Angkat Kening Sebelah ;)

Angkat Kening Sebelah  ;)
 "Oit! Comelnya!"
"Hidup ni memanglah tak mudah. Kalau nak mudah, baik tak payah hidup". Gulp... er... boleh tak quote tu saya tarik balik? hee

Tapi memang iya pun. Kalau kita nak fikir mudah atau susah, memang ia satu yang subjektif lebih-lebih lagi apabila ia dikaitkan dengan nilai-nilai islam dan sudut pandang islam. Hinggakan, Rasulullah s.a.w pernah bersabda sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, 'Dunia itu ibarat penjara bagi mukmin tapi syurga bagi orang kafir'.

Memanglah manusia itu... semakin tiada nilai sesuatu itu, semakinlah ia menjadi idaman. Semakin buruk suatu tu, semakinlah ia dicari-cari. Heh...

Saya nak lari sebenarnya, tapi bila dok pikir-pikir balik, lari buat apa?

Kalau nak lari dari tanggungjawab, haisshh... mustahil dapat sebab tanggungjawab itu mengejar, bukannya dikejar. Kalau kata nak lari dari pengaruh yang buruk, tak jadi jugak... sebab daripada lari, baik ubah aje yang buruk jadi baru. Ubah yang busuk jadi wangi. Hah! sembur perfume saja.

Tiba-tiba saya terasa macam tak layak untuk menulis. Ceh... kalau tak cakap pun orang dah tahu saya memang tak layak. Nak kasi nasihat kat orang, nak berkongsi dengan orang... nak itu... nak ini... er... macamlah saya ni bagus.. tapi itulah... bab-bab berkongsi ini nak atau tidak ia akan kena pada batang hidup sendiri jugak.

Kononnya nak nasihat orang... tapi rupanya orang yang memberi nasihat tu sebenarnya kena terlebih dahulu dinasihat. Betul woo!

Satu lagi yang betul ialah 'jangan kita kutuk orang yang buat maksiat'. Ceh... saya cakap ni sebab saya dah kena. Bila mana kita kutuk dengan cara yang tidak betul, maka secara automatik kutukan itu akan terpalit balik pada diri kita.

Atau lebih kurang macam ni... er.. "Kau kata macam-macam kat orang yang buat maksiat... nanti Allah akan uji kau dengan maksiat yang sama"

Kalau perlukan contoh, rasanya saya boleh sisipkan dari celah-celah. Macam isu mencuri. Orang yang menjadi penonton akan berteriak, "Ni bapak dajal ni!"... tapi alih-alih, dia pun akhirnya jadi bapak dajal kuasa dua sebab akhirnya, Allah uji dia dengan datangkan keinginan untuk mencuri pada dia.

Heh... benda hati ni jangan buat main-main. Sekejap aje boleh berubah. Sekelip mata aja ia boleh berbolak-balik. Sebab tu Rasulullah s.a.w ajar kita untuk berdoa, pohon pada Allah agar ditetapkan iman dan hati ni agar terus-menerus dalam landasan taqwa.

Hidup sebagai muslim, mati sebagai muttaqin.

Senang? Lol... kalau senang, tak adenya Rasulullah s.a.w bersusah payah mengikat batu di perut. Para sahabat (yang diredhai Allah) pun tak adanya susah payah berperang. Tapi hakikatnya memang Allah nak jadikan dunia ni sebagai lapangan ujian. Aduhai...

Saya takut sebenarnya. Bukan dengan hantu, tapi dengan diri sendiri sebab diri sendiri jika tidak diberi rahmat, hidayah dan taufik, huh... akan jadi lebih buruk dari hantu.

Kalau hantu syaitan hanya mengajak dan membisikkan kajahatan, manusia yang berkuasa syaitan pula akan membisik, mengajak dan membuat. Lengkap. Sangat ideal untuk bergelut dalam neraka.

Bukan sedikit, tapi dah ramai orang yang buat sebelah kening saya terangkat (padahal mana saya boleh angkat sebelah kening). Double-jerk!

Orang-orang yang ala-ala ahli syurga, tapi tak konsisten pula. Dahulu jadi kaki surau tapi bila sudah 'kenal dunia luar' berubah terus jadi kaki yang entah-apa-apa-entah. Evolusi yang kekal pula tu! Macam Pikachu jadi Raichu.

Haish...

Sebab tu... Allah suruh kita berdakwah. Rupa-rupanya inilah rahsia dakwah itu iaitu supaya keyakinan dan istiqomah dapat dibina, bertingkat-tingkat.

Dan akhir, orang yang kenal saya... saya beri mandat besar supaya cegah saya guna tangan. Heh... macam mana? Lantak la macam mana, tapi at least... saya taknak hanya jadi orang yang memberi sebab saya nak juga jadi selfish. Saya nak menerima juga!

By the way, dakwah tu sangat senang. Ia cuma mengajak buat baik dan ajak tinggal benda jahat. Jangan terlalu banyak buang masa dengan membuat strategi (dalam situasi saya ialah 'lari' ) kerana takut-takut masa hanya dihabiskan dengan merancang tapi habuk pun tarak. Heh... sama-sama la pikir.
                 
    

I'm leaving

I'm leaving
Terdesak!

Terhimpit!

Tersepit!

Saya diheret ke penjuru kebuntuan. Kebuntuan yang seakan tidak berpenghujung walhal hulu kepada semua itu hanyalah hujung kuku yang satu ini.

(Tuhan... bantulah aku...)

Saya meminta izin daripada kalian untuk lari. Lari yang bermaksud untuk berehat. Saya mahu berehat daripada kehidupan yang mencabar kekentalan hati ini. Kehidupan yang menggoncangkan paksi dan tunjang-tunjang akar taqwa.

Apabila Allah menyatakan bahawa penilaian pada hamba ialah pada hati dan bukan fizikal luaran, maka saya bertambah kaget. Cubaan yang didatangkan pada hati ini bahkan lebih berat berbanding fizikal.

(Tuhan... bantulah aku...)

Saya merindukan manusia yang berani untuk menepuk bahu saya sambil mulutnya menguntum senyum.

"Iqbal... kau sudah banyak ketawa"

"Iqbal... kau sudah banyak berangan"

"Iqbal... kau pandang siapa tu?"

"Iqbal... kau fikir apa tu?"

"Iqbal itu... Iqbal ini... Salah itu... Salah ini..."

Tapi hakikat yang sebenar, tiada orang yang benar-benar menegur. Hanya setiap kali diri tergelincir, barulah timbul kekesalan dan setiap itu, lafaz istighfar menyusul deras... tapi seperti drama, ia bersiri-siri dan berulang-ulang.

Saya impikan kehadiran orang yang tersenyum memberi kata nasihat tanpa perlu saya meluahkan yang terbuku dalam hati. Orang yang mampu membaca bahasa hati melalui bahasa muka.. Alangkah indahnya...

Saya tercari-cari orang yang mampu membisikkan seruan dakwah di tengah kelam dan sibuk dengan urusan dunia yang berpisat-pisat.

"Jom pergi majlis syeikh itu.."

"Jom dengar ceramah ustaz ini..."

"Jom menadah kitab dengan ustaz itu.."

"Mari menuju kejayaan..."

Bagaimana jika saya katakan bahawa saya masih terlalu biasa. Saya tidak hanya perlu memberi, tetapi saya juga perlu menerima tetapi siapa yang mahu menegur saya saat saya tersilap?

Jawapannya tiada.

Tiada yang mencuit bahu kala tawa saya berderai hingga meleret. Tiada yang memicit batang leher saya saat saya memanjangkan leher menonton sesuatu yang sia-sia. Siapa pula yang sanggup menolak muka saya saat mata saya tajam mengerling dan menjeling gadis comel yang seorang itu. Dan siapa pula yang sanggup menggelengkan kepalanya apabila saya tersenyum sendiri sambil memasang telinga mendengar cerita-cerita tentang orang lain.

Jawapannya masih sama, iaitu belum ada. Belum ada yang benar-benar begitu lakunya pada saya.

Saya bersendiri, dalam kumpulan. Saya keseorangan, dalam keramaian. Saya kebanjiran, dalam kemarau. Saya kepanasan, dalam kedinginan. Saya ketawa... dalam duka. Dan muka saya gembira, tetapi iman saya terluka.

Parah... dan semakin melarat.

I'm a survivor and i shall equip myself with survivor kit.


I'm a winner and i must prepare myself for a glory.


I'm a writer and i should write things that benefits me.

Sudahlah...

Saya penat dengan hipokrasi diri begini. Saya sudah penat melakar kisah dongeng seorang hamba yang seorang ini. Sudahlah... Izinkan saya berehat.

Pemergian saya mungkin lama... mungkin sekejap... mungkin sebulan... mungkin juga seminggu...

Akan tiada lagi update buat masa terdekat. Maka, gunakanlah sela masa ini untuk membaca artikel-artikel yang lepas. Saya pergi bukannya untuk bermain-main kerana bersama ia, sebuah tekad yang basah dengan kekesalan. Untuk itu, saya tidak akan melayan kiriman-kiriman emel untuk meminta e-novel Antara Dua Bidadari tetapi, saya berharap agar insan-insan yang sudah memilikinya untuk memanjangkan kepada sahabat-sahabat yang meminta, dan juga yang tidak meminta.

Mandat besar saya berikan kepada orang-orang yang sanggup untuk menyebar luaskan e-novel itu di lama sengsawang dan blog masing-masing. Ikhlaskan diri untuk berkongsi... moga saya boleh menumpang kebajikan kalian.

Ia satu yang saya sudah halalkan sejak perkataan pertama saya taip. Saya sediakan diri untuk memberi agar dimanfaatkan kepada kendiri dan umumnya.

