifat berbaik sangka. Selagi belum ada bukti, selagi itu kita tidak boleh mengheret sesebuah pihak ke dalam sebuah tanggapan, yang asasnya juga tiada.

Ia akan menjadi lebih parah jika perkara ini berlaku kepada kita : "Lebih baik membiarkan si pesalah terselamat daripada membiarkan hukuman dijalankan bukan kepada si pesalah"

Letaklah tangan pada dada. Tanya pada ia, mengapa sukar benar untuk kita bersangka baik?

Rayuku: Jangan Sakiti Baginda

Saya tiada maksud politik. Saya seperi Dr. Maza, selagi ia mengikut islam, saya akan sokong, sesiapa saja kerana manhaj saya ialah islam, bukannya sesebuah parti *noktah*

Saban tahun kita menyambut hari kelahiran Rasulallah s.a.w. Saya, secara peribadinya tidaklah seratus peratus bersetuju dengan cara kita menyambut hari lahir Baginda. Ada beberapa sebab yang agak peribadi, menyebabkan saya lebih suka jika sambutan itu dilakukan secara sendiri-sendiri. Namun, dalam masa yang sama, saya menyokong penuh sambutan secara besar-besaran, walau penglibatan saya, agak minima. Ingin tahu?

Siapa kata Rasulallah tidak menyambut hari lahir Baginda?

Sunnah puasa setiap hari isnin, asalnya adalah kerana Baginda menyambut hari lahir Baginda yang jatuh pada hari isnin. Cuma, ia dilakukan dengan niat ibadah, ubudiyyah, dan tanda kasih serta syukur pada Ilahi.

Nah! Di situ letak kata kunci bagi sambutan ini- "Ubudiyyah"

Jangan sakiti Baginda.

Saya, walau sehebat mana cinta saya pada Baginda, saya tetap tidak akan mampu mengatasi sayangnya dan kasihnya Baginda kepada saya. Akan tetapi, saya rasa bersalah yang sungguh-sungguh kerana membiarkan cinta Baginda, tidak saya balas.

Dengan rasa bersalah, izinkan saya memberi peringatan. Mudahannya, kita tidak menyakiti Baginda, tidak juga menghinanya, apatah lagi memperguna-gunakan Baginda!

Rasulallah punyai ramai bapa saudara seramai 9 orang. Antara yang ingin saya ketengahkan ialah 3 orang sahaja iaitu Abu Lahab, Abu Talib dan Hamzah.

Ketika di saat kelahiran Baginda s.a.w, semua mereka menyambut kelahiran Baginda dengan cara yang paling meriah. Yang paling grand ialah Abu Lahab. Ratusan unta disembelih dan dikorbankan, tanda syukur atas kelahiran Baginda s.a.w.

Tidak kalah, Abu Talib juga menyambut kelahiran baginda dengan cara yang meriah. Hamzah juga, bahkan.

Pun begitu, di sebalik sayangnya, kasihnya dan meriahnya sambutan kelahiran Baginda s.a.w, ada banyak peristiwa di sebaliknya, yang membuat Baginda 'sakit' iaitu bersedih hati. Sedih yang bukan kepalang, bukan juga dibuat-buat. Kesedihan yang lahir dari lubuk hati seorang Rasul.

Abu Lahab, di mana kedudukannya?

Dia ialah orang yang paling hebat menyambut kelahiran Rasulallah, tapi tetap juga orang yang paling hebat menentang Rasulallah. Neraka, nauzubillah.

Abu Talib, dimana beliau?

Dia seorang yang banyak menyokong dan melindungi Baginda tapi diceritakan dalam sahih Muslim, hukumannya tetap dalam neraka, tetapi azab yang dialami ialah serendah-rendah dan seringan-ringan siksa.

Mengapa Abu Talib, yang saban hari tanpa lelah, melindungi Rasulallah, tetap juga tidak melayakkan dirinya untuk ke syurga?

Segalanya terjawab dengan satu kalimah, "Jika aku ikuti ajaran yang kamu bawa wahai Muhammad, nescaya itu akan membuatkanmu gembira. Namun, apa kata orang kepadaku kelak"

Abu Talib... tidak turut sama memperjuangkan islam. Hanya itu...

Hamzah, di mana beliau?

