Pasangan Yang Beriman.

Pasangan Yang Beriman.
Sumber.
Saya tertarik pada sebuah doa yang pertama dalam sejarah. Doa ini dilafazkan dan dipanjatkan oleh manusia yang pertama, di saat berpijak di muka bumi, juga buat kali pertama.

رَبَّنَا ظَلَمْنَا أَنفُسَنَا وَإِن لَّمْ تَغْفِرْ لَنَا وَتَرْحَمْنَا لَنَكُونَنَّ مِنَ الْخَاسِرِينَ

"Wahai Tuhan kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri, dan kalau Engkau tidak mengampunkan kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya menjadilah kami dari orang-orang yang rugi- al A'raf ayat 23.

Pertemuan Dua Kekasih.

Semua orang sedia maklum. Selepas berlaku peristiwa termakan buah khuldi, Allah s.w.t murka dan menghantarkan Nabi Adam a.s dan Hawa ke bumi. Pun, mereka tidak diletakkan bersama-sama. Mereka dipisahkan. Lalu, keduanya dengan penuh rasa insaf dan taubat merayu kepada Allah dan meminta keampunan.

Ya. Allah Maha Pengampun. Keduanya diampunkan dan dipertemukan kembali. Dan, doa itu menjadi satu tali yang menghubungkan kedua suami-isteri yang terpisah tadi.

Untuk kita, hari ini kita tidak tahu siapa jodoh kita, tapi insyaAllah berkat doa ini, satu ketika nanti Allah akan temukan dengan si dia, yang juga beramal dan mengharap dengan doa ini.

Isteri Solehah.

Tak perlu saya ulang sebut akan hadis tentang mencari jodoh. Rasanya semua orang tahu bahawa keutamaan harus dilorongkan pada aspek agama, kemudian baru cantik, keturunan dan harta menyusul.

Cuma, persoalannya ialah mengapa agama yang dititik beratkan?

Sedikit perkongsian daripada saya.

Penting sangatkah untuk kaum pria mencari gadis solehah untuk dijadikan pendamping hidupnya?

Jawapannya bukan lagi penting, kerana yang tepat ialah ia adalah terlalu penting!

Saya yakin benar, bahawa hidup ini sebenarnya terlalu pendek untuk dikongsi bersama dengan si pencari dunia. Itu prinsip saya, pemahaman saya dan pegangan saya. 

Untuk memilih pasangan hidup, dia tidak hanya akan menjadi teman di dunia ini tetapi di akhirat. Sekiranya di dunia dia memberi masalah, pasti di akhirat dia akan memberi mudharat yang jauh lebih besar.

Gadis yang solehah adalah lebih bernilai daripada longgokan permata di dasar laut yang paling dalam. Ini kerana gadis solehah tidak mengimpikan suaminya menjadi pendamping di dunia cuma, tetapi di akhirat juga sama.

Sekali lagi, kenapa perlu kepada pasangan yang beriman? 

Ini adalah kerana saya melihat matlamat perkahwinan itu ialah agar pada kedua mempelai, akan ada peningkatan amal, peningkatan ibadah, peningkatan akhlak dan peningkatan taqwa. Jika kalian memilih pasangan yang kurang menitik beratkan agama, maka kalian akan mendapati bahawa untuk melaksanakan suatu sunnah yang besar pun akan menjadi suatu yang sukar.

Saya pernah berkongsi di dalam cerpen ini.  Ia adalah cerpen yang saya karang, hasil derita orang. Ia adalah satu tarian jemari saya atas perit orang lain. Keperitan memiliki suami yang tidak beragama.

Kesimpulan.

Inilah yang saya faham. Memiliki pasangan yang mahukan agama bererti kita memiliki sebelah sayap untuk ke langit. Hanya tinggal kita untuk mula mengibar-ngibar sebelah sayap lagi untuk menuju ke sana.

Yang akhir, saya meminta keampunan kepada Allah kiranya artikel kali ini menimbulkan mudharat yang di luar kehendak saya. Kerana, saya bukan orang yang sesuai untuk berbisik-bisik tentang urusan yang besar ini. Moga saya menjadi orang yang mengotakan janji.

Nota kaki: Saya telah deactivate Facebook untuk sementara waktu bagi memberi laluan pada exam, pertengahan April ini.

Hunuskan Pena Pedang mu!

Hunuskan Pena Pedang mu!
Jika sebuah persoalan diajukan, "Apa bukti kamu berbangga dengan islam?"

Bagaimana kita mahu menjawab?

Manusia.

Mungkin ia suatu yang fitrah. Kita benar-benar jarang menghargai benda yang diberi secara percuma. Cuma, selepas ia hilang, atau ia rosak, baru kesal datang berhimpit. Mungkin ada benarnya pepatah melayu, 'sesal dulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya'.

Banyak perkara yang hilang boleh dicari ganti. Banyak juga benda yang rosak mampu diperbaharui. Tetapi, jika islam itu rosak, atau iman itu lenyap, maka di sana letaknya kegagalan tanpa hujung, tanpa noktah.

Pandang pada paksi kebenaran. Lihat dengan hati yang haq. Tidakkah kita memerhatikan satu suasana di mana umat islam ramai yang mulai keluar dari landasan tauhid. Pun begitu, pemergian mereka tidak memberi mudharat kerana di ufuk sana, islam semakin berkembang. Pola perubahan yang cemerlang di sana, memberi gambaran jelas bahawa Allah semakin membuat tapisan.

Di kala itu, satu persoalan timbul dalam ruang minda saya.

Di mana letaknya rasa bangga mereka itu pada islam?

Jika keputusannya ialah untuk keluar dari islam, atau paling major, untuk tidak beramal dengan islam, adakah itu ada sipi-sipi kebanggan dan izzah buat agama ini?

Perjuangan.

Jika dahulu saya kongsikan pelajaran pertama ialah 'ubudiyyah', maka izinkan saya bergerak kepada pelajaran kita yang kedua.

Manusia yang layak berbangga dengan islam ialah orang yang berjuang di landasan taqwa.

Soal perjuangan, sedikit-sebanyak memberi gambaran yang kabur kepada kita? Apakah ciri perjuangan yang benar? Mengapa perlu ada perjuangan?

Jika kita melihat sirah, saat sampai seruan jihad, yang tinggal cuma golongan munafik dan veteren yang uzur. Secara tuntas, kita sudah mampu melihat rasionalnya tuntutan ini. Orang yang benar-benar sah imannya, dia pasti punya sense of responsibility. Dia merasakan dirinya punya tanggungjawab terhadap agama. Dirinya merasakan bahawa dirinya punya tugas dalam membela agama. Dan dirinya juga merasakan bahawa dia tidak boleh tinggal, dan menjadi pakar boneka (munafikin).

Ada seorang manusia ajaib. Namanya Ammar bin Tsabit r.a. Ketika Rasulallah s.a.w dan para sahabat sedang bersiap-siap untuk perang Uhud, Ammar datang kepada Rasulallah.

"Aku mahu masuk islam dan ikut berjuang"

Kata-katanya tegas, bersama azam yang hangat dengan iman. Dikala hanya Allah dan Rasulallah sahaja yang mengetahui perihal keislamannya, pedangnya sudahpun merobek tubuh musuh. Di saat dirinya nazak di medan perang, sahabat yang pelik bertanya.

"Untuk apa kamu berada di sini?"

Ya. Persoalan itu dituju kerana tiada siapa yang tahu keislamannya. Lalu bersama senyuman dalam kesakitan, Ammar bin Tsabit menjawab, "Aku sudah beriman kepada Allah dan Rasul. Kerana itu, aku turut berperang. Allah akan memberikan 'syahadah' (persaksian) buatku tidak lama lagi".

Tidak lama, rohnya diangkat bertemu Ilahi.

"Amar itu akan berada di syurga", kata Rasulallah.

Ah! Beruntunglah manusia ajaib ini. Dirinya tidak pernah bersolat. Dirinya tidak pernah berzakat. Dirinya tidak pernah berpuasa. Yang dirinya bawa bertemu Allah hanyalah titis-titis darah bercampur keringat seorang mujahid di medan peperangan.

Antara Dua.

Abdullah ibn Mubarak dan Fudhail Bin Iyyad, kedua mereka ialah figur yang cukup terkenal. Keduanya ialah ulama. Keduanya banyak meriwayatkan hadis. Cuma, Abdullah ibn Mubarak ialah seorang ulama dan mujahid manakala Fudhail Bin Iyyad ialah seorang ulama dan ahli sufi.

Fudhail Bin Iyyad, dirinya sangat tekun dan khusyuk dengan ibadahnya. Jika dia mulai bersolat, pasti akan basahlah tempa solatnya dengan linangan air mata ketakutan kepada Allah. Jika dia mulai berzikir, maka layaklah langit dan bumi untuk berasa syahdu. Tekunnya beliau dalam ibadah hingga dia digelar 'hamba kepada dua masjid' iaitu masjidil haram dan masjidil nabawi.

Satu hari, Abdullah Ibn Mubarak mengutus sepucuk surat kepada Fudhail bin Iyyad.

"Kamu jangan bermain-main dalam ibadahmu. Sesungguhnya debu-debu di tengkuk kuda-kuda kami ini adalah lebih baik daripada ibadah-ibadahmu"

Ini sangat benar. Dalam surah al-Hadid ayat 10 ;

...Tidaklah sama di antara kamu, orang-orang yang membelanjakan hartanya serta turut berperang sebelum kemenangan (Nabi menguasai Makkah). Mereka itu lebih besar darjatnya daripada orang-orang yang membelanjakan hartanya serta turut berperang sesudah itu...

Sebelum itu sinonim dengan jerih, payah, perit, sukar dan belukar. Manakala sesudah, ia dekat dengan mudah, senang dan pantas. Lihatlah sejarah Tanah Melayu. Sukarnya datuk nenek moyang kita dahulu. Kita?

Jelas. Setiap muslim, perlu ada lakukan suatu untuk islam. Setiap yang impikan syurga, mesti perjuangkan sesuatu dalam islam. Kata kunci, perjuangan!

Kesimpulan.

Jika diri kita tak mampu berjuang, jangan kita jadi orang yang menghalang perjuangan. Jika kita tak mampu berjuang, maka jadilah orang yang membantu dan menyukai orang yang berjuang.