Itu harapan saya. Sebarkanlah cinta Ilahi... kerana ia satu yang mengasyikkan.

Akhir...

Saya mohon maaf kepada hamba. Saya minta ampun kepada Tuan. Doakan saya agar saya dapat menemui 'teman' yang seorang itu. Teman yang menyorok di ceruk hati. Teman yang malap dibalik dedaun kekejian.

Semoga bertemu lagi sahabat. Jika tidak seminggu lagi, maka sebulan lagi. Jika tidak di sini... di syurga nanti. InsyaAllah

:(
         

Ujian Ilahi

Ujian Ilahi
"Siapa yang tak nak syurga?"

"Kalau tanya orang yang sedang mabuk minum arak pun mereka kata mereka mahukan syurga"

Jernih wajah lelaki itu saat mulutnya menutur lembut motivasi cinta. Saya mendengar bersama hati yang diperhalusi dengan rasa mahu menerima kerana kedatangan lelaki itu tidak lain hanyalah untuk menyebarkan cinta yang sudah mekar dalam sanubarinya.

Dan pertemuan kami malam itu sangat santai, tetapi tidak dilupai jawapan bagi soalan tadi, "Semua orang mahukan syurga!"

Dewan Peperiksaan.

Dewan segi empat itu ialah satu dimensi yang nyata. Deretan meja yang bersusun lurus menjadi tempat manusiawi menghamburkan segala yang terbuku dalam kotak minta... atas kertas berkajang.

Sedang diri menjawab soalan-soalan yang berpisat-pisat dalam dewan peperiksaan berhawa dingin itu, diri yang sedang tekun mengerah akal nan terbatas itu terlupa bahawa bumi tempatnya berpijak juga ialah sebuah dewan peperiksaan yang agung. Dimensinya ialah di luar sedar, tetapi keluasannya seluas mata memandang. Setiap yang bernama manusia sedang diuji dan dinilai, tetapi ramai yang tidak cakna dan ambil penduli.

Tiada peraturan yang khusus, cuma tertib yang diperhati sedekatnya.

Itulah ujian dunia. Penilaian dan pemilihan bagi calon syurga.

Ujian Yang Silih Berganti.

Bermulanya dengan tangisan pertama, hingga keluhan terakhir, setiap yang punya akal akan dinilai. Penilaian yang tertakluk pada kudrat dan iradat Allah ini, tidak siapa yang dapat katakan 'henti' kerana ia ialah ujian yang tidak kelihatan pada nilai zahir. Cuma nurani yang jernih sahaja mampu menilai.

Saudaraku.

Kita sering terlupa bahawa memang hidup ini ialah satu ujian. Saat kita gagal, ia ujian. Saat kita cemerlang, itu ujian. Saat kita menang, itu ujian dan saat kita gagal, itu juga ujian. Maka, setiap keluhan dan sorak gembira punya markah dan nilai yang signifikan.

Jika pernah kalian melihat bagaimana kalian memanjat tangga, maka kalian akan ketahuan bahawa ia sama seperti dunia yang sedang kalian hadapi ini. Di hujung tangga ialah syurga. Layaklah... kerana ia ialah tempat yang tinggi dan terpelihara. Kita bermula dari bawah. Satu per satu anak tangga kita daki.

Tangga pertama...

Tangga kedua....

Tangga ketiga...

Seterusnya.

Itulah letaknya ujian. Ujian yang bertingkat-tingkat. Tahapannya tidak sama, bahkan meningkat dan penuh variasi yang curiga serta sulit pula.

Jika ditakdirkan Allah kita selamat pada ujian yang pertama, bagaimanakah mungkin boleh untuk kita melebarkan senyum walhal yang menanti di sana ialah ujian kedua?

Keluhan.

Jika mahu mengeluh, itu bukan cara. Jika mahu menangis, itu juga bukan yang dididik. Yang utama, basahkan diri dengan sifat taqwa. Biarkan sifat itu bertakhta utuh. Biar! Biar sahaja dirimu bermandikan taqwa kerana sesudah itu, tiada kekesalan lagi!

Lihat dengan mata hati. Apa tujuan kamu diuji?

Allah menguji manusia kerana mahu kita melangkah ke atas. Jika tiada ujian, kita tidak akan sudi untuk ke atas. Jika tiada ujian, tidak ketahuan siapa yang manuju syurga dan siapa pula mencari neraka. Jika tidak didatangkan ujian juga, bagaimana mungkin hamba dapat bermanja dengan Tuhannya?

Dan jika tiada ujian juga... untuk apa kita hidup?

Kerana tujuan didatangkan kita ke dunia adalah untuk ibadah tanpa syirik yang bertali, maka wajarlah respon kita kepada ujian-Nya menjadi ibadah.

Saat perempuan cantik mendatangi, itu bererti ujian sedang bertandang.

Saat kesukaran menghimpit, itu tanda ujian.

Saat kejayaan datang bertimpa, itu juga sebutir berlian yang menguji.

Kepada siapa kamu meminta tolong, dan bagaimana caranya kamu mencari solusi?

"Kepada Engkau kami berserah dan kepada Engkau kami mohon pertolongan"

Seharusnya, respon kita saat diuji ialah begini, kerana kita tahu bahawa ujian itu datang dari-Nya dan dari-Nya juga datanglah penawar dan solusi.

Kesimpulan.

Allah sedang menguji kita dan ujian itu sifatnya mutlak. Setiap saat kita dalam hidup ini ialah ujian. Maka, berusahalah untuk meletakkan syurga sebagai puncak, kerana hanya dengan itu barulah diri ini punya kekuatan untuk melonjak lebih ke hadapan.

Dan satu lagi anak tangga dipijak... memanjangkan hujung sebuah ujian Ilahi.

***************************************************************

Terima kasih buat sahabat-sahabat yang sudah mula membaca e-novel Antara Dua Bidadari. Saya diberitahu, sudah ada yang berjaya menamatkan pembacaan. Tahniah! Namun, sedikit ralat telah berlaku di luar ruang sedar saya.

Ada sedikit ralat pada bab 44.
Nasuha mengingat-ingat kembali sirah. Pasti zaman dahulu, ada juga sahabat Rasulallah s.a.w yang beriman, tapi ibubapanya enggan. Antaranya ialah Abdul Rahman bin Auf r.a. Ibunya yang masih kuat berpegang dengan agama menyembah patung pernah menggugut tidak mahu makan. Abdul Rahman bin Auf r.a, walaupun cinta kepada ibunya menggunung tinggi, tapi dia dia lebih mencintai Allah dan Rasul-Nya. “Jika ibu punya 10 nyawa, dan 10 kali juga ibu mati, pasti aku tetap juga tidak akan keluar daripada agama yang aku anuti ini”.
Yang sebenar, bukan Abdul Rahman bin Auf tapi Mus'ab bin Umair.

Kisah Abdul Rahman pula ialah begini.
Diriwayatkan bahwa ibu AbdurRahman Bin Auf sesudah mengetahui bahwa anaknya memeluk Islam, iapun berkata kepada anaknya, “Aku akan berjemur dipanas matahari yang terik di waktu siang dan di waktu malam yang dingin aku akan tidur hamparan padang pasir, sehingga engkau mengaku akan kembali kepada agama nenek moyangmu.” Demikian ibunya mengancam. Walaupunpun begitu Abdul Rahman Bin Auf tetap tegak memeluk Dinullah dan mencintai Rasulullah S.A.W.
Maaf di atas kesilapan. By the way, sesiapa yang masih berminat untuk e-novel itu, boleh hantarkan emel kepada saya.

Pengumuman

Syukur kerna buat ketiga kalinya, Allah izinkan saya ke pesta buku. Tahun 2009, saya membayar berbelas ringgit untuk sebuah buku motivasi, 'Online dengan Tuhan'. 2010, saya membeli sebuah kitab sirah yang baru lebih separuh isinya ditelaah. Dan tahun ini, turut sama saya membeli sebuah kitab yang tidak kalah tebalnya. Dan yang pasti... saya sudah selesai dengan membeli, hanya tunggu ruang masa untuk membaca sahaja.

Dan membuatkan diri rasa lebih bahagia, saya sempat berbual-bual ringkas dengan seorang lelaki (abang) dari syarikat Pelima Media. Saya bertanya tentang manuskrip novel. Kata beliau, "Pasaran novel di tanah air sedang mengalami persaingan yang sengit. Ramai orang mahu menulis novel dan banyak yang telah dibukukan serta dipasarkan. Cuma, tidak banyak yang meletup dan laris. Kerana itu, jika mahu menulis, buatlah kajian mendalam terlebih dahulu".

Dia tersenyum, dan saya juga tersenyum walau mungkin dalaman hati kami ini adalah pelbagai.

Saya terfikir sejenak. Teringat kembali akan karya sulung saya. "Antara dua bidadari". Inilah manuskrip yang saya gembar-gemburkan. Silap saya, kerana saya seperti meletakkan ia sebagai karya ulung walhal ia cuma yang sulung. Hanya itu.

Atas sebab itu, saya mengambil satu keputusan. Saya mahu menjadikan 'Antara Dua Bidadari' sebagai e-novel sahaja. Dan buat kalian yang berminat, boleh emelkan saya di iqbalsyarie@gmail.com.

InsyaAllah, saya akan emelkan e-novel 'Antara Dua Bidadari', dengan harapan kalian akan membaca serta mengorek isi dan pengajaran yang saya cuba resapi di balik peristiwa dan konflik di dalamnya.

Mengapa Perlu Baca e-novel Antara Dua Bidadari?