Kematiannya di medan sabilillah, menumpahkan air mata Rasulallah s.a.w. "Sesungguhnya Hamzah ialah penghulu bagi para syuhada' "

Nah! itulah tempat beliau. Hebat, bahkan terlalu tinggi dan agung tempat itu.

Yang melayakkannya menduduki tempat itu tidak lain dan tidak bukan hanya kerana beliau bersama-sama memperjuangkan islam.

Benar, beliau hebat menyambut kelahiran Baginda, tapi sekelumit pun tiada di perkotak-katikkan perjuangan Baginda.

Muhasabah.

Lihat diri kita. Mungkin kita hebat berarak, berselawat bahkan bernasyid, mengenangkan kelahiran Rasulallah. Tapi di satu sudut, kita tidak tumpah seperti Abu Lahab sekiranya kita memperlekehkan ajaran Rasulallah yang lain-lain.

Atau paling tidak, kita tidak mahu turut bahkan buat tak tahu saja pada perjuangan Baginda, maka di saat itu, kita juga tidak layak ke syurga.

Paling kecil, kita perlu menjadi seperti Hamzah r.a. Allah redha padanya, dan dia juga redha pada Allah.

Sambutlah hari lahir baginda, tapi jangan letak titik noktah di sana. Sambunglah dengan turut memperjuangkan sunnah dan ajaran Baginda.

Kerana di sana, letaknya rasa menyampah saya pada golongan-golongan yang munafik. Zahirnya konon cinta Rasul dengan cara berarak, bawa sepanduk dan lain-lain tapi sejam selepas itu, apabila diajak berjemaah ke masjid dan surau, mereka menolak dengan mendabik dada. Ah, di mana cinta itu jika sunnah Rasul, satu pun tidak digenggam erat?

Renung-renungkanlah...

NFBZ : Kafir Baik

Dengan nama Allah yang sentiasa mengawasi manusia.

Soalan-soalan seperti ini, saya lihat seringkali dibangkitkan oleh para musuh-musuh islam. Mereka sedaya upaya menimbulkan kekeliruan dan kepincangan pada keyakinan umat islam, khususnya remaja. Atas maksud itu, saya rasa wajar untuk saya kongsikan di sini.

Mungkin jawapan saya, bukanlah jawapan yang terbaik. Kerana itu, saya benar-benar menggalakkan percambahan idea dengan lontaran pendapat daripada kalian yang budiman sekalian.

Moga Allah redha.

Banyak persoalan yang dapat diekstrak daripada 16 perenggan ayat dalam gambar diatas.

Pertama dan keduanya, berkenaan remaja. Berkenaan kecintaan kepada islam, kesedaran beragama, serta berkenaan tekanan, yang kebanyakannya ialah punca segala kepincangan. Tekanan.

Pun begitu, segala persoalan itu berada di luar skop artikel ini.

Orang kafir lebih baik daripada orang islam?

Ya. Ada. Ramai pula, bahkan.

Jadi, pokok pangkalnya ialah 'baik'. Mereka (orang kafir) baik kepada manusia. Contoh: suka memberi sedekah. Kesannya, manusia akan senang kepadanya. Namanya akan meniti di bibir-bibir manusia yang makan baktinya. Bahkan, dia juga akan dihormati dan disanjung atas kebaikannya kepada manusia.

Nah, di situ kita bisa lihat keindahan islam. Walaupun kepada orang bukan islam, agama ini tetap bersikap adil. Prinsip islam memang begitu. Tiada kezaliman, walau secubit.

Pun begitu, si kafir tadi tidak baik dengan Allah. Ya, bagaimana bisa baik jika diri mereka tidak menyembah Allah? Atas sebab itu, di akhirat nanti, dia terlindung daripada rahmat Allah.

Bukankah Allah bisa mengampunkan segala dosa, kecuali dosa syirik?

Apa maksudnya? Kenapa dengn dosa syirik?

Kerana syirik, termasuk dalam bab menduakan atau dalam erti kata yang lain, tidak yakin dengan Allah. Kerana 'tidak yakin', maka tidaklah dia layak untuk mendapat ampun. Pergilah minta 'ampun' itu kepada Tuhan yang dia yakin, yang pastinya dusta-dusta belaka.

Persoalan yang timbul selepas itu ialah 'bagaimana dengan orang islam, tapi perangai macam setan?'

Perangai macam setan itu bagaimana? Wah! mudah saja orang-orang meminjam perkataan 'macam setan'.