Berjuang tidak hanya terbatas pada pena pedang tetapi letaknya juga pada ilmu, ekonomi, sosial, karier, masyarakat dan lain-lain. Kerana yang pasti, Tuhan kita sedang menilai kesungguhan kita.

Perjuangkan dakwah. Kerana ia jihad yang paling besar jalannya untuk mu.

Wahai Penulis

Wahai Penulis

Wahai diri yang megah dengan tulisan,
Untuk apakah tari jemarimu?
Untuk siapakah kalam mu?
Untuk siapakah bicara mu?

Wahai diri yang gagah dengan karya,
Ke mana hala kiblat mu?
Ke mana pula destinasi kasih mu?
Ke mana juga maruah dan kebanggaan mu?
Saat dirimu ditanya Tuhan mu, 
Untuk apakah tulisan mu?

Wahai diri yang tegak bersama bait nada cinta bersulam izzah,
Tanyalah dirimu.

Apa yang kamu cari dalam penulisanmu?

Populariti kah?

Pujian kah?
Ah! Segalanya fana!
Segalanya tidak membawa kamu kepada Tuhan,
dan segalanya membawa kamu ke makam neraka.

Wahai diri yang mencoret dengan ihsan Ilahi,
Letakkan tanganmu di dada,
Hamparkan jemarimu yang laju di medan pena,
lalu tanyalah pada hatimu,

Adakah ini perjuangan kamu?
Adakah ini layaknya untuk membeli surga?
Adakah ini menjadi perisaimu menapis bahang siksa neraka?
Layakkah kamu?

Wahai penulis,
Bulatkan niat mu.
Kentalkan azam mu.
Tegakkan pegangan mu.
Dirimu berjuang dengan pena pedang sisipan al-hikmah.
Dirimu berlindung dengan perisai ketulusan.
Dirimu berperang dengan nafsu kehitaman.
Dan akhir,
Dirimu berjuang di bawah pemimpin yang sama,
Muhammada S.A.W

Wahai penulis,
Carilah izzah mu,
Jadilah kamu Hassan Bin Tsabit di alam baru,
Yang kerna kalamnya, musuh binasa, 
Yang kerana penanya, musuh terpesona,
Juga jihad buat pemilik diri nya,
Dan layaklah untuk si hamba dikasihi Tuan yang mulia.

******

Sedang mencari kekuatan yang lebih.
Sedang menggali sumber kekuatan yang baharu.
Sedang mencari sumur penjernihan yang hakiki.

Segalanya daripada Allah...
Dan untuk Allah jua...

Moga Allah ampunkan saya.
 

Nota Hati Seorang Perempuan Bertudung Labuh

Saya sedang mahu menyambung artikel tentang kebanggan menjadi muslim, sebelum pendangan mata saya jatuh pada satu perenggan panjang, menceritakan tentang wanita daripada sebuah kitab sirah setebal 745 muka surat yang sudah hampir setahun saya miliki tetapi baru separuh dapat saya telaah dan rujuki. Ya. Saya kesal atas segala kelemahan diri ini.

Cuma, lebih 2 minggu yang lepas seseorang bertanya kepada saya.


Saya tidak menjawab kerana bagi saya, orang yang tidak berupaya mengemukakan rujukan, dalil dan hujjah, maka saat itu dia tidak boleh berkata kepada orang lain, "Aku tahu". Cuma, jika untuk amalan sendiri, bolehlah.

Islam bukan agama yang 'kot' atau 'mungkin'. Faham kan maksud saya?

Jika kita menyoroti kembali nilai wanita di zaman jahiliyyah, dan bandingkan ia dengan wanita di zaman tegaknya islam, pasti kita akan melihat satu jurang perbezaan yang sangat ketara. Dahulu, wanita sangat dihinakan. Mereka hanya dijadikan bahan dan alat pemuas nafsu serakah. Tidak jauh berbeza, layanan yang sama diberikan di negara-negara eropah dahulu.

Cuma sesudah cahaya islam mulai terbit, darjat dan maruah wanita diangkat. Golongan wanita dimuliakan, bahkan diberikan layanan dan kebaikan yang lebih atas sebab mereka kaum yang lemah. Tiada lagi caci-maki, penghinaan, penganiayaan, dan kezaliman dibenarkan keatas mereka.

Dalam sebuah peristiwa di Madinah, selepas umat islam mendapat kemenangan dalam perang Badar, kaum Yahudi dan kaum munafik menggetap bibir tanda geram dan marah. Mereka mulai menampakkan kebencian dan tentangan kepada umat islam di Madinah.

Antara yang kuat menentang ialah kaum Yahudi daripada Bani Qainuqa'. Mereka telah melakukan onar dengan memaksa wanita muslimah untuk membuka penutup muka atau hijab mereka ketika wanita itu datang ke pasar untuk menyepuhkan pakaiannya.

Peristiwa ini menunjukkan bahawa hijab yang disyariatkan oleh islam kepada kaum wanita juga termasuk dengan menutup muka. Jika tidak, mengapa kaum wanita di zaman itu memakai penutup muka? Jika tidak, mengapa kaum Yahudi memaksa wanita muslimah itu membuka hijab mukanya? Sedangkan tujuan mereka hanya satu iaitu untuk menodai perasaan keagamaan yang jelas ternampak pada segi pakaian wanita muslimah.

Ini diperkuatkan dengan beberapa hadis Shahih.

Antaranya, Imam Bukhari meriwayatkan daripada Aisyah r.anha dalam bab 'pakain bagi orang yang dalam ihram'. "Janganlah dia (orang perempuan yang berihram) menutup muka dengan hijab (kain penutup muka) dan memakai pakain yang dicelup dengan waras (penwangi)"

Imam Malik dalam kitab al-mua'ttha' juga menyelitkan hadis yang diceritakan oleh Ibnu Umar, "Tidak harus bagi wanita yang sedang ihram memakai hijab muka, dan juga memakai sarung tangan".

Apakah maksud larangan ini? Mengapa wanita, bukannya lelaki?

Ini adalah kerana penutup muka (hijab) ialah suatu yang biasa dipakai oleh wanita di luar musim haji. Lelaki tidak memakainya, kerana itu hadis ini eksklusif untuk akhowat.

Ada satu lagi hadis. Ia berkenaan dengan seorang sahabat wanita bernama Fatimah binti Qais yang telah diceraikan oleh suaminya. Pada awalnya, Fatimah Binti Qais menunggu masa iddah di rumah Ummu Syarik. Tetapi, selepas diketahui bahawa ramai sahabat Rasulallah s.a.w yang menghuni rumah itu, Rasulallah lalu memerintahkan Fatimah Binti Qais menunggu masa iddahnya di rumah sepupunya iaitu Ibnu Ummi Maktum. Ummi Maktum ialah seorang yang buta, dan tidak dapat melihat. Di sana, Fatimah Bin Qais bebas melepaskan kerudungnya.

Semua ini adalah dalil-dalil yang mewajibkan wanita muslimah agar menutup muka dan seluruh anggota tubuhnya daripada pandangan lelaki asing.

Cuma, di sana letak pula tugas kaum lelaki iaitu untuk menjaga pandangan mereka. Ini telahpun saya huraikan dalam cerpen Kasih Buat Nisa'.

Beberapa pengecualian dan rukhsah juga dinyatakan. Antaranya, dalam urusan belajar, memberi kesaksian, merawat penyakit, darurat dan lain-lain. Maaf, untuk di Facebook dan di Blog, rasanya tidak disenaraikan.

Cuma, di sana ada pendapat yang berbeza daripada imam-imam mazhab. Mereka berpendapat bahawa muka dan tapak tangan itu bukannya aurat. Bahkan, para ulama mazhab juga menafsirkan bahawa hadis-hadis di atas tadi bermaksud sebagai menggalakkan atau anjuran agar berniqab (menutup wajah) tetapi bukannya wajib. Walaubagaimanapun, mereka semuanya sepakat bahawa lelaki asing yang bukan muhrim, sekali pun tidak dibenarkan untuk melihat walau satu anggota pun daripada tubuh wanita dengan syahwat. Manakala bagi wanita itu pula, dia wajib menutup mukanya sekiranya sekelilingnya, semua lelaki memandangnya dengan rasa syahwat.

Ya! Di sana letak kata kuncinya.

Pembaca budiman, anda berhak dan layak untuk membuat pilihan. Anda berhak memilih untuk meletakkan gambar di Facebook atau blog anda ataupun tidak. Cuma, pastikah anda bahawa gambar anda tidak ditenung oleh si mata keranjang? Yakinkah anda bahawa tiada syahwat yang mengelojak menatap gambar anda?

Seperkara lagi, dan yang akhirnya juga, saya menyeru kepada akhowat yang sedia masuk dalam dunia D&T untuk mulai tekan butang 'delete'. Ini adalah kerana salah satu daripada jidiyyah dalam tarbiyyah ialah dengan kita memilih untuk tidak mengambil rukhsah. Bahkan, jika orang yang ditarbiyyah pun memilih 'yang mudah-mudah', maka saya yakin bahawa orang ramai yang masih jauh dari tarbiyyah, pastinya akan memilih 'yang suka-hati'.
Muslimah yang sebenar tidak akan redha dirinya dipuji dan dipuja lelaki ajnabi yang punya penyakit dalam hatinya kerana kebanggaan dan keseronokan itu disimpannya dalam-dalam, hingga saat dahinya dikuncup lembut suami tercinta yang mengambilnya dengan nama Allah, buat kali pertama.

Berbanggalah wahai muslimin

Hassan al-Bana pernah berkata, "Aku hairan. Mengapa orang Barat sanggup mempertahankan dan memperjuangkan idealogi-idealogi dan pemikiran-pemikiran mereka hingga mereka sanggup mati demi itu. Aku juga hairan. Mengapa umat islam berasa malu untuk memperjuangkan dan menyebarkan islam?"

Dalam artikel yang cuba diringkaskan ini, izinkan saya untuk berbicara tentang suatu yang sudah malap ini, iaitu kebanggaan menjadi seorang muslim.