Sila anggap ini sebagai cakap-cakap orang perasan. Paling tidak, ini seperti kata-kata seorang businessman kala mahu mempromosi produk kepada pelanggannya.

1- Sebagaimana tajuknya, di dalam novel ini memang diciptakan watak dua orang bidadari. Seorang lahir dari tarbiyyah sedari buaian dan seorang lagi cuma mencantum bebulu pelepah di sayapnya saat dirinya berdiri di pertengahan usia.

2- Watak utama punya ciri-ciri lelaki yang mengutamakan islam serta meletakkan islam sebagai matlamat. Setiap perbuatannya dimulakan dengan kehendak Allah. Kerana itu, setiap konflik, setiap masalah dan setiap ranjau hidup dihadapi dengan saksama.

3- Saya tersenyum sendirian saat menulis hingga pernah ditegur oleh teman sebilik. Kiranya, e-novel Antara Dua Bidadari ini ialah alternatif kepada novel cinta yang menjadi fenomena golongan seusia dengan saya.

4- Beberapa persoalan tentang dakwah, kehidupan, percintaan dan pengorbanan cuba saya selit dan serap, agar resepi keamanan jiwa dapat saya sediakan buat jiwa pembaca.

5- Cukuplah... tak mahu perasan banyak sangat =.='

Sukar.

Sasterawan negara, A. Samad Said selalu berpesan, untuk menjadi penulis, perlu banyak membaca. Maaf. Itu bukan saya. Saya sedikit benar membaca, tapi banyak pula menulis. Kerana itu, banyak yang lesu dalam tulisan saya. Bahkan, banyak pula yang basi dalam lembaran tulisan saya.

Atas sebab itu, saya dengan rendah diri dan bersama azam serta keinginan yang tidak tepu untuk menggarap bakat menulis kepada suatu yang baik buat islam, memohon kepada  kalian yang berminat untuk menikmati (membaca) e-novel Antara Dua Bidadari, supaya memberi kritikan yang membina.

Salah satu kecacatan yang saya perasan dalam e-novel ini ialah pada permulaannya, dimana plot ia agak mendatar, repetatif, serta membosankan. Ah. itu memang suatu yang saya tidak sangkal. Tetapi, pembacaan yang berterusan adalah satu uang saya galakkan kerana babak-babak yang indah, secara tidak sengaja terkumpul di bahagian tengah dan akhir-akhir.

Semoga kritikan (bukan pujian) yang kalian hamparkan dapat menaikkan semangat, menambahkan kematangan serta memberi pembaharuan dalam gerak kerja jemari saya. Dan akhir, harapan saya agar umat beroleh manfaat akan terlaksana.
Terima kasih yang tidak terhingga buat sahabat fillah saya, akh Normen Halusran (si pemalu yang menutup muka dengan gambar wanita berpurdah) kerana menghadiahkan novel bertajuk Tunas, tulisan penulis misteri, Hlovate. Jujur, ini karya Hlovate yang pertama bagi saya.
    

Santai :)

Rasanya agak lama juga saya tidak menulis suatu yang santai kerna banyak yang serius sahaja saya tuliskan dan kongsikan, tapi dengan harapan yang masih belum berubah sejak dahulu iaitu supaya ada secebis kebaikan buat diri saya, penulisnya.

Pertama, Pesta Buku.

KL International Book Fair 2011. Saya teruja. Memang saban tahun, ia seperti satu pesta yang ditunggu-tunggu. Saya pasti bukan saya seorang cuma, tapi ratusan dan ribuan pencandu buku juga ternanti-nanti tarikh ini.

Sedang diri diminta untuk membuat senarai buku yang mahu dibeli (kerana tak mahu terlebih belanja), saya jadi keliru sendiri. Tidak tahu mahu mencari buku apa. Tapi keutamaannya ialah novel-novel samada Hlovate ataupun Hilal Asyraf. Pun, tertarik juga diri untuk membeli buku-buku motivasi. Entahlah...

Sepintas lalu tentang buku.

Saya gemar menulis tetapi kurang pada membaca. Itu lemahnya saya dan itu kurangnya saya. Kiranya, saya ini termasuk dalam kategori penulis yang kurang membaca dan layaklah untuk penulisan saya kaku begini. (Saya minta maaf kepada sidang pembaca sekalian).

Saya perasan, ada insan yang agak kedekut untuk membeli buku yang bermanfaat.

"Mahal!"

Baiklah. Saya tidak menafikan bahawa kadangkala senaskah buku boleh mencecah puluhan ringgit Malaysia. Kala gawat begini, memang sengsara lebih terasa. Kerana itu, tidak ramai yang membaca dan akhir, kurang terdidik mindanya.

Kerana itu juga, saya sarankan kepada sesiapa yang punya wang lebih, belilah buku-buku yang baik. Jika tidak untuk kalian baca, kalian boleh hadiahkan kepada sesiapa. Dan hadiah berupa buku agama atau al-Quran terjemahan, adalah hadiah yang paling indah pada kiraan saya.

Dan itu juga kata-kata ustaz saya, imam kariyah kami. Mesejnya jelas, "Jika kita tidak punya kemampuan untuk baca, apa salahnya kita biarkan orang lain yang baca. Setidak-tidaknya, ada saham kebaikan terpalit pada diri kita juga pada akhirnya"

Kanak-Kanak.

Hampir setiap hari saya menonton video ni. Dari laman Facebook seorang sahabat, saya mengambil keputusan untuk memuat turun sahaja video ini kerana saya sudah jatuh suka dengan adik comel ini. Ops! Bukan adik comel tetapi adik yang terlalu serta tersangat comel!


Saya teringat akan hadis daripada Imam Bukhari, “Tiada (seorang anakpun) yang dilahirkan kecuali ia dilahirkan dalam keadaan fitrah. Maka kedua orang tuanyalah yang menyebabkan ia menjadi Yahudi, atau menjadikannya Nasrani atau menjadikannya Majusi (penyembah api).”

Ramai yang beranggapan bahawa yang dimaksudkan dengan Yahudi, Nasrani atau Majusi itu sebagai 'masuk agama' mereka. Sebenarnya, penafsiran yang lebih tepat ialah 'cara hidup'.

Ini adalah kerana Yahudi ialah satu agama yang dikhususkan kepada orang Yahudi semata-mata, dan tidak pada manusia selain daripada bayi-bayi yang keluar dari rahim-rahim wanita mereka. Atas sebab itu, kita boleh melihat bagaimana lelaki melayu bernama Muhammad boleh menjadi yahudi, nasrani atau majusi. Dan ia suatu yang samar kelihatannya, kerana terlindung di balik tulisan 'islam' di balik kad-kad pengenalan mereka.

By the way, saya punya harapan untuk memiliki zuriat yang sebijak dan secerdas adik kecil ini. Jika ibunya ada membaca post ini, silalah memberi respon kerna saya teringin benar untuk memberi sebarang hadiah tanda kekaguman dan kecintaan saya pada anak kecil ini. Semoga kamu membesar bersama ruh islam yang tidak luntur. Doa saya, lelaki yang sarat dengan silap kepada anak kecil yang suci dari dosa. 

METC?
Saya pernah masuk TV al-Hijrah, tapi saya sendiri tak tonton diri saya kerana tidak dapat siaran itu

Semenjak identiti saya sebagai pelatih di Malaysia Airlines Engineering Training Center (METC) terbongkar (padahal memang saya sengaja bongkar), ramai yang bertanya tentang cara-cara untuk apply ke sini. Saya malas kurang rajin untuk menulis. Oleh itu, saya kongsikan satu post dari sahabat rapat saya (saudara tarbiyyah saya), Normen Halusran.

Cuma sedikit harapan saya dan teman-teman, kami seboleh-bolehnya punya impian untuk melihat lebih ramai 'ahli akhirat dan kerja-kerja dunia'. Jika kalian faham, saya memaksudkan tentang keberadaan orang yang punya latar belakang yang islamik tetapi membanting tulang dalam industri yang tidak islamik.

Suasana ini berlaku di Eropah, tetapi sedikit tenggelam di bumi sendiri. Di sini, orang yang faham agama kurang peka atau kurang minat untuk menceburi bidang-bidang dunia, kerana minat mereka selalu sahaja terarah pada bidang agama. Cuma, ruang dan sela yang ada ini sudah semakin menipis. Alhamdulillah. Itu tandanya islam semakin bangkit (menghampiri kemenangan abadi) bersama-sama kebangkitan jiwa muda!

Novel.

Yang ini pun satu hal juga. Ramai yang sedia tahu (dan ada yang tidak tahu) bahawa saya ada menulis novel. Ya. Ia suatu yang sudah dinoktahkan sejak sekalian lamanya. Rasanya, akhir Januari kerana pada awal bulan Febuari, saya sudah hantar dan emel kan kepada beberapa publisher untuk dinilai.

Sedikit terkilan saya, saat selepas hampir 3 bulan sepi tanpa balasan emel, saya bertanya. "Pihak tuan berminat atau tidak dengan manuskrip saya?", dan jawapan balas ialah, "Maaf. Kami belum menilai dan pihak kami akan membuat penilain pada manuskrip tuan" dan kata terima kasih pada akhir ayatnya itu tidaklah memberi saya rasa yang seronok. Tidak pada saat itu.

Lalu, saya mula bekira-kira untuk hantar pada publisher lain dan malang buat saya (moga ada hikmah yang agung disebalik peristiwa ini), rata-rata mereka tidak punya kesempatan kerana sibuk untuk membuat persediaan untuk pesta buku nanti.
"InsyaAllah selepas pesta buku nanti", salah satu emel diterima dari pihak publisher. I'm looking for it!