Oh! ini bukan soalan yang muhammad (penanya di atas) tanya.

Syaitan, dia beriman tapi takabbur. Maksudnya? Dia percaya kepada Allah tapi dia tidak beramal iaitu tidak sujud hormat pada Adam a.s. Cuma satu! Dalam sebuah hadis, diceritakan bagaimana syaitan datang berjumpa Nabi Muhammad. Mengapa dia datang berjumpa Baginda? Kerana ia adalah perintah Allah!

Uhh... tidakkah kita patut malu?

Syaitan, makhluk yang sejak zaman berzaman menjadi musuh kita pun ikut apa Allah suruh, mengapa kita pula yang sering ingkar pada-Nya?

Orang islam, sejahat manapun dia, pasti akan ke syurga selagi masih ada kalimah syahadah. Ada iman. Pun begitu, ramai yang goyang kaki konon-kononnya, dia sudah ada iman yang senipis kulit bawang itu. Yakinnya mereka, hingga ditinggalkan perintah Tuhan, memenuhi perintah nafsu.

Yakinnya?

Kerana yakin yang tak berasas, dia masuk neraka. Logiknya, tiada siapa tahu kemana destinasinya. Syurga atau neraka? Jika dia mengaku dia tahu, maka dia juga telah mempertuhankan sangkaannya. Syirik, bukan?

"Orang bersolat tapi buat maksiat! Kalau begitu, baik aku tak solat sebab aku baik, tak bermaksiat!"

Sama dengan isu tudung. Persoalan ini diajukan berulang-kali.

Kembali pada pokok pangkal. Allah itu adil.

Kita menanggung dosa berbuat maksiat, tapi tidak menanggung dosa meninggalkan solat.

Orang tak bersolat, walau zero dosa maksiat (mustahil!), tapi tetap ke neraka kerana tidak solat. Bukankah solat ialah perkara pertama ditanya? Tiada solat, tiadalah amalan yang lain. Solat hancur, hancurlah amalan yang lain!

Kesimpulan.

Saya mahu membawa para pembaca melihat kepada satu sudut pandang.

Baik atau buruknya kita, ialah daripada dua sudut pandang. Manusia dan Allah. Kejarlah 'baik di pandangan Allah' kerana pasti, kita akan baik pada pandangan manusia.

Lihatlah rakyat Jepun. Walaupun tak beriman, tetapi mereka sangat menghayati akhlak-akhlak dan nilai-nilai islami. Saya sangat yakin, jika orang Jepun dapat iman, maka mereka akan seribu kali lebih baik daripada kita, muslim melayu yang terkenal dengan akhlak buruk. 

Siapa mahu berdakwah kepada orang Jepun?


Perkongsian: Jangan Hentam Kami

Perkongsian: Jangan Hentam Kami
Gambar Hiasan.
Malam itu, cuaca sangat nyaman. Tidak ada panas kemarau, juga tidak ada dingin tengkujung. Suam-suam. Kipas yang tergantung di bawah bumbung juga berpusing dengan kencang, menambahkan lagi nyaman suasana, dalam surau At-Taufiqiyyah.

Pun begitu, saya yang rasa sedikit berasap. Jarang, atau mungkin lebih tepat, tidak pernah saya rasa 'berasap' duduk dalam majlis ilmu. Cuma malam itu sahaja.

"Lihatlah anak muda sekarang! Lepas satu... satu lagi maksiat mereka perbuat. Cara hidup sudah lebih Barat berbanding orang barat... bla...bla...bla..."

Saya cukup sensitif, apabila kemarahan dan murka, segalanya yang bermaksu begitu, dihambur kepada remaja. Ya, kepada remaja tanpa ditapis dahulu.

Walau yang berkata itu ialah seorang ustaz, saya rasa saya ada sebab untuk tidak setuju. Lalu, di akhir-akhir kuliah ustaz itu, masa sesi soal jawab, saya bangkit dengan sebuah persoalan.

"Saya berminat dengan corak pemikiran Hassan al-Banna. Beliau cenderung untuk mencorak golongan rijal kerana yang pasti, golongan rijal (pemuda) inilah yang akhirnya, akan menggoncangkan dunia. Berkenaan dengan keruntuhan moral, jua kepincangan mereka (rijal), saya merasakan daripada kita terus-terusan menghambur amarah serta mencari salah, adalah lebih baik jika kita mencari penyelesaian ia. Bukankah di sebalik masalah ini, orang tua juga ada salahnya?"