Dalam peristiwa perang Badar, ada dua peristiwa berbeza yang mencerminkan sifat bangga yang berbeza. Abu Jahal pernah berkata, "Kami tidak akan pulang sehingga kami tiba di Badar. Di sana, kami akan bermakan-makan, kami akan meminum khamar (arak), kami akan menari-nari dan kami juga akan berhibur dengan wanita-wanita kami. Biarlah kepulangan kami nanti disambut dengan riang dan kami akan sentiasa disebut-sebut sebagai wira".

Dalam masa yang sama, seorang lelaki sedang bertelenggu, bermunajat kepada Allah. Lelaki mulia itu memohon dengan penuh rasa rendah diri dan kehambaan agar Allah memberi kemenangan kepada pihaknya, iaitu pihak yang berjuang di landasan taqwa, mencari izzah islam. Orang itu ialah Rasulallah s.a.w sendiri. Melihatkan betapa Baginda tekun dan sungguh-sungguh dalam ibadah dan munajatnya, Abu Bakar as-Siddiq berasa kasihan. Jiwanya rasa benar-benar tersentuh lalu dia berkata kepada rasulallah, "Wahai kekasih Allah, Allah pasti akan menurunkan bantuan-Nya"

Nah! Surah al-Anfal ayat 9 menceritakannya; "(Ingatlah) ketika kamu memohon pertolongan kepada tuhan kamu, lalu Ia perkenankan permohonan kamu (dengan firmanNya): "Sesungguhnya Aku akan membantu kamu dengan seribu (bala tentera) dari malaikat yang datang berturut-turut". 


Abu Jahal berbangga dengan kekafirannya. Kerana itu, Allah memberinya penghinaan. Bukan dia cuma, tetapi semua gerombolan orang kafir. Ah! Masakan mereka tidak dihinakan! Bilangan mereka ramai, kelengkapan peperangan mereka juga canggih, bahkan kuda-kuda perang meraka juga terlatih dan cekap. Tetapi, penilaian dari sudut fizikal dan lahiriyyah semata-mata, tidak sesekali akan membawa kepada kemenangan dan kehebatan. 

Sedang yang mulia Rasul, Baginda berbangga  dengan Islam. Buktinya, Baginda berbangga memiliki Allah sebagai tempat mengadu, tempat bergantung harap, dan tempat untuk diserahkan segala nasib dan ketentuan.

Pengajaran pertama ada disana.

Orang yang berbangga dan mahu berbangga dengan islam perlu mula memacakkan bendera kehambaan pada diri. Dia perlu memantapkan ubudiyyah. Ya! Kata kuncinya ialah ubudiyyah!

Realiti.

Yang wujud sekarang ialah sekelompok manusia yang mengaku memperjuangkan islam, tetapi terhad pada kata-kata yang tidak didahulukan oleh perbuatan dan bukti.

Ini suatu yang salah. Jika benar kamu berbangga dengan islam, suarakan dan cerminkanlah dengan penghambaan diri kalian pada Rabb! Itu paling utama!

Saya tinggalkan suatu persoalan buat kalian.

"Apakah itu hamba kepada Allah?"

Saya berminat untuk mendengar jawapan daripada kalian. InsyaAllah, dalam masa 3 hari lagi, saya akan sambung artikel ini dengan tajuk yang sama. InsyaAllah.
 

Jangan Merajuk Sayang

Ada sebuah hakikat yang saya berpegang dengannya. Saya yakin benar bahawa Allah sesekali pun tidak mahu walau seorang pun manusia masuk ke dalam neraka-Nya. Allah sentiasa mahu hamba-Nya ke syurga. Ah, memang syurga ini diciptakan untuk kita. Cuma, banyak antara manusia yang melupai hakikat itu, dan merajuk dengan Allah.

Merajuk Dengan Allah.

Ia bukanlah simptom yang jarang. Ia bahkan merebak hingga ke pelusuk lapisan masyarakat. Kanak-kanak dengan rajuknya, orang dewasa dengan rajuk mereka pula. Si tua, bahkan masih kuat rajuknya pada Ilahi. Ya, rajuk si hamba yang berbeza-beza, lelaki dan wanita.

Seperti yang saya nyatakan di awal, sungguh Allah sesekali pun tidak mahu walau seorang hamba-Nya ke neraka. Bukti yang ada cukup jelas. Dia hantarkan rasul demi rasul, seorang demi seorang untuk memimpin manusia agar kukuh telapak kaki mereka menyusuri landasan hamba sehingga rasul terakhir, Muhammad s.a.w.

Seseorang bertanya kepada saya, mengapa Muhammad s.a.w ialah yang terakhir?

Saya tidak dapat menemukan jawapan yang lebih baik daripada ini. Saya dan kamu, bahkan setiap muslim telahpun diberi tugas untuk menyambung tugas kenabian. Tugas setiap rasul-rasul terdahulu, dibebankan pada setiap daripada kita, iaitu berdakwah. Jika kalian ada membaca surah Taha, lihatlah pada ayat-ayat yang menceritakan kisah Nabi Musa a.s yang mahu berdakwah kepada firaun. Lalu, Baginda meminta kepada Allah agar Allah menaikkan taraf saudaranya, Harun a.s sebagai rasul, untuk membantunya berdakwah.

Suatu hakikat, dakwah pada zaman dahulu hanya dilakukan oleh rasul.

Kerana Allah sayangkan setiap manusia, Dia mewajibkan dakwah kepada kita. Dia menyuruh kita masuk syurga, dan mengajak orang lain juga masuk dalam syurga. Surah At-Tahrim juga ada menceritakan tentang ini. Islam bukan agama yang selfish. Sesekali Allah tidak menyempitkan syurga-Nya. Oleh itu, sangat perlu untuk kita mengajak orang lain agar sama-sama bertatih ke syurga. Perlu!

Itu bukti jelas bahawa Allah mahu setiap manusia masuk syuga.

Allah Memandang Rajukmu.

Memang manusia punya kelemahan. Tapi bagi saya, kelemahan itu ialah lambang kehambaan. Sekiranya tiada langsung cacat cela jua kelemahan, maka pasti kita akan merasa diri seperti tuhan. Pun begitu, ramai yang menerima kelemahan mereka sebagai alasan untuk merajuk dengan Allah.

Lihatlah realiti... Bukan semua manusia bermaksiat kerana hati mereka bulat untuk itu, tetapi ramai yang bermaksiat kerana protes dan merajuk dengan Allah. Sebagai contoh, seorang gadis yang tidak cantik, sanggup memotong bulu kening, mewarnakan rambut, dan lain-lain, semata-mata kerana dia rasa Allah tidak adil kepadanya. Rajuknya menjadi permulaan dosa.

Adapun seorang atau dua lelaki yang mengambil dadah dan hanyut dalam dunia jijik rekaan mereka... adakalanya mengambilnya bukan kerana mahu, tetapi kerana protes dan merajuk kepada Allah. Dirasakan Allah tidak adil kepada mereka.

Gadis pula, sesudah merasakan Allah tidak adil padanya, maka dia melacurkan pula batang tubuhnya.

Sama dengan judi, arak, dan lain-lain.

Jangan Merajuk Sayang.

Allah tidak zalim. Allah tidak sekali pun berhenti daripada memandang kita dengan pandangan rahmat kerana di sisi-Nya, pintu keampunan terbuka seluas-luasnya. Allah memberi masa yang panjang untuk kita berubah. Janjinya jelas... sekali kita bertaubat dengan taubat yang sebenar, maka di sisi-Nya, kita seperti manusia yang tiada dosa. Allah tidak lokek memberi ampun.

Allah tidak berdendam, bahkan terlalu memaafkan. Seorang lelaki yang sepanjang hayatnya menghina islam, menghina rasulallah dan mencaci maki Allah, sedang dia sudah tua dan hampir mati, pun masih Allah sudi lemparkannya hidayah kepadanya. Si tua itu masuk islam, dan mati sebagai 'kanak-kanak' dalam jasad orang tua.

Bahkan dahulu, ada seorang wanita Yahudi yang tua dan buta, setiap hari mencaci Rasulallah s.a.w. Baginda senyum sahaja, sambil tangannya menyuapkan roti ke dalam mulut wanita itu. Berlarutan... hingga di senja usianya, Allah menerima wanita yang mencaci dan memaki Rasul-Nya, sebagai hamba-Nya.

Al-Wahsyi, seorang lelaki yang menyebabkan Rasulallah s.a.w menangis kerana sedih melihat jasad Saidina Hamzah r.a terkulai bersama tikaman dan luka yang teruk, juga Allah pilih untuk menjadi hamba-Nya.

Khalid al-Walid ra. yang banyak membunuh tentera-tentera islam di medang perang juga akhirnya dipilih oleh Allah untuk memeluk agama ini dan terus berjuang untuk syurga.

Semua kisah-kisah ini adalah kisah manusia hebat. Manusia yang penuh dosa, tetapi mereka memilih untuk menyucikan diri mereka.

Kesimpulan.

Saudaraku... ingatlah! Allah sentiasa sayang kepada kita. Dia tidak menzalimi kita walau sedikit. Dia cuma sedang menguji kita. Janganlah kita merajuk dengan Allah. Jangan pula kita berdendam dengan Allah.

Allah sayang kita... terlalu sayang.

Jika orang yang pernah menghina Rasulallah s.a.w dan mencaci Allah pun masih diberi keampunan oleh-Nya, mengapa pula kita memilih untuk putus asa daripada keampunan-Nya?

Takwin way'ul islami?

Takwin way'ul  islami?
Tahukah kita apa itu takwin way'ul  islami?

Ia adalah kesedaran untuk beragama, iaitu rasa sedar yang pupuk, untuk menegakkan islam dalam diri. Kita boleh lihat, ramainya manusia yang mengaku, "Aku islam" dan ada juga yang berkata, "Aku lebih islam daripada kamu" tapi segala macam kata-kata itu, tidak membawa makna apa-apa jika tidak didasari dengan sebuah kesedaran, "Ya. Aku ialah orang islam".

Terkadang, kita terlalu laju dalam meluncurkan kata-kata hingga kita lupa kepada sebuah hakikat: takwin way'ul  islami belum lagi membujuk segar dalam sanubari seseorang.