Sepintas lalu, saya mahu bercerita sedikit tentang novel ini kerana ramai sahabat bertanya pada saya tentang 'cara menasihati sahabat untuk menutup aurat', 'cara memberitahu diri meminati lelaki (bagi wanita)', 'cara dakwah kepada orang muda', 'cara solat dalam kapal terbang' dan lain-lain persoalan.

Sebenarnya, saya sudah sedia memberi contoh jawapan dan solusi bagi permasalahan berikut dalam novel hampir 400 muka surat ini. Cuma masalahnya itu... ia masih belum lagi dinilai, apatah lagi diterbitkan =.='
        

Lalu, mengapa?

Jika dirmu berniat untuk mencapai ia, maka hambakanlah dirimu pada pencipta ia~ Pic from deviantART
"Mengapa kita perlukan islam?", tanya saya kepada 6 pasang biji mata yang sedang memandang saya. Malam itu malam pertama saya berkongsi dengan adik-adik, dalam liqo' yang pertama. Syukur, mereka semua sangat responsive. Jawapan mereka tuntas, adakalanya segar dengan pengisian. Dan bebenang jawapan tadi dapat saya kait menjadi satu ayat cuma- Islam ialah ibarat oksigen.

Saya mahu anda menjawab di akhir artikel nanti ya. Boleh? (",)

Oksigen.

Saya kira setiap yang bernyawa perlu pada oksigen. Walau ia perosak, atau pun pemulih, tetap ia perlukan oksgen untuk kelansungan hidup. Sama juga dengan islam. Islam tidak pernah disempitkan lapangan dan dimensinya. Islam tidak menjalankan diskriminasi. Ia bukan untuk bangsa arab sahaja. Ia juga bukan untuk bangsa melayu sahaja. Kerna, islam ialah untuk segala manusia, dan alam seluruhnya.

Dan si ingkar yang sombong, mereka memilih untuk berpaling meninggalkan islam, menjauhi islam dan memusuhi islam.

Perbuatan sebegitu saling tidak tumpah seperti kita memutuskan bekalan oksigen yang pada akhir usaha kita, kita akan mati kelemasan.

Kita Bukan Bermain-main.

Di saat manusia sejagat ramai yang memilih untuk binasa, kita dipimpin oleh rahmat Allah untuk memilih agama. Ia nikmat yang unik, bahkan yang paling indah buat hamba yang hina, layaknya gelaran itu untuk kita.

Firman Allah dalam surah al-Mukminun ayat 115. Allah menempelak kita dengan sindiran, "Apakah kita menyangka kita ini Allah jadikan untuk bermain-main dan suka-suka sahaja? Dan adakah kita merasakan bahawa kita ni tidak akan kembali kepada Allah?"

Saudaraku...

Kita diciptakan dengan matlamat yang jelas. Firman Allah dalam Surah Az-Dzariyat ayat 56, "Allah menciptakan jin dan manusia untuk beribadah kepada-Nya"

Bagi saya, dua dalil itu cukup untuk menjawab soalan awal tadi, iaitu tentang mengapa perlukan islam. Kerna yang pasti, hanya islam sahaja yang dapat memacu kita ke landasan yang benar dan seterusnya, ke syurga yang penuh dengan kurnia dan nikmat.

Kesimpulan.

Artikel kali ini tersangat ringkas kerana saya cuma mahu menekankan betapa pentingnya untuk kita memiliki rasa syukur.

Syukurlah kerana Allah pilih kamu untuk baca artikel ini.

Syukurlah kerana Allah buka hati kamu untuk sebuah tarbiyyah jiwa.

Syukurlah kerana Allah pilih kamu untuk berbuat kebaikan.

Dan akhir, syukurlah kerana pada dirimu, ada kebaikan dan kebaikan itu ialah islam.

Berbanggalah dengan islam, selagi dirimu punya hayat.

Dan berbanggalah untuk menjadi pendokong kerja Nabi, selagi belum ajalmu dipanggil. Sedang ajalmu adalah suatu yang datangnya tiba-tiba...

Maka, masihkan islam itu tidak penting bagimu untuk ia berada di tangga kedua selepas duniamu? 

"Bersegeralah kamu dalam mengerjakan amal soleh, kerana kelak akan muncul fitnah sebagaimana gelap-gelitanya malam sehingga seseorang yang ketika pagi harinya masih mukmin, di petang harinya dia berubah menjadi kafir. Dan seseorang yang di petang harinya masih mukmin, di pagi harinya dia sudah berubah menjadi kafir, lantaran diri rela menukar agamanya dengan kesenangan dunia"- riwayat Muslim
          

Akhowat Bukan Malaikat

Saya tidak menyangka ini akan jadi satu isu. Tapi dengan kesempatan dan keizinan Allah, saya akan menjawab. Mungkin panjang, mungkin membosankan tetapi percayalah... ia suatu yang wajar direnung oleh si pemilik jiwa.

Kamu Ialah Duta.

Ada satu kata-kata hikmah, "Tiada dosa kecil bagi seorang pendakwah". Kata-kata ini bukanlah mahu mencanggahi hadis atau nas al-Quran tetapi ia cuma mahu melontarkan kita kepada sebuah dimensi yang baharu. Apa saya faham tentang ungkapan ini?

Saya kira, setiap pendakwah ialah seorang ejen islam. Dia ialah selebriti, dia ialah ikutan, dan dia juga ialah teladan. Kerana itu, setiap perkara yang kecil-kecil pun akan tetap dipandang oleh masyarakat awam. Saya tidak mahu bercerita tentang pengalaman peribadi kerana saya benci menulis tentang diri sendiri.

Tetapi boleh kita lihat sendiri bagaimana golongan masyarakat memandang ahli agama yang berpegang dengan al-Quran. Sedikit sahaja silap, pasti berjela-jela fitnah, maki dan cacian menghujani mereka.

Saya tidak mampu memberikan contoh, dan saya tidak akan.

Kamu Diperhatikan.

Rasanya tidak melampau jika saya katakan bahawa 'orang baik-baik akan dipandang pada kelemahannya'. Sebenarnya, kita sedang berhadapan dengan masyarakat yang 'takut-takut' dan mahu 'cuba-cuba' dengan islam. Masyarakat yang majoriti ini dilahirkan daripada lelah-lelah dunia. Mereka sudah mula tidak yakin dengan dunia, dan mula mencari-cari akhirat dan kala itu, mereka tidak akan memandang orang lain, tetapi kita!

Dan syaitan akan memaksa pandangan mereka terarah pada kesilapan kita!

Sekali kita tersilap percaturan, maka akan musnah segala keyakinan mereka pada agama. Trust me!

Kita Bukan Malaikat.

Tetapi itu tidak bermakna kita tidak dituntut untuk menjauhkan diri dari maksiat. Jika kita kaji semula sirah, kita akan tersedar bahawa Rasulullah S.A.W ialah seorang lelaki yang terpaling mulia semasa remaja, belia dan masa sebelum dirinya diangkat menjadi Rasul. Akhlaknya indah. Tutur katanya bersih. Hingga gelaran al-amin meniti di bibir-bibir masyarakat hina Jahiliyyah. Kejujuran dan amanah yang dimiliki menjadikan Rasulullah dijadikan orang kepercayaan untuk memegang wang, dan memegang amanah.

Pun, di balik kecemerlangan peribadi Baginda, tetap ramai yang membantah dakwah Baginda. Sedangkan sebelum seruan dakwah bergema, mereka sepakat meletakkan diri Muhammad sebagai manusia yang paling baik antara mereka.


Akhlakmu.

"Sesungguhnya aku diutus untuk menyempurnakan akhlak yang soleh". Hadis riwayat Bukhari.

 Inilah yang sering kita terlepas pandang dan jika kalian perasan, ini jarang benar dibicarakan oleh mua'lim dalam penulisan atau kuliah mereka. Banyak yang diulang ialah berkaitan ibadah dan akhlak dibiar, tanpa dihurai. Yang jelas, tidak ramai yang berani bercakap tentang akhlak mulia kerana takut terkena batang hidung sendiri.

Saya juga! Saya juga sedang meludah ke langit yang pada akhir, terpalit kotornya di muka. Saya jauh dari memiliki akhlak mulia, apatah lagi memiliki pekerti seorang pejuang agama. Sahabat-sahabat yang dekat dengan saya bahkan lebih mengetahui siapa saya di luar dan siapa saya di dalam blog. Ada beza. Dan ia ketara.

(Allah, aku mohon ampun untuk itu)

Bagaimana akhlak kamu?

Siapa kata menonton drama korea berdosa? Saya tidak akan katakan ia salah sekiranya ada pengawalan yang ketat buat si pemilik biji mata.

Ia mungkin harus dan mungkin juga makhruh.

Dan sekarang, kita masuk ke dalam syarah hadis ke-6 daripada Matan Arba'in. Dan ia akan mengambil lebih banyak masa jika saya selitkan huraiannya dalam artikel yang satu ini. Cadangan saya, kalian google sendiri.

Cuma saya mahu menyatakan betapa besarnya keperluan untuk 'berjaga-jaga'. Seseorang tidak mungkin akan terjebak dengan dosa kecil jika dia berhati-hati dengan perkara harus. Dan seseorang tidak akan terjebak dengan dosa besar melainkan dia sudah mendekati dosa kecil. Dan pengakhirannya ke mana ya?
Pemuda Dakwah Yang Gagal.

Kegagalan ini bagi saya puncanya pelbagai. Boleh jadi datang dari tiada strategi, tiada ketelitian, dan paling major, ketandusan sifat taqwa. Itu yang paling teserlah.