Saya ialah antara belasan remaja yang duduk di celah-celah golongan veteren yang memenuhi separuh ruang surau ini. Mungkin kerana saya dan sahabat duduk di tempat paling hadapan, kehadiran kami tidak disedari. Barangkali.

Saat saya habis dengan kata-kata, saya lihat ustaz itu berubah wajah. Saya gagal dan tidak mahu mentafsir. Cukup untuk saya fokus pada jawapannya.

Akhirnya, sebuah kata-kata yang berharga melantun keluar dari mulutnya yang saya yakin, sentiasa basah dengan zikir. Terima kasih ustaz kerana berkongsi mutiara bersama kami.

Ustaz akur. Disebalik sejuta salah dan silap remaja, berpuluh-puluh juta lagi kesalahan ialah pada orang-orang tua. Sebabnya ialah kegagalan orang tua  mencorak anak muda. Harus diingat. Orang tua bukan terhad kepada ibu dan ayah. Saya juga orang tua, iaitu orang yang lebih berusia daripada sahabat saya yang baru 20 tahun, tahun ini.

Banyak pihak yang terlibat. Jelas, tidak adil jika hanya 'remaja' yang ditolak masuk ke kandang pesalah. 

Saya juga remaja. Harus saya katakan, kepincangan yang timbul adalah kerana kekeliruan. Saya, juga anda serta billion yang lain. Kita banyak terkeliru tentang islam. Puncanya pelbagai. Pun, tunding jari bukannya ubat bagi penyakit ini.

Saya tidak berhajat untuk menghurai dengan lebih lanjut. Cuma seperkara yang saya mahu timbulkan dalam hati kita semua iaitu kewajaran untuk berlembut dan bersikap adil.

Saya yakin dan percaya, hampir semua orang yang bermaksiat adalah kerana mereka terkeliru atau tidak tahu. Yang bermaksiat dengan ilmu, itu cuma segelintir. Kerana itu, saya dan anda (terutamanya yang memegang name tag da'ei) perlulah lebih bijaksana. 

Menghukum itu bukan caranya. Memarah itu bukan caranya.

Mengajak, itu ya. Menasihat, itu juga. Memberitahu, itu yang pertama.

Remaja ada potensi. Remaja ada turning point. Saya tidak mahu tunding siapa-siapa. Cukuplah saya sedar, saya juga salah seorang yang bertemu jalan pulang dan saya hargainya, sampai bila-bila.

 

Perkongsian : Mata Yang Durjana

Mata-mata yang khianat. Itu satu frasa. Itu satu ayat. tapi bagi saya, ia sebuah teguran yang bermakna.

Apa nilai sebiji mata?

Hanya orang yang tidak menggunakan akal saja yang akan mengatakan, 'tiada nilai'. Ya, hanya mereka sedang hakikatnya, sebiji mata itu, harganya mahal.

Pahala amalan manusia, dari muda ke tua, dari tua ke nyanyuk, dari nyanyuk hingga menyembah bumi, pasti sebiji mata akan lebih berat daripada amal soleh. Ya, itulah dia nilai sebiji mata.

Saya yakin dan percaya, wang bukan segala. Pun begitu, manusia seperti saya masih lagi bekerjaran ke hulu dan ke hilir demi not-not kertas. Iya, wang itu penting. Jangan disangkal.

Jika, seorang jutawan mahu membeli sebiji mata dengan harga RM 1 billion. Makna, dua biji mata, RM 2 bilion, adakah kita mahu menjualnya?

Punya wang tapi tanpa mata. Ah, bagaimana masih boleh terasa nikmat dan indahnya hidup ini?

Terima kasih Allah.

Laungkan! Hebahkan! Serukan!

Kerana Allah sangat baik, dia beri kita mata. Sesekali, cuba pejamkan mata. Fikir-fikirkanlah, adakah tanpa mata, kita bisa berjalan seperti sedia?

Adakah tanpa mata, kita bisa makan seperti biasa?

Adakah tanpa mata, kita bisa mencintai dan dicintai seperti biasa?

Ah, cukuplah sebiji mata untuk kita beringat.

Sesungguhnya, Allah sangat baik.

Pergunakanlah mata ini untuk berbuat taat, sebelum ia tidak lagi mampu mengesan cahaya. Kelam dan terus tidak mampu melihat.