Maka, di sana saya memandang ia adalah tugas saya, tugas kalian dan tugas bersama. Kiranya, banyak kita bercakap soal halal dan haram. Kita banyak berdebat dalam soal-soal cabang. Pernah ustaz Zaharuddin menuliskan kebimbangannya iaitu kebimbangan atas pecah-belahnya masyarakat islam yang mahu pada agama.

"Ana jemaah itu..."

"Saya jemaah ini..."

"Kami jemaah begini..."

Kebimbangan yang sama pernah terluah oleh murabbi saya dalam sebuah kata-kata yang sangat menusuk hati.

"Kita tidak duduk dalam halaqah ini untuk menambahkan ilmu-ilmu dalam kepala, bukan juga untuk menambah koleksi-koleksi nota tarbiyyah kita, tapi kita ada perkara yang sangat besar dihadapan kita iaitu mengamalkan apa-apa yang kita ketahui"

Beliau tidak berhenti hanya disitu.

"Kerana terlalu banyak ilmu yang terperangkap dalam kepala, yang tidak dikeluarkan sebagai hasil oleh tindakan, ramai yang terperangkap dengan perbalahan-perbalahan dan perdebatan-perdebatan yang pada akhirnya, tidak satu pun kebaikan yang dihasilkan"

Saya menelan air liur. Dirasakan, ia sangat hampir dengan saya, dengan tulisan-tulisan saya.

Islam tidak hanya pada teori.

Di saat wujudnya muammalat islam, mengapa masih ramai yang memilih untuk bergelumang dengan riba?

Di saat wujudnya masjis-masjid yang tidak pernah diletakkan harga untuk dimasuki, mengapa masih ramai yang sanggup habiskan ratusan bahkan ribuan ringgit untuk hiburan yang hanya satu jam?

Di kala wujudnya buku-buku agama yang harganya cuma kurang sepuluh ringgit, mengapa masih ramai yang memilih untuk berhabisan ratusan dollar untuk majalah-majalah yang tidak membawa manfaat?

Jawapannya hanya satu, takwin way'ul  islami belum lagi terpupuk.

Jadi, tanyalah diri, mengapa aku susah nak sedar bahawa aku ini islam? Bukankah aku perlu mula membuat perubahan!

Jika jawapan yang dicari itu tidak kita temui, silakan membaca artikel-artikel ini. Moga-moga kita mampu beroleh takwin way'ul  islami.

Matang segera.

Saya Benci Jiwa Saya.

Saya Nak Berubah, Tapi Saya Tak Tahu Bagaimana.

Allah Sayang Aku.

Allah Sangat Baik.

 

Tuhan... Mengapa aku?

Tuhan... Mengapa aku?


Disaat aku melihat ramainya manusia yang rakus mengejar dunia,
Mengapa Kau pilih aku untuk sibuk mencari redhaMu?

Disaat aku melihat ramainya pemuda yang hilang jatidirinya,
Mengapa Kau pilih aku untuk menjadi insan yang membinanya?

Disaat aku memandang ributnya gelagat manusia berhibur,
Mengapa Kau pilih aku untuk diam ingat padaMu?

Dikala aku merasa kepingin untuk merasai nikmat dicinta dan mencinta,
Mengapa Kau pilih aku untuk mencari cintaMu?

Disaat diriku ini terlalu banyak dosa,
Mengapa aku yang kau pilih untuk segera bertaubat?

Disaat ramainya manusia merobohkan agama,
Mengapa aku juga yang Kau pilih sebagai kalangan yang membinanya?

Mengapa aku?

Aku banyak dosa...
Aku banyak maksiat...
Aku banyak ingkar...

Aku bukan orang yang layak!

Tapi mengapa aku dipilih?

Mengapa aku dilahirkan sebagai muslim?
Seingatku... aku tak pernah pun meminta...

Mengapa aku dipilih untuk berdakwah?
Ah... aku bukannya alim. aku bukannya baik. 
Aku banyak riak. Aku banyak sombong. Aku banyak ujub!

Tapi Tuhan... mengapa masih aku yang Kau pilih?

Aku mahu, bahkan terlalu mahu jika diriku diazab di dunia ini. Segalanya kerana aku takut. Ya! Aku terlalu takut. Aku takut diazab di akhirat! Diriku tak layak untuk mencium bau syurga!

Tapi Tuhan... aku tak kuat!

Aku lemah...

Dikala ujian dariMu datang...
Aku gagal. Bukan sekali, berkali-kali.

Aku malu Allah...

Aku segan. Aku malu dengan seluruh alam ini.

Disaat diriku dipandang mulia, rupanya di sebaliknya aku hina disisiMu...

Aku tak kuat bahkan terlalu ampuh hatiku...

Tuhan, jawablah... mengapa aku?
Mengapa aku yang Kau pilih?

Tuhan..

aku tak pandai bermadah... juga tidak bijak menyusun kata...

Tapi ketahuilah...
Aku merayu...

Izinkan aku menumpang hidup sekali cuma...
Agar diriku, bisa mencintaiMu.

Terima kasih Tuhan...
kerana memilih aku...

Terima kasih Ya Rabbi.

Dan kini... Hanya diriMu matlamatku.

Sekarang dan selamanya...

Ikhwah Dari Langit

Ikhwah Dari Langit
Kata orang… sakit itu tanda kasih sayang dari Tuhan. Tapi bagi Liyana, lain pula halnya. Hari ini dia menangis lagi. Sakit akibat dipukul, dikasari, dan diherdik oleh suaminya, dirasakan hingga ke tulang yang paling dalam. Dalam nafas yang dihembus bersama rasa sengal yang menyucuk-nyucuk di seluruh sendi tubuh, dia bergerak perlahan-lahan ke dapur.

Ya, dia masih perlu memasak untuk Akmal, suami yang tidak pernah belajar menghargai isteri. Malam semalam, lelaki itu seperti kerasukan. Entah apa yang tidak kena pada Liyana hingga dia terduduk, merintih menahan sakit diganyang oleh suami yang seperti sudah hilang akalnya. Sebabnya hanya satu, iaitu pintu dibuka sedikit lambat saat Akmal pulang. Ya, hanya itu!

Liyana mengesat air mata yang mengalir di luar sedar. Dia yang masih hijau, dipaksa oleh ibu dan bapanya untuk bernikah. Ya, saat lamaran daripada keluarga Akmal datang, dia baru sahaja selesai dengan kuliahnya di kolej. Belum pun sempat mahu mengecapi kebebasan menuai hasil peluh sendiri dengan bekerja, ibu dan bapanya berkeras agar lamaran daripada anak kepada usahawan perabot itu segera diterima. Liyana terhimpit. Pun, desakan yang tidak henti itu mengheret dirinya kepada suatu kisah gelap. Ternyata… apa yang diimpi, hanya sebuah ilusi. Akmal, ternyata jauh daripada ciri suami idaman.

Sambil memotong bawang, sekali lagi fikiran Liyana menjauh. Dia terkenangkan sikap suami yang dinikahi sejak 6 bulan yang lalu. Akmal, seperti kebanyakan pemuda, memang molek penampilannya. Bicara dan tutur katanya juga lembut. Cuma, penghayatan agamanya sahaja yang kurang.

“Saya harap Liyana boleh membantu saya mengenali islam”

Kata-kata berupa sebuah janji memikat ditabur secara terbuka. Akmal, seorang usahawan yang berjaya. Di usia muda, dia sudah punya aset yang berkepuk-kepuk. Cuma, ia bukan yang Liyana impikan. Yang Liyana cari cuma sebuah cinta yang ikhlas kerana Tuhan. Tepat! Itu ialah cita-citanya sebagai isteri, iaitu agar dapat berpimpin tangan dengan sang suami ke dalam syurga.

Hanya tinggal impian yang keputusannya samar-samar. Cuma…

Kurang 2 jam lagi, Akmal akan pulang. Hujung minggu itu, dia memberitahu Liyana bahawa dia punya hal. Liyana hanya mengangguk. Hendak ditanya… dia tidak sanggup kerana dia tahu, hanya hamburan dan siri-siri ejekan dan makian sahaja yang akan diterima, jawapan bagi soalan-soalannya.

Menghampiri waktu zuhur, Liyana sudah sedia dengan pakain solat. Dia duduk bertelenggu di atas sejadah hijau, hadiah pemberian sahabat tercinta, Fatin semasa hari graduasi dahulu. Dia berzikir perlahan, bersama sebuah kesabaran yang ditinggikan agar diri sentiasa tabah untuk melayan lelaki kasar yang sudah diangkat sebagai suami.

Rakaat pertama hingga rakaat ketiga, Liyana khusyuk mengadu kepada Tuhan. Berdiri sahaja dalam rakaat yang terakhir, bunyi ketukan bertalu-talu di muka pintu. Walau rumah teres itu luas dan punya dua tingkat, bunyi ketukan itu terlalu kuat hingga kedengaran jelas oleh dua telinga Liyana yang masih dalam solat, di tingkat atas. Lantas, khusyuk tadi terjejas dan dia bersegera menyudahkan solat. Usai, dia berkejaran turun dengan telekung masih rapi menutup badan yang kemerah-merahan, lebam dipukul jantan rakus itu.

“Weii!! Lambatnya buka pintu!! Kau ingat aku baru seminit ke kat luar tu ha?!”

Itu ayat pertama terkeluar dari mulut lelaki berbaju-T Polo yang berdiri dimuka pintu. Wajahnya menyinga. Jelas di balik kaca matanya, biji mata lelaki itu dijengil penuh amarah dan murka. Sekilas, lagaknya mirip seekor singa yang sedang sedia untuk membaham rusa.

Liyana terkedu. Herdikan itu dirasakan seperti halilintar membelah awan malam. Segera dia memohon kemaafan, dengan rendah hati dan penuh rasa bersalah.

Akmal ternyata tidak sabar. Ditolak kasar tubuh kecil Liyana. Bersama telekung putih bersih, tubuh itu terjelupuk menahan sakit akibat tolakan kasar. Air mata jernih itu keluar lagi. Kali ini, tanpa suara, tanpa kata-kata. Yang kedengaran hanyalah nuasa-nuasa sebuah keperitan pada fizikal dan jeritan sebuah hati yang remuk, juga berkecai-kecai.