Datuk nenek kita dahulu selalu berpesan, 'perangkap tidak pernah melupakan pelanduk'. Dan begitu juga dengan syaitan. Kita boleh lupa mereka, tetapi mereka tidak akan lupakan kita.

Pesan Rasulullah S.A.W dalam khutbah terakhir, wasiat terakhir.

"Berjaga-jagalah kamu dengan syaitan kerana mereka telah berputus asa menggodamu dengan perkara-perkara yang besar dan mereka akan menggodamu dengan perkara-perkara yang kecil"

Pesan Saya.

Saya tidak tahu nak cakap apa kerana saya kecewa dengan situasi yang berlaku. Saya benar-benar meletakkan harapan yang tinggi pada akhwat semuanya. Saya tidak kenal kalian/mereka tetapi saya jauh di sudut hati, saya yakin bahawa kalian/mereka memang mahu benar berubah. Bukan?

Kerana itu, renungilah hadis ini.

Sabda Nabi s.a.w yang bermaksud, " Seorang hamba tidak dapat mencapai tingkat muttaqin hingga ia meninggalkan apa-apa yang tidak berdosa kerana khuatir terjerumus pada apa-apa yang berdosa."-Hadis riwayat Tirmizi.

Kalian telah meletakkan syurga sebagai matlamat! Kerana itu, janganlah mengimpikan syurga yang paling rendah!

Kesimpulan.

Satu lagi seruan kepada diri saya, agar saya menjaga diri dan akhlak saya dan seterusnya menyemai sikap warak kerana warak itu ialah jawapan atau kata kunci bagi keseluruhan artikel yang panjang ini.
               

Indahnya Jika Diriku Seorang Mus'ab

Benarkah aku mencintai kehidupan akhirat lebih daripada dunia?

Aku tidak yakin aku berkata suatu yang benar kerana aku tidak memiliki peribadi Mus'ab Bin Umair. Mus'ab, lelaki tampan. Wajahnya bersinar cemerlang. Tidak seperti wajahku yang pudar, bersama topok-tompok cela. Mus'ab tidak pun sibuk memikirkan tentang gadis sunti yang mencuri pandang wajah indahnya. Sedang dirinya juga tidak sekali mendambakan pujian dan penghargaan dari peminat-peminatnya.

Mus'ab lelaki gagah. Badannya tidak terbina kerana cukupnya makanan, tetapi kerana cukupnya ibadah. Aku pula, sudahlah tidak tegap, tetapi isi daging ini jua terbina hasil makanan-makanan lazatku setiap hari. Mudahnya aku, tidak kenal erti lapar. Hanya tinggal satu bulan berpuasa, dan hanya itu sahaja masa untuk aku ingat derita manusia seperti Mus'ab yang berlapar kerana mencari kemulian dari Allah.

Mus'ab... Ah, lelaki itu dahulunya segak. Pakainnya cantik-cantik. Indah belaka. Tetapi dia sanggup meninggalkan sarung kemegahan dan lagak, kerana mahu menyarung bebenang kehambaan. Ternyata diriku berganda lebih bergaya. Baju sahaja, sudah berjenis-jenis. Seluar pula, berbagai corak. Tidak lagi ku kira eksesori yang ada, untuk aku laburkan wang aku pada mereka yang akhirnya akan berkarat, bersama karatnya iman aku.

Mus'ab Bin Umair punya mulut, dan aku juga punya mulut. Mungkin kelebaran, ketebalan dan warna bibir kami berbeza-beza. Bahkan, susunan gigi kami juga akan ada bezanya. Tetapi daripada itu, air liurnya silih kering dan membasah kerana mahu seluruh penduduk bumi Madinah ketahuan tentang agama islam. Hela nafasnya keluar bersama haruman-haruman keindahan iman yang membujuk segar. Tetapi aku? Bagaimana aku? Aku memiliki kurang lebih dua berus gigi yang aku tertukar, dijaga bahagian mulutku daripada ancaman kuman yang seni dan nafas berbau. Dan syukur, teknologi membantu aku memiliki susunan gigi yang cantik dan selesa tetapi tidak ia berjaya membantu aku mencontohi Mus'ab. Diriku bercakap soal islam? Jarang benar dengarnya. Malu dan segan, silih berganti setiap kali. Mungkinkah aku tidak berbangga dengan islam, seperti mana Mus'ab pernah berbangga dengannya?

Susuk tubuh Mus'ab pernah berdarah menerima tujahan demi tujahan dari puak musuh. Dirinya rela menahan perit dirantai derita kerana Allah dan Rasul tercinta. Bersama itu, jasadnya layu di makam Uhud. Darahnya dibiar tanpa dikeringkan dan ditanamkan ia dalam liang yang sama dengan jasad teman-teman jannah. Nanti, dia tidak akan runsing kerana tanpa perlu mulutnya bercakap, darahnya sahaja sudah cukup menjadi bukti di mana dia seorang pejuang agama. Aku pula? Mus'ab... maafkan aku. Aku tidak seperti kamu. Jasadku yang segar dengan makanan yang cukup, hiburan yang asyik dan rehat yang enak, tidak sedikit pun ia berguna pada agamaku. Aku takut disakiti kerna berjuang. Aku takut dizalimi kerana menegakkan kebenaran. Aku juga takut berlapar, sekiranya aku keluar daripada enaknya dunia ini.

Mus'ab... Aku teringat, ibumu pernah merajuk dengan kamu. Kata ibu, dia tidak mahu makan selagi kamu tidak keluar dari agama kamu. Pucat lesu wajah ibumu, tetapi tidak pada wajah imanmu. Kamu memilih Allah dan Rasul berbanding kecintaan kamu, buah hati kamu, dan ratu hidupmu. Aku tidak seperti kamu Mus'ab... Ibuku seorang muslim dan dia sering pula mengajar dan menyuruh aku patuh pada Allah. Dan ternyata, aku dengan kamu berbeza Mus'ab. Aku ingkar pada suruhan ibuku dalam soal ketaatan tetapi kamu pula ingkar pada ibumu dalam soal akidah. Dan buat kali yang aku sendiri tidak pasti jumlahnya, kau jauh meninggalkan aku...

Oh Mus'ab... izinkan air mataku tumpah kerana kamu walau aku tahu, kamu pasti tidak suka aku begini. Aku terbayang saat Rasulullah S.A.W bercucuran air mata kala mahu mengkafankan jasadmu kerana kain yang satu-satunya milikmu tidak mampu menutup keseluruhan tubuhmu. Ditutup kepala, terbukalah kaki. Ditutup bahagian kaki, teserlahlah bahagian kepalamu. Dan akhir, dirimu dikafankan dengan kain itu menutup kepalamu dan reranting dan dedaun kayu melindungi kakimu.

Aku? Aku tidak tahu bagaimana nanti Mus'ab... mungkin aku akan mati dengan diriku memiliki aset yang berjuta harganya. Seboleh-bolehnya, biar saja harta yang pernah aku miliki dibawa bersama ke lembah kematianku. Mungkinkah ia mampu menjadi teman untukku melalui mimpi ngeriku nanti?

Aku terkenang remajamu Mus'ab. Aku juga remaja, dan mungkin di usia ini, aku masih lagi remaja. Tetapi banyak benar beza antara aku dengan kamu. Hebatnya kamu, hingga Madinah menjadi bercahaya mendengar kalimah Toyyibah yang diseru olehmu, di saat Rasulullah masih bertahan dan bersiap untuk penghijrahan suci.

Aduhai Mus'ab... Ketahuilah kekaguman dirku padamu...

Kau memilih akhirat... tapi aku lebih cenderung pada dunia.

Kau memilih dakwah... sedang aku mirip perosak dakwah.

Kau memilih untuk syahid... sedang aku masih terketar-ketar menahan gejolak nafsu diriku sendiri.

Jauh benar jurang kita Mus'ab... dan buat kesekalian kalinya, izinkan aku mencontohi kamu, wahai Pemuda Dakwah!

Dan ya! Indahnya jika diriku seorang mus'ab...

                     

Yang Paling Baik Dan Yang Paling Buruk

Buatlah pilihan~

Dahulu, saya pernah membuat kuiz di fan page Bayyinat. Bukanlah tujuan saya mahu menguji minda, tetapi hanya untuk bersantai-santai. Lagipun tidak salah bukan? Kerna, Imam Ghazali juga sering memberi kuiz kepada sekalian muridnya, setiap sebelum kelas.

Soalannya nampak mudah.
Kenalkah kalian siapakah itu orang-orang yang paling baik, dan siapa pula orang-orang yang paling jahat?
Saudara saya, Naimul Firdaus sedia menjawab. Jawapannya saya kira tidak tersasar kerana memanglah, Nabi Muhammad s.a.w ialah lelaki yang paling baik, terbaik dan terpaling baik sekali.

Cuma, saya merujuk kepada 'orang-orang' dan ia bukanlah individu, tetapi kumpulan atau kelompok. Sedia mahu mendengar buah fikir saya? (",)

Saya memetik kata-kata Saidina Ali r.a. Kata beliau, orang yang paling baik ialah orang yang memiliki peluang untuk melakukan kejahatan tetapi dia memilih untuk melakukan kebaikan. Manakala orang yang paling jahat pula ialah orang yang memiliki peluang untuk melakukan kebaikan, tetapi dia memilih untuk berterusan membiarkan dirinya berkubang di dalam kebinasaan.

Kata-kata Saidina Ali itu benar-benar menyentuh hati. Bahkan, ia berjaya merobohkan tembok dan dinding-dinding kemegahan serta keangkuhan diri.

Ini Pilihan Allah.