Terima kasih, Ya Ilahi...
 

Sipnosis Novel : Semilir

Sipnosis Novel : Semilir
Kelam. Dari satu siri kejahilan ke satu siri yang lain, Johari akhirnya tersedar. Pantas dia berpaling jauh, meningggalkan sisa-sisa jahiliyyah yang pernah sekali menjadi temannya yang paling akrab. Akhirnya, seorang jahil berubah alim. Islam, dirasakan bagai oksigen yang diperjuang tanpa lelah setiap saat.

Nun, di saat itu, dirasakan derap kaki masih tidak mantap. Masih perlu berteman. Seorang gadis suci murni, Nasuha dilamar. Tanpa ketahuan, rupanya Nasuha sudahpun menjadi tunangan sahabatnya sendiri. Merasakan diri tercampak dalam kecewa, segera dipujuk ia dengan memberi ruang kepada seorang lagi gadis yang baru sahaja mahu mengenal islam.

Johari akur, dia sedang di jalan yang liku. Perkahwinan atas dasar dakwah. Lalu, bagaimana ia?

*****
Selesai dengan novel pertama, saya sedang cuba untuk menyambung dengan yang kedua. Baru mula dan baru 10 muka.

Jika ada rezeki, adalah novelnya. Jika tidak, terpaksa dipublish di blog ini sajalah :)

Perkongsian: Cinta Ilahi

Perkongsian: Cinta Ilahi
Bulan february sangat dikait rapat dengan cinta. Ya, sinonim benar. Hanya satu, kerana dalam bulan ini, ada satu hari yang diraikan oleh manusia sejagat; Valentine's Day.

Definasi Cinta Bagi Saya.

Habiburrahman El-Shirazy telah lebih awal memberi makna cinta melalui watak Anna Attaufunnisa dalam novel Ketika Cinta Bertasbih. Bagi saya, definasi yang diberi sangat enak di telinga dan sangat indah di ruang fikir. Saya juga cenderung untuk memberi pengertian yang hampir serupa.

Bagi saya, cinta itu ialah 'tenaga'. Ia adalah daya penolak yang senantiasa menolak manusia untuk membuat sesuatu. Kerana itu, cinta boleh berubah paksi dan berubah sifatnya. Ia tidak kekal dan sentiasa baharu.

Jika saya melihat seseorang melakukan solat, saya tidak memandang yang dia melakukan kerana 'mahu' tetapi bagi saya, ia dilakukan kerana dia 'cinta'. Namun, harus disemak samada 'cinta' itu diberikan kepada Tuhan atau kepada yang lain. Bagaimana?

Solat jika niat mahu menunjuk, pastinya ia adalah 'cinta manusia' dan solat, jika ikhlas pula adalah kerana 'cinta Tuhan'.

Sama, seseorang yang berzina, bagi saya dia melakukannya bukan kerana dia 'mahu' tetapi yang signifikan ialah kerana dia 'cinta'. Cinta kepada nafsu.

Ironi dan tuntas, cinta yang sebenar pastinya diletakkan di bawah naugan Ilahi. Itu yang sebenar-benarnya.

Bagaimana Cinta Ilahi?

Jika seseorang memiliki cinta Ilahi, pasti dia akan melakukan apa-apa dengan ikhlas dan terbaik.

Saya suka dengan perkataan ini. "Menyukakan Allah". Pertama kali mendengar perkataan ini, seribu persoalan menghenyak minda sedar saya.

"Bagaimana Allah pun boleh disukakan?"

Nah! Jawapannya masih lagi asas dan tunjang. Ia adalah 'melakukan apa-apa yang disuruh dan meninggalkan apa-apa yang dilarang'. Namun, itu belum cukup bagi kita. Sebuah hadis dari dalam Himpunan 40 Hadis susunan Imam Nawawi ada menjelaskan tentang hakikat itu.

"Sesudah amalan wajib disempurnakan, seseorang hamba akan dianggap seakan-akan kekasih (kesayangan) Tuhannya apabila dia turut melaksanakan dengan jaya, amal-amal sunnatnya".

Cinta Ilahi. Itulah yang sering diwar-war, tapi penjelasan tentang itu masih kabur.

Cinta Utama dan Cinta Pertama.

Yang ini juga masih lagi persoalan asas. Kedua-dua membawa kita ke orbit yang sama, lapang fikir yang sama, dan dimensi yang sama. Ia adalah "cinta Ilahi".