Akmal tidak memandang isteri yang disakiti. Hanya rengusan dilepas, cukup untuk mengambarkan betapa dirinya jelek dengan wanita yang setiap malam dipaksa menjadi teman tidurnya.

“Aku nak makan”

Suatu perintah daripada maharaja. Lagaknya bersahaja, seakan-akan tiada sekelumit rasa bersalah menyakiti isterinya. Akmal sudah duduk di meja makan, membelek-belek telefon bimbit. Liyana yang masih tersedu-sedu diatas lantai bingkas ke dapur, menyiapkan makan tengahari buat sang suami. Segalanya dilakukan dengan seikhlas dan serela mungkin. Ya, sedaya upayanya.

Mujur selera Akmal hari itu kena. Dia tidak menengking seperti selalu, seperti masa-masa lidahnya merasa tidak kena pada lauk masakan Liyana. Berselera dia makan, tanpa diajak si isteri untuk sama menjamah. Liyana, dirasakan tidak layak makan semeja. Hanya tugasnya melayan. Dan memang selama ini, Akmal telah menghadkan ‘fungsi’ Liyana hanya pada itu. Hanya sebagai pelayan!

“Abang nak tambah?”, Liyana cuba melunakkan suara walau hatinya masih lagi menangis.

Akmal mengangguk. Lalu, nasi putih diletakkan di dalam pinggan kaca yang masih bersisa dengan makanan. Tanpa sepatah perkataan, tangan kasar lelaki itu kembali laju, menyuap makanan ke dalam mulut.

Kekenyangan, Akmal duduk di ruang tamu menonton televisyen. Jam sudah menunjukkan pukul 2 petang. Lagi, dirinya belum pun dibersihkan. Apatah lagi bersolat zuhur. Belum!

“Abang tak nak mandi dan solat dulu ke?”, tanya Liyana lembut . Dia nampak cantik walau dengan hanya berpakain santai. Ah, depan suami sendiri, takkan tidak boleh?

Akmal menoleh kepada Liyana yang sudahpun mengambil tempat di sofa, sebelahnya cuma. Jelas di wajahnya, dia meluat. Biji mata dijegelkan, marah diasak dengan soalan. Atau mungkin, memang dirasakan perempuan itu seperti suatu yang jijik. Ah, sampai begitu sekali!

“Hei. Kau sibuk-sibuk ni kenapa? Suka hati aku lah bila-bila aku nak pergi”, balasnya kasar. Sambil menghempaskan alat kawalan jauh ASTRO, dia merengus lalu bangkit laju ke tingkas atas, meninggalkan Liyana tercongok menahan debar dan kesedihan diherdik sebegitu kasar. Buat kesekalian kalinya, dia menangis lagi. Ah, air mata wanita itu benar-benar murah hari itu.

******

“Aku nak kawin lagi satu”

Kata-kata Akmal itu menyebabkan Liyana merasakan jiwanya separuh mati. Tidak berkelip matanya memandang Akmal. Majalah Solusi yang sedang ditatap, terlepas dari genggaman dan terjatuh atas ribanya.

“Abang… kenapa?”, tanyanya sayu. Ada sebuah getaran di balik suaranya.

“Aku tak suka kau. Aku suka orang lain”, jawab Akmal sombong.

Menitis air mata Liyana. Laju ia merembes keluar, seperti empangan yang pecah. Tersangat dirinya tidak menyangka bahawa perkara sebegini akan menimpa dirinya. Dia sama sekali tidak menyangka bahawa episod gelap ini akan menimpanya. Pun, dia sama tidak menyangka mimpi ngeri ini akan menghantui kehidupan sementaranya. Ya, dia tidak mampu berkata apa-apa.

Malam itu, dikala Akmal sedang enak tidur sambil berdengkur kuat, Liyana tersungkur di telapak kasih Ilahi. Dipanjangkan sujudnya hingga basah sejadah wa telekungnya. Sungguh-sungguh dia mencampakkan pengaduan kepada Tuhan. Hanya kepada Dia.

Akmal tidak bergurau. Ternyata dia benar-benar punya perempuan lain. Dia punya cinta yang lain, juga punya kasih yang sudah bertukar. Hampir tiap hari dia akan pulang lewat malam sehingga Liyana akan tersengguk-sengguk di ruang tamu, menunggu suaminya pulang. Liyana murung. Dia merasakan bahawa Akmal semakin benci kepadanya. Masakan tidak. Dalam sehari, pasti akan lebih dari sekali, dia dipukul. Jika tidak pun, dia akan dimaki dan dihambur dengan kata-kata kesat yang sama sekali tidak terlintas dan layak untuk diucap oleh manusia berakal. Akmal, dia terkecuali.

Kesedihan itu tidak dikongsi bersama ibu dan ayahnya, jauh sekali ibu dan bapa mertuanya. Ibu dan ayahnya, sama sekali tidak peduli akan hal rumah tangganya. Dahulu pun, saat mahu bernikah, dia dipaksa terus-terusan walau hatinya kosong untuk lelaki itu. Namun, selepas akad, hatinya dirantai penuh kepada suaminya. Dia tahu, dia yakin bahkan dia percaya… syurga untuknya ada pada lelaki itu.

Izzati!

Hanya Izzati yang tahu tentang kepincangan dan bebanan dalam otak yang malar. Izzati ialah jirannya. Dia ialah anak kepada Encik Hamid dan Puan Hasnah. Mereka tinggal di sebelah rumahnya. Selepas beberapa kali mereka bertukar-tukar senyum, Liyana menegur Izzati yang baru sahaja pulang dari aktiviti kokurikulum.

Ternyata gadis yang bakal menduduki peperiksaan SPM tahun ini, sifatnya sangat peramah. Tanpa mengambil masa yang panjang, mereka sudah menjadi akrab. Liyana, saat ketiadaan teman berbicara, juga bosan tanpa aktiviti, pasti akan berbual-bual dengan Izzati. Itupun sekiranya anak jirannya itu sudah pulang dari sekolah.

Izzati pula suka berceloteh. Hampir tiap hari, dia akan ke rumah Liyana, menemani perempuan yang sudahpun dianggapnya seperti kakak. Kebetulan, dirinya tidak punya kakak. Liyana senang. Kewujudan Izzati dalam hidupnya dirasakan sedikit sebanyak memberi ceria. Setidak-tidaknya, dia ada teman untuk berbicara. Jika dengan Akmal, jawapannya pasti tidak. Akmal di rumah, sikapnya sesekali tidak jauh beza dengan syaitan bisu yang hanya membuka mulut bersama-sama kerahan caci maki yang sangat menghiris perasaan.

“Akak! Kenapa sampai macam ni sekali?”. Izzati cemas melihat wajah Liyana yang lebam-lebam. Patutlah kakak angkatnya itu tidak keluar-keluar saat dipanggil. Sudah dua hari dia mengelak untuk bertemu, cuma hari itu, Izzati berjaya memujuk.

Liyana tersenyum pahit. Jam di dinding bergerak pantas, sambil menunjukkan pukul 3 petang. Akmal, pengurus di sebuah syarikat perabot terkemuka di tanah air tidak akan pulang sehingga jam 7. Cuma selepas terang-terangan dia punya teman wanita, pulangnya sukar dijangka. Paling awal pun sebelum tengah malam.

“Akak okey. Sikit aje ni…”, balas Liyana, cuba bermanis muka.

“Sikit apa ni kak! Samapi lebam-lebam ni. Ni… tengok ni..”, Izzati mengetap bibir. Tangannya yang halus memegang tangan Liyana yang kemerahan.

“Aduh…”, spontan Liyana mengaduh sakit. Tangannya lebam dan membengkak. Nampak jelas ia kesan pukulan yang kasar.

“Ha… kan… orang baru pegang saja ni…”, Izzati mengeluh. Dia bersimpati. Nampak benar di balik bulat biji matanya, ada manik-manik halus bergenangan.

“Akak… sampai bila macam ni?”, tanya Izzati lagi. Sebenarnya, sebagai jiran yang hanya terpisah dengan sebuah tembok pagar setinggi 2 meter, dia dapat mendengar dengan jelas dari jendela biliknya suara-suara Akmal berteriak kasar. Bukan sekadar itu, pernah dua kali dia nampak dengan mata kepalanya Akmal memukul dan melayan Liyana dengan kasar. Ya, walau di luar rumah pun… Akmal tidak peduli untuk melempiaskan amarah!

“Sampai bila? Sampai dia berubahlah…”, balas Liyana sambil ketawa kecil. Dia tidak berseloroh. Hatinya benar-benar mengharap dan berdoa agar itu menjadi sebuah kenyataan. Dirinya itu, walau perit dizalimi, namun hatinya masih terikat pada lelaki itu. Ya, suaminya.

Izzati mencebik, sedikit mencuka wajahnya. “Akak, kenapa tak minta fasakh aje?”

Liyana tersenyum lagi. Lebar, seakan-akan mendengar cerita lawak pula!

“Akak memang boleh kalau nak minta fasakh dik… tapi for what?”, Liyana bermain dengan persoalan.

Berkerut dahi gadis yang baru mencecah usia 16 tahun itu. “Untuk apa lagi… untuk bebaslah! Akak berhak untuk bahagia... akak juga berhak untuk mendapat kasih sayang”, ujar Izzati. Dia bersemangat kerana baginya, jawapan balasnya itu kukuh.

Liyana masih nampak tenang di balik bibir merahnya yang lebam kebiruan. “Bagaimana kalau akak katakan akak sedang bahagia dan sedang dikasihi?”

“Huh. Akak tak boleh tipu la…”, balas Izzati laju.

“Sungguh! Akak rasa bahagia dengan nikmat kesabaran. At least, akak dapat pahala kerana janji Allah memang begitu. Akak juga dapat merasakan kasih sayang Allah. Tiap-tiap malam, tiap-tiap saat, akak akan ingat kepada Allah dan merintih, merayu serta berdoa kepada-Nya. Jika akak terlalu bahagia di alam rumah tangga, mungkin akak akan jadi lupa Allah. So, what to worry. Allah kan ada untuk akak. So… kita jangan cakap pasal benda ni lagi la Zati ye…”, kata Liyana lembut. Air mukanya yang jernih memancarkan rasa tenang kepada Izzati.

Izzati mengangguk. “Okey… tapi ini last. Akak nak sabar sampai bila?”