Mungkin tidak pernah ia terlintas dalam benak kita, bahawa sesungguhnya, kita ini sangat bertuah. Kita dipilih oleh Allah untuk menjadi orang islam, dan kenyataannya, kita meraih islam secara keturunan atau baka. Mungkin tidak seperti saudara Sebastian Ali Julius kita.

Dalam masa kita menjadi islam pun, saya yakin benar bahawa hidup kita akan dihiasi dengan pola atau corak yang sama. Sekejap berbuat baik, dan kadangkala terjerumus dalam kejahatan pula. Macam yoyo, tidak mampu untuk terus berpusing, kerana yang jelasnya, iman kita yazid wa yanqus. Sekejap ia naik menyinar, sekejap ia turun mendatar.

Dan oleh sebab itu juga, kita perlu segera memandang diri sendiri. Kita! Dalam sedar atau tidak, sebenarnya kita 'lebih bernasib baik'. Kita punya peluang untuk buat baik. Saya beri satu situasi (dan ia adalah satu realiti). Ada manusia yang ingin bersedekah, tetapi dalam masa yang sama, dia tidak punya kewangan yang kukuh. Hatinya merintih sayu melihat saudara seagamanya kelaparan, tetapi saat meraba dompetnya, dia tersedar bahawa dirinya juga sama, kelaparan.

Tidak dirinya punya kemampuan, melainkan simpati bersulam doa sahaja yang mampu disisip.

Saya pernah bertemu dengan satu hadis, iaitu hadis berkenaan larangan kita daripada mencela si pelaku maksiat (dengan celaan yang bertujuan untuk menjatuhkan maruah dan memburukkan diri si pelaku). Namun, hasl pembacaan yang lebih, hadis itu dikatakan sebagai mauduk'. Hadis yang saya maksudkan berbunyi, "Barangsiapa mencela saudaranya dengan suatu dosa, maka ia tidak akan meninggal dunia sebelum melakukannya"-Hadis riwayat Tirmizi.

Kalian boleh rujuk pautan sini.

Walaupun hadis itu dikatakan sebagai palsu, namun tetap disana ada suatu yang boleh kita ambil sebagai ikhtibar.

Seringkali, kita merasa benci dengan maksiat. Benar! Ia suatu yang perlu tetapi kebencian itu harus kena pada sasarannya, iaitu kepada perbuatannya, bukan pada orangnya.

Kerana, dengan banyak mencela, kita seperti menonjolkan diri.

"Syurga ni aku yang punya!", itu lah bisikan syaitan. Halus dan gemersik sahaja hasutan dia.

Sidang pembaca...

Ketahuilah satu perkara lagi. Dalam sebuah hadis riwayat Bukhari, Allah menjanjikan naungan Arasyh kepada pemuda yang menolak ajakan zina. Tawaran perlindungan itu tiba di saat manusia semestanya berteriak dan berkeluh kesah mencari-cari tempat berteduh daripada murka dan azab Ilahi di padang mahsyar kelak.

Dan ia suatu imbasan, bahawa perbuatan 'menolak' tadi merupakan suatu yang sangat besar...

Dan seperkara, Nabi Yusuf sendiri mengakui bahawa dirinya terhutang budi kepada Allah kerana tanpa rahmat dan petunjuk Allah, dia bimbang dirinya akan terjerumus dan termakan godaan wanita cantik, isteri pemerintah Mesir. Sila rujuk ayat 24 daripada surah Yusuf. Bacaan lanjut disini.

Saya tidak mengatakan menolak peluang untuk berbuat kejahatan itu mudah. Pengalaman sendiri mengajar saya betapa ia suatu yang jerih. Lebih-lebih lagi bagi insan yang punya rekod yang buruk, seperti saya. Ah! Cukuplah Allah menilai, tetapi jangan terkejut jika kalian akan bertemu dengan manusia-manusia yang kalian lihat tangan mereka terketar-ketar menahan kehendak diri, semata-mata mahu menurut perintah Allah.

Dan subhanallah... segalanya dicatat, dan layaklah untuk diterima dia sebagai mausia yang paling baik- 'memaksa diri untuk terus melakukan kebaikan walau peluang melakukan maksiat yang dicintai nafsu serakah terbentang luas, tanpa sesiapa ketahuan'.

Kesimpulan.

Mudah saja. Jika tak mampu jadi manusia yang paling baik, pastikan jangan walau sekali, anda campakkan diri anda menjadi manusia yang paling jahat!
    

Kekuatan Yang Lebih

Ada manusia yang mencari-cari kekuatan. Dia meminta tips daripada saya. Saya hanya boleh tersenyum tawar, kerana saya bukannya orang yang kuat. Cuma, saya boleh berkongsi sedikit, dari mana saya bertemu dengan kekuatan.

Solat Tahajjud.

Inilah dia rektor tenaga saya. Saya yakin, semua orang sudah pun sedia faham dan sedia tahu akan kelebihan-kelebihan solat tahajjud. Jika masih ada yang tidak mengetahui, izinkan saya memetik sebuah hadis daripada kitab Shahih Bukhari. Daripada Abu Hurairah, Rasulullah s.a.w bersabda, "Allah Yang Maha Suci lagi Agung akan turun ke langit dunia pada 1/3 akhir malam lalu berfirman, "Sesiapa yang berdoa kepada-Ku, akan Aku perkenankan doanya. Sesiapa yang meminta ampun dari-Ku, akan Ku ampunkan dia".

"Seutama-utama solat sesudah solat fardu ialah solat sunnat yang dikerjakan di tengah malam"- Hadis riwayat Muslim.

Selain itu, beberapa tempat dalam al-Quran juga ada menegaskan tentang solat tahajjud ini. Antaranya pada ayat ke 79 daripada surah ke 17, al-israk, ayat 16 daripada surah As-Sajadah (surah ke 32), ayat 2 serta 20 daripada surah Al-Muzammil (surah ke 73).

Tidaklah saya berniat untuk bercakap lebih-lebih tentang kelebihan kerana saya pasti, setiap orang tahu bahawa solat tahajjud ini adalah suatu yang sangat istimewa. Tapi... kerana malas, jarang benar kita buat. Betul?

Buat kali ini, izinkan saya berkongsi sedikit.

Para Sahabat nabi.

Sesekali tidak akan ada upaya kita menandingi ibadah mereka. Solat mereka panjang-panjang. Ibadah mereka, semuanya khusyuk dan tunduk. Bahkan mereka sedikit sekali tidurnya. Ah. Jika mahu digambarkan kehidupan para sahabat r.anhum, maka bahasa yang mudah ialah 'mereka ibarat singa kala siang dan ibarat tikus saat tibanya malam'.

Ini adalah kerana setiap hari yang berlalu, akan mereka layari dengan perjuangan yang gigih di waktu siang. Dakwah, peperangan, jihad dan lain-lain, semuanya dilaksana bersama iman yang terpahat kukuh. Lagaknya seperti singa yang tangkas. Tetapi di waktu malam, mereka ibarat tikus yang ketakutan. Mereka akan mula beribadah sambil bersendu-sendan. Basah lencun janggut-janggut mereka dengan titisan air mata. Mereka.... sedang diri sedia banyak amal dan juangnya, masih takut akan murka Ilahi. Sedang kita? Ah, jawablah sendiri....

Jika kalian search di google tentang solat tahajjud, kalian akan bertemu dengan cara-cara, adab dan segala perincian tentang ibadah istimewa ini. Dan saranan saya, buatlah begitu kerana saya tidak akan bercerita disini. Bimbang, ia mengundang bosan untuk hati kalian hadam.

Istimewanya ibadah.

Ramai yang sudah bertanya tentang solusi untuk memujuk hati. Skrip mereka sama. "Saya tak mampu nak tenang lah..", "Saya rasa down lah..." , "Saya rasa depress dengan &*%$.."

Sebagai manusia yang sama seperti kalian, saya juga mengalami masalah dan situasi yang sama. Futur? itu berkali-kali, mungkin. Iman merundum jatuh, itu juga ada kadangkalanya. Tetapi, istimewanya bangun malam itu... ia benar-benar memberi ketenangan.

Pertama, jika saya rasa down, saya akan mulakan dengan membaca al-Quran. Surah pilihan pastinya surah Yusuf tetapi surah apa-apa pun tidak mengapa. Kerana seingat saya, dalam ayat 57 daripada surah Yunus, Allah telahpun mengisytiharkan bahawa dalam al-Quran, wujud penawar bagi penyakit rohani juga jasmani. Penyakit hati, juga penyakit badan.

Istimewa, apabila kita bangun disaat orang masih tidur, memang suasana sunyi itu membantu kita untuk khusyuk. Saat itu, kita akan mula berfikir sendiri, terkenang sendiri dosa-dosa kita. Ah, terbayang benar kehidupan selepas mati nanti. Sunyi pastinya. Tanpa siapa boleh menjadi teman. Ahli keluarga tercinta, sahabat handai terhormat, semua tidak menjadi teman. Tapi tahajjud itu, ia bisa. InsyaAllah.

Satu lagi cara memperoleh tenang ialah dengan menangis. Menangis... dan teruskan menangis. Jangan ditahan ego. Jangan diselit lagi rasa hebat sendiri. Sungguh, kita semua ini tidak hebat. Langsung tidak! Kerana hakikatnya, semua yang datang ialah datang daripada Allah. Semua yang hilang, ialah hilang kerana ketentuan Allah. Memang kita tidak ada upaya sedikit pun, selain Allah lah yang memberi semuanya.

Menangis, kenangkan dosa.

Menangis, kesalkan masa-masa dan umur yang berlalu.

Kita tidak menjadi makin muda. Kita semakin menghampiri mati. Ah, malang benar jika mati tanpa amal. Lebih malang pula jika mati bersama taubat yang belum terlaksana!