Mungkin ada yang memberi definasi yang berbeza. Tapi sebenarnya ia adalah dua perkara yang serupa, cinta utama dan cinta pertama.

Siapakah cinta pertama kita?

Mungkin yang beri jawapan, ibu. Kerana ibu melahirkan kita.

Hakikatnya, cinta pertama kita ialah Allah. Mungkin ramai tidak tahu, bahawa sebelum kita diciptakan sebagai manusia lagi, Allah telah mengambil keterangan persaksian kita. "Bukankah aku ini Tuhanmu?". Semua kita menjawab, "Betul. Kami bersaksi!"

Bukalah surah Al-A'raf ayat 172 untuk melihat dengan lebih jelas tentang cinta pertama.

Cinta Utama, Bagaimana?

Sebuah hadis berstatus sahih yang dikeluarkan oleh Imam Bukhari dan Muslim ada menceritakan. Orang yang layak dicintai selepas Allah dan Rasul ialah ibu kita. Sebanyak tiga kali ia diulang-ulang. Ibu! Ibu! dan Ibu!

Tapi, yang paling utama tetap Cinta Ilahi.

"Tiada ketaatan dalam perkara-perkara yang mendurhakai Allah"

Nah! itu tanda bahawa cinta Allah tetap yang utama.

Bercakap tentang itu, ramai kalangan kita tidak perasan bahawa kesempurnaan cinta Ilahi terletak pada yang kedua, iaitu cinta Rasul. Dalam ayat 31 daripada surah Ali-Imran, Allah berfirman; "Jika kita cintakan Allah, maka ikutlah Rasulallah s.a.w".

Ya, cinta Ilahi bukan hanya slogan semata-mata!

Saya suka menarik minat kalian untuk memahami cinta Rasulallah. Bagaimana, telahpun dijelaskan dalam ayat itu. "Ikutilah aku (yakni, Rasulallah s.a.w)"

Cinta Lain-lain.

Disebut dalam ayat 14 daripada surah Ali-Imran juga.

"Dijadikan indah di pandangan manusia kecintaan kepada wanita-wanita, anak-anak, harta benda, kuda pilihan, binatang ternak dan juga sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia dan di sisi Allah ialah tempat kembali iaitu syurga"

Sambungan ayat itu juga indah. "Mahukah supaya aku khabarkan kepada kamu akan yang lebih baik daripada semuanya itu? Iaitu bagi orang-orang yang bertaqwa, disedikan oleh Allah baginya beberapa syurga...(hingga akhir ayat)"

Tidakkah ia jelas bahawa antara semua cinta, cinta Ilahi itu utama kerana matlamatnya ialah syurga.

Cinta kepada wanita jika matlamatnya ialah syurga maka ia juga pecahan daripada Cinta Ilahi yang dihubungkan melalui perkahwinan.

Cinta kepada anak jika bermatlamatkan syurga juga ialah pecahan daripada Cinta Ilahi, melalui pintu kasih sayang sesama makhluk.

Cinta kepada harta benda sekiranya bermatlamatkan syurga, juga adalah pecahan daripada Cinta Ilahi jika dihubungkan dengan zakat dan sedekah.

Cinta kepada kuda pilihan (kenderaan) sekiranya bermatlamatkan syurga, juga adalah pecahan daripada Cinta Ilahi sekiranya dihubung melalui berulang-alik ke masjid dan majlis ilmu.

Cinta kepada binatang ternakan sekiranya bermatlamatkan syurga, maka turut berada di bawah Cinta Ilahi, itupun sekiranya dihubung melalui kesyukuran, korban dan sedekah.

Cinta kepada sawah ladang, juga menjadi pecahan daripada Cinta Ilahi jika bermatlamatkan syurga melalui cara memberi makan kepada orang miskin.

Kesimpulan.

Selepas kita memahami hakikat ini, siapa dapat menyangkal lagi bahawa core, fundamental dan basic kepada segala cinta ialah Cinta Ilahi?

Jika masih ada yang bersoal-jawab, ternyata paksi dan orbit cinta mereka berbeda dengan kita. Dan kalian yang punya kudrat, tariklah mereka kembali ke paksi ini- Cinta Ilahi.

Sebelum saya terlupa, hukum menyambut Valentine's Day ialah haram. *titik*