Liyana senyum. “Sampai dia berubah, atau sampai akak dilepaskan”

***

Akmal menguap luas. Baru setengah jam tadi dia menghabiskan secawan kopi ‘O’ di kafe pejabat, tapi sudah badan terasa penat tak bermaya. Sejak kebelakangan ini, prestasi kerjanya jatuh mendadak. Itu dia tahu, bahkan dia sedar dari mana puncanya. Segala kerana dia sudah acap benar pulang lambat ke rumah.

Ah, untuk apa pulang awal-awal jika yang menanti di rumah, hanya seorang perempuan kudis yang hina? Itu fikirnya.

Akmal, tamat sahaja waktu pejabat, akan terus keluar bersama teman wanita barunya. Suzana, gadis genit yang bermata galak telah beberapa kali menjadi temannya di ranjang. Gadis cantik, bergaya dan moden itu jauh benar sifatnya dengan Liyana, isterinya. Perbezaan yang mencapai tahapan 360 darjah itu sentiasa menjadikan Suzana indah di mata Akmal.

Suzana bukannya orang lain. Dia ialah setiausaha peribadi Akmal juga. Ya, hubungan intim antara mereka tidak disorok-sorok. Di pejabat sahaja, pekerja-pekerja Akmal sudah naik muak dengan tindak tanduk mereka berdua yang lebih romantis daripada pengantin baru, kadangkala.

Salah seorang yang memendam rasa kesal ialah Syed Imran. Syed Imran ialah teman rapat Akmal. Tapi itu sejarah. Ya, cerita itu hanya boleh dikenang-kenang kerana Akmal sudahpun membuang Syed Imran jauh-jauh. Dia dengan bongkak dan bangga, mengisytifarkan bahawa Syed Imran bukan lagi seorang rakan. Sekadar teman sekerja dan ada noktah disitu.

Puncanya tidak banyak, juga tidak puncak.

“Mal… kau kan dah kawin, kenapa aku tengok kau masih boleh main-main dengan Suzana?”, tanya Syed Imran lembut. Hari itu, seingatnya… ialah hari terakhir mereka duduk semeja, makan tengahari bersama.

Akmal yang sedang enak menikmati ayam goreng tersentak. Diletakkan sudu dan garfunya atas meja. Wajahnya ketat, juga tegang. “Kenapa?”, tanyanya.

“Bukan apa Mal… aku kesian pada Liyana. Dulu kau cerita, hubungan kau berdua tak baik. Jangan macam ni Mal. Seorang suami punya tanggungjawab kepada isteri. Liyana itu amanah dari Allah kepada kau. Ingat tu..”, Syed Imran bersuara, lembut tapi tegas. Tangan kanannya memegang cawan berisi air sirap, lalu disuakan straw ke bibirnya.

“Amboi… pandai betul kau berceramah ya ustaz… yang kau tu bukannya kahwin lagi! Apa kau tahu!”, Akmal meninggikan suara. Marah benar lelaki itu.

Syed Imran terkejut. Melihat Akmal berang sebegini, pastinya bukan petanda yang baik.

“Sabar Mal. Aku bukannya apa… aku beri nasihat sebagai seorang kawan saja. Liyana tu budak baik. Ada didikan agama. Graduan bidang agama. Suzana pula… dia tu pisau cukur Mal. Dia nak harta kau aje…”, balas Syed Imran perlahan. Dadanya berombak sedikit, menahan rasa yang sejuta.

Akmal menghentak meja kuat. Serta-merta, orang ramai yang sedang menjamu selera keliling mereka terkejut. Tidak sampai satu saat, Akmal dan Syed Imran menjadi perhatian. Tunduk wajah Syed Imran, malu dan segan melihat beberapa kerat manusia berbisik-bisik. Pastinya tentang mereka.

“Kau ni penyibuk betul kan! Aku tahu la macam mana nak layan bini aku. Aku tahu la macam mana nak jaga diri aku. Yang kau sibuk sangat ni apa hal?”, kasar dan sarat dengan amarah.

Syed Imran merasakan darahnya mendidih. Hampir dia bersuara dengan nada yang sama. Hanya… hatinya berselawat, memberi sejuk dan tenang yang meredakan.

“Sabar Mal… Sabar… Aku cuma nasihat aje…”

“Pegi mampus dengan nasihat kau! Sekali lagi aku dengar… aku akan pastikan muka kau pecah!”, ugut Akmal kasar. Lantas dia berdiri dan terus keluar dari kedai makan berhawa dingin itu.

Syed Imran terkedu. Hanya istighfar dan selawat menjadi pemujuk.

*******

“Sayang… kita minum-minum malam ni…”

Suzana merengek manja. Kepalanya meletok di dada bidang Akmal. Tangannya dan tangan Akmal, seakan bersambung. Mesra yang melampau, lagaknya tak tumpah seperti suami dan isteri.

“U mean… alcohol?”, tanya Akmal.

“Yes. U ni penakut lah… tak pernah pun minum-minum. Kenapa? Takut dengan bini?”, ejek Suzana.

Akmal terdiam. Dirinya rasa tercabar, bahkan rasa tehina pula apabila nama Liyana, dbangkitkan.

“Siapa kata i takut! Okey... Kita tengok sapa yang mabuk dulu!”, balasnya sambil mengetab bibir lalu disambut dengan derai tawa menggila oleh Suzana. Mereka hanyut, akhirnya.

Jam 1 pagi, Liyana masih tercogok di atas sofa lembut dari Itali yang indah menghiasi ruang tamu rumah teras dua tingkat itu. Dari ekor mata, jelas kelihatan riak kerisauan di balik wajah putih suci itu. Risaunya bertempat. Akmal masih belum pulang!

Peti televisyen ditatap dengan pandangan yang kosong. Fikirannya tidak turut, gemalai ia hilang bersama runsing dan cemburu. Masih kukuh dalam hatinya, rasa kasih dan hormat kepada Akmal walau layanan yang diterima, saling tidak tumpah seperti penjaga zoo melayan haiwan. Ya, tidak jauh bezanya.

Ketukan di pintu disambut dengan hela nafas lega. Dibuka perlahan. Liyana terkejut bukan kepalang. Disangka Akmal yang muncul tapi sangkaannya meleset. Dua orang anggota polis berpakaian seragam tercegat di muka pintu. Liyana lekas menyorokkan tubuhnya yang sedikit terdedah. Dia kehairanan sendiri.

“ Assalamualaikum puan”, sapa salah seorang anggota polis yang bermisai tebal.

Dari balik daun pintu, Liyana menjawab salam. “Kenapa encik?”, tanyanya tidak sabar.

“Begini puan. Tapi pertamanya, kami harap puan dapat bersabar ya…”, kata seorang yang lain pula.

Liyana berdebar-debar. Dia seperti dapat membuat tekaan akan apa yang bakal dituturkan oleh anggota polis itu. Pastinya tidak baik. Pastinya tidak elok! Sangkaannya begitu!

“Suami puan, Encik Akmal Hakim kemalangan tadi. Dia melanggar lampu isyarat. Keadaannya kritikal. Wanita yang bersamanya pula sudah meninggal di tempat kejadian. Mengikut butir-butir peribadi, wanita itu beranama Cik Arwa Suzana”, beritahu anggota polis berkumis tebal itu. Pelahan saja suaranya, tetapi di telinga Liyana, ia tidak tumpah seperti paluan halilintar. Tepat ia membakar hatinya yang paling dalam.

Lemah. Liyana hampir-hampir terjelupuk dengan berita itu. Hanya zikirnya yang berantai, membantunya untuk kuat.

Dua jam kemudian, Liyana tersedu-sedu dalam pangkuan ibunya. Dirinya kini ialah seorang janda.

****

“Adam dah tidur, sayang?”

Liyana tersenyum manis. Anak sulungnya, Syed Adam nampak tenang dalam pelukannya. Bayi lelaki yang baru mencapai usia 2 bulan itu sihat. Comel pula, bahkan. Liyana berhati-hati meletakkan bayi comel itu diatas tilam. Seketika, Adam merengek mungkin merasa keenakan tidurnya terganggu.

Liyana tersenyum bahagia. Di sisinya, Syed Imran sebagai suami yang tidak henti memberi bahagia. Bersamanya, Allah kurniakan Syed Adam sebagai penyambung keturunan dan InsyaAllah, bakal menjadi saksi diatas sebuah kesabaran wanita bernama ibu.

Liyana menggenggam erat tangan suaminya. Maka, nikmat Tuhanmu yang manakah akan kamu dustakan?

Akhowat Dari Surga


Allahuakhbar.....

Allahuakhbar.....

Laungan azan dari Masjidil Haram yang diputarkan oleh stesen radio IKIM.fm kedengaran syahdu. Sebiji kereta sedan berwarna putih bergelak perlahan, memasuki perkarangan masjid al-Hidayah. Terus saja kereta itu berhenti selepas memasuki sebuah ruang parkir.

Pintu dibuka cermat. Seorang anak muda melangkah keluar. Lelaki berusia suku abad itu menghela nafas kelegaan. Dengan masih berpakaian pejabat, dengan kemeja lengan panjang berkotak-kotak dan kasut kulit hitam berkilat, dia melangkah ke masjid. Sempat ekor matanya memandang sekeliling. Saat itu, orang yang datang semakin ramai. Mereka berpusu-pusu, semata-mata mahu menyahut seruan Ilahi pada senja permai itu.

Nuh al-Farobi melucutkan tali leher dan disimpan dalam kocek seluarnya. Disinsing lengan baju dan terus saja dia bersuci dan berwuduk. Menghampiri ruangan solat, sempat dia mencalit sedikit minya atar, memberi aroma senang dan tenang, selain melindungi bau keringat kering pada dirinya.

Dengan rasa rendah diri, takbir diangkat dan nama Allah, dibesarkannya. Usai solat dan berdoa bersama imam, dia bingkas. Sebenarnya, dia jarang-jarang ke masjid ini. Seringkali, surau kecil di apartmentnya saja yang dituju. Cuma hari itu, kesesakan di lebuhraya Damansara-Puchong menyebabkan dia terperangkap atas jalan raya hampir satu jam lebih. Dek kerana kecintaan kepada solat berjemaah, digagahi juga diri untuk singgah sebentar di tepi jalan, ke masjid ini.