Ketiga, berdialog dengan Tuhan. Er... maksud saya ialah berdoa. Dan doa, dalam bahasa yang kita tahu. Jika faham arab, silakan. Jika faham melayu, teruskan dengan yang kita faham. Jangan terlalu skema, kerana jika terlalu mengikut 'skrip' kita takkan dapat 'feel'. Sebaiknya, merayu dan pohon sungguh-sungguh kepada Allah.

Kesimpulan.

Selepas kalian baca artikel ini, tidakkah timbul rasa mahu mencuba merasa betapa nikmatnya menangis, merintih dan merayu pada Allah. Biarlah saat itu kita ceritakan segala keaiban kita kepada Dia. Fikirkan... Allah sudah pun tahu segala keaiban kita, tapi masih tetap Dia sembunyi dan lindungi segala dosa batin kita. Setiap bayangan-banyangan tidak elok kita, setiap maksiat belakang-belakang yang kita buat, semuanya dalam 'poket', tapi Dia tak malukan kita pun!

Dan sungguh, saya yakin benar bahawa tiada siapa pun yang benar-benar suci, tanpa perlu dia merasa dirinya berdosa dan perlu meminta ampun.

Wallahua'lam.

Moga kalian lebih terpanggil untuk menghidupkan malam-malam kalian dengan amal soleh kerana yang pasti, ia memberi sejuta macam tenaga yang tidak akan kalian temui selain daripada ini. Fastabuqul khairat!
 

Nota Hati Buat Si Kacak Dan Si Jelita

Nota Hati Buat Si Kacak Dan Si Jelita
Saya kira, apabila disebuat saja tentang pramugari, pasti kita terbayang bahawa dia ialah seorang wanita yang cantik. Saya juga tidak menafikan bahawa mereka memang cantik. Jika tidak, mengapa setiap kali mereka melintas dari sky park, tidak kiralah samada pramugari fire fly dengan skirt jingga mereka, atau pramugari MAS, dengan kain terbelah mereka, pasti rakan-rakan saya akan kecoh. Berkemut-kemut mereka, berbisik sesama sendiri.

Bahkan, jika saya pulang ke kampung juga, seorang pakcik yang mesra dipanggil 'wak' sering menyakat saya apabila kami duduk berlaga lutut, di saf pertama. "Bal, bila nak bawak balik pramugari?" Ah, dia memang ramah. Kerana senyumnya sahaja, saya sudah rasa bahagia.

Dan wajarlah para pramugari sinonim dengan cantik dan aggun kerana melihatkan belanja bulanan mereka pada alat mekap dan set kecantikan sahaja sudah beribu-ribu ringgit.

Dan disana timbul persoalan. Adakah islam sebuah agama yang hanya menuntut agar penganutnya mencantikkan fizikal semata-mata?

Tidak! Pasti jawapannya tidak.

Dan demikian juga yang diajukan kepada saya, iaitu tentang nasib lelaki dan wanita yang tidak cantik. Pada pendapat saya, kerisauan yang ditunjukkan oleh yang bertanya itu memang ada asasnya kerana kita boleh melihat bahawa memang kecantikan seseorang atau ketampanan seseorang, peranannya besar dalam soal mencari jodoh.

Kerana itu, seringkali orang yang kekurangan kecantikan fizikal merasa rendah diri, merasa malu, dan merasa terhina sedangkan ia suatu yang tidak perlu dan hakikatnya, memang tidak ada! Setidak-tidaknya, dia masih lagi mulia di sisi Allah. Dan beritahu saya, apakah yang lebih indah di dunia ini selain daripada Allah memandang kita dengan pandangan kasih?

Saudara, dan saudari yang saya kasih kerana Allah. Bersama, mari kita susuri kisah seorang sahabat yang mulia yang bernama Julaibib.

Siapa antara kalian ada mengenali Julaibib?

Rasanya tiada. Kerana memang dia tidak dikenali. Baik di zamannya, atau di zaman ini. Memang pada pandangan manusia biasa, dia tiada apa-apa.

Julaibib lahir tanpa dirinya mengetahui nasab keturunannya. Ya. Dirinya tiada mengenal siapa itu ibu dan siapa itu ayahnya. Tetangganya juga sama, tidak mengentahui dari masa asalnya. Julaibib itu, jika diceritakan tentang fizikalnya sahaja sudah cukup untuk membuatkan otot muka kita berkerut.

Dia lelaki pendek. Kerdil. Kulitnya hitam legam. Mukanya hodoh. Dirinya miskin. Bahkan hidupnya, sebatang kara.

Dia terpinggir dari masyarakat. Hadirnya, atau tiadanya, tiada apa-apa bagi masyarakat. Hanya Rasulallah S.A.W sahaja yang mengambil berat tentang lelaki kerdil ini.

Pun dirinya punya kekurangan yang seribu, tetap dia akan menjadi antara yang terpaling hadapan dalam saf peperangan. Bukan hanya itu, Julaibib juga tidak rela dirinya ketinggalan daripada berada di saf pertama untuk solat fardu, disetiap kalinya.

Saat semua orang membencinya, dia masih tersenyum kerana di sana, ada seorang lelaki yang kasih padanya. Ah. Beruntunglah Julaibib, kerana sungguh Rasulallah amat mencintai lelaki kerdil ini.

Satu ketika, Rasulallah memanggil Julaibib. "Wahai sahabat yang aku cinta. Mahukah dirimu bernikah?"

Julaibib tersenyum manis. Wajah gelapnya tampak jernih. Dengan redha, dia menjawab, "Wahai Rasulallah, apakah ada orang yang mahu menikahkan puterinya dengan daku?"

Jawapannya ikhlas. Dirinya redha, tanpa sekelumit kesal dan merajuk pada Ilahi yang menciptakannya begitu.

Rasulallah S.A.W mengulangi pertanyaan. "Wahai Julaibib. Inginkah kamu untuk bernikah?"

Masih dengan senyuman yang mekar dalam keimanan dan penyerahan diri pada Allah, Julaibib menjawab ikhlas, "Ya Rasulallah... adakah ada orang yang mahu menikahkan puterinya dengan aku?"

Lalu, Rasulallah membawa Julaibib bertemu dengan seorang sahabat Ansar.

"Wahai sahabat, aku mahu meminang puterimu"

Maka, berseri-seri wajah lelaki ansar tadi. Dirinya menyangka bahawa Rasulallah berhajat mahu memperisterikan anak gadisnya. Cuma, gembiranya dan serinya itu bertukar malap serta merta saat terhujah di telinganya bahawa pinangan itu bukan untuk Rasulallah, tetapi untuk Julaibib!

"Julaibib? Aduh. Izinkan aku berbincang dahulu bersama isteriku kerana ia sebuah urusan yang sangat besar", pinta lelaki tadi dengan wajah yang bertukar kelat tiba-tiba.

Saat perkara itu sampai kepada isterinya, wanita itu tekad. "Julaibib? Ah! Tidak! Demi Allah! Sesekali tidak akan kita kahwinkan anak kita dengan Julaibib!"

Naluri si ibu memang begitu. Mereka mahu yang terbaik buat anak mereka. Memang dari pertimbangan akal, sekiranya yang dinikahi itu ialah Julaibib, maka dari celah mana adanya bahagia? Julaibib kerdil, hodoh, miskin, tiada keluarga... dan sejuta macam kekurangan dan kelemahan.

Sedang si ibu berkeras tidak mahu mengizinkan, si ayah cuba memujuk kerana mungkin, dirinya malu untuk menghampakan Rasulallah. Perbincangan itu terdengar oleh anak gadis itu.

Gadis itu bertanya, "Daripada siapakah lamaran ini?"

Lalu diberitahu kepadanya. "Daripada Rasulallah s.a.w tetapi kepada Julaibib"

Subhanallah...

Dengan lembut dan hati yang bulat mengharap cinta Allah, gadis solehah itu memujuk, "Ketahuilah ibu, sekiranya ia adalah permintaan daripada Rasulallah, maka pasti tidak akan ada satu mudharat pun yang akan menimpa diriku. Kahwinkanlah aku dengan Julaibib..."

Kisah Julaibib yang istimewa tidak berhenti disini.

Julaibib, tidak lama selepas bernikah, sampai seruan untuk jihad. Masih menjadi pengantin baru, Julaibib telahpun sedia menyandang senjatanya. Seruan jihad benar-benar membakar jiwa juangnya.

Di medan perang, Julaibib terbunuh. Dia syahid.

Akhir pertempuran, jasad-jasad yang terkulai di medan perang akan dikumpulkan. Jasad para syuhada' juga dikumpulkan di suatu tempat. Suanana menjadi sangat sayu.

Tiba-tiba, Rasulallah bertanya, "Adakah kalian kehilangan seseorang?"

Para sahabat segera menjawab, "InsyaAllah tiada, ya Rasulalallah"

Sekali lagi, Baginda bertanya, "Adakah kalian telah kehilangan seseorang?"

Kali ini para sahabat tidak terus menjawab. Mereka mula merasa ragu-ragu.

Lalu Rasulallah S.A.W berkata, "Sungguh, aku telah kehilangan Julaibib..."

Subhanallah... Saya hampir menitiskan air mata saat mendengar kata-kata yang keluar dari bibir mulia Baginda Rasul ini.

Rasulallah kemudiannya menyambung, "Sesungguhnya Julaibib ialah sebahagian daripada diriku dan diriku ialah bahagian darripada dirinya"

Subhanallah! Subhanallah! Subhanallah!

Mulianya si hodoh itu... Beruntungnya si miskin itu... Bahagianya si kerdil itu...