Hanya hampir 10 minit dia meneruskan pemanduan, dia sudah memasuki satu lagi petak letak kenderaan. Empat blok bangunan empat tingkat tersergam di depannya. Yang pasti, salah satu daripada rumah-rumah itu, ialah rumahnya. Ya, rumah yang dibeli hasil keringat sendiri.

"Hei jantan! You ni betul-betul tak tahu malu! Hari-hari nak pinjam duit orang! You ingat i ni apa ha!"

Suara keras seorang wanita mengejutkan Nuh al-Farobi yang baru sahaja menyusun langkah untuk ke rumahnya di aras 3. Ditolehnya kearah suara keras itu. Nun, dilihatnya sosok tubuh seorang wanita dan seorang lelaki, bercakaran tidak jauh dari tempat keretanya diletakkan. Mungkin jika bukan kerana suara yang keras itu, pasti saja dia tidak perasan kewujudan mereka yang terlindung di balik gelapnya malam.

Nuh al-Farobi berhenti. Derap kakinya mati. Tertarik, bahkan hatinya rasa terpanggil untuk melihat dari kejauhan.

"Celaka!"

Kedengaran lelaki itu meninggikan suara. Pun, wajahnya tidak jelas kerana ditelan gelapnya malam.

"Kau ingat aku kisah sangat dengan kau? Taknak bagi sudah lah! Dasar perempuan murahan!", sambungnya lagi.

Nuh al-Farobi tersentap. Tidak disangka, dia akan melihat keadaan ini berlaku, depan matanya sendiri. Ya, bukan cerekarama, bukan juga montaj yang dibuat-buat.

Selepas mengherdik gadis didepannya, lelaki itu terus saja masuk ke dalam kereta. Pintu disentap kasar. Segera, dia memecut laju, meninggalkan si gadis tadi masih bercekak pinggang di situ.

Nuh al-Farobi pula kembali melangkah ke biliknya. Otaknya masih ligat dan berkisar memikirkan dua manusia tadi. Mungkin kerana khayal dan terlalu memikirkan tentang peristiwa tadi, tanpa sedar dia telah memanjat tangga hingga ke tingkat empat! Kesal dan sambil memarahi diri sendiri, dia kembali menapak lemah ke bawah, ke aras tiga.

Kala itu, dia bersisih dengan seorang gadis di tangga. Ya, itu ialah gadis tadi. Pakainnya sama, bahkan bentuk fizikalnya juga sama. Rambutnya ikal. Nampak terselah jelitanya walau hanya dipandang sekilas. Sebentar, pandangan mata mereka bertembung. Kelihatan wajah gadis itu kemerah-merahan, mungkin masih marah. Nuh al-Farobi segera berpaling menuju ke rumahnya. Dikelurkan kunci rumah dari poket seluarnya. Namun, dari ekor mata, dia perasan yang gadis tadi berada di belakangnya, tercegat memandangnya dari belakang.

"Ada apa cik?", tanya Nuh al-Farobi. Rasa tidak senang bercampur baru dengan kasihan.

Gadis itu memandang wajah Nuh al-Farobi tajam.

"Kenapa you tengok tadi?", tanyanya kasar.

Nuh al-Farobi kaget. Ternyata, tindakannya mencuri-curi lihat peristiwa tadi disedari gadis itu.

"Maafkan saya. Saya cuma risau kalau-kalau cik diperapa-apakan. Cuma itu saja. Saya tidak ada niat untuk mencuri dengar atau mencuri pandang", balas Nuh al-Farobi jujur. Sememangnya, itulah punca dia tercegat tadi, kerana dia bimbang jika pergaduhan dan maki hamun tadi bertukar menjadi pergaduhan fizikal. Sebagai lelaki, pasti dia tidak akan sanggup melihat wanita yang lemah disakiti dan dikasari.

"Huh... baiklah konon...", gadis itu merengus kasar sebelum dia kembali memanjat tangga ke tingkat atas, meninggalkan Nuh al-Farobi yang masih terkulat-kulat dibawah sana.

Malam itu, Nuh al-Farobi tersenyum sendirian. Dirinya masih memikirkan tentang peristiwa tadi. Dalam hati, dia berharap agar tidak akan ada lagi masalah sebegitu yang berlaku. Tidak di hadapannya.

***

"Pak cik tengok kamu kerja sudah bagus. Ada rumah sendiri... ada kereta sendiri. Tapi sayangnya, tiada isteri. Bila mahu kahwinnya?", usik Pak Ucop.

Pak Ucop ialah jiran Nuh al-Faorbi di Apartment Seri Kemucak. Dia dengan Nuh al-Farobi... ah, sudah seperti anak dengan ayah. Sangat akrab. Pak Ucop ialah seorang penjawat jawatan awam. Usianya sekali kali ganda usia Nuh al-Farobi. Pertemuan dan perkenalan mereka sangat istimewa. Kedua mereka bertemu di surau, di rumah Allah ini.

Dahulu, surau ini tidak punya komuniti yang jelas. Tidak juga punya ahli jawatan kuasa yang sah. Berikutan masalah yang timbul itu, Pak Ucop dan Nuh al-Farobi sepakat untuk sama menghidup dan mengimarahkan surau itu. Segala semakin terasa mudah kerana Pak Ucop yang walaupun sudah berusia tapi masih punya kekentalan semangat. Tambahan, dia juga ialah seorang anggota jemaah tabligh yang sentiasa mahu menghidupkan rumah Allah. Maka, dengan wang sendiri, juga dengan kudrat sendiri, dia tanpa lelah mengajak tetangganya ke surau. Berkat ikhlas dan kesungguhan, semakin hari semakin ramai yang berjemaah di surau yang sederhana itu. Hampir semuanya ialah orang muda, termasuklah Nuh al-Farobi. Pak Ucop juga imam yang diangkat secara sepakat oleh masyarakat disini. Tanpa ternafi lagi, Nuh al-Farobi sangat mengkagumi beliau.

"Saya bukan apa Pak Ucop... saya cuma menunggu akhowat dari syurga, barulah saya akan nikah..", balas Nuh al-Farobi sambil terdekah-dekah ketawa.

Pak Ucop juga tersenyum lebar dan sama ketawa. Mereka berdua sedang duduk bersila di tangga surau, melepaskan lelah membersihkan ruang solat sejak satu jam yang lalu. Itulah rutin mingguan Pak Ucop, membersihkan surau. Nuh al-Farobi hanya sesekali turut membantu. Itupun jika dia tidak punya program atau rancangan, hujung minggu begini. Bukannya apa, dia punya tidak kurang dua usrah kecil untuk diketuai. Itu belum lagi dikira lagi aktiviti-aktiviti tarbiyyah yang sedang dia jalani.

"Nuh... jodoh ni bukannya jatuh dari langit. Kena cari... kena usaha...", balas Pak Ucop. Suaranya kedengaran mendatar, tapi berbaur nasihat.

Nuh al-Farobi yang masih tersenyum mengangguk. Dia faham benar tentang konsep ikhtiar dan tawakkal. Ah, mana mungkin bulan bisa jatuh ke riba jika tidak dicapai ia?

"Itulah yang saya nak cakap... saya belum jumpa akhowat dari syurga lagi. Kalau pak cik jumpa, kenal-kenalkanlah... mana tahu ada jodoh ke..", kata Nuh al-Farobi separuh bergurau.

Pagi itu cuaca molek benar. Pansanya sederhana, tidak membakar. Nuh al-Farobi mencapai sebotol air mineral yang berada di hadapan dan dituangkan airnya ke dalam sebuah cawan kecil. Diteguk perlahan, menghilangkan dahaga, rentetan daripada lelah tadi.

"Pak cik ni mujur saja tak ada anak perempuan.. kalau ada, senang-senang pak cik kahwinkan saja anak pak cik dengan kamu...", balas Pak Ucop atau nama panjangnya, Ahmad Yusuf Omar. Dia tidak bergurau walau mulutnya tersengih lebar, menampakkan giginya yang masih tersusun kemas, bersih dan putih. Mungkin berkat amalan bersugi yang istiqomah dilakukan setiap kali menghampiri waktu solat.

Nuh al-Farobi tersenyum kelat. Tekedu dia, sungguh. Seketika, bunyi deruman kenderaan yang bertali arus di jalan besar yang hanya dipisahkan dengan satu tembok pagar yang tinggi, menguasai mereka. Nuh al-Farobi mengubah posisi kakinya, masih melayan perasaan. Pak Ucop juga sama.

"Eh... Nuh, tengok tu...", Pak Ucop mencuit bahu Nuh al-Farobi yang duduk berjulur kaki di sebelahnya.

Dari kejauhan, kelihatan seorang gadis berpakaian muslimah sedang berjalan laju kearah kereta Perodua Kelisa berwarna putih miliknya. Masih samar, tapi Nuh al-Farobi merasa seperti mengenali sosok tubuh gadis itu.

"Ehem.. lama pandang..", tegur Pak Ucop sambil berdehem-dehem. Dia ketawa lucu melihat reaksi dan riak wajah Nuh al-Farobi yang ternyata aneh.

Menyedari kesilapan diri, Nuh al-Farobi tersengih lagi. Dari hujung mata, dia melihat kereta Perodua Kelisa itu berlalu, hilang dari pandangan.

"Kalau muslimah macam tu, kamu suka tak?", Pak Ucop menguji. Dia memprovokasi anak muda di depannya.

"Er... manalah saya kenal dia tu siapa..", balas Nuh al-Farobi jujur.

Pak Ucop tersenyum penuh makna. "Pak cik kenal. Dia duduk di blok kamu juga. Takkanlah kamu tak pernah terserempak kot?"

Nuh al-Farobi menggeleng. "Rasanya ini kali pertama tengok perempuan berpakaian macam tu. Kalau jumpa perempuan melayu pakai baju singkat dan kain terbelah, ada juga selalu", jawab Nuh al-Farobi. Dia sebenarnya dihimpit kecewa melihat gadis watannya ramai yang sudah jauh berpaling daripada paksi hidup yang diajar oleh islam. Suatu yang jelas ialah pada segi penampilan mereka.

"Dia selalu datang rumah pak cik, belajar mengaji dengan isteri pakcik...", cerita Pak Ucop.

Nuh al-Farobi berasa berminat tiba-tiba. Wajahnya nampak berseri-seri. Tumpuan diberi, menunggu-nunggu Pak Ucop menyambung ceritanya.

"Budak perempuan tu nama dia Nasuha. Dulu, dia tak macam tu. Dia sebenarnya sudah lama duduk kat sini. Tapi dulu, dia memang macam kebanyakan gadis. Tahu enjoy saja. Tak belajar agama, bahkan jahil pula. Satu hari, dia insaf. Tapi sebabnya... pak cik tak tahu sebab dia tak cerita. Mungkin isteri pak cik tahu.."

"Macam mana dia boleh kenal dengan isteri pak cik pula?", tanya Nuh al-Farobi hairan. Dia bukannya tidak tahu, isteri Pak Ucop, Ustazah Zaleha ialah guru agama sekolah agama KAFA di sini. Pun, dia juga ada mengajar anak-anak jiran tetangga di sini mengaji. Segalanya dibuat percuma.

"Haa... yang itu kena tanya dekat dia lah", balas Pak Ucop ringkas sambil bibir mengulum senyum lebar. Nuh al-Farabi sama tersenyum. Seketika, senyuman mereka bersatu, menambahkan keindahan pagi hujung minggu itu.

Malam itu, saat mahu melelapkan mata, sekali lagi imbasan bayang gadis itu muncul. Sudah hampir 15 minit dia cuba melelapkan mata. Sudah berkali-kali juga dia mengubah posisi pembaringan. Tapi masih juga bayang gadis itu menyunsup mengganggunya. Akhirnya dia tekad. Dia ke bilik air, berwuduk lalu mengerjakan solat sunnat. Di akhir-akhir, dia berdoa agar dikurniakan ketenangan.

***

Petang itu sangat mendamaikan. Nuh al-Farobi yang lengkap berbaju sukan dan berseluar panjang mengerling kearah jam tangannya. Menghampiri jam 6 petang. Hajatnya, dia mahu bersukan. Biar sekejap, biar seketika, itu pun sudah memadai untuk badannya. Sedang mahu turun ke tangga, dia terpana. Ya, tidak keruan seketika.

Buat kali kedua, dia terserempak dengan si gadis yang kerap kali bayang-bayangnya muncul setiap sebelum tidurnya. Ya! Itulah gadis yang pernah bertegang urat dengan lelaki suatu ketika dahulu. Gadis itu jugalah yang merengus marah saat ketahuan dirinya menjadi perhatian dan gadis itu jugalah gadis berjubah labuh yang Nuh al-Farobi pandang pada hujung minggu dahulu, bersama Pak Ucop.

Tangga itu lebar, tapi keduanya tercegat. Yang mahu turun tidak berganjak keatas, yang mahu naik juga sama. Kedua insan itu memandang lantai, diam tanpa suara. Akhirnya Nuh al-Farobi memberanikan diri untuk turun. Itupun dengan pandangan matanya masih lagi disasarkan pada lantai simen sepanjang anak tangga iyu walhal ia kotor. Oh! langsung tidak enak dipandang lama-lama.

Saat mereka bertembung, gadis itu seakan-akan berbisik. "Terima kasih saudara.."

Lantas, langkah kaki Nuh al-Farobi mati. "Terima kasih untuk apa?", tanyanya perlahan. Dadanya berdebar-debar. Perasaaannya bercampur baur.

"Terima kasih...", ulang gadis itu. Kali ini kedengaran lebih kuat daripada tadi.

Belum sempat Nuh al-Farobi bertanya lebih jauh, gadis berkerudung hitam itu cergas memanjat tangga, laju dan terus lenyap dari pandangan Nuh al-Farobi. Ditinggalkan bersama persoalan-persoalan yang tidak terjawab, Nuh al-Farobi beristighfar dalam hati. Sedaya upayanya, curiga disingkir. Debar yang hebat tadi, dimatikan.

Petang itu juga, dia berjongging tidak lama, semangatnya hilang dek teringatkan akan peristiwa sebentar tadi.

***

"Nuh... tunggu sekejap..."

Pak Ucop separuh menjerit memanggil Nuh al-Farobi yang sedang menyarung selipar, mahu pulang ke rumahnya usai solat isyak malam itu.

Dia menoleh kearah Pak Ucop lalu tersenyum nipis. Lalu, dia kembali memanjat anak tangga masuk ke surau yang sederhana besarnya itu. "Ada apa pak cik?", tanyanya terus. Punggungnya sudah dilabuhkan di atas lantai, betul-betul bertentangan duduknya dengan Pak Ucop.

"Nah", Pak Ucop menghulurkan satu sampul surat berwarna coklat kepada Nuh al-Farobi. Berkerut-kerut dahi Nuh al-Farobi. Lambat-lambat, dia menyambut sampul surat itu.

"Apa ni?", tanyanya sambil membelek-belek sampul surat berwarna coklat itu.

Pak Ucop senyum lebar. Matanya tepat memandang Nuh al-Farobi. Kelihatan mata yang hitam pekat itu seakan-akan bersinar, gambaran dia sedang gembira. Ah, barangkali.

"Adalah. Dari seseorang. Jangan baca sekarang tapi baca di rumah saja ya", beritahu Pak Ucop. Dia menggaru-garu dahinya yang gatal digigit nyamuk.

"Aik... lain macam aje ni pak cik... Cakaplah... siapa yang bagi ni?", desak Nuh al-Farobi.

"Amanah. Tak boleh cerita. Kamu bacalah sendiri nanti ya", balas Pak Ucop sambil bibirnya masih mengukir senyuman lebar penuh makna.

Nuh al-Farobi akur. Dia menyimpan sampul itu dalam poket baju melayunya. Sebelum mereka berpisah di muka pintu surau itu, Pak Ucop sempat berpesan, "Jangan terburu-buru membuat keputusan ya. Timbang dahulu baik buruknya dan ingat... Allah mesti tetap menjadi matlamat". Nuh al-Farobi mendengar dengan teliti dan mengangguk-angguk, walau dia masih lagi dihambat keliru.

Di atas katil, sampul itu dikoyak penuh hati-hati. Tangannya menarik keluar isi sampul itu berupa sepucuk surat tulisan tangan. Perlahan-lahan lipatan kertas itu dibuka, cermat dan hati-hati. Satu per satu perkataan dibaca, tanpa ditinggal sepatah pun.

Assalamualaikum wahai saudara.

Maafkan saya jika layangan surat ini mengganggu dan membawa rasa yang tidak enak kepada saudara. Sungguh, surat ini tertulis pun selepas berkali-kali ia dipadam dan selepas berkali-kali juga ia bertukar ganti. Ah, terlalu sukar dan binggung untuk saya mulakannya. Tapi cukuplah jika saudara tahu sesungguhnya ia ada sebuah usaha kerdil daripada saya untuk belajar memberikan yang terbaik buat kehidupan saya.

Saudara yang saya kagumi,

Buat sekalian kalinya, saya memohon kemaafan. Saya tidak menulis untuk suka-suka melainkan selepas saya benar-benar tekad. Saya cuba menyoroti sirah dan perjalanan kehidupan Rasulallah s.a.w saat Baginda mengambil Saidatina Khadijah, seorang janda menjadi isteri dan pendampingnya.

Benar. Saya bukan Saidatina Khadijah. Jauh sekali memiliki keperawanan dan peribadi secantik beliau. Pun, saya sekadar mengambil ibrah daripada peristiwa itu untuk saya nyatakan bahawa saya sangat kagum kepada saudara. Jika Saidatina Khadijah mengirimkan sahabatnya, Nafisah untuk menyatakan hasrat hati, saya hanya mampu mengirimkan sepucuk surat. Itupun atas ihsan, sokongan dan bimbingan Ustazah Zaleha dan Pak Ucop.

Saudara,

Benar. Saya ialah gadis yang bertekak dan bertegang urat dengan seorang lelaki, suatu ketika dahulu. Saat saya melihat saudara duduk memerhati dari kejauhan, saya diburu rasa muak, marah dan malu yang bercampur-baur. Dan jika saudara masih ingat, saya sempat mengejek saudara masa di muka pintu rumah saudara. Ya, saat itu dan ketika itu, saya dikuasai marah dan jelek.

Namun, jawapan dan kata-kata saudara mengusik hati kecil saya. Malam itu saya benar-benar rasa tepukul. Saya rasa bersalah dengan diri saya. Saya mulai merasakan diri saya telah kehilangan sesuatu yang tersangat penting, iaitu hubungan dengan Allah. Mulai saat itu, saya mula mencari-cari kebaikan.

Saya sering memerhatikan saudara. Ya, itu pun secara tidak sengaja. Banyak yang saya kagum tentang saudara. Terlalu banyak. Tidak salah jika saya katakan bahawa saudara ialah punca saya mula mahu mendekati islam. Ya, saya jatuh cinta dengan peribadi saudara.

Maafkan saya... saya bukannya akhowat dari syurga yang bisa meminjamkan nur untuk dijadikan bukti kasih. Saya juga bukan akhowat dari syurga yang mampu melebarkan sayapnya, memberi sejuta rasa tenang. Saya cuma akhowat dari ambang binasa, yang bertatih untuk ke syurga.

Salam kemaafan,
Nasuha.

Nuh al-Farobi menatap lama tulisan-tulisan yang tersusun kemas atas kertas putih itu. Dadanya berombak-ombak. Debaran hebat dirasakan. Puas menatap isi kandungan surat itu, akhirnya ia kembali dilipat dan dimasukkan dalam sampul.

Nuh al-Farobi berbaring. Badannya yang tegap itu dirasakan seakan-akan melayang-layang. Bibirnya mengulum senyum yang hanya dirinya sahaja mengerti. Antara dengar atau tidak, dia berbisik seorang diri, "Nasuha, aku juga bukan ikhwah dari syurga untuk memiliki akhowat dari syurga... "

Malam itu, Nasuha datang dalam mimpinya buat pertama kali bersama jawapan kepada sebuah solat istikharah.

**********************************

(1)-Ini entry terakhir hingga hujung bulan ini kerana saya akan menduduki sebuah peperiksaan penting. Doakan saya. Terima kasih :)