Itulah Julaibib... Dirinya tidak terkenal di bumi, tetapi namanya disebut-sebut oleh penduduk langit...

Dan buat kalian yang pernah merasa rendah diri, merajuk dan kesal dengan ciptaan Allah,
Ketahuilah bahawa Allah dan Rasul-Nya tidak memandang kecantikan fizikal kita tetapi Allah dan Rasul-Nya memandang kecantikan iman kita. Allah menilai ketaqwaan kita.

Dan jika antara kita yang teringin untuk bersua muka dengan Rasulallah, berhentilah merajuk. Dan belajarlah untuk bersyukur, bersabar dan redha dengan ciptaan Allah kerana ia adalah asas kepada kehambaan.
  

Komuniti Berpimpin Ke Surga (Bloglist)

Geng.
Dalam al-Quran (surah al-hujurat), Allah kata bahawa setiap muslim itu bersaudara. Dalam ayat yang lain pula, Allah kata bahawa Dia ciptakan kita ini berbeza-beza, agar kita dapat berkenal-kenalan. Juga dalam surah yang sama, Allah anjurkan kita supaya memperbaiki hubungan sesama kita.

Dalam surah ali-Imran pula, Allah pesan kepada kita supaya berpegang teguh dengan tali Allah dan jangan berpecah-belah. Dalam hadis bahkan banyak disebut-sebut tentang ini.

Bagi saya, medan penulisan alam maya ini suatu tapak yang sangat molek untuk kita berkongsi kebaikan. Sesuai dengan zaman kita, juga dengan persekitaran kita. Namun, islam tetap meletakkan garis panduan yang saya kira, suatu yang mesti diambil berat oleh semua. Baik saya yang lelaki, mahupun kalian yang berlainan jantina dengan saya.

Kedua-dua belah pihak wajar menjaga hati dan mata. Setuju?

Baiklah, terus kepada matlamat.

Saya mahu meminta maaf kerana sepanjang saya menjadi blogger, rasanya kurang bahkan sedikit benar saya blogwalk atau meninggalkan komen di kantung komen blog kalian. Saya rasa bersalah dan saya meminta maaf atas itu.

Tambah, saya jadi malu sendiri kepada kalian yang memasukkan blog saya dalam bloglist kalian, yang follow blog saya, dan tanpa lelah, sudi menyoroti setiap artikel-artikel saya.

Subhanallah...

Saya terharu! Bahkan, sangat terkedu. Merasakan diri saya ini tidak layak untuk mendapat pembaca yang ramai, saya benar-benar memohon maaf kerana kurang kelibatan saya di blog kalian.

Atas maksud itu, saya mahu membuat satu bloglist. Namanya, 'berpimpin ke syurga'. Dan atas maksud itu, saya mengajak setiap yang ada untuk join bloglist ini.
http://bloglistbayyinat.blogspot.com/
Cara nak join?

Pertama: Jika kalian sudah memasukkan Bayyinat dalam bloglist kalian, kalian cuma perlu beritahu dan letak url blog kalian di ruangan komen di sini, atau di sana.

Kedua: Jika kalia mahu menyenaraikan blog kalian dalam bloglist Bayyinat TETAPI belum letakkan bayyinat di ruang bloglist kalian, kalian boleh berbuat demikian. (optional) Bukan apa, untuk memudahkan hubungan dua hala. Lagipun, begini lebih adil, bukan?

Ketiga: Yang ini ialah optional. Anda boleh buat satu entry pendek, menceritakan tentang blog ini (bayyinat) atau komuniti berpimpin ke surga. Tajuk: Bloglist Bayyinat. Bukannya saya meminta untuk popular. Tidak! Tetapi untuk kalian tag sahabat-sahabat kalian.

Kenapa perlu ada bloglist?

Kerana saya tidak punya ruang masa yang banyak untuk blogwalk. Saya mahu kiranya saya mampu melontar buah fikir, bersantai, mengutip ilmu, dan informasi di blog kalian. Sungguh-sungguh, saya mahu.

Akhir, saya meminta maaf kerana tidak menunaikan hak saya sebagai penulis dan pembaca. Dan saya mahu berterima kasih kepada kalian yang ada share artikel-artikel saya. Teruskan berkongsi, kerana saya bertemu dengan sebuah hadis daripada Abu Hurairah yang diriwayatkan oleh Imam Muslim iaitu sesiapa yang menunjukkan suatu kebaikan dan orang lain beramal dengannya, maka akan dapatlah si penunjuk itu pahala tanpa kurang sikit pun. Same goes to sinful acts. Dan menunjuk kebaikan itu, miriplah dengan share artikel di Bayyinat, itupun jika ada manfaat disini.

Bukan apa... kita sama-sama nak ke syurga kan? Jadi tak salah kita saling mengajak. Kan? Ayuh! Berpimpin ke surga~

Terima kasih kepada: 

Penyumbang Trafik tertinggi hari ini (top 2)
http://reality2fantasy.blogspot.com
Ustaz Ali Irfan

Penyumbang Trafik Tertinggi Minggu ini (2011 Mar 27 23:00 – 2011 Apr 3 22:00)
Ibu Hidayah Amin

Penyumbang Trafik Tertinggi Bulan ini (2011 Mar 5 – 2011 Apr 3)
Dr. Cinta

Penyumbang Trafik Tertinggi (2010 May – 2011 April)
Ameno World
                   

Hanya Minat?

Hanya Minat?
Dan tidaklah betul dan elok orang-orang yang beriman keluar semuanya pergi berperang. Oleh itu, hendaklah keluar sebahagian sahaja dari tiap-tiap puak di antara mereka, supaya orang-orang (yang tinggal) itu mempelajari secara mendalam ilmu yang dituntut di dalam agama, dan supaya mereka dapat mengajar kaumnya (yang keluar berjuang) apabila orang-orang itu kembali kepada mereka; mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (dari melakukan larangan Allah). At-Taubah ayat 122.


Agaknya apa akan terjadi jika urusan akhirat diduniakan?

Tidak sukar untuk mengagak kerana sekeliling kita juga telah wujud beberapa contoh. Satu yang saya mahu ambil ialah apabila agama itu diubah daripada cara hidup menjadi minat.

Agama Dan Minat.

Beberapa tika yang lepas, heboh satu Malaysia dengan kejayaan seorang pelajar cina yang skor A dalam subjek agama. Hasil temuramah, pelajar cemerlang itu mengakui bahawa dia minat dengan subjek itu.

Lalu, apa bezanya antara dia dengan beberapa orang dari kalangan kita yang sama, hanya beragama pada minat?

Contoh mudah. Seorang sahabat itu, dia suka benar meminjam dan membeli buku-buku agama. Saya sendiri tak seperti dia. Dirinya punya koleksi majalah Solusi, sedang saya, untuk membaca satu naskah pun jarang-jarang saja.

Ada pula yang bijak bercakap pasal agama. Tentang hukum, fatwa-fatwa ulama silam dan kontemporari. Ada juga yang suka benar membaca kitab-kitab agama dan kitab sirah. Tidak terkecuali, blog-blog islamik dan mungkin termasuk blog ini juga.

Bagi saya, itu suatu yang sangat wajar dipuji. Suatu yang sangat-sangat baik dan disanjung tinggi. Keghairahan mencari ilmu ini sangatlah dituntut dan dimuliakan oleh agama.

Dengan ilmu, manusia dimuliakan. Ini ditekankan dalam surah al-Mujadilah ayat 11.

... supaya Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) dengan beberapa darjat...

Cuma, dalam keghairahan dan kesungguhan ini, perlu juga kita melihat kembali kepada perkara pokok, iaitu niat. Untuk apa kita belajar agama?

Ini yang selalu terjadi. Niat yang tidak murni dan tulus. Ada yang niatnya kerana minat, hobi, suka-suka, dan ada juga yang teruk, mahu menggunakan agama untuk berhujah kembali dengan ahli agama yang lain.

Segala macam sifat yang saya baru sebut itu telah saya jumpa pada orang di sekeliling saya. Benar, niat mereka tidaklah saya tahu, tetapi hasil, output dan kesan, ia jelas berasal dari kebocoran yang dari sana.

Tidakkah kita tahu, bahawa setiap ilmu yang Allah beri ini, punyai tanggungjawabnya? Paling tidak, untuk ia diamalkan sekali seumur hidup. Abu Hurairah r.a menjadi bersemangat dan tekun menyampaikan hadis kepada para sahabat yang lain kerana dia memahami ayat 159 daripada surah al-Baqarah.

Saya telah kongsikan di sini.

Pengecualian.

Sekali lagi saya ingatkan. Jangan aggap artikel ini sebagai satu yang menjatuhkan semangat kalian untuk belajar agama. Tidak! Saya tidak bermaksud begitu kerana yang sebenar-benarnya, saya mahu kiranya kita semua mula memikirkan kembali akan peri pentingnya niat kita.

Ia suatu yang ringkas dan kerana ia ringkas, mudahlah ia luput dimakan masa.

Seruan untuk saya, sertakan keghairahan mempelajari ilmu dengan keghairahan mengamalkan dan menyampaikan kepada orang lain.

Dan untuk kalian juga. 

Benarlah kata Saidina Ali r.a, 'Ilmu itu adalah suatu yang kita tahu dan amalkan. Selain itu, bukan ilmu'. 

Dan kerana itu juga, saya tidak akan merasakan seseorang itu ada ilmu walau dirinya boleh menulis ratusan muka surat artikel agama, jika untuk solat subuh berjemaah di surau yang kurang 100 langkah pun dia tidak mampu. Ah, peringatan buat saya. Kerana sayalah yang 100 langkah itu.